Thursday, September 20, 2012

Novel: Isyarat Cinta



Bab 2

“Awak diterima kerja?” berkelip-kelip mata Marina Chang. Marina Chang bagaikan tidak percaya yang Adawiyah berada di dalam bilik majikan itu hanya sebentar sahaja. Adawiyah mengangguk sambil tersenyum manis.
“Percubaan!”
Marina Chang memandang Adawiyah yang agak kekampungan. Dengan baju kurung kain lesunya, tudung dan seliparnya, memang menampakkan ciri-ciri yang sangat dibenci oleh majikannya yang cerewet. Tetapi gadis kampung di hadapannya semudah itu diterima bekerja di kedai ini? Lama benar Marina Chang berkira-kira sambil memerhatikan Adawiyah.
“Wah, hebatnya awak! Apa ilmu awak pakai? Sekejapnya temuduga!” Marina Chang kehairanan. Adawiyah sendiri ketakutan dengan bakal majikannya.
“Tak adanya ilmu saya!” kata Adawiyah kehairanan dengan sikap Marina Chang.
“Biasanya, bos kita tu akan temuduga berjam-jam lamanya. Banyak betul dia tanya!” kata Marina Chang. Adawiyah mengangkat bahu. Dia tidak mahu komen apa-apa. Mereka pun bersalaman.
“Macam tu? Entah, banyak juga soalan dia! Sampaikan soalan merapu pun ada!” jawab Adawiyah. Hendak terbeliak mata Marina Chang mendengar jawapan selamba Adawiyah.
Adawiyah berkenalan dengan Marina Chang. Marina Chang adalah pekerja paling senior di syarikat itu. Dengan arahan majikan mereka Irfan Irfan, marina Chang memberikan tunjuk ajar kepada Adawiyah bagaimana hendak menjalankan kerja-kerjanya agar berjalan dengan lancar sekali. Adawiyah yang bersemangat baru itu berasa seronok mendapat tunjuk ajar daripada rakan sekerjanya yang lebih kanan.
            “Cik Adawiyah,” panggil Marina Chang yang baru dikenalinya. Walaupun suaranya agak lembut tetapi dia tegas.
            “Panggil Wie pun tak apa. Tak payah bercik-cik dengan saya,” kata adawiyah yang berasa segan dipanggil cik dipangkal namanya.
            “Err, awak kena tunjukkan komitmen kerja awak di sini. Jangan banyak cakap. Bos kita tu agak cerewet. Walaupun dia agak jarang di sini tetapi dia pandai cari peluang memantau pekerjanya! Terutamanya awak pekerja baru!” terkedu Adawiyah mendengar nasihat itu. Buku log tebal berwarna biru dan panjang itu sudah berpindah tangan. Sudah menjadi tanggungjawab Adawiyah untuk melakukan kerja itu setiap hari sehingga habis waktu kerjanya.
            “Err, saya faham. Terima kasih. Saya berjanji yang saya akan bekerja dengan sungguh-sungguh!” kata Adawiyah walaupun dia berasa cuak dengan tingkah laku ketua barunya itu.
            “Jangan hanya pandai berjanji tau!” sekali lagi Adawiyah terkedu. Dia hanya diam dan perlu berasa hormat kepada wakil majikannya itu.
            “Awak bukan setakat mengawal keluar masuk barang di dalam buku log ini tetapi awak juga kena bijak mengambil hati pelanggan yang biasa datang ke sini. Jangan suka-suka letak harga dan beri diskaun. Kena tanya bos kita dulu!” kata Marina Chang lagi. Adawiyah mengangguk lagi. Buku log yang berada di tangan dipandang lagi.
            “Lagi satu, bos kita tu sangat teliti dan tidak suka pekerja dia yang tak berdisiplin! Sudah ramai pekerja perempuan yang dia pecat! Oh sebelum saya lupa, setelah awak sampai, tulis nama dan masa awak tiba di kedai ni,” tambah Marina Chang lagi. Adawiyah mengangguk lagi.
            “Cik Marina,” adawiyah memandang Marina Chang.
            “Just call me Rina,” kata Marina Chang sambil tersenyum.
            “Oh ok. Rina, segala keluar masuk ni nak tulis aje, tak perlu masukkan data ni ke dalam komputer?” Marina Chang ketawa. Adawiyah gugup hendak memulakan kerja pertamanya di kedai telekomunikasi itu. Selama ini dia hanya membantu emaknya menjahit sembat baju kurung.
