Monday, December 16, 2013

Cerpen: Api Rindu Masih Menyala

Api Rindu Masih Menyala

Sudah dua bulan pernikahannya dengan lelaki kacukan Cina itu. Sudah dua bulan juga dia bagaikan terkurung di istana kaca lelaki itu. Dia sudah diberhentikan kerja dan hanya membuat kerja rumah. Selebihnya menelaah pelajarannya. Ke mana-mana sahaja dia pergi dia hanya ditemani oleh lelaki itu. Sehingga dia naik jelak dan sungguh benci. Dia resah tidak menentu. Walaupun perasaan bencinya masih menebal namun dia takut perasaan itu akan terhakis dari sehari ke sehari. Bencinya semakin nipis dan nipis. Bagaimana dia mengelakkan hal itu?
            “Boleh tak kalau kita mula sebagai kawan?” pinta lelaki itu suatu hari. Lelaki itu ditatapnya sesaat. Ketampanan lelaki itu terserlah walaupun pandangan mereka bertaut hanya sesaat. Namun, sesaat kemudian, dia sudah menjeling lelaki itu tanpa ampun. Entah kenapa perkahwinan tanpa perancangan menyebabkan hatinya bagaikan dirunut-runut untuk membenci lelaki yang bergelar suami itu.
Dia tahu lelaki itu sedang merayunya. Dia tahu lelaki mempunyai banyak helah dengan permintaannya itu. Dia mencemikkan bibirnya. Dia tidak akan menuruti kata-kata lelaki yang sudah menjadi suaminya itu. Permintaan lelaki itu tentunya menipiskan lagi jurang antara mereka. Jadi, dia memilih penolakan. Biar lelaki itu kecewa dengan penolakannya.
            “Tak boleh!” tegas jawapannya.
            “Kenapa tak boleh?” bisik lelaki itu di telinganya. Dia sesak nafas dengan tindakan lelaki itu. Lelaki itu terlalu licik. Dia benci dengan kelicikan lelaki itu. Mahu sahaja dia menendang kaki lelaki itu apabila dia tiba-tiba sahaja sudah dibelakangnya. Sakit hatinya.
            “Lepaslah! Jangan nak pegang-pegang saya! Awas! Awak dah janji takkan paksa saya!” ugutnya lagi. Lelaki itu ketawa. Tangannya dilepaskan akhirnya. Itu sahaja helahnya pula untuk melepaskan diri dari lelaki itu. Sebenarnya dia turut gugup jika lelaki itu melakukan sesuatu yang bakal menyakitkan hatinya.
            “Takkan suami pegang tangan pun tak boleh?” kata lelaki itu tersenyum. Dia menjeling sekali lagi.  
            “Nanti kalau awak selalu pegang tangan, awak akan beritahu orang yang awak sudah rogol saya! Begitu yang awak buat kat mak saya kan? Seluruh kampung percaya dengan pembohongan awak! Apa yang saya dapat? Malu tahu malu?” soalnya dengan penuh kemarahannya. Wajah lelaki itu kelat. Dia tidak peduli. Itu sejarah pahitnya!
            “Sudahlah, itukan kisah lama! Kalau saya tak buat macam tu, tentu puteri saya ni akan terlepas ke tangan orang lain! Daripada orang lain, baiklah abang yang tangkap dulu!” kata lelaki itu semakin menaikkan darjah kebenciannya. Semakin dia meluat!
            “Sedap saja ya, awak cakap! Itu fitnah namanya! Hakikatnya kita tak pernah bersama!” katanya kuat. Lelaki itu ketawa. Bertambah sakit hatinya.
            “Jadi, sayang mahu kalau kita bersama?” soal lelaki itu seolah-olah cuba mengambil kesempatan. Dia jadi gugup. Tidak pernah dia membayangkan hidupnya bersama dengan lelaki itu. Tidak akan pernah!
            “Jangan awak nak gila!” lelaki itu ketawa lagi. Dia bertambah geram.
            “Marilah kita balik, tak guna cakap dengan orang tak faham ni,” katanya.
            “Abang faham. Sayang nak kan abang kan?” hampir saja dia memuntahkan apa yang ada di dalam perutnya. Namun ditahannya.
            “Awak ni memang tak reti bahasa tahu!”  katanya. Dia bergerak laju di depan meninggalkan lelaki itu yang masih dengan sisa ketawanya. Peristiwa sebulan lalu tergantung di ingatannya.
