Sunday, May 5, 2013


19



Aku agak berasa sedih pula. Setelah lebih dua hari aku di rumah Aliff Safwan selepas acara persandingan kami di rumah keluarga nenda mertuaku. Memanglah tidak ada apa-apa yang berlaku antara kami namun entah kenapa aku tetap bersedih. Cutiku pun sudah habis. Kalau ikutkan hati mahu sahaja aku menelefon majikannya untuk menambah cutiku, namun aku tidak berani hendak berbuat demikian. Kalau selama ini kami sering bertengkar macam kucing dengan anjing, namun hari ini aku seperti terkesan pula dengan kebaikan-kebaikan lelaki itu kepadaku. Aku bukan gadis yang kalis cinta. Namun selama ini aku tidak pernah memberikan peluang kepada sesiapapun untuk mendekati aku. Cukuplah sekali aku terluka dan luka sebenarnya belum sembuh. Bagaimana mahu sembuh jika aku aku tidak pernah memberikan ubat untuk merawat luka di hatiku.
              “Sayang sudah siap? Kenapa tunduk macam begitu? Tak sanggup tinggalkan abang ya? Sayang sedih? kalau sedih, sayang sambung cuti ya! Abang sanggup beri gaji kepada sayang,” soalnya apabila melihat aku tunduk sambil memandang kepala katil kami yang berukir. Aku pantas menggeleng. Aku tidak mahu menambah cutiku semula. Aku berasa malu pula kepada kawan-kawan di pejabat.
              “Taklah, saya nak cepat balik, saya sudah siap kemas barang, marilah kita balik ke rumah abang saya,” jawabku cepat. Aku tidak mahu bertangguh-tangguh lagi. 
              “Barang abang tak kemas sekali?” buntang mataku mendengar soalannya. Aku pandang wajah tampan itu. Ada kesedihan dan kesayuan di mata itu. Pasti dia berasa berat hati hendak melepaskan aku bekerja semula di bandar itu.
              “Awak nak ke mana? Bukankah awak kerja sini buat apa nak tinggal sana pula. Nanti hujung minggu lah awak ke situ. Nanti kalau syarikat awak rugi pasti mama awak akan salahkan saya sebab buat awak rugi! Eh, tak naklah saya buat hal dengan mama awak!” sebenarnya hatiku sedih, mahu meratap pun ada. Lelaki yang kukenali baru beberapa hari ini cukup mengambil berat tentang diriku. Entah manusia jenis lelaki di depanku ini.
              “Takkan terus tinggalkan sayang macam anak ayam, eh salah begitu. Nanti mak mertua abang marah, nenda pun marah. Abang tak jamin! Mama abang jangan peduli biar abang yang uruskan nanti!” jawab Aliff. Ada-ada sahaja jawapannya hendak mengenakan aku. Aku mencebik bibirku.
              “His jangan cebik-cebik macam itu, abang tak tahan nanti, sayang juga yang susah!” katanya. Aku sudah pusing badan. Malas aku hendak melayani kata-kata lelak itu.
              “Kenapa ni awak nak tidur sana juga? Cuti belum habis lagi?” soalku. Dia geleng kepala. Aku syak yang dia akan bercuti lagi. Atau dia juga seperti aku tidak tahu bagaimana hendak merasa berpisah antara satu sama lain? Entahlah aku sendiri bingung dibuatnya. Aku takut aku rindu tetapi aku belum tahu akan perasaanku sendiri.
              “Abang belum habis cuti! Cuti berlambak! Sepanjang abang cuti, papa akan ambil alih tugas. Kecuali untuk tugas yang amat berat!” katanya. Aku angguk.
              “Buat apa awak nak ikut saya. Saya bukannya lari. Saya kerja. Hari sabtu dan Ahad saya akan kuliah! Saya tak ke mana-mana!” kataku perlahan. Kelat wajah di sisiku itu.
              “Sayangkan isteri abang, suami mesti selalu ada di sisi isterinya,” aku hampir tergelak. Dia sudah menyindir aku.
              “Maaflah, cuti saya memang sudah habis awak. Kalau tak saya akan cuti lagi demi awak, tapi memang tak dapat diselamatkan. Cuti saya tinggal seminggu lagi!” kataku.
              “Baguslah kalau cuti sayang masih ada lagi. Lagi dua minggu abang nak bawa sayang ke singapura, sayang ambil cuti tiga hari ya. Nanti abang beritahu tarikh  yang sebenarnya,” aku terkejut. Belum apa-apa sudah hendak membawa aku terbang ke mana-mana lagi.
              “Singapura? Tak naklah! Awak pegi sendiri lah! Saya tak mahu cuti-cuti lagi. Lagi dua minggu adalah masa saya nak ke mahkamah. Ada kes penting di situ.” Kataku mengingati jadualku. Dia geleng. Mungkin tidak puas hati dengan penolakanku.
              “Ya Singapura, sayang tak suka dengan tempat tu? Abang ada urusan di situ,” jawabnya. Aku geleng.
              “Bukan tak suka. Saya suka tapi saya kerja. Saya sayang nak lepaskan tugas saya. Lagipun nilah masa nak jumpa dengan Rahimah, peguam bela berkeliber tu,” kataku. Apakah peguam itu lebih penting, atau tugasku sangat penting berbanding suamiku? Ah, dia hanya suami di atas kertas. Tolakku dalam hati.
              “Boleh tak awak beri peluang kepada hubungan kita yang baru bermula ini? Sayang ni terlalu sayangkan kerja berbanding abang. Awak memang tak sayangkan hubungan suci kita ini?” soalnya merayu. Lelaki ini memang tidak faham bahasa. Aku cakap aku tidak mahu memohon cuti dan bertemu dengan Puan Azizah semula. Aku malu nak cuti berkali-kali. Aku tak suka cuti!
              “Jangan salah faham. Nantilah kita bincang. Saya memang tak boleh nak cuti sekarang. Saya tak boleh awak. Lain kali lah ya,” tolakku seolah merayu.
              “Abang memang susah nak faham sayang ni! Sayang ni terlalu misteri bagi abang!” aku ketawa. Aku tidak tahu bagaimana hendak menidakkan atau mengiyakan. Memang aku tidak dapat bercuti dua minggu akan datang. Nanti Puan Azizah akan mencari pengganti aku pula. Aku sayangkan kerja aku. Lagipun aku mahu bayar hutang arwah atukku, jadi jangan minta aku bercuti!

