Thursday, September 20, 2012

Novel: Isyarat Cinta



Bab 4

Hampir terloncat Adawiyah kerana terkejut pada pagi yang mulia ini. Ketika dia masuk dari pintu belakang melalui kunci pendua yang diberikan oleh Marina Chang, majikannya Muhammad Irfan sudah berada di dalam bilik pejabatnya. Dia sedang meneliti sesuatu. Mungkin meneliti akaun syarikatnya. Jam di tangan Adawiyah baru menunjukkan pukul 7.55 pagi.
            ‘Awalnya bos datang! Bukankah bos nak pergi outstation? Kenapa ada di sini?’ bisik hati adawiyah tiba-tiba risau dengan kehadiran majikannya. ‘Kopi kaw-kaw terpaksa disediakan.’
            Adawiyah terkaku seketika. Selama dua minggu dia bertugas, tidak pernah majikannya itu muncul begitu awal. Biasanya pukul 10.00 pagi atau pukul 11.00 pagi adalah waktunya. Namun pagi ini sangat berlainan sekali. Adawiyah teringat yang dia perlu datang awal menggantikan Marina Chang pada pagi ini. Pintu depan kedai pula perlu dibuka seawal jam 8.30 pagi. Dia terkocoh-kocoh hendak membuka pintu depan kedai. Tetapi dalam kesibukannya menuju ke bahagian hadapan kedai, sekali lagi jantungnya bagaikan hendak tercabut dari tangkainya.
Pandangannya bertaut erat dengan majikannya. Majikannya itu menyedari akan kehadirannya di situ. Rentak jantungnya kembali pula berirama tidak sekata. Adawiyah sendiri hairan dengan dirinya sendiri. Tidak pernah dia menjadi seaneh ini.
            “Selamat pagi tuan,” Irfan hanya mengangguk. Kertas di tangannya ditatap sepenuh hati. Wajah itu seperti kegelisahan.
            “Adawiyah, mari sini!” panggil majikannya dari dalam bilik pejabatnya. Kebetulan pintu bilik majikannya tidak tertutup rapat. Ketakutan dan keterkejutan memburu Adawiyah. Entah apa pula kesilapannya kali ini. Perlahan-lahan Adawiyah menapak ke bilik majikannya itu.
            ‘His, apa lagi yang bos nak ni?’ sungutnya dalam hati.
            “Err, Selamat pagi tuan! Tuan  panggil saya?” soal Adawiyah di depan pintu. Mata majikannya yang agak sepet itu melekat di wajahnya. Entah apa yang dipandangnya di wajah Adawiyah. Soalan Adawiyah pula sepi tidak berjawab. Adawiyah pula cepat-cepat menundukkan pandangannya.
            “Duduk sini, jangan panggil aku tuan Iain kali! Kalau panggil lagi, awas kena denda!” kata Muhammad Irfan memberi arahan kepada kerusi yang berada di depan meja lelaki iu. Adawiyah terkejut dengan kata-kata amaran itu namun Adawiyah terpaksa patuh dengan arahan majikannya itu. kepalanya terangguk-angguk.
            “Kena denda? Denda apa?” suara Adawiyah separuh berbisik.
            “Ya, kena denda!” jawab Muhammad Irfan semula. Geram Adawiyah.
            “Saya dah perhatikan kerja awak di sini selama dua minggu ini. Memang cemerlang. Saya suka pekerja yang rajin macam awak,” terasa betapa pijarnya wajah Adawiyah mendengar pujian itu.
            “Terima kasih tuan.. eh, bos. Saya kerja seperti yang diarahkan! Saya makan gaji!” Kata Adawiyah perlahan. Majikannya masih memandangnya dengan pandangan yang memukau. Namun Adawiyah tidak sesekali berani membalas senyuman manis majikannya itu.
            “Saya berikan gaji awak sebanyak RM800.00 dan elaun harian sebanyak RM20.00. Cukup?” kata Muhammad Irfan yang menepati janjinya setelah melihat kerja-kerja harian Adawiyah di kedainya.
            “Err banyak tu tuan!” kata Adawiyah yang agak terkejut dengan gaji yang baru yang bakal diterimanya awal bulan hadapan.
