Monday, September 17, 2012

Novel: Sentuhan Kasih


Ini bab yang ke-8


8


Sudah seminggu perkahwinanku. Aku bersyukur kerana Aliff Safwan menunaikan janjinya kepadaku. Biarpun aku terasa berdosa kerana tidak menunaikan tanggungjawabku namun kami tetap berpegang kepada janji kami. Jadi, dari janji itu tidak timbul masalah lain yang kelak akan berbangkit. Itulah harapanku. Hari itu, Aliff Safwan mundar mandir di dalam bilik kami. Dia sudah mengemaskan tempat tidurnya. Aku pura-pura tidak menyedari akan perbuatannya. Aku sibuk menyolek diriku di depan cermin.
“Aliya, cuti Aliya ada lagi kan?” soal Aliff Safwan. Aku takut dia akan membicarakan soal bulan madu. Aku tidak mahu berbulan madu di mana-mana. Aku lebih suka memerap di rumah menghilangkan kepenatan selepas menguruskan perkahwinan kami.
“Cuti Aliya  hanya lima hari lagi. Dua hari habis lah. Apa hal?” soalku selamba. Lama dia menatap aku namun aku terus menundukkan pandanganku ke lantai apabila aku bertemu pandang dengannya. Aku bimbang aku akan terkena lagi.  Namun, selepas aku kembali ke Kota Kinabalu, hidupku akan normal seperti biasa. Kami akan membawa haluan hidup masing-masing. Itulah yang kuharapkan akan berlaku dalam hidupku ini. Aku tidak mahu terkurung begini. Malah, hubungan kami tidaklah semesra suami isteri yang lain. Hubungan kami aneh namun aku berharap ibu bapa dan ahli keluarga Aliff yang lain tidak akan menghidu keanehan hubungan kami.
“Abang cadang nak bawa Aliya pergi melawat ke rumah keluarga abang dan ke rumah abang err rumah kita,” Katanya ragu-ragu. Aku menjadi bingung apabila dia menyebut rumahnya sendiri. ‘Rumah kita? Bila beli rumah sendiri?’ soalku dalam hati. Mungkin ada sesuatu yang aku tidak tahu mengenai diri lelaki yang sudah menjadi suamiku ini. Suami? Errk! Rasanya macam ganjil lagi!
“Aliff, bukankah hari tu Aliya dah melawat ke kampung awak dengan keluarga Aliya, kenapa nak pergi lagi? Saya tak selesalah kalau balik-balik pergi sana! Saya seganlah, lagipun, saya nak habiskan cuti di sini. Penat lah!” kataku yang pura-pura tidak faham akan hasratnya. Aku  teringat kepada ibu dan adik iparnya. Emaknya menjeling aku pada hari kami bertandang ke rumahnya.
Mungkin emaknya juga tidak suka menjadikan aku menantu. Ini kerana kami adalah pilihan neneknya dan nenekku. Aliff adalah anak lelaki sulung, pastilah emaknya tidak mahu anaknya jatuh ke pangkuan perempuan sembarangan. Kebetulan Aliff ada adik lagi tetapi adiknya masih bersekolah lagi. Ah, kenapa aku? Kenapa aku tidak tahu sejak awal lagi? Ah, kalau aku mempunyai anak lelaki tentu aku juga akan memilih gadis yang sempurna untuk anak lelakiku. Errk, anak? Bila masa aku akan punya anak, kalau terikat dengan perjanjian kami?
“Buat apa nak segan balik rumah mertua! Mertua kan ibu bapa Aliya juga. Tapi, abang cadang nak pergi bawa Aliya tidur rumah abang sekali. Kita duduk sana sehari dua  hari. Tak salahkan? Ibu bapa mertua Aliya pun nak juga tengok menantunya! Buat apa Aliya nak malu!” katanya lagi. Aku mengerutkan dahi. Aku memang malu. Malu semalu-malunya. Aku ni adalah mangsa keadaan!
“Tak boleh lah macam tu. Aliya nak duduk sini lagi sampai cuti Aliya habis. Lagipun ada kerja kursus yang Aliya nak siapkan. Malulah kalau Aliya buat di rumah awak. Macam tak manis pula. Nanti apa pula kata ibu bapa awak,” Kataku menolak. Aliff Safwan memandangku. Aku memohon pengertiannya.