              Akhirnya kami mendiamkan diri sahaja sepanjang perjalanan. Hanya lagu-lagu romantik Inggeris dan Melayu menemani perjalanan kami.
              “Sayang kenapa diam? Tak ada apa-apa nak cakap dengan abang?” aku geleng. Sebenarnya beberapa lama aku tertidur. Aku memang tidak dapat membuang tabiatku yang suka tidur jika bukan aku yang membawa kereta.
              “Tak ada, tak ada apa-apa nak cakap,” kataku. Akhirnya kami diam semula sehingga tiba di sebuah hotel lima bintang kalau aku tidak silap. Di bahagian belakangnya ialah pasar kraftangan yang sangat popular di negeri di bawah bayu ini.  
              “Awak, buat apa kat sini?” soalku kehairanan. Aku sepatutnya dihantarnya ke rumah abangku. Abang dan kakak iparku sudah menunggu aku. Dia ketawa.
              “Tak ada apa-apa. Kita minum dulu, lepas tu abang sudah tempah tidur kat sini selama dua malam,” katanya. Aku terlongo.
              “lamanya! Buat apa awak duduk lama-lama di sini! Membazir tahu!” dia ketawa. Aku kehairanan macam orang dungu.
              “Dengan sayanglah! Buat apa pula abang sorang-sorang kat bilik ni!” aku terlongo lagi.
              “Janganlah! Saya nak tidur di rumah abang saya. Saya sudah biasa di situ! Di situ memang privasi. Awak pun boleh tinggal di situ kalau awak mahu!” aku merayu sebenarnya. Dia ketawa lagi.
              “Taka pa, lepas minum kita check in dan jumpa abang sayang,” katanya.
“Minumlah di gerai. Mana biasa minum di sini,” kataku kalut.
              “Tak apalah, bukannya selalu.” Katanya. Aku terpaksa mengikutnya ke situ. Itupun setelah tanganku ditariknya secara paksa. 

Moga terhibur ya. 

Friday, May 3, 2013

Bab 18

Ni bab yang ke 18. Harap anda terhibur ya.



