Tuesday, September 10, 2013

Bab 16: Isyarat Cinta

Inilah sambungan yang terbarunya bagi novel yang belum pernah tamat ini. Terima kasih membacanya ya.
Bab 16

Dalam dia termenung seorang diri di dalam suasana ruang tamu yang dihias ala-ala Inggeris itu, telefonnya berbunyi. Dia cepat-cepat melihat ke skrin telefon itu. Nombor yang tertera itu amat asing baginya. Dia pasti nombor itu bukan milik Irfan. Nombor Irfan bukan begitu. Dia tidak tahu siapakah yang empunya nombor itu. Dia masih berteka-teki. Perlukah dia mengangkatnya dan berbual-bual dengan empunya nombor yang sedang memanggilnya? Dia memikir seketika sebelum memicit butang hijau. Tanpa bermaya dia menekan butang hijau itu dan mendekat telefon ke telinganya. Sudah beberapa hari hidupnya tidak bersemangat. Dia tidak tahu bilakah hidupnya begini akan berakhir.
            “Helo,” jawab Adawiyah perlahan.
            “Assalamualaikum, Wie kenapa lambat angkat? Sibukkah?” Adawiyah sudah dapat meneka suara siapakah yang berada di talian itu. Namun dia tidak tahu apakah motif di sebalik panggilan lelaki itu untuknya. Apakah memberikan harapan buatnya atau memutikkan kembali hubungan yang sudah hancur berkecai setahun lalu? Dia runsing dan pastilah dia tidak akan rela mengulangi semuanya terjadi lagi. Dia tidak akan rela membiarkan semua yang pernah terjadi berulang lagi. Dia tahu di mana kedudukannya sekarang ini.  
            “Walaikumsalam, err, kat mana awak dapat nombor saya ni? setahu saya, err saya tak pernah berikan awak kan?” soal Adawiyah hairan. Dia sudahlah jadi patung cendana di rumah besar begini, lelaki seorang ini pula cuba buat hal. Bengang dia seketika. Asyraf ketawa di hujung talian. Dahulu dia paling menyenangi tawa dan senyuman lelaki bernama Asyraf itu. Almaklumlah dia menyimpan perasaan kepada lelaki itu. Namun semuanya sudah terpadam kini seperti hujan yang memadam tulisan di atas tanah selepas hujan. Malah ia seperti pelangi yang terbit selepas hujan. Perasaannya yang dulu sudah tidak ada hilang bersama pelangi yang baru muncul. 
            “Saya ambil dari pejabat kita dulu, Puan Noni,” kata Asyraf. Dia terbayang kerani di tempat kerjanya, Puan Noni yang sedang sarat mengandung.  
            “Kita tak ada kaitan lagi kan? Apa hal call tengah-tengah hari buta begini? Jangan minta saya kembali kerja tau,” kata Adawiyah menyindir. Asyraf ketawa di hujung talian.
            “Jangan cakap macam begitu. Saya rasa bersalah pula.” Kata Asyraf memujuk. Adawiyah susah hendak terpujuk lagi. Dan, dia bukan seminggu yang lalu yang masih solo, kini statusnya sudah berubah serta-merta.  Sakit hatinya mengingati status dirinya yang sudah berubah dengan serta-merta itu. mahu sahaja dia mengoyak-ngoyak surat nikah mereka itu. mungkinkah ia tidak sah? Ah, sungguh mustahil. Bisiknya perlahan.
            “Jadi nak cakap apa? Nak cakap, saya merayu kepada awak minta telefon saya, ini nombor saya...macam tu?” kata Adawiyah. Asyraf ketawa. Adawiyah puas hati dengan kata-katanya. Biarkan lelaki itu terasa dengan kata-katanya. Dulu bukan main lelaki itu jual mahal kepadanya. Senyumannya tidak pernah berbalas. Dia seperti melukut di tepi gantang. Dia menutup mukanya. Alangkah malunya. Sekarang ketika dia sudah bergelar isteri walaupun hanya di atas kertas sahaja, baru lelaki yang dulu disukainya itu datang dan cuba memberinya harapan. Ah, sudah terlambat Asyraf! Dia tidak akan memberikan harapan baru kepada lelak itu.
