Monday, September 17, 2012

Novel: Sentuhan Kasih

Bab 7




“Ayah harap Aliff dapat sesuaikan diri di sini. Jangan malu-malu.” Kata ayah memulakan bicara pada petang itu. Ayah, emak dan abang Mazlan sudah mengambil tempat duduk di ruang tamu rumah kami pada petang itu. Aku dan Aliff Safwan terpaksa mengambil tempat duduk bersebelahan, kebetulan hanya itu sofa yang masih kosong. Aku hanya berhasrat bersantai-santai pada petang itu bersama Aliff Safwan setelah para tetamu mulai surut. Tetapi aku tidak menyangka yang semua ahli keluarga sudah berkumpul di ruang tamu itu.
Aliff Safwan hanya mengangguk. Kulihat dia tidak kekok. Dia adalah lelaki yang matang ketika melafazkan nikah dua hari yang lalu. Dua jam yang lalu semua ahli keluarganya sudah kembali ke kampung mereka. Hanya tinggal Aliff Safwan sahaja di rumah ini. Tidak ada adik-beradiknya yang hendak menemaninya di rumah ini. Aliff Safwan pun nampak tenang sahaja walaupun tanpa kehadiran saudara-maranya.
            “Terima kasih ayah. Saya harap semua ahli keluarga boleh menerima saya seadanya. Maklumlah, sebelum ni kita tidak pernah mengenali antara satu sama lain. Hanya arwah nenek, ayah saya yang mengenali ayah dan nenek!” katanya lagi. Aku hanya mendiamkan diri. Aliff Safwan masih memegang erat tanganku menyebabkan aku tidak dapat bergerak ke dapur. Aku terus membayangkan wajah nenek dan tidak dapat menerima cadangannya ini sebenarnya. Berkahwin dengan Aliff Safwan bukan cadangan yang baik. Perlahan, aku sebenarnya hendak ke dapur membancuhkan minuman untuknya.
            “Silakan minum pengantin. Mungkin pengantin ni tak haus, maklumlah pengantin baru!” kata abang Mazlan mengusik. Aku mendiamkan diri. Sedangkan Aliff Safwan sudah tersenyum. Aku tahu pasti mereka akan mengusik kami.
            “Haus juga. Lama tak bercerita dengan buah hati pengarang jantung ni.” Katanya menjawab. Aku letih mendiamkan diri lantas tersenyum manis kepada semua ahli keluarga.
            “Mana ada,” kataku menjeling Aliff Safwan yang masih tersenyum.
            “Aliya, mulai saat ni jangan nak pandai-pandai panggil Aliff ni nama dia sahaja dan berawak-awak dengannya, tak hormat suami macam tu.” kata ayah lagi. Aku tetap mengangguk pula. Aliff Safwan sudah tersenyum. Aku menjeling tajam ke arahnya.
            “Ya dik Aliya. Mesti panggil suami itu dengan panggilan yang disukainya seperti ‘abang’.” Kata Abang Mazlan menambah sambil mengenyitkan matanya kepadaku. Aku mengangguk lagi.
            “Lagi satu, jangan nak pandai-pandai nak tinggikan suara kepada suami, berdosa namanya tu. Liya kena pandai-pandai jaga hati suami. Syurga terletak di bawah kaki suami nak!” kata ayah lagi. Seperti biasa emak lebih suka mendiamkan diri sambil tersenyum. Emak memang macam begitu. Dia juga tidak banyak membantah kata ayah selama aku menjadi anaknya. Aku juga tidak dapat membantah akan kemahuan ayahku. Dia tidak tahu betapa sakitnya hatiku mendengar kata-kata nasihatnya. Dia bagaikan menghantar aku ke sungai neraka yang menyakitkan.
            “Terima kasih ayah. Saya akan cuba menjadi isteri yang baik.” Kataku perlahan tetapi hatiku sakit. Aliff Safwan memandang wajahku penuh makna. Semua mata tertumpu kepada kami berdua. Aliff Safwan kemudiannya meramas-ramas tanganku tanpa malu-malu. Aku berang lagi jadinya. Ingin kutarik tanganku tetapi semua mata yang memandangku menyebabkan aku membiarkan sahaja tindakan Aliff Safwan. Sungguh pandai dia bersandiwara di hadapan keluargaku.
            “Aliya adalah isteri yang baik ayah, mak, abang Lan! Pasti saya tak akan menyesal menikahinya!” kata Aliff Safwan pula. Aku yang menjadi malu dibuatnya. Kata-katanya bagaikan dibuat-buat! Dia masih lagi membelai-belai belakang tanganku. Aku semakin berang dengan sikapnya namun semuanya terpaksa kutahan sahaja.
            “Pandailah awak!” kataku sambil tersenyum. Kopi yang hendak kuhirup kuletakkan semula. Aku masih geram dengan sikap lelaki yang suka berpura-pura di hadapan keluargaku itu.
            “Hmm, Aliff, Aliya ni memang begini. Dia agak manja sikit. Aliff sebagai suami kenalah faham dengan sikap dia. Jangan mudah melatah ya Aliff.” Pesan ayah yang seterusnya. Aliff Safwan tetap mengukirkan senyumannya.
            “Saya faham ayah. Perempuan memang macam tu ayah. Kalau dia tak manja, tak sahlah tu!” Kata Aliff Safwan pula. Aku yang duduk di sebelahnya semakin meluat.
            “Hmm, jangan pula manja yang melebih-lebih Aliff! Tu dah bikin meluat kita! Ha, Aliya, manja tu biar berpada-pada dan jangan melampaui batas. Hati suami kena juga dijaga. Jangan suami saja yang jadi mangsa jaga hati isteri!” kata abang Mazlan panjang lebar. Aku hanya mengangguk.
