Tuesday, September 18, 2012

Novel: Isyarat Cinta



Noor Adawiyah dan Muhammad Irfan
Ya sudah termaktub dalam suratan, sudah termaktub yang mereka akan dinikahkan. Dua nama yang indah.

1

Adawiyah menyiapkan jahitannya yang terakhir. Pagi ini dia sudah berjanji dengan kawan sekampungnya Rafiqah. Dia rasa bagaikan hendak terbang! Dia sudah berjanji akan turun ke bandar untuk melamar kerja. Dia sudah berjanji juga kepada dirinya akan menambahkan pendapatannya. Bukan hanya menjahit sahaja seperti emaknya. Kawan baiknya Rafiqah juga sudah mendapat pekerjaan di pusat membeli belah itu seminggu yang lalu. Kali ini dia pula mencuba nasibnya. Mana tahu hari ini nasibnya akan berubah dan dia akan mendapat pekerjaan.
            “Kau nak ke mana pagi-pagi ni Wiyah?” emaknya Puan Musliah berasa terkejut dengan perubahan anak tunggalnya. Selalunya setiap pagi dia hanya membantu emaknya menyiapkan jahitan baju-baju kurung yang berlambak di hadapannya.  Adawiyah tersenyum memandang emaknya.
            “Saya jalan-jalan kejap mak, tukar angin. Mana tau ada kerja yang sesuai dengan saya, dapatlah saya tolong ringankan beban mak,” kata Adawiyah tersenyum simpul di depan emaknya. Bukan main dia tersenyum. Tetapi wajah emaknya sudah berubah. Adawiyah faham sikap emaknya yang tidak membenarkan dia keluar bekerja. Namun dia sudah nekad hendak melamar kerja di bandar pagi ini.
            “Ringankan beban mak? Selama ni mak mana pernah rasa terbeban! Apa maksud kau?” soal emak. Adawiyah serba salah.
            “Wiyah nak kerja mak!” balas Adawiyah. Dia tahu emaknya akan kecewa dengan jawapannya.
            “Laa, kenapa tak bagi tau mak. Tapi, bukankah Wiyah nak sambung belajar, buat apa nak kerja,” hati Adawiyah tiba-tiba sebak. Kalau bukan kerana ketiadaan ayahnya, pasti dia sudah memohon hendak melanjutkan pelajarannya dengan keputusan peperiksaan STPM baru-baru ini. Namun, segala-gala harus dipendamkannya. Tidak mungkin dia mementingkan dirinya sendiri. Pendapatan emaknya menjahit tidak mencukupi untuk dia memasuki pusat pengajian itu buat masa ini.
            “Wiyah nak cuba nasib, jangan risaukan saya mak. Kebetulan ada kedai yang perlukan pekerja,” terang Adawiyah cuba memujuk emaknya yang kelihatan risau.
            “Tak apalah kalau Wiyah perlukan pengalaman. Tapi, jahitan mak ni pula semakin banyak. Ni dah bulan Rejab ni. Bulan ramadhan tak lama lagi! Mak risau kalau tak dapat siapkan jahitan-jahitan ni,” ujar Puan Musliah pula. Adawiyah terdiam berfikir sesuatu.
            “Oh ya, tak apa mak, nanti saya cuba bantu mak. Lepas kerja mesti boleh bantu mak, jangan susah hati mak!” kata Adawiyah lagi melegakan kerisauan emaknya. Adawiyah memeluk emaknya. Puan Musliah terpaksa melepaskan anaknya pergi bekerja.
            “Wiyah, jaga diri baik-baik. Jangan terlalu balik malam. Mak risau tengok Adawiyah ni,” kata emak menekankan perkataan ‘risau’. Adawiyah terharu. Sejak kematian ayahnya, Puan Musliah sangat mementingkan kebajikan anak tunggalnya itu. Namun, kali ini kemahuan Adawiyah tidak dapat ditolak. Adawiyah perlu juga pengalaman bekerja sementara menunggu masuk ke pusat pengajian tinggi.
            “Saya jalan dulu lah mak. Rafiqah dah lama tunggu tu. Nanti lambat pula  Rafiqah nak pegi kerja,” kata Adawiyah sambil menyalami tangan emaknya. Adawiyah pun cepat-cepat keluar menuju ke rumah Rafiqah. Puan Musliah pula hanya memandang kelibat anaknya yang sudah bergerak meninggalkannya. Sayu terasa di hati Puan Musliah melihat anaknya bersungguh-sungguh hendak berdikari.

