Monday, November 25, 2013

Novel: Kuimpikan Bahagia

Ini novel terbaru yang diaplodkan ke blog ini. Selamat membaca!
Prolog


     Nuha Qarina bersyukur. Dia pulang dengan menanai impiannya yang sudah pun tercapai. Segulung ijazah sarjana muda sudah berada di tangannya. Dia benar-benar bersyukur dan merindui sanak saudara di tanahairnya yang tercinta. Anak kecil yang merupakan buah hati barunya dipegang dengan erat. Takut dalam kesibukan itu, anak kecil itu terlepas ke tangan orang lain.  Banyak perkara yang harus disyukurinya termasuk anak kecil itu.
            Wajah-wajah yang selama ini dirinduinya sudah menunggu di luar ruang menunggu. Dia benar-benar gembira. Sengaja dilakukannya dalam tempoh empat tahun dia tidak mahu kembali ke tanahairnya yang tercinta. Semangat kecintaannya begitu mendalam selama berada di bumi Sydney itu namun ditahannya sedalam-dalamnya.  Apatah lagi dengan adanya dia di sisi. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi.
            “Hello…”
            “Ya…ya…kami sedang tunggu barang-barang ni di ruang bagasi. Aliff? Mama nak cakap dengan dia? Oh, dia sedang mengangkat barang-barang kami yang banyak tu mama.”
Malu dia sebenarnya. Malu dengan apa yang menimpa. Namun, demi keluarga yang merindu dan menanti dia akur dengan kehendak mereka. Kembali ke tanahair setelah dia menamatkan pengajiannya walaupun sebelum itu mereka sudah berpakat hendak bermastautin di luar negara.
Dia sanggup tinggal di luar negara untuk beberapa tahun lagi tetapi emak dan mama mertuanya tidak tahan berjauhan dengan cucu mereka yang seorang itu. Itulah yang menyukarkan dia membuat keputusan secara sendirian kini. Segala-galanya harus mementingkan kebaikan Alieya Maisharah.
Barangkali orang-orang terdekat yang menantinya sekian lama sudah tidak sabar dengan kedatangannya. Dia sudah terpandangkan lambaian tangan mereka. Malah, mereka juga tidak mengetahui betapa dirinya kembali kali ini dengan tiga orang. Dulu, kepergiannya hanya seorang diri. Itulah yang lebih istimewa dalam kepulangannya kali ini.
“Awak nak malu apanya? Awakkan isteri saya. Saya kan suami awak. Kita mempunyai ikatan yang sah sayang. Kenapa harus melarikan diri pula?” soal suaminya. Nuha menundukkan wajahnya.
Cerita dia dipangil ke kondo suaminya pada suatu malam masih terbayang di ruang matanya. Dia berasa malu dan dimalukan sekaligus. Lelaki itu pula berasa bersalah yang amat sangat dengan perbuatannya lantas dia terbang ke Tokyo Jepun. Sepatutnya musim sejuk Tokyo itu dialami bersama isterinya namun lain hal pula yang berlaku.




1

Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu

Julai 2009


Pagi itu cuaca dingin sekali. Hujan rintik-rintik membasahi lapangan Terbang Kota Kinabalu. Suasana sekeliling begitu hening sekali. Ada beberapa orang sedang menunggu di balai menunggu ini sepertinya. Hanya kedengaran dengkuran tidur para penumpang yang menunggu penerbangan MH1212 ke Australia pada pagi itu. Hanya ada beberapa orang wanita selebihnya lelaki Mat Salih yang berkemungkinan baru melancong ke negerinya ini. Kebetulan pula tahun ini Malaysia diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia. Malah, negara ini mensasarkan jumlah pelancong yang sangat besar jumlahnya. Namun dia tidak mahu mempedulikan hal itu kerana tahun ini dia bertekad untuk keluar dari negaranya ini. Dia sudah menanam tekad itu. baginya hidup harus diteruskan walau apapun yang berlaku.