            ‘Hai, susah macam ni. Banyak benar pesanan penaja!’ bisikku sendirian.
            “InsyaAllah ayah, bang Mazlan, semuanya akan berjalan dengan baik. Jangan susah hati.” Kata Aliff Safwan memberi kesanggupannya memikul tanggungjawab sebagai suamiku. Aku tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Hidup ini benar-benar sukar diduga!
            “Aliff, awak juga kena jaga Aliya sebagaimana ayah menjaganya selama ini. Kalau Aliff sudah tak mahu dengan anak ayah ni, Aliff kembalikan semula kepada kami secara baik-baik ya. Jangan terjadi permusuhan selepas itu. Sebab semua yang berlaku dengan keizinan Allah.” Kata ayah lagi. Kali ini dia menasihati menantu kesayangannya itu. Aku tunduk menghadap lantai. Diam tidak berkutik.
            “Saya berjanji akan menjaga Aliya dengan baik ayah.” Kata Aliff Safwan dengan penuh santun! Betapa seksanya hatiku berada di hadapan ahli keluargaku pada petang itu hanya Tuhan sahaja yang tahu.
            “Aliff, kalau ada apa-apa yang berlaku beritahu kepada nenek. Cucu nenek yang seorang ni memang agak cerewet tapi dia baik orangnya!” kata nenek pula. mataku tajam memandang ke arah nenek. Aku ingin memarahinya sebenarnya tetapi mengenangkan perjanjiannya aku menjadi pasrah.
            “Mesti ok punya nek. Jangan susah hati nek.” Kata aliff Safwan lagi. Dia memandang dan aku terpaksa mengangguk di depan seorang wanita tua seperti nenek.
            “Jangan enggan perintah suami Aliya. Kalau dia suruh sesuatu cepat-cepatlah awak ikut arahannya ya, selagi ia tidak menyalahi prinsip suami isteri.” Kata nenek lagi. Aliff Safwan mendengar dengan sebaiknya pesanan nenek. Aku sesekali merenung lantai.
            “Cuma, Aliff dan Aliya ni ada masalah lah pula lepas ni!” kata ayah dengan suara yang sayu.
            “Apa pula masalahnya ayah?” soal abang Mazlan sebelum sempat ayah menyambung bicaranya. Aku juga terpinga-pinga. Bagiku masalah memang sudah tercipta sejak hari pertama pernikahan kami. Hanya keluargaku sahaja yang tidak menyedarinya.
            “Masalahnya, Aliya duduk di bandaraya tu, Aliff pula duduk di kampung menguruskan perniagaannya. Tak menyusahkan kah tu Aliff?” soal ayah. Abang Mazlan mengangguk faham. Sanak saudara yang mendengar pun lega dengan jawapan ayah.
            “Tak masalah ayah. Aliya duduk dengan abang Mazlan, kalau dia tak selesa, nanti saya akan cari rumah sewa untuknya.”  Kata Aliff Safwan cuba meleraikan masalah.
            “Eh, mana masalah kalau Aliya nak duduk rumah abang pun. Tak apalah Aliff. Awak pun kalau datang boleh duduk rumah abang Lan sekali. Jangan segan-segan. Abang tak izinkan Aliya pindah ke mana-mana. Dia ni bukannya tahu apa-apa kalau pindah rumah sekalipun!” kata abang Mazlan. Ayah mengangguk dengan senyuman yang puas.
            “Tapi, takut pula menyusahkan abang sekeluarga nanti kalau saya selalu datang ke rumah abang. Takut abang tak selesa!” kata Aliff Safwan pula.
            “Eh, mana ada tak selesanya. Takut Aliff dan Aliya yang tak selesa!” kata abang Mazlan pula. Saudara mara yang lain masing-masing tersenyum seperti memahami kedudukan kami. Aliff Safwan juga tersenyum malu. Aku pura-pura tidak mengerti akan perbualan mereka.
            “Baiklah, ayah harap, duduk berjauhan bukan masalah bagi kamu berdua. Aliya kalau dah tak ada hal pada hari Jumaat, turunlah ke kampung jumpa suami. Jangan suami sahaja yang pergi berjumpa dengan Aliya. Kasihan Aliff!” nasihat ayah lagi. Aku mengangguk sahaja. ‘Hmm, rasanya lebih baik aku duduk di rumah daripada mencari bas untuk turun ke kampung berjumpa dengan Aliff Safwan.’ Bisik hati kecilku.
            “Kalau Aliya tak tahu bagaimana nak panggil teksi, nanti abang panggilkan!” kata abang Mazlah pula. aku tersengih sahaja.
            “Ya lah, hari Jumaat petang lepas kerja tu dah boleh turun ke kampung!” kata Kak Maheran pula. Aku masih tersengih. Tidak mahu memberikan sebarang komen.
            “Tak masalah ayah. Semuanya harus dilalui selepas melafazkan lafaz pernikahan semalam!” kata Aliff Safwan berikrar. Aku hanya menikus. Tidak berani menjanjikan apa-apa.
            “Kalau hati dah sama-sama suka, rasanya semua masalah bukan masalah lagi!” kata nenek secara tiba-tiba. Aku terkesima, namun senyumannya menyebabkan aku turut tersenyum manis kepadanya. Mahukah aku menghampakan wanita yang sedang meniti hari-hari tuanya itu?
            “Saya pun setuju nek. Tidak ada masalah lagi antara Aliya dan Aliff!” abang Mazlan menyokong. Aku bertambah geram dengan sikap abang Mazlan. Semua ahli keluarga yang berada di ruang tamu turut mengangguk dengan pendapat nenek. Aku yang dihimpit sendu! Kalaulah semua mereka tahu apa yang berlaku!

