Sunday, September 30, 2012

Novel: Sentuhan Kasih


12


Kami bergegas ke pintu kereta dan Aliff lantas menghidupkan enjin keretanya. Sepanjang jalan kami menyepikan diri.
            “Aliya, abang tak kan selesa kalau Aliya membisu macam ni! Mesti ada apa-apa yang mama katakan kepada Aliya kan!” kata Aliff Safwan memegang tanganku sambil meneruskan pemanduannya. Aku masih tidak berkutik. Mukaku masam.
            “Aliya dengar tak?” suaranya dikuatkannya. Wajahnya ditolehkan ke arahku.
            “Ya Aliya dengar! Saya belum pekak lagi ni tahu tak?” kataku menjawab perlahan.
            “Apa masalah Aliya sekarang ni? Tiba-tiba sahaja sudah naik angin!” soal Aliff Safwan lagi. Aku menggeleng. Mataku kufokuskan ke arahnya. Aku tidak mahu dia hanya menyalahkan aku. Aku tahu dia sudah tahu punca kenapa aku mendiamkan diri. Uh, aku benci!
            “Tak ada masalah. Tanya mama awak dan sepupu awak yang kuat berlagak tu! Dia lah puncanya masalah awak! Dan, awak suka cari masalah dengan saya! Kes kita belum selesai, awak pula cuba buat hal dengan mama awak tu!” kataku pula. Beberapa minit aku sudah mendiamkan diri. Akhirnya dengan tarikan nafas perlahan, aku memuntahkan semua apa yang kusimpan beberapa minit di rumahnya tadi.
            “Apa maksud Aliya? Maria tu?” Soal Aliff Safwan. Aku tidak menjawab. Malah, aku hanya mengangkat bahu.
            “Dia tak ada kena mengena dengan kita sayang. Dia tak ada kena mengena. Dia hanya tetamu keluarga kami. Tetamu yang harus dilayani oleh mama! Dia baru sampai dari Kuala Lumpur. Dia bekerja di sebuah bank di Kuala Lumpur. Tentu cutinya hanya beberapa hari sahaja!” kata Aliff Safwan. Aku masih tidak mampu melupakan kata-kata emak mertuaku dan senyuman sinis Maria.
            “Kalau dia dilayani macam raja, tapi macam mana mama awak layan menantu?” soalku perlahan.
            “Tak apalah Aliya. Nanti abang akan tanya mama akan hal ni. Jangan rosakkan hari-hari kita. Kita seharusnya merasai bahagia,  bukan macam ni!” kata Aliff Safwan pula. Aku sudah hilang nafsu kalau dia menyebut tentang ‘bahagia’. Aku memang tidak ada jawapannya. Ini kerana aku hanya menghitung waktu!
            “Aliff, saya bukan menantu pilihan mama awak! kenapa awak masih nak menikahi saya dan kita sendiri pun tak pernah kenal antara satu sama lain! Saya pun hairan dengan awak ni, mati-matian nak kahwin dengan saya? Lihat sekarang? Awak bahagia? Awak tak bahagia kan?” kataku perlahan tetapi suaraku membentak sebenarnya.
            “Pernah…kita pernah kenal tetapi Aliya tak menghiraukan kehadiran abang. Aliya memang macam ni kat abang! Aliya selalu murung kalau berdepan dengan abang!” katanya lirih. Aku kehairanan.
            “Di mana kita pernah berjumpa? Dalam mimpi awak?” soalku memperlinya.
            “Aliya, jangan pertikaikan kenapa abang setuju menikahi Aliya. Jangan sebut mama. Bukan mama yang kahwin tapi abang dan Aliya! Tolonglah, jangan tanya abang soalan-soalan yang abang tak boleh nak jawab!” katanya lemah. Dia meneruskan pemanduannya. Aku lebih terseksa dengan sikap emaknya dan kehadiran Maria dalam kehidupannya. Namun, sejauh mana pun pertanyaanku, dia pasti tidak akan memberikan jawapannya.
            “Tak mahu! Petang ni saya nak balik semula ke kampung! Esok saya nak ke Kota Kinabalu! Saya tak mahu berlama-lama di sini! Sakit kepala saya dibuatnya!” kataku yang sudah tidak tahan dengan sindiran Puan Mariam dan Maria. Terbuntang mata Aliff Safwan melihat aku. Aku sudah tidak ada pilihan lain!
            “Kenapa macam ni Aliya? Apa salah abang?” soal Aliff Safwan. Mukaku masam.
            “Awak tu memang dah salah. Sudah ada ‘girlfriend’ dan tunang di universiti, sekarang awak gatal-gatal nak kahwin dengan orang lain. Bagus kalau saling mencintai! Ini tak! Kita tak saling mengenali! Awak boleh tukar keputusan awak semula sekarang Aliff! Saya tak kisah!” kataku mencabar Aliff Safwan sebagai suamiku. Kalau lah dia hendak menceraikan aku, apakah perasaanku pada waktu ini? Sanggupkah aku menjadi janda pada waktu pernikahan kami baru pun berusia lima hari!
            “Jangan salah sangka Aliya. Kami rapat sebab kami sepupu! Tak ada sebab lain. Kami bukan saling mencintai sebagai kekasih. Kami hanya sepupu!” katanya memohon pemahamanku. Aku menjuihkan bibirku.
            “Tak percayalah! Maria tu tadi bukan main lagi menyesal kerana tak dapat merasa awak!” kataku memerli Aliff Safwan. Berubah wajah lelaki itu dengan kata-kataku. Aku tidak peduli. Lelaki di sisiku itu harus diberi pengajaran. 
            “Kalau awak tak mahu percaya dengan penjelasan abang, terpulanglah Aliya! Abang tak mahu memaksa! Yang abang nak beritahu, Maria tu hanya sepupu abang, bukan kekasih abang! Memang dulu kami ditunangkan, tapi dia melarikan diri ke KL pada hari pernikahan kami. Dia tak mahu kahwin dengan abang! Kalau Aliya tak percaya, sudah! Saya tak boleh nak paksa-paksa Aliya percaya!” katanya lantas meneruskan pemanduannya dengan kadar yang agak laju. Aku pula yang menjadi ketakutan dengan perubahan sikapnya. Mungkin disebabkan sikapku yang suka mendesaknya. Aduh!
            “Awak dah gilakah Aliff? Tak sedar! Kalau awak nak bunuh diri, awak bunuh diri awak saja! Jangan libatkan saya!” kataku separuh menjerit. Dia hanya ketawa.
