Monday, September 17, 2012

Novel: Sentuhan Kasih

Ini bab 9 yang sempat diaplodkan. Terima kasih kerana sudi membacanya, jangan ciplak tau nanti tak berkat  ilmu dan rezeki yang kita perolehi. 

Bab 9



Aliff Safwan sudah membukakan pintu kereta untukku. Aku pura-pura tersipu malu jadinya. Apatah lagi apabila diperhatikan oleh ayah dan emak. Aku sebenarnya marah dengan apa yang baru berlaku. Kereta Aliff Safwan meluncur dengan laju. Aku tidak banyak cerita ketika berada di dalam perut kereta lelaki itu.
“Aliya, nanti kalau sampai kampung abang, abang tak mahu Aliya panggil nama bila bercakap dengan abang. Panggil abang ya. Kalau hanya dengan abang seorang, bolehlah panggil nama abang dan berawak-awak dengan abang. Mungkin Aliya memang tak selesa lagi hidup dengan abang! Tapi dengan keluarga abang, tolong gunakan panggilan ‘abang’ ketika bercakap dengan abang ya.” Kata Aliff Safwan memberikan arahan. Aku mendiamkan diri. Pura-pura menutup mata. Padahal setiap saat pun aku tidak dapat tidur apabila berada di sisi seorang lelaki bernama suami ini. Aku benci dengan permintaannya yang satu itu!
“Aliya… Liya dengar tak sayang?” soalnya semula. Aku pura-pura mengangguk.
“Saya malaslah dengan awak ni! Sayanglah, itulah inilah! Banyak sangat permintaan awak terhadap saya! Saya tahulah nak menjaga tatasusila di depan keluarga awak nanti. Kalau awak tak puas hati, awak ceraikan saya!” terkejut sekali Aliff Safwan mendengar kata-kataku. Berubah wajahnya. Aku tidak mahu memahami perasaannya.
“Terima kasih sayang. Baguslah kalau sayang memahami tatasusila terhadap suami. Tak payahlah abang ajarkan! Abang ingatkan sayang sudah tidur tadi.” Katanya perlahan. Tangan kananku sudah diramasnya perlahan. Aku tidak sempat hendak menarik tanganku. Huh, lelaki ini memang tidak ada perasaan!
“Aliya nak tinggal kat rumah keluarga abang atau nak tengok rumah kita dulu?” soalnya. Aku terpinga-pinga. Aku benar-benar tidak tahu kalau dia ada rumah sendiri.
“Entah. Ikut suka awaklah! Saya tak tahu apa-apa tentang awak! Kita hanya lima hari berkenalan. Malah, saya tak sempat nak tanya apa-apa tentang awak! So, jangan salahkan saya!” kataku perlahan. Aku tidak pernah mempedulikan tentang kehidupannya selama ini. Dia ketawa lagi. Mungkin dia menganggap yang aku bergurau dengannya. Namun, aku tidak bergurau. Aku benar-benar tidak mengenali lelaki itu.
Bertunang selama enam bulan, aku tidak pernah memberi ruang kepada diriku untuk lebih mengenali lelaki di sisiku ini. Ah, silapku juga yang tidak mampu menerima lelaki itu. Pilihan keluarga membataskan aku hendak memilih. Akhirnya, aku terpaksa menerima keputusan berkahwin dengan lelaki itu.
“Tak apalah kalau macam tu. Aliya sudah tahu rumah ayah dan ibu abang kan. Kalau ada masa baru kita melawat ayah dan ibu abang. Hari ni abang nak bawa Aliya pergi ke rumah kita lah. Takut Aliya nak berehat atau siapkan kerja. Di dalam bilik kita ada abang sediakan ‘laptop’ untuk kegunaan Aliya nanti.” katanya perlahan. Aku menutup mataku semula. Aku berasa tidak selesa apabila dia masih meramas-ramas tanganku. Aku cepat-cepat menarik tanganku namun dia lebih cepat bertindak mengejap pegangannya di tanganku. Aku terpaksa bertahan sahaja tanpa memandang wajahnya. Namun, ada sesuatu yang terhantar ketika dia memegang tanganku kali ini namun aku menafikan perasaanku sendiri. Sehingga sampai di kawasan kampungnya aku masih tidak membuka mataku.