“Tak apalah kalau macam tu. Aliya tinggal dulu di sinilah. Abang sebenarnya ada kerja lagi di kebun abang. Ada panggilan dari pekerja abang semalam, tu yang abang terpaksa balik ke sana! Lagipun tak guna saya bawa sayang ke sana, tak ada juga gunanya. Nak berpandangan pun susah!” Kata Aliff Safwan berterus-terang.  Dia menatapku sayu. Aku terdiam apabila diberikan pilihan seperti itu. Sebenarnya aku lebih suka tinggal di rumah ibu bapaku ini. Aku lebih selesa.
“Ya lah. Aliya tinggal sini. Nanti kalau Aliff dah tak sibuk barulah Aliff datang sini, boleh tak kalau macam tu? Lagipun, bukankah awak dah setuju macam sejak sebelum kita kahwin dulu!” kataku meminta Aliff Safwan mempertimbangkan permintaanku yang satu itu. Aku tersenyum kepadanya. Aliff Safwan mengangguk. Hatiku berbunga gembira andainya Aliff Safwan setuju dengan cadanganku itu. Aku ingin bermanja dengan emak seperti hari-hariku yang lalu.
“Kalau begitu kata awak, saya tak ada bantahan lah. Ada klien nak jumpa abang. Abang  takut kalau abang lambat balik pula!” Katanya pula dengan suara yang sayu. Aku tidak mahu berasa bersalah atas kata-katanya itu.
“Buatlah kerja awak tu baik-baik. Minggu depan saya balik ke KK, awak tak perlu jemput. Nanti abang saya akan jemput saya.” Kataku pula. Terbuntang matanya mendengar permintaanku kali ini.
“Kalau bab-bab menghantar tu, abang tak boleh lepaskannya kepada abang Aliya sayang. Yang tu dah menjadi tanggungjawab abang. Nanti apa kata ibu bapa Aliya. Jangan susah hati, abang akan datang bila tiba waktunya.” Kata Aliff Safwan berjanji. Aku malas mendengar janjinya.
“Terima kasihlah kalau awak masih ingatkan tanggungjawab awak. Tapi…janganlah bersayang-sayang dengan saya! Geli tau!” Kataku selamba. Sebenarnya aku geram.
“Abang sentiasa ingatkan tanggungjawab terhadap isteri kesayangan abang ni! Jaga diri baik-baik ya. Kalau sempat nanti malam abang balik. Kalau tak sempat, abang bermalam di rumah keluarga atau di rumah kita,” katanya sambil mencuit hidungku. Aku tidak sempat mengelak.
Aku kehairanan apabila dia menyebutkan ‘rumah kita’. Dia tidak pernah menyebutkan tentang rumah selama ini. Dia hanya menyebut hendak membeli rumah di tempat aku bekerja nanti. Dia tidak mahu aku menumpang di rumah abangku Mazlan selepas beberapa bulan kami bernikah. Ke  mana pula dia hendak membawa aku? Takkan aku nak pindah kerja pula? Alamak! Tak naklah!
Kami keluar dari bilik dan menuju ke ruang dapur. Emak sudah menyediakan sarapan untuk kami semua. Abang Mazlan pula sudah balik ke rumahnya bersama dengan keluarganya.
“Saya balik ke kampung saya hari ni mak, ayah. Saya balik sendiri. Ada kerja sikit. Aliya biar tinggal di sini dulu lah. Ada kerja katanya,” Kata Aliff Safwan membuka bicara. Hampir terbeliak mataku. Wajah emak dan ayah juga berubah seperti ada yang tidak kena. Aku berasa serba salah pula dibuatnya. Aku hanya memberikan alasan yang aku mempunyai kerja kursus. Walhal kerja kursusku sudah kusiapkan sebelum hari perkahwinanku tempohari. Aduh, macam mana ni?
“Ha! Balik sendiri? Kenapa pula macam tu? Nanti apa pula kata ibu bapa Aliff! His, Aliya, kenapa awak buat macam ni dengan suami awak? Awak ni tak senonoh langsung!” suara emak tegas. Perasaanku menjadi tidak menentu. Ayah juga membuntangkan mata. Aku memijak kaki Aliff Safwan. Aku mengharapkan dia akan memberikan kerjasama yang baik kepadaku.
“Abang ada kerja di kebunnya ayah. Takkan Aliya nak ikut di kebun pula. Biarlah Aliya di sini. Lagipun Aliya ada kerja nak buat ayah. Tempat kerja abang tu bukannya jauh dari sini mak, ayah!” kataku menambah. Marak mata ayah dan emak. Aku tahu ayah dan emak tentu tidak akan setuju dengan cadanganku.