            Penerbangan akan diumumkan bila-bila masa sahaja. Dia sudah bersedia hendak memasuki kapal terbang sebaik sahaja diumumkan oleh pramugari sebentar lagi. Mereka diminta menunggu di pintu 1 bagi laluan antarabangsa.
            Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Ia menunjukkan kemasukan mesej ringkas ke dalam peti mesej ringkas di telefon Sony Ericcsonnya. Dia cepat-cepat membuka mesej ringkas yang baru diterimanya. Ah, rupanya adiknya yang menghantarkan mesej ringkas kepadanya. Kebetulan adiknya tidak dapat menghantarnya ke lapangan terbang pagi ini kerana kesibukan tugasnya. Namun dia tidak berasa apa-apa, dia sudah berjumpa dengan adiknya kira-kira lapan hari yang lalu.
            “Ah, rupanya hidup berumahtangga tidak semestinya bahagia! Patutlah ramai orang yang bercerai. Tahun 2007 sahaja kadar perceraian sudah meningkat. Daripada sepuluh pasangan yang didaftarkan berkahwin, dua pasangan telah bercerai! Namun, apa yang pasti perubahan sikap Aliff menyebabkan dia nanar!” katanya perlahan. Semalam dia menerima email dan mesej ringkas dari Rozila yang memberitahu bertemu, namun dia tidak mahu membalas apa-apa dari mesej ringkas dan email yang dikirimkan itu. Dia bungkam dan kaku dengan apa yang berlaku.
            “Saya bimbangkan kamu Nuha, tolonglah balas mesej ringkas ini. Saya ‘call’ tapi awak tak jawab! Saya nak jumpa dengan awak Nuha! Ada urusan yang belum selesai.” begitulah mesej ringkas yang tertulis biasanya. Ah, semua urusan sudah selesai apabila dia mengambil keputusan untuk menerima tawaran belajar ke luar negeri ini. Tidak ada yang tidak selesai.
‘Entah apa lagi yang tidak selesai dengan lelaki itu. Dia sendiri tidak tahu!’ bagi dirinya semua yang berlaku sudah selesai.
Dia memadam mesej ringkas itu dan mematikan telefonnya. Dia takut perempuan yang telah melakukan onar dalam rumahtangganya yang sebentar itu akan menambah onar di kepalanya lagi ketika dia hendak berlepas pagi ini. Dia tidak mahu memikirkannya. Dia sudah lali dengan apa yang berlaku dan selalu mendiamkan dirinya sahaja. Tidak akan ada apa-apa ungkapan dari mulutnya mahupun dari tulisannya melalui mesej ringkas atau e-mel.
Dia sudah berjanji akan melakukan yang terbaik selepas ini. Dia sudah mula melupakan segala-galanya kebetulan apatah lagi dia semakin sibuk dengan kerjanya. Tawaran melanjutkan ke luar negeri yang julung kalinya amat menyenangkannya, diterimanya dengan senang hati sekali. Dia terus mengisi borang-borang yang diperlukan.
            ‘Nuha Qarina takkan jumpa dengan sesiapa! Nuha Qarina hanya bersendirian kini, tidak ada apa-apa lagi yang mengikatnya!’ Bisiknya perlahan. Hatinya membeku. Itulah janjinya kepada dirinya sendiri. Dan, tarikh keberangkatannya juga tidak dihebohkan kepada sesiapa termasuk lelaki yang membuatkan hidupnya onar itu.
            “Nuha Qarina oh Nuha Qarina, jangan pergi nak! Luar negari yang kau nak pergi tu bukannya dekat. Nuha lah satu-satunya anak yang amat rapat dengan emak. Mungkin anak mak ni terkilan sebab kejadian tempohari, tapi mak benar-benar tak mahu anak mak pergi jauh nak! Cukuplah kalau Nuha sambung pelajaran di Semenanjung sahaja, tak jauh! Senang kau jenguk mak di kampung ni!”
Lembut sekali suara emak mendodoi jiwanya dan dia bagaikan hendak membatalkan hasratnya melanjutkan pelajaran di mana-mana pun. Kalau ikutkan hatinya pelajaran yang dimilikitnya setakat Diploma Perguruan dengan Kepujian ini sudah mencukupi namun dia sudah nekad untuk menyambung pelajarannya setelah permohonannya diterima. Apatah lagi dengan peristiwa yang baru melandanya menyebabkan dia berubah haluan.