“Sayang, keluarlah. Kita sudah sampai,” katanya perlahan sambil menepuk-nepuk bahuku. Aku membuka mataku perlahan-lahan. Aku terpandang sebuah banglo dua tingkat di tengah-tengah kawasan hutan ini. Ada beberapa buah rumah di sekelilingnya namun rumah-rumah itu tidak sebesar rumah di depanku kini. Rumah siapakah itu? Di sekelilingnya penuh dengan tanah yang sudah ditanami tumbuhan, entah tumbuhan apa yang diusahakannya aku tidak pasti.
“Masuklah, inilah rumah kita,” katanya membimbing tanganku masuk ke dalam rumah itu. Aku mulanya mengeraskan tanganku. Seorang perempuan sebaya emak sudah berada di depan pintu dan tersenyum kepadaku. Namun, perempuan itu bukan ibu Aliff Safwan. Aku kehairanan. Ketika hari persandingan kami di kampung sebelah Aliff Safwan, aku tidak bertemu dengan perempuan itu. Siapakah dia?
            “Ini rumah siapa Aliff?” kataku kehairanan. Mataku masih terpisat-pisat melihat rumah banglo yang agak besar dan agak comel di depanku itu.  Setahu aku rumah Aliff hanya sebuah teres dua tingkat namun telahanku silap. Silap juga aku kerana tidak pernah bertanya kepada emak atau adik iparku. Aku tidak pernah pergi ke rumah ini. Aku terasa asing. Aku hanya tahu rumah keluarga Aliff Safwan. Aliff juga yang menyediakan rumah ibu bapanya itu sebelum hari perkahwinan kami tempohari. 
            “Inilah rumah Aliya. Aliya buatlah macam rumah Aliya sendiri. Abang ada kerja sikit ni. Kawan abang dah tunggu lama tu. Abang nak ke pejabat kejap. Nanti dua jam lagi abang balik. Abang akan hubungi Aliya kalau abang lambat balik. Abang nak jumpa seseorang! Penting! Cuti abang terpaksa disingkatkan gara-gara urusan ini! Maafkan abang ya Aliya!” Katanya sambil memandang aku. Aku keliru.     
“Awak kerja di mana sebenarnya Aliff? Maaf saya nak tahu?” soalku perlahan. Aku malu sendiri kerana tidak pernah mempedulikan siapa calon suamiku yang sebenarnya. Dia hanya tersenyum.
            “Itulah selama ni tak nak tahu tentang abang. Pejabat abang dekat-dekat kampung ni. Abang nak lawat pekerja-pekerja abang. Dah seminggu tak jenguk mereka. Tak tahu apa yang berlaku kepada syarikat abang.” katanya. Aku semakin keliru dengan informasi yang kuperolehi selama ini. Malah aku hampir tidak mempercayai kata-kata suamiku sendiri. Emak sendiri pernah bercerita yang Aliff bekerja makan gaji di sebuah sekolah sebagai pengawal keselamatan.
            “Ulang, awak ada pejabat? Ada pekerja? Awak bukan pekerja?” soalku inginkan kepastian. Selama ini aku kabur-kabur dengan pekerjaan lelaki di sebelahku itu. Kudengar dia ketawa.
            “Awak dengar apa? Pejabat? Ya, abang ada pejabat dan ada pekerja. Abang ada syarikat sendiri. Abang pun pekerja juga, abang pun makan gaji dengan syarikat sendiri,” aku terpaku dan hampir hilang percaya. Aku kerutkan dahi.
            “Awak bukan pengawal keselamatan di sekolah?” perlahan aku bertanya. Dia ketawa lebih kuat dari tadi.
            “Kenapa awak ketawa?” aku tidak puas hati.