  18



“Syukurlah hasrat kita sudah tertunai Balqis,” kata nenda Mariam kepada nenekku. Aku duduk di sisi nenda Mariam. Aliff pula duduk di sisi nenekku.
              “Ya lah kita berdoa semoga hubungan mereka akan berpanjangan Mariam. Sama-samalah kita berdoa. Jangan sampai ada apa-apa berlaku antara mereka.” Kata nenekku. Aku mendengar macam patung cendana.
              “Kita doakan yang baik-baik saja Qis, jangan sampai berlaku apa-apa. Jika perceraian berlaku, awak berdua tak akan dapat satu sen pun harta nenda, ingat awak berdua?” Kata nenda Mariam. Aku angkat kening. Aliff Safwan sudah tersengih ke arahku dan mengangkat keningnya. Aku geram dengan sikapnya yang selamba badak itu.
              “Jangan sebut yang bukan-bukan nenda, nenda mesti doa- yang baik-baik saja. Jangan cakap macam tu! Kita ni bukan nak sangat harta, kita nak kasih sayang kan sayang?” aku terkaku lagi. Tetapi cepat-cepat aku mengangguk. Lelaki ini memang juara berlakon di depan sesiapa sahaja yang ada kepentingan dengannya. Nenda dan nenekku tersenyum puas hati.
              “Ya lah saya memang selalu mendoakan cucu saya seorang ini, Alhamdulillah jodoh mereka kuat,” kata Nenda Mariam.
              “Jadi bagaimana Aliya, bahagia tak dengan Aliff? Aliff ganggu Aliya tak? Kalau ada apa-apa, beritahu nenda. Nenda tak mahu kamu berdua gaduh-gaduh. Gaduh-gaduh sayang tak apa. Nanti dua tiga bulan kita nak dengar berita baik pula. Berita yang kita nantikan. Cicit pula untuk nenda dan nenek ya Aliya, Aliff,” kata nenda pula. Aku sungguh terkejut. Bulat mataku mengalahkan guli, bersinar-sinar memandang nenda. Takkan aku nak melahirkan anak lelaki di depanku itu? oh, tidak! Aku rasa aku tak dapat menunaikan permintaan nenda itu setahun dua ini.
              “Itulah yang sebaik-baiknya, moga-moga doa kita akan diperkenankan tuhan Mariam, kita sama-sama doa,” kata nenek ku tersenyum-senyum. Wajahku sudah kaku.
              “Mesti nek, kami akan apa yang nenek dan nenda mahu nanti, nenek dan nenda kena banyak-banyak mendoakan kebahagiaan kami berdua sehingga ke anak cucu cicit!” kata Aliff pula. Dia mengenyitkan matanya ke arahku. Aku tertunduk marah. Malu dan marah bercampur sejak di bilik tadi belum habis lagi. Ini tambahan pula.
              “Eh apa nak anak awal-awal ini mak? Tak layak lagi mereka ini beranak. Aliya ni dengarnya tak habis lagi belajar,” tiba-tiba emak mertuaku menyampuk bersama Maria. Mereka datang secara tiba-tiba. Aku mendiamkan diri. Hilang senyumanku. Begitu juga Aliff.
              “Biarlah mereka kahwin dan beranak muda-muda ini. Buat apa nak tunggu tua-tua baru nak beranak? Aliff ni bukan muda lagi. Dah langkau umur tiga puluh tahun depan. Bukan muda tu, Aliya pun apa kurangnya. Sudah dua puluhan kan? Sudah layak jadi ayah dan ibu!” kata nenda Mariam. Aku diam menghadap lantai yang bertikar cantik.
              “Ya tapi kalau isteri dia tak ready nak kata mak, mak cik? Biarlah mereka enjoy dulu,” kata emak mertuaku lagi. Aku angguk juga. Mukaku tebal berinci-inci. Emak mertuaku sudah buat hal lagi. Aku pandang muka Aliff Safwan tajam. Aliff faham makna pandnaganku itu. ini bermakna dia tidak Berjaya mengatur emaknya. Aku ada sesuatu nak dihadiahkan kepadanya di dalam bilik nanti!
              “Ya sabar-sabar lah dulu, biar mereka bertenang dan berkenalan dulu. Lama-lama nanti serasilah tu!” kata nenekku pula. Aku angguk juga. Sebenarnya aku mahu menangis. Maria tersengih-sengih di sebelah emak mertuaku.
              “Saya akan terus sabar nenda. Jangan risau. Yang penting cinta kami berdua kuat, kan Aliya,” kata Aliff memeluk pinggangku bagi menyelamatkan keadaan. Aku angguk sekali lagi. Kami bertukar senyuman. Biar hidup lakonan kami. Aku mahu lakonan yang mantap malam itu. Malam ini aku jadi tukang angguk sahaja. Setelah berbual-bual lebih lama kami memohon untuk menyanyi karaoke setelah nama kami berdua dipanggil. Aku hendak menyanyi lagu apa? Aku tak tahu menyanyi jadi hanya tukang dengar sekali lagi. Aliff menyanyi lagu Take Me To Your Heart dipopularkan oleh Micheal Learn To Rock. Aku hanya menjadi tukang dengar sahaja.
              “Sayang lagu ini untuk sayang,” kata ALiff membisikkannya di telingaku. Aku pura-pura menunjukkan senyumanku yang paling cantik. Rupanya tetamu masih ramai di luar rumah. Kebanyakan mereka tidur di rumah nenda dan ada yang sudah balik ke tempat masing-masing.
