Friday, May 3, 2013

Ini bab 16

Lama sungguh tidak berblog di dalam blog ini. Rindu juga terasa tetapi agak sibuk sikit kebelakangan ini.

Sentuhan Kasih



16




“Sayang, bangun sayang. Kita dah sampai.” suara Aliff menyedarkan aku. Terbuka mataku seluasnya melihat Aliff yang sudah berada dengan jarak satu inci di depanku. Aku menolak tubuhnya dan menjauhkan diri daripadanya. Kudengar suara bising di luar sana. 
“Wah, kita sudah di mana ni?” suaraku agak terkejut dengan suasana yang aku tidak biasa mendengarnya. Tanganku sudah dipegangnya. Aku berasa kesal kerana boleh tertidur selama lebih dua jam perjalanan kami dari rumah Aliff tadi. Mukaku terasa panasnya.
Aku duduk dengan tegak. Di luar, kelihatan orang ramai maksudku ahli keluarga Aliff sudah berpusu-pusu memasuki rumah kediaman rasmi keluarga mertuaku itu.
Aku sempat mengerling jam di tanganku. Hadiah daripada Aliff sebelum kami nikah. Hampir jam 5 petang baru kami sampai di rumah keluarga Aliff Safwan. Aku berasa agak kekok. Aku mencari-cari kelibat abang Mazlan, isteri dan emak dan ayahku dari cermin kereta Aliff. Ternyata aku hampa. Tidak ada wajah-wajah yang kukenal dengan akrab. Mereka belum tiba di rumah keluarga mertuaku di kediaman rasmi keluarga Aliff Safwan di Vila Cinta Setia itu.
“Marilah kita turun sayang. Nenda dah lama tunggu sayang. Katanya nenda rindu dengan sayang,” pintanya. Sekali lagi aku kekok.
Hmm, entah kenapa lelaki di sisiku itu yang sungguh segak dengan pakaian kasualnya begitu sabar dengan tingkahku. Entah kenapa dia. Mungkinkah memang sudah diutuskan dia untukku? Hmm, aku memang tidak ada jawapan kepada soalanku sendiri. Mungkinlah kan. Hatiku menjawab nakal. Aku pautkan pandanganku kea rah lelaki di sisiku itu sekali lagi. Kali ini dia sudah tersenyum manis kepadaku.
“Apa pandang-pandang?” soalku marah.
“His, takkan pandang isteri pun tak boleh? Ada pahala tau pandang isteri. Apa lagi kalau isteri dan suaminya saling bertukar senyum.” Errk, sekali lagi aku mahu sahaja termuntah dengan kata-kata tazkirahnya itu. Realitinya jauh sekali.
“Ha, pandanglah saya lama-lama, tak payah turun.” Kataku berseloroh. Dia sudah tersenyum menyunggingkan bentuk senyumannya yang paling manis. Boleh cair aku dibuatnya.
“Betul? Ok, fine, lepas ini kita pergi menginap di sebuah tempat yang indah, nak?” aku takut dia memaksudkan sesuatu yang lain. Lelaki itu sudah tersenyum nakal. Cepat-cepat aku menggeleng.
“Awak kata nak tidur dekat dengan nenda awak? Bukankah awak rindukan nenda awak? Buat apa nak tidur tempat lain?” aku cepat-cepat mahu dia menukar tajuk. Aliff Safwan sudah ketawa. Aku tahu dia sudah mengenakan aku.
“Buat apa nak tidur dekat nenda, abang nak tidur dekat isteri abang ni lah, yang jual mahal ni. Abang nak peluk ketat2!” jawabnya. Aku membeliakkan mata.
“In your dreams,” jawabku perlahan, dia terhenti ketawa.
“Betul? Nak cabar abang?” soalnya. Aku menggeleng lagi. Ketakutan menjalar di hatiku. Lelaki ini memang selalu mengenakan aku. Aku belum bersedia, dia seperti tidak mahu memahami aku saat ini. Tambahan pula di sisi keluarganya tanpa ahli keluargaku. Takutnya!
“Jangan nak buat gila ya! Saya takkan relakan awak buat sesuatu ke atas saya tanpa rela saya. Awas dengan perjanjian kita!” jawabku tegas dan mengugutpun ada. Semuanya dua dalam satu. Meletus ketawa lelaki itu. Aku cepat-cepat hendak membuka pintu kereta. Dia pula cepat-cepat dan tangkas menarik kedua-dua lenganku.
