Monday, November 25, 2013

Novel: Isyarat Cinta 21 dan 22

Selesai dia mengemaskan semua barang yang patut dibawa dia duduk di atas katilnya. Dia pun sudah menyediakan dirinya. Dia tahu sebentar sahaja lagi suaminya akan sampai. Sebentar tadi baru sahaja suaminya menghantar pesanan ringkas kepadanya.
Dia sempat pula termenung. Dia isteri yang dinikahi secara sah walaupun agak tergesa-gesa tanpa restu kedua ibu bapanya dan dia tidak risau jika lelaki yang sudah menjadi suaminya itu akan menceraikannya pada bila-bila masa sahaja. dia juga tidak perlu risau bertemu muka dengan kedua-dua ibu bapa Irfan dan seorang adiknya. Apapun penerimaan mereka, dia akan reda dan cuba sedaya-upaya untuk bersedia.
Dia tidak mahu dianggap sebagai gadis dungu lagi. Cukuplah kekasih-kekasih Irfan di bumi Malaysia ini menganggapnya sebagai gadis kampungan yang tidak layak bergandingan dengan Irfan yang kaya dan gagah dengan segala kehebatan yang dimilikinya. Dia mahu peduli apa. bukan dia yang terhegeh-hegeh kepada lelaki itu. jika dia yang terhegeh-hegeh dulu, itu lain cerita. Ini tidak, lelaki itu yang terkejar-kejarkannya.
“Assalamualaikum sayang,” lelaki itu sudah memeluk belakangnya. Seram sejuk pula tubuhnya apabila lelaki itu sudah memegang erat pinggangnya. Dia tidak berdaya hendak berpusing dan menghadapi lelaki itu secara berdepan. Jika dia dapat berbuat demikian, pasti lima-lima jarinya sudah melekat di pipi putih kemerah-merahan lelaki itu. Namun dia menarik nafas dan menahan perasaan berdebarnya yang amat kencang.
“Walaikumsalam, saya dah siapkan semuanya,” kata Adawiyah berdepan dengan Irfan. Adawiyah berasa segan dengan lelaki itu. Dia tiba-tiba terasa dekat pula dengan lelaki itu. Seperti hanya dunia indah mereka sahaja ketika itu. Irfan sudah mengucup dahinya. Rasa kasih tersemai di jiwanya secara tiba-tiba.
“Sayang,” panggilan Irfan menyedarkannya. Dia mengangkat mata dan memandang lelaki itu malu-malu. Sebenarnya dia mesti sedar yang dia tidak boleh malu!
“Dah siap?” soal Irfan. Jarak mereka yang terlalu dekat menyebabkan dia sukar bernafas. Dia mengangguk lemah.
“A’ah.” Itu sahaja. dia menjarakkan dirinya. Irfan pantas memegang tangannya. Matanya terbuntang dan separuh jantungnya bagaikan sudah terbang ke Taiwan.
Sekejapan bibirnya sudah bertemu di bibir Irfan. Dia agak kelemasan dengan tindakan drastik suaminya itu. Dia terasa betapa indah dunianya ketika itu. Irfan pula terasa amat bahagia. Isterinya itu tidak melawan seperti selalunya. Apakah isterinya itu sudah bersedia menjadi isterinya dan belajar mencintainya? Irfan mengucup dahi isterinya pula, ke muka dan bibirnya semula. Adawiyah tetap mendiamkan dirinya.
“Sayang,” panggil Irfan yang sudah mengejapkan pelukan di pinggang kecil isterinya. Isterinya tidak menjawab malah menutup matanya. Apakah isterinya terleka dengan perbuatannya?
“Sayang,” panggilnya lagi. Dia tidak akan menceroboh zon larangan bagi isterinya selagi isterinya tidak memberikan keizinan kepadanya. Tetapi peristiwa semalam benar-benar tidak disengajakannya tetapi ia telah terjadi. Mereka sudah benar-benar menjadi suami isteri dalam erti kata yang sebenarnya.