            “Siapa cakap macam tu?” soalnya pula sambil menekan-nekan perut. Geramnya aku melihat gayanya mahu saja aku mencubit tangannya. Namun aku sedar aku tidak harus mengganggu konsentrasi pemanduannya.
            “Mak!” jawabku jujur.
            “Dulu abang memang kerja macam tu! Pejabat tu ayah yang punya. Dia suruh abang yang jaga kebun dan pejabat sekali. Abang memang tolong-tolong ayahlah. Malas nak kerja dengan mana-mana syarikat lain kecuali syarikat sendiri,” jawabnya panjang lebar.
            “Oklah kalau macam tu, saya nak tahu!” jawabku. Nampaknya aku yang malu sendiri. Dia sudah memberhentikan kereta di hadapan sebuah rumah banglo yang agak comel. Aku suka dengan rekaannya walaupun baru pertama kali memandangnya. Dengan kehairanan aku turun juga. Dia mempersilakan aku turun dengan isyarat tangannya.
            “Sayang, ini pembantu kita Mak Odah. Tanyalah apa-apa kepadanya. Kalau nak minum minta Mak Odah buatkan ya. Buatlah rumah ni macam Aliya sendiri. Memang rumah Aliya pun!” Katanya lagi. Aku dipimpinnya keluar dari keretanya. Badanku masih lemah akibat beberapa jam di dalam kereta. Tanpa ada pilihan lain, aku mengikut sahaja pimpingan tangannya.
            “Err, Mak Odah, ini isteri saya, Aliya.” Katanya memperkenalkan aku kepada pembantu rumah. Mak Odah tersenyum kepadaku. Aku terus menyalami wanita yang hampir seusia dengan emakku itu. 
            “Puan, Selamat Datang. Inilah permaisuri Aliff ya! Hmm, cantik orangnya!” Kata Mak Odah. Aku hanya mengangguk dan tersenyum malu. Seketika pandangan kami bertaut. Mak Odah menyambut beg yang disuakan oleh Aliff Safwan.
            “Memang cantik isteri saya ni Mak Odah,” kata Aliff Safwan. Mukaku berubah rona. Entah bagaimana aku hendak menutup rasa malu yang menebal di wajahku.
            “Patutlah Aliff ni terkejar-kejar kat puan ni ya, rupanya puan kita ni cantik orangnya!” kata Mak Odah lagi. Aliff Safwan tersipu-sipu mendengar kata-kata Mak Odah. Mukaku pula terasa panasnya. Entah apa yang wanita separuh tua ini tahu tentang diriku. Aku turut berasa malu.
            “Abang pergi dulu ya sayang. Nanti kita keluar melawat ayah di kampung sebelah.” Katanya sambil mengucup dahiku. Aku masih terkesima dengan apa yang berlaku sebenarnya. Mak Odah hanya tersenyum-senyum kambing memerhatikan perlakuan Aliff kepada aku.
            “Aliff memang penyayang orangnya puan,” ucap Mak Odah setelah Aliff Safwan meninggalkan kami.
Kereta Harrier itu bergerak laju membelah kampung. Mak Odah rupanya sudah masuk ke dalam rumah. Aku membuka kasut dan melangkahkan kakiku memasuki ruang rumah yang agak besar dan terbina elok itu.
            “Puan, mari saya tunjukkan bilik puan.” Kata Mak Odah yang sudah mengangkat begku dan beg Aliff Safwan. Aku hanya menuruti langkahnya. Kami menaiki tangga bersalut mar-mar berwarna merah hati itu. Begitu halus tataannya. Kami tiba di sebuah bilik yang masih berkunci. Mak Odah mengeluarkan kunci bilik itu dan membuka pintu.