“Sabar, tunggu dulu sayang. Abang tak habis cakap lagi.” Jawabnya. Aku terkejut juga dengan tindakan spontannya. Aku berpusing menghadapinya. Dia masih tersenyum manis seperti tadi.
“Awak ni kan mengada-ada betul! Sepatutnya kita keluar dan jumpa nenda awak bukannya bertapa di sini,” jawabku. Dia ketawa lagi. Aku masih terasa mengantuk dan berfikir bagaimana hendak berhadapan dengan nendanya itu.
“Nenda masih tidur rupanya. Mungkin dia nak rehat kejap sebelum buat pembedahan esok pagi.” Jawabnya memegang telefonnya. Mungkin dia baru berbalas mesej dengan adiknya. 
“Bagusnya jawapan awak kan! Tadi bukan main awak nak paksa saya datang sini!” jawabku marah. Dia ketawa. 
“Tak apa, nanti kita akan jumpa nenda. Nenda seorang wanita yang sangat baik hati yang pernah abang kenal. Nanti kalau sayang dah kenal, tentu akan lebih mengenali cucu menantunya ini,” jawabnya pula. Aku mencebikkan bibirku.
“Ye? Hmm, rasa nak muntah saya tahu!” jawabku serius. Tidak ada bibit-bibit aku akan tersenyum dengan lawak yang dibuatnya.
“Hmm, sayang, nanti kalau depan nenda dan keluarga abang, tolong panggil abang kat abang ya, jangan panggil awak-awak dan nama abang tahu? Nanti nenda hairan dengan kita berdua yang tak mesra langsung,” pesannya. Aku mengangguk tetapi dalam hati aku meluat.
“Aku tahulah! Cepatlah keluar. Saya nak solat Asar ni,” jawabku meminta tanganku dilepaskan. Dia menggeleng kepala.
“Ya, abang pun belum solat. Nanti kita solat sama-sama.” Jawabnya.
“Err awak di mana kita nak solat? Bilik tetamu?” soalku ragu, malu pun ada. Aliff tersenyum nakal. Benci sungguh aku dengan stail senyumannya begitu. Mahu aku ketuk kepalanya. Nasib baik dia suami. Hmm, hmm.
“Laa, ada bilik abang di sini, jangan bimbang. Nanti abang tunjukkan.” Sebaik sahaja pintu dibuka, ahli keluarganya sudah beratur dari kawasan pagar hingga ke kawasan pintu rumah mereka sambil semua mata tertumpu memandang kami. Aliff menyerahkan kunci keretanya kepada seorang lelaki yang agak berusia. Mungkin pemandu keluarganya. Aku sendiri kurang pasti siapa.
Kami disambut dengan penuh sopan oleh ahli keluarganya yang lain. Alangkah terkejutnya aku! Aliff sudah memegang tanganku dan kami berjalan seiringan dengan sebuah rasa yang aku tidak tahu bagaimana mentafsirnya.
“Inilah isteri Aliff, cantiknya! Memang untunglah dapat isteri secomel ini,” kata satu suara lelaki agak tua. Aku berasa segan dengan teguran mereka. Hakikatnya, mereka tidak tahu hakikat yang sebenar dalam hubungan kami.
“Comel, cantik,” sambil bersalaman dengan mereka, mereka memberikan komen yang baik-baik sahaja. Aku pula tertunduk hormat dengan sebuah senyuman yang tidak hilang dari bibirku. Senyum Aliff Safwan lebih lebar apatah lagi dia berdiri di sisiku dengan tanganku kejap di tangannya. Mahu sahaja aku mencubit lengannya namun kutahan-tahan sahaja perasaanku demi menjaga maruahnya di depan keluarganya yang besar itu.
“Inilah isteri saya, pak cik, mak cik,” Aliff memperkenalkan aku kepada ahli keluarganya yang belum bertemu dengan aku semasa hari pernikahan kami dulu. Aku mengangguk dan senyum lagi. Aku menyalami mereka dengan penuh hormat sekali.
“Sayang ini ahli keluarga abang dari Brunei, Kuala Lumpur dan Singapore,” aku hanya mengangguk dan bersalaman dengan mereka.