“Hmm,” sahut Adawiyah. Adawiyah membuka mata. Mukanya sudah merah dan degupan jantungnya mereka bertembung sama seirama.
“Abang lapar,” buntang matanya memandang suaminya itu. Dia angkat kening. Dia hanya memasak mee hoon goreng pagi tadi. Itu pun mee hoon goreng yang simple. Mee hoon goreng yang ditambahkan telur, kicap dan bawang putih. Dia sudah kehabisan udang, sayur dan bawang merah. Dia tersenyum malu. Irfan pula sangat seronok jika Adawiyah tersenyum malu-malu. Dia sangat senang hati dan suka menyakat isterinya itu.
“Sekarang dah jam berapa?” soalnya.
“Jam 11.00 pagi. Sayang ada masak tak?” soal Irfan sungguh-sungguh. Lelaki itu tidak pernah memintanya memasak. Dia memang suka jika tidak diminta memasak. Ini kerana dia tidak begitu pandai memasak.
“Masak apa?” soalnya. Jantungnya masih bagaikan berhenti berdenyut apabila mata Irfan dan matanya bertaut erat sesaat kemudian. Selama ini dia tidak pedulipun bagaimana pandangan lelaki itu kepadanya. Tetapi kenapa hari ini dia masih berdebar-debar?
“Sayang makan apa tadi?” soalnya pula. Lelaki itu sudah duduk di birai katil menghimpit tubuhnya. Dia bersesar sedikit.
“Err, saya makan roti aje cicah milo, tapi saya masak mee hoon goreng, awak nak?” jawabnya jujur. Pantas Irfan mengangguk.
“Abang nak,” kata Irfan memegang erat tangannya pula. Sepantas itu Irfan mengucup pula jari-jemarinya lembut.
“Kenapa tak makan di luar tadi?” soalnya tidak senang hati. Sebenarnya dia segan dengan masakannya sendiri.
“Tak tahu pula. Tiba-tiba nak makan dengan isteri abang ni, tak apa, mee hoon goreng pun abang suka. Makanan kegemaran abang tu,” bertambah panas wajah Adawiyah dan degupan jantung bertambah laju.  
“Saya panaskan mee hoon goreng untuk awak,” katanya memberi tawaran. Dia jadi kasihan pula dengan rayuan lelaki itu. Lelaki itu sudah mengucup tangannya sekali lagi. Lama dan syahdu. Jantungnya pula bagaikan terlompat-lompat hendak keluar! Ini tak boleh jadi, bisiknya. Dia sudah berdiri dan memegang tombol pintu. Namun tangan lelaki itu cepat sangat menangkap sebelah tangannya.
“Nak apa?” soalnya pura-pura tegas. Renungan lelaki itu sukar ditafsir. Sudahlah dia hampir lemas sebentar tadi. Suaminya sungguh pandai memainkan peranannya. Adawiyah terasa tertipu pula.
“Nak sayang, rambut sayang wangi,” jawabnya. Dia baru sahaja mandi.
“No! No! Saya nak panaskan mee hoon goreng, nanti lambat pula kita nak gerak,” Irfan terpaksa melepaskannya. Dia melihat lelaki itu sungguh kecewa dengan perbuatannya. Irfan sudah mengikuti dia turun ke dapur.
“Tak apalah, nanti kita di tempat baru ada peluang lagi kan sayang,” bisiknya. Adawiyah bertambah segan.
Irfan sudah duduk di meja makan. Dia cepat-cepat membuat kerjanya di dapur basah. Mata Irfan pula masih memerhatikannya seperti tadi. Sejak tadi degupan jantungnya tidak berkurangan, malah semakin kuat degupannya setiap kali mereka bertentangan mata.
“Nah ini mee hoonnya, silakan makan,  tapi tak sedap, jangan marah,” katanya yang sudah duduk berdepan dengan Irfan. Irfan sudah sedia dengan sudu dan garfu di tangannya.
