Saturday, September 22, 2012

Novel: Sentuhan Kasih

Agak lama juga saya tidak membuat penambahan kepada novel Sentuhan Kasih ini. Semoga terhibur...


10


“Assalamualaikum sayang! Sayang penat ya? Maaflah abang ada kerja sikit tadi. Kasihan sayang terpaksa tinggal sorang-sorang!” tiba-tiba aku terdengar suara berbisik di telingaku. Aduh, rupa-rupanya lelaki itu sudah balik dan duduk di sisiku. Aku menyesal kerana sudah terlena seketika di atas katil yang bertilam empuk ini. Entah bilakah waktunya aku tertidur aku pun kurang pasti. Selepas aku bersolek tadi aku sudah pun menyiapkan diriku untuk keluar bilik.
Tetapi, ya aku tidak sedar bilakah waktunya aku terbaring di atas katil empuk lagi besar ini. Melihat wajah Aliff Safwan yang begitu dekat dengan mukaku, menyebabkan mukaku menjadi panas dan tidak selesa. Aku cuba bangun. Tetapi, Aliff Safwan sudah begitu cepat mencengkam tanganku. Aku tidak suka diperlakukan begitu. Dia lantas mengucup pipiku. Lama dan mengasyikkan.
            “Sudahlah, saya nak bangun! Badan awak busuk! Lagipun saya nak bangun, nak solat!”  kataku menolak dadanya. Dia sudah membongkok sambil mencapai tanganku. Aku sekali lagi terperangkap ketika dia sudah mengetatkan pegangannya di tanganku. Dia lantas mencium belakang tanganku. Aku tidak sempat berbuat apa-apa. Itulah sikapnya yang paling aku tidak suka. Aku geram dengan tingkahnya.  Aku cepat-cepat duduk di birai katil itu. Aku bimbang perbuatannya itu akan bertambah-tambah lagi kalau aku masih berbaring.
            “Takkan cepat nak bangun. Tak selesa?” soalnya lagi. Buntang mataku melihatnya. Nafasku tersekat-sekat sebenarnya. Bibirnya sudah menjalar ke mana-mana. Aku harus berwaspada. Lelaki ini amat berbahaya. Bisik hatiku.
            “Aliff! Bangunlah!” kataku menolak tubuhnya, baru Aliff Safwan tersedar. Aku lantas berdiri dan berlari menghadap ke luar tingkap melihat pemandangan yang cantik. Aku tidak tahu hendak melarikan diri ke mana lagi. Aku tidak biasa dengan suasana di dalam rumah ini. Nasib baik dia masih berperikemanusiaan dan tidak mengganggu blausku sebentar tadi.
            “Abang rindukan sayang. Dah lama sangat abang biarkan sayang buat sesuka hati sewaktu di kampung sayang hari tu. Sayang ni macam berlian di dalam cermin tau, hanya menjadi tontonan, tak tahan abang!” katanya masih berbisik di telingaku.
Dia sudah berdiri di belakang dan memegang tanganku. Tangan kasar itu menggosok-gosok telapak tanganku. Dia menggigit lembut anak telingaku. Aku terasa sesuatu. Aku sudah berjanji untuk tidak akan membalas perbuatannya. Barangkali Aliff Safwan cuba menggodaku dengan kekayaan yang dimilikinya. Tetapi aku masih ingat janjiku kepadanya. Ah, sebenarnya bukankah janji kami itu sudah bertaburan! Aku kebingungan.
            “Sudah! Saya tak suka diperlakukan begini! Apa tujuan awak bawa saya ke mari? Awak nak tunjukkan kekayaan awak kan?” kataku kasar memandang tajam ke arahnya. Tiba-tiba sahaja aku didatangi idea hendak mengenakannya. Dia melepaskan aku. Barangkali dia terkejut dengan suaraku. Dia menggeleng perlahan.
            “Buat apa abang buat macam tu? Abang bekerja demi untuk Aliya. Bukan nak tunjuk kaya! Abang tak bermaksud apa-apa. Err, apa maksud sayang cakap macam ni? Sayang tak suka dengan apa yang sayang ada? Semuanya ni untuk sayang tau!” katanya masih berlembut. Terbuntang matanya memandang aku. Mungkin terkejut dengan suaraku.
            “Awak sebenarnya mahu apa? Selama ni awak menyembunyikan pekerjaan awak dan kedudukan awak, sekarang awak tunjukkan saya akan kekayaan awak! Awak ingat awak boleh beli saya dengan kekayaan awak? Selama ini awak nak beli keluarga saya dengan kekayaan awak, itulah sebabnya mereka bersetuju menikahkan saya dengan awakkan! Apa maksud awak sebenarnya Aliff?” soalku marah. Aku marah yang lelaki itu menikah denganku kerana hutang nenek. Oh, aku sudah menyakiti hati seorang lelaki bernama suami. Aku lupakah atau aku cemburu?
Ada kepedihan mencalar hati. Tambahan lagi dengan janji yang terungkai sejak hari pertama perkahwinan kami. Aliff Safwan ketawa. Lama dan kuat. Tidak ada sesiapa yang mendengarnya di sini. Kami tinggal jauh dari rumah orang lain. Aku semakin geram dengan sikapnya.