            “Oh, awak masih nak hidup ya? Nak abang pula mati? Macam tu? Bagusnya idea awak tu sayang! Abang suka sangat!” jawabnya sambil menambahkan kelajuan keretanya. Aku semakin ketakutan dengan sikap Aliff Safwan yang tidak kusangka begini. Aku selalu melihat dia tenang-tenang sahaja menghadapiku namun kali ini dia sudah berubah.
            “His, kalau awak sayangkan nyawa awak pun, takkan nak bunuh saya pula!” kataku perlahan. Ketakutanku memang berada di peringkat yang maksima!
            “Kenapa, Aliya takut mati?” soalnya pula. Aku tidak mahu mengangguk atau menggeleng. Dia sedang cuba mencabarku. Namun, wajahku memang sudah pucat lesi!
            “Oh pandai pula Aliya takut ya?” perlinya pula. aku hanya mendiamkan diriku. Kupegang sekuat hati tali keledarku.
            “Tak apalah kalau kita mati sama-sama! Tak ada sesalan selepas ini!” aku mula hendak menangis. Aku tidak mahu mati dalam keadaan yang tidak sempurna. Aku masih banyak dosa-dosa yang belum terampun!
            ‘Ya Allah, ampunkan dosa-dosa dan selamatkanlah kami!’ doaku dalam hati.
            Tidak lama kemudian, Aliff Safwan sudah memberhentikan kereta di tepi jalan. Dia menekan brek dengan kuat sekali.
            “Aliya masih takut?” soalnya. Air mataku sudah berlinangan di pipiku. Aku sudah menutup mataku. Aku tidak mahu tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Soalannya kubiarkan tanpa jawapan.
            “Jangan takut sayang. Abang akan pastikan kita tidak akan mati dalam keadaan macam ni. Abang sayang Aliya walaupun abang tahu Aliya tidak mungkin menyayangi abang seteguh kasih sayang abang ni!” katanya seperti berbisik di telingaku. Air mataku mengalir deras sederas air terjun.
            “Jangan menangis sayang. Abang sayang Aliya. Abang tak bermaksud nak menakutkan Aliya. Abang lebih takut kalau abang akan kehilangan Aliya!” katanya pula dengan suara yang sungguh sayu dan lembut.
            “Apa gunanya saya hidup di sisi awak Aliff. Saya tak mampu membalas kasih sayang awak! Saya tak tahu bagaimana nak mencintai awak sebab dalam hati saya sudah ada insan lain!” kataku berterus terang dengan suara yang sebak sekali.
            “Tak apalah Aliya. Jangan terburu-buru. Abang boleh tunggu Aliya. Abang tak mahu Aliya kelam kabut menilai abang. Abang hanya menerangkan sayang abang kepada Aliya. Tidak semestinya Aliya membalas cinta abang. Abang sedar siapa diri abang! Namun, abang memang ditakdirkan jatuh cinta dengan Aliya!” katanya seperti berbisik. Tangannya sudah mengusap-usap kepalaku. Aku terasa diriku dilindungi. Namun, perlindungan sahaja belum cukup untukku menerima Aliff Safwan dalam hidupku.
            “Tapi awak selalu memaksa saya! Menikahi saya dan tidak menepati perjanjian yang telah kita buat!” kataku masih teresak. Dadaku sesak dengan tindakannya. Dia memegang tanganku kejap-kejap!
            “Tidak, abang tidak akan memaksa Aliya kalau masih Aliya tidak bersedia. Abang tidak akan memaksa! Abang sanggup tunggu sehingga Aliya sedia,” kata Aliff Safwan memaku janjinya di telingaku. Aku mengangguk dan gembira dengan janjinya. 
            “Tidak memaksa konon!” kataku menjuihkan bibirku ke arahnya.
            “Tapi, kenapa Aliya mesti cemburukan Maria sebagai kekasih abang, kalau Aliya tak sayangkan abang!” katanya memulangkan paku buah kerasnya. Aku pula berasa serba salah dibuatnya. Aku memandang ke luar jendela.
            “Err, bukan cemburulah! Bukan apa, kalau memang ada orang lain mengharapkan awak kenapa mesti membiarkan dia sendirian. Kenapa awak tak menikahi dia?” soalku menerangkan keadaan.
            “Awak mahu bermadu? Abang tak kisah kalau itu yang Aliya inginkan.” Jawabnya selamba. Aku pula semakin geram dengan sikapnya yang suka mengusikku.
            “His, awak ni kan pura-pura tak nak faham! Saya tak suka! Tak sukakan awak! kalau awak sudah ada calon lain, awak tinggalkan saya dan kahwini Maria, bukannya seksa saya macam ni!” kataku menerangkan keadaan yang sebenar.
            “Oh, awak terseksa hidup dengan abang! Abang tak bermaksud nak seksa Aliya. Abang bermaksud nak bahagiakan Aliya. Tup-tup pula Aliya tuduh abang sudah ada kekasih dan meminta abang menikahi dia! Siapa yang menyiksa siapa ni Aliya?” kata Aliff Safwan yang pura-pura bingung dengan kehendakku.
            “Susahlah nak bincang dengan awak ni! Bagus saya diam sahaja!” kataku perlahan tetapi suaraku yang kumarah kutahan dalam diriku.
            “Abang pun bingung dengan sikap Aliya ni! Sekejap, Aliya suruh abang nikahi Aliya, abang dah buat. Sekarang lain perkara pula yang Aliya nak suruh abang buat! Abang pun pening!” katanya sambil memulakan pemanduannya. Beberapa orang remaja mendekati keretanya. Mungkin mereka kehairanan kenapa kereta kami berhenti di bibir jalan.
            “Sudahlah, saya nak balik kampung! Esok pagi saya nak balik ke Kota Kinabalu. Jangan datang cari saya kalau bukan hujung minggu ya Aliff!” kataku berpesan kepada Aliff Safwan.
            “Baiklah tuan permaisuri! Abang tak kan ganggu puan permaisuri!” katanya sambil tersenyum kepadaku. Aduh, senyumannya yang manis pasti memukau sesiapa yang memandangnya. Jantungku pula berdenyut tak keruan. Apakah maksudhnya? Tahukah lelaki di sisiku ini?