            “Nak minta kurang dari itu? Boleh tak ada masalah! Tapi kerja awak bagus!” Adawiyah cepat-cepat menggeleng.
            “Tak tak nak. Cukuplah gaji saya tu. Terima kasih.” Kata Adawiyah serba salah.
            “Terima kasih untuk apa?” senyuman nakal terlihat di bibir majikannya. Adawiyah ketakutan pula digertak begitu.
            “Err, apa maksud bos?” soal Adawiyah serius sambil menentang mata majikannya. Dia sudah menukar panggilan ‘tuan’ kepada ‘bos’ pula. Senyuman nakal masih bersisa di bibir lelaki majikannya itu.
            “Tak apalah simpan dulu terima kasih awak tu sebagai hutang!” kata majikannya. Senyuman dan pandangannya masih melekat di wajahnya.
            ‘Aduh, senyuman dan pandangan inilah yang membuatkan aku tak boleh tidur malam! Jangan kau senyum macam ni bos! Menggoda dan aku takut tergoda!’ Bisik Adawiyah sendiri.
            “Ada lagi yang awak nak beritahu saya?” soal majikannya itu tiba-tiba. Adawiyah teringat sesuatu. Dia beranggapan ini adalah sesuatu yang baik untuknya.
            “Err bos, kalau saya minta tukar hari saya cuti boleh tak?” tercengang Muhammad Irfan mendengar permintaan Adawiyah.
            “Awak tak mahu cuti?” soal majikannya pula. Adawiyah cepat-cepat menggeleng. Dia tidak mahu majikannya salah faham pula.
            “Kalau tak mahu cuti lagi bagus! Kedai saya lebih untung! Saya lebih gembira!” kata majikannya yang hanya memikirkan keuntungan.
            “Bukan begitu bos.” Adawiyah garu kepalanya yang tidak gatal.
            “Jadi?” sukar Adawiyah hendak menerangkan kedudukannya sekarang. Majikannya menunggu jawapannya.
            “Tukar hari saya cuti. Hari selasa kepada hari Sabtu dan Ahad tetapi dua minggu sekali baru saya cuti. Jadi, dalam sebulan empat hari jugalah saya cuti! Boleh bos?” kata adawiyah menerangkan kepada majikannya. Muhammad Irfan berfikir panjang.
            “Jadi, lama jugalah awak cuti! Mesti saya akan rindukan awak!” terpacul kata-kata rindu di mulut lelaki itu membuatkan jantung Adawiyah berdetap-detup semula. Rasa terkejutnya terlahir di wajahnya. Namun dia beranggapan yang lelaki di depannya itu hanya bergurau sahaja.
            “Saya akan fikirkan kemudian. Setakat ni tak boleh lagi,” kata majikannya.
            “Kalau tak boleh tak apalah bos. Saya berhenti kerjalah bulan depan,” kata Adawiyah sudah mengalah. Ternyata sekali lagi wajah Muhammad Irfan berubah terkejut mendengar Adawiyah meminta hendak berhenti.
            “Takkan nak berhenti pula. Kan saya nak naikkan gaji awak tiga bulan lagi kalau prestasi kerja awak meningkat! Kenapa pula awak nak berhenti?” soal majikannya pula sambil menjongketkan kening.
            “Bukan, bukan macam tu bos. Kalau saya tak dapat cuti tu saya kena berhenti lah sebab cuti tu penting untuk saya,” kata Adawiyah pula. Majikannya masih memandang wajahnya.
            “Kalau awak berhenti sebelum tiga bulan, saya boleh saman awak dan bawa kes awak ke Jabatan Buruh!” bergegar lutut Adawiyah mendengar majikannya akan menyaman dirinya.
            “Jangan buat begitu dengan saya bos! Saya tak bermaksud nak belajar sambil bekerja. Saya masih muda lagi, lagipun saya ni miskin, tak mampu nak bayar saman!” kata Adawiyah berterus terang akhirnya.
            “Tengoklah macam mana nanti! Minggu depan awak jumpa saya semula!” kata majikannya. Adawiyah mengangguk. Dia meminta diri hendak keluar meneruskan kerjanya.