Wah! Sebuah bilik yang dihias bagaikan bilik pengantin, malah mengalahkan bilik pengantin di rumahku. Mungkin besarnya dua kali ganda. Malunya aku. Entah kenapa aku harus malu. Malu kerana lelaki itu mempunyai sesuatu yang aku tidak tahu sebenarnya. Katil yang bersaiz ‘King’ siap bercadar baldu berwarna merah hati dan berbunga mawar putih dan merah jambu kegemaranku. Ah, Aliff Safwan memang tahu kegemaranku.
            “Mak Odah, janganlah panggil saya puan. Aliya rimaslah. Panggil Aliya saja.” Kataku yang sudah berasa malu dengan rasa hormat yang tinggi kepadaku.
            “Memang puan di rumah ini. Ya, nak, nanti Mak Odah panggil Aliya saja ya. Tapi macam tak selesalah pula. Lagipun tuan suruh panggil puan, nanti apa kata Tuan Aliff! Tak baik pula melawan cakap tuan!” Kata Mak Odah. Aku tersengih mengangguk.
            “Oh, dia pesan macam tu, tak apalah Mak Odah. Saya pun tak berani nak mengubah apa-apa!” jawabku. Aku bersedia hendak melawat bilik atas pula.
            “Puan, inilah bilik puan dengan tuan. Harap puan akan selesa di sini. Kalau ada apa-apa panggil Mak Odah ya,” kata Mak Odah. Bulat mataku memandang sekitar bilik yang sangat besar itu. Dua kali ganda dengan bilikku di kampung. Aku bagaikan termalu sendiri dengan rekaan bilik yang disediakannya. Sungguh elok dan mempesonakan aku. Hiasan di bilikku di kampung terlalu sederhana jika dibandingkan dengan bilik yang disediakan sendiri oleh Aliff Safwan ini. Perasaanku bergoncang hebat melihat hiasan di bilik Aliff Safwan ini. Rupanya dia mempunyai citarasa yang tersendiri.
            “Mak Odah, siapa yang siapkan bilik ni? Cantiknya bilik ni! Mak Odah yang siapkan ya?” soalku ingin tahu. Kagumku melihat bilik itu.
            “Puan tak tahu ya? His, masakan isteri tuan tak tahu! Tuan Aliff tu pandai mengemas rumah! Hari tu ada juga ahli keluarganya datang sini tengok-tengok rumah ni! Dia tak nak cakap dengan puan lah tu agaknya!” kata Mak Odah seperti memerli aku. Aku menggelengkan. Masih kehairanan dengan apa yang baru kulihat.
            “Tuan tu  sebenarnya upah pakar yang kebetulan kenalannya untuk menghias bilik ini puan. Semuanya khas untuk puan. Itu almari pakaian untuk puan dan di sebelahnya almari pakaian tuan. Nanti saya kemaskan pakaian puan di almari tu ya. Lihatlah almari pakaian puan. Dulu, kebetulan…” Mak Odah tidak jadi meneruskan kata-katanya. Aku kehairanan sekali lagi.
            “Kebetulan apa mak Odah?” soalku ingin tahu. Mata Mak Odah kupandang tajam. Rasa penatku hilang apabila Mak Odah tidak menghabiskan ayatnya. ‘Ah, kenapa aku terlalu sensitif dengan Aliff Safwan, sedangkan secara terang-terangan aku belum menjalankan tugasku sebagai isteri kepadanya.’ Bisikku perlahan.
            “Kebetulan…er…er… kebetulan, dia nak kahwin dengan satu perempuan tu, tapi tak jadi. Tapi, takkan puan tak tahu?” soal Mak Odah. Aku menggeleng. Memang aku tidak tahu apa-apa tentang Aliff Safwan. Benarkah dia juga sepertiku, masih mengingati kekasih lama walaupun sudah berkahwin?
            “Siapa dia Mak Odah?” aku ingin tahu pula. Malah, aku berasa cemburu pula. Layakkah aku cemburu kalau aku dikahwinkan dengan lelaki itu kerana hendak membayar hutang-piutang nenek yang dulu! Segannya.
