Saturday, September 21, 2013

Novel: Salwa Maisara


Bab 1




“Wa, hari Ahad ini kita turun ke bandar kau nak tak? Aku rasa nak beli barang,” kata Rosnah, kawan serumahnya itu. Namun lidahnya terasa kelu. Dia tidak tahu bagaimana hendak memberitahu kawan serumahnya itu. Mereka sama tempat kerja dan duduk serumah. Tiket yang ditempahkan oleh emaknya sudah dicetak sebentar tadi.
            “Tak dapatlah Ros, saya nak balik kampung. Tu yang saya ambil cuti dua hari. Mak ada hal nak cakap,” kata Salwa Maisara. Dia duduk di kerusi kayu memegang kepalanya. Rosnah sudah ketawa melihat gelagatnya seperti hilang anak itu.
            “Macam tiba-tiba pula. Baru dua minggu lepas kau balik,” kata Rosnah.
            “Entahlah, mak yang minta saya balik. Saya tak nak balik. Banyak kerja nak buat, kau faham juga kan,” kata Salwa Maisara.
            “Tak apalah, nanti aku bawa kawan kita yang lain saja yang jalan. Kau balik kampung lah dulu,” kata Rosnah. Dia angguk. Rancangan di televisyen sudah tidak menjadi kesukaannya jika dia mengingati perbualannya dengan emak sebulan yang lalu.