“Ya ayah. Aliya tinggal di sini sementara cutinya pun masih ada. Tak apalah ayah, mak. Saya balik sekejap saja, petang ni baliklah saya semula ke sini! Biarlah Aliya berehat di sini dulu!” Kata Aliff Safwan menyokong. Kami berpandangan seketika. Dia menganggukkan kepalanya sambil tersenyum. Aku mendiamkan diriku. Namun, dalam diam, dadaku bagai dipalu beribu kali.
“Mana boleh macam tu Aliya. Kamu kan baru saja menikah! Sepatutnya isteri yang baik sentiasa di sisi suaminya. Lepas minum ni, cepat-cepat Aliya pegi siapkan pakaian dan ikut bersama-sama dengan Aliff, bukan nak duduk  di sini! Awak bukan tak ada suami. Awak dah ada suami! Takkan masih nak duduk bawah ketiak emak bapa! Lain lah dulu!” panjang lebar hujah ayah. Aku terkedu. Aku memang berniat hendak bermanja-manja dengan emak.
“Tapi ayah…” aku memohon sesuatu kepada ayah. Aku tidak mahu dia membuat keputusan bagi pihak Aliff Safwan.
“Tak ada tapi tapi lagi Aliya. Awak kena ikut suami kau walau di mana sahaja dia pergi! Jangan nak berdegil lagi. Awak pergi kemas pakaian awak, ikut suami kau ke rumahnya.” kata ayah tegas. Suaranya lantang. Kulihat wajah Aliff Safwan ceria. Senyumannya mekar di bibir. Aku bertambah geram.
“Tapi mak…” aku cuba memohon pertimbangan emak agar mengasihaniku. Namun aku tewas. Emak semakin membuntangkan matanya ke arahku. Aliff Safwan hanya tersengih-sengih sendiri. Dia tidak ada komen.
“Aliya tak tengok kampung Aliff? Tak suka? Kenapa macam tu?” soal nenek mencelah. Aku turut terkejut dengan kehadiran nenek. Selalunya dia hanya selesa di  biliknya pada waktu pagi begini.
“Tak apalah kalau Aliya nak tinggal sini ayah, nek. Petang nanti saya balik juga! Lagipun saya ada kerja sikit nak buat di kebun!” kata Aliff Safwan pula masih cuba menyebelahiku. Aku juga memohon pertimbangannya. Namun ibu bapaku sangat keras berkaitan hal kebajikan suami anaknya ini. 
“Dengarlah kata ayah kau tu Aliya. Mak tak boleh biarkan kau di sini, kau dah ada suami nak! Kalau tadi, Aliya masih tak suami, tak apalah. Nanti apa pula kata mertua awak. Tentu tak manis dipandang orang. Pasti kawan-kawan Aliff akan bertanya yang mana satu isterinya Aliff!” kata emak menyokong ayah. Aku terdiam. Tidak ada sesiapa lagi yang menyokong aku. Mee goreng yang sedang kunikmati terasa seperti hablur-hablur yang keras dan tidak mampu kutelan.
“Tak apalah mak, kalau Aliya tak nak ikut. Petang nanti saya boleh balik ke sini. Saya ada hal di kebun. Ada pengusaha dari Korea datang nak jumpa. Kalau sempat saya akan balik ke sini nanti.” Kata Aliff Safwan. Mungkin dia faham hatiku yang sudah memberontak.
“Tak bolehlah macam tu Aliff! Nanti dia akan biasakan diri dia macam tu!” kata ayah lagi.
“Jangan buat macam tu dengan suami Aliya, nenek tak suka! Pergi awak kemaskan pakaian awak tu. Jangan pandai-pandai nak lari dari tanggungjawab!” kata nenek tegas. Malah lebih tegas dari ayah.
“Ya lah mak, nek, ayah. Saya akan berkemas dulu.” Kataku lantas masuk ke dalam bilikku. Wajah emak dan ayah tidak kupandang lagi. Aliff Safwan juga hanya mendiamkan dirinya.
“Ha, macam tu lah Aliya. Tak boleh dinasihat! Dah besar panjang pun masih macam budak kecil!” kata ayah yang geram dengan sikapku. Aku hanya menjeling ayah dengan ekor mataku. Aku geram dengan penolakan ayah!