            ‘Tak boleh mak!’ Bisiknya lagi mengingati wajah kusut emaknya yang tidak mahu melepaskannya.
Dia   tidak mahu mengundurkan dirinya lagi. Itulah keputusan yang sudah diambilnya. Memang berat hati hendak melanjutkan pelajarannya ke luar negara tetapi bagi dirinya itulah yang terbaik di lakukannya. Dulu, sewaktu lepas SPM dia tidak berpeluang seperti rakan-rakannya yang lain melanjutkan pelajarannya ke luar negara. Siti Azzurah, Mariah, Saiful dan Norman sudah melanjutkan pelajaran mereka ke luar negara dan kembali dengan sijil masing-masing, sedangkan dirinya hanya tercanguk lama melihat kemenjadian rakan-rakan sepersekolahannya itu.
Dia? Ya, dirinya! Tiga kali dia mengulangi peperiksaan SPM barulah dia berpuas hati kerana mendapat pangkat satu dengan 4A dan 3B 1C. Itupun dia mengikuti tuisyen melalui Maktab Adabi. Kalau tidak, belum tentu dia dapat keputusan yang baik itu. Seterusnya, dengan muka yang tebal dia terpaksa memohon ke maktab perguruan. Mujur masih ada maktab yang menerimanya. Itupun dengan muka yang tebal.
Dia tidak pernah memikirkan akan menjadi guru tetapi dengan keputusan yang diperolehinya, itu sahaja peluang yang dia ada. Kalau peluang itu lagi disia-siakannya, bidang apakah lagi yang akan diceburinya? Apatah lagi dengan usianya yang sudah menjangkit tua, dia terpaksa menjadi rakan sebaya dengan rakan-rakan yang lebih muda usianya daripadanya. Namun, syukur kerana dia sudah selamat menjadi guru bertauliah dari sebuah maktab perguruan di negeri ini.
            “Mak, luar negeri tu bukannya jauh. Nanti  lepas belajar tu Nuha baliklah! Tak lama mak! Mak jangan risau kan saya! Nanti kalau ada wang lebih Nuha, Nuha akan suruh emak pergi ke sini! Nuha tentu rindukan emak juga!” jawabnya sambil memeluk bahu emaknya itu.
Kecur rawannya hanya Tuhan sahaja yang Tahu. Dia memang tidak boleh berenggang dengan emaknya itu semasa bujangnya tetapi sejak kejadian yang menimpa hidupnya dia selalu menumpang di rumah kawannya di Likas itu. Alasannya, dekat kalau dia hendak pergi bekerja. Emaknya menerima alasan itu walaupun dia terasa berat hendak melepaskan anaknya ini tinggal di mana-mana.
            “Nuha, awak yang berhak ke atas Aliff Safwan! Bukan saya!” kata perempuan yang sering menghantar mesej ringkas kepadanya. Dia tetap tidak dapat membalas mesej ringkas perempuan itu. Baginya, perkara yang sudah diselesaikan tidak harus dikutip kembali. Bukan dia yang membuang tetapi dirinya yang kena buang dari hati lelaki itu, buat apa dia hendak mengutipnya kembali. Malah, perempuan itu menyampaikan hasratnya hendak berunding. Ah, baginya tidak ada apa-apa lagi yang hendak dirundingkan. Baginya segala-galanya sudah selesai selepas musim bulan madu itu. Tidak ada lagi yang hendak ditangiskan, dikesalkan kerana semuanya sudah selesai.
            “Masih ada perkara yang saya hendak perbincangkan, cinta kalian boleh disambung kembali. Saya tidak berniat hendak memutuskan hubungan yang baru terjalin.” Begitulah kira-kira bunyi mesej ringkas yang sering dituliskan dan tertera di telefon bimbit Sony Ericcsan terbaru yang dibelinya sendiri. Dia tidak pernah membalasnya. Telefon pemberian Aliff Safwan sudah ditukarkannya dengan yang baru dan agak murah harganya. Tidak betah dia memandang segala barang pemberian lelaki itu. Dia bisa jadi nanar dengan apa yang masih basah dalam kenangannya.
