Wednesday, September 26, 2012

Novel: Sentuhan Kasih


11


Kami tiba awal di rumah keluarga mertua pada pagi itu. Aliff Safwan mendesak aku menjenguk ibu bapanya di rumah keluarganya. Aku mulanya enggan. Semua adik-beradik Aliff Safwan masih berada di rumah itu. Setahu aku adik-beradiknya hanya tiga orang. Aku pula yang berasa segan dengan apa yang kulihat di rumah itu. Rumah keluarga Aliff Safwan lebih besar daripada rumah yang dimiliki oleh Aliff Safwan namun bentuknya sahaja yang agak kekampungan. Rumah Aliff Safwan lebih moden dan kontemporari. Aku menyukai rekaannya.
            “Eh, menantu mama dah sampai! Mari masuk Aliya. Mama tak tahu pun Aliya dah balik samalam. Kalau tak tentu papa dan mama datang menjenguk di rumah kamu semalam!” kata Puan Mariam sambil menyambut salamku. Kami berpelukan seketika. Namun aku berasa tidak tenteram dengan perbuatan Puan Mariam sejak kami bersanding minggu lalu. Mungkinkah dia juga tidak mahu aku dinikahkah dengan anak lelakinya.
            “Apa khabar mama?” sapaku perlahan. Aliff Safwan juga turut menyalami tangan Puan Mariam dan Encik Taufik. Gadis manis yang tidak pernah kutemui di rumah itu mengundang pelbagai pertanyaan di hatiku. Gadis itu mengenakan skirt paras lutut dan blaus tanpa lengan. Gadis itu nampak moden. Rambutnya kekuningan mungkin diwarnakan. Dia memandang aku secara curi-curi ketika dia meletakkan makanan di atas meja. Aku pun turut memandangnya secara curi-curi juga. Namun, mulutku kelu, siapalah aku hendak bertanya.
            “Khabar baik Aliya. Maria, mari sini sayang. Salam dengan abang Aliff dan menantu mama yang cantik ni.  Aliya, ni Maria anak saudara mama. Dia nak jumpa dengan Aliff teman lamanya dan Aliya.” Kata Puan Mariam. Maria menjeling aku dengan pandangannya yang tajam. Aku dan Aliff Safwan turut menyalaminya. Dia tersenyum sinis kepadaku. Wajah Aliff Safwan pula berubah kelat.
            “Mama, apa yang mama nak buat ni? Aliff hairan mama buat Aliya macam ni!” soalan Aliff Safwan menyebabkan aku terkejut. Namun aku memang tidak mahu mengerti apa-apa ketika itu. Aku hanya berteka-teki sendiri. Setahu aku, Aliff memang tidak mempunyai adik perempuan yang dewasa begini.
            “Aliff, kenapa marah-marah ni? Tak baik macam ni. Aliff kan pengantin baru. Segan dengan isteri kamu tu! Mari ikut ayah keluar! Kita borak-borak di luar.” kata Encik Taufik kepada anak sulungnya itu. Aliff Safwan sudah mengikuti haluan ayahnya. Aliff Safwan sempat memandang ke arahku. Aku hanya tersenyum pahit.
Entah apa yang bergolak antara mereka aku tidak mahu tahu. Tetapi, dalam hatiku turut merasakan ada sesuatu yang sedang berlaku. Namun, aku tidak mahu terlalu banyak menduga. Biarlah aku mendiamkan diri sahaja.
            “Maria, inilah menantu mama. Cantikkan,” Kata Puan Mariam. Aku memaniskan wajahku. Maria masih tersenyum sinis kepadaku.
            “Tentulah cantik auntie tapi agak kekampungan sikit! Tak macam Maria ni. Tak layak langsung berganding dengan Aliff! Gadis kampung!” kata Maria tanpa berselindung.
            “Saya memang gadis kampung! Saya pun rasa tak layak tapi apa boleh buat, abang Aliff dah pun sah untuk saya sebagai suami!” jawabku tidak mahu kalah.
Aku terasa dengan kata-katanya. Siapakah gadis ini sebenarnya? Soalku dalam diam. Kenapa Aliff Safwan memarahi emaknya sebentar tadi, apakah berkaitan dengan Maria? Soalku dalam hati.
“Eh, jangan terasalah dengan kata-kata Maria tu! Maria tu memang begitu. Dulu Maria ni memang tunang Aliff!” Puan Mariam berterus-terang. Alangkah sakitnya hatiku namun kutahan sakitnya.