***
Setelah lelaki itu keluar bekerja, dia segera keluar dari rumah yang sekian lama mengurungnya. Dia tidak meninggalkan apa-apa kepada lelaki itu. Geramnya kepada lelaki itu masih belum berakhir. Senyuman gatal lelaki itu masih menghantuinya. Dia ingin melupakan senyuman lelaki itu. Mahu sahaja dibunuhnya lelaki itu. Jika dia balik malam nanti, rumah itu kosong, baru lah padan mukanya! Dia senyum puas hati sambil mengheret sebuah beg sederhana besar di tangannya. Beg itu berisi pakaian dan modul pelajarannya.
            “Sayang, abang nak pergi bekerja ni. Petang ni sayang nak pergi beli barang dapur tak?” soal lelaki itu seolah-olah dialah lelaki sempurna dan mithali di hati seorang isteri. Dia mahu sahaja muntah pagi-pagi ini.
            “Tak, saya tak mahu keluar, biarkan saya berkurung di kondo mewah awak ni!” jawabnya. Lelaki itu ketawa kecil. Lelaki itu menghulurkan tangannya. Dia menyambutnya dan mencium tangan kasar itu. Sejahat manapun hatinya terhadap lelaki itu, dia tetap menyalami tangan lelaki itu. Lelaki itu mengucup dahinya. Terkaku dia seketika, tidak pernah lelaki itu mengucup dahinya kecuali selepas nikah dua bulan yang lalu. Hampir dia menangis.
            “Huh, jangan lemah, Wiyah! Kau harus kuat! Kalau tidak, dia akan sentiasa di sisi kau!” sindir suara itu. Sakit hatinya. Cepat-cepat dia menarik begnya dan mengunci pintu rumah itu. Kenangan bersama lelaki itu sudah terkunci di hati.
***
Ke mana menghilang isterinya? Seharian dia di pejabatnya tanpa menghubungi isterinya itu. Menyesal pula dia. Ketika malam itu, dia pulang rumah kosong. Isterinya tidak ada di dapur macam biasa. Diketuknya bilik isterinya, senyap semacam. Tidak aura wanita comel yang selalu memarahinya. Tidak ada bunyi atau kelibat manusia di ruang mana-mana rumahnya itu. Ke mana wanita kesayangannya itu?
            “Sayang Wiyah...sayang di mana sayang?” dia memanggil dengan panggilan yang disukainya walaupun isterinya tidak menyukai panggilan itu. Pun isterinya tetap tidak muncul.
Dia cepat-cepat mengambil kunci pendua. Hanya telefon isterinya berbaring di atas katil. Tidak ada tuannya. Terbang semangatnya mengingati bilik isterinya yang sudah kosong. Walaupun isterinya tidak suka dengan pernikahan mereka namun isterinya tetap patuh dengan perintahnya.
Ke mana dia mencari isterinya pada malam begini? Adakah isterinya melarikan diri kerana kata-katanya semalam? Adakah isterinya diculik penjahat? Adakah isterinya takut kalau-kalau dia mengotakan kata-katanya? Ah, silapnya dia. Dia sudah menakut-nakutkan isterinya itu. Dia sedar wanita kesayangannya tidak bersedia lagi menjalankan kewajipannya sebagai isteri, kenapa dia tidak mampu bersabar lagi?
Aduh, jika itu kesilapannya, kenapa isterinya itu hanya mendiamkan diri dan tidak menunjukkan tanda-tanda hendak melarikan diri atau diculik? Namun, tidak ada tanda-tanda di rumahnya dimasuki penjahat. Dia yakin isterinya pergi begitu sahaja dari hidupnya.
Dia hanya bercakap sambil menguji isterinya, dia tidak berniat mengugut isterinya. Aduh!
            Dia terduduk seketika di atas katil isterinya itu. Punah harapannya hendak membawa isterinya keluar makan di sebuah restoran yang sudah ditempahnya. Mereka jarang sekali keluar makan, isterinya lebih rela memasak di rumah. Mungkin, kerana belum bersedia segala-galanya isterinya jarang menerima pelawaannya keluar makan di luar. Mereka hanya keluar membeli barang dapur sahaja. Isterinya juga jarang membeli-belah pakaiannya sendiri. Aduh, kenapa begitu banyak silapnya? Kenapa dia terlalu mementingkan dirinya sehingga mengabaikan wanita kesayangannya? Dia hanya mahu kemahuannya dituruti sedangkan wanita kesayangannya tidak pernah rela dengan apa yang berlaku antara mereka! Aduh!
***
Seawal pukul empat petang dia sudah tiba di lapangan terbang Kuala Lumpur. Dia sudah berjaya menjauhi lelaki itu. Horeey, dia berjaya! Tetapi mengapa hatinya tidak gembira? Soalnya sendiri. Perlahan-lahan dia menarik begnya dan mencari teksi. Dia tidak boleh berlengah-lengah mengingati lelaki yang sudah banyak menyakiti hatinya itu.
