Wednesday, September 11, 2013

Novel: Isyarat Cinta

Bab 17

Silakan baca ya.


Bab 17

Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Kenangan terhadap emaknya terbang serta-merta. Dia menatap nombor yang tertera di muka depan telefonnya yang tidak canggih itu. Argggh! Dia mengeluh kasar. Dia malas mahu mengangkat telefon itu. dia muak! Telefon itu terus berbunyi. Dia membiarkan sahaja. Dia terus berbaring di atas sofa empuk milik lelaki itu. baru hari ini dia mahu keluar melihat-lihat ruang tamu lelaki yang sudah menjadi suaminya.
Selama ini dia sanggup berkurung di biliknya sahaja. Kebetulan dia sendiri meminta lelaki itu memberikan bilik untuknya. Mereka duduk berasingan. Terlalu baik lelaki itu, eh, dia sudah terlepas memuji suaminya! Lelaki itu memberikannya sebuah bilik, master bedroom untuknya. Seharian itu lelaki itu mengosongkan bilik itu untuk kegunaannya. Dia pula tidak ada perasaan hanya membiarkan lelaki itu memindahkan semua pakaian dan barangannya ke bilik sebelah. kejamnya Adawiyah! Peduli apa! Lelaki itu juga sudah berlaku kejam kepadanya malah lebih kejam daripada apa yang sudah dia lakukan!
Tiba-tiba telefon rumah berbunyi pula. Telefon itu terletak di hujung kakinya di atas meja kecil. Dia terbangun dan terduduk kerana terkejut dengan bunyi telefon itu. lantas dia mengangkatnya.
“Helo,” suaranya.
“Assalamualaikum,” lelaki itu memberi salam.
“Walaikumsalam,” jawabnya selamba.
“Sayang,” sapanya.
“Hmmm,” jawabnya. Dia mencebikkan bibirnya. Dia berasa hairan. Tidak pernah lelaki itu menyapa dengan mesra selama beberapa hari dia duduk di rumah lelaki ini. Apahal? Bisik Adawiyah hairan, dalam hati dia tetap berasa getar di jiwa. 
“Abang nak bawa sayang keluar makan tengah hari ini. Sayang bersiap ya, nanti setengah jam abang datang,” pelawa lelaki itu. Sudah tiga hari dia duduk sendirian di rumah ini. lelaki itu tidak pernah menelefonnya. Entah kenapa datang pula baik hatinya pada hari ini.
“Err, tak nak! Saya tak senang ni! banyak kerja nak buat!” jawabnya mengelak. Kain sedang dicuci di mesin pencuci. Lantai sedang dimop. Pinggan mangkuknya masih menanti. Takkan dia nak keluar pula, pasti kerjanya tak siap! Lelaki itu ketawa di hujung talian. Mungkin sudah faham akan sikapnya yang suka menolak itu. Macam-macam alasan diberikan.
“Sayang, apa yang sayang makan di rumah itu, abang nak bawa sayang ke tempat yang istimewa ni, abang dah tempah!” desak lelaki itu. Adawiyah masih kehairanan di mana lelaki itu mendapat kekuatan untuk menyapanya di rumah ini. Adawiyah tidak akan menerima pelawaan lelaki itu. Dia mencari akal untuk menolak jemputan itu dengan menyerakkan suaranya. Dia lebih suka jika lelaki itu mendiamkan dirinya.
“Saya tak sihat, awak tak faham?” balasnya pula dengan agak kasar. Kedengaran suaranya seakan-akan orang demam. Dia tersengih.
“Kalau macam tu, kejap lagi abang datang, kita ke klinik,” talian sudah dimatikan dengan pantas. Mungkin lelaki itu terlalu bimbang dengan apa yang dikatakannya. Apa yang dia hendak katakan lagi? Ah, sudah! Inilah natijahnya kalau sudah menipu. Dia pula berasa geram!