“Hmm, awak jangan tak tahu! Saya datang ni nak balik dengan Aliff awak tu! Bolehkan?” jawab Maria pula. Aku terkedu. Apa yang hendak kujawab. Kalau dia hendak semula bekas tunangnya ini, aku tak ada masalah pula. Bimbang pula ahli keluargaku yang mendapat malu. Takkan Aliya cerai selepas kahwin lima hari! Kecoh nanti satu kampung! Sempat aku berfikir. Tak apalah, aku masih boleh sabar. Nanti balik ke rumah, aku akan bincang baik-baik dengan Aliff Safwan. Dia harus membuat pilihan. Aku atau Maria!
            “Aliya, inilah kawan baik Aliff sejak di bangku sekolah hingga ke universiti. Mama ni dah kenal hati budi Maria ni. Hati budi Aliya mama tak tahu lagilah!” Kata Puan Mariam menikam sukma. Aku sempat memberikan senyuman yang manis ke arahnya. Namun, dia tetap memandangku bagaikan sebelah mata. Kami sempat bersalaman.
            “Aliya, awak pergilah ke ruang tamu dahulu, biarlah mama dan Maria saja yang duduk di dapur ni. Maria ni memang gadis yang cekap di dapur. Maria ni gadis yang periang dan pandai memasak! Itu yang mama suka dengan Maria! Kalau menantu mama ni mama tak tahu lagi! Mungkin Aliya lebih pandai memasak daripada mama kan!” kata Puan Mariam. Wajahku sudah kelat dan tebal berinci-inci rasanya. Aku terdiam menjeruk hati. Apa pula tujuan Puan Mariam memerli aku begitu. Bukankah aku adalah menantunya? Kenapa dia cuba memburukkan aku di depan anak saudaranya Maria.  Soalku sendiri.
            “Oh, ya, saya masuk dulu mama. Kalau mama perlukan bantuan, saya akan membantu.” Kataku lagi. Kali ini dia sudah tersenyum manis.
            “Tak apalah Aliya. Dengan adanya Maria, mama tak ada masalah lah! Maria ni memang cekap buat kerja. Ingatkan dulu, Aliff tu nak kahwin dengan Maria. Kot-kot orang lain yang dinikahinya! Mama pun hairan dengan citarasa Aliff yang agak kekampungan.” kata Puan Mariam. Aku tidak bersedia hendak tahu apa-apa cerita, aku hanya mengangguk. Senyumanku mati di hujung kata-kata Puan Mariam.
            “Saya pun tak faham kenapa Aliff mengambil saya sebagai isterinya mama. Saya betul-betul tak faham. Tambahan pula kalau mama sudah ada calon untuknya. Alangkah baiknya kalau Maria yang jadi menantu mama,” Kataku perlahan. aku tidak tergugat dengan cabarannya kerana aku tahu di mana kedudukanku. Aku masih berpeluang untuk keluar dari kemelut perkahwinan kami kalau Aliff sudah ada calon yang lain.
            “Itulah mama tak faham dengan ayah Aliff tu. Cepat sangat menerima kata-kata mak dia. Mama memang tak senang hati! Kalau tidak pasti Maria yang menjadi anak menantu mama kan!” kata Puan Mariam lagi tanpa berselindung. Aku yang menjadi tidak senang hati dengan sikap terus-terangnya.  Maria hanya tersenyum terhadap Puan Mariam. Aku menjadi geram seketika dengan sikap mereka.
            “Tak apalah mama, mungkin hari ni hari dia. Mana tahu esok-esok ada pula hari Maria!” kata Maria dengan senyuman sinis. Aku tidak menyangka keadaan ini yang akan kutemui. Ketika keluargaku membuat lawatan balas ke rumah keluarga Aliff Safwan tidak pula aku mengetahui kisah yang sebenarnya. Kenapa Aliff Safwan masih berkeras menikahi aku? Bukankah mamanya mempunyai calon menantu yang lebih hebat? Malah, sudah tentu mereka saling mencintai! Tetapi kenapa aku yang langsung tidak pernah melayani kerenahnya yang dipilih oleh lelaki itu?
Aku nanar dengan keadaan yang baru kuterima ini. Memang selama ini Puan Mariam hanya menunjukkan mukanya yang manis-manis sahaja semenjak anaknya bertunang denganku lagi. Namun, aku tidak pernah menziarahi ibu bapa Aliff Safwan sebelum kami diijabkabulkan. Mungkin di sinilah silapnya aku.