Kami disambut sehinggalah kami sampai di muka pintu yang dihias dengan indah sekali. Memang mereka benar-benar menyambut menantu dan pengantin baru. Nenek Balqis pula duduk di ruang tamu dan menunggu kami dengan sabar. Aku sudah tahu Nenek Balqis melalui gambar yang aku lihat dari album Aliff di rumah kami.
“Sayang, inilah nenda abang, salam dan cium tangan ya sayang,” aku menjeling seketika dengan pesanannya. Lantas mengangguk. Kami bersalaman. Mama dan papa mertuaku sudah duduk di sisi nenda. Sempat aku melirik, mama mertuaku memandangku dengan senyuman yang dipaksa-paksa. Aku mahu sahaja melarikan diri dari ahli keluarga Aliff Safwan saat itu juga.
“Asssalamualaikum nenda,” sapaku pada awal pertemuan itu. Dia mencium dan memeluk aku.
Aku hampir sahaja menitiskan air mataku. Kalau lah aku tidak membuat perkahwinan olok-olok dengan Aliff, pasti aku akan lebih gembira dengan sambutan yang terpamer di mata ahli keluarganya. Sekilas kulihat mama mertuaku menjeling aku. Maria di sisinya hanya tersenyum sinis memandang aku.
“Inilah isteri Aliff ya, memang sesuai dengan Aliff, cantik manis dan ayu. Kena dengan cucu nenda yang segak dan tampan. Nenda memang suka gadis ayu macam begini. Mariam kau tak suka menantu kau ini, mak sungguh bertuah dapat menantu seperti Aliya ini!” ya Allah terkejut sungguh aku dengan kata-kata nenda mertuaku itu. Aku tetap menyalaminya dengan penuh hormat. Dia berdiri menyambut aku. Mama mertuaku pula berdiri di belakangnya.
“Suka mak, saya pun sayangkan dia. Aliya pandai ambil hati keluarga kami mak,” jawab mama mertuaku dengan suara lemah lembutnya. Pandainya berlakon, memang mantap!
“Baru sampai sayang, pasti dah penat. Aliff bawalah dia ke bilik, pasti dia penat. Rehat dulu, nanti kita minum petang sama-sama sebelum membuat sambutan pada waktu malam,” aku mengangguk. Wanita yang berusia lebih 70 tahun ini memang mempesonakan sesiapa sahaja yang memandangnya. Hatinya juga baik dan sungguh bersopan. Kemudian, aku menyalami mama dan papa mertuaku serta saudara-mara yang lain.
“Tak apa nek, saya dan abang solat kejap. Nanti kami turun semula,” Dia mengangguk. Takkan aku dan Aliff Safwan hendak berkurung di dalam bilik. Selama ini pun aku memang tidak betah duduk sebilik dengannya. Aliff memaut tanganku dan membawa aku ke biliknya. Dengan rasa canggung dan tidak biasa aku berjalan seiringan dengan Aliff.
“Pergilah solat kejap, nanti kita minum sama-sama sementara tetamu belum ramai,” jawab nenda. Sungguh bersopan sekali wanita tua itu. Memang kena dengan statusnya. Lain sungguh dengan mama mertuaku.  Kehadiranku disambut dengan perkara yang menyakitkan hati. Ah, lupakanlah, sudah jadi keluarga.  
Aku yang mendengar sudah mahu pengsan. Bukankah tetamu yang menyambut kami sudah terlalu ramai, kenapa mahu ramai lagi? Soalku tertahan di hati. Aku hanya tersenyum dan mengangguk.
“Cantik menantu kamu Mariam, tak salah mak memilih,” bisik nenda. Aku hanya tersenyum kelat. Sedangkan mama mertuaku tersenyum tidak sennag dengan pujian itu. Sakitnya hati. Maria di sisinya pun tersenyum kelat. Aliff pula sejak tadi menayangkan senyuman bahagia kepada semua saudara-maranya di rumah itu.
“Memang cantik mak, pandai Aliff dan mak memilih dia. Dia pun pandai melayan mertuanya!” aku sudah diperli.
Itu dia! Aku terpaksa reda dan pasrah sahaja. Namun lengan Aliff sempt kucubit. Aliff membuat muka selamba dan membawa aku bergerak ke bilik dengan cepat. Entah bagaimana kehidupanku selepas ini?
“Sayang, inilah bilik kita,” Aliff membuka pintu biliknya. Sekali lagi aku hendak pengsan.