“Irfan! Aku tak mahu keluar rumah! Aku tak mahu orang nampak aku keluar dengan kau! Apatah lagi apabila kita dilihat oleh gadis-gadis yang bertubuh langsing dan pakaian tak cukup kain tu!” dia menjerit dengan sekuat hatinya di rumah yang hanya dihuni oleh dirinya itu. Sakit hatinya dengan tingkah laku lelaki itu. Lebih banyak menyakiti daripada menghiburkan!
“Ah, apa aku peduli dengan kau! Pedulikanlah kau keluar dengan siapapun, asalkan jangan kacau aku, sudahlah!” jeritnya lagi. Tetapi dia tersedar, kenapa dia harus menaikkan suaranya kepada lelaki itu.
Sepatutnya, memang dia layak menerima pelawaan lelaki itu. Hanya kepada suamilah dia bergantung harapan. Tetapi bagaimana pula dia membuat harapan kalau mereka bernikah bukan atas kerelaannya sendiri? Malah, mereka bernikah bukan atas pilihan suka sama suka. Itulah yang lebih menyebabkan dia kesal dan benci mengingati suaminya.
            Hatinya berbolak balik pula akan tujuan asal lelaki itu menikahinya dengan terburu-buru. Namun, kehairanan itu dibunuhnya sendiri. Dia tidak mahu memikirkan sikap   Irfan lagi. Semakin dia berfikir tentang suaminya itu, semakin pula dia sakit hati. Dia masih belajar dan banyak perkara yang masih menjadi keutamaannya. Mempunyai suami, melayani kehendak suami dan melahirkan anak untuk suaminya bukan agendanya pada masa ini. His, dia belum mahu melahirkan anak untuk lelaki itu. Masih banyak yang dikejarnya dalam hidup remaja akhirnya ini. Mata Adawiyah masih terkunang-kunang  menghadap siling ruang tamu itu.
            Setengah jam kemudian ketika dia sudah siap mencuci pinggan mangkuk dan mop lantai di dapur dan ruang tamu, kedengaran ketukan di pintu. Dia malas berdiri. Tidak lama kemudian, dia sudah terlihat pintu dibuka. Belum sempat dia bangun. lelaki itu kelam-kabut mendekatinya dan duduk di sisi sofa itu. apa yang harus dilakukannya? Takkan lari ketika lelaki itu sudah memegang kepalanya. Lama tangan sasa itu di dahinya, seperti sengaja berbuat demikian. Takkan dia hendak menolak pula. Terpaksalah dia diam dan menutup matanya. Dadanya mulalah berirama tidak sekata. Itulah kelemahannya. Mana ada tubuhnya panas, dia normal. Tak demam, tak sakit tapi sihat.
            “Eh, panasnya kepala sayang. Maafkan abang, tak pedulikan sayang beberapa hari sayang di sini. Mungkin sayang sunyi seorang diri, abang sibuk sayang.” Lelaki itu sudah merapatkan bibirnya ke dahi Adawiyah.
Lelaki itu mengucup dahinya perlahan dan agak lama. Dari dahi bibirnya sudah ke pipinya. Itulah kebiasannya, mengucup dahi dan pipinya. Terasa nafas panas lelaki itu di dahi dan matanya. Adawiyah mula sukar bernafas dan hendak bangun. namun tangan lelaki itu kuat mencengkam pinggang kecilnya. Geramnya Adawiyah. Ini sudah kes ambil kesempatan! Bisik Adawiyah.
            “Saya tak demam lah awak! Tolonglah saya nak bangun nak ke tandas!” Adawiyah sudah mencari alasan untuk melarikan diri dari lelaki itu. berhabis dia menolak tangan lelaki itu tetapi lelaki itu tetap menguatkan pegangannya.
“Sayang demam ni, mari kita ke klinik,” kata lelaki itu sudah memegang tangannya dan mendudukkannya perlahan-lahan di sofa itu. Lelaki itu sudah duduk di sisinya. Mahunya dia tidak malu hendak berdepan dengan lelaki itu. mahu sahaja dia berlari menuju  ke biliknya di penjuru tingkat atas itu. namun lelaki itu masih mengusap-usap tangannya lembut. Seram sejuk tubuhnya. Lelaki itu mengucup tangannya pula. Mahu sahaja Adawiyah pengsan dengan perlakuan romantik lelaki itu!
