Friday, September 28, 2012

Novel: Isyarat Cinta


Bab 9


 Adawiyah bangun luar biasa pagi itu. Seusai solat subuh dia terus bersiap ke tempat kerjanya. Emaknya pula sudah biasa menyediakan sarapan untuknya.
            “Saya gerak dulu mak,” Adawiyah menyalami tangan emaknya dengan penuh syahdu sekali. Dia serba salah sebenarnya. Malah, dia tidak berani hendak berterus terang dengan emaknya mengenai kejadian malam tadi.
            “Awalnya! Jangan balik lambat lagi malam ni Wiyah, bahaya tau!” kata Puan Musliah. Adawiyah hanya mengangguk dalam senyumannya. Adawiyah terus bergerak dengan laju menuju ke stesen bas. Di situ Rafiqah kawan baiknya sudah menunggunya.
            “Ya mak, malam ni saya balik awal, takkan saya balik lewat lagi!” Adawiyah seolah berjanji.
            “Jaga diri nak,” Adawiyah hanya mengangguk.
            Adawiyah melambai tangan ke arah Rafiqah apabila kawan baiknya itu sudah menunggunya seperti biasa.
            “Fiqah, boleh tak kau carikan aku kerja baru?” usul Adawiyah. Bulat mata Adawiyah.
            “Ha? Kerja baru? Mana ada kenalan aku lagi! Bukankah kau sudah selesa dengan majikan kau sekarang ni? Apa masalah kau sekarang?” soal Rafiqah kehairanan dengan sikap Adawiyah. Adawiyah serba salah hendak bercerita dengan kawan baiknya itu. Dia sungguh malu dengan kerenah majikannya itu.
            “Tak ada apa-apalah, aku nak tukar angin!” jawab Adawiyah. Mana mungkin dia memberitahu masalahnya kepada Rafiqah. Pasti kawan baiknya itu akan terkejut kalau dia memberitahu perkara yang sebenar. Rafiqah memandang Adawiyah. Rafiqah kehairanan.
            “Betulkah ni? Kenapa tak tahan ni? Ada apa-apa ni kan?” soal Rafiqah ingin mengorek rahsianya. Adawiyah menggeleng. Wajahnya sudah terasa panas.
            “Tak ada, aku saja je nak cari kerja Iain. Kalau kau tak ada kenalan Iain, tak apalah, aku kerja lagilah tempat kerja aku sekarang!” kata Adawiyah. Namun, Adawiyah sedar Rafiqah tidak senang hati dengan kehendak Adawiyah itu.

***

            Irfan berasa lega kerana gadis intipannya sudah mengetahui akan perasaannya semalam. Dia lega seleganya. Perasaan yang ditanggungnya sekian lama sudah diketahui oleh gadis ayu itu. Semalam dia dapat tidur lena selena-lenanya. Namun dia tidak tahu apa yang akan berlaku esok dan hari-hari seterusnya. Dia berasa curiga tiba-tiba. Entah apa yang berlaku kepada gadis manis itu?
            ‘Mahukah gadis itu menerima dirinya. Entah kenapa dia tiba-tiba jatuh cinta kepada gadis manis itu. mungkinkah ini takdir hidupnya? Berada di kejauhan ini dia tidak sabar hendak balik menemui gadis manis itu. tentu dia sedang mengerjakan tugasnya dengan baik dan berhati-hati. Gadis itu membawa untung kepada kedainya. Sejak dua minggu, keuntungannya dan penjualan di kedainya itu meningkat dengan mendadak. Apakah ia disebabkan gadis itu? mungkin kehadiran gadis itu disenangi oleh para pelanggannya. Dia sendiri cukup menyenangi kehadiran gadis itu! bertemu gadis itu hatinya bagaikan tawar untuk gadis-gadis lain yang selama ini mendampinginya. Tambahan pula, penolakan gadis itu menyebabkan dia semakin ingin menghampirinya. Aduh, dua hari dia tidak menatap wajah  comel itu hatinya cukup merana. Biarlah gadis itu tidak menyayanginya sepertimana cintanya namun dia tetap mendambakan gadis itu!’