Thursday, December 5, 2013

Novel Isyarat Cinta Bab 24

Bab 24

“Sayang, bangun sayang,” Adawiyah yang sudah terlentok di bahunya itu dibangunkannya perlahan. Adawiyah baru sahaja bermimpikan emaknya. Baru sahaja dia membantu emaknya menjahit baju kurung.
            “Kita dah sampai di Taipei ni. Welcome to Taiwan sayang,” kata Irfan berbisik di telinganya. Adawiyah terpisat-pisat melihat pemandangan yang baru baginya. Kata orang Taiwan maju. Entah apa yang maju, dia belum tahu.
            “Dah sampai?” kapal terbang memang sudah mendarat di bumi. Ia bergerak perlahan. Mereka memang sudah sampai di negara Taiwan.
            “Ya sayang kita dah sampai,” kata Irfan mengucup pipi Adawiyah lagi. Adawiyah sempat menjeling Irfan.
            “Kita nak ke mana lepas ni?” soal Adawiyah. Sebenarnya dia rasa berdebar-debar hendak bertemu dengan ibu bapa mertuanya. Entah bagaimana dia hendak berdepan dengan ibu bapa mertuanya itu.
            “Kita nak ke rumah mummy dan daddy abang dulu. Abang dah tempah sebuah suite untuk kita berdua di sebuah hotel untuk malam ni,” kata Irfan. Mungkin Irfan memahami akan rasa segannya. Ini kali pertama dia akan bertemu dengan ibu bapa mertuanya selepas mereka menikah. Dia hanya mengangguk. Namun debar di dada tidak ada sesiapa yang tahu.
            “Hotel apa?”
            “The Ambassador Hotel Taipei,” Adawiyah kerutkan dahinya.
            “Kat mana tu?” Irfan ketawa. Adawiyah perlu tahu walaupun dia tidak tahu sangat kawasan Taiwan. Hotel yang disebut oleh suaminya itu agak pelik. Mungkin dia yang tidak pernah melihat negara orang.
            “63 Chung Shan Road, Daerah Zhongshan,” kata Irfan melihat semula lokasi dari telefon pintarnya. Adawiyah terangguk-angguk.
            “Mahal tak?” Irfan kenyit mata kepada isterinya.
            “Awak bazir duit tinggal kat tempat macam tu. Kenapa tak tumpang rumah mak bapa abang?” kata Adawiyah. Irfan geleng.
            “Tak apa, percutian kita percutian sambil kerja. Mungkin kita akan pindah-pindah lokasi. Sebab Taiwan bukan besar sangat. Dalam setengah hari kita boleh habiskan jejaki Taiwan,” terang Irfan. Adawiyah mengangguk-angguk.
            Sebuah kereta limosin membawa mereka menuju ke suatu tempat yang tidak diketahuinya. Dia hanya menurut langkah suaminya. Walaupun agak berat namun diturutkan sahaja.
            “Ibu bapa awak tinggal kat kawasan mana?” Irfan mengerutkan dahinya. Dia kurang pasti. Ingat-ingat lupa.
            “Mungkin kawasan dekat-dekat dengan tempat tempat kita tu, nanti kita tanya ya,” kata Irfan yang tidak begitu tahu di mana kediaman ibu bapanya. Setahunya mereka di Taipei juga.  
            “Pandailah abang,”
            “Sayang, abang harap sayang terima apapun kata-kata ibu bapa abang. Jangan risau, ibu bapa abang orang yang baik-baik,” kata Irfan ketika mereka dalam perjalanan menuju ke sebuah perumahan mewah. Adawiyah hanya mengangguk. Dia berharap apa yang dikatakan oleh suaminya itu benar belaka.
            “Irfan eh abang,” Irfan mendekatkan wajahnya ke wajah Adawiyah. Irfan sudah tersengih mendengar Adawiyah tersasul-sasul memanggilnya.
            “Ya sayang, ya panggil abang lebih elok. Biasakan diri panggil abang ya, nanti apa kata mummy dan daddy abang,” kata Irfan pula. Adawiyah tersengih pula. sudah berkali suaminya itu mengingatkannya.