“Sayang tak makan?” dia geleng. Dia memang tidak ada selera nak makan. Irfan sudah menyuap mee hoon goreng ke dalam mulutnya. Dia memandang lelaki itu. Merah mukanya. Entah apa komen yang akan diberikan oleh lelaki itu terhadap masakannya.
Tidak pernah ada lelaki yang makan masakannya. Ini kerana dia tidak pernah mengenali ayahnya sejak kecil. Emaknya juga tidak mahu menceritakan kepadanya mengenai ayahnya walaupun sudah berulang kali dia menanyakan mengenai ayahnya. Emaknya membisu seribu bahasa. Inilah kali pertama dalam hidupnya. Semakin berdebar jantungnya.
“Sayang, mee hoon ni sedap! Ya Allah tak pernah abang rasa begini sedapnya masakan isteri abang,” kata Irfan. Semakin gugup dirinya. Mungkinkah lelaki itu mahu mengambil hatinya kerana tindakan mereka tadi? Ah, dia tidak mahu berprasangka kepada suaminya sendiri.
“Biasa saja. Makan lah, saya nak ambil barang kat atas,” katanya berdalih. Irfan menggeleng.
“Kalau abang makan, jangan pegi mana-mana, temankan abang,” kata Irfan yang sudah berdiri dan menarik tangannya untuk duduk di sisinya. Sakit hatinya tiba-tiba dengan tindakan lelaki itu. Namun dia tidak boleh buat apa-apa. Mahu atau tidak dia terpaksa menerima sahaja perbuatan lelaki itu.
“Cerewetlah awak ni,” katanya perlahan.
“Apa?” soal Irfan.
“Awak cerewet,” dia menguatkan suaranya. Mukanya sudah panas.
“Bukan cerewet, abang ni dahagakan kasih sayang isterinya. Kasihan abang kan,” kata Irfan. Tertunduk dia menghadap lapis meja bunga-bunga halus itu.
“Jangan ambil hati sayang. Abang gembira sebab merasa masakan isteri abang yang sedap ni. Masakan ibu angkat abang pun kalah, sayang memang hebat rupanya. Patutlah abang dah jatuh cinta pandang kali pertama kat sayang,” ah, sudah! Lelaki itu sudah berkali-kali berterus-terang mengenai cintanya. Sedangkan dia tidak pernah memberitahu mengenai perasaannya. Apa yang harus dia jawab?
“Awak makanlah dulu, nantilah cerita hal-hal lain tu,” pujuknya. Dia sudah agak hafal akan sikap Irfan. Irfan mengangguk dan meneruskan makannya. Milo panas sudah dihirupnya perlahan.
“Makan dulu baru minum, nanti perut kembung,” katanya. Irfan ketawa kecil.
“Sayang abang memang hebat, tak sia-sia abang pilih sayang,” dia sudah seperti kucing tertelan tulang. Dia tidak tahu apa yang hendak dijawabnya. Maka, dia pun mendiamkan dirinya.
“Cepatlah awak makan, saya nak singgah kejap di rumah mak,” katanya mula memaksa Irfan menunaikan permintaannya. Dia tidak peduli pesanan emaknya agar tidak memaksa suami. Irfan angguk. Dia senang hati dengan jawapan itu. Ini bermakna dia berpeluang lagi bertemu dengan emaknya. Dia merindui emaknya.
“Ya abang pun nak jumpa mak. Abang nak beri wang belanja. Tadi pagi abang lupa, asyik ingat kisah samalam. Abang risau kalau kita agak lama di luar negara,” bulat matanya. Mukanya semakin panas. Irfan mengungkit lagi kisah semalam.
Sudah terlalu kerap Irfan menghulurkan wang belanja buat emaknya. Dia tidak suka Irfan berbuat demikian.
“Uncle awak kata paling lama pun kita hanya dua minggu di situ. Kenapa melarat pula?” soalnya tidak puas hati.
“Bukan macam tu, takut mummy sakit dan daddy tak dapat uruskan kerjanya, tu yang kita terpaksa agak lama di situ,” Adawiyah terpaksa akur. Sebenarnya dia tidak puas hati dengan perubahan itu. Irfan memang pandai-pandai buat keputusan tanpa memberitahunya. Ia seperti hukuman pula kepada dirinya.
