Thursday, September 27, 2012

Novel: Isyarat Cinta


Bab 8

Adawiyah mengetuk pintu rumahnya. Dia berdoa agar emaknya belum tidur lagi. Dia tahu emaknya pasti akan marah kerana dia balik lewat malam ini. Wajahnya yang kalut dan ketakutan dengan tindakan Irfan dirapikan seketika. Dia tidak mahu emaknya tahu apa yang telah berlaku.
            “Laa, Adawiyah rupanya? Mak ingatkan tak balik! Kenapa balik lambat malam ni?” soal emak yang baru membuka pintu. Dia memegang bersama baju yang sedang dijahitnya. Adawiyah menyalami tangan emaknya.
            “Maafkan saya mak. Saya ada kerja sikit di kedai tadi,” jawab Adawiyah perlahan. Pelbagai perasaan tidak senang membuak di hatinya namun cuba disembunyikannya. Dia tidak mahu berbohong kepada emaknya tetapi dia sangat malu hendak berterus terang. Dia cuba bersikap tenang walaupun dia sendiri masih terkejut dengan lamaran majikannya petang tadi.
            “Tak pernah kau begini lewat balik Wiyah. Lain kali cuba balik awal ya. Bas bukan senang nak masuk sini. Lagipun kau tu anak gadis. Tak baik balik malam. Nanti apa kata orang di sekitar perumahan kita ni,” kata emaknya Puan Musliah yang kelihatan bimbang terhadapnya. Adawiyah mengangguk. Dia memang tidak mahu balik lewat ke rumahnya. Dia pun sangat menjaga perilaku dirinya. Ah, lelaki itu yang suka memaksa-maksanya! Kenapalah dia tidak berkeras tadi. Kalau berkeras, taklah dia dia balik selewat ini! His, nanti kau Irfan!
            “Ya mak, saya masuk ke bilik dulu,” kata Adawiyah meminta diri untuk masuk ke dalam biliknya.
            “Tapi...” langkah Adawiyah terhenti apabila didengarnya emaknya masih bersuara. perlahan dia menoleh ke belakang memandang wajah emaknya. Ada sesuatu yang menyebabkan emaknya tidak puas hati.
            “Err ada apa mak?” soal Adawiyah semakin berdebar. Jantungnya yang hampir tercabut belum reda sakitnya akibat panahan luahan perasaan Muhammad Irfan kini emaknya pula semakin aneh. Menggigil tubuh Adawiyah dengan keraguan emaknya.
            “Siapa yang hantar kau balik tadi? Bas tak ada, dah tengah malam macam ni! Mak tak nak kau malukan mak nak! Mak paling pantang kalau anak mak buat sesuatu yang memalukan mak! Kau tu sudahlah tak ada ayah!” kata emaknya seperti penyiasat. Suara emaknya sudah ditinggikan sedikit. Bergetar jantung Adawiyah. Adawiyah menelan air liur yang terasa kelat. Pandangan mata emaknya juga mengalahkan mata penyiasat. Cepat-cepat dia menundukkan pandangannya. Dia takut kepada kemarahan emaknya.
            “Tuan punya kedai tu mak. Dia yang bagi kerja jadi dia yang hantar tadi. Wiyah tak nak juga nak sambung kerja mak, tapi apa boleh buat, ada kerja sikit! Terpaksalah Wiyah buat!” jawab Adawiyah yang pening memikirkan jawapan kepada soalan emaknya itu. Dalam hati Adawiyah berdoa agar emaknya berhenti dari bertanya yang bukan-bukan. Dia sudah kehabisan jawapan.
            “Biasanya majikan kau tu tak ada di kedainya kan? Pekerja lain mana? Pekerja lain mana?” Adawiyah mengangguk. Emaknya memang tahu pergerakan majikannya. Dia sendiri yang memberitahu emaknya.