            “Entah lah pula puan, tiba-tiba perempuan tu memutuskan pertunangan, saya pun tak pernah jumpa puan, err, nanti tanyalah dengan tuan ya puan,” jawab Mak Odah tergagap-gagap pula. Mungkin dia sudah tersalah cakap. Aku pula teringin benar hendak mengetahui kisah Aliff Safwan.
            “Tapi, kisah tu dah lama puan. Mungkin dalam tiga empat tahun yang lalu,” aku angguk pula. Mungkin masa itu aku belum mengenalinya.
Aku sedar yang diriku hanyalah pengganti kepada bakal isteri Aliff Safwan yang tidak jadi dikahwininya. Terbuntang mataku mendengar berita yang baru kudengar. Tetapi semestinya aku tidak hairan kerana sewaktu masih bujang, Aliff Safwan terkenal dengan sikap ‘playboy’nya. Info itu kuperolehi dari sepupuku yang amat mengenali dan menyenanginya. Kebetulan sepupuku sekampung dengannya. ‘Ah, pasti Lina mengetahui tentang kisahnya. Kenapa sejak dulu aku tidak bertanya kepada Lina?’ Soalku dalam hati. Terbayang wajah Zalina yang semakin tembam wajahnya. Dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki.
            “Jadi, tu yang dia siapkan semua barang-barangnya di sini?” soalku pedih. Sebenarnya aku sudah tidak berminat hendak mengetahui semuanya. Jiwaku bagaikan terluka. Ah, layakkah aku terluka kalau aku tidak mencintai lelaki itu?
            “Eh tak! Semua barang-barang di rumah ni Aliya yang punya, bukan bekas tunangnya tu! Namun, semua barang di dalam bilik inipun sudah ditukarnya apabila dia sah hendak mengahwini puan. Puan jangan susah hati. Tuan amat menyayangi puan. Katanya bakal isterinya seorang wanita yang cantik dan sempurna. Sejak bertunang dengan puan, tuan selalu ceria! Niaga dia pun makin maju!” Kata Mak Odah. Aku kehairanan dengan kata-kata Mak Odah. Benarkah kata-kata itu keluar dari mulut Aliff Safwan atau mulut Mak Odah sendiri?
            “Macam mana Mak Odah tahu?” mak Odah sudah tersenyum simpul dengan soalanku. Aku pula yang menjadi bertambah malu dengan soalan yang tidak sepatutnya kutanyakan kepada wanita tua itu.
            “Mak Odah ni orang tua nak. Mak Odah tahu. Mak Odah faham dengan tuan tu.” Jawab Mak Odah pula. Aku hanya mengangguk dan tersenyum nipis kepada Mak Odah.
Aku bergerak ke almari kayu di sudut katil itu. Aku membuka almari pakaian yang kononnya dikhaskan untukku. Penuh dengan pakaian yang pelbagai jenis. Aku tiba-tiba menjadi cemburu. Cemburu kepada bekas tunang Aliff Safwan yang tidak jadi dikahwininya. Siapakah perempuan itu? Adakah pilihan ibu bapanya?
            “Pakaian siapa ni Mak Odah?” soalku, masih terkejut melihat pakaian perempuan pelbagai fesyen berada di dalam almari kayu itu. Cemburuku terus membuak-buak.  Malah, kurasakan moodku hendak menjelajah keseluruhan banglo comel ini mati dengan sendirinya. Malah, aku mula membenci Aliff Safwan! Selama ini pun aku memang tidak menyenanginya. Dia muncul secara tiba-tiba dalam hidupku!
            “Ini pakaian puan. Tuan sudah menempahnya sebelum hari pernikahan puan dan tuan. Semuanya khas untuk puan.” Aku kekaguman semula. Tidak menyangka Aliff Safwan menyediakan segala-galanya untukku. ‘Kasihkah dia kepadaku?’ Bisikku. Ah, adakah dia hendak mengambil hatiku? Soalku lagi. Aku takkan menyerah dengan sebegitu mudah. Bisikku nakal.