            “Bukan macam begitu, saya tak tahu yang Wie dah berhenti kerja, kenapa tiba-tiba berhenti pula? Kalau kerana saya, tak patutlah pula! Saya bukannya lama di syarikat ni! Saya tolong-tolong saja di syarikat ni. Saya bukan kerja sepenuh masa! Kalau Wie berhenti pasal saya, memang saya sedih lah, tak sempat kita nak jumpa dan saya janji nak belanja Wie makan kan,” kata Asyraf dengan penuh kekesalan. Adawiyah beribu lebih kesal dengan nasib yang tiba-tiba menimpanya. Baru sahaja dia memulakan kerja dia sudah dipaksa berhenti kerja. kata Irfan, syarikat tempatnya bekerja itu kepunyaan kawannya. Jadi dia akan rundingkan mengenai pemberhentiannya. Huh, mengada-ada! Mentang-mentang kaya! Berlagak, marahnya kepada suaminya itu. Marah dalam hati!
Adawiyah berasa sebak. Dia memang tidak mahu berhenti walaupun bekas kekasihnya bersusun di syarikat tempatnya bekerja itu. namun dia benar-benar terasa ada bala dalam hidupnya dan akhirnya duduk seorang diri di rumah besar ini. memang sungguh sedih sekali dan tidak pernah dibuat orang.
            “Wie... awak masih di situ?” Asyraf mengejutkannya. Adawiyah tersedar. Dia terbatuk kecil secara tiba-tiba.
            “Bukan, saya ada hal berhenti. Bukan sengaja saya nak berhenti,” Kata Adawiyah sungguh sebak sebenarnya. Pada hari terakhir dia bekerja, kebetulan Asyraf keluar outstation ke kawasan pedalaman. Jadi dia sendiri tidak sempat memaklumkan akan pemberhentiannya. Dia berasa kasihan pula memikirkan Asyraf yang terpaksa mencarinya kini.
            “Hal apa tu? Boleh saya tahu?” soal Asyraf pula. Lelaki itu benar-benar tidak tahu apa yang sudah berlaku kepada dirinya. Adawiyah tahu dia tidak sepatutnya berhubung lagi dengan lelaki lain. Adawiyah sedar dia tidak sepatutnya berkongsi cerita dengan lelaki yang pernah menolak kasihnya dulu. Kasihan dia.
            “Ada lah tu tapi tak dapat saya nak kongsi dengan awak, awak pula kenapa telefon saya ni? macam ada sesuatu pula,” soal Adawiyah lagi masih tidak puas hati dengan kembalinya Asyraf ke dalam hidupnya. Minggu lalu Rafiqah ada memberitahunya yang Asyraf ada mencarinya.
            “Saya nak jumpa Wie, boleh tak?” bertambah-tambah sebak hati Adawiyah. Namun lelaki itu adalah bayangan semalamnya bukan kehidupannya pada hari ini. Kisah mereka sudah jadi sejarah.
            “Untuk apa nak jumpa saya Asyraf? Saya ni bukannya penting kepada awak, eh saya tak naklah! Apa kata Lysa nanti? Eh, saya tak nak bertanggungjawab kalau Lysa mengamuk kat saya macam dulu, tahu! Saya tak mahu jadi bahan ketawa orang! Saya pun tahu malu Asraf!” didengarnya Asyraf ketawa kecil di hujung talian. Adawiyah menarik nafas panjang. Dunia sudah terbalik nampaknya.
            “Eh kami dah putuslah! Apa yang Wie nak takut! Tak ada dah orang nak mengamuk! Rupanya saya terpilih kaca di antara berlian. Maafkan saya Wie,” Adawiyah pula ketawa. kalau dua minggu yang lalu dia mendengar kata-kata kesalan itu mungkin dia boleh memaksa emaknya menolak pernikahannya dengan Irfan namun ia sudah terlambat. Bagaimanapun Asyraf masih belajar. Pasti dia yakin Asyraf tidak akan setega Irfan yang menikahinya tanpa syak wasangka. Dia benar-benar terkilan dengan tindakan Irfan yang drastik itu.