“Mak awak sakit apa pula? Kenapa pula kita kena lama-lama di negara orang, kita kan orang Malaysia,” katanya seperti hendak menangis.
“Mummy kita,” Irfan membetulkan.
“Ye, sakit apa?” soalnya.
“Sakit entah, nanti kita tanya. Sebenarnya mak dah agak sihat tetapi masih di bawah pengawasan doktor.” Jawab Irfan. Dia angguk juga.
“Sedapnya mee hoon goreng sayang, lain seperti yang selalu saya makan,” puji Irfan.
“Saya nak kerja, cuci pinggan atau jadi pelayan,” pintanya. Bulat mata Irfan.
“Kerja kat mana?” soal Irfan agak terkejut.
“Kat restoran di bawah,” jawabnya. Menurut iklan yang dibaca dan ditanyanya, restoran ala Thai di bahagian kondominium ini memerlukan dua orang pelayan wanita. Tetapi dia tidak tahu jika Irfan akan membenarkannya atau tidak.
“Jangan cari bala! Sayang sudah cukup baik duduk di rumah. Sayang kan masih belajar dan jaga abang. Kenapa nak kerja. Selepas ni abang akan balik tengah hari untuk makan tengah hari dengan sayang, lepas tu sayangkan janji nak beri abang anak,” balas Irfan. Dia tidak terkata. Ini bermakna dia terpaksa memasak setiap hari. Walhal memasak adalah pekerjaan yang paling dia tidak suka.
“Tak nak! Saya belum rasa nak ada anak!” katanya tegas. Irfan sudah ketawa.
“Kalau sudah takdir, sayang nak kata apa?” soal Irfan. Dia diam.
“Kalau sayang bosan, ikut abang ke pejabat, bukan ke kerja di kedai ya!” kata Irfan. Adawiyah diam. Mahu atau tidak, dia terpaksa akur.
“Tak apalah kalau macam tu,” kata Adawiyah mengalah. Kedengaran bunyi mengetuk di pintu utama. Mereka bertatapan seketika. Dia tertunduk. Irfan sudah tersenyum memandangnya. Senyumannya menyerlahkan lagi kacaknya lelaki itu. Eh, lelaki itu suaminyay!
“Siapa datang?” soalnya. Irfan cepat-cepat berdiri dan berjalan menuju ke pintu.
“Tunggu sini,” dia mendiamkan diri. Irfan datang semula tidak lama kemudian.
“Pak cik teksi dah sampai, kejap lagi kita turun,” kata Irfan. Dia angguk. Rasa berdebar lagi. Ini kerana rumah yang dihuninya dua minggu ini akan ditinggalkan buat sementara.
“Nak gerak sekarang?” soalnya.
“Ya lah, ni tiket kita,” kata Irfan menunjukkan tiket yang ada di tangannya. Dia angguk.
“Saya basuh pinggan awak dulu,” jawabnya.
“Cepat sikit sayang. Sayang belum tukar baju dan belum mekap lagi. Abang angkat beg kita dulu, sayang tunggu sini ya,” dia angguk. Irfan selalu prihatin kepada dirinya. Sedangkan dia sendiri tidak pernah mengambil peduli tentang kehidupan lelaki itu.
Hanya baru beberapa hari ini sahaja dia memerhatikan pakaian lelaki itu. Itupun semuanya sesudah dihantar ke dobi. Dia hanya membantu menyangkutkan di dalam almarinya. Sebelum ini semuanya dilakukan oleh Irfan sendiri.
“Dalam sepuluh minit, boleh tak?” soalnya. Irfan mengenyitkan mata ke arahnya.
“Ok sempat tu sayang,” kata Irfan.
“Terima kasih,” dia cepat-cepat membasuh pinggannya. Dia sudah menyediakan pakaiannya di atas katilnya. Blaus merah jambu dan seluar getah serta tudung sama dengan blausnya. Cepat-cepat dia naik ke biliknya.