            “Ya mak, tapi petang tadi dia datang pula. Datang bawa kerja pula. Tu saya balik lambat. Kerja tu dia nak bawa ke KL esok. Mahu tak mahu dia hantar lah saya. Marina pula dah ke kedainya yang satu lagi,” kata Adawiyah berdoa agar emaknya percaya dengan apa yang telah diberitahunya.
            “Dah makan?” soal emaknya. Adawiyah mengangguk. Dia memegang perutnya.
           “Sudah mak, dah makan tadi. Kenyang betul ni,” jawab Adawiyah. Uh, makan di restoran eksklusif amat memeranjatkan Adawiyah. Seumur hidupnya tidak pernah dia masuk ke dalam restoran semewah itu. Restoran itu pula terletak di dalam sebuah hotel yang memang terkenal. Dia malas mahu mengingati tempat itu. Makin dikenang makin sakit hatinya malah menggigil tubuhnya mengingati ungkapan kata cinta majikannya itu!  
         "Dia bawa makan lagi? Wah, itu masih jadi bos atau kekasih? Jangan-jangan dia ada hati kat kau tak Wiyah?" Ya Allah soalan emaknya memang bisa menggugurkan jantungnya. Apa yang harus dijawabnya?
            "Tak lah... tak lah mak, Wiyah ni pekerja ja. Mana ada layak jadi kawan dia," jawabnya teragak-agak. Mata emak memandangnya dengan pandangan yang tidak dapat ditafsirnya. Pasti emaknya banyak pengalaman menilik perasaan anak gadis seperti dirinya. Takutnya!
             "Jangan kau buat hal dengan bos kau WIyah. Malu mak nanti. Kalau kau tak mahu kerja, kau berhenti saja, janganlah kerja balik sampai tengah malam begini!" kata emaknya. Emaknya seperti dapat membaca apa yang bersarang di hatinya. Ya, Adawiyah akan cari jalan agar dia dapat keluar dari tempatnya bekerja itu. 
              "Ya mak, kalau Wiyah tak selesa, Wiyah akan berhenti nanti. Kalau Wiyah tolong mak menjahit lagi bagus kan mak!" katanya memujuk emaknya. Puan Musliah mengangguk. 
            “Masuklah Wiyah, pergilah rehat. Tak dapat juga Wiyah nak tolong jahitan mak malam ni. Hari pun sudah jauh malam ni,” nasib baik emaknya memberikannya ruang untuk berehat. Memang dia sungguh penat memikirkan majikannya itu. Kerjanya tidak lah sepenat mengingati luahan perasaan majikannya.
            “Wiyah masuk dulu mak. Maafkan saya mak. Memang saya nak balik awal tadi, tapi tiba-tiba bos datang bawa kerja baru! Kasian mak buat kerja sorang-sorang!” kata Adawiyah.
            “Tak apalah nak, tak payah risaukan mak dan jahitan ni! Mak pun tak ambil tempahan lagi!” kata emak. Kata-kata itu melegakan hati Adawiyah.
            “InsyaAllah mak, esok Wiyah balik awal ya,” kata Adawiyah berjanji.

***

            Di dalam bilik Adawiyah menangis semahu-mahunya. Dia takut dengan luahan perasaan majikannya itu. Tidak pernah dia menyangka majikannya yang dikelilingi oleh gadis-gadis cantik itu akan tertarik kepadanya. Memang sungguh mengejutkannya. Mungkinkah lelaki itu hendak memerangkapnya? Dia biasa mendengar orang bandar memperdaya gadis-gadis miskin yang mahu kekayaan segera ke medan pelacuran. na'uzubillah. 
            “Maafkan saya Adawiyah. Saya tak pandai berbahasa. Sebenarnya saya benar-benar sudah jatuh cinta kepada Adawiyah ni,” tambah Muhammad Irfan dengan suara lunak. Kali ini di bawah sinaran lampu yang samar-samar, Adawiyah terasa kelu untuk bersuara.
