Saturday, November 3, 2012

Novel: Isyarrat Cinta 15


Lama juga saya tak kemaskinikan blog ini. Rindu pasti terasa. Tetapi kerinduan itu terubat hari ini. Moga pembaca novel ini pun akan berasa terhibur dengan penambahan ini. Terima kasih juga atas sokongan anda semua!

Bab 15

Suasana kehijauan di persekitaran bandaraya itu menyamankan hati Adawiyah. Kedudukan biliknya amat strategik di sini. Di sebelah kirinya pula terbentang kebiruan laut memukau pandangannya walaupun agak jauh pemandangan indah itu. ia sudah cukup menghilangkan sedikit perasaan cuaknya berasa di dalam kondominium mewah di tingkat 18 ini. Adawiyah sedar betapa berdosanya dirinya berlaku pelik dalam perhubungan mereka suami isteri. Namun dia tidak pernah menyesal. Ini kerana suaminya yang sendiri membuat fitnah sehingga emaknya sendiri terpedaya dengan fitnahnya itu. Lalu, dia sendiri yang menetapkan syarat kepada suaminya itu. Suaminya itu pula hanya menurut sahaja. Muhammad Irfan menerima pula syaratnya tanpa banyak bantahan. Malah tersenyum lagi. Kalau emaknya tahu, memang bala... pasti banyak omelannya!
Dia tidak pasti apa tetapi dia tahu apabila suaminya bosan menantinya, pastinya hubungan mereka akan berakhir kemudian. Tetapi, bagaimana perasaan emaknya Puan Musliah kalau mereka bercerai? Ahli keluarganya yang lain? Pasti ada perasaan lain, kecewa atau kesal? Dia sendiri pun tidak sedap hati kalau menyebut perkataan ‘cerai’ dari hatinya sendiri. Entah kenapa hatinya sendiri sayang akan perhubungan mereka yang suci murni ini. Ah, lelaki itu juga yang salah! Terang-terang menyakitkan hatinya! Bisiknya memarahi lelaki itu.
Apakah dia pun sudah menaruh harapan kepada suaminya sendiri? Huh, secepatnya ditolaknya kata-kata itu. Tetapi setakat beberapa hari pernikahannya ini lelaki itu belum pun memperkenalkan ibu bapanya kepada dia. Sibuk benarkah ibu bapa mertuanya itu sehingga tidak ada waktu bertemu dengan anak dan menantu barunya? Dirinyalah! Apakah benar mereka merestui hubungannya atau sebaliknya? Lelaki itu tidak pun pernah menceritakan mengenai ibu bapanya atau sekurang-kurangnya memberi khabar.
Dulu sewaktu bertemu dengan Marina Chang, salah seorang pekerja setia lelaki itu dan kawan baiknya sewaktu bekerja dulu, dia tidak pun pernah bertanya mengenai ibu bapa mertuanya. Sakit apa ibu mertuanya? Bisnes apa di sana? Apakah makanan kesukaan ibu bapa mertuanya? Semuanya tidak diketahui dan tidak pernah sesekali pun ditanyakan. Dia sendiri berasa serba-salah dan kesal atas semua segala yang telah berlaku kepada dirinya.  Perlukah dia bertanyakan semuanya kepada lelaki yang sudah sah menjadi suaminya itu? Huh, tidak rela dia! Apalagi hendak bertanya baik-baik kepada lelaki itu, memang dia pantang!
Lelaki itu pula keluar awal pagi dan balik tengah malam. Itulah rutinnya. Namun, memang dia akui betapa lelaki itu begitu komited terhadap syarikat yang dibangunkan ayahnya itu. dia sendiri kagumi lelaki itu memang kuat kerja! Tetapi seronokkah mendapat lelaki kuat kerja sehingga lupakan dirinya? Eh, dia minta peduli pula? Malunya!
