Saturday, September 29, 2012

Novel: Isyarat Cinta


Bab 10


Muhammad Irfan bagaikan ayam hilang anak. Dia begitu rindu. Dia ingin menemui gadis yang dirinduinya itu. Apabila ditelefon gadis itu tidak mahu mengangkat panggilannya. Hanya sesekali dia bercakap melalui telefon di kedainya. Apakan daya, dia adalah pengurus besar kepada kedai-kedai yang dimiliki oleh ayahnya. Mahu atau tidak, Irfan yang terpaksa menguruskan semua kedai dan cawangannya di seluruh negara. Malah, ayahnya semakin membesarkan perniagaannya apabila berhasrat membuka cawangan di luar negara. Sejak bertemu dengan Adawiyah, Irfan bagaikan tidak mahu berjauhan dengan gadis manis itu. Dia terasa betapa sepi hidupnya. Mungkinkah gadis itu telah membawa separuh semangatnya?
            “Wie, bos nak cakap tu,” kata Marina Chang. Adawiyah mengangkat keningnya. Kesibukan di bahagian kaunter itu tidak memungkinkan dia melayani panggilan telefon untuknya.
            “Dia nak apa?” soal Adawiyah mengerutkan keningnya seolah-olah tidak memahami hasrat majikannya itu. Sebenarnya dia sendiripun tercari-cari ke mana majikannya menghilang. Sudah dua hari majikannya  tidak datang ke kedainya itu. biasanya pagi-pagi lagi dia melawatnya kedainya ini. namun Adawiyah tetap berasa lega jika lelaki itu tidak datang walaupun matanya tercari-cari kedatangan lelaki itu.
            “Awak tanyalah kat dia, mana saya tahu!” jawab Marina Chang. Perlahan-lahan Adawiyah mengangkat gagang telefon. Marina Chang terus menggantikan tempat Adawiyah. Marina Chang pula menjeling-jeling ke arahnya.
            “Rina, tolong relodkan pelanggan kita ni, saya angkat telefon!” arahnya kepada ketuanya itu.
            “Boleh tak masalah!” kata Marina Chang. Perlahan-lahan Adawiyah mengangkat gagang telefon.
            “Helo,”
            “AssalamuaIaikum sayang, sayang apa khabar?” Ya Allah, malunya Adawiyah dipanggil sayang oleh majikannya itu. Malunya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Meluat pun ada, hendak termuntah pun ada dengan panggilan ‘sayang’ lelaki itu. Namun dia tetap senang menerima pertanyaan khabar itu.
            “Awak nak apa ni? sibuklah di kedai ni! awak ni kacaulah! Kalau rugi saya juga yang kena marah! Ha, awak nak apa? Bencinya awak cakap yang bukan-bukan,” kata Adawiyah membebel geram sambil suaranya seperti berbisik-bisik. Dia bimbang Marina Chang mendengar perbualan mereka. Muhammad Irfan ketawa di hujung talian. Adawiyah semakin geram. Pelanggan tetap terpaksa ditinggalkan buat sementara waktu.
            “Sayang, saya rindu lah kat sayang! Sayang tak rindu kat saya? Esok petang baru saya balik! Lama lagi tu!” Adawiyah meluat dengan pengakuan rindu majikannya itu. Hendak diberitakan tentang rindunya menatap sekeping wajah tampan itu, huh, tidak akan dikeluarkan dari mulutnya. Biar pecah di perutnya jangan di mulutnya. Lagipun dia memang tidak ada perasaan untuk lelaki itu, takkan perasaan boleh dipaksa-paksa? Fikirnya sendiri.
            “Syikin datang pagi tadi, cari bos! Semalam Syikin datang marah-marah cari bos! Semalam Afifah pula datang! Ramainya peminat bos ni! susah kalau orang yang ramai peminat ni!” sengaja dikuatkan suaranya. Dia tidak mahu berbisik-bisik di dalam telefon itu, dia tahu Marina Chang mencuri-curi mendengar perbualan mereka. Muhammad Irfan ketawa lagi di hujung talian.