Dia hanya menundukkan pandangannya. Dia tidak mahu terlalu mempercayai kata-kata majikannya itu. Selama hampir sebulan berada di bawah naungan majikannya ini, majikannya itu sering bertukar-tukar pasangan. Syikin, Miriam, Afifah, Anne dan ramai lagi. Memang dia tahu majikannya itu mempunyai barisan teman wanita yang seksi, cantik dan comel. Pakaian mereka pun bukan calang-calang semuanya. Dia tidak percaya dengan mudahnya kalau lelaki itu tiba-tiba meluahkan rasa cinta terhadap dirinya. Mungkinkah lelaki itu mahu memerangkapnya? Soalan itu berulang lagi di benaknya. Hati Adawiyah pula berteka-teki dalam diam.
            “Jangan diam begini Adawiyah, katakanlah sesuatu agar saya berasa senang hati dan tidur dengan nyenyak malam ni atau Adawiyah masih tak percayakan saya?” soalan itu sekali lagi memerangkap Adawiyah.
            “Err, bukan begitu bos, saya..., saya...” Adawiyah terkaku dalam suasana yang sungguh romantik itu. Adawiyah memang tidak selesa berdua-duaan dengan lelaki itu. Adawiyah berasa betapa dirinya sudah tidak berharga lagi. Lelaki di depannya itu sesuka hati meramas-ramas tangannya dan lengannya. Adawiyah terasa ingin menangis saat itu juga. Namun dia terpaksa menjaga maruah lelaki itu dan maruahnya juga.
            “Adawiyah, Adawiyah dah lupa, panggil saya Irfan saja. Lagi sekali panggil saya bos, saya akan cium awak!” kata-kata itu membuatkan jantung Adawiyah bagaikan terloncat keluar. Bulat matanya memandang lelaki itu. sudahlah dia semakin takut dengan sikap lelaki yang semakin menjadi-jadi itu. Lelaki itu siap mengugut lagi! Geram sungguh dia!
            “Hah!” Adawiyah terkejut dan matanya membulat.
            “Kenapa? Tak percaya?” Irfan tersengih-sengih memandangnya.
            “Jangan buat sesuatu yang tak senonoh di sini bos...er ...er Irfan! Saya ni sudah berdosa besar bos!” kata Adawiyah yang tersasul-sasul. Muhammad Irfan ketawa lagi. Dia tidak peduli dengan orang yang berada di sekelilingnya. Dia suka melihat Adawiyah kelam kabut begitu.
            “Saya tak biasa Irfan, maafkan saya. Lagipun saya ni pekerja, mana layak nak berkawan-kawan dengan bos!” Dalam diam Adawiyah mengutuk majikannya. Sekelip mata juga tangan halusnya sudah berada di dalam genggaman Irfan. Adawiyah tidak dapat menarik tangannya semula. Adawiyah ingin menangis saat itu juga. Wajahnya terasa kalut sekali. Lelaki di depannya itu pula bagaikan tidak memahami perasaannya. Namun terpaksa ditahannya. Beberapa orang pekerja dan pengunjung di situ bagaikan mengenali Irfan. Jadi, Adawiyah harus berlagak selamba di hadapan orang ramai di restoran eksklusif itu.
            “Macam tu lah kalau tak nak kena cium!” kata Muhammad Irfan sambil ketawa kecil. Adawiyah semakin ketakutan dan benci dengan sikap lelaki itu.
            “Lepaskan tangan saya Irfan, tak baik dilihat orang. Kita bukan siapa-siapa. Saya tak biasa begini!” dalam ketakutan Adawiyah masih sempat memberi nasihat kepada Irfan. Muhammad Irfan melepaskan genggamannya. Namun sempat diusapnya tangan mulus itu. Adawiyah menarik nafas lega.
Makanan yang terhidang didepannya belum disentuhnya. Hanya jus mangga sahaja yang disisipnya dua kali. Itupun hampir tidak tertelan di tekaknya. Menu di atas meja itu tidak pernah dilihatnya. Semuanya tidak masuk di dalam selera kampungnya. Kalau sambal belacan dan ikan masin pasti membuka seleranya.