***

            “Adawiyah, aku dah bagitau dengan kawan aku semalam, kau nak cuba nasib. Pagi-pagi ni kau akan terus ditemuduga. Tapi kena isi borang dulu. Semua dokumen kau dah lengkap?” soal Rafiqah. Mereka bersaing-saing berjalan menuju ke stesen bas. Adawiyah mengangguk. Bertambah berdebar jantungnya mendengar dia akan ditemuduga pagi ini juga.
“Kebetulan bakal majikan kau tu ada di sini. Kerani tu yang kasi tau aku semalam.” Tambah Rafiqah. Semangat Adawiyah hendak bekerja semakin membara. Sudah lama dia berhenti sekolah dan tidak pernah bekerja di mana-mana. Dia hanya membantu ibunya menjahit tempahan baju kurung di rumah.
            “Aku pun dah fotostat semuanya semalam. Jangan risau. Lengkap dah dokumen aku rasanya,” kata Adawiyah yang begitu yakin dengan persediaannya. Dalam berdebar, risau dia tetap takut.
            “Kau jangan main-main jawab temuduga tu nanti. Bos kau tu cerewet. Dia tak suka orang yang nak suka-suka saja nak kerja. Dia masih muda tetapi dia punya rangkaian perniagaan dah membesar di seluruh negeri ni. Dengar-dengar dia besarkan ke KL,” kata Rafiqah menambahkan lagi kerisauan hatinya sendiri.
            “Oh, insyaAllah aku akan jawab dengan baik. Pakaian baju kurung aku ni dia tak kisah?” soal Adawiyah yang memakai baju kurung berwarna biru muda. Rafiqah memandang badan Adawiyah dari atas sampai bawah dan mengulanginya.
            “Oklah tu tapi selipar kau tu, kau tutuplah nanti. Jangan sampai ketara kau pakai selipar.” Pesan Rafiqah lagi. Adawiyah mengangguk.
            “His, cerewet juga bakal majikan aku tu ya!” kata Adawiyah. Mereka berpandangan.
            “Tak juga tapi dia memang macam tu. Nanti kau tanya-tanyalah dengan kerani dia tu. Kerani dia tu dah lama kerja dengan dia, dia baik tau!” kata Rafiqah lagi. Kata-kata itu melegakan sedikit kerisauan hati Adawiyah.
            “Ya nanti aku tanya-tanyalah kalau aku dah kerja dengan dia. Ha, tu pun bas dah datang. Jom lah kita naik,” kata Adawiyah. Mereka berdua sama-sama naik ke dalam bas.