Bilakah mereka berbicara dan semuanya boleh dikira, dia bagaikan patung cendana di kondominium mewah ini. Temannya hanya buku-buku pelajaran dan laptopnya sahaja. Selainnya dia memang ditemani hanya sunyi. Kadang-kadang jika menerima panggilan telefon dari kawan-kawannya, lelaki itu akan keluar lagi. Hanya isyarat mata sahaja yang memberitahu lelaki itu keluar. Dia tidak kisah. Mungkin lelaki itu juga menganggap dia tidak wujud di rumah itu. Sakitnya hati jadi patung cendana!
Apa yang harus aku lakukan sekarang? Soalnya dalam hati. Beberapa hari sebelum hari pernikahannya, dia telah didesak agar berhenti kerja. Emaknya turut mendesak. Jadi dia ikut cakap lelaki itu, berhenti kerja. Dia hanya disuruh belajar dan belajar. Sekarang dia sudah kesunyian amat di rumah besar ini. Dia mula teringat kawan-kawan sekerjanya, Asyraf, Ramlan, Syakilah dan Aini.
“Asyraf?” berkerut dahinya pada hari kedua, Asyraf datang ke tempat kerjanya dengan mengepit fail. Lelaki itu turut terkejut memandangnya. Dia cuba tersenyum mengawal debaran di dada. Kisah lalu menyapa di wajah. Namun dia cuba menghindarkan semua kenangan yang telah berlaku antara mereka.
“Adawiyah?” soal Asyraf tidak percaya, berkerut juga dahinya.
“Apa awak buat kat sini?” serentak mereka bersuara. Dia terhenti dan memberikan laluan kepada lelaki itu untuk bercakap.
“Saya?” kata Asyraf dengan gaya yang macho. Tubuhnya agak tinggi dan bertambah tegap. Bukan seperti ketika mereka sekolah dulu, lelaki itu agak kurus.
“Saya kerja kat sini, tolong-tolong kat sini. Kalau cutilah! Awak pula buat apa kat sini?” kata Asyraf. Bulat mulutnya. Lalu dia terangguk-angguk.
“Saya baru masuk kerja semalam kat sini, awak tak perasan?” Asyraf geleng kepala.
“Tak tahu pula. Hmm, bagus juga kalau awak kerja kat sini. Ada kawan saya lagi dua minggu! Lagipun lama kita tak jumpa, sejak...” Adawiyah termangu. Cinta tidak kesampaian itu menyakitkan. Namun kisah yang berlaku kepada dirinya kini lebih teruk lagi.
“Dahlah tu Asyraf, lupakan saja! Memang saya tak layak untuk awak,” kata Adawiyah merendah diri. Menyesal pun ada kerana dia diterima bekerja di kedai penghantaran barang ke seluruh Malaysia ini.
“Jangan cakap macam tu, nanti tengah hari kita lunch sama ya. Jangan cerita apa-apa kat sini, nanti orang lain dengar,” Asyraf sudah berubah kulit hampir 100%. Dia bukan seperti dulu. Itulah persepsinya yang pertama. Namun seminggu kemudian, dia dipaksa berhenti kerja. Belum sempat dia bercerita panjang dengan Asyraf, dia sudah berhenti kerja! Argggh!
Perlukah dia meminta kebenaran suaminya agar dia bekerja semula dan menghilangkan kesunyian hidupnya? Dia memikir dalam hati. Atau, dia pergi sahaja tanpa kebenaran suaminya? Sebelum suaminya balik ke rumah, dia sudah ada di rumah? Baikkah perlakuannya itu? Kalau tiba-tiba lelaki itu balik ke rumah pada waktu lain, bagaimana? Apa yang akan dijawabnya? Ke mana dia pergi? Ah, susah juga hidup berumah tangga pada waktu diri memang masih belum bersedia ini.
Bagaimana kalau dia balik ke rumah emaknya? Meluahkan perasaan dan memujuk emaknya serta memberitahu emaknya perkara yang sebenar yang sebenarnya fitnah lelaki itu tidak benar? Bolehkah dia buat begitu? Ah, kusut lagi akalnya!