            “Sebenarnya itulah tugas saya. Mengira stok dan menjaga akaun syarikat ni sebelum balik. Tak apa, awak buat tu aje. Saya akan uruskan yang Iainn,” kata Marina Chang. Adawiyah menarik nafas panjang. Lega rasanya kerana sudah tahu akan bidang tugasnya. Tetapi dia berasa tercabar dengan pandangan majikannya terhadap pekerja baru. Namun dia tetap akan bekerja bersungguh-sungguh.
            “Ok, kedai akan dibuka pada pukul 9.30 pagi setiap hari. Awak kena buka pintu kedai awal setiap hari. Pagi-pagi datang awal kena kemaskan kedai dulu, menyapu dan sebagainya. Kalau ada bos, awak kena buatkan dia kopi panas, kaw-kaw ya! Jangan terlalu manis dan jangan terlalu pahit dan jangan terlalu tawar. Sedang-sedang!” Adawiyah memasang telinganya. Cerewetnya lelaki itu tentang minumannya. Kopi pula tu! Mana dia pernah dia buat kopi. Dia mesti belajar membancuh kopi dari emaknya malam ini. Mesti!
            “Kaw-kaw tu bukan pahit ke?” soal Adawiyah meminta kepastian. Marina Chang ketawa.
            “Ya ya! Kena kaw sikit. Jangan terlalu pahit tau! Nanti bos jeritkan awak pula!” Jawab Marina Chang. Adawiyah semakin gugup dengan pesanan-pesanan itu.
            “Baik Rina, saya akan ingat pesanan awak tu!” kata Adawiyah.
            “Tapi, jangan susah lah, bos kita tu takkan datang ke sini setiap hari, mungkin seminggu tu dua atau tiga kali. Sebab banyak kedai yang kena dia jaga. Malah di seluruh negeri ni dia dah buka cawangan  dia!” adawiyah mengangguk lagi. Dia sungguh setuju kalau majikannya yang agak cerewet itu hanya datang sesekali sahaja.
Dia membayangkan wajah majikannya yang agak tampan. Dia tidak menyangka lelaki semuda dan setampan majikannya itu sudah menempah kejayaan sehebat itu. Dia memang usahawan berjaya. Adawiyah berasa bangga dengan majikannya itu. Dia sendiri pun bercita-cita hendak menjadi usahawan yang berjaya juga. Eh, jauh pula Adawiyah mengelamun!
            “Hebat juga bos kita tu ya!” kata Adawiyah kagum tetapi dia sudah terlepas cakap.
            “Apa?” soal Marina Chang yang kurang jelas. Berkerut keningnya.
            “Tak ada apa-apalah,” kata Adawiyah menidakkan kata-katanya.
            “Ada lagi soalan yang awak nak tanya?” soal Marina Chang. Lamunan Adawiyah terhenti.
            “Err, bos kita tu dah kahwin ke?” soal  Adawiyah malu-malu. Marina Chang sudah ketawa mengekek.
            “Kenapa? Awak minat dia ke?” soal Marina Chang pula. Marina Chang mengenyitkan mata kepada Adawiyah. Adawiyah cepat-cepat menggeleng.
            “Eh, mana ada! Saya tanya saja!” kata Adawiyah yang sudah berasa segan dengan usikan Marina Chang. Darah pekat bagaikan meluru ke mukanya.
            “Jangan susah, awak ada peluang lagi. Dia masih solo trang tang tang tu! Tapi awas, dia cerewet! Teruklah siapa yang jadi isterinya nanti!” kata Marina Chang yang fasih berbahasa Melayu itu. Adawiyah bertambah malu. Dia hendak bekerja, bukan hendak mencari jodoh.
            “Saya tak mahu tahu hal tu!” wajah Adawiyah bertukar kemerahan. Dia berasa dia tidak sepatutnya bertanya soalan begitu.
            “Saya beritahu saja! Teman wanita dia berlambak! Saya tak suka semuanya! Kalau awak, saya setuju!” kata Marina Chang. Geli hati Adawiyah. Takkan lah lelaki moden itu menyukai gadis kampung, apa kata emaknya nanti? Belum kerja dah cari jodoh!
