Tuesday, October 9, 2012


13


“Asalamualaikum Mak Odah,” aku memberi salam apabila Mak Odah sudah membuka pintu. Aliff Safwan pula menjawab panggilan telefon. Aku tidak tahu siapa yang memanggilnya.
            “Wah, berseri-seri pengantin yang jumpa mak mertua dia ni! Ada apa-apa ni!” usik Mak Odah. Aku terkedu namun tetap memaniskan muka. Aku tiba-tiba menjadi rindu kepada emakku sendiri. Aku akan menelefon dia nanti, bisikku. Wajah lembut emak terbayang di mata.
            “Puan Mariam masak apa tadi puan?” soal Mak Odah. Aku senyum lagi. Apa yang harus aku jawab?
            “Tak sempat dia masak Mak Odah. Kami minum dan abang ada panggilan telefon pula tentang kerjanya. Kami terpaksa balik ke rumah, dia nak kerja!” jawabku menyembunyikan kepedihan hati. Mak Odah memandang aku lama. Dapatkah dia membaca luka di hatiku?
            “Oh macam tu! Tak sempat lah merasa masakan mak mertua ya? Mak Tok ada jumpa tak?” soal Mak Odah pula. Mak Odah sudah berlagak macam polis pencen.
            “Nenek abang?” soalku ingin tahu.
            “Tak ada pula.” Jawabku.
            “Eh lupa pula, dia baru pergi ke rumah anaknya di KK dua hari lepas, katanya mahu jumpa doktor!” aku angguk mendengar penjelasan Mak Odah. Kalau tidak aku terpaksa berperang dengan kedua-dua wanita itu.
            “Hmm, Mak Odah masak apa?” soalku terus menuju ke meja makan.
            “Mak Odah masak udang sambal lada. Tuan Aliff suka makan udang sambal dan sayur sup petola. Tambahan lagi dengan sambal belacan,” Aku hanya mendengar. Aku memang terasa lapar melihat makanan yang terhidang di atas meja itu. Namun aku menahannya.
            “Kalau puan nak makan, saya sendukkan,” ajak Mak Odah. Aku menggeleng.
            “Saya tunggu abanglah Mak Odah,” jawabku. Aku baru teringat Aliff Saffwan. Sudah lebih sepuluh minit dia di luar. Entah siapa yang memanggil dia. Benarkah ada panggilan kerja untuknya atau ada seseorang di talian? Ya Allah, Aliya cemburunya? Kata tak cintakan suami tapi pasal cemburu dan buruk sangka, aku nombor satu! Aku meraup mukaku. Aku tak sepatutnya begitu.
            “Mak Odah, saya keluar kejap.” Aku cepat-cepat keluar semula ke kawasan parkir kereta. Entah di manakah lelaki itu? Aku menjejaki suaranya. Dia sedang duduk di buaian besi yang terletak di luar rumah itu. Di hadapannya pula terletak sebuah kolam ikan.
            “Alaa maa, tak boleh buat Aliff macam ni. Aliff dah ada isteri mama,” rayunya. Suaranya amat perlahan.
            “Tak boleh ma, jangan buat gila macam ni. Dengan isteri sendiri pun tak mesra, takkan nak kahwin satu lagi. Janganlah buat hal ma!” suaranya merayu. Mungkin dia amat sayangkan mamanya. Sangkaku.
            “Memang isteri Aliff tu tak cintakan Aliff tapi cintakan boleh dipupuk maa, jangan ma, tolong lah Aliff. Aliff takkan terima perempuan tu. Dia hanya sepupu, biarlah kekal sebagai sepupu!” aku terus mendengar di belakang keretanya. Agak lama dia diam.
            “Isteri saya akan berhenti kerja nanti. Nanti kami akan bincang,” jawabnya. Aku terkedu. Aku sudah berjanji takkan berhenti kerja, aku janji. Aku takkan duduk berkurung di kampong ini. Aku rela duduk seorang diri di bandaraya sana. Tekadku dalam hati.
            “Jangan datang sini maa, jangan keruhkan keadaan,” pintanya.