            “Asyraf, saya tak senang nak keluar. Sebenarnya Asyraf nak cakap apa ni?” Adawiyah gusar. Dia seperti dapat menghidu apa yang akan dikatakan oleh lelaki itu kepadanya.
            “Mari kita keluar walaupun kejap aje, tolonglah Adawiyah. Saya perlu jumpa awak sekarang!” kata Asyraf lagi mendesaknya. Walaupun suaminya yang tidak diinginkan iaitu Irfan balik tengah malam namun dia tidak mahu lelaki itu membunuh kepercayaan kepada dirinya. Dia tidak mahu membuat kes terhadap suaminya itu. Biarlah suaminya itu melukakannya dia tidak mungkin melakukannya.
            “Tak boleh, tetap tak boleh! Selamanya tak boleh! Kalau dulu mungkin boleh, tapi sekarang semuanya sudah menjadi tak boleh, maafkan saya Asyraf, saya memang tak dapat  turuti kata-kata permintaan awak tu!” kata Adawiyah lembut.
            “Saya nak balik ke UK lusa, kalau dapat saya  nak jumpa Wie hari ini. kita lunch sama, kan dah janji hari tu. kebetulan hari ini tak banyak kerja saya nak buat,” kata Asyraf menagih janjinya. Kalau dia tidak berhenti kerja, pasti dia sudah menerima pelawaan itu. Namun kerana dia sudah di rumah kaca mewah ini, maka dia tidak mungkin menerima pelawaan ini. malah, hampir mustahil baginya.
            “Baik-baik ya. Jangan nakal-nakal di negeri orang ya, kasian Lysa nanti,” kata Adawiyah berpesan kepada Asyraf. Asyraf ketawa.
            “Saya nak jumpa awak Wie, boleh kan? Hmm, apa yang berlaku kepada awak sebenarnya ya, kalau boleh saya ingin tahu,” kata Asyraf lagi seperti memujuknya. Adawiyah menarik nafas payah. Sesuatu yang amat sukar hendak dilakukannya.
            “Apa awak nak cakap Asyraf? Saya kata tak boleh, awak tak faham? kalau dua minggu dulu mungkin boleh tapi sekarang dah lain tau!” kata Adawiyah bertegas.
            “Saya nak kita jadi kekasih Wie, saya menyesal kerana tak dapat terima rasa kasih Wie dulu. Saya menyesal menerima Lysa,” luah hati Asraf. Mahu sahaja Adawiyah pengsan mendengar luahan hati bekas cinta monyetnya itu. memang dia yang terhegeh-hegeh dulu. Menulis surat, bertemu janji sehinggakan mereka berdua didenda oleh guru disiplin. Ah, dia tidak mahu mengingati kisah silam yang aga menyakitkan itu sebenarnya. Namun dia tetap berasa sedih kerana tidak ditakdirkan bersama dengan lelaki itu.
            “Ha? Jadi kekasih? Apakah saya mimpi Asyraf? Mungkinkah saya mimpi?” soal adawiyah terkejut.
            “Tak awak tak mimpi Wie! Dulu saya yang silap kerana tolak awak,” jawab Asyraf. Adawiyah menekup mulutnya walaupun tidak dapat dilihat oleh lelaki itu. Dia turut menggeleng. Mahu sahaja dia menekan butang merah di telefonnya itu. Dia sangat sebak dengan apa yang pernah berlaku.
            “Tak boleh, sangat tak boleh,” kata Adawiyah memberikan jawapan yang telah muktamad.
            “Kenapa pula? Bukankah Adawiyah masih seperti dulu? Single and available?” soal Asyraf. Adawiyah menggeleng. tidak mungkin dia kembali macam dulu. Sayangnya Asyraf sudah terlambat.
            “Sedangkan bukit pun boleh runtuh, hutan pun boleh gondol, inikan pula manusia,” kata Adawiyah bermadah. Asyraf ketawa dalam kecewa.
            “Apa maksud Wie?” soal Asyraf tidak faham.
            “Saya tak mahu kita macam dulu! Dah terlambat semuanya! Awak carilah gadis yang baik untuk diri awak yang baik, yang kaya dan terpelajar tu!” kata Adawiyah. Asyraf ketawa lagi.