Bab 22

Mereka sudah berada di dalam perut teksi. Dia agak kelucuan berada di dalam teksi panjang ini. Dia tidak pernah menaiki teksi sebelum ini. Kata Irfan, teksi ini dipanggil limusin. Dia angguk sahaja. Mereka duduk sangat berdekatan di dalam teksi itu.
            “Sayang gembira tak?” soal Irfan. Dia serba-salah. Dia gembira atau tidak? Gembira dengan percutian yang diatur oleh pak ciknya, Uncle Daniel demi untuk menaikkan harga saham di dalam syarikat Irfan dan keluarganya. Gembira kerana ini salah satu percutian bulan madu mereka berdua.
Oh, tidak! Dia sangat sedih sebenarnya. Sangat berduka cita. Ini kerana dia terpaksa meninggalkan emaknya sendirian. Dia lebih berduka cita apabila terpaksa menjadi musafir di luar negara. Apatah lagi ke negara yang minoriti penduduk Islamnya.
Bagaimana dia hendak makan nanti? Bagaimana penerimaan ibu bapa mertuanya nanti? Bertemu ahli keluarga mertuanya di sini pun dia berasa cuak dan sakit hati dengan gadis yang pernah ada hubungan dengan suaminya ini. Ini kan pula nanti beberapa jam lagi dia akan ke luar negara.
Siapa yang akan memujuknya jika dia bersedih kerana penolakan ibu bapa mertuanya atau saudara-mara suaminya yang lain? Dia sedar dia dipaksa kahwin seperti kahwin darurat pula dia! Ah, dia rasa serba-salah pula! Mahu menangis pun ada namun dia berasa dia perlu menenangkan dirinya saat ini.
            “Kenapa sayang termenung?” soal Irfan mengejutkannya. Dia mengerdipkan matanya beberapa kali. Air mata ditahannya. Dia tidak mahu Irfan menyedari mengenai apa yang ada di dalam dirinya saat ini.
            “Tak ada apa-apa,” dia tertunduk. Tangannya sudah berada di dalam genggaman Irfan. Sejuk terasa. Hatinya yang dingin sebenarnya.
            “Sayang tak gembira?” haruskah dia mengangguk menjawab soalan itu. Apa kata suaminya nanti? Adakah dia akan membatalkan perjalanan mereka nanti? Mustahil, memang sesuatu yang agak mustahil. Mereka terpaksa ke luar negara demi menyelamatkan syarikat keluarganya. Apa yang akan diberitahu kepada emaknya nanti? Ah, diam-diam sajalah!
            “Sayang sedih nak tinggalkan bumi Malaysia?” soal Irfan lagi. Dia senyum.
            “Tak lah sedih. Saya ni kan tak pernah  ke luar negara, mestilah rasa macam mimpi,” jawabnya menyedapkan hati lelaki di sisinya itu.
            “Abang faham, tapi sayang akan sering ke luar negara selepas ini sebab syarikat ayah abang beroperasi di luar negara. Kita pergi untuk masa depan kita bersama. Sambil tu kita akan berbulan madu, kita berkenalan dan mula berkawan, sayang sedia?” soalan lelaki itu menambahkan beban di bahunya. Tetapi dia memilih untuk mengangguk.
            “Sayang sedia berikan kerjasama kan?” dia angguk sekali lagi. Irfan menggosok tangannya perlahan-lahan. Dia mahu menarik tangannya tetapi lelaki itu menatapnya dan menggeleng.
            “Jangan berkeras, nanti apa kata pemandu teksi itu. Lain pula yang akan dilaporkannya kepada Uncle Daniel dan saudara-mara yang lain nanti,” terbuntang matanya. Dia gigit bibirnya.
            “Gila! Tentu mereka tahu awak paksa saya kahwin!” bisiknya. Irfan ketawa.