 ***
“Ha? Kahwin? Buat apa  kahwin? Belum sampai setahun saya kerja mak! Lagipun saya muda lagi lah mak!” kata Salwa Maisara terkejut. Dia menelan air liur yang terasa kembang di kerongkongnya. Kejutan yang diberikan pada malam yang mulia itu bukan sekadar kejutan. Kejutan luar biasa yang bisa mematikan kepaman oksigen ke jantungnya.
            “Ya lah kahwin lah nak oiii! Mak tak sabar nak timang cucu!” kata Puan Zuriah memberitahunya dengan selamba. Sekali lagi Salwa Maisara menelan liur. Permintaan emaknya sungguh luar biasa. Abangnya seorang belum habis belajar. Jadi, dia pula menjadi mangsa dalam hal ini. Apa alasan yang terbaik dilakukannya?
            “Eh, buat apa nak kahwin awal-awal mak? Saya belum nak ada anak lagi ni!” kata Salwa Maisara pula. Dia tidak tahu sama ada alasannya diterima kali ini. Dia benar-benar tidak dapat menerima tawaran emaknya kali ini. Jika emaknya minta dia sambung belajar, barangkali dia gembira sampai terlompat-lompat.
‘Buat apa nak kahwin kalau belum ada jodoh pilihan hati? Orang ni bukannya tua sangat lagi ni!’ Salwa Maisara merungut dalam hati apabila mengetahui ibu bapanya sudah mempunyai pilihan sendiri untuknya. Malah, dia akan dikahwinkan pada pertengahan tahun nanti. Rupanya tinggal sebulan sahaja lagi! Huh, berpeluhnya rasa!
“Eh Wawa ni mimpi! Muda kata Wawa? Dah berumur anak mak ni! Tinggal jauh pula dari mak! Susah hati mak! Mak dan ayah fikir lebih baik Wawa kahwin lah!” kata Puan Zuriah membebel di hujung talian. Sakit hati Salwa Maisara. Namun dia tidak mahu emaknya sakit hati. Jika perlu dia terpaksa mengikut permintaan emaknya.  
“Tak apalah kalau macam tu mak. Mak dan ayahlah buat keputusan,” kata Salwa Maisara.
 Dengan berat hati Salwa Maisara terpaksa menerima. Salwa Maisara tidak ada pilihan lain selain daripada menerima cadangan ibu bapanya untuk menikahkannya pada hujung bulan  ini. Semua persiapan disediakan oleh emaknya Puan Zuriah dan bakal ibu mertuanya.
Semua ini gara-gara dirinya yang tidak berjaya membawa seorang calon suami yang sesuai kepada ibu bapanya. Dia tidak pernah jatuh cinta apatah lagi mempunyai seorang kawan lelaki tetapi lelaki. Dia pasrah dengan apa yang telah ibu bapanya tetapkan. Mungkinkah ada hikmah di sebalik semua perkara yang berlaku kepada dirinya?  Tetapi, kalau ikutkan hatinya, dia masih belum bersedia hendak bernikah dengan sesiapa. Dia lebih memilih hidup sendirian di kota ini.
            “Mak bukan apa Wa, mak bimbang tengok kamu seorang diri di negeri orang. Mak mahu cepat-cepat tengok kamu kahwin dan bagi cucu kat mak. Lagipun tak lah kamu sunyi di sana,” luah hati emak, Puan Zuriah kepadanya suatu hari. Alasan itu terlalu klise dan memang sudah dijangkanya. Namun dia baru beberapa tahun di negeri di bawah bayu itu. Belum lama seperti yang dibayangkan oleh emaknya itu.
            “Tak adalah negeri orang tu mak. Dah lama saya kat sana, tak ada apa-apa pun! Orang sana baik-baik belaka mak! Tak ganggu orang pun!” jawab Salwa Maisara. Terbuntang mata emaknya mendengar jawapannya. Lantas, Salwa Maisara memeluk emaknya. Dia terlalu rindu akan emaknya itu dan dia takut emaknya itu akan tersinggung dengan kata-katanya itu.
            “Pihak keluarga lelaki memang sudah datang melamar dan menetapkan tarikh. Cuti sekolah ni mak nak kamu balik Salwa. Mak tak benarkan lelaki tu jumpa kamu di sana. Biarlah semuanya bermula selepas nikah nanti,” panjang lebar kata-kata emaknya, Puan Zuriah. Sedangkan dia hanya rela menadahkan telinganya sahaja. Dia tidak terbayangkan seorang lelaki yang tidak menerima pernikahan mereka kelak. Bagaimana jika ia berlaku? Soalnya kepada diri sendiri.
            “Lelaki tu memang duduk di Sabah ke mak?” soalnya tetap ingin tahu terhadap lelaki yang kononnya hendak datang melamarnya. Namun dia tidak ada kuasa membantah.
            “Aa’ah lah, kalau tak manalah ayah kau nak percaya. Mak ayah dia orang sini, dia uruskan perniagaan ayahnya di sana.” Salwa Maisara sudah mengangguk. Dia sebenarnya agak pening juga memikirkan permintaan yang terbesar dari ibu bapanya ini. Namun, dia tidak diberikan pilihan untuk membantah. Dia tidak mahu emaknya akan terkejut jika dia membantah nanti. Tak pasal-pasal emaknya akan masuk ke dalam hospital pula.
