Saturday, December 7, 2013

Novel Isyarat Cinta Bab 25

Bab 25

Sudah dua hari Adawiyah terasa bosan duduk di bilik hotel sendirian. Irfan sering sahaja sibuk dengan perniagaannya di sini. Dia mengambil laptop yang dibawanya dari bumi Malaysia. Biasanya pada hujung minggu begini dia dan Rafiqah akan ke kuliah bersama-sama.
Namun berada di negara orang di sini, dia hanya sendirian. Dia hendak ke kondominium emak mertuanya menemani wanita sakit itu tetapi dia takut emak mertuanya tidak selesa dengan dirinya. Dia tahu dirinya yang agak kekampungan dan tidak semoden gadis pilihan mereka untuk Irfan menyebabkan emak mertuanya tidak selesa kepada dirinya.
            “Kalau kau tak selesa dengan Irfan, kau mohon cerai cepat-cepat! Jangan biarkan diri menderita. Mungkin Irfan tersalah pilih. Saya sudah ada pilihan lain untuk anak saya!” kata Datin Anne yang masih diingatinya ketika mereka duduk berdua-duaan.
Apa yang patut dijawabnya? Takkan dia mahu memohon perceraian sekarang daripada suaminya itu? Hubungan mereka seperti kelopak bunga yang baru berkembang. Belum pun kembang benar. Takkan hubungan mereka yang belum berkembang itu akan dileraikan begitu sahaja. Air matanya sudah bergenang di kolam matanya. Mahu tumpah bila-bila masa sahaja. Apakah dia sudah jatuh sayang kepada hubungan mereka?
            “Saya ikut saja mummy. Kalau abang Irfan sudah tak perlukan saya dan nak ceraikan saya, saya akan terima,” kata Adawiyah.
Dia sendiripun bukannya terhegeh-hegeh sangat nak kahwin dengan Irfan. Lelaki itu yang membohongi emaknya. Jika tidak belum tentu dia kahwin dengan Irfan. Baginya itu jawapan terbaik. Datin Anne tersenyum dan puas hati dengan jawapan itu. Namun ada satu hal yang dia tidak puas hati.
            “Siapa mummy kau? Jangan panggil aku mummy, panggil Datin Anne.” Kata Datin Anne dengan agak kasar. Adawiyah terkesima. Dia tidak menyangka tahap ketidaksukaan emak mertuanya setinggi itu. Patutlah dia menyedari ada riak bimbang di mata suaminya sejak dua hari yang lalu. Mungkinkah ini petanda itu?
            “Ya Datin Anne, maafkan saya,” kata Adawiyah tergagap-gagap. Dia tidak menyangka wanita seusia emaknya itu sanggup bercakap begitu kepada dirinya. Dia bukan mahu dihormati tetapi sekurang-kurangnya bercakaplah baik-baik dan bukannya terus meminta dia memohon cerai dari Irfan. Unik sungguh. Emak mertuanya tidak seperti yang Irfan selalu khabarkan kepadanya.
            “Bagus! Kalau memang kau tak ada cinta untuk anak aku, aku akan suruh anak aku tu ceraikan kau! Kasihan bakal menantu aku Afifah tu,” kata Datin Anne. Adawiyah terasa sungguh sebak. Dia tidak menyangka emak mertuanya sungguh kejam orangnya. Patutlah sakit tak sembuh-sembuh! Kata hati Adawiyah.
            “Saya ikut saja Datin,” jawabnya. Datin Anne tersenyum puas hati dengan jawapannya. Mungkin dengan cara begini sahaja Irfan akan menceraikan dirinya.
            “Nanti kalau Irfan sudah datang, kau bincanglah baik-baik. Jangan buat-buat lupa pula. Kau minta dia ceraikan kau secepat yang boleh,” kata Datin Anne. Adawiyah tidak menyangka kedatangannya ke negara Taiwan ini seperti menempah bala. Emak mertuanya sungguh tidak bertimbangrasa orangnya.
            “Ya Datin, saya tak akan lupa,” kata Adawiyah. Datin Anne tersenyum puas hati.
            “Jangan sampai aku putih mata kalau tak dapat nak tengok anak aku kahwin dengan Afifah! Kau tahu kan aku sakit?” kata Datin Anne.
Adawiyah hanya mengangguk. Dia akan menunaikan janjinya untuk memberitahu Irfan akan permintaannya untuk memohon cerai. Dia tidak mahu peduli apakah yang akan terjadi. Pening kepalanya. Apa yang dia tahu dia diceraikan sebelum perasaan cinta menyusup teguh di dalam hatinya.
Semalam dia tidak sempat pula memberitahu Irfan mengenai permohonan cerainya. Sebenarnya dia tidak mahu mengganggu Irfan yang sedang gembira di sini saat ini.  Biarlah keadaan reda dulu barulah dia akan bertindak nanti. Irfan balik ke bilik mereka terus tidur. Mungkin dia letih sangat meneliti pejabat perniagaan mereka yang baru beroperasi di sini.
Patutlah Datin Anne tidak rela dia jadi isteri kepada anaknya. Adawiyah cukup sedar diri. Adawiyah memikirkan bagaimana dia harus keluar dari hidup anak Datin Anne itu.
            Ketika pertemuan dengan emak mertuanya itu, ia bagaikan mimpi ngeri bagi Adawiyah. Semalam dia meminta Irfan menghantar dia ke rumah emaknya. Kononnya dia hendak berkenalan dengan emak mertuanya itu. Aduhai, lain pula yang diterimanya.
Laptop sudah sedia hendak digunakannya. Dia terlalu rindukan sahabat baiknya Rafiqah. Pada saat menyendiri begini dia memerlukan seorang kawan. Semalam dia tidak sempat menghubungi Rafiqah.
            Dia membuka laman muka buku. Dia mencari nama Rafiqah. Pada saat siang begini Rafiqah tidak dapat membuka muka bukunya. Dia sibuk dengan kerjanya di kedai pakaian. Mungkin selepas kerja barulah Rafiqah akan membaca mesej yang hendak dituliskannya.