              “Terima kasih bang,” kataku membisik juga di hujung telinganya. Selepas menyanyi kami duduk di kawasan itu dengan agak lama lagi. Aku tidak mahu kami berlama-lama di dalam bilik. Perasaanku sudah sukar kuduga-duga sendiri. Memang aku sendiri gayat dan takut.
              “Sayang, kita naik dulu ke atas, boleh tak? Abang sudah mengantuk ni, penat agaknya, seharian memandu ke sini!” kata Aliff yang melentokkan kepalanya di kepalaku. Beratnya hanya tuhan sahaja yang tahu. Kami pun masuk ke dalam bilik setelah menyalami nenda, nenek dan ibu bapa kami masing-masing.
             

Baca tau!
Bab 17


Berikan komen ya untuk pembaikan. Tk.



17



Selesai solat berjemaah, terasa syahdu di dadaku. Entah kenapa. Mungkin ibu bapa dan sanak saudaraku yang lain belum tiba? Ah, itu bukan soalnya. Aku sepatutnya bersyukur kerana kehadiranku di dalam keluarga baru disambut dengan baik walaupun tidaklah segah mana. Namun aku tetap melihat adanya kesepakatan dalam keluarga baharuku ini. Syukur tetapi kuucapkan. Tidak terhingga syukurku kepada Allah SWT.
              “Jadi, sayang tak nak turun?” soal Aliff menerbangkan semua kenanganku terhadap ahli keluargaku yang lain. Aku terasa sungguh segan dikelilingi oleh ahli keluarga Aliff Safwan sahaja. 
              “Err, turun kejap lagi, err awak, apakah saya kena tukar baju sekarang?” soalku serba salah. Rupanya aku tertidur setengah jam lamanya. Aliff Safwan turut tertidur di sisiku dan apabila aku tersedar, tanganku sudah berada di pinggang Aliff Safwan. Malunya aku. Entah ke mana aku hendak meletakkan pipiku yang sudah berwarna merah jambu. Malu dan tersangat malu. Aliff Safwan pula berpura-pura tersenyum gatal.
              “Malu ya? Malukan? Eh, jangan lah malu, kita kan dah sah suami isteri,” katanya separuh memujuk atau cuba menyakat aku. Aku bertambah malu dengan kata-katanya itu. Tanganku sudah cepat mencubit lengannya.
              “Kalau ketam sudah datang, lengan abang yang jadi mangsa!” katanya.
              “Siapa suruh gatal!” kataku perlahan. Dia sudah ketawa besar.
              “Apa kata kita mandi dulu, badan rasa melekit pula,” kata Aliff Safwan. Aku menjongketkan kening. Senyumannya bertambah gatal. Aku menundukkan pandangan. Tab mandi yang tersedia memang selesa jika aku mengambil keputusan untuk mandi. Namun aku terus duduk di bibir katil.
              “Tak naklah, awak mandilah! Saya tunggu kat sini,” kataku menolak jika disuruh mandi. Sebelum bergerak ke sini tadi aku memang sudah mandi. Aliff Safwan mendekati aku.
              “Kita mandi sama-sama nak tak? Temankan abang,” aku sudah mencubit lengannya sekuat hatiku. Permintaannya itu memang sangat menyakitkan aku. Sebenarnya aku malu. Aku tidak pernah mandi berteman.
              “Tak apalah wak, awak mandi dulu. Saya mandi kemudian. Kalau macam ni nak mandi segala, lebih baik kita solat maghrib dulu baru turun,” kataku yang sudah memandang jam di dinding bilik itu. Jam berlatarkan warna keemasan itu sangat mencuit hatiku. Mungkin kerana aku datang dari golongan sederhana menyebabkan aku sungguh terpikat dengan apa sahaja dekorasi yang ada di bilik kami itu.
              “Hmm, tak eloklah kalau abang mandi sendiri. Kalau berteman tentu seronok. Tak apalah kalau macam tu. Saya masuk mandi dulu. Eh, lupa nak beritahu, baju pengantin kita ada dalam almari tu, tuala segala semuanya sudah tersedia,” kata Aliff Safwan sebelum sempat aku pergi membuka almari kayu jati yang kutahu harganya sangat mahal itu.
Dua belas bulan wang gajiku belum tentu dapat membeli almari sehebat itu. Kus semangat! Aku terus berdiri dan melihat pakaian pengantin yang berwarna krim cair yang sangat cantik itu. Ia potongan kebaya moden. Mai, ai, lehernya berpotongan lebar dihiasi sekuntum bunga mawar merah yang besar. Ya Allah, aku bagaikan tak sanggup hendak memakainya malam ini.
              “Cantikkan,” aku mengangguk. Dia senyum dan mengenyitkan matanya. Dia menarik tanganku. Aku separuh mati berusaha agar tanganku tidak ditarik. Nasib baik dia hanya mengacah aku.
              “Pergi awak mandi! Jangan main-main lagi!” kataku separuh marah.
              “Awak jual mahal lah sayang! Tak dapat abang nak bermesra dengan isteri abang ni!” katanya sambil menutup pintu kamar mandi. Aku terdiam dan terus melihat-lihat baju pengantin lelaki yang sedondon dengan pakaianku itu. Entah bila masa nenda mertuaku itu membelinya.