            “Maafkan saya Adawiyah tapi percayalah saya memang sayangkan Adawiyah. Sudikah Adawiyah menerima lamaran saya malam ni?” soal Muhammad Irfan yang begitu bersungguh-sungguh. Lelaki itu memang pandai mengambil hati wanitanya. Namun Adawiyah tetap belum dapat menerimanya.
            Kalaulah lelaki yang sedang mengungkapkan kata-kata penuh cinta dan kasih sayang itu adalah bekas kekasihnya Asyraf, pasti dia akan terus mengangguk. Itulah lelaki yang diharapkan. Kini, Asyraf entah di mana. Namun begitu Irfan tetap juga disenanginya sebagai majikan. Lelaki itu tampan dan selalu kemas dalam penampilannya.
Namun dia tetap tidak berani untuk mengambil keputusan menerima lamaran itu. Dia benar-benar tidak memiliki kekuatan dan kepercayaan untuk menerima cintanya. Tengah hari tadi dia baru sahaja kelaur dengan gadis yang Iain, malam pula dia meluahkan perasaan kepadanya, Adawiyah memang tidak mahu percaya sama sekali! Hidup mati semula pun Adawiyah tidak akan percaya!
            “Maafkan saya Irfan. Saya belum bersedia hendak menerima apa-apapun kata-kata Irfan malam ni. Saya tak bersedia sebenarnya. Irfan carilah gadis lain, bukan saya, saya belum sedia,” kata Adawiyah cuba menyusun kata-kata yang terbaik agar tidak menyakiti hati majikannya. Mungkin kalau orang lain yang menerima luahan cinta ini pasti melonjak gembira namun bukan dia orangnya. Malah, dia semakin takut kalau lelaki itu bertindak yang bukan-bukan terhadapnya.
            “Jangan sebut gadis lain di sini. Saya hanya mahu Adawiyah, bukan gadis lain. Tak apalah saya akan tunggu sampai Adawiyah bersedia. Fikirkanlah selama mana pun. Saya tetap akan tunggu!” kata Irfan kelihatan tulus dan jujur. Sebenarnya dia tidak mahu sabar mendengar persetujuan gadis manisi dan ayu itu. Namun dia tidak boleh memaksa.
            “Saya akan beritahu ibu bapa saya kalau Adawiyah sudah setuju!” sebuah lagi kejutan untuk Adawiyah. Kenapa sampai begitu cepat pula? Adawiyah tersangat takut.
            “Jangan bos err Irfan. Jangan dulu, saya tak sedia lagi ni! saya ni kan masih belajar, saya sedang sambung pelajaran saya!” kata Adawiyah menelan liur. Sekali lagi tangannya sudah di dalam genggaman lelaki itu.
            “Ya, saya akan tunggu Adawiyah sedia,” kata Muhammad Irfan mula bertoleransi dengan Adawiyah. Adawiyah terkedu.
            “Jangan buat begini Irfan. Kita belum ada ikatan yang menghalalkan perbuatan begini,” kata Adawiyah mengingatkan lelaki di depannya itu. Dia bukan hendak tunjuk pandai atau bijak tetapi hanya mengingatkan.
            “Jangan bimbang Adawiyah. Saya akan memecahkan benteng larangan kita. Saya akan menikahi awak tak lama lagi,” bulat mata Adawiyah. Lelaki itu terlalu nekad dan sangat menakutkan diri Adawiyah sendiri. Dia benar-benar resah pula. Dia belum mahu terikat dengan sesiapa lagi. 
          'Baru sahaja tahun lepas dia menamatkan persekolahannya, takkan tahun ini dia mahu bergelar isteri pula? Eh, memang tidak boleh diterima akalnya ni! Kalau akal orang lain dia tak tahulah! Dan, dia hairan pula, apakah yang ada di wajahnya ini sehinggakan lelaki itu terus gila dan jatuh kasih kepadanya? Dia mahu bertanya soalan begitu, hatinya meronta namun ditahannya rontaan soalan itu!'