            Mendengar pengumuman berlepas itu, Nuha Qarina terus mengangkat beg berodanya dan berjalan dengan laju memasuki kabin kapal terbang itu. Dia sudah melapangkan akalnya. Tidak ada apa-apa lagi yang berkaitan antara dia dengan Aliff Safwan dan perempuan itu. Tidak ada juga cerita mengenai Danial Akmal, bekas tunangannya.
Selepas ini dia akan menukar nombor telefonnya, sesampainya di destinasinya kelak. Dia akan memulakan kehidupan baru selepas ini. Tidak ada lagi kehidupan yang menyakitkan yang akan menjadikan kehidupannya haru-biru. Begitulah azamnya dalam hati tatkala dia sudah memasuki pintu pesawat itu menuju ke daerah kembara ini.









2




Wajah Kota Kinabalu terpercik pilu dengan secarik kisah yang menyayat hati yang dihadapinya kini. Kota mendung, dada kota sebak dan menimbulkan pelbagai kemungkinan di dada awan di langit biru itu. Dia tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan hal yang sebenarnya, dirinya memang terluka dengan apa yang telah berlaku, sukar dia hendak melawan apa yang sedang menyelinap di hatinya. Seperti angin luka yang bertiup sepoi-sepoi bahasa begitulah harapannya yang sudah luka. Namun silapnya juga kerana terlalu berterus-terang dengan Aliff Safwan, dan akhirnya dirinya yang merana. Terluka kerana dikecewakan dan terluka kerana impiannya bersama dengan lelaki itu berkecai semudah gelas terhempas ke lantai.
Ah, lebih baik dia merana sekarang daripada dia merana selepas telah menjalinkan hubungan intim dengan lelaki itu. Itulah pendapatnya untuk memujuk hatinya yang lara. Memang, tiga bulan adalah waktu yang mengerikan untuk menjalinkan hubungan suami isteri, namun itulah hakikatnya sebuah perkahwinan yang telah dijalankan dengan gilang-gemilang di kampungnya dan di hotel lima bintang itu tempohari. Malu, memang dia amat malu dengan apa yang telah berlaku tetapi hatinya lah sepatutnya yang menjawab harga malu itu. Kalaulah kawan-kawannya di sekolah itu tahu apa yang telah berlaku kepada dirinya ini, alangkah malunya. Tidak dapat dikatakan bagaimana malu yang melampir di jiwanya ini. Derita hati hanya Tuhan sahaja Yang Tahu. Ah, hati yang tidak cinta itu dapatkan dia menerimanya dengan terpaksa walaupun perkahwinan telah dilangsungkan? Bisiknya sendiri.
Dia tidak boleh membohongi hatinya. Berkahwin, kononnya dia sudah dapat melupakan cinta pertamanya yang sudah dikuburkannya sesudah dia sudah memutuskan tali pertunangan dengan bekas kekasihnya yang amat penyabar itu. Bukan pula dia kehilangan sabar tetapi cakap-cakap orang tua di kiri kanannnya yang mahu dielakkannya.
Apatah lagi tunangnya itu hanya mahu menghabiskan waktunya dengan belajar sehinggakan dia merasa dirinya sendiri amat terabai. Sukar dijelaskan kenapa setelah lima tahun  bertunang mereka tidak berkahwin. Empat tahun selepas tunangnya itu balik dari belajar, dia merasakan cintanya hanya cinta ringan, hanya cinta monyet sahaja bukan cinta sejati. Dia memutuskan pertunangan itu kemudiannya. Tidak ada apa lagi yang hendak ditunggu. Apatah lagi apabila lelaki itu masih menganggur sahaja kerjanya. Siang malam melawat dirinya yang bekerja sebagai guru. Dia bagaikan sudah lupa yang dia mempunyai tunang rupanya. Namun dia berani pula memutuskan ikatan yang suci itu.