Saturday, September 29, 2012

Novel: Isyarat Cinta


Bab 10


Muhammad Irfan bagaikan ayam hilang anak. Dia begitu rindu. Dia ingin menemui gadis yang dirinduinya itu. Apabila ditelefon gadis itu tidak mahu mengangkat panggilannya. Hanya sesekali dia bercakap melalui telefon di kedainya. Apakan daya, dia adalah pengurus besar kepada kedai-kedai yang dimiliki oleh ayahnya. Mahu atau tidak, Irfan yang terpaksa menguruskan semua kedai dan cawangannya di seluruh negara. Malah, ayahnya semakin membesarkan perniagaannya apabila berhasrat membuka cawangan di luar negara. Sejak bertemu dengan Adawiyah, Irfan bagaikan tidak mahu berjauhan dengan gadis manis itu. Dia terasa betapa sepi hidupnya. Mungkinkah gadis itu telah membawa separuh semangatnya?
            “Wie, bos nak cakap tu,” kata Marina Chang. Adawiyah mengangkat keningnya. Kesibukan di bahagian kaunter itu tidak memungkinkan dia melayani panggilan telefon untuknya.
            “Dia nak apa?” soal Adawiyah mengerutkan keningnya seolah-olah tidak memahami hasrat majikannya itu. Sebenarnya dia sendiripun tercari-cari ke mana majikannya menghilang. Sudah dua hari majikannya  tidak datang ke kedainya itu. biasanya pagi-pagi lagi dia melawatnya kedainya ini. namun Adawiyah tetap berasa lega jika lelaki itu tidak datang walaupun matanya tercari-cari kedatangan lelaki itu.
            “Awak tanyalah kat dia, mana saya tahu!” jawab Marina Chang. Perlahan-lahan Adawiyah mengangkat gagang telefon. Marina Chang terus menggantikan tempat Adawiyah. Marina Chang pula menjeling-jeling ke arahnya.
            “Rina, tolong relodkan pelanggan kita ni, saya angkat telefon!” arahnya kepada ketuanya itu.
            “Boleh tak masalah!” kata Marina Chang. Perlahan-lahan Adawiyah mengangkat gagang telefon.
            “Helo,”
            “AssalamuaIaikum sayang, sayang apa khabar?” Ya Allah, malunya Adawiyah dipanggil sayang oleh majikannya itu. Malunya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Meluat pun ada, hendak termuntah pun ada dengan panggilan ‘sayang’ lelaki itu. Namun dia tetap senang menerima pertanyaan khabar itu.
            “Awak nak apa ni? sibuklah di kedai ni! awak ni kacaulah! Kalau rugi saya juga yang kena marah! Ha, awak nak apa? Bencinya awak cakap yang bukan-bukan,” kata Adawiyah membebel geram sambil suaranya seperti berbisik-bisik. Dia bimbang Marina Chang mendengar perbualan mereka. Muhammad Irfan ketawa di hujung talian. Adawiyah semakin geram. Pelanggan tetap terpaksa ditinggalkan buat sementara waktu.
            “Sayang, saya rindu lah kat sayang! Sayang tak rindu kat saya? Esok petang baru saya balik! Lama lagi tu!” Adawiyah meluat dengan pengakuan rindu majikannya itu. Hendak diberitakan tentang rindunya menatap sekeping wajah tampan itu, huh, tidak akan dikeluarkan dari mulutnya. Biar pecah di perutnya jangan di mulutnya. Lagipun dia memang tidak ada perasaan untuk lelaki itu, takkan perasaan boleh dipaksa-paksa? Fikirnya sendiri.
            “Syikin datang pagi tadi, cari bos! Semalam Syikin datang marah-marah cari bos! Semalam Afifah pula datang! Ramainya peminat bos ni! susah kalau orang yang ramai peminat ni!” sengaja dikuatkan suaranya. Dia tidak mahu berbisik-bisik di dalam telefon itu, dia tahu Marina Chang mencuri-curi mendengar perbualan mereka. Muhammad Irfan ketawa lagi di hujung talian.
            “Bos ni ketawa pula! Betullah gf bos datang! Mereka semua rindukan bos,” kata Adawiyah menukar tajuk. Muhammad Irfan masih ketawa. Sebenarnya Muhammad Irfan kecewa dengan sikap Adawiyah.
            “Sapa cakap sayang bohong! Nanti kalau saya datang sana, sayang tahulah apa nasib sayang tahu! Pandai-pandai pula panggil bos ya! Ha, sayang dah banyak hutang tau!” kata Muhammad Irfan yang geram dengan sikap Adawiyah.
            “His, jangan cakap macam tu lah, saya tak suka!” kata Adawiyah. Sakit hatinya dengan sikap majikannya itu. Rasa geli pun ada.
            “Sayang, boleh tak angkat telefon malam ni, nanti malam saya telefon ya,” Sekali lagi Adawiyah terperangkap. Memang lelaki itu suka memaksa!
            “Ya lah, nanti saya sampaikan salam bos kepada kekasih bos tu! Katanya, petang nanti dia datang lagi! Takkan bos tak bagitahu dia yang bos outstation!” jawab Adawiyah. Dia tidak mahu Marina Chang mengatakan sesuatu yang bukan-bukan kepadanya. Muhammad Irfan terus ketawa.
            “Tak payahlah, saya hanya mahu awak sorang sayang! Saya hanya rindukan awak, bukan gadis-gadis tu!” kata Irfan lagi. Sekali lagi Adawiyah terkesima. Dia tidak mampu menjawab pernyataan majikannya itu.
            “His, bos ni ada-ada sajalah! Kalau tak ada apa-apa saya letak telefon dulu bos. Ramai pelanggan di luar tu. Nanti kalau bos rugi, saya juga yang susah!” kata Adawiyah berlawak. Muhammad Irfan terhibur dengan kata-kata Adawiayah.
            “Kalau depan saya, jangan sayang pandai-pandai nak panggil bos ya! Adawiyah saya rinduuu sangat kat Adawiyah ni, jangan pula pura-pura tak dengar ya!” kata Irfan. Adawiyah sudah menggigil dengan kata-kata majikannya.
            “Izinkan saya letak telefon bos,” desak Adawiyah. Dia tidak mahu mendengar kata-kata lelaki itu.
            “Err Adawiyah, ada nombor telefon tak?” soal Muhammad Irfan di hujung talian. Adawiyah serba-salah hendak memberikan nombor telefonnya.
            “Saya tak ada telefon bos, rimas. Saya ni kan orang kampung!” kata Adawiyah memberikan dalihnya. Dia tidak mahu bertelefon dengan lelaki itu. nanti apa pula kata emaknya Puan Musliah.
            “Tak, saya tahu Adawiyah ada telefon. Hari tu saya nampak awak pegang telefon,” kata Muhammad Irfan. Adawiyah tidak tahu hendak beralasan apa lagi.
            “Tak payah lah telefon saya bos. Cukuplah kat kedai ni!! nanti apa pula kata mak saya, tentu dia marah!” jawab Adawiyah pula. Dia memang hendak menjaga hati emaknya. Emak pun menjaga dia dengan baik. Jarang sekali emak menyakiti hatinya. Dan, itulah insan yang paling dia sayang.
            “Tak, saya takkan call awak kalau malam, saya faham,” Muhammad Irfan merayu.
            “Tak apa bos, tak perlu call saya,” jawab Adawiyah lagi. Namun kalau majikannya itu cekap tentu dia akan meminta dengan Marina Chang nombor telefonnya. Hanya Marina Chang yang tahu nombornya.
“Tak apalah kalau macam tu, esok saya akan terus ke kedai, saya rindu ni!” pesan majikannya lagi.
            “Suka hati boslah! Ini kan kedai bos. Maafkan saya bos, assalamuaIaikum bos,” kata Adawiyah meminta diri.
            “Sayang, saya rindukan sayang, waIaikum salam,” kata Irfan meluahkan rasa hatinya sebelum Adawiyah meletak telefon. Adawiyah menarik nafasnya panjang-panjang sebelum berdepan dengan para pelanggan yang mengunjungi kedai telekomunikasi itu. Dia menekan dadanya merasai jantungnya yang berdegup kuat dan dia membetul-betulkan tudungnya sebelum keluar ke kaunter semula. Sulaiman yang sedang memandangnya hanya tersenyum dan menunjukkan isyarat tangannya, peace!
            Adawiyah menjadi tidak keruan dengan kata-kata harapan Muhammad Irfan. Dia memang tidak pernah menerima kata-kata cintanya itu. Malah dia ketakutan dan ketakutan itu menjadi tidak normal pula kepada dirinya. Mahu tidak mahu Adawiyah nekad. Sebelum lelaki itu balik dari Kuala Lumpur petang ini, dia harus melakukan sesuatu. Esok pagi ketika majikannay itu mencari dirinya, dia sudah tidak ada di dalam kedai ini. Itulah rancangannya. Kalau tidak, banyak masalah besar akan timbul selepas ini. Adawiyah memikir-mikir sesuatu.
            “Hai, Wie, Irfan awak tu cakap apa? Memang sahlah budak Cina tu jatuh cinta kat awak!” kata Marina Chang tiba-tiba.
            “Hah! Apa?” Adawiyah terkejut dengan soalan Marina Chang itu.
            “Ha, kan awak sudah mengelamun kan? Awak ingatkan siapa? Irfan ya?” sakat Marina Chang lagi. Adawiyah geleng kepala.
            “Mana ada, malas lah!” adawiyah memuncungkan mulutnya.
            “Kenapa pula malas ni?”
            “Entahlah. Rina, boleh tak kalau aku cuti setengah hari, petang ni?”
            “Cuti? Mintalah dengan kekasih awak tu! Mesti boleh tu!” Balas Marina Chang.
            “Tak nak lah! Bukan kekasih saya tu! Dia majikan saya!” muka Adawiyah semakin masam. Kawan sekerjanya itu seperti sudah dimaklumkan mengenai Irfan dengan dirinya.
            “Hmm, kalau Wie bolehlah! Tapi saya kena telefon bos dulu!” wajah masam Adawiyah bertukar ceria.
            “Rina, terima kasih! Awaklah kawan saya kat sini! Nanti kita jumpa lagi ya. Saya ada hal jalan dulu ya!” kata Adawiyah melonjak gembira. Ketika itu mereka duduk berehat di pantri.
            “Kenapa ni? awak nak ke mana? Awal lagi ni!” soal Marina Chang kehairanan. Kebetulan sudah tiba waktu rehatnya pada petang itu.
            “Saya ada hal!” jawab Adawiyah. Sebenarnya dia tidak ada hal. Dia pun sudah selesa bekerja di kedai ini. ramai pelanggan sudah mengenalinya namun perbuatan majikannya menjadikan dirinya semakin takut. Kenapa dia harus menunggu lama di situ?
            “Hal apa?” Adawiyah angkat bahu.
            “Rahsia!” jawabnya ringkas. Sulaiman pun agak kehairanan memandangnya.
            “Tak boleh kongsi?” Adawiyah menggeleng.
            “Hal apalah tu!” Soal Marina Chang ingin tahu.
            “Ada lah!” jawab Adawiyah. Dia harus segera pergi dari kedai ini.
            “Apa saya nak cakap dengan bos?” Adawiyah angkat bahu.
            “Pandai-pandailah awak nak selamatkan diri!” jawab Adawiyah pula.
            “Oklah kalau macam tu! jalan baik-baik ya!”
            “Terima kasih Rina! Jumpa lagi ya.” kata Adawiyah sambil memeluk Marina Chang.
            “Hmm pandailah awak ni!” kata Marina Chang.
            “Hoi! Kau tak tahu ke sekarang ni waktu kerja! Tolong aku lah!” kata SuIaiman yang muncul tiba-tiba.
            Marina Chang dan Adawiyah ketawa serentak. Adawiyah tetap nekad. Sesuatu harus dilakukan sebelum petang ini!