Bilik itu cukup besar dan dihias dengan penuh indah. Bilik ini jauh lebih besar daripada bilik aku di kampung. Tetapi bilik ini lebih agak kecil berbanding di bilik di rumah Aliff Safwan. Katilnya bercadar warna biru muda dan berbunga-bunga agak besar berwarna merah jambu. Di sudut katil itu terdapat sebuah meja solek yang agak besar dan sebuah sofa di hujung katil sebelah kanan.
Di sebelah kiri bilik itu terdapat sebuah pintu. Aliff cepat-cepat membuka pintu tersebut dan mengambil angin di luar. Itulah sebabnya aku tahu kenapa bilik itu ada dua pintu. Di luar pula kelihatan sebuah pemandangan semula jadi yang sungguh indah. Di ruang tengah bilik itu pula terdapat ruang yang besar untuk bersembahyang.
“Kenapa tercegat di pintu? Takut ya? Eh, buat apa nak takut, abang bukannya makan orang. Abang ni boleh dipercaya kan.” Kata Aliff Safwan yng sudah duduk di sebuah sofa di penjuru kanan bilik tersebut. Bilik itu juga dihiaskan dengan cantik dengan cat berwarna kuning cair. Pandai sungguh Nenda Aliff menawan hati cucunya. Aku sendiri turut terpesona dengan keindahan bilik tersebut. Memang layak dipanggil bilik mempelai. Namun, bukan aku sebenarnya yang layak menjadi mempelai di bilik itu. Segan pun masih berbaki.
“Buat apa nak takut! Tak takutlah! Mana bilik air?” soalku yang terasa ragu-ragu sebenarnya. Rasa bimbang pun ada. Aliff Safwan sudah tersenyum gatal. Aku bertambah sakit hati dengan sikapnya yang sudah mendekati aku dan mula menyakat aku.
“Hmm, di situ bilik air sayang,” Aliff menunjukkan bilik air setelah dilihatnya aku berdiri tercegat di pintu begitu lama. Sebenarnya aku memerhatikan sekeliling biliknya yang agak besar, luas dan cantik. Aliff sudah mendekati  aku dan menarik tanganku.
“Sayang, mari abang tunjuk bilik air kita.” Kata Aliff yang sudah memeluk pinggangku dan menarik aku untuk bergerak ke bilik air. Tanganku pula terkapai-kapai meminta dilepaskan namun Aliff Safwan degil dan semakin mengejapkan pelukannya.
“Janganlah malu sayang, abang tahu sayang malu kan. Kat sini mana ada sesiapa, hanya kita berdua,” katanya berbisik  dengan suara lunak di telingaku. Rasa bagai berbulu telingaku. Aku hanya mengangguk bagaikan puteri yang dipukau. Mukaku terasa panas dan aku tidak berani menentang wajahnya.
“Lepaslah,” pintaku mencuba melarikan tangannya dari pinggangku yang kecil. Kurasa nafasku tersekat di kerongkong. Aku susah bernafas dengan tindakannya. Dia sudah tuntuk memandang aku yang sudah berasa segan dengan tindakannya.
“His, bukan apa, abang tahu sayang segan,” aku terasa pipiku bagai berapi panasnya. Dia memandang aku dari jarak yang sangat dekat dan pipi kami hampir bersentuhan.
“A…wak, janganlah macam ni. Saya nak solat, dah lewat ni. Nanti apa kata nenda awak, takkan kita nak duduk sini lama-lama, tak elok tau,” kataku tersekat-sekat. Dia sudah tersenyum.
“Nenda lagi suka kalau sayang lambat turun, mesti dia ingatkan kita memang pasangan bahagia. Buat apa nak tipu kan sayang?” perkataan terakhir lelaki itu menyakitkan hatiku. Tahukah dia aku tidak mahu menipu dan tidak mahu berkahwin dengannya, namun paksaan keluarga yang sengaja mengenakan aku membuat aku terpujuk juga. Mereka kata usiaku sudah mencapai takah untuk menjadi anak dara tua. Wo oh, gelaran itu tidak pernah kufikirkan. Aku memang lagi suka jika tidak ada lelaki yang menyimpan harap kepadaku. Hairan pun ada, lelaki di sisiku ini terus menyimpan perasaan buatku. Tak rela aku!

Harap terhibur ya.