Entah kenapa sikapnya menjadi selincah itu. Mungkinkah kota yang dihuninya bertahun-tahun lamanya itu menjadikan dia gadis lincah yang berubah dalam diam-diam? Entah kenapa. Mungkinkah kerana tunangnya yang kemalangan di Kunak itu tidak memberikannya apa-apa makna menyebabkan dia memberikan alasan sudah tidak cinta kepada lelaki itu. Dan, selepas itu, keluaraga tunangnya juga memutuskan pertunanagan mereka secara rasmi. Alasan mereka, doctor mengesahkan tunangnya akan sembuh sepenuhnya dalam tiga puluh peratus sahaja.
“Sabarlah, nanti kalau abang sudah kerja, kita akan cepat-cepat kahwin! Kalau abang ada gaji, gaji abang besar! Jangan susah hati!” kata Danial Akmal, bakal jurutera muda itu memberikan harapan sedangkan dia sudah hilang harapan kepada lelaki itu.
Dia hanya  mematah-matahkan tangannya ketika berjalan-jalan di bandaraya Kota Kinabalu itu. Biasanya mereka berpegangan tangan berjalan di pesisir pantai atau di panas matahari sekalipun tetapi kini dia sudah pun berubah. Tidak sekali-kali dia mengizinkan tunangnya itu memegang tangannya. Dia tidak sanggup pula berjalan dengan penganggur!
Aduh, kenapakah fikirannya menjadi sejahat itu walhal selama ini lelaki inilah yang ditunggunya. Entahlah kenapa dia tiba-tiba berubah fikiran. Mungkinkah kerana dia amat membenci lelaki itu. Mungkinkah dia sendiri yang sudah berubah hati? Dia tidak dapat menjelaskan hal itu.
            Hatinya bagaikan takut menghadapi hidupnya yang sudah dilanda mendung, ah, bukan mendung lagi. Hidupnya sudah ranap. Tidak ada apa-apa lagi yang tinggal setelah sebulan menghadapi kehidupan yang dijangkakannya akan menghadapi kebahagiaan. Ah, rupanya dia hanya merenung bulan yang jauh di atas langit tetapi dia tetap tidak mampu menggapai wajah bulan yang kononnya penuh kerikil-kerikil tajam itu.
            Dulu dia sendiri yang degil tetapi hari ini dia sendiri yang menanggung semuanya. Perkahwinan yang dilangsungkan dengan penuh kemeriahan pada bulan Disember yang lalu, kini tinggal sisa-sisa keseksaan yang tidak dapat dirungkainya. Hantaran perkahwinan menjadi tidak bermakna apabila dia telah membuangkan semuanya kerana baginya kenangan lalu teramat menyakitkan. Terlalu menyakitkan.
            “Susah nak tahu kisah hidupnya yang lalu, Nuha sebab dia banyak tinggal di luar negara. Kau boleh percayakah yang tiba-tiba dia jatuh cinta kat kau, lantas meminang dan kahwin dengan kau? Takkan kau tak siasat latar belakangnya lagi? Tapi kalau kau terima aku tak mahu nak ikut campur, susah nak cakap kalau apa-apa berlaku kepada kau, Nuha!” kata seorang sahabatnya, Kartika yang sangat rapat pernah memberikan komen apabila dia berura-ura berkahwin dengan seorang anak datuk, seorang usahawan yang banyak tinggal di kota-kota metropolitan di dunia ini.
Dia mengabaikan kata-kata itu dengan harapan dia akan mendapat kebahagiaan dan kasih sayang sepenuhnya dari lelaki itu. Ah, kusut akalnya memikirkan lelaki itu.
            “Entahlah Nuha. Abang tak boleh nak menipu diri abang sendiri. Dulu memanglah nampaknya abang sangat menyintai Nuha. Tetapi apabila bertemu semula dengannya, rupanya masih ada cinta antara kami! Jadi, abang terus terang dengan Nuha kami masih menyayangi antara satu dengan lain!” kata suaminya itu pada malam mereka berbulan madu setelah hampir dua bulan mereka bernikah dan bersanding secara besar-besaran di sebuah hotel lima bintang di bandaraya rimba tropika itu. Sakitnya saat ini, tidak dapat dilukiskan di kanvas impiannya.