Friday, September 28, 2012

Novel: Isyarat Cinta


Bab 9


 Adawiyah bangun luar biasa pagi itu. Seusai solat subuh dia terus bersiap ke tempat kerjanya. Emaknya pula sudah biasa menyediakan sarapan untuknya.
            “Saya gerak dulu mak,” Adawiyah menyalami tangan emaknya dengan penuh syahdu sekali. Dia serba salah sebenarnya. Malah, dia tidak berani hendak berterus terang dengan emaknya mengenai kejadian malam tadi.
            “Awalnya! Jangan balik lambat lagi malam ni Wiyah, bahaya tau!” kata Puan Musliah. Adawiyah hanya mengangguk dalam senyumannya. Adawiyah terus bergerak dengan laju menuju ke stesen bas. Di situ Rafiqah kawan baiknya sudah menunggunya.
            “Ya mak, malam ni saya balik awal, takkan saya balik lewat lagi!” Adawiyah seolah berjanji.
            “Jaga diri nak,” Adawiyah hanya mengangguk.
            Adawiyah melambai tangan ke arah Rafiqah apabila kawan baiknya itu sudah menunggunya seperti biasa.
            “Fiqah, boleh tak kau carikan aku kerja baru?” usul Adawiyah. Bulat mata Adawiyah.
            “Ha? Kerja baru? Mana ada kenalan aku lagi! Bukankah kau sudah selesa dengan majikan kau sekarang ni? Apa masalah kau sekarang?” soal Rafiqah kehairanan dengan sikap Adawiyah. Adawiyah serba salah hendak bercerita dengan kawan baiknya itu. Dia sungguh malu dengan kerenah majikannya itu.
            “Tak ada apa-apalah, aku nak tukar angin!” jawab Adawiyah. Mana mungkin dia memberitahu masalahnya kepada Rafiqah. Pasti kawan baiknya itu akan terkejut kalau dia memberitahu perkara yang sebenar. Rafiqah memandang Adawiyah. Rafiqah kehairanan.
            “Betulkah ni? Kenapa tak tahan ni? Ada apa-apa ni kan?” soal Rafiqah ingin mengorek rahsianya. Adawiyah menggeleng. Wajahnya sudah terasa panas.
            “Tak ada, aku saja je nak cari kerja Iain. Kalau kau tak ada kenalan Iain, tak apalah, aku kerja lagilah tempat kerja aku sekarang!” kata Adawiyah. Namun, Adawiyah sedar Rafiqah tidak senang hati dengan kehendak Adawiyah itu.

***

            Irfan berasa lega kerana gadis intipannya sudah mengetahui akan perasaannya semalam. Dia lega seleganya. Perasaan yang ditanggungnya sekian lama sudah diketahui oleh gadis ayu itu. Semalam dia dapat tidur lena selena-lenanya. Namun dia tidak tahu apa yang akan berlaku esok dan hari-hari seterusnya. Dia berasa curiga tiba-tiba. Entah apa yang berlaku kepada gadis manis itu?
            ‘Mahukah gadis itu menerima dirinya. Entah kenapa dia tiba-tiba jatuh cinta kepada gadis manis itu. mungkinkah ini takdir hidupnya? Berada di kejauhan ini dia tidak sabar hendak balik menemui gadis manis itu. tentu dia sedang mengerjakan tugasnya dengan baik dan berhati-hati. Gadis itu membawa untung kepada kedainya. Sejak dua minggu, keuntungannya dan penjualan di kedainya itu meningkat dengan mendadak. Apakah ia disebabkan gadis itu? mungkin kehadiran gadis itu disenangi oleh para pelanggannya. Dia sendiri cukup menyenangi kehadiran gadis itu! bertemu gadis itu hatinya bagaikan tawar untuk gadis-gadis lain yang selama ini mendampinginya. Tambahan pula, penolakan gadis itu menyebabkan dia semakin ingin menghampirinya. Aduh, dua hari dia tidak menatap wajah  comel itu hatinya cukup merana. Biarlah gadis itu tidak menyayanginya sepertimana cintanya namun dia tetap mendambakan gadis itu!’

Thursday, September 27, 2012

Novel: Isyarat Cinta


Bab 8

Adawiyah mengetuk pintu rumahnya. Dia berdoa agar emaknya belum tidur lagi. Dia tahu emaknya pasti akan marah kerana dia balik lewat malam ini. Wajahnya yang kalut dan ketakutan dengan tindakan Irfan dirapikan seketika. Dia tidak mahu emaknya tahu apa yang telah berlaku.
            “Laa, Adawiyah rupanya? Mak ingatkan tak balik! Kenapa balik lambat malam ni?” soal emak yang baru membuka pintu. Dia memegang bersama baju yang sedang dijahitnya. Adawiyah menyalami tangan emaknya.
            “Maafkan saya mak. Saya ada kerja sikit di kedai tadi,” jawab Adawiyah perlahan. Pelbagai perasaan tidak senang membuak di hatinya namun cuba disembunyikannya. Dia tidak mahu berbohong kepada emaknya tetapi dia sangat malu hendak berterus terang. Dia cuba bersikap tenang walaupun dia sendiri masih terkejut dengan lamaran majikannya petang tadi.
            “Tak pernah kau begini lewat balik Wiyah. Lain kali cuba balik awal ya. Bas bukan senang nak masuk sini. Lagipun kau tu anak gadis. Tak baik balik malam. Nanti apa kata orang di sekitar perumahan kita ni,” kata emaknya Puan Musliah yang kelihatan bimbang terhadapnya. Adawiyah mengangguk. Dia memang tidak mahu balik lewat ke rumahnya. Dia pun sangat menjaga perilaku dirinya. Ah, lelaki itu yang suka memaksa-maksanya! Kenapalah dia tidak berkeras tadi. Kalau berkeras, taklah dia dia balik selewat ini! His, nanti kau Irfan!
            “Ya mak, saya masuk ke bilik dulu,” kata Adawiyah meminta diri untuk masuk ke dalam biliknya.
            “Tapi...” langkah Adawiyah terhenti apabila didengarnya emaknya masih bersuara. perlahan dia menoleh ke belakang memandang wajah emaknya. Ada sesuatu yang menyebabkan emaknya tidak puas hati.
            “Err ada apa mak?” soal Adawiyah semakin berdebar. Jantungnya yang hampir tercabut belum reda sakitnya akibat panahan luahan perasaan Muhammad Irfan kini emaknya pula semakin aneh. Menggigil tubuh Adawiyah dengan keraguan emaknya.
            “Siapa yang hantar kau balik tadi? Bas tak ada, dah tengah malam macam ni! Mak tak nak kau malukan mak nak! Mak paling pantang kalau anak mak buat sesuatu yang memalukan mak! Kau tu sudahlah tak ada ayah!” kata emaknya seperti penyiasat. Suara emaknya sudah ditinggikan sedikit. Bergetar jantung Adawiyah. Adawiyah menelan air liur yang terasa kelat. Pandangan mata emaknya juga mengalahkan mata penyiasat. Cepat-cepat dia menundukkan pandangannya. Dia takut kepada kemarahan emaknya.
            “Tuan punya kedai tu mak. Dia yang bagi kerja jadi dia yang hantar tadi. Wiyah tak nak juga nak sambung kerja mak, tapi apa boleh buat, ada kerja sikit! Terpaksalah Wiyah buat!” jawab Adawiyah yang pening memikirkan jawapan kepada soalan emaknya itu. Dalam hati Adawiyah berdoa agar emaknya berhenti dari bertanya yang bukan-bukan. Dia sudah kehabisan jawapan.
            “Biasanya majikan kau tu tak ada di kedainya kan? Pekerja lain mana? Pekerja lain mana?” Adawiyah mengangguk. Emaknya memang tahu pergerakan majikannya. Dia sendiri yang memberitahu emaknya.
            “Ya mak, tapi petang tadi dia datang pula. Datang bawa kerja pula. Tu saya balik lambat. Kerja tu dia nak bawa ke KL esok. Mahu tak mahu dia hantar lah saya. Marina pula dah ke kedainya yang satu lagi,” kata Adawiyah berdoa agar emaknya percaya dengan apa yang telah diberitahunya.
            “Dah makan?” soal emaknya. Adawiyah mengangguk. Dia memegang perutnya.
           “Sudah mak, dah makan tadi. Kenyang betul ni,” jawab Adawiyah. Uh, makan di restoran eksklusif amat memeranjatkan Adawiyah. Seumur hidupnya tidak pernah dia masuk ke dalam restoran semewah itu. Restoran itu pula terletak di dalam sebuah hotel yang memang terkenal. Dia malas mahu mengingati tempat itu. Makin dikenang makin sakit hatinya malah menggigil tubuhnya mengingati ungkapan kata cinta majikannya itu!  
         "Dia bawa makan lagi? Wah, itu masih jadi bos atau kekasih? Jangan-jangan dia ada hati kat kau tak Wiyah?" Ya Allah soalan emaknya memang bisa menggugurkan jantungnya. Apa yang harus dijawabnya?
            "Tak lah... tak lah mak, Wiyah ni pekerja ja. Mana ada layak jadi kawan dia," jawabnya teragak-agak. Mata emak memandangnya dengan pandangan yang tidak dapat ditafsirnya. Pasti emaknya banyak pengalaman menilik perasaan anak gadis seperti dirinya. Takutnya!
             "Jangan kau buat hal dengan bos kau WIyah. Malu mak nanti. Kalau kau tak mahu kerja, kau berhenti saja, janganlah kerja balik sampai tengah malam begini!" kata emaknya. Emaknya seperti dapat membaca apa yang bersarang di hatinya. Ya, Adawiyah akan cari jalan agar dia dapat keluar dari tempatnya bekerja itu. 
              "Ya mak, kalau Wiyah tak selesa, Wiyah akan berhenti nanti. Kalau Wiyah tolong mak menjahit lagi bagus kan mak!" katanya memujuk emaknya. Puan Musliah mengangguk. 
            “Masuklah Wiyah, pergilah rehat. Tak dapat juga Wiyah nak tolong jahitan mak malam ni. Hari pun sudah jauh malam ni,” nasib baik emaknya memberikannya ruang untuk berehat. Memang dia sungguh penat memikirkan majikannya itu. Kerjanya tidak lah sepenat mengingati luahan perasaan majikannya.
            “Wiyah masuk dulu mak. Maafkan saya mak. Memang saya nak balik awal tadi, tapi tiba-tiba bos datang bawa kerja baru! Kasian mak buat kerja sorang-sorang!” kata Adawiyah.
            “Tak apalah nak, tak payah risaukan mak dan jahitan ni! Mak pun tak ambil tempahan lagi!” kata emak. Kata-kata itu melegakan hati Adawiyah.
            “InsyaAllah mak, esok Wiyah balik awal ya,” kata Adawiyah berjanji.