            “Mak dan ayah abang tak marahkah kalau anaknya kahwin dengan orang lain, selain pilihan mereka? Eh takut pula saya bang,” soal Adawiyah. Irfan geleng dan kucup pipi Adawiyah.
            “Tak lah, buat apa nak marah. Semuanya kan kerana pilihan abang,” kata Irfan. Adawiyah diam. Tidak lama kemudian, mereka sudah tiba di sebuah perumahan kondominium yang agak mewah.
            “Ibu bapa abang tinggal di sini?” Irfan angguk. Dia sibuk menurunkan beg-beg. Adawiyah turut membantu.
Ada beberapa orang pembantu yang sudah sedia menunggu kedatangan mereka. Tidak ada sesiapapun yang Adawiyah kenali. Mungkin mereka orang tempatan di sini atau pekerja asing yang dibawa ke sini.  Mereka terus dibawa menaiki lift di kawasan tengah-tengah perumahan itu. Bertambah berdebar-debar jantung Adawiyah.
            “Tenang sayang, jangan risau abang kan ada,” bisik Irfan. Adawiyah angguk. Tidak lama kemudian, lift berhenti di tingkat 15. Mereka bergerak keluar menuju ke sebuah bilik. Adawiyah terasa berdebar sangat.
            “Silakan sayang, inilah rumah mummy dan daddy,” kata Irfan. Pintu rumah sudah sedia dibuka oleh pembantu di rumah mewah itu. Tentunya rumah itu lebih mewah daripada rumah mereka di Malaysia. Irfan membawa Adawiyah duduk di sebuah sofa di bahagian kanan rumah itu.
            Seorang perempuan separuh usia datang mendekati mereka dengan diiringi oleh dua orang perempuan yang agak muda tetapi lebih tua daripadanya. Mungkin mereka pembantu di rumah ini. Wanita itu mungkin emak Irfan, telah Adawiyah. Irfan sudah berdiri mendekati wanita itu. Irfan menyalami dan memeluk wanita iras Cina itu. Irfan memimpin emaknya. Adawiyah turut mendekati Irfan.
            “Sayang, ini mummy abang,” kata Irfan yang sudah mendudukkan emaknya di bahagian tengah sofa itu. Datin Anne tersenyum manis. Adawiyah terus menyalami tangan emak mertuanya. Emak mertuanya cepat-cepat menarik tangannya. Tersentak Adawiyah!
Dipandangnya semula emak mertuanya. Wanita itu menjeling dirinya pula! Aduhai! Dia seperti tidak percaya akan tindakan drastik emak mertuanya itu.
            “Apa khabar mummy,”
            “Baik,” jawab Datin Anne ringkas. Datin Anne yang hanya berselendang di bahu itu memerhatikan Adawiyah.
            “Ini isteri kau Irfan?” soal Datin Anne. Irfan mengangguk. Adawiyah rasa tersinggung. Dia seperti diperlekeh melalui pandangan mata kasar emak mertuanya itu. Dia tahu dan selalu sedar yang dia tidak layak untuk jadi isteri Irfan. Namun lelaki itu selalu memaksanya.
            “Ya mummy, inilah Adawiyah yang telah Irfan nikahi dua minggu yang lalu. Cantikkan isteri saya mummy? Maafkan Irfan mummy.” Kata Irfan bercakap dengan penuh sopan dengan emaknya.
            “Not bad,” kata Datin Anne mengambil hati anaknya. Irfan tersenyum bangga menatap wajah isterinya yang masih berdiri di sisinya itu.
            “Daddy mana mummy?”
            “Daddy kamu pergi ofis dia kejap, ada urusan katanya,” kata Datin Anne menjeling Adawiyah. Adawiyah terasa hati. Irfan pula dilihatnya agak kaku di sisi emaknya.