Dia takut, jangan-jangan emaknya akan menghalaunya balik lagi ke rumah yang sunyi sepi ini! ke mana lagi dia pergi kalau bukan ke rumah lelaki ini. dia memang ada kawan baik tetapi takkan dia melarikan diri ke rumah kawan baiknya Rafiqah pula. Nanti apa kata ibu bapa Rafiqah pula. Ada suami tetapi lari  ke rumah kawan baik! Eh, dia takkan berbuat dua kali ganda perkara yang memalukan diri, suami dan emaknya. Cukuplah sekali ini dia malu. Arggggh! Memang dia tidak tahu apa yang harus dilakukan sekarang. Otaknya buntu! Fikirannya kacau! Hatinya sakit! Dan dunianya kosong!
Ah, memang dia sudah dapat menduga hati emaknya. Emaknya suka kalau dia membuat perkara-perkara yang boleh mendatangkan pahala dan bukannya membuat sesuatu yang jahat. Hasilnya, dia sendiri yang akan malu. Emaknya tidak mahu kerana dia tidak ada ayah sejak kecil maka dia menjadi anak yang jahat. Tidak, bagi emaknya, walaupun tanpa ayah, emaknya boleh mendidiknya menjadi anak yang baik. Itulah yang emaknya tidak mahu terjadi kepada dirinya.
“Tolonglah saya mak, saya tak buat benda terkutuk itu! Lelaki itu fitnah saya mak!” katanya suatu hari yang sudah berlalu. Dia mengongoi menangis di depan emaknya. Emaknya tidak menerima dan menolak pelukannya.
“Sudahlah Wiyah, mak takkan percaya lagi! Sudahlah, kalau itu yang sudah berlaku, Wiyah harus pasrah! Mungkin sudah janjiNya Adawiyah jadi begitu! Mungkin itu hanya alasan yang kamu akan disatukan, siapa tahu rahsia Allah,” kata emaknya. Puan Musliah memang berpendirian tegas kepada dirinya. Kata-kata emaknya umpama lahar panas yang ditumpahkan ke tubuhnya. Sakitnya mengalahkan lahar panas gunung berapi itu!
“Mak, percayalah, Wiyah tak pernah buat perkara terburuk dalam hidup Wiyah mak! Lelaki itu hanya buat fitnah nak malukan Wiyah!” buntang mata emak memandangnya.
“Buat apa dia buat begitu, kalau dia tak suka Wiyah? Ah, sudahlah Wiyah! Malas mak nak panjangkan perkara ini! Kita buatlah persiapan untuk pernikahan Wiyah ini. wiyah saja satu-satunya anak emak, kita buatlah baik-baik majlis nikah ini walaupun ringkas. Nenek, datuk, adik-beradik emak dan ahli keluarga terdekat yang lain mak sudah beritahu. Kelak mak akan beritahu lagi tarikh nikah yang sebenar!” sekali lagi dia kecewa. Bukan kecewa kerana perbuatan Muhammad Irfan tetapi kerana perbuatan emak yang seperti tidak sabar-sabar hendak melihat dia menikah. Memang sungguh menyedihkan perbuatan emaknya itu.
“Mak, mak tak fahamlah anak mak ni! mak, sebenarnya Wiyah belum nak kahwin! Mak, saya anak mak ini belum nak kahwin. Belum nak berumahtangga! Wiyah takut sesuatu terjadi kepada Wiyah sama dengan apa yang berlaku kepada emak,” kata Adawiyah. Buntang lagi mata emak.
“Kau jangan ungkit-ungkit kisah mak dan ayah kau! Kisah tu biarkan berlalu! Tak ada kena mengena dengan Wiyah! Jangan sebut kisah mak dulu!” marah sungguh Puan Musliah. Berdesing suara emaknya itu di telinganya. Menyesal pun ada kerana mengungkit kisah ayah dan emaknya. Kalau dia tahu begitu jeritan suara emaknya, sampai mati dia sanggup mendiamkan dirinya.
“Ma... aa..afkan Wi...yah mak, Wiyah tak maksud mengungkit tapi Wiyah takut! Takut nak kahwin,” Adawiyah memeluk emaknya. Puan Musliah turut sebak apa yang berlaku kepada mereka berdua.
“Kau lain! Jangan samakan dengan hidup mak!” kata Puan Musliah. Adawiyah mengangguk.