            “Minggu depan?” Adawiyah menggaru kepalanya yang tidak gatal.
            “Ha, ya lah minggu depan! Tak boleh ke jumpa saya macam ni?” soalan majikannya lagi. Adawiyah menggeleng dan mengangguk.
            “Boleh bos, nanti saya datang!” kata Adawiyah memberikan persetujuan.
            “Kalau saya tak ada di sini, cari saya di Restoran Mawar ya,” terbuntang mata Adawiyah. Dia tidak biasa masuk ke mana-mana restoran. Dia lebih buntu kalau disuruh masuk ke dalam restoran.
            “Kenapa? Ada masalah?” Adawiyah menggeleng.
            “So? Jadilah?” Adawiyah terpaksa mengangguk demi kerjayanya.
            Adawiyah ketakutan sekali apabila majikannya itu mengugut hendak mengeluarkan saman dan sekaligus menyuruh dia berjumpa di restoran. Lagilah Adawiyah kalut. Memang tidak patut betul. Namun dalam memikirkan saman, Adawiyah mengambil penyapu di pantri. Dia hendak menyapu bahagian hadapan kedai itu. Dia tidak mahu dikatakan makan gaji buta pula. Kemudian, dia mop lantai pula. Basah bajunya dibasahi peluh yang mengalir di seluruh tubuh.
            ‘Saman pun samanlah! Aku tak mahu kisah dulu. Lagipun kerja aku pun senang. Moga-moga bos akan berikan aku cuti seperti yang aku minta!’ bisik Adawiyah sendirian sambil tekun melakukan kerja-kerjanya. Selepas mengemop lantai, Adawiyah ke pantri semula mengemas bahagian dapur tersebut pula. Dia memanaskan air. Kemudian, dia bergegas membancuh air kopi kaw-kaw untuk majikannya itu.
            ‘His, kenapalah pula kawan-kawan aku tak datang ni! Jam ni bukannya makin awal tapi makin lambat. Tetapi jam ni macam kura-kura pula bergerak! Lambat!’ bisik Adawiyah lagi. Sambil membancuh kopi untuk majikannya Adawiyah membebel dalam hati. Dia sebenarnya tidak selesa berdua-duaan dengan majikannya yang tampan itu di dalam ruang kedai yang agak terhad ini.
            “Ni kopinya ya. Saya letakkan sini,” kata Adawiyah yang sudah meletakkan kopi di sudut hujung meja majikannya itu. Irfan sudah tersenyum dan memandang wajah Adawiyah. Pandangan mereka bersatu. Terasa memanah hati Adawiyah yang agak kelam kabut ketika itu.
            Muhammad Irfan mengambil kopi itu dan meneguknya. Adawiyah pula hanya tegak di situ memerhati.
            “Hmm, sedapnya! Pandai awak buat kopi ya. Lain kali pagi-pagi saya kena datang awal ke sini. Nak rasa kopi awak yang sedap ni! Kalau saya ‘outstation’ nanti, pasti saya rindukan bancuhan kopi awak ni!” kata Muhammad Irfan selamba. Berderau darah Adawiyah. Sudah dua kali lelaki itu memberitahu kerinduannya. Malunya Adawiyah!
            “His, takkan ke situ pula bos ni! Saya keluar dulu ya! Saya nak buka kedai pula!” kata Adawiyah meminta diri.
            “Eh Adawiyah! Ada saya suruh awak keluar?” Adawiyah yang baru melangkah dua langkahan itu terhenti. Dia menoleh semula ke arah majikannya. Pucat wajah Adwiyah memandang majikannya yang sedang memandangnya dengan pandangan tajam.
            “A...ada apa bos?” Adawiyah gementar. Pandangannya bagaikan berpinar mendengar kata-kata majikannya. Majikannya itu sudah bergerak menghampirinya. Bertambah-tambah lagi ketakutan Adawiyah. Entah apa yang akan berlaku kepada dirinya.