            “Silakan duduk Adawiyah, kenapa kamu berdiri?” kata Datin Anne melihat Adawiyah yang berdiri sejak tadi. Adawiyah terus duduk di sisi emak mertuanya itu. Dia terasa kekok sebenarnya. Tidak lama kemudian, seorang pembantu datang membawa dulang minuman.
            “Silakan minum datin, tuan muda dan puan muda,” kata pembantu tersebut. Terkejut Adawiyah kerana pembantu itu begitu fasih berbahasa Melayu. Di Kota Taipei ini dia berasa hilang kekok seketika.
            “Terima kasih,” ucapnya perlahan.
            “Irfan, mummy nak cakap kejap dengan kau saja,” kata Datin Anne berbisik kepada anak lelakinya itu. Dia menekan dadanya berasa terkejut dengan pilihan anaknya. Apakah anaknya buta?
            “Sayang, mummy nak bercakap seketika dengan abang di biliknya. Sayang tunggu di sini ya,” Adawiyah mengangguk. Irfan meneguk sedikit air yang dihidangkan. Datin Anne terus berdiri dan bergerak meninggalkan mereka.
            “Jangan sedih ya sayang, nanti Marni akan datang menemani sayang,” kata Irfan.
Adawiyah mengangguk dan tersenyum kelat. Dia tidak tahu apa yang akan dikatakan oleh emak Irfan. Mungkin perkataan yang akan keluar dari mulut wanita moden itu sama dengan bekas kekasih-kekasih suaminya yang tidak menyangka dia yang terpilih menjadi isteri irfan. Dia tidak perlu rasa bersalah. Dia bukan sengaja meminta Irfan memilihnya jadi isterinya.
Dia sama sekali ingin menolak. Jika diberi peluang lagi, dia mahu Irfan memilih gadis-gadis lain. Bukan dirinya. Namun Irfan tetap mahu dia di sampingnya. Apa yang mampu dia lakukan? Selagi Irfan menerimanya dan memerlukannya, selagi itulah dia berkhidmat. Jika Irfan sudah membuangnya, dia akan reda. Mungkin sudah tidak ada jodoh mereka.
 ***
Irfan terus masuk ke bilik kerja ayahnya. Di mana-mana pun ayahnya mesti menyediakan sebuah bilik khas untuknya sendiri. Emaknya berjalan perlahan-lahan. Muka Datin Anne masam sejak kedatangan mereka tadi. Apakah emaknya juga sama tidak mahu merestui hubungan mereka?
“Ada apa mummy panggil saya sampai ke sini? Kenapa kita tak bincang saja di ruang tamu dan didengari oleh isteri saya sekali?” soal Irfan. Datin Anne sudah duduk di kerusi empuk ayahnya. Mukanya masih masam.
“Silakan duduk nak Irfan, jangan nak terburu-buru nak salahkan mummy pula. Kenapa Irfan seperti hilang hormat kat mummy sejak ada isteri ni?” Irfan menuruti perintah emaknya. Irfan tersengih.
“Bukan begitu mummy, mummy tetap wanita pertama yang saya sayang dalam hidup saya, tak ada wanita lain,” kata Irfan membuat pengakuan.
“Itu perempuan yang Irfan jadikan isteri? Mummy memang kurang berkenan,” kata Datin Anne meninggikan suaranya. Irfan diam dan tarik nafas perlahan-lahan. Sia-sia dia memujuk emaknya itu.
“Dia isteri saya yang baik mummy, mummy harus bersyukur dengan pilihan saya. Ini kerana saya tak pilih perempuan yang tak cukup kain untuk jadi isteri saya, dia akan lahirkan zuriat yang baik-baik untuk keturunan kita mummy,” kata Irfan yakin. Datin Anne menjeling Irfan.  
“Kau bodoh! Baik-baik mummy nak nikahkan kau dengan Afifah, anak ahli perniagaan terkenal, kau tolak mentah-mentah! Tak tahu apa yang sudah jadi dengan kau ni Irfan! Budak kampung dari mana kau pungut jadi isteri kau, mummy memang tak suka!” Datin Anne menguatkan suaranya.