            “Dia nak kan Wawa ke mak? Jangan-jangan dia dipaksa macam Wawa juga,” soalnya kepada Puan Zuriah. Puan Zuriah tersenyum.
“Mestilah emak dan ayah dan keluarganya yang uruskan hal ini,” terkejut hatinya. Ini bermakna lelaki itu juga dipaksa menerima dirinya. Ini yang parah, kata hatinya. Jangan-jangan lelaki itu sudah ada yang punya. Dia pula yang kacau daun.
            “Saya tak kenal dia lah mak! Saya berat hati pula nak terima usul mak ayah ni,” Salwa Maisara memberikan alasannya.
            “Nanti sebelum nikah, kamu jumpalah cuba berkenalan dulu! Baik budaknya! Mak memang dah jumpa dia! Mak berkenan sangatlah dengan dia tu!” puji Puan Zuriah. Salwa Maisara tidak ada alasan hendak membalas kata-kata emaknya. Sebenarnya sudah beberapa hari dia bingung memikirkan tempoh waktu yang ibu bapanya berikan. Waktu itu sudah tamat. Dan, pelik dia tidak mampu mendapat pilihan hatinya.
            “Ya ke ni mak? Entah-entah depan mak saja dia baik, depan saya belum tentu lagi,” kata Salwa Maisara memberi alasan. Hatinya cuak.
            “His, kenapa cakap macam tu? Kita doalah agar Wawa dapat suami yang baik yang soleh,” balas Puan Zuriah. Nada suara emaknya sudah berubah tinggi.
            “Sebenarnya lelaki itu siapa mak?” soal Salwa Maisara yang tidak senang hati dengan cadangan ibu bapanya. Namun dia memang tidak ada alasan hendak membantah.
            “Dia anak kenalan ayah kau! Ayah dia tu memang usahawan sejak dulu lagi. Anak dia  pewaris perniagaan mak ayah dia,” kata Puan Zuriah. Salwa Maisara lebih suka menadah telinga. Sebenarnya dia memang hendak mengenali dulu calon suami yang dipilihkan emaknya untuk dia.
            ‘Saya tak pandai lah nak cakap macam mana mak, saya belum ada hati nak kahwin sebenarnya,’ kata Salwa Maisara dalam hati. Wajah manis emaknya dipandang. Sebenarnya dia benar-benar belum mahu menamatkan zaman daranya. Dia mahu memperkasakan kerjayanya. Dia mahu menyambung pelajarannya. Dia sudah merancang hidupnya dalam diam.
            “Wawa ni macam tak ada hati nak kahwin. Wawa ingat, Wa bukan muda? Umur Wawa dah tua! Mak dulu, umur macam Wawa tu ada dua anak!” balas Puan Zuriah lagi. Salwa Maisara bertambah sedih. Usianya menjadi sandaran emaknya hendak menjodohkannya dengan lelaki yang bukan pilihannya. Malah tidak dikenalinya!
            “Dulu lain mak, sekarang lain,” kata Salwa perlahan. Dia menundukkan pandangannya.
            “Sama saja dulu dan sekarang, tak ada bezanya,” bantah Puan Zuriah yang sudah menaikkan darjah suaranya. mungkin emaknya sudah marah dengan ketidak setujuannya.  
            “Kalau baik bagi mak, baiklah bagi saya,” kata Salwa Maisara yang begitu berasa sedih dengan nasibnya. Apatah lagi, Hakimi yang sama-sama bertugas dengannya tidak menunjukkan apa-apa perasaan selain perasaan sesama rakan sekerja. Mungkin Hakimi sama seperti dirinya. Saling berasa malu hendak meluahkan perasaan. Walaupun dia ada menyimpan sedikit harapan, namun lelaki itu tidak pernah menunjukkan harapan berlebihan kepadanya. Dia beranggapan Hakimi hanya mahu menjadi kawannya sahaja. Itulah yang mengecewakan dirinya.
            Namun dia cepat-cepat tersedar yang jodohnya bukan bersama dengan Hakimi. Itulah yang telah ditentukan. Dia tidak seharusnya menyesali qada’ dan qadar Allah.
            Tetapi esok petang, Salwa Maisara bertekad hendak bertemu dengan Hakimi dan menerangkan masalah ini. Mungkin dia yang harus berani meluahkan perasaannya. Dia seharusnya berbuat sesuatu. Jika Hakimi memberikan sesuatu yang positif dalam perhubungan mereka, dia akan menolak cadangan ibu bapanya menikahkannya akhir semester nanti.
            ‘Ah, Wawa memang belum nak kahwin! Aku belum sedia! Mak tolonglah Wawa!’ Bisik hati Salwa Maisara.
            “Wawa, kalau kau nak tidur pun janganlah tidur di sofa tu. Baik kau tidur di bilik!” kata Rosnah mengejutkannya. Dengan terhuyung-hayang dia melangkah menuju ke biliknya.