            “Takkan macam tu sekali! Saya dah fikir masak-masak, saya akan tunggu Wie, kalau nanti hati Wie terbuka untuk saya, Wie beritahu saya ya, saya sentiasa menanti Wie,” kata Asyraf sedih kerana semuanya sudah terlambat. Adawiyah benar-benar sebak dengan apa yang berlaku kepada dirinya.
            “Terima kasih Asyraf, kalau dulu awak beritahu saya hal ini, mungkin saya terima tetapi sekarang dah lain,” kata Adawiyah sayu.
            “Awak dah kahwin?” soal Asyraf pula. Itulah yang sebenarnya. Bisik Adawiyah.
            “Tak perlu awak tahu, biarlah saya saja yang mengetahuinya.” jawab  Adawiyah perlahan.
            “Wie berahsia sekarang ya? Dulu semuanya nak kongsi dengan saya,” kata Asyraf pula.  dulu sudah berlalu. Ia sangat berbeza berbanding sekarang.
            “Tak apalah Asyraf. Kita dah tak macam dulu. Saya harap Asyraf akan berjaya dalam perniagaan nanti. Selamat meneruskan pelajaran. Jaga diri tau,” kata Adawiyah mengucapkan selamat kepada Asyraf. Jantungnya berdetak kuat tiba-tiba.
            “Sampai hati Wie tolak pelawaan saya,” kata Asyraf merajuk. Adawiyah menggeleng.
            “Tak, kita sudah tak macam dulu! Sayang dulu itu sudah awak sia-siakan,” kata Adawiyah.
Adawiyah mendengar pintu utama berkeriut seperti dibuka. Pucat mukanya. Entah kenapa lelaki itu balik tiba-tiba hari ini.
            “Tak apalah, kita sembang lain kali ya,” kata Adawiyah menutup telefonnya. Dia menyembunyikan telefonnya yang tidak canggih itu ke dalam poket seluarnya. Di pintu utama kelihatan Irfan sudah berdiri dengan muka yang kelat. Benarkah bunyi tapak kaki Irfan yang didengarnya tadi? Apakah dia mendengar perbualan mereka tadi? Aduh! Hidupnya sukar dijangka!
            “Assalamualaikum,” Irfan memberi salam kepada Adawiyah.
            “Walaikumsalam,” jawab Adawiyah termangu. Hairan dengan kehadiran lelaki itu yang muncul secara tiba-tiba. Biasanya pada waktu tengah hari begini lelaki itu entah di mana. Dia tidak pernah mengambil tahu.
            “Siapa yang panggil tadi? Abang kol sayang tak dapat-dapat, terpaksa abang balik tengok sayang! Abang ingat sayang sakit atau ada hal. Ada emergency call? Siapa call?” soal Irfan dengan panjang lebar. Adawiyah menggeleng. Lelaki itu sudah mendekat. Adawiyah terasa mukanya terasa panas. Mungkinkah lelaki itu sudah mendengar perbualan mesranya dengan Asyraf?
            “Tak, tak ada sesiapa. Kawan yang telefon tadi, maafkan saya awak, kawan saya panggil lama pula. Saya tak sengaja,” jawab Adawiyah terketar. Matanya ditundukkan. Pandangan mata Irfan sedang meliar menyeluruhi wajahnya. Kebetulan rambutnya yang masih basah kerana dia baru sahaja mandi setengah jam yang lalu dan belum sempat mengeringkan rambutnya.
            “Lelaki?” soal Irfan menilik wajah Adawiyah mencari kejujuran. Adawiyah hilang kata. Hendak mengangguk atau menggeleng.
            “Perempuan, kawan lama di sekolah dulu, kenapa salah?” soal Adawiyah memberanikan diri bertanya. Sebenarnya dia tahu dia sudah salah kerana membohongi lelaki itu. dia menundukkan pandangannya. Dia tahu lelaki itu boleh meneka jika dia membohong.
            “Ya? Kawan perempuan sampai berjam-jam begitu? Sampai nak jadi kekasih?” soal Irfan. Adawiyah tergagap dan perlahan-lahan mengangkat kepalanya memandang lelaki itu.  