 ***

Sebelum keluar dari rumah kami tadi aku sempat mengambil dua helai baju blaus yang cantik dan sehelai kurung moden. Aliff memang pandai memilih untuk diriku. Tidak sukar dia meneka saiz baju ku.
              “Belum lagi. Nanti malam sikitlah baru kita tukar baju. Sekarang kan kita nak minum petang bersama keluarga yang lain. Bersanding malam, itupun macam bersanding olok-olok saja. Sebab yang nak tengok hanya nenda. Ahli keluarga yang lain sudah datang masa kita kahwin di kampung sayang.” Panjang lebar penjelasan Aliff. Aku mengangguk. Dan bersyukur jika tidak ramai tetamu yang dijemput. Namun, khemah yang dipasang di perkarangan rumah pak ciknya ini menandakan para jemputan yang agak ramai. Apakah Aliff Safwan cuba membohongiku lagi?
              “Jadi mereka datang lagi untuk kali kedua? Ah, bukannya majlis besar pun!” katanya memujuk aku yang berasa libang libu.
              “Ya lah, merekakan sayangkan nenda. Jadi mereka menurut dan hormat dengan keputusan nenda, jika tak pasti nenda akan merajuk,” kata Aliff Safwan.
              “Keluarga awak ramai ya,” pujiku. Dia mengangguk. Pelbagai pelusuk keluarganya datang. Memang mereka keluarga yang besar dan agak berada-berada.
              “Kami keluarga besar. Adik-beradik ayah ada tujuh orang semuanya. Adik beradik mama ada lima orang semuanya. Itu belum masuk sepupu papa dan mama. Mereka sangat akrab bersaudara. Harap-harap anak-anak kita nanti akan menjadi seakrab itu. Nenda mahu semua mereka balik bersama anak cucu mereka. Itulah sebabnya ramai yang datang. Rakan taulan pun akan dijemput,” kata Aliff Safwan.
Aku tertunduk malu apabila disebut mengenai anak-anak kami. Entah bila aku akan membawa anaknya. Aku belum pasti saat itu. Namun apa yang kupasti saat itu bukan setahun dua ini. Aku masih ingin meraih kejayaan dalam hidupku. Aku belum izin untuk disentuh oleh suami sendiri. Ah, kejamnya aku! Perlahan aku  mengangguk. Aliff Safwan yang sejak tadi merenung aku, seperti dapat membaca apa yang ada di hatiku. Namun aku hanya tersenyum dan dia membalasnya.
              “Mereka semua berharta kan?” soalan yang tidak patut aku tanyakan. Aliff Safwan tetap mengangguk.
              “Jangan pandang harta. Penting sekali budi kita. Walau macam mana banyak harta kalau kita tak berbudi tetap tak baik,” kata Aliff Safwan seperti mahu mengajar aku. Aku tersedar lalu mengangguk. Aku mengakui kesilapanku.
              “Err lain cerita, mak ayah saya datang tak?” soalku. Aliff tersenyum dan menggeleng. Aku kehairanan. Emak dan ayah serta ahli keluargaku berjanji akan datang tadi. Apakah yang berlaku sebenarnya?
              “Keluarga mertua abang tak sedia nak datang. Mereka sibuk di kampung tu. Jadi, hanya kitalah yang ada kat sini. Majlis ini hanya untuk tetamu nenda saja. Jangan susah hati sayang,” kaa Aliff Safwan memberitahu perkara yang sebenar. Aku juga tidak tahu jika mereka mempunyai perancangan yang tersendiri.
              “Saya bukannya susah hati tapi saya hairan saja cik awak hoi! Tak apalah kalau emak dan keluarga saya yang lain tak datang. Saya tak marah. Saya faham siapa keluarga saya di mata keluarga awak,” kataku kepada Aliff Safwan. Aku bukan sengaja hendak menyakiti hatinya tetapi itulah kebenarannya.
              “Maafkan saya sayang, maafkan abang. Abang tak tahupun siapa jemputan mereka pada mala mini. Nanti abang Tanya pak cik abang. Dia yang orang kuat dalam majlis ini. Tapi rasanya mereka jemput keluarga sayang. Jangan kecil hati ya,” kata Aliff Safwan yang sentiasa hendak menjaga hatiku. Aku kadang-kadang rasa terharu. Tetapi di sudut hati yang lain tetap aku berasa kecil hati.
              “Tak apalah kalau macam begitu Aliff, tak ada yang perlu dimaafkan, memang saya tak sedar diri,”
              “Jangan begitu sayang,” kata Aliff Safwan yang sudah bersujud di depan kakiku. Ya Allah betapa suamiku ini begini luhur hatinya. Apakah dia hanya mahu mengambil hatiku dan berpura-pura atau dia benar-benar ikhlas dalam menyayangiku. Namun aku benar-benar bingung. Aku turut duduk di depannya dan ingin menangis tetapi kutahan hatiku.
              “Jangan begini Aliff,” kataku sambil memaut bahunya. Aku spontan melakukan hal itu. Aliff Safwan pula sudah memeluk aku dan mengucup dahiku. Air mataku gugur tanpa kusangka. Entah kenapa hatiku terlalu sebak dengan apa yang berlaku kepada kami berdua. Selama ini tidak pernah kami serapat ini.
              “Maafkan abang sayang. Mungkin abang tidak sebaik mana tapi percayalah abang sayangkan isteri abang ini, walau bagaimanapun cara kita dipertemukan. Abang memang jatuh cinta kepada sayang. Jangan merajuk begini sayang, abang tak tahu bagaimana nak pujuk hati sayang,” kata Aliff membisik kata-kata penyesalannya semula. Aku terasa tenang di dalam pelukannya. Aku tidak berniat hendak merajuk dan aku tidak mahu dia memujuk sampai begini sekali.
              “Jangan begini Aliff, saya tak marahkan awak. Jangan buat saya begini, saya yang tak layak untuk awak, awak terlalu baik untuk saya,” kataku. Aliff semakin mengejapkan pelukannya.
              “Jangan cakap begini sayang, abang sayangkan sayang.” Aku membalas pelukan Aliff. Entah kenapa aku benar-benar terasa tenangnya aku di dalm pelukan lelaki itu. Selama ini aku menolak lelaki ini kerana aku tidak yakin dengan cintanya. Tetapi hari ini hatiku libang libu dengan sikapnya. Apakah aku sudah jatuh cinta? Oh tidak!
              “Aliff, lepaskan saya. Ayuh, kita turun ke bawah. Nenda sedang tunggu tu,” kataku yang sudah menolak tubuh sasa lelaki itu. Aliff pula tersenyum ke arahku walaupun aku sudah menolak tubuhnya sekuat hatiku. Dia ketawa lagi. Dia berdiri dan memegang tanganku. Aku melepaskan tanganku. Aku hendak mengemaskan pakaianku.
              “Awak keluar dulu. Saya nak berkemas kejap,” kataku yang berasa malu dengan adegan itu. Aliff pula berwajah selamba dan wajahnya masih tersenyum bahagia. Aku pula sakit hati dengan sikapnya. Aliff menggeleng.
              “Tak boleh sayang. Kita kan pengantin baru. Kita mesti turun sama-sama sayang,” katanya. Aku bertambah geram. Dia sudah berbaring di atas katil sambil memerhatikan aku. Malunya. Sudahlah kami baru sahaja berpelukan bagaikan sepasang kekasih. Aduhai hatiku kenapa hatiku ini bagaikan masih dipalu. Akhirnya aku hanya mengenakan bedak dan seoles gincu.
              “Ayuhlah turun,” kataku. Dia memegang kejap tangan kananku. Aku tidak mahu menolak. Terpaksa mengikuti langkahnya. Ketika turun di tangga, aku dapat melihat ibu bapa dan adik-beradikku sudah berada di situ. Aku lantas memeluk emak. Rupanya Aliff sengaja mempermainkan aku. Kulihat dia sudah ketawa dan bersalaman dengan ibu bapa dan abang Mazlan.
              “Ingatkan mak tak datang,mak apa khabar?” soalku. Emak mengangguk. Ayah juga tersenyum kepadaku.
              “Mak mesti datang. Nenek pun ada. Di sana dia bercerita dengan nenda mertua kamu,” kata emak. Kami berpelukan lagi. Aku memang rindukan emak dan ayah.
              “Mak datang dengan teksi tadi,” kata emak. Aliff sudah berdiri di sisiku dan memegang tanganku. Aku mahu melepaskannya tetapi aku harus menjaga hati emak dan ayahku serta tetamu yang lain. Nanti apa kata emak dan para penonton yang ada. Jadi, aku biarkan saja Aliff memegang erat tanganku. Setengah jam kemudian, kami sudah diminta naik ke atas untuk disolekkan oleh mak andam yang ditempah khas oleh nenda mertuaku. Kami akan memakai gaun pengantin yang ada di dalam almariku. Namun aku akan dihias di bilik sebelah dan bukannya di bilik kami. Sepanjang malam merupakan hari yang bahagia untuk kami. Tetamu yang datang bukan calang-calang orangnya. Aku berpuas hati dengan majlis yang telah diadakan pada malam itu.


Baca ya jangan tak baca. Pasti awak tunggu lama nak baca karya saya kan? Ha, sekarang masanya. 