            “Bos ni ketawa pula! Betullah gf bos datang! Mereka semua rindukan bos,” kata Adawiyah menukar tajuk. Muhammad Irfan masih ketawa. Sebenarnya Muhammad Irfan kecewa dengan sikap Adawiyah.
            “Sapa cakap sayang bohong! Nanti kalau saya datang sana, sayang tahulah apa nasib sayang tahu! Pandai-pandai pula panggil bos ya! Ha, sayang dah banyak hutang tau!” kata Muhammad Irfan yang geram dengan sikap Adawiyah.
            “His, jangan cakap macam tu lah, saya tak suka!” kata Adawiyah. Sakit hatinya dengan sikap majikannya itu. Rasa geli pun ada.
            “Sayang, boleh tak angkat telefon malam ni, nanti malam saya telefon ya,” Sekali lagi Adawiyah terperangkap. Memang lelaki itu suka memaksa!
            “Ya lah, nanti saya sampaikan salam bos kepada kekasih bos tu! Katanya, petang nanti dia datang lagi! Takkan bos tak bagitahu dia yang bos outstation!” jawab Adawiyah. Dia tidak mahu Marina Chang mengatakan sesuatu yang bukan-bukan kepadanya. Muhammad Irfan terus ketawa.
            “Tak payahlah, saya hanya mahu awak sorang sayang! Saya hanya rindukan awak, bukan gadis-gadis tu!” kata Irfan lagi. Sekali lagi Adawiyah terkesima. Dia tidak mampu menjawab pernyataan majikannya itu.
            “His, bos ni ada-ada sajalah! Kalau tak ada apa-apa saya letak telefon dulu bos. Ramai pelanggan di luar tu. Nanti kalau bos rugi, saya juga yang susah!” kata Adawiyah berlawak. Muhammad Irfan terhibur dengan kata-kata Adawiayah.
            “Kalau depan saya, jangan sayang pandai-pandai nak panggil bos ya! Adawiyah saya rinduuu sangat kat Adawiyah ni, jangan pula pura-pura tak dengar ya!” kata Irfan. Adawiyah sudah menggigil dengan kata-kata majikannya.
            “Izinkan saya letak telefon bos,” desak Adawiyah. Dia tidak mahu mendengar kata-kata lelaki itu.
            “Err Adawiyah, ada nombor telefon tak?” soal Muhammad Irfan di hujung talian. Adawiyah serba-salah hendak memberikan nombor telefonnya.
            “Saya tak ada telefon bos, rimas. Saya ni kan orang kampung!” kata Adawiyah memberikan dalihnya. Dia tidak mahu bertelefon dengan lelaki itu. nanti apa pula kata emaknya Puan Musliah.
            “Tak, saya tahu Adawiyah ada telefon. Hari tu saya nampak awak pegang telefon,” kata Muhammad Irfan. Adawiyah tidak tahu hendak beralasan apa lagi.
            “Tak payah lah telefon saya bos. Cukuplah kat kedai ni!! nanti apa pula kata mak saya, tentu dia marah!” jawab Adawiyah pula. Dia memang hendak menjaga hati emaknya. Emak pun menjaga dia dengan baik. Jarang sekali emak menyakiti hatinya. Dan, itulah insan yang paling dia sayang.
            “Tak, saya takkan call awak kalau malam, saya faham,” Muhammad Irfan merayu.
            “Tak apa bos, tak perlu call saya,” jawab Adawiyah lagi. Namun kalau majikannya itu cekap tentu dia akan meminta dengan Marina Chang nombor telefonnya. Hanya Marina Chang yang tahu nombornya.
“Tak apalah kalau macam tu, esok saya akan terus ke kedai, saya rindu ni!” pesan majikannya lagi.
            “Suka hati boslah! Ini kan kedai bos. Maafkan saya bos, assalamuaIaikum bos,” kata Adawiyah meminta diri.