            “Kalau tak ada apa-apa lagi, awak boleh keluar ke bahagian kaunter dan mula layan pelanggan yang bakal datang tak lama lagi,” kata Marina Chang. Adawiyah patuh dengan arahan itu. Dia bersyukur dalam hati. Rafiqah kawan baiknya benar-benar membantu dia mendapatkan kerja di pusat membeli belah ini. Dalam dia sibuk melayan pelanggan, Adawiyah sempat menghantar sms kepada Rafiqah.
Bab 3 


Adawiyah meloncat gembira apabila dia balik ke rumah selepas kerja pada waktu petang. Dia sangat gembira. Apabila balik ke rumah emaknya terus memberikan sampul surat putih dan bercop universiti kepadanya. Dia pasti itulah tawaran memasuki universiti secara jarak jauh seperti yang dipohonnya. Dia bersyukur kerana permohonannya diterima walaupun dia belum mempunyai pengalaman bekerja.
            “His, apa yang gembira sangat tu? Ada orang masuk meminang ke?” soal emaknya. Terkejut Adawiyah. Usinya masih muda tetapi emaknya menyebut yang bukan-bukan pula.
            “Apa ke situ pula emak ni. Orang nak belajar dulu lah bukan nak kahwin. Malaslah mak ni!” kata Adawiyah yang sudah merajuk. Puan Musliah ketawa.
            “Kenapa marah? Mak gurau saja tuu! Kalau betul pun apa salah! Jadi apa beritanya yang menggembirakan tu?” soal Puan Musliah apabila wajah Adawiyah sudah berubah murung.
            “Saya dapat masuk ke universiti lah mak! Saya dapat sambung belajar!” jerit Adawiyah. Bulat mata Puan Musliah.  Terus sahaja Puan Musliah memeluk anak kesayangannya itu.
            “Oh, syukurlah. Syukur alhamdulillah,” kata Puan Musliah yang kemudiannya menghampiri Adawiyah dan memeluknya erat.
            “Mak, kerja saya macam mana? Takkan saya nak berhenti pula,” soal Adawiyah yang baru teringatkan waktu kerjanya yang  panjang. Cutinya pula hanya pada hari Selasa setiap minggu. Sedangkan waktu kuliahnya pula ialah pada hari Sabtu dan Ahad setiap dua minggu.
            “Kalau Adawiyah tak sesuai dengan kerja tu, berhenti saja lah! Manalah majikan Adawiyah nak beri pelepasan macam tu!” kata Puan Musliah. Adawiyah memandang jauh.
            “Mana nak dapat duit nak bayar yuran pengajian?” soal Adawiyah. Emaknya garu kepala.
Apabila teringatkan wajah majikannya, dia menjadi bersemangat hendak bekerja. Dia suka memandang wajah itu lama-lama walaupun majikannya itu selalu serius dan murung di pejabatnya. Malah tidak pernah mempedulikannya. Malah, majikannya itu hanya berborak-borak di telefon dan kawan perempuannya saling berganti setiap minggu. Namun Adawiyah tetap menyimpan perasaan suka hendak memandangnya setiap hari. Kebelakangan ini lelaki itu akan datang setiap hari ke pejabatnya. Maka, hari-hari lah pula Adawiyah membancuhkan kopi kaw-kaw untuk majikannya itu.
            “Entahlah mak, saya tak tahu lagi nak berhenti ke atau tidak. Saya nak tanya bos saya dulu. Saya seronok kerja di situ mak. Esok saya tanya bos saya. Kalau dia bagi kelepasan, saya tak berhenti kerja tapi kalau dia tak bagi, saya berhenti ajelah!” kata Adawiyah membuat keputusan.
            “Hmm, ya lah. Sebaik-baiknya Adawiyah bincang dulu baik-baik dengan majikan tu. Mana tahu hatinya terbuka nak bagi pelepasan,” kata Puan Musliah menasihat. Adawiyah mengangguk.
            “Mak, saya rehat dulu lah mak, penat juga di tempat kerja tu tapi seronok pun ada. Sebab ramai kawan boleh kita jumpa!” kata Adawiyah. Puan Musliah mengangguk.
            “Baguslah kalau Adawiyah gembira di tempat kerja. Mak pun gembira,” kata Puan Musliah. Adawiyah bergerak menuju  ke biliknya.