            “Tak apalah mak, kalau mak tak suka, nenek suka, nenek reda, ampunkan Aliff ma, Aliff memang tak boleh nak ikut semula cakap mama. Doakan rumah tangga kami bahagia ma,” aku yang mendengar ingin menangis.
Pada waktu aku ingin perpisahan kepadanya, mamanya turut meminta perpisahan kami. Aku sudah tidak mampu berkata apa lagi. Macam-macam yang kurasa. Nak bunuh orang pun ada. Namun, aku akan tetap reda dengan apapun keputusan lelaki yang sudah menjadi suamiku itu. Sebelum kami menjadi lebih rapat, lebih baik hubungan suci ini diputuskan. Kalau sesuatu sudah bersemi antara kami, aku sanggup buat apa sahaja untuk mempertahankan hubungan kami.
Namun, buat masa aku tak ada apa-apa perasaan istimewa untuknya ini, aku akan memberikan kebebasan untuknya membuat keputusan. Walaupun keputusan itu kelak akan menyakitkan aku dan keluargaku. Namun, aku reda. Mungkin inilah yang sudah tertulis di azali. Mungkin itulah takdirku. Bernikah lima hari dan bercerai sesudah itu. Nyerinya! Meremang buluku membayangkan keputusan yang bakal Aliff buat untuk sebuah hubungan kami yang suci dan diredai agama ini. Tetapi kalau inilah yang tersurat, aku reda demi tidak mengganggu hubungan Aliff dan Maria, sepupunya.
            “Aliya sayang buat apa kat sini? Aliya curi dengar cakap abang ya?” Aliff Safwan sudah berada di belakangku. Dia memeluk aku dari belakang. Aku diam tidak berkutik. Air mataku hampir sahaja menitik membayangkan keputusan yang bakal diambilnya. Berita yang kudengar memang berita yang sudah aku tahu, namun pelukannya menghantar ketenangan sementara buat aku. Aku menoleh ke arahnya dan terus mengejapkan pelukan. Aku sungguh sebak. Aku tidak menyangka begini lagi cabaran hidup kami sebagai suami isteri.
            “Eh, kenapa menangis ni?” soalnya apabila dia memalingkan tubuhku. Aku mahu sahaja teresak di dadanya. Namun aku menahan diriku.
            “Err, saya rela kalau awak ceraikan saya. Saya izinkan kalau awak nak kahwin dengan maria, mungkin dia lebih perlukan surat nikah ini berbanding saya,” ucapku dalam sendu. Marak mata ALiff Safwan memandang aku. Tanpa sedar aku sudah berada di dalam pelukannya. Dan, aku menangis tersedu-sedu di dadanya.
            “Siapa kata abang nak kahwin dengan Maria? Siapa kata?” Soalnya.
            “Dia kan bekas tunang awak,”
            “Jangan pernah sebut perkataan yang abang tak suka tu sayang, jangan pernah sebut lagi ya,” katanya memujuk aku. Tangannya sudah membelai-belai rambutku yang panjang melepasi bahu. Aku mahu sahaja berlama-lama di dada itu, aku terasa dilindungi namun aku harus mengerti, aku takut ada perasaan lain muncul selepas ini. Aku kena bangkit dari pelukan lelaki ini. Bisikku sendiri.
            “Err, maafkan saya,” kataku yang terpinga-pinga melepaskan pelukannya. Lelaki itu juga terpinga-pinga di depanku. Mungkin kerana kami tidak sengaja berbuat demikian. Atau dia memang sengaja untuk meraih perhatianku, aku tidak tahu.
            “Err sayang, mari kita masuk, kita rehat ya. Mungkin perkara ini agak mengejutkan tapi percayalah, abang benar-benar cintakan sayang. Jangan sampai sayang fikir ada insan lain dalam hati abang, hanya sayang yang dapat membuat abang jatuh cinta,” bisiknya di telingaku. Dia memelukku semula. Aku sudah sedar dan terasa rimas. Aku menggeleng. Aku belum pernah percaya pengakuan itu. Entah kenapa hatiku sekeras kerikil. Mungkinkah kerana aku pernah terluka?