***

            Di dalam bilik Adawiyah menangis semahu-mahunya. Dia takut dengan luahan perasaan majikannya itu. Tidak pernah dia menyangka majikannya yang dikelilingi oleh gadis-gadis cantik itu akan tertarik kepadanya. Memang sungguh mengejutkannya. Mungkinkah lelaki itu hendak memerangkapnya? Dia biasa mendengar orang bandar memperdaya gadis-gadis miskin yang mahu kekayaan segera ke medan pelacuran. na'uzubillah. 
            “Maafkan saya Adawiyah. Saya tak pandai berbahasa. Sebenarnya saya benar-benar sudah jatuh cinta kepada Adawiyah ni,” tambah Muhammad Irfan dengan suara lunak. Kali ini di bawah sinaran lampu yang samar-samar, Adawiyah terasa kelu untuk bersuara.
Dia hanya menundukkan pandangannya. Dia tidak mahu terlalu mempercayai kata-kata majikannya itu. Selama hampir sebulan berada di bawah naungan majikannya ini, majikannya itu sering bertukar-tukar pasangan. Syikin, Miriam, Afifah, Anne dan ramai lagi. Memang dia tahu majikannya itu mempunyai barisan teman wanita yang seksi, cantik dan comel. Pakaian mereka pun bukan calang-calang semuanya. Dia tidak percaya dengan mudahnya kalau lelaki itu tiba-tiba meluahkan rasa cinta terhadap dirinya. Mungkinkah lelaki itu mahu memerangkapnya? Soalan itu berulang lagi di benaknya. Hati Adawiyah pula berteka-teki dalam diam.
            “Jangan diam begini Adawiyah, katakanlah sesuatu agar saya berasa senang hati dan tidur dengan nyenyak malam ni atau Adawiyah masih tak percayakan saya?” soalan itu sekali lagi memerangkap Adawiyah.
            “Err, bukan begitu bos, saya..., saya...” Adawiyah terkaku dalam suasana yang sungguh romantik itu. Adawiyah memang tidak selesa berdua-duaan dengan lelaki itu. Adawiyah berasa betapa dirinya sudah tidak berharga lagi. Lelaki di depannya itu sesuka hati meramas-ramas tangannya dan lengannya. Adawiyah terasa ingin menangis saat itu juga. Namun dia terpaksa menjaga maruah lelaki itu dan maruahnya juga.
            “Adawiyah, Adawiyah dah lupa, panggil saya Irfan saja. Lagi sekali panggil saya bos, saya akan cium awak!” kata-kata itu membuatkan jantung Adawiyah bagaikan terloncat keluar. Bulat matanya memandang lelaki itu. sudahlah dia semakin takut dengan sikap lelaki yang semakin menjadi-jadi itu. Lelaki itu siap mengugut lagi! Geram sungguh dia!
            “Hah!” Adawiyah terkejut dan matanya membulat.
            “Kenapa? Tak percaya?” Irfan tersengih-sengih memandangnya.
            “Jangan buat sesuatu yang tak senonoh di sini bos...er ...er Irfan! Saya ni sudah berdosa besar bos!” kata Adawiyah yang tersasul-sasul. Muhammad Irfan ketawa lagi. Dia tidak peduli dengan orang yang berada di sekelilingnya. Dia suka melihat Adawiyah kelam kabut begitu.
            “Saya tak biasa Irfan, maafkan saya. Lagipun saya ni pekerja, mana layak nak berkawan-kawan dengan bos!” Dalam diam Adawiyah mengutuk majikannya. Sekelip mata juga tangan halusnya sudah berada di dalam genggaman Irfan. Adawiyah tidak dapat menarik tangannya semula. Adawiyah ingin menangis saat itu juga. Wajahnya terasa kalut sekali. Lelaki di depannya itu pula bagaikan tidak memahami perasaannya. Namun terpaksa ditahannya. Beberapa orang pekerja dan pengunjung di situ bagaikan mengenali Irfan. Jadi, Adawiyah harus berlagak selamba di hadapan orang ramai di restoran eksklusif itu.
            “Macam tu lah kalau tak nak kena cium!” kata Muhammad Irfan sambil ketawa kecil. Adawiyah semakin ketakutan dan benci dengan sikap lelaki itu.
            “Lepaskan tangan saya Irfan, tak baik dilihat orang. Kita bukan siapa-siapa. Saya tak biasa begini!” dalam ketakutan Adawiyah masih sempat memberi nasihat kepada Irfan. Muhammad Irfan melepaskan genggamannya. Namun sempat diusapnya tangan mulus itu. Adawiyah menarik nafas lega.
Makanan yang terhidang didepannya belum disentuhnya. Hanya jus mangga sahaja yang disisipnya dua kali. Itupun hampir tidak tertelan di tekaknya. Menu di atas meja itu tidak pernah dilihatnya. Semuanya tidak masuk di dalam selera kampungnya. Kalau sambal belacan dan ikan masin pasti membuka seleranya.
            “Maafkan saya Adawiyah tapi percayalah saya memang sayangkan Adawiyah. Sudikah Adawiyah menerima lamaran saya malam ni?” soal Muhammad Irfan yang begitu bersungguh-sungguh. Lelaki itu memang pandai mengambil hati wanitanya. Namun Adawiyah tetap belum dapat menerimanya.
            Kalaulah lelaki yang sedang mengungkapkan kata-kata penuh cinta dan kasih sayang itu adalah bekas kekasihnya Asyraf, pasti dia akan terus mengangguk. Itulah lelaki yang diharapkan. Kini, Asyraf entah di mana. Namun begitu Irfan tetap juga disenanginya sebagai majikan. Lelaki itu tampan dan selalu kemas dalam penampilannya.
Namun dia tetap tidak berani untuk mengambil keputusan menerima lamaran itu. Dia benar-benar tidak memiliki kekuatan dan kepercayaan untuk menerima cintanya. Tengah hari tadi dia baru sahaja kelaur dengan gadis yang Iain, malam pula dia meluahkan perasaan kepadanya, Adawiyah memang tidak mahu percaya sama sekali! Hidup mati semula pun Adawiyah tidak akan percaya!
            “Maafkan saya Irfan. Saya belum bersedia hendak menerima apa-apapun kata-kata Irfan malam ni. Saya tak bersedia sebenarnya. Irfan carilah gadis lain, bukan saya, saya belum sedia,” kata Adawiyah cuba menyusun kata-kata yang terbaik agar tidak menyakiti hati majikannya. Mungkin kalau orang lain yang menerima luahan cinta ini pasti melonjak gembira namun bukan dia orangnya. Malah, dia semakin takut kalau lelaki itu bertindak yang bukan-bukan terhadapnya.
            “Jangan sebut gadis lain di sini. Saya hanya mahu Adawiyah, bukan gadis lain. Tak apalah saya akan tunggu sampai Adawiyah bersedia. Fikirkanlah selama mana pun. Saya tetap akan tunggu!” kata Irfan kelihatan tulus dan jujur. Sebenarnya dia tidak mahu sabar mendengar persetujuan gadis manisi dan ayu itu. Namun dia tidak boleh memaksa.
            “Saya akan beritahu ibu bapa saya kalau Adawiyah sudah setuju!” sebuah lagi kejutan untuk Adawiyah. Kenapa sampai begitu cepat pula? Adawiyah tersangat takut.
            “Jangan bos err Irfan. Jangan dulu, saya tak sedia lagi ni! saya ni kan masih belajar, saya sedang sambung pelajaran saya!” kata Adawiyah menelan liur. Sekali lagi tangannya sudah di dalam genggaman lelaki itu.
            “Ya, saya akan tunggu Adawiyah sedia,” kata Muhammad Irfan mula bertoleransi dengan Adawiyah. Adawiyah terkedu.
            “Jangan buat begini Irfan. Kita belum ada ikatan yang menghalalkan perbuatan begini,” kata Adawiyah mengingatkan lelaki di depannya itu. Dia bukan hendak tunjuk pandai atau bijak tetapi hanya mengingatkan.
            “Jangan bimbang Adawiyah. Saya akan memecahkan benteng larangan kita. Saya akan menikahi awak tak lama lagi,” bulat mata Adawiyah. Lelaki itu terlalu nekad dan sangat menakutkan diri Adawiyah sendiri. Dia benar-benar resah pula. Dia belum mahu terikat dengan sesiapa lagi. 