***

            Kami beriringan masuk ke dalam bilik. Kemudian, Aliff Safwan duduk di birai katil. Dia memberi isyarat agar aku duduk di sisinya. Aku mengikuti arahannya.
            “Ada sesuatu abang nak cakap sayang,” katanya. Aku terkejut. Tidak pernah aku melihat dia seserius ini. Mukanya kutatap seketika. Memang sah dia sedang serius dengan apa yang bakal diperkatakannya.
            “Ada apa Aliff?” soalku. Aku masih tidak mahu memanggilnya abang seperti yang disarankan oleh ayah dan abang Mazlan.
            “Maafkan abang. Sebenarnya, abang berat nak katakan hal ni. Tapi, bagi abang, Aliya kena tahu juga hal ini.” Aku terpinga-pinga. Tidak faham apa yang berlaku. Apa benda yang cuba disampaikannya ni? Soalku dalam hati. Dadaku sudah berdebar kencang.
            “Sebenarnya Aliya…” dia berhenti. Wajahnya tunduk.
            “Apa awak nak cakap ni Aliff? Cakap cepat!” kataku memaksanya. Tangannya kugoyang beberapa kali.
            “Sebenarnya, pernikahan kita ni kerana nak menebus hutang…” sekali lagi dia terdiam. Dia tidak mampu meneruskan kata-katanya.
            “Hutang sapa?” soalku tidak tahu menahu tentang hutang.
            “Hutang atuk awak dulu!” bagai hendak tercabut jantungku.
            “Jadi kenapa awak setuju?” soalku geram dengan sikapnya.
            “Sebab, keluarga awak dan keluarga abang dah sepakat.” Katanya. Air mataku sudah tumpah.
            “jadi?” soalku bodoh.
            “Jadinya, beginilah kita.”
            “Bagaimana kalau dah ada duit nanti Aliya tebus hutang tu dengan duit Aliya?” soalku bersungguh. Kesal dengan penemuan yang tidak kusangka. Apakah aku menjadi tebusan untuk membayar hutang? memang cukup aku kesal. 
         “Terpulang. Kita memang ada perjanjian kan? Dengan perjanjian tu tak perlulah abang banyak cakap. Aliya pun macam dah faham.” Katanya selamba. Oh, tidak!
        “Jadi selama ni awak ni berpura-pura kan? Demi keputusan keluarga awak?” soalku. Dia mengangguk. Aku kecewa sekali. Sungguh kecewa. Ke mana hendak aku simpan wajahku ini? Nasib baik aku tidak menyerahkan segalanya. Nasib baik juga kami sudah menandatangani sebuah perjanjian. Uh, perhubungan yang tragis! Dalam zaman moden kenapa ada lagi kisah kampungan begini? Mengarut dan gila!
            “Begini Aliya sayang, begini… kita teruskan sahaja hubungan ni selama yang mungkin. Kalau satu masa kita dua-dua dah tak tahan barulah kita surrender, tapi selagi kita tahan, kita bertahan. Jangan kita menyakiti hati nenek-nenek kita!” kata Aliff Safwan. Aku terpaksa mengangguk walaupun sebenarnya waktu itu juga aku ingin menuntut cerai.
Oh Tuhan, kenapa aku yang diduga begini?
“Yang saya kesal, kenapa awak terima cadangan ni tanpa berbincang dengan saya? Sepatutnya kita sudah tahu hal ni sebelum saya nikah! Tak lah susah macam ni!” kataku kesal. Benar-benar kesal.
“Sudah, kita berlakon di depan mereka. Aliya kan di Bandar sana dan abang di kampung. Jadi, tak ada masalah kan?” katanya. Aku mengangguk dalam kemarahan dan kekesalan. Tidak kusangka begini permulaan cerita hidupku.

Selamat Membaca ya!