            “Jangan Irfan! Saya belum sedia lagi! Saya tak sedia nak komitmen apa-apa dengan insan bernama lelaki setakat ni! Irfan tahu kan saya ni masih muda lagi! Saya belum sedia lagi! Tolonglah!” kata Adawiyah memohon ditangguhkan hasrat lelaki itu. Kali ini dia benar-benar memohon agar Irfan mendengar rintihan hatinya itu.
            “Tak apalah, saya boleh sabar selagi awak belum sedia lagi, yang penting awak terima saya sebagai kawan, cinta boleh dipupuk kan?” kata Irfan. ‘Cinta?’ Adawiyah menelan air liur apabila menyebut cinta. Dia memang tidak bersedia untuk menyebut perkataan itu. Cukuplah kasih sayang emaknya sahaja. Kawan sekolahnya pun tidak pernah mendapat layanan istimewa. Lagipun, dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Dia tidak mahu apa yang berlaku kepada emaknya berlaku pula kepada dirinya. Dia bukan mudah percaya kepada lelaki. Setakat berkawan dengan lelaki baik dia tidak akan berbuat demikian. Dia tidak rela diperlakukan seperti emaknya! Tidak rela!
            “Irfan, awak kena fikir dulu sebelum buat apa-apa keputusan. Antara kita banyak perbezaannya. Saya bimbang keluarga awak akan menentang hasrat awak ni!” kata adawiyah. Muhammad Irfan ketawa.
            “Kalau keluarga saya tak menentang, apakah Adawiyah sudi menerima saya?” soal Irfan. Buntang matanya. Soalan itu sekali lagi memerangkapnya. Sungguh Adawiyah tidak ada jawapannya! Serba-salah pun ada. Kenapa sampai kepada ibu bapa? Dia belum menyanggupi permintaan lelaki di depannya itu! Dia belum mahu dilamar!
            “Banyak gadis di luar sana, jangan terburu-buru memilih saya, kita pun baru kenal lagi Irfan!” kata Adawiyah bagaikan seorang kaunselor.
            “Saya tetap akan memilih Adawiyah menjadi suri hidup saya, Adawiyahlah gadis pilihan saya tu!” Adawiyah semakin pening dengan pengakuan lelaki itu. Tidak pernah dia berjumpa dengan lelaki senekad itu. Baru sahaja berjumpa, sudah berani melamarnya. Mungkinkah itu hanya godaan sahaja? Adawiyah semakin berhati-hati terhadap majikannya itu.
            “Berikan saya waktu memikirkannya, jangan paksa saya! Saya akan berikan jawapan kalau saya sudah ada jawapannya!” kata Adawiyah berusaha memujuk lelaki itu. pandangannya ditundukkan.
            “Saya berikan awak masa. Jangan lama sangat ya.” Kata Irfan memberikan syarat sekali lagi. Balik-balik dia juga yang terperangkap.
            “Terima kasih Irfan,” kata Adawiyah. Matanya ditundukkannya ke arah makanannya yang belum berusik. Dia memang sudah hilang selera mendengar paksaan majikannya itu. Tidak semena-mena dia pula yang menjadi mangsa luahan hati lelaki itu. Sungguh di luar dugaan!
            “Terima kasih untuk apa?” soal Irfan. Adawiyah tersipu-sipu. Lelaki itu memang pandai hendak memerangkapnya. Mungkin kerana lelaki itu biasa mempunyai teman wanita.
            “Untuk segalanya malam ni,” kata Adawiyah malu-malu.
            “Kasihmu sudah lama kuterima sayang,” kata Irfan. Sekali lagi Adawiyah terkesima.