          'Baru sahaja tahun lepas dia menamatkan persekolahannya, takkan tahun ini dia mahu bergelar isteri pula? Eh, memang tidak boleh diterima akalnya ni! Kalau akal orang lain dia tak tahulah! Dan, dia hairan pula, apakah yang ada di wajahnya ini sehinggakan lelaki itu terus gila dan jatuh kasih kepadanya? Dia mahu bertanya soalan begitu, hatinya meronta namun ditahannya rontaan soalan itu!'
            “Jangan Irfan! Saya belum sedia lagi! Saya tak sedia nak komitmen apa-apa dengan insan bernama lelaki setakat ni! Irfan tahu kan saya ni masih muda lagi! Saya belum sedia lagi! Tolonglah!” kata Adawiyah memohon ditangguhkan hasrat lelaki itu. Kali ini dia benar-benar memohon agar Irfan mendengar rintihan hatinya itu.
            “Tak apalah, saya boleh sabar selagi awak belum sedia lagi, yang penting awak terima saya sebagai kawan, cinta boleh dipupuk kan?” kata Irfan. ‘Cinta?’ Adawiyah menelan air liur apabila menyebut cinta. Dia memang tidak bersedia untuk menyebut perkataan itu. Cukuplah kasih sayang emaknya sahaja. Kawan sekolahnya pun tidak pernah mendapat layanan istimewa. Lagipun, dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Dia tidak mahu apa yang berlaku kepada emaknya berlaku pula kepada dirinya. Dia bukan mudah percaya kepada lelaki. Setakat berkawan dengan lelaki baik dia tidak akan berbuat demikian. Dia tidak rela diperlakukan seperti emaknya! Tidak rela!
            “Irfan, awak kena fikir dulu sebelum buat apa-apa keputusan. Antara kita banyak perbezaannya. Saya bimbang keluarga awak akan menentang hasrat awak ni!” kata adawiyah. Muhammad Irfan ketawa.
            “Kalau keluarga saya tak menentang, apakah Adawiyah sudi menerima saya?” soal Irfan. Buntang matanya. Soalan itu sekali lagi memerangkapnya. Sungguh Adawiyah tidak ada jawapannya! Serba-salah pun ada. Kenapa sampai kepada ibu bapa? Dia belum menyanggupi permintaan lelaki di depannya itu! Dia belum mahu dilamar!
            “Banyak gadis di luar sana, jangan terburu-buru memilih saya, kita pun baru kenal lagi Irfan!” kata Adawiyah bagaikan seorang kaunselor.
            “Saya tetap akan memilih Adawiyah menjadi suri hidup saya, Adawiyahlah gadis pilihan saya tu!” Adawiyah semakin pening dengan pengakuan lelaki itu. Tidak pernah dia berjumpa dengan lelaki senekad itu. Baru sahaja berjumpa, sudah berani melamarnya. Mungkinkah itu hanya godaan sahaja? Adawiyah semakin berhati-hati terhadap majikannya itu.
            “Berikan saya waktu memikirkannya, jangan paksa saya! Saya akan berikan jawapan kalau saya sudah ada jawapannya!” kata Adawiyah berusaha memujuk lelaki itu. pandangannya ditundukkan.
            “Saya berikan awak masa. Jangan lama sangat ya.” Kata Irfan memberikan syarat sekali lagi. Balik-balik dia juga yang terperangkap.
            “Terima kasih Irfan,” kata Adawiyah. Matanya ditundukkannya ke arah makanannya yang belum berusik. Dia memang sudah hilang selera mendengar paksaan majikannya itu. Tidak semena-mena dia pula yang menjadi mangsa luahan hati lelaki itu. Sungguh di luar dugaan!
            “Terima kasih untuk apa?” soal Irfan. Adawiyah tersipu-sipu. Lelaki itu memang pandai hendak memerangkapnya. Mungkin kerana lelaki itu biasa mempunyai teman wanita.
            “Untuk segalanya malam ni,” kata Adawiyah malu-malu.
            “Kasihmu sudah lama kuterima sayang,” kata Irfan. Sekali lagi Adawiyah terkesima.
            “Err, ayuhlah kita balik, saya dah lewat ni!” kata Adawiyah teragak-agak. Jam di tangannya sudah lebih jam 9.00 malam. Dia sudah bimbang. Dia bimbang emaknya akan keresahan di rumah. Dia tidak pernah selewat begini kalau balik ke rumah.
            “Tapi kita tak boleh balik lagi,” kata Irfan. Mata majikannya menatap kemas ke anak matanya. Adawiyah cepat-cepat menundukkan pandangannya. Jantungnya berusaha keras berdegup dengan kencang.
            “Kenapa pula? Nanti saya lambat pula, kampung saya jauh,” kata Adawiyah semakin cemas. Kali kedua dikerlingnya jamnya. Jam sudah menunjukkan lebih pukul 9.00 malam.  Dia sudah membayangkan rasa bimbang dan curiga emaknya. Aduh, apa yang bakal dijawabnya?
            “Adawiyah sayang kena habiskan makanan ni,” kata Irfan mengenakan syarat lagi. Lelaki ini memang penuh dengan syarat.
            “Ha?” Adawiyah terkejut. ‘Makanan aneh di atas meja itu dihabiskan?’ Adawiyah telan liur lagi. Dia benar-benar tidak dapat menghabiskan makanan asing baginya itu. Tak mungkin!
            “Haa...a..biskan?” Irfan mengangguk.
            “Ya, kena habiskan! Ni makanan saya, untuk saya. Awak punya makanan tolong habiskan ya!” desak majikannya itu. Adawiyah terpaksa menjamah makanan yang agak banyak di dalam pinggan itu.
            “Pakai sapu tangan tu dan letakkan di atas riba!” kata majikannya. Dia menunjukkan cara menggunakan sapu tangan putih itu. Adawiyah mengangguk walaupun tidak biasa dengan keadaan itu.
Mahu tak mahu Adawiyah terpaksa menghabiskan makanan di depannya. Irfan juga terus memakan makanan yang sudah ditempahnya dengan lahap. Memang benar dia lapar.
            Selepas makan, Irfan terus memanggil pekerja di restoran itu. Adawiyah pula hanya bergerak melalui pegangan tangan Irfan  yang menariknya ke mana-mana.
            “Boleh tak saya berkenalan dengan keluarga Adawiyah?” satu kejutan lagi ketika Adawiyah hendak melangkah masuk ke rumahnya. Memang lelaki di sisinya itu penuh dengan kejutan.
            “Tak boleh, mak saya dah tidur. lain kalilah,” kata Adawiyah bagaikan memberikan harapan.
            “Ya Iain kali lah ya,” kata Irfan mengulangi kata-katanya. Adawiyah terus menutup mukanya dengan selimut apabila mengingati lelaki itu mengucup tangannya sekali lagi sebelum dia keluar dari kereta mewah majikannya itu. Adawiyah benar-benar masih lencun dalam debaran kencang. Ya debaran demi debaran. Kejutan demi kejutan. Kalau ada kejutan lagi esok pagi pasti Adawiyah pengsan!
            “Hmm... Wiyah belum tidur lagi?” soal Puan Musliah yang tiba-tiba membuka pintu biliknya. Kenangan bersama Irfan habis hilang serta merta. Malunya! Dia tertangkap oleh emaknya.
            “Mahu tidur dah ni mak!” jawab Adawiyah. Dia terasa pipinya panas sekali. Puan Musliah hanya tersenyum. Dia bagaikan dapat membaca apa yang berlaku kepada anak gadisnya. Namun dia tetap menunggu anak gadisnya itu membuka mulutnya untuk berterus terang.
            “Ya tidurlah!” kata Puan Musliah menutup pintu semula.
            “Ya, selamat malam mak!” kata Adawiyah lantas bangun mematikan suis lampu di biliknya.
            ‘Huh, gara-gara kau lah Irfan Irfan, aku hampir-hampir tertangkap oleh mak!’ Bisik Adawiyah menutup mukanya dengan bantal. Esok dia sudah membuat perancangan sendiri.