            “Kenapa awak tak ikut saja cakap mama awak tu Aliff? Tak baik tau melukai hati seorang ibu,” aku mula menasihatinya. Dia merungkaikan pelukannya.
            “Sayang nak bermadu?” soalnya. Dipandangnya mataku. Aku menarik nafas payah. Aku tidak ada jawapannya. Daripada bermadu, baik aku tamatkan hubungan ini, aku memang sudah lama reda.
            “Awak ada jawapannya Aliff. Saya hanya ikut saja,” jawabku. Aku malas mahu memanjangkan soalannya. Kalau dia sudah memadukan aku, aku sudah nampak jalan untuk keluar dari hidupnya.
            “Kenapa sayang cakap macam tu? Sayang seolah-olah meminta perpisahan kita? Sayang tak sayang pernikahan kita ni?” soalnya.
Syahdu kurasa. Aku menutup mataku. Kalau aku benar-benar jatuh sayang kepadanya seperti mana cintaku yang dulu, aku takkan pernah rela melepaskan lelaki ini dari ikatan pernikahan ini. Namun, kerana aku pernah berikrar untuk tidak mencintai sesiapa maka, aku berjanji untuk meminta dia melepaskan aku selepas ketidakserasian hubungan kami. Ah, aku memang tidak ada perasaan untuknya buat sementara waktu ini.
            “Saya tak tahu. Saya tersepit. Kalau awak nak, awak teruskan saja. Saya tak ada niat nak menghalang walaupun awak suami saya. Awak tetap ada hak dan awak mampu,” jawabku jujur.
Apakah aku harus menghalang niatnya kalau itulah keinginannya? Aku tidak mahu menjadi isteri yang nusyuz walaupun aku bernikah dengannya tanpa kerelaanku. Dia sudah menarik tanganku untuk duduk di buaian semula. Kami duduk bertentangan. Namun, entah kenapa mataku tidak mahu bertentang mata dengannya. Mata redup itu, kurasa ada kedamaian apabila aku menatapnya beberapa hari pernikahan kami ini. Namun apabila kudengar penjelasan emak mertuaku, aku rela kalau memberikan peluang dia menikahi Maria, sepupu sekalinya. Aku rasa kalau aku membahagiakan emak mertuaku, Maria dan Aliff, pasti aku akan bahagia dua tiga puluh kali ganda.
Tetapi kenapa di hatiku terasa sakit dan geram? Apakah ada sedikit harapan untuk hubungan kami ini? Hah! Aku tak mahu ada sesuatu di hatiku! Oh, hati tolonglah jangan hipokrit! Marahku dalam hati. 
            “Jawapan sayang seperti jawapan seorang kawan kepada kawannya. Abang sungguh kecewa sekali.” Aku turut tertekan sebenarnya.
            “Maafkan saya. Apa lagi yang terbaik awak nak dengar dari mulut saya? Saya tak tahu masa depan rumah tangga kita kalau mama awak memang tak restu hubuangan kita. Awak ikutlah cakap mama awak, mungkin itu permintaannya untuk anak sulung lelaki kesayangannya.” Lelaki itu menarik nafas payah. Dia terdiam seketika. Mungkin sedang mencerna kata-kataku.
            “Kalau saya ada anak lelaki yang sangat saya sayangi dan sangat saya harapkan, saya pun mahu kalau anak saya tu ikut semua cakap saya, even pun cari isteri! Saya akan tolong carikan untuk anak saya tu!” jawabku memujuknya.
            “Sayang dah hilang pertimbangan?” soalnya tidak puas hati.
            “Saya cakap yang benar. Awak sepatutnya dengar cakap mama awak, awak patut sayangkannya lebih daripada awak sayangkan isteri!” hujahku bersungguh-sungguh. Dia sudah geleng kepala. Mungkin tidak menyangka permintaanku tersasar jauh dari jangkauannya.
            “Sayang memang sudah melampau! Abang takkan lakukan hal tu!” katanya meraup mukanya.