Patutlah lelaki itu selalu meminta agar bulan madu mereka ditangguhkan. Rupa-rupanya ada sesuatu yang berlaku di sebaliknya. Tidak disangkanya lelaki yang mengakui amat menyayangi pada permulaan perkenalan mereka itu akan menyatakan sesuatu yang sangat kontra di hadapannya kini. Angin sepoi-sepoi di pusat peranginan ini memang tidak dapat memanjakan hatinya lagi. Bagai ada ribut taufan yang melanda dirinya. Namun dapatkah dia menolak rasa yang bertandang di hati lelaki itu? Bukankah dia juga tidak pernah merasai kasih sayang yang menyelusup di hatinya untuk lelaki itu? Kenapa dia harus berprasangka kepada lelaki yang sudah bergelar suaminya itu? Ah, bukankah lebih baik diputuskan sahaja hubungan yang terjalin antara mereka sementara cinta belum bersemi lagi dan dia pun ingin menjadi bebas sekali lagi. Mungkinkah belum hadir cinta sejati dalam hidupnya ini?
            “Jadi, apa rancangan awak seterusnya?” tanyanya selamba. Tidak mengharap sesuatu yang manis akan berlaku lagi selepas itu. malah, kenangan manis itu sudah dilupakan sama sekali dalam hidupnya ini.
            “Saya kira kalau tidak menyusahkan, saya nak kahwin dengan kekasih saya tu….” Kata lelaki itu tanpa perasaan. Entah kenapa  hadirnya bagaikan tidak diperlukan walaupun dia adalah isteri yang sah kepada lelaki itu. punah harapannya tidak dapat dijangkakan. Itulah ucapan usahawan yang dikenalinya hanya beberapa bulan melalui kakak iparnya, lantas masing-masing menyetujui untuk berkahwin dan bergelar suami isteri.
Malu sekali dia memikirkan segala-galanya. Rupa-rupanya belum pun sampai sebulan mereka kahwin, masing-masing sudah mengikut haluan sendiri. Entah kenapa Tuhan bagai tidak merestui hubungan mereka itu!
            “Jadi apakah makna perkahwinan kita ini bang? Apakah makna bulan madu ini? Hanya nak menyakitkan hati saya? Atau, sengaja nak membalas dendam?” tanyanya perlahan. Berlinangan air matanya namun dia tidak menunjukkan kepada lelaki itu. Gunung ganang yang membiru menjadi saksi pertengkaran mereka malam itu. Sepatutnya malam itu menjadi sumber terjalin hubungan yang lebih intim antara mereka tetapi sebaliknya yang berlaku. Segalanya menjadi kehilangan makna.
            “Abang tetap menyintaimu sayang. Sayang kan isteri abang, kenapa abang nak benci pula. Tetapi, dia bekas kekasih abang. Abang memang tak boleh tinggalkan dia! Dulu, kami terpisah secara tidak sengaja. Dia tinggalkan abang. Berikanlah ruang untuk abang menyayangi Nuha dan akan menikahi bekas kekasih abang tu! Kami sudah kenal begitu lama. Tidak salah kan berpoligami kalau kita mampu!” kata lelaki itu membuai perasaannya namun dia sudah muak dengan kata-kata itu.
Muak, muak dia dengan kata janji lelaki itu. entah kenapa dia bersetuju dinikahi oleh lelaki itu. Ah, kenapa kehadirannya sebagai isteri bagaikan tidak dihargai. Nuha Qarina meratap kesal.
Menyesal, sebal dan tersisih malah hilang harga diri membuak-buak di hatinya. Lelaki di hadapannya itu benar-benar telah menyeksa jiwanya. Dia tidak menyangka selama ini lelaki yang kononnya sibuk dengan perniagaannya itu tergamak berpura-pura di hadapannya. Dia malu sekali.