            “Awak tak perlu menyiasat begitu! Kalau awak tak suka saya, lepaskan saya, saya tak menyesal pun!” jawab Adawiyah tegas. Irfan tersenyum.
            “Jangan lah marah sayang, abang bimbangkan sayang, selalunya line clear saja! Hari ini pula sayang sangat sibuk rupanya, maafkan abang,” kata Irfan berlembut. Adawiyah tersenyum dalam hati. sebenarnya hatinya masih berdebar-debar jika lelaki itu tahu apa yang sedang berlaku tadi. Dia tahu lelaki itu mahu memujuknya.
            “Saya nak masuk bilik,” kata Adawiyah yang sudah bersedia hendak berlari naik ke biliknya. Irfan hanya ketawa.
            “Tak boleh,” kata Irfan yang sudah menarik tangannya dan mendekatkan dirinya kepada lelaki itu. Dia terus berasa sesak nafas. Jantungnya hampir berhenti mengepam darah dan oksigen.
            “Awak nak apa ni?” soal Adawiyah berasa hairan dengan sikap Irfan yang tiba-tiba balik ke rumah pada waktu matahari masih kelihatan.
            “Abang nak pastikan sayang selamat, dan abang nak awak,” jawab Irfan menggelisahkan hati Adawiyah. Adawiyah tidak mahu suaminya yang tidak menegurnya selama berhari-hari ini akan meminta haknya. Huh, dia minta tolong.  
            “Tak apa, terima kasih. Saya selamat awak,” kata Adawiyah menunduk lagi dan bersedia hendak berlalu pergi. Boleh sakit jantung dia jika Irfan selalu begini.
            “Kawan lelaki telefon sayang tadi kan? Dia nak apa? Nak berhubung semula?” soal Irfan tiba-tiba. Adawiyah tahu Irfan masih tidak puas hati dengan apa yang berlaku sebentar tadi. Perlukah dia berterus-terang?
            “Hah?” pucat wajah Adawiyah. Dia sudah menduga lelaki itu seperti dapat menduga aktivitinya ini.
            “Mana ada, dia kawan lama,” kata Adawiyah cuba bersikap jujur.
            “Oh kawan lama? Baiklah, beritahu kawan lama sayang tu yang sayang dah kahwin, baru aje,” kata Irfan memberi syarat. Adawiyah mengangguk.
            “Ha, jangan nak bohongi dia,” kata Irfan semula. Adawiyah mengangguk bagaikan burung belatuk.
            “Buat apa saya nak tipu? Bukan saya ada untung! Kecuali jika awak lepaskan saya, baru saya beritahu dia yang saya sudah dilepaskan,” kata Adawiyah. Irfan ketawa.
            “Baguslah kalau macam tu, tak payah abang nak ajar! Tapi beritahu dia, abang takkan sesekali melepaskan sayang abang yang cantik manis ini. rugi abang tahu?” kata Irfan pula. Adawiyah berasa geram.
            “Apa lagi yang awak nak?” soal Adawiyah berani. Irfan menentang anak matanya. Dia juga yang mengalah akhirnya.  
            “Pastilah abang nak isteri abang yang comel ni. rugi abang dah terlepas memandang beberapa hari ini, abang terlalu sibuk di beberapa buah kedai. Banyak barang baru sampai. Kalau tak, abang tak nak berjauhan dengan isteri abang ni. kalau boleh abang nak bawa sayang pergi honey moon, nak?” kata Irfan menerangkan kedudukan yang sebenarnya. Adawiyah mengangguk masih termangu menunggu kata-kata seterusnya.
            “Honeymoon? Oh tidak! Awak honeymoon lah sendiri!” kata Adawiyah. Menyesal pula dia kerana mengangguk tadi.
            “Rugi kita kalau tak honeymoon sayang,” kata Irfan mencuit hidung Adawiyah. Itulah kegemaran Irfan. Selalunya hidungnya yang akan menjadi mangsanya.
            “Tak ada ruginya awak! Bukan saya nak lari ke mana pun! Saya terkurung di sini macam burung tiong!” kata Adawiyah menyindir suaminya itu. irfan ketawa kecil. Tidak sia-sia dia balik ke rumah.  