            ‘Ah, lagi cepat Aliff Safwan bermasalah, lagi cepat aku akan dilepaskan! Tidak perlu menunggu surat perjanjian kami! Malah, masing-masing punya alasan untuk memendekkan jodoh di antara kami! Bagusnya!’ Bisikku sendiri.
            “Err Aliya, dah kahwin ni macam mana? Siapa yang ikut siapa selepas ni? Takkan seorang di hulu dan seorang di hilir! Kalau macam tu baik tak payah kahwin!” soalan Puan Mariam terlalu sarat hendak kujawab. Malah, aku tidak ada jawapan yang terbaik untuk soalan itu. Memang Aliff Safwan sudah meminta aku berhenti kerja namun aku juga ada komitmen lain di pejabat tempatku bekerja.
            “Belum tahu lagi mama! Aliya tak mahu pindah ke kampung ni. Sesak nafas Aliya!” kataku perlahan tetapi pasti menusuk tajam ke ulu hati ibu mertuaku itu. Terbuntang mata Puan Mariam dengan jawapanku. Mungkin dia pun berasa gembira dengan sikapku yang tidak mengendahkan anaknya.
            “Eloklah kalau seorang di bandar dan seorang di kampung ni! Makan minum anak mama siapa yang nak jaga? Takkan lengkap dengan orang gaji sahaja! Apa gunanya ada isteri?” kata Puan Mariam lagi. Aku memang tidak senang hati dengan kata-kata Puan mariam ini.
            “Tak tahu lagilah mama. Kami belum bincang lagi. Nanti kalau kami dah bincang baru Aliya bagitahu mama!” Kataku perlahan. Wajahku kelat sejak tadi. Puan Mariam dan Maria asyik mengenakan aku. Aku tidak tahan dibuatnya.
            “Bincanglah awal-awal ni. Aliff tu mampu! Takkan ada masalah baru nak bincang! Itu tak bijak namanya!” kata Puan Mariam memberikan pendapatnya. Pendapat Puan Mariam itu ada benarnya. Tetapi bagaimana aku hendak berbincang dengan Aliff Safwan kalau di pihakku memang tidak ada sekelumit perasaan untuknya. Oh, tidak mungkin akan ada perbincangan mengenai hal itu. 
            “Tak apalah auntie kalau mereka tak mahu nak bincang. Buat apa auntie nak sibuk-sibuk pula! Biarlah mereka dengan hal mereka!” kata Maria pula menunjukkan timbang rasanya. Puan Mariam mengangguk setuju. Aku hanya mendiamkan diri.
            “Saya ke depan dulu mama.” Kataku. Puan Mariam dan Maria menghantar aku dengan jelingan tajam. Aku tidak menyangka kalau penerimaan mereka tidak kujangka.
            “Nak mengadu dengan Aliff lah tu!” sempat lagi Maria mengejek aku. Aku menundukkan wajahku.
Lantas aku keluar ke ruang tamu yang serba indah dan besar itu. Aku menemui Aliff Safwan yang sedang berbual-bual dengan ayahnya, Tuan Taufik.
            “Kenapa ni Aliya macam tak selesa? Apa yang mama cakap kat Aliya?” soal Aliff mendapatkan aku. Aku mengangkat bahu sambil memandang ke arah peti televisyen.
            “A’ah, ada apa Aliya? Tiba-tiba sahaja dah hilang senyuman. Sejak tadi, bukan main senyuman manis!” kata Tuan Taufik pula. Aku menggeleng.
            “Tak ada apa-apa papa. Saya biasa-biasa sahaja!” jawabku perlahan. Namun, Aliff Safwan sudah tidak senang duduk memerhatikan keadaanku. Aliff Safwan meramas-ramas tanganku. Mungkin dia boleh membaca perasaanku dengan wajahku yang kelat dan masam. Aku tahu Aliff cuba menghantar rasa tenang ke jiwaku. Namun aku memang tidak boleh tenang lagi!
            “Papa, kebetulan saya ada kerja di pejabat lagi, kami balik dululah papa.” Kata Aliff Safwan kepada ayahnya. Aku turut menyalami bapa mertuaku. Aliff Safwan membawa aku ke dapur.
            “Mama, Maria, kami balik dulu ya,”
            “Eh, cepatnya nak balik! Mama belum masak lagi nak,” kata Puan Mariam cuba memujuk anak lelakinya.
            “Tak apalah mak, saya ada kerja sikit mama, Maria.” Kata Aliff Safwan. Aku turut menyalami kedua-dua wanita itu walaupun fikiranku kacau dan perasaan marahku menggila kepada mereka.