            “Sayang, kenapa nak salahkan abang? Selama ini pernah tak sayang pedulikan abang dan tak pernah tanya apa pekerjaan abang? Pernah tak sayang tanya siapa abang? Sayang pun tak pernah nak dengar kalau abang bercerita. Kalau lawat sayang di tempat kerja pun sayang marahkan abang, apatah lagi nak berbincang baik-baik! Sekarang nak salahkan abang pula kerana abang ingin beli sayang dengan kekayaan! Memang abang begini sejak kebun abang dah meningkat maju! Lagipun pagi tadi, abang tidak berniat nak bawa sayang ke sini! Tapi mak, nenek dan ayah sayang yang minta abang bawa sayang ke sini!” kata Aliff Safwan menjelaskan segala-galanya.
Mulutku ternganga. Benar juga katanya. Aku pula yang kesal. Mungkinkah selama ini aku menerimanya kerana terpaksa dan kasihan? Tetapi aku tidak pernah mengasihani lelaki ini. Mungkin aku hanya mengasihani ayah, emak dan nenek yang terkinja-kinja memujuk aku menerima lelaki di depanku ini. Selebihnya memang nasibku yang agak malang mengahwini lelaki ini. Malah aku tidak tahu kalau kedua-dua nenek kami menunangkan kami kerana hutang mereka. Benar aku tidak tahu! Aduh, di manakah hendak kuserahkan nasibku yang malang ini? Ya Allah bantulah aku! Rintihku dalam hati.
            “Sekarang sayang cakap, apa lagi yang sayang nak tahu?” soalnya perlahan. Dia sudah terduduk di birai katil. Getir sungguh nasib yang terpaksa kuhadapi. Aku terdiam. Benarkah aku tidak pernah prihatin dan memberi perhatian kepadanya selama ini? Aku hanya mendengar desas-desus dari emak. Kenapa aku perlu memarahi diri Aliff Safwan pula. Bisikku.
            “Saya tak nak tahu apa-apa. Kalau awak nak cakap, katakan sahaja. Saya mahu mendengarnya. Cuma, saya tak mahu tahu apa-apa!” Kataku perlahan. Aliff Safwan tersenyum memandangku.
            “Baguslah kalau macam tu! Saya ni sebenarnya pengusaha tanaman kelapa sawit di sini dan menanam buah naga yang buahnya berwarna merah untuk dipasarkan ke luar negara. Kebun tu sebenarnya pemberian ayah kerana saya berminat mengusahakannya. Tidak sangka pula kemajuannya meningkat dengan cepat. Saya adalah …” katanya lalu berhenti. Dia mengeluarkan sesuatu dari kocek seluarnya.
            “Ini kad perniagaan saya.” Dia menghulurkan kad itu kepadaku. Kali ini dia sudah menukar panggilan dirinya kepada ‘saya’. Mungkin dia terasa dengan kata-kata sebentar tadi. Aku terasa bersalah namun aku tidak terlalu menuduh dia yang bukan-bukan.
            “Itulah sebabnya saya berulang alik ke Kota Kinabalu dan bertemu dengan peguam saya di sana dan itulah sebabnya saya berpeluang melawat awak. Saya nak mendaftarkan insurans perniagaan yang saya usahakan di samping saya melihat-lihat buah hati saya yang lawa dan jual mahal ni!” katanya lalu mencuit hidungku. Sekali lagi aku tidak sempat mengelak. Tangannya terlalu cepat bertindak. Aku ketap bibir.
            “Kenapa sesiapa pun tak pernah cakap apa-apa kepada saya?” soalku  malu-malu. Sebenarnya semuanya adalah silapku kerana tidak pernah mempedulikan kehadirannya. Aku hanya memikirkan bekas teman lelakiku yang sudah pun mengahwini wanita lain. His, geram.
            “Kerana awak jual mahal dan tak mahu bercakap apa-apa. Mungkin awak marah akan tindakan saya hari tu kan?” soalnya pula. Aku menahan malu.  Aliff Safwan sudah berawak-awak denganku sama seperti bahasa panggilan yang kugunakan kepadanya. Barangkali dia sudah hilang sabar melayani kerenahku. Ah, pedulikanlah! Kami bukannya saling mencintai!
            “Maafkan saya.” Kataku perlahan.
            “Lupakanlah. Mari kita turun ke bawah. Kata Mak Odah kata sejak tadi Aliya tak turun-turun ke bawah. Maknanya sejak tiga jam yang lalu, Aliya tak minum apa-apa. Sayang tunggu abang ya atau sayang masih terkejut? Oh, maafkan abang! Abang tak berniat nak buat sayang macam ni! Tentu sayang tak selesa!” Kata Aliff Safwan pula.
Aku hanya mengangguk. Dia memimpin tanganku dan bersama-sama melangkahkan kaki menuruni tangga. Aku terasa sesuatu ketika dia menggenggam tanganku dengan erat sekali. Dadaku berdebar kencang. Tubuhku pula masih kaku. Pandanganku tertumpu ke lantai marmar di rumah comel itu. Aku hanya menuruti tindakannya. Aku tidak mahu dia berasa malu kalau aku menolak lagi. Tentu Mak Odah dan pekerja di rumah ini sedang  memerhatikan kami. Aduh! Seksanya aku di sini! Ke mana harus aku larikan wajahku ini?