Buntang mata Irfan. Dia tahu Afifah anak kawan ayahnya namun dia memang tidak akan dapat menerima Afifah dalam hidupnya. Mati hidup semula pun belum tahu dia akan menerima gadis itu.
“Jangan begitu mummy. Mummy kan sakit, tak baik mummy nak marah-marah begini,” kata Irfan memujuk emaknya. Datin Anne pegang dadanya. Dia memang dilarang keras memarahi sesiapapun. Jika suaminya tahu, memang dia akan dimarahi lagi.
“Mummy nak anak mummy bahagia dengan pilihan mummy,” kata Datin Anne lagi.
“Maafkan saya mummy, Adawiyah memang pilihan yang terbaik buat saya mummy, saya bahagia dengan dia,” akui Irfan. Pening Irfan dengan pandangan emaknya. Dia tidak menyangka pula jika emaknya tidak menerima pilihannya. Tetapi yang kahwin dan akan bersama dengan isterinya adalah dia, bukan emaknya. Dia menarik nafas perit perlahan-lahan.
“Mummy takkan terima perempuan macam tu,” kata Datin Anne lagi. Irfan berasa serba salah dengan penolakan emaknya itu.
“Jangan macam tu mummy, mummy kena terima isteri saya mummy. Kalau mummy sayang anak mummy, mummy mesti sayang isteri saya. Dia perempuan baik-baik, percayalah mummy!” pujuk Irfan. Irfan tahu Datin Anne banyak pengaruh di kalangan kawan-kawan Melayu dan bangsanya sendiri. Datin Anne banyak menyumbang untuk badan-badan kebajikan.
“Jangan nak mengajar mummy, mummy tahu mana perempuan yang baik untuk dibuat isteri! Bukan perempuan kampungan macam tu! Jangan-jangan dia nak habiskan wang kau saja Irfan! Mummy memang tak sukakan dia!” kata Datin Anne yakin. Irfan kesal dengan sikap emaknya. Emaknya sudah melampau.  
“Tak apalah mummy, dia isteri saya, kalau mummy tak terima pilihan anak mummy sendiri, apa boleh buat,” kata Irfan. Dia tidak menyangka emaknya tidak menerima pilihannya. Dia belum tahu pula bagaimana penerimaan ayahnya pula selepas ini.
“Saya keluar dulu mummy,”
“Mummy tak habis cakap lagi,” kata Datin Anne.
“Apa dia mummy?”
“Mummy nak kau kahwin dengan Afifah, dia gadis pilihan mummy. Mummy dah janji dengan keluarganya dulu. Mummy tak mahu dituduh mungkir janji pula,” kata Datin Anne. Irfan menggeleng.
“Tak boleh mummy, siapa yang mahu anaknya menjadi isteri kedua. Takkan Afifah nak jadi isteri kedua. Saya pun tak mahu beristeri banyak mummy,” kata Irfan.
“Ceraikan isteri kampungan kau tu, Afifah akan jadi isteri pertama!” arah Datin Anne. Terbuntang mata Irfan. Arahan itu terlalu melampau baginya.
“Jangan begitu mummy. Kami baru sahaja menikah, takkan saya nak ceraikan isteri saya pula, kami baru nak bahagia, saya tak nak mummy. Jangan pandai-pandai nak beri arahan mengarut mummy!” kata Irfan. Irfan tidak akan menurut kata-kata emaknya itu. Irfan berasa sangat kecewa dengan penolakan emaknya.
“Mummy tak kisah. Isteri bukan boleh bawa ke mana,” Irfan tahu itu pendapat emaknya yang agak tidak matang.
“Isteri bawa suaminya ke syurga mummy,” Datin Anne ketawa.
“Uncle Daniel hantar kau ke sini ya?” Irfan tersenyum.
“Ya katanya banyak kerja daddy yang tak siap, daddy pula kata dia nak balik ke Malaysia minggu depan,” kata Irfan.
“Mungkin tak dapat. Mummy masih dapat rawatan di sini, klinik pakar,” kata Datin Anne.