            “Saya tak melampau! Saya ingat jika saya berada di tempat mama awak tu! Awak kena reda punya mama yang baik macam tu!” aku ternyata sudah menyindirnya. Aku berdosa berbuat demikian. Sebenarnya aku mahu jika rancangannya kami hendak berpisah berlaku dengan cepat lagi. Aku sedar lelaki di sisiku itu tidak akan sewenang-wenangnya memutuskan hubungan kami. Aku dengar dia sudah berjanji dengan ayah dan emak. Aku boleh berlakon apa sahaja jika dia sudah menceraikan aku demi melihat ayah dan emakku bahagia dan gembira.
            “Permintaan mama terlalu melampau! Kalau ada anak kita nanti, awak jangan buat macam tu. Kasihan anak kita,” meremang bulu romaku mendengar dia menyebut ‘anak kita’. Dia sudah berangan-angan hendak mendapatkan anak dari rahimku. Sedangkan aku tidak pernah bermimpi hendak mempunyai anak setakat ini. Lawak! Lawak!
            “Maafkan saya awak, berilah saya masa, saya tak ready lagi,” aku sudah ketakutan dengan harapannya itu. Tanganku digenggamnya erat. Ada sesuatu lagi yang terhantar di hatiku. Dadaku berdebar hebat. Apakah ini?
            “Sayang, abang nak bawa sayang ke Kota Kinabalu. Sayang ikut ya. Kita berbulan madu dulu, sayang belum mula kerja kan?” Berkerut dahiku. Aku menggeleng. Aku sudah tersipu-sipu. Pernikahan kami ini bagiku belum layak untuk berbulan madu. Tidak ada maknanya berbulan madu bagi diriku. Entahlah, apakah makna bulan madu dari sisi Aliff Safwan ini.
            “Lepaslah! Jangan nak pegang-pegang! Macamlah kita ni saling bercinta!” aku cuba melepaskan tanganku. Dia terpaksa akur dengan permintaanku.
            “Kita kan baru kawin, kalau pun tak jatuh cinta, tak semestinya kita tak boleh pegang tangan macam ni!” jawabnya sambil tersenyum dan mencium tanganku. Mulut dan mataku sudah terbuka. Kalau ada lalat terbang pasti sudah masuk ke mulutku. Aku terkejut dengan kesungguhannya menawan hatiku. Namun, hatiku tetap keras sekeras batu!
            “Awak kan kerja, awak pergilah kerja. Kalau tak pun, awak bawa Maria beli barangan kahwin awak! Bawa mama sekali! Saya tinggal kat rumah saja, Mak Odah kan ada,” jawabku sudah mendapat idea untuk melepaskan diriku. Wajahku sudah pijar menahan malu.
            “Semua pekerja kita akan pulang bercuti pada hujung minggu ini start petang ni,” jawabnya. Aku terkejut.
            “Oh ya, jadi? Saya tinggal seorang diri tak apalah,” jawabku mengalah. Aku tahu dia sengaja hendak mengenakan aku.
            “Kemas pakaian nanti, petang ni kita turun ke Kota Kinabalu,” arahnya tanpa ampun.
            “Buat apa? Kalau awak bawa saya ke Kota Kinabalu, saya nak kita tidur di rumah abang saya,” pintaku. Terbuntang matanya.
            “Kita bermalam di rumah keluarga abang, papa dan mama dan ahli keluarga yang lain menunggu kita di sana,” jawabnya. Sekali lagi aku terpaksa berhadapan dengan ahli keluarganya yang agak kecil tetapi cukup menyeramkan perasaanku.
            “Mama awak ada sama?” dia angguk. Mata kami bertatapan. Aku berasa malu sebenarnya. Rasa cuak pun ada. Cepat-cepat aku menundukkan pandangan.
            “Sudahlah kita bincang hal ini. Tak habis-habis nak suruh abang kahwin lain! Sayang belum pun jalankan tanggungjawab sebagai isteri, macam mana nak kahwin lain? Hmm, sudahlah, abang gurau saja ni! Perut abang pun dah lapar, jom kita makan!” kami seiringan menuju ke dalam rumah. Tanganku tidak dilepaskan sehinggalah Mak Odah keluar menemui kami di meja makan utama itu. Dia terus ke dapur di mana makanan sudah terhidang sejak tadi.