            “Err, ayuhlah kita balik, saya dah lewat ni!” kata Adawiyah teragak-agak. Jam di tangannya sudah lebih jam 9.00 malam. Dia sudah bimbang. Dia bimbang emaknya akan keresahan di rumah. Dia tidak pernah selewat begini kalau balik ke rumah.
            “Tapi kita tak boleh balik lagi,” kata Irfan. Mata majikannya menatap kemas ke anak matanya. Adawiyah cepat-cepat menundukkan pandangannya. Jantungnya berusaha keras berdegup dengan kencang.
            “Kenapa pula? Nanti saya lambat pula, kampung saya jauh,” kata Adawiyah semakin cemas. Kali kedua dikerlingnya jamnya. Jam sudah menunjukkan lebih pukul 9.00 malam.  Dia sudah membayangkan rasa bimbang dan curiga emaknya. Aduh, apa yang bakal dijawabnya?
            “Adawiyah sayang kena habiskan makanan ni,” kata Irfan mengenakan syarat lagi. Lelaki ini memang penuh dengan syarat.
            “Ha?” Adawiyah terkejut. ‘Makanan aneh di atas meja itu dihabiskan?’ Adawiyah telan liur lagi. Dia benar-benar tidak dapat menghabiskan makanan asing baginya itu. Tak mungkin!
            “Haa...a..biskan?” Irfan mengangguk.
            “Ya, kena habiskan! Ni makanan saya, untuk saya. Awak punya makanan tolong habiskan ya!” desak majikannya itu. Adawiyah terpaksa menjamah makanan yang agak banyak di dalam pinggan itu.
            “Pakai sapu tangan tu dan letakkan di atas riba!” kata majikannya. Dia menunjukkan cara menggunakan sapu tangan putih itu. Adawiyah mengangguk walaupun tidak biasa dengan keadaan itu.
Mahu tak mahu Adawiyah terpaksa menghabiskan makanan di depannya. Irfan juga terus memakan makanan yang sudah ditempahnya dengan lahap. Memang benar dia lapar.
            Selepas makan, Irfan terus memanggil pekerja di restoran itu. Adawiyah pula hanya bergerak melalui pegangan tangan Irfan  yang menariknya ke mana-mana.
            “Boleh tak saya berkenalan dengan keluarga Adawiyah?” satu kejutan lagi ketika Adawiyah hendak melangkah masuk ke rumahnya. Memang lelaki di sisinya itu penuh dengan kejutan.
            “Tak boleh, mak saya dah tidur. lain kalilah,” kata Adawiyah bagaikan memberikan harapan.
            “Ya Iain kali lah ya,” kata Irfan mengulangi kata-katanya. Adawiyah terus menutup mukanya dengan selimut apabila mengingati lelaki itu mengucup tangannya sekali lagi sebelum dia keluar dari kereta mewah majikannya itu. Adawiyah benar-benar masih lencun dalam debaran kencang. Ya debaran demi debaran. Kejutan demi kejutan. Kalau ada kejutan lagi esok pagi pasti Adawiyah pengsan!
            “Hmm... Wiyah belum tidur lagi?” soal Puan Musliah yang tiba-tiba membuka pintu biliknya. Kenangan bersama Irfan habis hilang serta merta. Malunya! Dia tertangkap oleh emaknya.
            “Mahu tidur dah ni mak!” jawab Adawiyah. Dia terasa pipinya panas sekali. Puan Musliah hanya tersenyum. Dia bagaikan dapat membaca apa yang berlaku kepada anak gadisnya. Namun dia tetap menunggu anak gadisnya itu membuka mulutnya untuk berterus terang.
            “Ya tidurlah!” kata Puan Musliah menutup pintu semula.
            “Ya, selamat malam mak!” kata Adawiyah lantas bangun mematikan suis lampu di biliknya.
            ‘Huh, gara-gara kau lah Irfan Irfan, aku hampir-hampir tertangkap oleh mak!’ Bisik Adawiyah menutup mukanya dengan bantal. Esok dia sudah membuat perancangan sendiri.