Ini bab 16

Lama sungguh tidak berblog di dalam blog ini. Rindu juga terasa tetapi agak sibuk sikit kebelakangan ini.

Sentuhan Kasih



16




“Sayang, bangun sayang. Kita dah sampai.” suara Aliff menyedarkan aku. Terbuka mataku seluasnya melihat Aliff yang sudah berada dengan jarak satu inci di depanku. Aku menolak tubuhnya dan menjauhkan diri daripadanya. Kudengar suara bising di luar sana. 
“Wah, kita sudah di mana ni?” suaraku agak terkejut dengan suasana yang aku tidak biasa mendengarnya. Tanganku sudah dipegangnya. Aku berasa kesal kerana boleh tertidur selama lebih dua jam perjalanan kami dari rumah Aliff tadi. Mukaku terasa panasnya.
Aku duduk dengan tegak. Di luar, kelihatan orang ramai maksudku ahli keluarga Aliff sudah berpusu-pusu memasuki rumah kediaman rasmi keluarga mertuaku itu.
Aku sempat mengerling jam di tanganku. Hadiah daripada Aliff sebelum kami nikah. Hampir jam 5 petang baru kami sampai di rumah keluarga Aliff Safwan. Aku berasa agak kekok. Aku mencari-cari kelibat abang Mazlan, isteri dan emak dan ayahku dari cermin kereta Aliff. Ternyata aku hampa. Tidak ada wajah-wajah yang kukenal dengan akrab. Mereka belum tiba di rumah keluarga mertuaku di kediaman rasmi keluarga Aliff Safwan di Vila Cinta Setia itu.
“Marilah kita turun sayang. Nenda dah lama tunggu sayang. Katanya nenda rindu dengan sayang,” pintanya. Sekali lagi aku kekok.
Hmm, entah kenapa lelaki di sisiku itu yang sungguh segak dengan pakaian kasualnya begitu sabar dengan tingkahku. Entah kenapa dia. Mungkinkah memang sudah diutuskan dia untukku? Hmm, aku memang tidak ada jawapan kepada soalanku sendiri. Mungkinlah kan. Hatiku menjawab nakal. Aku pautkan pandanganku kea rah lelaki di sisiku itu sekali lagi. Kali ini dia sudah tersenyum manis kepadaku.
“Apa pandang-pandang?” soalku marah.
“His, takkan pandang isteri pun tak boleh? Ada pahala tau pandang isteri. Apa lagi kalau isteri dan suaminya saling bertukar senyum.” Errk, sekali lagi aku mahu sahaja termuntah dengan kata-kata tazkirahnya itu. Realitinya jauh sekali.
“Ha, pandanglah saya lama-lama, tak payah turun.” Kataku berseloroh. Dia sudah tersenyum menyunggingkan bentuk senyumannya yang paling manis. Boleh cair aku dibuatnya.
“Betul? Ok, fine, lepas ini kita pergi menginap di sebuah tempat yang indah, nak?” aku takut dia memaksudkan sesuatu yang lain. Lelaki itu sudah tersenyum nakal. Cepat-cepat aku menggeleng.
“Awak kata nak tidur dekat dengan nenda awak? Bukankah awak rindukan nenda awak? Buat apa nak tidur tempat lain?” aku cepat-cepat mahu dia menukar tajuk. Aliff Safwan sudah ketawa. Aku tahu dia sudah mengenakan aku.
“Buat apa nak tidur dekat nenda, abang nak tidur dekat isteri abang ni lah, yang jual mahal ni. Abang nak peluk ketat2!” jawabnya. Aku membeliakkan mata.
“In your dreams,” jawabku perlahan, dia terhenti ketawa.
“Betul? Nak cabar abang?” soalnya. Aku menggeleng lagi. Ketakutan menjalar di hatiku. Lelaki ini memang selalu mengenakan aku. Aku belum bersedia, dia seperti tidak mahu memahami aku saat ini. Tambahan pula di sisi keluarganya tanpa ahli keluargaku. Takutnya!
“Jangan nak buat gila ya! Saya takkan relakan awak buat sesuatu ke atas saya tanpa rela saya. Awas dengan perjanjian kita!” jawabku tegas dan mengugutpun ada. Semuanya dua dalam satu. Meletus ketawa lelaki itu. Aku cepat-cepat hendak membuka pintu kereta. Dia pula cepat-cepat dan tangkas menarik kedua-dua lenganku.
“Sabar, tunggu dulu sayang. Abang tak habis cakap lagi.” Jawabnya. Aku terkejut juga dengan tindakan spontannya. Aku berpusing menghadapinya. Dia masih tersenyum manis seperti tadi.
“Awak ni kan mengada-ada betul! Sepatutnya kita keluar dan jumpa nenda awak bukannya bertapa di sini,” jawabku. Dia ketawa lagi. Aku masih terasa mengantuk dan berfikir bagaimana hendak berhadapan dengan nendanya itu.
“Nenda masih tidur rupanya. Mungkin dia nak rehat kejap sebelum buat pembedahan esok pagi.” Jawabnya memegang telefonnya. Mungkin dia baru berbalas mesej dengan adiknya. 
“Bagusnya jawapan awak kan! Tadi bukan main awak nak paksa saya datang sini!” jawabku marah. Dia ketawa. 
“Tak apa, nanti kita akan jumpa nenda. Nenda seorang wanita yang sangat baik hati yang pernah abang kenal. Nanti kalau sayang dah kenal, tentu akan lebih mengenali cucu menantunya ini,” jawabnya pula. Aku mencebikkan bibirku.
“Ye? Hmm, rasa nak muntah saya tahu!” jawabku serius. Tidak ada bibit-bibit aku akan tersenyum dengan lawak yang dibuatnya.