“Maaflah Aliff. Aliya memang macam tu. Harap-harap Aliff faham dengan gayanya. Pandai-pandailah Aliff nak mendidik dia macam mana. Maklumlah dah jadi isteri Aliff!” Kata ayah lagi. Aliff Safwan hanya menganggukkan kepalanya.
Tiba di bilikku, aku tidak menyiapkan pakaianku. Aku menyembamkan tubuhku di atas katil empuk itu. Aku tertiarap di atas katil kami itu. Tidak lama kemudian, Aliff Safwan masuk ke bilik. Aku cepat-cepat bangun dan duduk di birai katil. Aliff Safwan masih dengan senyumannya kepadaku. Dia menghampiriku. Seperti biasa, tanganku akan menjadi mangsa pegangannya. Aku cuba menarik tanganku namun aku tidak berjaya melepaskannya.
“Apa lagi yang awak mahu ni Aliff? Sudahlah awak menang di depan emak bapa dan nenek saya, sekarang ni pun awak nak ganggu saya lagi! Awak memang sengaja cari pasal!” kataku meluahkan perasaan marahku. Aliff Safwan ketawa dengan apa yang didengarnya.
“Macam tu lah kalau nak jadi isteri yang baik. Aliya kena ikut cakap suami. Tapi abang tak nak memaksa. Kena ikut budi bicara juga. Maklumlah abang ni pekebun miskin. Mana nak setaraf dengan Aliya! Abang faham perasaan Aliya. Abang tak mahu memaksa!” katanya.
‘Huh! Pekebun miskin konon! Perniagaan sampai luar negara tu apa? Malah, lelaki itu terlibat dengan perniagaan yang berasaskan halal di seluruh dunia! Ah, lelaki itu penipu!’ bisikku lagi. Namun, aku malas hendak mencari pasal dengan lelaki ini. Lebih baik aku mendiamkan diri. Memandang wajahnya sudah cukup menyakitkan hatiku.
“Siapa suruh ada hati nak kahwin dengan anak dara orang! Kalau dah sedar diri tu baguslah!” kataku selamba. Aliff Safwan masih tersenyum. Aku hanya memasukkan beberapa helai pakaianku ke dalam beg pakaianku. Malah, sepanjang pernikahan kami belum pernah dia naik darah dengan sikap dan kata-kataku.
“Masukkan pakaian Aliya dalam beg abang ni. Tak payah bawa banyak. Abang dah tempahkan Aliya pakaian untuk bermalam di rumah kita!” katanya mempelawa aku memasukkan pakaianku ke dalam beg Polonya. Aku menggeleng. Malah, aku hampir tidak faham dengan apa yang diucapkannya.
“Tak apalah. Jangan nak membazir wang awak pula! Saya ni masih banyak pakaian lagi! Pakaian untuk bertandang ke rumah mertuapun belum habis tahu! Beg saya pun ada juga untuk menampung pakaian saya semuanya!” Kataku perlahan. Perlahan dia menghampiriku. Dia meraih tanganku. Aku cepat-cepat melarikan tanganku ke belakang. Aku tidak mahu tertipu dengan sikapnya. Namun dia lebih pantas bertindak memeluk dan menarik tanganku. Kemudian, dia mencium belakang tanganku dengan penuh kasih dan penuh perasaan. Aku benci dengan sikap lelaki itu!
“Aliya, abang rindukan Aliya. Abang memang bersyukur dapat menikahi Aliya. Tapi Aliya ni terlalu banyak perjanjian!” Katanya yang sudah memeluk aku selepas dia mendapatkan tanganku. Aku terkedu seketika namun aku tidak berupaya membalas pelukan lelaki itu. Itulah kebiasaan yang sering kulakukan. Aku yang sedang duduk di birai katil agak terkejut dengan tindakannya. Selama seminggu duduk sebilik, dia tidak pernah menyentuhku lagi. Tanganku diramasnya kejap. Leherku tetap menjadi mangsa kucupan hangatnya. Aku duduk membeku. Tidak membalas apa-apa malah aku cuba menolak tubuh kekar lelaki itu.
“Bukankah kita sudah ada perjanjian tu, takkan awak tak ingat Aliff! Lagipun saya ni tebusan untuk hutang atuk saya!” kataku lantas memaksa Aliff Safwan memberhentikan tindakannya dan memandang ke wajahku. Dia tersenyum lantas menyambung aktivitinya.