“Maafkan Wiyah mak, kalau inilah jalan hidup yang telah Allah tentukan, Wiyah reda mak,” kata Adawiyah membuat keputusan di hadapan emaknya.
“Jangan mengalah kepada takdir Wiyah. Emak percaya lelaki sebaik Irfan akan menjaga anak mak dengan baik, percayalah! Biasanya apa yang diharapkan oleh emak tak salah nak,” kata Puan Musliah yang sudah melembutkan nada suaranya. Adawiyah terpaksa mengalah kepada emaknya. Dia tidak mahu emaknya akan lebih marah kepada dirinya dan menyebabkan emaknya sakit pula.
“Emak tak menyesal dengan keputusan mak ini? mak percaya kepada lelaki Cina tu? Wiyah pun masih muda mak, baru nak masuk 21 tahun. Bagaimana orang masih muda nak layari hidup rumahtangga lagi, tak ada ilmu, tak ada pengalaman,” kata Adawiyah. Emak menggeleng. Wajah yang sedikit berkedut itu kusut dengan kata-katanya.
“Mak tak menyesal. Itu lebih baik daripada maruah keluarga kecil kita tergugat, mak rasa inilah jalan penyelesaian yang terbaik Wiyah. Lagipun jarang sekali seorang lelaki akan mengakui kesalahan dan sanggup menikahi gadis yang telah dirosakkannya! Ilmu dan pengalaman akan datang sendiri, tak guna mak hantar kau ke sekolah kalau kau tak tahu cari ilmu berumahtangga!” Adawiyah meraupkan kedua telapak jemarinya ke mukanya. Dia benar-benar belum mahu mendirikan rumahtangga apatah lagi dalam suasana yang tergesa-gesa begini.
Benar-benar emaknya menyangka yang dia benar-benar telah melakukan satu kesalahan besar dalam hal pernikahan ini. sedih sekali dirinya namun apa yang mampu dilakukan apabila kepercayaan emak sudah sirna untuknya. Apa yang sudah ada di tangan emaknya ialah keputusan hendak menikahkannya dengan lelaki yang tidak diharapkannya dan sebuah kepercayaan yang lelaki itu akan menjaganya dengan baik. Benarkah? Kalau dia kelak disia-siakan, apa pula kata emaknya itu? Kusut dia!
“Jangan cakap Wiyah nak lari dari pernikahan ini! Dua kali maruah emak tercalar! Jadi, terima saja ya dan kita buat persediaan.” Adawiyah menarik nafas keras. Benar dia tidak ada kekuatan hendak membuat persediaan. Benar dia tidak rela!
“Malas!”
“Esok awak pegi kedai pakaian pengantin Kak Yani kau, mak dah beritahu dia, nak tempah baju di situ. Irfan pun dah setuju! Dia akan tanggung semuanya nanti,” kata Puan musliah. Adawiyah tersengih. Rupanya emaknya sudah memberitahu kakak sepupunya mengenai pernikahannya.
“His mak ini! macam saya ni terdesak pula nak kahwin!” kata Adawiyah sedih.
“Memang tak terdesak! Tapi apa nak buat, orang dah bawa kahwin, takkan nak tolak, lagipun tak siapa mahu kat Adawiyah! Kak Yani kata pakaiannya putih ada memang elok saja dengan saiz Wiyah,” kata Puan Musliah.
“Bila masa mak sukat saiz saya?” soal Adawiyah sudah sebak dengan kata-kata emaknya. Emaknya memang tak mahu percaya kata-katanya. Puan Musliah ketawa.
“Mak dah hantarkan. Baju tu memang cantik dan dah siap dijahitkan labuci, tak perlu cari jauh-jauh!” kata Puan Musliah.
“Mana-mana maklah, saya malas nak fikir benda ini mak, takdir ini terlalu cepat berlaku, entah kenapa saya harus terjebak begini!” kata Adawiyah.