Bab 2


            “Hakim, boleh tak kita jumpa petang ni?” soal Salwa Maisara memohon sesuatu dari lelaki itu.
            “Tentulah boleh, saya jemput Salwa petang ni?” Salwa Salwa Maisara menggeleng. Hakimi mengenyitkan matanya ke arah Salwa Maisara.
            “Tak payah nak jemput-jemput nanti kita jumpa. Saya bawa Irsha ya, kawan serumah saya tu!” kata Salwa Maisara.
            “Boleh tak ada salahnya,” kata Hakimi.
            “Kenapa nak jumpa, tak boleh cakap di sini? Cerita fasal apa?” Soal Hakimi ragu-ragu malah tertanya-tanya. Dia pasti berita pertunangannya belum diketahui oleh Hakimi.
            “Bukan macam tu. Bukankah kita selalu minum di Starbuck tu, tak ada salahnya kan?” kata Salwa Maisara bagaikan berdolak-dalik lagi.
            “Ya tak ya juga kan! Tapi...” Hakimi diburu kehairanan. Salwa Maisara bimbang kalau-kalau Hakimi terus memujuknya.
            “Tapi apa?”
            “Salwa ada masalah? Tunang Salwa tak marah?” terkejut Salwa Maisara dengan soalan Hakimi. Pasti Hakimi dapat membacanya.
            “Tak apalah Hakim, nanti kita jumpa tahu. Saya tunggu di situ dengan Irsha. Jangan kau tak datang pula.” Pesan Salwa Maisara. Salwa Maisara berasa sangat kecewa apabila Hakimi sudah menghidu berita pertunangannya minggu lalu. Bagaimana dia hendak meluahkan perasaannya? Takkan dia dicop sebagai gadis gatal nanti? Ah, dia terpaksa mendiamkan diri.
            “Ya ya, mana saya nak lupa pula, tapi tunang Salwa tak apa-apa?” Salwa Maisara menggeleng setelah didesak begitu. Mukanya sudah masam. Hamm, kalau Hakimi sudah tahu dirinya sudah bertunang buat apa dia berterus-terang? Tentu segalanya tidak ada gunanya.
            “Dia tak marah punyalah Hakim! Lagipun dia kat KL sekarang ni! Tak apalah Hakim, kita jumpa nanti. Saya ada kuliah ni. Sampai petang tau,” kata Salwa Maisara yang sudah mengangkat beg kerjanya.
Hakimi hanya memerhatikan Salwa Maisara berlalu. Salwa Maisara pula berasa betapa sayunya hatinya. Berdebar pun ada. Ini kerana dia sedikit hilang keyakinan apabila hendak memberitahu perasaannya kepada Hakimi. Dia tidak tahu apakah pandangan masyarakat kepadanya. Tetapi, perlukah dia memikirkan masyarakat sedangkan nasibnya sudah separuh hidup? Aduh, kacau, hatinya memang kacau dan galau!

***

“Jadi, macam mana ni Irsha, kau jadi tak ikut aku ni?” soal Salwa Maisara yang masih berulit di atas katil bujangnya. Dia lebih bahagia hidup sebagai orang bujang daripada memikirkan perkahwinan. Dia benar-benar belum bersedia ke arah itu.
            “His, mestilah jadi. Nak makan dan jumpa kawan kau kan? Mestilah aku nak! Aku pun nak juga berkenalan dengan pensyarah muda yang tampan tu! Takkan kau saja yang berpeluang!” kata Irsha. Terbuntang mata Salwa Maisara mendengar kata-kata Irsha yang sungguh berani.
‘Takkan Irsha ada hati dengan Hakimi? Hai, melepaslah aku kalau begitu! Kalau Syed Budriz ceraikan aku, aku juga yang putih mata, makan hati!’
“Tak ada masalahnya aku nak kenalkan kau dengan si handsome dan orang harapan fakulti aku tu! Dia memang bergaya tau!” kata Salwa Maisara.
“Ya, tak ada masalahnya kan. Kebetulan pula kau dah bertunang, jadi aku tak ada masalahlah kan?” Dalam kepedihan Salwa Maisara mengangguk. Salwa Maisara tiba-tiba berasa sedih apabila keberaniannya hilang begitu sahaja.
“Ya lah tu. Memang tak ada masalah lah! Kau tengoklah dan berkenalan lah nanti ya! Aku pun suka juga kalau lelaki tu jatuh ke tangan kau!” balas Salwa Maisara. Dalam hatinya Tuhan sahaja yang tahu. Entah bagaimana pula dia hendak meluahkan perasaannya kalau Irsha tidak ada. Kalau Irsha tidak dibawa menemaninya, dia tidak boleh pula berdua-duaan dengan Hakimi. Ditelan mati emak diluah mati emak!