“Hmm, sayang, nanti kalau depan nenda dan keluarga abang, tolong panggil abang kat abang ya, jangan panggil awak-awak dan nama abang tahu? Nanti nenda hairan dengan kita berdua yang tak mesra langsung,” pesannya. Aku mengangguk tetapi dalam hati aku meluat.
“Aku tahulah! Cepatlah keluar. Saya nak solat Asar ni,” jawabku meminta tanganku dilepaskan. Dia menggeleng kepala.
“Ya, abang pun belum solat. Nanti kita solat sama-sama.” Jawabnya.
“Err awak di mana kita nak solat? Bilik tetamu?” soalku ragu, malu pun ada. Aliff tersenyum nakal. Benci sungguh aku dengan stail senyumannya begitu. Mahu aku ketuk kepalanya. Nasib baik dia suami. Hmm, hmm.
“Laa, ada bilik abang di sini, jangan bimbang. Nanti abang tunjukkan.” Sebaik sahaja pintu dibuka, ahli keluarganya sudah beratur dari kawasan pagar hingga ke kawasan pintu rumah mereka sambil semua mata tertumpu memandang kami. Aliff menyerahkan kunci keretanya kepada seorang lelaki yang agak berusia. Mungkin pemandu keluarganya. Aku sendiri kurang pasti siapa.
Kami disambut dengan penuh sopan oleh ahli keluarganya yang lain. Alangkah terkejutnya aku! Aliff sudah memegang tanganku dan kami berjalan seiringan dengan sebuah rasa yang aku tidak tahu bagaimana mentafsirnya.
“Inilah isteri Aliff, cantiknya! Memang untunglah dapat isteri secomel ini,” kata satu suara lelaki agak tua. Aku berasa segan dengan teguran mereka. Hakikatnya, mereka tidak tahu hakikat yang sebenar dalam hubungan kami.
“Comel, cantik,” sambil bersalaman dengan mereka, mereka memberikan komen yang baik-baik sahaja. Aku pula tertunduk hormat dengan sebuah senyuman yang tidak hilang dari bibirku. Senyum Aliff Safwan lebih lebar apatah lagi dia berdiri di sisiku dengan tanganku kejap di tangannya. Mahu sahaja aku mencubit lengannya namun kutahan-tahan sahaja perasaanku demi menjaga maruahnya di depan keluarganya yang besar itu.
“Inilah isteri saya, pak cik, mak cik,” Aliff memperkenalkan aku kepada ahli keluarganya yang belum bertemu dengan aku semasa hari pernikahan kami dulu. Aku mengangguk dan senyum lagi. Aku menyalami mereka dengan penuh hormat sekali.
“Sayang ini ahli keluarga abang dari Brunei, Kuala Lumpur dan Singapore,” aku hanya mengangguk dan bersalaman dengan mereka.
Kami disambut sehinggalah kami sampai di muka pintu yang dihias dengan indah sekali. Memang mereka benar-benar menyambut menantu dan pengantin baru. Nenek Balqis pula duduk di ruang tamu dan menunggu kami dengan sabar. Aku sudah tahu Nenek Balqis melalui gambar yang aku lihat dari album Aliff di rumah kami.
“Sayang, inilah nenda abang, salam dan cium tangan ya sayang,” aku menjeling seketika dengan pesanannya. Lantas mengangguk. Kami bersalaman. Mama dan papa mertuaku sudah duduk di sisi nenda. Sempat aku melirik, mama mertuaku memandangku dengan senyuman yang dipaksa-paksa. Aku mahu sahaja melarikan diri dari ahli keluarga Aliff Safwan saat itu juga.
“Asssalamualaikum nenda,” sapaku pada awal pertemuan itu. Dia mencium dan memeluk aku.
Aku hampir sahaja menitiskan air mataku. Kalau lah aku tidak membuat perkahwinan olok-olok dengan Aliff, pasti aku akan lebih gembira dengan sambutan yang terpamer di mata ahli keluarganya. Sekilas kulihat mama mertuaku menjeling aku. Maria di sisinya hanya tersenyum sinis memandang aku.
“Inilah isteri Aliff ya, memang sesuai dengan Aliff, cantik manis dan ayu. Kena dengan cucu nenda yang segak dan tampan. Nenda memang suka gadis ayu macam begini. Mariam kau tak suka menantu kau ini, mak sungguh bertuah dapat menantu seperti Aliya ini!” ya Allah terkejut sungguh aku dengan kata-kata nenda mertuaku itu. Aku tetap menyalaminya dengan penuh hormat. Dia berdiri menyambut aku. Mama mertuaku pula berdiri di belakangnya.
“Suka mak, saya pun sayangkan dia. Aliya pandai ambil hati keluarga kami mak,” jawab mama mertuaku dengan suara lemah lembutnya. Pandainya berlakon, memang mantap!
“Baru sampai sayang, pasti dah penat. Aliff bawalah dia ke bilik, pasti dia penat. Rehat dulu, nanti kita minum petang sama-sama sebelum membuat sambutan pada waktu malam,” aku mengangguk. Wanita yang berusia lebih 70 tahun ini memang mempesonakan sesiapa sahaja yang memandangnya. Hatinya juga baik dan sungguh bersopan. Kemudian, aku menyalami mama dan papa mertuaku serta saudara-mara yang lain.
“Tak apa nek, saya dan abang solat kejap. Nanti kami turun semula,” Dia mengangguk. Takkan aku dan Aliff Safwan hendak berkurung di dalam bilik. Selama ini pun aku memang tidak betah duduk sebilik dengannya. Aliff memaut tanganku dan membawa aku ke biliknya. Dengan rasa canggung dan tidak biasa aku berjalan seiringan dengan Aliff.