            “Saya baru nak puji awak, awak dah pun keluar, awak takut saya?” soal Muhammad Irfan, majikannya yang agak tinggi daripadanya itu itu. Pantas Adawiyah menggeleng. Wajah lelaki putih dan matanya yang agak sepet itu menambahkan seri di wajahnya. Adawiyah memarahi dirinya. Dia sempat mencuri-curi menelek wajah majikannya itu. Eh tak patut betul! Tiba-tiba majikannya itu sudah mencapai tangannya dan menggenggamnya. Adawiyah berasa terkejut dan semakin takut. Dia menarik tangannya namun kekuatannya tidak sepadan dengan tenaga lelaki itu.
            “Err...err...kenapa ni bos?” soal Adawiyah ketakutan semula. Irama jantungnya semakin berlagu rancak. Majikannya itu sudah semakin mendekatinya. Dagunya dinaikkan perlahan. Hendak berkeras, Adawiyah ketakutan.
            “kenapa...kenapa ni bos?” soal Adawiyah terketar-ketar.
            “Awak, saya hanya nak ucapkan terima kasih atas kopi awak tadi! Lagi satu, jangan panggil saya tuan atau bos! Panggil saya Irfan!” kata Muhammad Irfan yang sudah mengucup jemari Adawiyah dengan lembut. Sekali lagi Adawiyah terkejut. Malah dia terasa berdosa dengan perlakuan majikannya itu.
            “Jangan buat saya begini bos! Berdosa ni!” Adawiyah menarik tangannya sekuat hati. Nasib baik tangannya terlepas dari genggaman majikannya itu.
            “Sekali lagi awak panggil saya tuan, saya akan cium awak pula!” kata-kata majikannya itu membuatkan Adawiyah semakin menggigil ketakutan.
            “Jangan, jangan tu...jangan Irfan! Saya tak rela! Berdosa!” kata Adawiyah yang sudah ketakutan. Ayat yang keluar mulutnya pun lintang pukang.
            “Tak...tak... bukan nak takutkan awak. Saya memang nak ucapkan terima kasih,” kata Muhammad Irfan memandangnya dengan tunak dan penuh emosi. Matanya lunak memandang Adawiyah. Adawiyah menundukkan pandangannya dan tubuhnya menggigil ketakutan.
            “Jangan buat saya begini Irfan, tak baik. Saya ni kan pekerja bos, bukan kekasih bos! Kalau ada apa-apa berlaku kepada saya di sini, siapa yang tanggung, saya juga!” kata Adawiyah mengingatkan majikannya itu.
Adawiyah masih waras. Majikannya itu mempunyai senarai teman wanita yang datang ke kedainya ini secara berganti-ganti. Malah, melalui Marina Chang dia mengetahui Afifah adalah gadis pilihan emaknya.
            “Awak belum ada kekasih kan?” soal Muhammad Irfan sambil berbisik di telinganya. Meremang bulu roma Adawiyah. Sungguh terkejut dia.
Akhirnya Adawiyah terlepas keluar dan dia terus mengurut dadanya sebelum membuka kedai tersebut. Namun detak jantungnya masih belum berhenti, berdendang dan berirama semacam sahaja. Suasana pagi yang tenang menakutkannya. Kalau ada apa-apa berlaku kepadanya, dia tidak tahu hendak lari ke mana. Kedai tempatnya bekerja belum dibuka. Pekerja yang lain pun belum datang.
            “Ingat pesanan saya kepada awak tadi tu, kalau depan pekerja Iain, boleh. Tapi kalau tak, tak boleh! Mesti panggil Irfan!” kata lelaki itu sebelum Adawiyah keluar dengan rasa malu yang memuncak. Mukanya sudah kemerah-merahan. Dia kehairanan dengan mood majikannya yang berubah-ubah. Dia semakin ketakutan.
            ‘His, gila mungkin bos aku ni!’ kata hati Adawiyah seperti sudah tidak senang hati dengan apa yang baru berlaku. Namun dalam dia tetap senang menatap wajah tampan lelaki majikannya itu. Dia mahu lebih berhati-hati dengan lelaki itu. Kalaulah emaknya tahu, pasti dia akan dileteri tujuh hari tujuh malam. Dia tahu benar siapa Puan Musliah, kaut berleter!