***

            Sampai di kedai yang dimaksudkan, Adawiyah cepat-cepat pergi ke kedai tersebut. Sebu perutnya. Takut pun ada. Bimbang tak diterima pun ada. Membayangkan wajah bakal majikannya yang garang, tua dan kasar. Malah, macam-macam ada.
            “Awak isi borang ni, dan letakkan kad pengenalan dan sijil-sijil kelulusan awak di sini, dah siap panggil saya,” kata kerani yang dimaksudkan Rafiqah sebentar tadi. Namanya Marina Chang. Tubuhnya agak montel dan pakaiannya blaus tangan panjang dan skirt pendek. Luar biasa bagi Adawiyah yang hanya biasa mengenakan baju kurung jika ke mana-mana.
            “Baik,” tangan Adawiyah lincah mengisi borang. Setelah lengkap dia memanggil kerani di kedai itu.
            ‘Wah, besar juga kedainya ni, tak pernah dia menyangka yang kedai tempatnya bekerja ini sebegitu besar.’ Bisik hati Adawiyah.
            “Cik...” Adawiyah mengangkat kepalanya.
            “Betulkah cik ni bersedia nak kerja sini?” soal gadis yang bernama Marina Chang itu. Adawiyah mendengar aneh tetapi cepat-cepat mengangguk.
            “Sungguh?”
            “Kenapa?” Soal Adawiyah pelik.
            “Bukan, saya bimbang! Bos kita tu cerewet.” sudah berulang-ulang Adawiyah mendengar komen mengenai bakal majikannya. Dia bertambah berdebar. Mahu sahaja dia pulang ke rumah meneruskan kerja-kerja menjahitnya. Menyesal dia!
            “Cerewet?”
            “Ya, cerewet sangat!”
            “Apasal?”
            “Masuk cik ni dah lima kali bos tu buang pekerja!”
            “Oh!” Adawiyah melopong. Tidak tahu apa yang harus diperkatakan. Sememangnya dia sendiri tidak tahu membaca perasaan manusia lain. Selama dua tahun ini dia hanya berinteraksi dengan emaknya sahaja. Susah memang susah!
            Tetapi dia hanya mencuba nasib. Jika dia diterima, itulah nasibnya. Jika ditolak, dia pasrah. Dia tidak mahu menyesakkan fikirannya dengan perangai bakal majikannya.
            “Tak apalah Cik Adawiyah, silakan masuk. Awak hati-hati ya. Bos dah panggil tu!” kata Marina Chang mempersilakan Adawiyah masuk.
            Terkocoh-kocoh Adawiyah masuk ke dalam  bilik orang yang bakal menemuduganya. Sangkaannya bakal majikannya itu sudah tua. Rupanya lelaki itu sungguh segak, tampan dan bergaya. Pandangan pertamanya terhadap lelaki itu seperti dia jatuh suka dengan lelaki itu. Matanya tidak lepas dari memandang lelaki itu. Namun Adawiyah cepat-cepat  menyedari akan tujuannya datang ke kedai itu. Dia menundukkan pandangannya.
            “Selamat pagi tuan,” sapa Adawyah kepada lelaki itu sambil berdiri di luar bilik tersebut. Lelaki itu tunduk dan sedang memeriksa dokumen dirinya.
            “Awak, silakan duduk. Awak yang nak bekerja di sini?” soal lelaki yang tertulis Muhammad Irfan di depan mejanya. Wajah itu serius. Adawiyah mengangguk. Lama lelaki itu meneliti butir-butir dirinya. Entah apa yang diperiksanya.
            “Ya, saya nak mencuba bekerja di sini tuan.” Jawab Adawiyah malu-malu. Tidak pernah dia memohon kerja di mana-mana sebelum ini. Encik  Irfan memandang wajah Adawiyah dengan pandangan berkerut. Adawiyah berasa segan. Wajahnya menjadi panas. Tentu sudah kemerah-merahan wajahnya seperti udang terbakar. Malu, malu dia. Wajah bakal majikannya itu pula sangat serius. Berdebar dada Adawiyah dengan pandangan bakal majikannya yang disangkanya sudah berumur itu. Rupanya sangkaannya meleset. Lelaki itu masih agak muda dan berwajah tampan.
            “Mencuba?” soalnya ragu.
            “Ya tuan, saya sekadar mencuba!”
            “Kalau cubaan tak bagus, rela dibuang lah ya?” soalnya sinis. Mata Adawiyah dipandang galak. Adawiyah mengangguk.
            Lelaki kacak itu memerhatikannya dari atas ke bawah. Beberapa kali dia berbuat demikian. Adawiyah menyembunyikan seliparnya. Dia sudah tersilap kerana tidak mengenakan kasut. Ah, dia sebenarnya mana ada kasut. Inilah selipar yang terbaik dan terbaru yang dia ada. Selipar jenama Bata. Haha, lawak sungguh Adawiyah.
‘Ah, sudah, Adawiyah sudah pandai menduga-duga bakal majikannya!’
            “Mencuba menyapu boleh?” soalnya pula. Adawiyah mengangguk lagi walaupun dia hairan kenapa bakal majikannya itu bertanya soalan yang tidak berkaitan.
            “Awak sudah hilang suara? Bisu?” Adawiyah terperanjat disergah begitu. Pandangan mereka berdua bertaut lagi. Tetapi cepat-cepat Adawiyah melarikan pandangannya. Dia melihat meja bakal majikannya itu. Kemas dan tersusun. Pasti bakal majikannya itu geram dengan sikapnya sendiri.
            “Bagus juga kalau pekerja yang bisu, senang diurus!” kata bakal majikannya. Wajah Adawiyah bertukar kelat.