            “Awak, saya tak demam! Lepaskan tangan saya! Saya nak ke tandas!” tegas Adawiyah. Dia tidak mahu lelaki itu memperlakukan sesuatu yang tidak disukainya. Namun, ke mana lagi dia kalau bukan di sisi lelaki itu? fikirnya. Namun dia teramat benci kepada lelaki itu.
            “Baik, lepas ke tandas, abang akan bawa sayang ke klinik,” apa pilihan yang Adawiyah miliki? Lelaki itu sudah mengiringinya ke tandas di bahagian dapur itu. Kemudian, lelaki itu berdiri di muka pintu tandas dengan senyuman manis. Apa yang harus dilakukannya pula? Apakah dia tenang berada di dalam tandas berjam-jam lamanya? Dia geleng kepala dan melepaskan apa yang sepatutnya dilepaskan.
            Apabila dia keluar, lelaki itu masih di situ dengan senyuman manisnya. Senyuman secebis itu menyerlahkan lagi ketampanan lelaki itu walaupun dia berdiri di depan tandas. Aduh, boleh gila bayang Adawiyah kalau begini! Akalnya mencongak seketika.
            “Apahal senyum-senyum? Gila?” soalnya pura-pura melenyapkan debaran di dada.
            “Gila bayang kat isterilah katakan!” jawabnya selamba. Adawiyah sudah memegang kepalanya. Pura-pura berasa sakit di kepalanya walhal dia dia hendak menutupi rasa goncangan kuat di jantungnya terhadap kata-kata lelaki itu. lelaki itu menambahkan manis dalam senyumannya semula. Dia tahu isterinya itu segan dengan apa yang didengarnya. Dia tahu isterinya itu tidak pernah mengalami saat-saat intim begini dengan sesiapa pun. Itu yang disedari oleh lelaki itu.
            “Sakit lah kepala saya ni, saya nak rehatlah awak! Saya masuk bilik dulu ya,” pinta Adawiyah cuba melarikan diri daripada lelaki itu. Irfan cepat-cepat memegang lengannya.
            “Kita kan nak pergi klinik, jangan banyak alasan pula sayang, abang tahu sayang takutkan abang,kan,” bisiknya di telinga Adawiyah. Meremang bulu roma Adawiyah. Suara lelaki itu menakutkannya pula. Tangannya sudah digenggam lelaki itu. Lelaki itu memaksanya berpusing menghadapnya. Sekali lagi Adawiyah terpusing tubuhnya dan mereka berdiri berdepan dengan lelaki itu. dia menundukkan pandangannya. Dia memang selalu kalah berdepan dengan lelaki itu.
            “Jangan degil dengan abang boleh tak?” soalnya sambil berbisik lagi. Wajahnya tegang tetapi tetap menyerlahkan ketampanan seorang suami di sebalik ketegasan itu. seram sejuk tubuh Adawiyah.
            “Saya tak degil! Saya dah minum ubat tadi,” jawabnya perlahan. Air matanya sudah penuh di kolam matanya.
            “Betul? Kalau macam itu, kita makan, sayang lapar ni, kalau demam tak boleh perut kosong, nanti gastrik pula jadinya,” kata  Irfan tegas. Adawiyah sudah tidak ada pilihan. Dia terpaksa mengangguk. Sebenarnya dia sudah memasak untuk dirinya sendiri. Perutnya sudah kenyang. Dia hanya tidak mahu ke mana-mana dengan lelaki itu. Dengan riangnya lelaki itu memimpin tangannya keluar dari rumah dan memasukkannya ke dalam kereta.
            “Awak nak bawa saya ke mana ni?” soalnya perlahan dan pura-pura membuka matanya.