“Pergilah solat kejap, nanti kita minum sama-sama sementara tetamu belum ramai,” jawab nenda. Sungguh bersopan sekali wanita tua itu. Memang kena dengan statusnya. Lain sungguh dengan mama mertuaku.  Kehadiranku disambut dengan perkara yang menyakitkan hati. Ah, lupakanlah, sudah jadi keluarga.  
Aku yang mendengar sudah mahu pengsan. Bukankah tetamu yang menyambut kami sudah terlalu ramai, kenapa mahu ramai lagi? Soalku tertahan di hati. Aku hanya tersenyum dan mengangguk.
“Cantik menantu kamu Mariam, tak salah mak memilih,” bisik nenda. Aku hanya tersenyum kelat. Sedangkan mama mertuaku tersenyum tidak sennag dengan pujian itu. Sakitnya hati. Maria di sisinya pun tersenyum kelat. Aliff pula sejak tadi menayangkan senyuman bahagia kepada semua saudara-maranya di rumah itu.
“Memang cantik mak, pandai Aliff dan mak memilih dia. Dia pun pandai melayan mertuanya!” aku sudah diperli.
Itu dia! Aku terpaksa reda dan pasrah sahaja. Namun lengan Aliff sempt kucubit. Aliff membuat muka selamba dan membawa aku bergerak ke bilik dengan cepat. Entah bagaimana kehidupanku selepas ini?
“Sayang, inilah bilik kita,” Aliff membuka pintu biliknya. Sekali lagi aku hendak pengsan.
Bilik itu cukup besar dan dihias dengan penuh indah. Bilik ini jauh lebih besar daripada bilik aku di kampung. Tetapi bilik ini lebih agak kecil berbanding di bilik di rumah Aliff Safwan. Katilnya bercadar warna biru muda dan berbunga-bunga agak besar berwarna merah jambu. Di sudut katil itu terdapat sebuah meja solek yang agak besar dan sebuah sofa di hujung katil sebelah kanan.
Di sebelah kiri bilik itu terdapat sebuah pintu. Aliff cepat-cepat membuka pintu tersebut dan mengambil angin di luar. Itulah sebabnya aku tahu kenapa bilik itu ada dua pintu. Di luar pula kelihatan sebuah pemandangan semula jadi yang sungguh indah. Di ruang tengah bilik itu pula terdapat ruang yang besar untuk bersembahyang.
“Kenapa tercegat di pintu? Takut ya? Eh, buat apa nak takut, abang bukannya makan orang. Abang ni boleh dipercaya kan.” Kata Aliff Safwan yng sudah duduk di sebuah sofa di penjuru kanan bilik tersebut. Bilik itu juga dihiaskan dengan cantik dengan cat berwarna kuning cair. Pandai sungguh Nenda Aliff menawan hati cucunya. Aku sendiri turut terpesona dengan keindahan bilik tersebut. Memang layak dipanggil bilik mempelai. Namun, bukan aku sebenarnya yang layak menjadi mempelai di bilik itu. Segan pun masih berbaki.
“Buat apa nak takut! Tak takutlah! Mana bilik air?” soalku yang terasa ragu-ragu sebenarnya. Rasa bimbang pun ada. Aliff Safwan sudah tersenyum gatal. Aku bertambah sakit hati dengan sikapnya yang sudah mendekati aku dan mula menyakat aku.
“Hmm, di situ bilik air sayang,” Aliff menunjukkan bilik air setelah dilihatnya aku berdiri tercegat di pintu begitu lama. Sebenarnya aku memerhatikan sekeliling biliknya yang agak besar, luas dan cantik. Aliff sudah mendekati  aku dan menarik tanganku.
“Sayang, mari abang tunjuk bilik air kita.” Kata Aliff yang sudah memeluk pinggangku dan menarik aku untuk bergerak ke bilik air. Tanganku pula terkapai-kapai meminta dilepaskan namun Aliff Safwan degil dan semakin mengejapkan pelukannya.
“Janganlah malu sayang, abang tahu sayang malu kan. Kat sini mana ada sesiapa, hanya kita berdua,” katanya berbisik  dengan suara lunak di telingaku. Rasa bagai berbulu telingaku. Aku hanya mengangguk bagaikan puteri yang dipukau. Mukaku terasa panas dan aku tidak berani menentang wajahnya.
“Lepaslah,” pintaku mencuba melarikan tangannya dari pinggangku yang kecil. Kurasa nafasku tersekat di kerongkong. Aku susah bernafas dengan tindakannya. Dia sudah tuntuk memandang aku yang sudah berasa segan dengan tindakannya.
“His, bukan apa, abang tahu sayang segan,” aku terasa pipiku bagai berapi panasnya. Dia memandang aku dari jarak yang sangat dekat dan pipi kami hampir bersentuhan.
“A…wak, janganlah macam ni. Saya nak solat, dah lewat ni. Nanti apa kata nenda awak, takkan kita nak duduk sini lama-lama, tak elok tau,” kataku tersekat-sekat. Dia sudah tersenyum.
“Nenda lagi suka kalau sayang lambat turun, mesti dia ingatkan kita memang pasangan bahagia. Buat apa nak tipu kan sayang?” perkataan terakhir lelaki itu menyakitkan hatiku. Tahukah dia aku tidak mahu menipu dan tidak mahu berkahwin dengannya, namun paksaan keluarga yang sengaja mengenakan aku membuat aku terpujuk juga. Mereka kata usiaku sudah mencapai takah untuk menjadi anak dara tua. Wo oh, gelaran itu tidak pernah kufikirkan. Aku memang lagi suka jika tidak ada lelaki yang menyimpan harap kepadaku. Hairan pun ada, lelaki di sisiku ini terus menyimpan perasaan buatku. Tak rela aku!

Harap terhibur ya.