Wednesday, September 26, 2012

Novel: Sentuhan Kasih


11


Kami tiba awal di rumah keluarga mertua pada pagi itu. Aliff Safwan mendesak aku menjenguk ibu bapanya di rumah keluarganya. Aku mulanya enggan. Semua adik-beradik Aliff Safwan masih berada di rumah itu. Setahu aku adik-beradiknya hanya tiga orang. Aku pula yang berasa segan dengan apa yang kulihat di rumah itu. Rumah keluarga Aliff Safwan lebih besar daripada rumah yang dimiliki oleh Aliff Safwan namun bentuknya sahaja yang agak kekampungan. Rumah Aliff Safwan lebih moden dan kontemporari. Aku menyukai rekaannya.
            “Eh, menantu mama dah sampai! Mari masuk Aliya. Mama tak tahu pun Aliya dah balik samalam. Kalau tak tentu papa dan mama datang menjenguk di rumah kamu semalam!” kata Puan Mariam sambil menyambut salamku. Kami berpelukan seketika. Namun aku berasa tidak tenteram dengan perbuatan Puan Mariam sejak kami bersanding minggu lalu. Mungkinkah dia juga tidak mahu aku dinikahkah dengan anak lelakinya.
            “Apa khabar mama?” sapaku perlahan. Aliff Safwan juga turut menyalami tangan Puan Mariam dan Encik Taufik. Gadis manis yang tidak pernah kutemui di rumah itu mengundang pelbagai pertanyaan di hatiku. Gadis itu mengenakan skirt paras lutut dan blaus tanpa lengan. Gadis itu nampak moden. Rambutnya kekuningan mungkin diwarnakan. Dia memandang aku secara curi-curi ketika dia meletakkan makanan di atas meja. Aku pun turut memandangnya secara curi-curi juga. Namun, mulutku kelu, siapalah aku hendak bertanya.
            “Khabar baik Aliya. Maria, mari sini sayang. Salam dengan abang Aliff dan menantu mama yang cantik ni.  Aliya, ni Maria anak saudara mama. Dia nak jumpa dengan Aliff teman lamanya dan Aliya.” Kata Puan Mariam. Maria menjeling aku dengan pandangannya yang tajam. Aku dan Aliff Safwan turut menyalaminya. Dia tersenyum sinis kepadaku. Wajah Aliff Safwan pula berubah kelat.
            “Mama, apa yang mama nak buat ni? Aliff hairan mama buat Aliya macam ni!” soalan Aliff Safwan menyebabkan aku terkejut. Namun aku memang tidak mahu mengerti apa-apa ketika itu. Aku hanya berteka-teki sendiri. Setahu aku, Aliff memang tidak mempunyai adik perempuan yang dewasa begini.
            “Aliff, kenapa marah-marah ni? Tak baik macam ni. Aliff kan pengantin baru. Segan dengan isteri kamu tu! Mari ikut ayah keluar! Kita borak-borak di luar.” kata Encik Taufik kepada anak sulungnya itu. Aliff Safwan sudah mengikuti haluan ayahnya. Aliff Safwan sempat memandang ke arahku. Aku hanya tersenyum pahit.
Entah apa yang bergolak antara mereka aku tidak mahu tahu. Tetapi, dalam hatiku turut merasakan ada sesuatu yang sedang berlaku. Namun, aku tidak mahu terlalu banyak menduga. Biarlah aku mendiamkan diri sahaja.
            “Maria, inilah menantu mama. Cantikkan,” Kata Puan Mariam. Aku memaniskan wajahku. Maria masih tersenyum sinis kepadaku.
            “Tentulah cantik auntie tapi agak kekampungan sikit! Tak macam Maria ni. Tak layak langsung berganding dengan Aliff! Gadis kampung!” kata Maria tanpa berselindung.
            “Saya memang gadis kampung! Saya pun rasa tak layak tapi apa boleh buat, abang Aliff dah pun sah untuk saya sebagai suami!” jawabku tidak mahu kalah.
Aku terasa dengan kata-katanya. Siapakah gadis ini sebenarnya? Soalku dalam diam. Kenapa Aliff Safwan memarahi emaknya sebentar tadi, apakah berkaitan dengan Maria? Soalku dalam hati.
“Eh, jangan terasalah dengan kata-kata Maria tu! Maria tu memang begitu. Dulu Maria ni memang tunang Aliff!” Puan Mariam berterus-terang. Alangkah sakitnya hatiku namun kutahan sakitnya.
“Hmm, awak jangan tak tahu! Saya datang ni nak balik dengan Aliff awak tu! Bolehkan?” jawab Maria pula. Aku terkedu. Apa yang hendak kujawab. Kalau dia hendak semula bekas tunangnya ini, aku tak ada masalah pula. Bimbang pula ahli keluargaku yang mendapat malu. Takkan Aliya cerai selepas kahwin lima hari! Kecoh nanti satu kampung! Sempat aku berfikir. Tak apalah, aku masih boleh sabar. Nanti balik ke rumah, aku akan bincang baik-baik dengan Aliff Safwan. Dia harus membuat pilihan. Aku atau Maria!
            “Aliya, inilah kawan baik Aliff sejak di bangku sekolah hingga ke universiti. Mama ni dah kenal hati budi Maria ni. Hati budi Aliya mama tak tahu lagilah!” Kata Puan Mariam menikam sukma. Aku sempat memberikan senyuman yang manis ke arahnya. Namun, dia tetap memandangku bagaikan sebelah mata. Kami sempat bersalaman.
            “Aliya, awak pergilah ke ruang tamu dahulu, biarlah mama dan Maria saja yang duduk di dapur ni. Maria ni memang gadis yang cekap di dapur. Maria ni gadis yang periang dan pandai memasak! Itu yang mama suka dengan Maria! Kalau menantu mama ni mama tak tahu lagi! Mungkin Aliya lebih pandai memasak daripada mama kan!” kata Puan Mariam. Wajahku sudah kelat dan tebal berinci-inci rasanya. Aku terdiam menjeruk hati. Apa pula tujuan Puan Mariam memerli aku begitu. Bukankah aku adalah menantunya? Kenapa dia cuba memburukkan aku di depan anak saudaranya Maria.  Soalku sendiri.
            “Oh, ya, saya masuk dulu mama. Kalau mama perlukan bantuan, saya akan membantu.” Kataku lagi. Kali ini dia sudah tersenyum manis.
            “Tak apalah Aliya. Dengan adanya Maria, mama tak ada masalah lah! Maria ni memang cekap buat kerja. Ingatkan dulu, Aliff tu nak kahwin dengan Maria. Kot-kot orang lain yang dinikahinya! Mama pun hairan dengan citarasa Aliff yang agak kekampungan.” kata Puan Mariam. Aku tidak bersedia hendak tahu apa-apa cerita, aku hanya mengangguk. Senyumanku mati di hujung kata-kata Puan Mariam.