            ***

“Hakim, kenalkan ini Irsha. Kawan serumah aku,” kata Salwa Maisara memperkenalkan Irsha kepada Hakimi. Irsha yang manis menawan itu tersenyum sahaja.
            Setelah selesai menempah minuman, Salwa Maisara berhajat hendak meluahkan perasaannya. Namun dia tidak mendapat perhatian dari Hakimi. Irsha sentiasa membawa cerita-cerita yang menarik untuk mereka bertiga. Hakimi pula sentiasa terhibur dengan cerita-cerita yang dibawakan oleh Irsha.
            “Hakim, sebenarnya saya ada benda nak beritahu ni,” kata Salwa Maisara.
            “Nantilah Salwa. Ni nak dengar cerita yang baru Irsha bawa ni, ok Irsha, cuba sambung cerita yang tadi tu,” kata Hakimi. Salwa Maisara menelan liurnya. Terlalu sedih dengan perancangannya yang tidak mungkin terjadi. Mungkin Hakimi sudah mengetahui berita pertunangannya menyebabkan lelaki berjauh hati. Tetapi, perlukah dia berterus-terang sekarang? Rasanya dia perlu mendiamkan diri sahaja. Mungkin itu lebih baik!
            “Kejap-kejap, saya nak makan ni kejap. Tak tertelan pula nasi goreng saya ni nanti,” kata Irsha pula.
            Hmm lain cerita, Irsha ni sebenarnya kerja mana?” soal Hakimi yang ingin mengenali lebih lanjut mengenai diri Irsha pula.
            “Hmm, tanya Salwa saja lah. Saya malulah nak cakap. Saya ni sapa lah!” kata Irsha merendah diri. Hakimi ketawa.
            “His, Irsha cakaplah sendiri,  buat apa nak tunggu saya pula,” kata Salwa Maisara pula. Salwa Maisara terasa hati pula dengan sikap Hakimi yang lebih memberikan perhatian kepada Irsha.
            “Cakaplah Irsha,” desak Hakimi. Begitu mesra mereka bercakap walaupun baru pertama kali mereka bertemu. Salwa Maisara bertambah kekok hendak berterus terang. Ah, biarkanlah. Mungkin memang bukan jodohnya. Dalam diam, hatinya tersayat sendiri.
            “Saya guru saja. Cikgu kat sekolah rendah! Lain lah macam korang ni pensyarah! Saya ni cikgu!” jawab Irsha.
            “Kita pun guru macam Irsha juga! Jangan rasa rendah diri begitu Irsha,” jawab Hakimi yang seperti sudah lama mengenali gadis itu.
Salwa Maisara tenggelam dalam perasaannya sendiri dan Irsha bersama Hakimi dengan gelak ketawa mereka. Salwa Maisara  pula dapat memerhatikan sorot pandangan Hakimi yang berbeza terhadap Irsha. Tidak pernah Hakimi memandangnya begitu. Tahulah Salwa Maisara yang lelaki itu bukan untuknya. Sudah beberapa kali dia bersolat istikhorah dan jawapan kepada solatnya itu bukan lelaki yang di depannya kini. Lelaki itu sungguh berbeza! Ah, Salwa Maisara  akhirnya terpaksa reda dengan apa yang berlaku! Hendak menangis pun tidak ada gunanya. Percubaannya hendak meluahkan perasaannya akhirnya dipendamkan begitu sahaja. Dia reda!