“Eloklah mummy berehat dan saya akan tolong daddy di sini,” kata Irfan.
“Ya itu mummy tak kisah. Yang mummy tak berkenan isteri kau yang tak elok tu,” kata Datin Anne.
“Dia cantik dan baik mummy,” Datin Anne jeling anaknya. Dia memang tidak suka akan perempuan kampungan itu. Dia tidak akan mudah terpujuk.
“Cantik tak bawa ke mana-mana anakku! Perempuan tu tak bawa untung kepada kau!” ulas Datin Anne. Irfan memujuk emaknya.
“Dia akan bahagiakan anak mummy dan bawa banyak untung kepada perniagaan saya mummy!” kata Irfan dengan penuh keyakinan.
“Mummy tak percaya,”
“Irdina ke mana mummy, saya tak nampak dia,” kata Irfan menukar kata bicara.
“Dia ada hal di luar katanya,”
“Dia tak tahu saya datang ke mummy?”
“Tahu, jangan-jangan dia sudah di luar dengan isteri kamu yang kekampungan tu!” kata Datin Anne.
“Dia isteri yang solehah mummy dan bakal melahirkan anak-anak soleh solehah,” Datin Anne cebik bibirnya.
“Kalau kau tak bahagia, ceraikan saja dia. Kalau kau bahagia, ok mummy restu tapi kalau dia buat hal, kau ceraikan saja dia. Perempuan ramai yang berebutkan kau,” kata Datin Anne yang mula mengalah dengan kemahuan anaknya. Irfan tersenyum. Dia tahu emaknya terpaksa mengalah dengan pilihannya.
“Mari kita keluar mummy, kasihan isteri saya seorang diri di luar,” kata Irfan yang sudah mendekati emaknya.
“Mummy nak rehat. Panggilkan Marni ke sini. Sebentar lagi doktor nak datang rawat mummy,” kata Datin Anne. Irfan cepat-cepat keluar mendapatkan isterinya. Dia sudah sangat rindukan isterinya itu.  
Irfan mendekati isterinya yang sedang khusyuk menonton televisyen bersama Marni itu.
“Kak Marni, mummy panggil di bilik kerja daddy,” kata Irfan. Marni cepat-cepat menuruti arahannya. Nampaknya Irfan telah mengenali semua orang yang ada di dalam rumah mereka itu.
“Sayang ok tak ni?” soal Irfan. Adawiyah angguk. Irfan tahu isterinya itu agak letih dengan perjalanan mereka yang agak jauh.
“Saya seronok di sini bang, jangan risau,” Irfan berasa lega. Namun perasaan tidak puas hati dan permintaan emaknya menjadikan dia bimbang. Bimbang emaknya berbuat sesuatu jika dia sudah sihat nanti. Ah, dia tidak mahu berfikiran bukan-bukan. Dia berdoa agar emaknya akan menerima menantunya.
“Kita tunggu daddy kejap, dia dalam perjalanan balik ke sini. Lepas ni kita balik ke suite kita,” kata Irfan. Adawiyah hanya angguk. Irfan sudah duduk di sisinya. Adawiyah yang mengantuk terasa segar seketika. Irfan sudah pegang tangannya.
“Tak elok kalau mummy nampak keadaan kita begini,” kata Adawiyah.
“Mummy dah naik ke biliknya. Dia tunggu doktor nak rawat dia sebentar lagi,” kata Irfan yang mengetahui aktiviti emaknya.
“Daddy abang nak datang sebentar lagi,” Adawiyah mengingatkan suaminya itu. Dia tidak mahu dilihat tidak bersopan di rumah ibu bapa mertuanya. Dia berasa sangat segan.
“Daddy kita,” Kata Irfan.
 ***
Irfan mendekati isterinya. Dia rasa serba salah pula. Mungkin isterinya sudah dapat memahami situasi sebenar. Namun dia tidak sepatutnya menunjukkan apa yang dikatakan oleh emaknya sebentar tadi. Irfan memikir-mikir sendiri.