            “Kita ke restoran di mana kita pernah bertemu kali pertama dulu,” kata Irfan. Terbuntang matanya. Dia terbayang sebuah restoran yang berdekatan dengan pejabat di mana dia pernah bekerja. Sebenarnya dia tidak mahu ke mana-mana dengan lelaki yang telah menghancurkan hidupnya. Tetapi dia tidak tahu ke mana lagi dia harus pergi, dia hanya ada lelaki itu. jika lelaki ini juga bertindak seperti ayahnya, dia tidak tahu apa yang berlaku kepada hidupnya selepas ini.
            “Awak suka memaksa,” katanya perlahan.
            “Abang tahu sayang tak sakit, sayang sihat walafiat!” kata lelaki itu. Meremang bulu roma Adawiyah kerana diketahui dia telah menipu. Dia menundukkan pandangannya. Irfan tersengih kecil memandang sambil memegang tangannya.
            “Jangan cuba nak tipu lain kali, abang akan denda. Dendanya banyak dan tak ada pilihan tau!” lelaki itu sudah mengugutnya. Dia paling benci dengan sikap lelaki itu.
            “Jangan nak mengada nak ugut-ugut orang! Saya tak kan ikut lagi! Sejak awak sudah memaksa saya nikah dengan awak, saya takkan terbodoh lagi dengan sikap gila awak! Cukuplah kalau mak terbodoh,” keras suara Adawiyah. Tegang wajahnya. Dia harus tegas kali ini. Dia tidak suka diperbodohkan oleh lelaki itu. lelaki itu ketawa. kuat ketawanya hingga menenggelamkan lagu romantik di dalam kereta itu. 
            “Jangan sayang nak berkeras-keras dengan abang. Abang ni  kan suami sayang. Sayang, abang akan kotakan apa yang abang cakap! Jangan berani-berani nak cakap abang bodohkan sayang! Cukup sekali sayang cakap benda tu! sekarang kita hidup macam orang lain, berkawan, bercinta, berpasangan sebagai kekasih, suami isteri dan mendapat hak masing-masing!” merah padam muka Adawiyah yang putih mulus itu mendengar kata-kata Irfan. Kata-kata itu bagaikan hukuman. Panas mukanya bagaikan dipanggang di atas api panasnya. Dia takut kalau lelaki itu hendak mendapatkan haknya. Dia takkan mampu memberikannya.
            “Jangan nak mengarut Irfan, siapa nak kawan dengan awak?” lelaki itu ketawa lagi. Makin naik darah Adawiyah. Sudahlah permintaan bekas kekasihnya Asyraf tidak dapat ditunaikan, lelaki di depannya ini buat hal. Memang parah dirinya!
            “Kita mulakan hidup kita sebagai kawan, kalau pun bukan sebagai suami isteri walaupun kita suami isteri,” kata lelaki itu. menggigil tubuh Adawiyah mendengarnya. Permintaan itu memang menyakitkan dia. Irfan memandang wajahnya. Wajahnya sudah memanas sejak tadi.
            “Tak nak!” jawabnya masih berdegil.
            “Jangan nak bantah cakap suami, berdosa tau!” ugut lelaki itu lagi.
            “Hey, pandai lah awak mengugut ya!” kata Adawiyah mencebikkan bibirnya. Lelaki itu memandang tajam ke arah bibirnya walaupun sesekali melihat ke arah jalan.
            “Hati-hati dengan bibir tu ya, kalau lagi sekali sayang buat, tahulah nanti apa nasibnya!” kata  Irfan. Adawiyah semakin benci dengan lelaki yang suka mengugut itu. sekali lagi Adawiyah mencebikkan bibirnya. Lelaki itu memberhentikan keretanya di tepi jalan secara tiba-tiba. Lelaki itu terus memeluk tubuh kecilnya dan mencari bibirnya. Lelaki itu mengucup bibirnya sepuas hatinya. Dia sudah tidak terkata. Sesalnya setinggi Gunung Everest!
            “Awak gila! Awak gila!” jeritnya membentak perbuatan Irfan.
            “Puas hati?” soal lelaki itu mengelap bibirnya yang basah. Adawiyah sudah teresak.