“Terima sajalah Wiyah, kahwin awal bagus juga. Dulu nenek pun kahwin umur baru 16tahun. Kamu pun dah umur lebih 21 tahun kan? Jadi, tentu dah agak dewasa,” nenek tiba-tiba menyampuk. Nenek terus sahaja pergi ke rumah mereka apabila mendengar peristiwa yang menyakitkan itu. dia menyangka neneknya akan meleteri dia, sebaliknya menyokong pula tindakan emaknya yang hendak menikahkannya.
“Macam mana Mus, cukup tak belanja nak nikahnya? Kalau tak cukup mak boleh tambah sikit-sikit mana yang patut! Benda nak hantar dah siap?” soal nenek memecah kesunyiannya. Puan Musliah tersenyum. Dia meminjamkan telinganya untuk mendengar perbualan nenek dan emaknya.
“Agak cukuplah mak, budak lelaki itu ada juga beri wang sikit untuk belanja dan katanya barang hantaran dia minta satu butik sediakan, nanti orang dia hantar sini,” kata Puan Musliah. Dalam hati Adawiyah mencebikkan bibirnya. Dia tidak senang hati dengan tindakan Irfan, seolah-olah cuba membeli hati emaknya. Sakit hati pun ada!
“Mak, tak payahlah nak hantar-hantar kalau dah nikah tergesa-gesa begini! Memalukan saya saja!” kata Adawiyah menyampuk. Bulat mata emak dan neneknya.
“Wiyah jangan sibuk boleh tak? Sekarang ni kita buat nikah aje, nanti dua bulan akan datang, jika ibu bapanya Irfan sudah sihat, mereka akan buat jamuan lagi di rumah mereka, begitulah yang mak telefon dengan emak budak lelaki itu,” kata Puan Musliah. Makin berbulu telinga Adawiyah. Sudahlah dia dipaksa nikah, sekarang nak buat jamuan pula. Eh, memang menakutkan. Dia benar-benar belum bersedia menerima keluarga mertua pada waktu terdekat ini! Apa pilihan yang dia ada? Lari? Bersembunyi di mana-mana? Atau, menurut perintah sahaja? Mungkin pilihan ketiga lebih selamat, pantas dia mengurut dadanya dan melangkah masuk ke dalam biliknya.
“Wiyah, pagi ini tukang urut Mak Kiah akan datang.” Kata Puan Musliah. Berkerut dahi Adawiyah. Sudahlah dia dipaksa berhenti kerja, kini diarah yang bukan-bukan pula.
“Apa lagi mak? Buat apa nak urut?” soal Adawiyah tidak senang hati. Nenek hanya tersenyum sedikit melihat dirinya yang dingin.
“Nak urut badan kamu lah! Biar lawa dan mantap! Lepas tu nak bubuh bedak sejuk dan lulur di badan Wiyah tu,” kata nenek sambil tersengih. Lebih menakutkan Adawiyah melihat sengihan nenek dan mereka berkenyit mata sesama sendiri. Berbulu telinga Adawiyah!
“Eh buat apa nak buat semua itu mak! Saya kan nikah dipaksa, buat apa nak buat persediaan begitu? Bukannya kahwin suka sama suka! Kalau suka sama suka tu lainlah ceritanya!” selamba sahaja Adawiyah menjawab.
“His, jangan cakap macam tu kat emak, tak baik! Jangan cakap kasar-kasar dengan suami nanti, nanti tak tenteram hidup! Jaga mulut dengan suami, ahli keluarganya dan kat mak juga, jaga penampilan diri, jangan ingat kamu dah kawin, kamu tak jaga penampilan diri. Itu penting dalam rumahtangga!” celah nenek. Adawiyah garu kepala.
“Ya lah nek, mak! Nanti kalau mak urut tu datang, panggil Wiyah ya!” kata Adawiyah yang sudah menonong bergerak ke biliknya. Irama hatinya tetap masih gelisah tak tentu rasa! Bagaimana dia hendak mendepani esok, lusa, tulat, minggu depan dan hari-hari seterusnya? Semakin kuat irama di dadanya! Membayangkan lelaki tinggi lampai dan rupa paras tampan dengan senyuman memperlinya menyebabkan dia mahu ambil tindakan di luar kemahuannya! Arrrgh!