            Dia menyeluk poket beg tangannya. Dia mencari telefonnya. Huh, kosong. Ternyata dia lupa mengangkat iphone yang baru dihadiahkan oleh lelaki itu. Mahu atau tidak dia terpaksa berdikari. Dia tidak dapat menghubungi kawan-kawannya. Mahu sahaja dia menangis saat itu juga. Dia sudah dagang di negeri orang. Itulah padahnya jika pergi tidak memberitahu suaminya sendiri!
Hari pertama dia sibuk dengan perjalanannya menuju ke Kuala Lumpur dan mencari tempat tinggal. Dia juga ingin menyesuaikan keadaan. Pada waktu petang pula dia bergegas mencari tempat dia akan menduduki peperiksaan di universiti itu. Dia keseorangan lagi. Dia tidak berjumpa dengan kawan-kawannya. Dia tahu kawan-kawannya sudah awal berada di Kuala Lumpur.
Pagi-pagi lagi dia sudah mencari teksi untuk ke dewan peperiksaan. Hari ketiga dan keempat dia masih bertungkus lumus dengan peperiksaannya. Hari kelima dia rasa semacam. Entah apakah rasa itu, sukar dia mentafsirkannya. Dia rasa gelisah dan tak tentu rasa. Dalam dia berjalan-jalan pun dia rasa tak sedap hati. Entah apakah masalahnya. Apakah semuanya disebabkan suaminya? Dia tidak ada jawapan.
***
Pagi-pagi lagi Irfan Lai sudah muncul di depan pintu rumah ibu mertuanya. Dia menyalami tangan ibu mertuanya yang memandangnya dengan penuh kehairanan itu.
            “Ada apa Ifran?” soal ibu mertuanya. Apakah yang ingin dijawabnya. Rumah ibu mertuanya juga sepi sesepi hatinya.
            “Adawiyah ada tak datang sini mak?” soalnya teragak-agak. Apakah ibu mertuanya akan memarahinya jika didapati anaknya itu sudah hilang? Fikirnya.
            “Wiyah tak pernah datang ke sini sejak kahwin!” jawab ibu mertuanya jujur.
            “Err, saya mencarinya sejak semalam, mak. Dia entah ke mana. Mungkin dia ke sini?” jawab Irfan Lai lagi. Ibu mertuanya menggeleng.
            “Dia tidak ada di sini.” Ibu mertuanya semakin hairan.  
            “Ke mana dia mak? Siapa kawan-kawannya?” soal Irfan Lai.
            “Kamu bergaduh?” Irfan Lai menggeleng. Memang sesekali wujud pertengkaran tetapi dia hanya membalas dengan ketawanya.
            “Mungkin ada sedikit salah faham mak, tapi saya tak jangka ia akan membesar begini,” jawab Irfan Lai kesal.
            “Dia diculik? Awak ada musuh? Dia lari? Ke mana? Cepat bertindak!” cemas sungguh wanita separuh umur itu. Dia hanya menggeleng. Tidak tahu yang mana satu yang betul.
            “Cari dulu. Kalau dalam masa 24 jam dia tak ada, minta bantuan polis ya nak,” jawab ibu mertuanya dengan wajah cemas. Ibu bapanya sendiri belum diberitahu mengenai kehilangan isterinya itu. Semalaman dia tidak dapat tidur memikirkan misteri kehilangan isterinya itu.
            “Baiklah mak, maafkan saya kerana tak jaga anak mak dengan baik,” kata Irfan Lai mengakui kekurangannya.
            “Jangan salahkan diri nak, mungkin ada hikmahnya,” Irfan Lai menyalami tangan ibu mertuanya.
            “Mudah-mudahan dia cepat balik mak, mak doakan ya!” kata Irfan Lai menaruh harapan. Wanita itu mengangguk.
            “Pasti dia balik tu,” kata ibu mertuanya lagi.
            “Err Irfan, sekarang bulan berapa?” soal ibu mertuanya teringatkan sesuatu.
            “Bulan Mei mak,” jawabnya tulus.
            “Bukankah dia peperiksaan! Setiap Mei dan Oktober dia akan mengambil peperiksaan di Kuala Lumpur di mana universiti itu menawarkan kursus!” begitulah jawapan ikhlas ibu mertuanya. Jawapan itu juga memberi petunjuk akan kehilangan isterinya.
            “Kenapa saya tak tahu mak?” dia garu kepala yang tidak gatal. Dia alpa kepada isterinya sendiri. Dia menyalahkan diri.