Bab 3

“Aku terima nikahnya Salwa Maisara Binti Abdul Malik dengan maskahwinnya dua ratus tunai...”
Itu sahaja yang dapat didengar dengan jelas di telinga Salwa Maisara. Air matanya tumpah laju mengiringi perkataan ‘sah’ daripada para saksi yang berada di dalam rumah mereka itu. walaupun dia tidak mengenali siapakah suaminya yang sebenar, namun dia tetap bertekad akan menjadi seorang isteri yang baik dan membahagiakan suami.
Selepas sahaja pernikahannya, Salwa Maisara tidak keruan. Lelaki yang dinikahi pun tidak cukup dikenalinya, dia bagaikan kahwin paksa walaupun kedua-dua mereka telah pun bersetuju dengan pernikahan itu.
“Salwa, kenapa air mata tu jatuh lagi? Dah sah kamu jadi isteri orang, sepatutnya kamu dah senyum gembira,” mendengar bebelan mak andam itu, Salwa Maisara terpinga. Mak andam sibuk menyapukan bedak di mukanya. Salwa Maisara hanya menutup matanya.
“Kenapa tak suka?” soal mak andam lagi. Emaknya pula tidak tahu di mana. Salwa Maisara angguk.
“Suka mak cik,” jawab Salwa Maisara sebak. Dalam hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu.
“Jadi kenapa nangis?” soal mak andam tidak puas hati dengan apa yang dilihatnya. 
“Sejak tadi wajah pengantin murung. Jadi pengantin kena berseri, tak boleh bersedih!” bebel mak andam lagi. Mak andam tersebut ialah kawan baik emaknya. Salwa Maisara sudah lama mengenali mak andam.
“Kalau mak kamu tahu, tak tahu apa katanya,” katanya lagi.
“Jangan bagi tahu kat mak Sal mak cik,” pinta Salwa Maisara.
“Ha, kalau macam tu senyum sikit! Pihak pengantin lelaki nak masuk dah tu! Senyum tau!” arah Salwa Maisara pula. Salwa Maisara mengangguk.
“Salwa, pengantin lelaki mahu masuk bilik tu batalkan air sembahyang, sal jangan masam ya,” pinta Mak andam lagi. Kedengaran suara riuh-rendah apabila pengantin lelaki sudah menapak masuk ke biliknya. Salwa Maisara pun berasa dadanya bagaikan dipukul dengan pemalu gong. Salwa Maisara cuba buat-buat tenang walaupun hatinya tidak lah setenang mana. Ibu lelaki Puan Norainah dan emaknya sendiri Puan Zuriah sudah mendekatinya. Tetamu yang lain juga sudah menghurungi biliknya. Jurugambar yang dibayar dan tidak dibayar juga sudah kelihatan di pintu biliknya. Ada yang sudah menyusup masuk ke dalam.
“Hulurkan tangan nak, pengantin lelaki nak sarungkan cincin,” bisik emak apabila pengantin lelaki sudah berada di depannya. Salwa Maisara tidak sedar bilakah emaknya masuk ke dalam biliknya itu. Salwa Maisara tidak berani hendak angkat wajahnya. Sekilas sahaja tadi dilihatnya wajah lelaki itu masam semasamnya. Macam dipaksa kahwin dengannya. Entah benar atau tidak dia dipaksa, tetapi dari wajah itu telah memberikan jawapannya. Ha, Salwa Maisara malas mahu mengambil tahu hal itu. Bukan urusannya!
“Pengantin perempuan, angkat sikit muka tu! Asyik tunduk sejak tadi,” suara ibu kepada pengantin lelaki alias ibu mertuanya memberikan komen. Salwa Maisara terpaksa mengangkat mukanya dan memaniskan wajahnya. Betapa berdebarnya dadanya saat terpandangkan wajah tampan pengantin lelaki yang menjadi pasangannya. Sesusuk tubuh tinggi tegap dengan pakaian sedondon putih dengannya.
Tidak dapat dia gambarkan dengan kata-kata saat itu. Memang dia telah jatuh sayang tetapi layakkah dia berbuat demikian? Huh, Salwa, jangan pula kau mudah perasan dan jatuh cinta! Kau tak boleh buat begitu! Begitulah bisikan kata hatinya membuatkan dia terasa hati sedikit.
Selesai sahaja menyarungkan cincin, lelaki itu mencium dahinya. Syahdu terasa walaupun antara mereka berdua tidak ada perasaan apa-apa. Agak lama juga bibir lelaki itu berada di dahinya kerana hendak fokus kepada kamera. Agak lemas juga Salwa Maisara dengan apa yang baru berlaku.
“Salwa, cium tangan suami tu!” suara emak pula kedengaran setelah selesai lelaki itu mengucupi dahinya. Dia akur dengan arahan emaknya itu. Dia mencapai tangan pengantin lelaki lalu menciumnya. Sesaat, dua saat, sudah selesai. Ada kedengaran suara-suara nakal dan berdehem-dehem. Muka Salwa Maisara menjadi merah mendengar usikan itu.
“Ha, macam tu lah menantu mama, gadis yang manis,” kata suara tadi. Sah, memang dia adalah ibu mertuanya. Salwa Maisara hanya tersenyum manis dengan pujian itu. Bertambah-tambah manis senyumannya dengan lesung di pipi kanannya.
“Lepas ni salam dengan saudara mara di luar ya, Budriz, kamu pun sama,” arah Puan Norainah, ibu kepada pengantin lelaki. Dia mengangguk.
Selesai segala yang wajib, jamuan makan diadakan. Majlis persandingan akan diadakan pada waktu petang. Ayah sudah menguruskan semuanya untuk menjimatkan waktu. Esok dia akan dibawa bertandang ke rumah pihak lelaki pula. Lusa pula mereka akan balik ke Kota Kinabalu. Lelaki yang baru menikahinya mempunyai urusan yang tidak dapat dielakkan di situ. Salwa Maisara akur juga dengan arahan itu. Dia sudah menjadi isteri kepada lelaki itu.