            “Oh macam tu? kalau macam tu, apa kata sayang ikut abang ke opis? Jadi PA abang, nak tak?” Adawiyah pantas menggeleng. Dia tidak mahu terus menerus berdua-duaan dengan lelaki itu di mana-mana. Irfan sudah berani mendekatinya malah memegang tangannya. Dia takut akan terjadi sesuatu kepadanya nanti. Kebetulan telefon lelaki itu berbunyi. Adawiyah sedikit lega.
            “Daddy, assalamualaikum,” Adawiyah hendak menjauhkan diri. Irfan masih memegang tangan Adawiyah. Sambil itu dia mengenyitkan mata kepada isterinya itu. Adawiyah geram.
            “Sihat daddy, mummy macam mana? Sihat? Syukur.” Adawiyah mendengar dengan teliti perbualan suaminya itu.
            “Oh syukur daddy. Isteri saya? Oh, alhamdulillah sihat. Honeymoon? Ayah nak sponsor? Oh terima kasih daddy. Daddy dan mummy susah-susah aje. Tak, belum lagi daddy. Tunggu dadddy dan mummy lah nampaknya. Tentu saya gembira daddy, Adawiyah gadis pilihan saya sendiri, gadis yang cantik, comel dan sangat bersopan daddy,” kata Irfan bercakap dengan ayahnya. Adawiyah membuang muka. Gembira sahaja perasaan Irfan. Seketika dia terbayang wajah Asyraf yang baru sahaja menghubunginya. Jika suaminya tidak balik mungkin lebih lama lagi dia bercakap dengan bekas cinta monyetnya itu.
            “Macam tu lah daddy. Ya saya memang bersyukur atas pernikahan ini daddy. Terima kasih daddy! Err, bila daddy dan mummy nak datang sini dan jumpa menantu daddy yang comel ni?” kata Irfan sambil ketawa. Entah apa yang diketawakannya. Adawiyah tarik muka masam. Selepas menyimpan telefonnya lelaki itu sudah mengucup jemarinya. Terkedu Adawiyah. Sebenarnya dia tidak suka.
            “Dua minggu lagi? Oh, saya gembira mendengarnya ayah, terima kasih ayah,” kata Irfan mengakhiri perbualannya dengan ayahnya.
            “Kenapa awak ni hilang akal?” soal adawiyah. Irfan ketawa.
            “Daddy kirim salam, tak sabar nak jumpa menantunya, mummy pun sama,” Adawiyah hanya kaku mendengar.
            “Abang balik opis dulu ya, jangan buat abang terkejut. Kalau telefon bunyi cepat angkat, tadi telefon sayang lama tak boleh dikol, terpaksa abang balik walaupun abang sibuk benar!” kata Irfan membuatkan matanya hendak terjojol keluar. Apakah itu hanya alasan? Selama beberapa hari ini telefon itu tidak pernah berbunyi. Kenapa dia sangat pelik hari ini? apa muslihatnya? Dia tahu suaminya ini penuh dengan muslihat.  
            “Walaikumsalam, err, awak tak makan lagi? Saya ada masak sikit lauk,” pelawa Adawiyah perlahan. Irfan menggeleng. memang dia sungguh banyak kerja. demi kerana kasihkan isteri dia terpaksa balik ke rumah melawat isterinya.
            “Jumpa petang nanti ya, kalau abang tak sibuk abang nak bawa sayang makan di sebuah restoran Cina Muslim di pinggir bandar ini tapi abang ada kerja penting nak buat,” Adawiyah hanya termangu dan tiba-tiba berasa sedih. Lelaki itu tidak pernah sudi menjamah masakannya. Mungkin lelaki itu faham dia tidak begitu pandai memasak.
Dia masih terkenang-kenang dan meraba-raba dahinya. Itulah kegemaran baru suaminya. Lelaki itu sudah meninggalkannya dua minit yang lalu dengan mengucup dahinya. Entah kenapa debaran di dada masih terasa dan pandangan lelaki itu masih tertinggal di matanya. Apa sudah jadi kepada dirinya? Apakah dia sudah jatuh cinta setelah dua minggu mereka menikah? Ah, tidak mungkin ia akan terjadi!