            “Kan saya sudah kata, emak awak tu tak suka pilihan awak,” kata Adawiyah yang mengubah bentuk panggilan kepada suaminya. Irfan ketawa.
            “Jangan buruk sangka sayang, mummy abang tu tak sihat,” jawab Irfan. Adawiyah masih tersenyum sangsi dengan jawapan suaminya.
            “Awak bohongkan?” Irfan geleng. Dia tidak mahu kemarahan emaknya akan mengubah bentuk bulan madu mereka di sini.
            “Mummy tak sihat sayang, dia rehat di biliknya,” kata Irfan. Adawiyah menggeleng.
            “Irfan, terus terang dengan saya,” hilang rasa hormat Adawiyah kepada suaminya.
            “Jangan begini sayang. Jangan keruhkan keadaan. Emak saya sukakan isteri abang, jangan risau,” kata Irfan. Adawiyah mendalami pandangan mata Irfan.
            “Awak bohong!” kata Adawiyah yang dapat membaca anak mata Irfan.
            “Mari kita balik dan ambil teksi, kita jalan-jalan di pasar malam,” kata Irfan. Irfan tahu bumi Taipei kaya dengan pasar malam.                                                            
            “Irfan! Awak baru sampai!” tidak disangkanya ayahnya sudah tiba di depan mata mereka. Mereka berpelukan.
            “Apa khabar sayang anak daddy? Maafkan daddy, daddy ada kerja di pejabat tadi, ini menantu daddy? Wah sungguh cantik menantu daddy, pandai Irfan pilih isteri!” kata Datuk Idris Lai memuji menantunya dan anaknya sekali.
Adawiyah hanya tersenyum manis. Kembang kencup hatinya. Tetapi, dia tahu emak mertuanya menolak kehadirannya! Lelaki itu memuji dengan penuh tulus sekali. Berlainan sekali dengan penerimaan Datin Anne kepadanya. Datuk Idris Lai masih segak bergaya. Wajahnya memang tampan. Hidung mancungnya sama dengan dengan hidung Irfan. Cuma, bentuk wajah Irfan banyak mewarisi wajah emaknya.
            “Biasa-biasa saja daddy,” jawab Adawiyah yang juga mengucup tangan bapa mertuanya. Adawiyah perhatikan ayah mertuanya nampak mesra kepadanya. Tidak seperti emak mertuanya yang hanya tahu menjelingnya ketika dia baru sampai tadi.
            “Mari kita duduk-duduk dulu, kenapa tak sabar nak mulakan bulan madu? Sudah makan, minum? Marni mana?” soal Datuk Idris. Adawiyah tertunduk malu. Irfan pula tersengih tanpa perasaan.
            “Kami sudah minum daddy. Tak apa, cuma isteri saya penat sikit daddy,” Adawiyah bulatkan matanya.
            “Tak apalah kalau macam tu, kamu pergilah berehat. Malam nanti kalau sempat kita makan sama-sama. Kalau tidak, esok kita sarapan sama-sama di sini.” kata Datuk Idris.
            “In sha Allah daddy kalau kami dapat bangun awal dan kalau sempat,” kata Irfan tersenyum nakal kepada ayahnya. Ayah mertuanya sudah ketawa. Adawiyah melihat ayah mertuanya itu masih kelihatan segak dan kacak seperti anaknya Irfan. Adawiyah mendiamkan diri. Tidak berani hendak menyampuk di mana-mana.
            “Ya memang daddy faham keadaan kamu sekarang ni,” kata Datuk Idris Lai. Irfan sudah memegang tangan isterinya. Terbuntang mata Adawiyah.

            “Mari kita jumpa mummy dulu, kita khabarkan yang kita akan balik ke hotel penginapan kita,” kata Irfan. Datuk Idris Lai hanya mengangguk dan tersenyum melihat menantunya yang kelihatan bingung itu. Perlahan-lahan Adawiyah menuruti suaminya naik ke tingkat atas kondominium mewah itu.