Malu kepada diri sendiri, malu kepada rakan-rakannya yang mengucapkan tahniah kepadanya dan malu kepada lelaki itu. Apakah selama ini dia berfikir dia akan berbahagia kalau dia berkahwin dengan lelaki yang belum cukup mantap di hatinya itu? Beginikah akhirnya semua ini sementelah pula dia tidak cukup kuat untuk menyintai lelaki itu.
            “Ceraikan saya! Nikahilah dia, sementara cinta abang masih ada untuknya! Tidak ada gunanya hubungan kita ini diteruskan. Saya rela berundur bang! Saya rela diceraikan.” katanya perlahan namun dia pasti lelaki di hadapannya itu masih boleh menangkap apa yang dikatakannya. Pandangannya ditundukkan. Selama ini pun dia bagaikan isteri yang tidak berharga mata lelaki itu. Kepenatan menyebabkan dia tidak mahu memikirkan segalanya. Dia tidak mahu memandang mata lelaki itu. Ia hanya akan menimbulkan kekusutan demi kekusutan kelak. Malah, hatinya terlalu benci kepada lelaki itu tetapi dia sangat menghormati lelaki itu kerana berterus terang dengannya.
            “Tak boleh Nuha, kita tak boleh berpisah. Usia perkahwinan kita masih terlalu muda! Lagipun Nuha adalah pilihan keluarga saya. Mereka semua sayangkan Nuha. Bukan apa, masalahnya sekarang, abang masih menyintai bekas kekasih abang tu tapi abang tak boleh lepaskan Nuha,! Awak takkan saya lepaskan!” kata suaminya yang telah melukakan hatinya itu. Ah, begitukah hukum-hakam seorang lelaki yang menunaikan tanggungjawabnya terhadap isteri? Bisiknya menyelinap di hati.
            “Tak boleh bang. Kita tak boleh nak begini, saya tak boleh menerima hukuman abang ni! Ya seperti yang saya kata, kita pun belum begitu mengenali jadi, eloklah kita cerai sahaja. Lepaskan saya!” katanya sebak. Rupanya dia sudah benar-benar menangis. Terlongo lelaki yang dipanggil suami itu mendengar permintaannya.
            “Tidak, abang tidak akan menceraikan Nuha! Pergilah ke mana sahaja, abang tak akan ceraikan Nuha! Abang juga sayangkan Nuha! Antara kita tak seharusnya berpisah Nuha! Abang juga cuba menyayangi Nuha, tapi... Kekasih abang juga memerlukan abang! Takkan abang nak tinggalkan dia begitu sahaja!” katanya perlahan. Nuha Qarina hanya menundukkan wajahnya.
            “Lebih baik awak mengahwini dia…” kata Nuha Qarina perlahan. air matanya memang sudah tidak dapat dibendung lagi.
Tidak tahu hendak menghadap ke mana. Menghadap ke arah laut yang terluka bagai dirinya yang terluka. Dia takut hatinya berasa pilu. Menghadap ke arah matahari yang sedang kembali ke tampuknya, dia berasa malu, takut matahari turut bersedih dengan apa yang berlaku.
            “Suka hati abanglah kalau itulah kemahuan abang, tapi saya tetap dengan pendirian saya menganggap segalanya kembali seperti biasa. Tak ada abang dalam hidup ini bagi diri Nuha!” katanya membuat keputusan yang satu itu. Dia tidak mahu terus dipermainkan oleh lelaki yang sudah bergelar suami kepada Nuha Qarina itu.
            “Jangan tinggalkan abang Nuha! Abang dah sediakan sebuah rumah untuk Nuha, kereta dan segalanya. Kenapa Nuha nak tinggalkan abang?” soal lelaki itu. Seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku antara mereka berdua.
            “Apa abang ingat saya kahwin dengan abang kerana harta? Jangan abang ingat kemewahan boleh membahagiakan saya! Jangan harap! Siapa yang tinggalkan siapa bang? Nuha atau abang? Selepas balik dari sini, saya akan kembalikan semua harta yang awak berikan kepada saya!” katanya tegas. Suaranya ditekan agar tidak terlalu berkasar dengan lelaki itu.