            “Tak gila, I love you,” bisik Irfan pula lantas mengucup pipi kirinya lama. Berbahang wajah putih gebunya. Dia mendiamkan diri sambil menenangkan jantungnya yang bagaikan mahu terkeluar dari tubuhnya.
            “Tak perlu ucapkan benda-benda alah tu balik-balik, saya belum jatuh cinta kat awak,” katanya separuh berbisik. Irfan ketawa kecil tetapi dia dapat meneliti dari wajah lelaki itu, lelaki kacak itu sedikit kecewa. Sedikit kasihan kepada lelaki itu tetapi dia sendiri sepatutnya lebih kasihan kepada dirinya sendiri.
            “Tak apalah, abang akan tunggu sayang cinta kan abang dan takkan lepaskan abang suatu hari nanti,” balas Irfan berbisik. Dia cubit perlahan lengan Irfan. Dia tidak setuju dengan kata-kata itu. Dia tidak tahu sejauh mana hayat rumah tangga mereka.
            “Ah awak jangan nak merepek lah, belum tahu akan datang semua tu dari diri saya,” jawabnya perlahan.
            “Abang akan tunggu walaupun masa itu usia abang dah tua dan kepala abang dah beruban,” jawabnya. Dia pula ketawa. Geli hati dengan kesetiaan Irfan yang baru diikrarkan oleh lelaki itu. Malah dia membayangkan lelaki itu jika sudah tua dan rambutnya beruban.
            “Takkan awak nak setia tunggu saya, awak ramai kekasih keliling pinggang. Kalau awak tak puas hati dengan saya, suka-suka lagi awak ambil salah seorang kekasih awak jadi kekasih hati awak semula! Lainlah saya,” Irfan ketawa.  Dia cuak dengan tingkah Irfan. Pemandu teksi itu pula tertoleh-toleh ke arah mereka.
            “Jadi, sayang akan ambil peluang kahwin dengan kekasih sayang begitu?” soal Irfan dengan wajah cuak.
            “Saya mana ada kekasih! Jangan nak tuduh!” katanya perlahan. Kali ini Irfan tersenyum manis menyerlahkan wajah tampan itu. Aduhai hati!
            “Singgah kat Kampung Tenang, Apartmen Tenang tuan?” soal pemandu itu memandang mereka dari cermin depan. Dia memperlahankan larian teksi mewah itu.
            “Ya encik, kita singgah kejap. Dalam sepuluh minit.” Kata Irfan.
            “Boleh... boleh tuan,” kata pemandu teksi yang sudah membelok ke Apartmen Tenang. Adawiyah lega. Senyumannya mekar di wajah. Dia sempat juga bertemu dengan emaknya sebelum mereka berangkat ke luar negara.
            Turun dari kereta, Adawiyah terus berlari menaiki tangga apartmen itu. Irfan menuruti langkah Adawiyah.
            “Assalamualaikum mak,” panggil Adawiyah sambil mengetuk pintu rumahnya. Puan Musliah sudah membuka pintu dan memeluk Adawiyah.
            “Wiyah nak gerak dah mak,” kata Adawiyah. Puan Musliah menyalami menantunya.
            “Jalan elok-elok nak, mak doakan kamu berdua selamat,” kata Puan Musliah.
            “Terima kasih mak,” kata Irfan.
            “Jaga anak mak baik-baik Irfan,” Irfan mengangguk. Mereka berpegangan tangan.
            “Saya akan menjaga isteri saya seperti saya menjaga nyawa saya mak, mak jangan risau,” kata Irfan. Tersentak Adawiyah dengan jawapan itu.
            “Hubungi mak sebaik saja kamu tiba di situ,” Adawiyah mengangguk.
            “Ya mak, kami akan hubungi mak nanti,” kata Irfan. Puan Musliah mengesat air matanya.
            “Tak lama kami di situ mak, nanti kami akan balik juga, secepat mungkin,” kata Adawiyah memujuk emaknya. Ketika dia menelefon emaknya, dia yang sangat sedih dengan perjalanannya tetapi kini di depan matanya, emaknya yang sungguh sedih.