            “Betulkah ni Mak Odah? Macam tak percaya pula. Bila masa dia shopping belikan semua ni?” soalku seperti tidak percaya. Semua koleksi pakaian itu kubelek perlahan-lahan. Semuanya masih baru.
            “Mungkin Tuan Aliff nak memberi kejutan kepada puan! Puan kan isteri kesayangan dia!” kata Mak Odah sambil tersenyum manis. Aku mengangkat bahu tanda tidak tahu. Aku sedar selama ini aku tidak pernah mempedulikan dirinya. aku selalu memberi pelbagai alasan jika dia hendak berjumpa denganku.
            “Ini kamar mandinya puan.” Kata Mak Odah menunjukkan bahagian kamar mandi di dalam bilik itu. Begitu wangi dan lengkap dengan peralatan mandi dan sebuah tab mandi yang dilengkapkan di bilik yang sangat besar buat kami berdua sahaja. Mak Odah banyak memerhatikan rasa kagumku terhadap bilikku bersama dengan Aliff Safwan. Kadang-kadang timbul ketakutan di dalam hatiku. Apakah aku akan duduk di rumah yang sangat besar seperti banglo ini hanya berdua dengannya? Malah, bilik yang disediakan oleh Aliff Safwan mengalahkan bilik Suite di hotal lima bintang!
Aduh, aku sangat bimbang dan takut sekali! Takut sesuatu terjadi kepadaku. Aku belum bersedia menjadi isterinya yang sebenar. Aku hanya bersedia menjadi kawannya dari jauh dan bukan sebagai isterinya. Aduh, bagaimana harus kuterangkan kepada Aliff Safwan. Bukankah surat perjanjian kami sudah menerangkan segala-galanya tetapi kenapa Aliff Safwan seperti tidak mengerti!
            “Mak Odah, siapa lagi yang tinggal di rumah ni? Ahli keluarganya ada tak?” soalku ingin tahu. Banyak perkara yang ingin kuketahui mengenai Aliff Safwan yang tiba-tiba menjadi misteri di dalam pengetahuanku ini.
            “Err, tuan, pemandu, tukang kebun dan Mak Odah serta puan lah! Tuan Taufik dan Puan Mariam di rumah mereka di kampung sebelah. Anak-anak yang lain dah kerja dan mempunyai rumah masing-masing! Nanti ada masa berkenalanlah dengan keluarganya. Keluarga dia ni orang baik-baik belaka!” kata Mak Odah yang sudah mengenali ahli keluarga Aliff Safwan. Oh, kenapa aku tidak tahu! Betapa keluarga Aliff Safwan bukan calang-calang orangnya! Kenapa emak dan ayah tidak pernah memberitahu aku!
            “Semuanya pekerja tinggal di sini Mak Odah?” soalku. Mak Odah hanya mengangguk.
            “Kenapa puan macam ketakutan melihat bilik ni? Puan belum kenal dengan tuan Aliff Safwan ya? Jangan bimbang, Tuan Aliff baik orangnya, bertimbang rasa pula!” soal Mak Odah. Sibuknya perempuan ni, bisikku perlahan. Aku hendak menggeleng atau mengangguk, aku berasa sungguh serba salah. Akhirnya aku mendiamkan diri.
            “Saya, err, tak apa-apa Mak Odah.” Kataku menutup semua kebimbangan yang melanda hati. Kulihat wajah Mak Odah berubah. Aku pasti dia tahu aku merahsiakan sesuatu. Mungkinkah dia sudah tahu kedudukan kami sebagai suami isteri? Mungkinkah Aliff Safwan sudah menceritakan semuanya? Soalku dalam hati. Aku tiba-tiba berasa tidak selesa apatah hendak berpandangan dengan Mak Odah.
            “Puan mesti penat kan? Kalau puan ingin berehat, Mak Odah akan hantarkan air untuk puan. Tentu puan masih letih,” kata Mak Odah cuba memadamkan kebuntuanku. Aku termangu sendiri.
