Wednesday, October 10, 2012

Novel: Sentuhan Kasih 14


14


Ketika Aliff safwan memasuki bilik mandi, aku cepat-epat mengambil telefonku untuk menelefon emak. Aku tidak tahu apa cerita mereka di situ. Semalam aku sibuk bercerita dengan Mak Odah dan Aliff Safwan. Lelaki itu benar-benar melayani aku bagaikan puteri raja. Aku sebenarnya tidak mahu dilayan begitu. Bagaimana kalau aku sudah sendirian di tempat kerjaku nanti?
            “Asalamualaikum mak,” aku memberi salam kepada emak. Hatiku terlalu sebak. Kalau emak didepanku, aku sudah menceritakan semua perkara yang berlaku di sini. Namun, sebagai anak mak yang sedang meningkat dewasa aku tidak sewajarnya berbuat demikian. Pasti emak kecewa dengan sikapku.
            “Walaikumsalam, apa khabar anak mak di situ? Boleh biasakan diri duduk dengan suami dan keluarga baru?” aku hampir sahaja menangis mendengar suara sebak emak. Apa yang patut kujawab? Patutkah aku memberitahu cerita yang sebenarnya? Aku tidak pandai membohongi emak. Selama ini aku terlalu rapat dengan emak.
            “Saya baik-baik saja mak. Mak ayah apa khabar?” soalku pula sudah sebak.
            “Sihat Alhamdulillah, kami semua sihat di sini,” jawab emak gembira.
            “Syukurlah kalau mak dan keluarga semua sihat,” jawabku.
            “Hmm, menantu mak macam mana, dia layan anak mak dengan baik tak?” air mataku laju mengalir. Mengalir bagaikan air di pancuran rumah kami.
            “Baik juga mak,” jawabku serak.
            “Aliya menangis?” soal emak cemas. Aku ketawa untuk memujuk emak.
            “Mana ada, saya gembira di sini mak. Semua ahli keluarga di sini baik-baik belaka, mereka layan saya dengan baik mak,” jawabku.
            “Syukurlah nak, mak pun gembira dengar. Nenek Aliff sihat tak?” soal emak. Aku tidak tahu tentang khabarnya. Apa pula harus kujawab? Belum sempat kami berjumpa nenek, Aliff Safwan sudah membawa aku balik ke rumah. Aku pula memarahi suamiku dengan bersungguh-sungguh sekali.
            “Esok saya balik mak, ada benda nak ambil” aku member alasan begitu. Hakikat aku mahu sahaja memeluk emak. Suara mama mertuaku masih menyucuk tangkai hatiku.
            “Eh awalnya nak balik? Lama-lama lah sikit kat rumah suami tu. Nanti kalau Aliya di bandar tu, tak dapat duduk sana lama-lama, kasihan pula Aliff duduk sorang-sorang di situ!” nasihat emak. Aku kaku. Aku memikirkan jawapan yang patut.
            “Abang nak hantar mak, dia ada urusan dengan mama dia di Kota Kinabalu,” jawabku. Tidak kusedar Aliff Safwan sudah dibelakangku dan mengambil telefonku.
            “Mak, asalamualaikum, mak sihat, ayah?” Aliff Safwan sudah mengambil alih bercakap dengan emak. Aku geram. Entah apa yang mereka bualkan, aku sudah malas mahu mengintip.
            “Saya nak bawa Aliya ke Kota Kinabalu esok mak, saya ada urusan di situ. Aliya masih cuti, jadi bolehlah saya berkenalan mesra dengan dia kan mak,” ceritanya. Geram sungguh aku. Pandai pula dia melayan emak mertuanya. Cerita aku hendak balik kampungku sudah tipis. Aku terpaksa pasrah. Sepuluh minit kemudian, dia sudah menyerahkan telefon kepadaku.
            “Sayang tak boleh lari dari abang,” dia menghampiri dan memegang tanganku. Aku menutup mata. Dia hanya memakai tuala pendek paras lutut dan menyerlahkan bentuk tubuhnya yang sasa.
            “Tak nak! Tak nak! Eh, awak pegilah pakai baju!” aku menutup mataku cuba lari dari pegangannya. Dia ketawa.
            “He, abang nak kiss sayang sikit lah!” usiknya. Mukaku sudah merah dan membahang. Dia sudah mencium pipiku. Seketika bibir itu mendarat di pipiku, alangkah syahdunya kurasa. Namun aku cepat sahaja tersedar dan menolak tubuh tegap itu.
            “Janganlah Aliff, saya nak solat Zohor ni,” jawabku terus berlari menuju ke bilik mandi. Entah berapa aku akan duduk di dalam bilik mandi itu. Aku belum mengambil keputusan lagi.
            “Takutlah tu,” usiknya lagi. Dia terus mentertawakan aku. Ya Allah, aku tak suka dnegan keadaan ini, bisikku dalam hati.

 ***
Kedengran bunyi ketukan di pintu. Ketukan bertalu-talu.
            “Sayang buka pintu ni,” kedengaran suara lelaki itu di muka pintu bilik mandi. Kedengarannya cemas. Aku masih membasuh mataku yang sembap oleh air mata.
            “Sayang, abang nak ambil wudhuk ni, buat apa di dalam lama-lama tu?” soalnya pula. Aku sengaja membuka air kuat-kuat. Aku masih tidak bersedia hendak keluar dari bilik kecil itu.
            “Sayang, abang buka pintu  ni ya,” katanya. Aku teringat akan kunci pendua yang dimilikinya. Aku cepat-cepat mencuci mukaku yang sudah lencun dengan air mata.
            “Awak nak apa ni? Sibuk betullah!” kataku agak kasar. Dia ketawa memandang aku. Dia berdiri di depanku dengan kain pelikat dan baju t-shirt putihnya. Wajah itu sungguh comel dengan pakaian begitu.
            “Abang nak pastikan sayang ni selamat,” jawabnya mencuit pipiku lalu meloloskan diri ke dalam bilik mandi. Aku yang tinggal keseorangan merasa pipiku sudah hangat.