            “Irfan tak tanya! Anak mak tu pendiam sikit. Kalau orang tak tanya dia takkan beritahu!” jawab ibu mertuanya.
Dia berasa bersalah kerana tidak mengambil berat mengenai isterinya. Begitu dia tergila-gilakan isterinya tetapi apabila wanita itu sudah menjadi isterinya, dia tidak pernah bertanya akan keperluan isterinya itu. Hanya sekali mereka membeli buku di kedai buku, itupun hanya membeli kamus. Selainnya, dia tidak tahu di manakah isterinya itu memperolehi bahan rujukan untuk pelajarannya di universiti. Kejamnya dia!
            “Tak apalah mak, saya pergi dulu!” katanya. Harapannya sudah berkembang. Dia pasti isterinya ada di universiti di mana dia selalu menghantar dan menjemputnya.
Dia terus membawa haluan keretanya ke universiti di mana dia selalu menghantar isterinya. Di situkah peperiksaannya berlangsung? Apa yang hendak ditanyakannya? Apa opsyen isterinya? Di mana bilik peperiksaan isterinya? Ah, silapnya dia tidak pernah ambil tahu tentang segala-galanya tentang isterinya. Dia hanya tahu menghantar dan menjemput isterinya setiap hujung minggu. Kenapa dia hilang prihatin?
***
Dia terus memasuki rumah suaminya. Dia sudah penat. Dia ingin tidur. Enam hari dia bertungkus lumus menyelesaikan peperiksaannya. Syukurlah hari ini semuanya sudah selesai.
            “Wiyah sayang, sayang dari mana ni?” terkejut sungguh Adawiyah. Hampir terjatuh begnya. Dia menyangka lelaki itu belum balik dari kerjanya. Lelaki itu terus sahaja memeluk tubuhnya seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Lebih parah lagi, lelaki itu mengucup seluruh wajahnya seperti seratus tahun tidak bertemu.
            “Hey awak! Rimaslah! Apa ni?” dia meronta-ronta dalam pelukan suaminya.
            “Sayang pergi mana, enam hari abang cari. Telefon pun tak bawa. Sayang ke mana?” soal suaminya sambil berbisik. Dia hampir terleka di dalam pelukan suaminya itu. Namun dia cepat sedar akan tindakan di luar garis sebenar lelaki itu.
            “Lepaslah!” dia menolak tubuh suaminya itu sedaya upayanya.
            “Abang rindulah! Kalau abang lepaskan sayang, abang takut, sayang akan lari lagi lepas ni,” jawab lelaki itu seperti separuh mamai.
            “Tak! Tak! Rimas! Rimas! Saya tak kan lari lagi! Saya janji!” ucapnya. Barulah lelaki itu melepaskan pelukannya.
            “Sayang ke mana sebelum ni?” soal lelaki itu.
            “Saya periksa di KL,” jawabnya. Wanita kesayangannya sudah menangis teresak-esak. Mungkin juga ketakutan dengan tindakannya.
            “Shhhh, jangan nangis sayang. Abang tidak bermaksud nak minta hak abang. Abang hanya takut kehilangan sayang. Jangan pergi lagi dari abang ya,” kata lelaki itu. Dia mengangguk dan datang mendekati suaminya. Dia juga mempunyai perasaan yang sama dengan lelaki itu. Apabila berdekatan dengan lelaki itu dia terasa dilindungi sekali. Sekali lagi mereka berpelukan.
            “Maafkan saya, saya tak sengaja. Saya takut...” katanya meluahkan apa yang ditakutinya.
            “Jangan takut, abang takkan minta hak abang jika sayang tak sedia, abang akan tunggu!” kata lelaki itu. Dia menggeletar mendengar pengakuan itu. Betapa penyabarnya lelaki itu menanti hatinya dibukakan untuknya.
            “Kalau saya tak pernah sedia?” soalnya malu-malu. Lelaki itu tersenyum.
            “Abang akan tunggu cinta sayang hadir untuk abang,” jawab suaminya. Dia bertambah segan dan terasa menyesal dengan perbuatannya selama ini. dia sudah berbulan-bulan menentang hukum Tuhan. Aduhai pedihnya.  
            “Maaf awak, saya ambil beg saya dulu, saya penat nak tidur,” jawabnya cuba melepaskan pelukan suaminya.
            “Sayang rehatlah, malam nanti kita makan di luar,” kata suaminya. Dia menggeleng.

            “Sayang kan penat, biarlah abang bawa sayang ke sebuah tempat yang istimewa,” balas suaminya. Akhirnya dia mengangguk. Tangan mereka bertautan. Seperti sukar melepaskan sementara api rindu mereka masih menyala.