            “Tak apalah Mak Odah. Jangan susah-susah. Saya akan turun sebentar lagi. Saya nak tukar pakaian sebentar.” Kataku kepada Mak Odah.
Sebenarnya aku masih ingin menenangkan sebuah rasa terkejut yang melanda hatiku ini. Memang aku terkejut besar dengan penampilan Aliff Safwan yang sederhana. Aku tidak tahu pun yang dia sudah memiliki rumah banglo yang secantik ini. Malah, aku tidak menyangka pun kehidupannya sehebat begini. Aku menyangka dia hanya seorang lelaki dari kampung yang bekerja sendiri. Namun, penampilannya jauh dari anggapanku selama ini.
            “Puan, saya turun dulu. Saya sediakan minuman dan makanan tengah hari untuk puan. Saya tak tahu puan datang  tadi, tuan pun tak beritahu nak datang!” Kata Mak Odah. Aku mengangguk lagi. Aku mengerti kedatanganku tidak diundang.
            “Tak apa Mak Odah. Saya belum lapar lagi. Sediakan minuman sahaja! Lepas tu Mak Odah bolehlah berehat!” kataku kepada Mak Odah. Aku menghantar pemergiannya dengan senyuman. Namun dalam hatiku masih libang libu.
            “Baiklah puan. Mak Odah turun dulu.” kata Mak Odah lantas menutup pintu bilikku. Kunci pintu bilik itu diletakkannya di atas meja berdekatan dengan sofa di bilik kami itu. Aku benar-benar masih terkejut dengan keadaan bilik Aliff Safwan ini. Aku tidak menyangka yang Aliff Safwan bukannya pengawal keselamatan seperti yang diwar-warkan kepadaku sebelum ini. Mungkinkah emak sudah tahu siapa sebenarnya Aliff Safwan? Bisikku.
Kenapa emak dan ayah atau abang Mazlan tidak pernah memberitahu aku? Bukankah dulu aku melihat di belakang rumah Pak cik Siddiq iaitu abang kepada emak, pak cik memberitahu rumah Aliff Safwan di belakang rumahnya? Namun, banglo Aliff ini terletak jauh dari rumah pak cik Siddiq. Aku hanya melihat rumah buruk yang berwarna coklat dan bukannya rumah banglo ini? Adakah aku tersalah pandang? Soalku sendiri.
            Aku cuba-cuba duduk di atas katil besar itu. Ya Allah, tubuhku terbenam ke dalamnya. Tilam itu lengkap pula dengan selimut tebal dan di atas kepala katil itu lengkap dengan bunga-bungaan seperti di sebuah pelamin. Di tepi katil itu pula terdapat sejambangan bunga mawar merah jambu yang masih segar lagi. Aku menciumnya. Wangi dan segar! Aku tiba-tiba berasa bahagia selepas menghidu bau wangi dari bunga mawar tersebut.
            Aku cepat-cepat bangun. Takut-takut kalau Aliff Safwan tiba-tiba sahaja balik dan terus memasuki bilik ini. Aku bimbang sekali kalau-kalau perbuatanku akan disedarinya. Tetapi apa yang lebih mengejutkan aku apabila gambar sewaktu dia mengucup keningku sewaktu majlis pernikahan kami berada di dinding di atas kepalaku. Gambar itu begitu besar sekali. Begitu cepat dia melakukan segalanya. Aku tersenyum melihatnya. Wajahku yang malu-malu. Aku sebenarnya bukan malu tetapi tidak rela dengan pernikahan itu. Aduhai Aliff Safwan. Kalaulah dia tahu akan apa yang bersarang di hatiku pada waktu itu!
            Aku masuk ke kamar mandi. Aku ingin berendam di kolah yang disediakan tetapi aku malu sekali. Malu kalau-kalau Aliff Safwan tiba-tiba sahaja balik dan terus meluru ke bilik. Aku hanya mencuci muka dan menggosok gigiku.
            Tiba-tiba telefon bimbitku berbunyi. Aku membiarkan ia berbunyi. Kebetulan aku masih di bilik mandi. Biarlah, bisikku.