            “Saya pun tak faham kenapa Aliff mengambil saya sebagai isterinya mama. Saya betul-betul tak faham. Tambahan pula kalau mama sudah ada calon untuknya. Alangkah baiknya kalau Maria yang jadi menantu mama,” Kataku perlahan. aku tidak tergugat dengan cabarannya kerana aku tahu di mana kedudukanku. Aku masih berpeluang untuk keluar dari kemelut perkahwinan kami kalau Aliff sudah ada calon yang lain.
            “Itulah mama tak faham dengan ayah Aliff tu. Cepat sangat menerima kata-kata mak dia. Mama memang tak senang hati! Kalau tidak pasti Maria yang menjadi anak menantu mama kan!” kata Puan Mariam lagi tanpa berselindung. Aku yang menjadi tidak senang hati dengan sikap terus-terangnya.  Maria hanya tersenyum terhadap Puan Mariam. Aku menjadi geram seketika dengan sikap mereka.
            “Tak apalah mama, mungkin hari ni hari dia. Mana tahu esok-esok ada pula hari Maria!” kata Maria dengan senyuman sinis. Aku tidak menyangka keadaan ini yang akan kutemui. Ketika keluargaku membuat lawatan balas ke rumah keluarga Aliff Safwan tidak pula aku mengetahui kisah yang sebenarnya. Kenapa Aliff Safwan masih berkeras menikahi aku? Bukankah mamanya mempunyai calon menantu yang lebih hebat? Malah, sudah tentu mereka saling mencintai! Tetapi kenapa aku yang langsung tidak pernah melayani kerenahnya yang dipilih oleh lelaki itu?
Aku nanar dengan keadaan yang baru kuterima ini. Memang selama ini Puan Mariam hanya menunjukkan mukanya yang manis-manis sahaja semenjak anaknya bertunang denganku lagi. Namun, aku tidak pernah menziarahi ibu bapa Aliff Safwan sebelum kami diijabkabulkan. Mungkin di sinilah silapnya aku.
            ‘Ah, lagi cepat Aliff Safwan bermasalah, lagi cepat aku akan dilepaskan! Tidak perlu menunggu surat perjanjian kami! Malah, masing-masing punya alasan untuk memendekkan jodoh di antara kami! Bagusnya!’ Bisikku sendiri.
            “Err Aliya, dah kahwin ni macam mana? Siapa yang ikut siapa selepas ni? Takkan seorang di hulu dan seorang di hilir! Kalau macam tu baik tak payah kahwin!” soalan Puan Mariam terlalu sarat hendak kujawab. Malah, aku tidak ada jawapan yang terbaik untuk soalan itu. Memang Aliff Safwan sudah meminta aku berhenti kerja namun aku juga ada komitmen lain di pejabat tempatku bekerja.
            “Belum tahu lagi mama! Aliya tak mahu pindah ke kampung ni. Sesak nafas Aliya!” kataku perlahan tetapi pasti menusuk tajam ke ulu hati ibu mertuaku itu. Terbuntang mata Puan Mariam dengan jawapanku. Mungkin dia pun berasa gembira dengan sikapku yang tidak mengendahkan anaknya.
            “Eloklah kalau seorang di bandar dan seorang di kampung ni! Makan minum anak mama siapa yang nak jaga? Takkan lengkap dengan orang gaji sahaja! Apa gunanya ada isteri?” kata Puan Mariam lagi. Aku memang tidak senang hati dengan kata-kata Puan mariam ini.
            “Tak tahu lagilah mama. Kami belum bincang lagi. Nanti kalau kami dah bincang baru Aliya bagitahu mama!” Kataku perlahan. Wajahku kelat sejak tadi. Puan Mariam dan Maria asyik mengenakan aku. Aku tidak tahan dibuatnya.
            “Bincanglah awal-awal ni. Aliff tu mampu! Takkan ada masalah baru nak bincang! Itu tak bijak namanya!” kata Puan Mariam memberikan pendapatnya. Pendapat Puan Mariam itu ada benarnya. Tetapi bagaimana aku hendak berbincang dengan Aliff Safwan kalau di pihakku memang tidak ada sekelumit perasaan untuknya. Oh, tidak mungkin akan ada perbincangan mengenai hal itu. 
            “Tak apalah auntie kalau mereka tak mahu nak bincang. Buat apa auntie nak sibuk-sibuk pula! Biarlah mereka dengan hal mereka!” kata Maria pula menunjukkan timbang rasanya. Puan Mariam mengangguk setuju. Aku hanya mendiamkan diri.
            “Saya ke depan dulu mama.” Kataku. Puan Mariam dan Maria menghantar aku dengan jelingan tajam. Aku tidak menyangka kalau penerimaan mereka tidak kujangka.
            “Nak mengadu dengan Aliff lah tu!” sempat lagi Maria mengejek aku. Aku menundukkan wajahku.
Lantas aku keluar ke ruang tamu yang serba indah dan besar itu. Aku menemui Aliff Safwan yang sedang berbual-bual dengan ayahnya, Tuan Taufik.
            “Kenapa ni Aliya macam tak selesa? Apa yang mama cakap kat Aliya?” soal Aliff mendapatkan aku. Aku mengangkat bahu sambil memandang ke arah peti televisyen.
            “A’ah, ada apa Aliya? Tiba-tiba sahaja dah hilang senyuman. Sejak tadi, bukan main senyuman manis!” kata Tuan Taufik pula. Aku menggeleng.
            “Tak ada apa-apa papa. Saya biasa-biasa sahaja!” jawabku perlahan. Namun, Aliff Safwan sudah tidak senang duduk memerhatikan keadaanku. Aliff Safwan meramas-ramas tanganku. Mungkin dia boleh membaca perasaanku dengan wajahku yang kelat dan masam. Aku tahu Aliff cuba menghantar rasa tenang ke jiwaku. Namun aku memang tidak boleh tenang lagi!
            “Papa, kebetulan saya ada kerja di pejabat lagi, kami balik dululah papa.” Kata Aliff Safwan kepada ayahnya. Aku turut menyalami bapa mertuaku. Aliff Safwan membawa aku ke dapur.
            “Mama, Maria, kami balik dulu ya,”
            “Eh, cepatnya nak balik! Mama belum masak lagi nak,” kata Puan Mariam cuba memujuk anak lelakinya.
            “Tak apalah mak, saya ada kerja sikit mama, Maria.” Kata Aliff Safwan. Aku turut menyalami kedua-dua wanita itu walaupun fikiranku kacau dan perasaan marahku menggila kepada mereka.