            “Abang berhak kahwin lagi, abang mampu!” katanya menegaskan perkataan mampu itu. dia mengangguk walaupun pahit untuk diterimanya. Namun, itulah yang semestinya diterimanya.
            “Dalam keadaan bulan madu begini? Kenapa rancangan bulan madu ini diteruskan bang? Alangkah malunya saya!” katanya sesal dengan apa yang berlaku. Sesal atas apa yang sedang berlaku kepada dirinya sendiri. Kalau dia tidak bersetuju dengan cadangan kakak sulung dan kakak iparnya tempohari, tentu kesudahannya tidak begini. Fikirnya sejenak.
            “Maafkan abang Nuha! Abang tidak sengaja nak sakitkan hati Nuha! Memang percutian kita ini sudah dirancangkan lebih awal dan abang memang tidak sempat memberitahu Nuha tentang segalanya, abang terlalu sibuk dengan urusan abang! Maafkan abang!” tiba-tiba lelaki angkuh itu memohon kemaafan. Dia tiba-tiba merangkul belakang Nuha   Qarina. Tangan kekar itu terlalu ampuh untuk ditepis. Cepat-cepat Nuha meminta dilepaskan.
            “Lepaslah! Awak jangan nak mengada-ada! Saya tak suka!” kata Nuha Qarina kasar. Namun, bibir lelaki itu sudah hinggap di lehernya yang halus dan gebu. Tidak mahu sesuatu berlaku dalam waktu hubungan mereka kembang tak jadi itu. Selepas adegan itu dia berkeras meminta dilepaskan.
            “Janganlah macam ni, Nuha kan isteri abang.” Kata Aliff Safwan separuh berbisik. Sakit hatinya mendengar bisikan itu. ‘Isteri konon! Isteri yang tidak dihargai!’ bisiknya perlahan. Sayu hatinya tambahan pula lelaki itu begitu berani bertindak terhadapnya. Dia cepat-cepat melarikan dirinya.
            “Sudahlah abang, tinggalkan Nuha. Esok kita balik ke Sabah dan hubungan kita sudah tidak macam sebelumnya. Abang buatlah apa yang abang suka, Nuha tidak menghalang! Jemputlah Nuha kalau mengadakan majlis besar-besaran, Nuha takkan lepaskan peluang itu! Mungkin sekali dalam hidup!” katanya menarik selimut. Malam itu benar-benar meninggalkan kenangan ngeri buatnya.
            “Sampai hati Nuha buat abang macam ni! Abang rindukan Nuha. Ingat tak lepas kahwin kita tak pernah berjumpa. Hanya telefon menjadi penghubung? Hubungan  kita semakin mesra kan!” dia meluat dengan kata-kata suaminya itu. ‘Tidak berjumpa konon! Dia yang melayan aku macam anak tiri di rumah sendiri, dia kata tak pernah berjumpa! Lelaki hipokrit!’
Hendak berkahwin lain tetapi memberitahu tentang kerinduannya. Dia tidak membalas. Hanya air mata yang menenangkan jiwanya sepanjang malam itu. dia tidak menyangka lelaki di sisinya yang mula dikasihinya itu akan menyuakan sesuatu yang menjadikan hati dan harapannya mati.
            “Sudahlah bang. Kita tidur dulu. Esok kita akan berangkat awal. Saya pun tak cukup tidur semalam.” Katanya berdalih. Suaminya hanya memerhatikan gelagatnya. Ah, dalam waktu bulan madu yang seharusnya dihiasi dengan bunga-bunga ceria ini, dia telah kehilangan ceria.

Aliff Safwan terlalu melukai hatinya. Aliff Safwan telah menjadikan dirinya boneka dalam hidup ini. Aduh, hanya Tuhan yang Tahu segala apa yang tersirat di hatinya ini. Apa yang disesalkannya ialah, apabila dia menyatakan persetujuannya bernikah dengan lelaki itu setelah berkenalan dalam waktu yang singkat! Ah, dia nanar kerana dia berasa telah melakukan kesilapan terbesar dalam hidupnya!