            “Ya tuan saya boleh menyapu, mengelap tingkat dan memop pun boleh! Tapi saya datang sini kerana nak temuduga jurujual kan, bukan tukang sapu!” kata Adawiyah tegas apabila disergah oleh bakal majikannya itu. Mata Irfan membuntang mendengar jawapan bakal pekerja itu.
            “Bagus! Pandai awak menjawab ya? Balik lewat sehingga pukul 10.00 malam, awak sedia bekerja sehingga selewat itu?” soal Irfan pula. Adawiyah mengangguk lagi. Matanya terkebil-kebil. Jantungnya berdebar-debar. Dia takut jawapannya tidak menepati dengan kehendak lelaki di hadapannya itu. Dia tidak ada pilihan lagi.
            “Boleh... boleh tuan, tapi jangan terlalu malam sangat sebab tidak ada bas masuk ke kampung saya kalau terlalu tengah malam. Saya ni mana ada kenderaan, saya memang tak mampu nak basikal pun!” jawab Adawiyah tanpa teragak-agak. Sebenarnya dia tidak mahu balik ke rumah terlalu lewat. Wajah emaknya terbayang di ruang mata. Sekali lagi lelaki itu terkejut mendengar jawapan Adawiyah. Irfan meneliti pula resume yang diberikan oleh keraninya.
            “Pandai awak cakap ya? Ada saya kisah?” jawab lelaki itu. terkejut Adawiyah.
            “Apa pula pandainya? Saya cakap yang betullah tuan!” balas Adawiyah lagi.
            “Kalau awak tak sedia dengan waktu bekerja 8.00 pagi hingga 7.00 malam, maklumkan kepada saya. Di luar sana ramai penganggur yang ingin bekerja! Dan, saya tak suka orang yang banyak alasan!” tegas bunyinya. Tersentak Adawiyah. Dia cepat-cepat menundukkan pandangannya. Tidak disangkanya lelaki itu begitu tegas sekali. Sudah berkali juga Rafiqah mengingatkannya.
            “Ya tuan, tapi...” Adawiyah terdiam. Dia tidak jadi meneruskan kerjanya.
            “Tapi apa?” pantas bertanya. Wajah Adawiyah masih menjadi renungan tajam lelaki itu.
            “Saya sedia bekerja di sini tuan! Saya bukan beralasan. Saya hanya cakap yang benar, kalau tuan tak percaya sudah! Saya pun tak nak paksa orang yang tak percaya!” kata Adawiyah lagi. Muhammad Irfan ketawa. Dia tahu Adawiyah tidak ada pilihan Iain tetapi dia tahu juga gadis itu terlalu berani memberi jawapan.
            “Baiklah, nanti kerani saya akan beritahu bilakah awak mula kerja. Tapi, gaji awak akan saya beritahu dua minggu kemudian. Kalau tak lulus ujian saya pun awak akan diberitahu selepas tujuh hari awak bekerja di sini,” kata Irfan.
            “Hai, kenapa pula gaji saya diberitahu dua minggu kemudian? Orang lain dulu, sama juga ke?” soal Adawiyah lagi. Dia tidak ada pilihan. Dia mesti tahu berapakah gaji permulaannya. Lelaki itu ketawa.
            “Bukan main awak nak tahu gaji awak ya? Kerja pun belum tentu dapat, berangan nak tahu berapa gaji! Orang lain dulu, dua tiga hari kerja saya dah suruh bungkus barang!” balas lelaki itu pula. Dia juga lelaki yang pantang dicabar. Tersentak Adawiyah dengan jawapan itu.
            “Tak apalah tuan, kalau tak beritahu gaji pun tak apa! Tak bergaji pun tak apa!” jawab Adawiyah mengalah. Dia risau jika dia terus berkeras.
Adawiyah memberanikan diri untuk tersenyum. Lelaki di depannya itu juga sedang tersenyum manis memandangnya. Mereka bertatapan seketika. Berdetap detup dada Adawiyah menerima pandangan memikat majikannya itu. Sudah sah menjadi majikannya. Seperti biasa, Adawiyah yang akan mengalihkan pandangannya ke arah Iain.
            ‘Maafkan saya tuan,’ bisik hati Adawiyah yang tersenyum riang kerana diterima bekerja di sini walaupun dalam tempoh percubaan. Hati Adawiyah girang.
            “Bidang kerja awak kena tanya dengan Marina Chang di luar tu. Awak boleh keluar sekarang,” Pantas Adawiyah mengangkat punggungnya untuk keluar dari bilik majikannya itu.
            “Jadi, saya mula kerja hari ni lah tuan?” soal Adawiyah.
“Awak tak faham bahasa? Saya kata tadi, awak boleh kerja hari ni, faham?” ganasnya suara Muhammad Irfan mengalahkan guruh. Adawiyah menelan air liurnya. Pantas menundukkan wajahnya. Sebenarnya dia malas hendak merayu-rayu dengan lelaki di depannya itu. Mood lelaki itu berubah-ubah. Sekejap baik dan sekejap tak baik! Namun, Adawiyah abaikan sahaja semuanya!
            “Terima kasih tuan, terima kasih banyak-banyak!” kata Adawiyah terkocoh-kocoh keluar. Muhammad Irfan geli hati melihat gelagat Adawiyah yang melucukan hatinya itu. Namun dia tidak tersenyum di hadapan gadis itu. Hmm, kenapa dia boleh kelucuan dengan gelagat gadis itu? Dia sendiri tidak ada jawapannya. Apa yang dia tahu, dia terasa senang berdepan dengan gadis ayu itu.
Muhammad Irfan terus mengangkat telefon untuk memanggil keraninya Marina Chang. Terkocoh-kocoh Marina Chang masuk ke dalam bilik majikannya.
            Adawiyah terus keluar dari pejabat majikannya dan dia terus menghubungi emaknya akan berita gembira yang baru diperolehinya. Dia sendiri pun tidak menyangka akan diterima bekerja secepat ini.