“Aliya, abang rindukan Aliya. Abang tetap ingat janji-janji kita tapi abang tak mampu nak tahan. Isteri abang ni terlalu cantik dan menawan hati abang tahu tak! Kalau macam ni hari-hari abang tak dapat nak tahan sayang! Berilah abang peluang di hati mu sayang!” katanya berbisik di telingaku. Aku menjadi sakit hati dengan pujuk rayunya.
“Gila! Awak jangan nak jadi gila! Kau ingat saya ni apa? Anak ayam? Kalau nak sangat, pergi cari girlfriend awak tu semula! Kau kahwin pun tak apa! Kita pun akan cerai juga kan!” kataku menolaknya dengan kuat. Dia sempat memegang pinggangku. Pinggangku masih dirangkulnya kemas. Wajahnya berubah kelat. Namun, aku tidak ada waktu hendak memikirkan perasaannya yang terluka. Aku lebih terluka dengan sikapnya yang sudah merobohkan janji-janji kami.
“Aliya, maafkan abang!” katanya sambil melepaskan rangkulannya.
“Tak ada maaf bagimu! Awak dah lupakan janji awak sejak hari pertama lagi! Awak memang penipu Aliff. Saya tak pernah percayakan awak lagi!” kataku berang. Dia tertawa pula. perlahan dia melepaskan pegangan tangannya di tanganku.
“Aliya dah siap semuanya?” soalnya selamba seperti tidak ada apa-apa yang berlaku sebelumnya. Aku memandangnya dengan hati yang geram. Aku tidak bersuara. Aku mengangkat begku dan keluar dari bilik. Dia merampas beg di tanganku. Tangan kami bersentuhan seketika. Aku menjeling tajam ke arahnya. Dia masih ketawa dengan sikapku.
“Mari abang tolong bawakan beg Aliya tu.” Katanya yang sudah mencapai begku dan begnya. Beg Bonia ku dibelek-beleknya. Aku kehairanan melihat tingkahnya yang membingungkan aku. Aku melepaskan tanpa kerelaan. Emak dan ayah sudah berdiri di depan keretanya. Aku tidak tahu apakah jenis keretanya. Bentuknya seperti Harrier tetapi bukan kereta Harrier. Aku pun belum sempat meneliti nama keretanya. Emak begitu bangga melihat jenis kereta menantunya yang kononnya mahal. Ah, entah-entah masih hutang atau pinjam dari ahli keluarganya, siapa tahu. Bisikku perlahan.
“Jangan selalu menyusahkan diri awak tu Aliff. Saya memang tak akan menerima awak di hati saya ni! Saya takkan menerima awak. Jangan nak mimpi!” kataku lagi. Aliff Safwan hanya tersenyum pahit dengan kenyataan yang seharusnya diterima dengan lebih awal lagi. Kami kelihatan mesra apabila keluar dari bilik kami Emak dan ayah hanya memerhatikan tingkah laku kami.
“Pandu kereta baik-baik Aliff.” Kata ayah. Aliff Safwan mengangguk. Tangan ayah dan tangan emak disalaminya.
“Kami tak lama mak, ayah. Mungkin sehari dua hari balik ke sini. Tak lama lagi cuti Aliya dah nak habis!” katanya. Aku mendiamkan diriku. Emak yang berdiri di sisi ayah aku hampiri.
“Mana-mana Alifflah! Dia kan isteri Aliff! Ayah tak kisah. Cuma, ayah minta agar Aliff jaga Aliya baik-baik!” kata ayah. Wajah Aliff Safwan ceria memandang ayah. Aku geram melihatnya. 
“Aliya, tunjukkan sopan santun di depan keluarga mertua nak. Jangan tunjuk sikap tak baik. Ayah dan mak juga yang malu nanti.” Kata emak seperti berbisik. Aku mengangguk sambil menyalami tangan emak dan ayah.
“Ingat pesan mak tu Aliya. Jangan tunjukkan sikap keras kepala awak tu! Ayah tahu sangat perangai Aliya tu!” Kata ayah pula. Aku hanya mengangguk dengan sengihan yang panjang di wajahku. Mungkin Aliff Safwan tidak perasan akan perubahan wajahku namun ia tetap mendatangkan kesan yang panjang di hatiku ini. Perkahwinan yang terpaksa bagiku ini menyebabkan jiwaku amat terseksa. Kalaulah Khairul Nizam masih ada di sisiku, aku tidak akan terseksa begini.
“Oh, Tuhan, bantulah aku menghadapi dugaan ini!” bisikku perlahan.

Selamat Membaca!