            Ketika aku baru keluar dari kamar mandi, aku mendengar telefon bimbitku berbunyi lagi. Aku sebenarnya ingin merehatkan diriku dari sebuah rasa terkejut ini. Aku terpaksa mengangkat telefon itu.
            “Helo,” suaraku perlahan.
            “Sayang tidur ya? Bagaimana bilik kita memuaskan hati sayang tak? Takut sayang tidak suka akan dekorasi bilik tu? Kalau tak suka nanti kita buat semula!” katanya lagi ragu-ragu. Aku menggeleng. Mana Aliff Safwan tahu. Kami berbual melalui telefon.
            “Err, oklah ni apalagi kalau bekas tunang awak yang tolong rekakan bilik ni. Tentulah cantik! Saya tak akan membantah! Oklah! Saya sedang cuci muka ni.” Kataku mula buat perangai. Aliff Safwan ketawa di hujung talian. Aku bertambah geram dengan sikapnya. 
            “Jangan macam tu sayang. Bilik tu abang sendiri yang buat dibantu dengan pereka dalaman. Jangan cakap yang bukan-bukan!” kata Aliff Safwan memujukku. Mungkin dia sedar aku terasa hati dengan sikapnya.
            “Oklah, saya masuk kamar mandi dulu!” kataku hendak menutup telefon. Aku tahu dia masih hendak berbicara denganku. Aku masih dengan perangai lamaku. Tidak suka melayaninya lama-lama di telefon.
            “Oh. Maaflah ganggu sayang. Nanti tukarlah pakaian sayang tu. Pilihlah mana-mana pakaian yang sayang suka. Petang nanti kita jalan-jalan. Sekarang ni abang tengah sibuk ni, maklum lah lama abang cuti kan, banyak kerja nak dibuat.” Kata Aliff Safwan.
            “Hmm, kalau sibuk tak payah lah nak call saya! Awak buatlah kerja awak sampai siap. Saya pun nak balik ni!” kataku tiba-tiba.
            “Eh, kenapa pula cepat nak balik? Aliya tak selesa di rumah kita sendiri?” soal Aliff Safwan terkejut. Aku mendiamkan diri.
            “Nanti sayang tengok-tengok keadaan rumah kita di dalam dan di luar ya, kalau-kalau ada lagi yang kurang ya.” Kata Aliff Safwan pula.
            “Tak apa. Saya harap dengan awak sahaja. Saya ikut awak saja. Lagipun bukannya saya lama di sini kan! Hari ini atau esok saya dah nak balik!” Kataku perlahan.
            “Oklah sayang. Nanti kita jumpa dan bincang lagi.” kata Aliff Safwan menutup bicara. Suaranya seperti tidak bersemangat mendengar jawapanku. Aku melepaskan telefon. Aku memandang bilik yang kurasakan teramat besar itu. Mengalahkan bilik taraf lima bintang pula bilik ini.
Kemudian aku berganjak ke bahagian almari yang berada di sisi katil itu. Almari itu pun bukan buatan alang-alang. Kayunya berwarna coklat. Aku tidak melihat lama bahagian kemasan luar almari itu. Lantas aku membuka pintu almari itu. Aku memilih sepasang pakaian yang berseluar panjang dengan blaus berwarna merah hati. Aku suka fesyennya yang kena di hatiku. Mengikut bentuk badanku tetapi masih longgar di badanku. Ia tidak terlalu ketat dan tidak terlalu menjolok mata.
‘Pandai Aliff Safwan memilih pakaian untuk isterinya ini.’ Bisikku perlahan. Tetapi seketika aku menjadi benci dan tidak gembira. Pasti ada udang di sebalik perbuatan Aliff Safwan ini. Pasti ada! Bisikku tanpa rasa bersalah. Namun aku tidak tahu apakah niatnya. Aku hampir hendak menangis mengenangkan diri yang bagaikan berada di dalam tawanan lelaki ini.

Terima kasih.