            “Sayang, saya rindukan sayang, waIaikum salam,” kata Irfan meluahkan rasa hatinya sebelum Adawiyah meletak telefon. Adawiyah menarik nafasnya panjang-panjang sebelum berdepan dengan para pelanggan yang mengunjungi kedai telekomunikasi itu. Dia menekan dadanya merasai jantungnya yang berdegup kuat dan dia membetul-betulkan tudungnya sebelum keluar ke kaunter semula. Sulaiman yang sedang memandangnya hanya tersenyum dan menunjukkan isyarat tangannya, peace!
            Adawiyah menjadi tidak keruan dengan kata-kata harapan Muhammad Irfan. Dia memang tidak pernah menerima kata-kata cintanya itu. Malah dia ketakutan dan ketakutan itu menjadi tidak normal pula kepada dirinya. Mahu tidak mahu Adawiyah nekad. Sebelum lelaki itu balik dari Kuala Lumpur petang ini, dia harus melakukan sesuatu. Esok pagi ketika majikannay itu mencari dirinya, dia sudah tidak ada di dalam kedai ini. Itulah rancangannya. Kalau tidak, banyak masalah besar akan timbul selepas ini. Adawiyah memikir-mikir sesuatu.
            “Hai, Wie, Irfan awak tu cakap apa? Memang sahlah budak Cina tu jatuh cinta kat awak!” kata Marina Chang tiba-tiba.
            “Hah! Apa?” Adawiyah terkejut dengan soalan Marina Chang itu.
            “Ha, kan awak sudah mengelamun kan? Awak ingatkan siapa? Irfan ya?” sakat Marina Chang lagi. Adawiyah geleng kepala.
            “Mana ada, malas lah!” adawiyah memuncungkan mulutnya.
            “Kenapa pula malas ni?”
            “Entahlah. Rina, boleh tak kalau aku cuti setengah hari, petang ni?”
            “Cuti? Mintalah dengan kekasih awak tu! Mesti boleh tu!” Balas Marina Chang.
            “Tak nak lah! Bukan kekasih saya tu! Dia majikan saya!” muka Adawiyah semakin masam. Kawan sekerjanya itu seperti sudah dimaklumkan mengenai Irfan dengan dirinya.
            “Hmm, kalau Wie bolehlah! Tapi saya kena telefon bos dulu!” wajah masam Adawiyah bertukar ceria.
            “Rina, terima kasih! Awaklah kawan saya kat sini! Nanti kita jumpa lagi ya. Saya ada hal jalan dulu ya!” kata Adawiyah melonjak gembira. Ketika itu mereka duduk berehat di pantri.
            “Kenapa ni? awak nak ke mana? Awal lagi ni!” soal Marina Chang kehairanan. Kebetulan sudah tiba waktu rehatnya pada petang itu.
            “Saya ada hal!” jawab Adawiyah. Sebenarnya dia tidak ada hal. Dia pun sudah selesa bekerja di kedai ini. ramai pelanggan sudah mengenalinya namun perbuatan majikannya menjadikan dirinya semakin takut. Kenapa dia harus menunggu lama di situ?
            “Hal apa?” Adawiyah angkat bahu.
            “Rahsia!” jawabnya ringkas. Sulaiman pun agak kehairanan memandangnya.
            “Tak boleh kongsi?” Adawiyah menggeleng.
            “Hal apalah tu!” Soal Marina Chang ingin tahu.
            “Ada lah!” jawab Adawiyah. Dia harus segera pergi dari kedai ini.
            “Apa saya nak cakap dengan bos?” Adawiyah angkat bahu.
            “Pandai-pandailah awak nak selamatkan diri!” jawab Adawiyah pula.
            “Oklah kalau macam tu! jalan baik-baik ya!”
            “Terima kasih Rina! Jumpa lagi ya.” kata Adawiyah sambil memeluk Marina Chang.
            “Hmm pandailah awak ni!” kata Marina Chang.
            “Hoi! Kau tak tahu ke sekarang ni waktu kerja! Tolong aku lah!” kata SuIaiman yang muncul tiba-tiba.
            Marina Chang dan Adawiyah ketawa serentak. Adawiyah tetap nekad. Sesuatu harus dilakukan sebelum petang ini!