            “Awak memang kurang ajar!” kata Adawiyah dalam esak.
            “Maafkan abang, jangan paksa abang. Abang kan sudah cakap, abang akan buat apa yang abang cakap!” kata lelaki itu lagi. Sungguh dia menyesal! Baru dia ingat yang Irfan pantang dicabar. Lelaki itu akan menunaikan apa yang dikatakannya. Dalam esakan perlahan, lelaki itu meneruskan pemanduannya.
            Dua puluh minit di dalam kereta BMW lelaki itu, mereka tiba di tempat yang dituju. Penyambut tetamu di restoran itu menyambut mereka dengan senyuman mesra. Dia pula pura-pura senyum gembira walhal dia derita. Dia sendiri yang bertambah segan dengan sikap lelaki itu yang tidak mahu melepaskan tangannya sehinggalah lelaki itu mendudukkan dia di kerusi empuk di restoran itu.
            Lelaki itu mengambil tempahan makanan. Entah apa jenis makanan yang dimakannya itu. Dia hanya ikut sahaja. Kalau disuruh menyebut semula apa yang dsebut oleh lelaki itu pasti dia tidak dapat menyebutnya. Lidahnya keras hendak bercakap bahasa lain. Entahlah pada masa akan datang! Tidak tahu pula dia.
            “Sayang, lepas ni kita keluar beli barang-barang dapur,” dia terlongo. Sejak bila pula lelaki ini sudah prihatin dan memikirkan dapur? Soalnya dalam hati.
            “Apahal jadi baik hari ini? selalunya kalau saya lapar, saya mati sorang-sorang kat rumah awak!”  Irfan ketawa. Adawiyah seperti buat lawak pula tetapi mukanya langsung tidak ada riak senyum.
            “Sayang, mummy dan daddy abang akan singgah di rumah kita sebentar sebelum ke Singapura pada minggu depan,” kata Irfan. Sekali lagi Adawiyah terlongo. Keluarga mertua pula hendak ke rumah milik Irfan? oh, sungguh menduga akal!
            “Baguslah! Saya pun tak sabar nak berjumpa bakal ibu mertua,” kata  Adawiyah perlahan. Sebenarnya dia geram.
            “Bukan bakal ibu mertua tapi ibu mertua dan ayah mertua,”  Irfan membetulkannya. Lantaklah!
            Kebetulan pelayan membawa minuman untuk mereka.
            “Silakan minum, nak tersedak abang tengok sayang tu,” kata Irfan kepada Adawiyah. Adawiyah berasa geram lantas menghirup minuman itu, jus oren segar. Hmm, memang minuman yang menyegarkan perasaannya yang sedang geram.
            “Eh, awak ni tak senonohlah Irfan!” kata Adawiyah perlahan. Pelayan itu pula hanya tersengih melihat telatah mereka.
            “Abang cakap yang betul!” Adawiyah tidak menjawab. Dia malas mahu bertekak dengan lelaki itu. Seperti tidak pandai kering ideanya mengenakan dirinya.
            “Jangan bimbang kalau mummy dan daddy abang, mereka tu baik-baik. Esok pastikan sayang bawa semua pakaian abang ke bilik sayang tau, pasti mummy dan daddy hairan jika mereka nampak kita lain bilik,” kata Irfan. Adawiyah sudah terkebil-kebil.
            “Apa hal jadi macam tu pula? Esok? Mak awak datang sini minggu depan kan?” soal Adawiyah.
            “Hmm biasalah orang tua kan, mereka dah tukar rancangan. Tak sabar nak jumpa menantu!”
            “Tak nak, itu bukan alasan yang kukuh,” kata Adawiyah membantah.

            “Jangan susah sayang, abang takkan buat apa-apa. Abang faham sayang, tapi ingat, abang akan buat apa yang abang cakap ya!” kata Irfan memujuk. Sebenarnya dia sukar hendak mempercayai lelaki itu lagi. Akhirnya dia mendiamkan diri sehingga mereka mengakhiri suapan yang terakhir.