            “Awak tak boleh nak tuntut hak awak kalau awak sudah sign perjanjian hari tu! Awak jangan nak senang-senang nak langgar janji! Kalau awak langgar, perpisahan kita akan jatuh dengan sendirinya!” aku menegakkan kekuasaanku kerana surat perjanjian kami. Aku tidak peduli apa katanya. Apa yang aku mahu, jangan tuntut hak, kerana perjanjian kami sedang berjalan! Buntang matanya memandang aku. Dia berhenti berjalan. Dia memaksa aku berdepan dengannya.
            “Lepaslah tangan saya!” pintaku keras.
            “Sayang ni kan! Tak reti-reti abang bergurau!”
            “Saya hanya mengingatkan, jangan sampai terlajak perbuatan!” jawabku tegas. Dia ketawa.
Lelaki itu memang sungguh pandai menutup pintu resahku. Apabila memikirkan keluarganya, aku sudah terbayang wajah kelat emak mertuaku. Aku pun tidak pandai menyembunyikan perasaanku. Kenapa aku tidak sabar buat sehari dua sahaja? Selepas ini aku tidak akan bertemu lagi dengan ahli keluarganya. Kalaulah aku sabar?
            Mak Odah sudah menghidangkan makanan. Aku sudah duduk di sisinya. Lelaki itu sudah membaca doa makan. Aku hanya mengangkat tangan dan mengaminkan doanya.
            “Silakan makan puan, tuan” ajak Mak Odah. Aku hanya mengangguk. Rasa tidak selesa dipanggil puan masih ada lagi.
            “Terima kasih Mak Odah,”
            “Makan sayang, Mak Odah masak special untuk sayang ni,” ucapnya. Mak Odah sudah tersenyum simpul.
            “Special untuk kedua-dua mempelai,” kata Mak Odah. Aliff Safwan sudah tersenyum memandang Mak Odah.
Aku tersenyum malu. Sebenarnya aku tidak ada perasaan menjadi mempelai itu. Entah kenapa perasaanku biasa-biasa saja. Adakah kerana aku ini terpaksa kahwin atau terkenang kekasih lama? Mungkin desakan hubungan kami yang tidak kesampaian menyebabkan aku sentiasa terkenangkan dirinya. Mungkin desakan kahwin dengan orang lain menyebabkan aku hilang perasaan untuk menikmati hari yang sangat berbahagia bagi sesetengah pasangan? Kenapa aku begini? Perlukah aku memaksa perasaanku menyayangi lelaki di sisiku ini kini?
Huh, pelbagai persoalan yang menyebabkan aku setengah mati hendak menjawabnya. Sesuap nasi yang kumasukkan pun kurasa bagaikan butir-butir pasir. Payahnya hidupku ini!
            “Puan, tambah nasi lagi,” teguran Mak Odah menyebabkan aku tersedak.
            “Nah sayang, ini airnya,” kata Aliff Safwan mengunjuk air kepadaku. Dia sengaja memegang tanganku tatkala aku menyambut huluran gelas tinggi itu. Aku menjelingnya. Aku malu diperhatikan oleh Mak Odah. Mak Odah tersenyum simpul melihat kami.
            “Terima kasih bang,”
            “Sayang diterima,” jawabnya. Mukaku sudah panas dan pastinya bagai udang dipanggang. Mak Odah hanya tersenyum memerhatikan kami. Sesekali aku menjeling lelaki di sisiku itu. Kalaulah dia tahu perasaanku yang hampir tidak ada untuknya, mahukah dia menerima hakikat itu? Ah, aku tidak mahu meramal lagi.
            Selepas mengemaskan meja dan membasuh pinggan mangkuk walaupun dihalang oleh Mak Odah, kami naik ke tingkat atas.

           

 Moga Teruskan pembacaan!