Fiqah,
Assalamualaikum, apa khabar ketika ini? Ketika ini aku sedang berada di bumi Taipei di daerah Zhong Shan. Suami aku ada kerja di sini. Aku tak ada buat apa-apapun  di sini Iqa. Aku rasa macam buang masa pula, Nak jenguk ibu mertua pun tak dapat. Mak mertua aku tak mahu aku temankan dia. Dia asyik minta aku mohon cerai dengan suami aku. Akhirnya aku mendiamkan diri sahaja di bilik hotel ini. Aku nak ikut suami aku ke tapak pembinaan pun aku tak nak. Biarlah aku di sini merawat hati aku agak lara ini.
            Aku nak bagitahu kau Iqa, Asyraf ada hubungi aku dan minta aku kembali kepadanya. Sedangkan dia bakal menikah dengan sepupu Irfan. Kecilnya dunia ini kan Iqa. Aku rasa mahu pengsan jumpa dia di rumah bakal mertuanya di Taman Burung Raja Udang malam tu. Namun aku tahan. Beberapa hari lepas tu, boleh pula dia hubungi aku dan nak kembali kepada aku. Aku tak sanggup. Kalau aku belum kahwin pun, belum tentu aku akan kembali kepada dia. Biarlah aku jadi anak dara tua, rasanya itu lebih berbaloi daripada menjilat ludah sendiri semula! Sakit hati aku!

Noor Adawiyah.

Adawiyah masih duduk bersantai di sofa ruangan bilik hotel itu. Dia sudah mengemaskan bilik itu. Dia tidak memerlukan tukang kemas bilik membersihkan bilik mereka itu. Kamar mandi pun sudah dibersihkannya. Makanan pun sudah disediakannya. Dia tahu Irfan tidak akan balik tengah hari ini. Jadi dia memasak untuk dirinya sendiri. Di bandar raya Taipei ini dia terasa sukar hendak mencari tempat makan muslim. Jadi dia sanggup memasak sendiri. Irfan pula sudah sedia membawa makanan kering untuk persediaan di sini.
            Malam ini Irfan berjanji akan balik awal ke bilik mereka. Irfan faham dirinya hanya terperuk sahaja di rumah. Jadi Irfan bercadang hendak membawanya bersiar-siar di sekitar bandar raya Taipei pada malam ini. Rasanya, dia tidak akan membuat kegembiraan Irfan terbantut di sini. Dia juga ingin bergembira di sini. Rasanya dia akan memberitahu permohonan perceraian mereka apabila mereka sudah balik ke Malaysia nanti. Di sini biarlah mereka sama-sama menikmati pemandangan yang indah dan membeli belah.
Bukan selalu dia akan datang ke sini. Mungkin inilah kali terakhir dia akan pergi melihat ke negara orang. Mungkin inilah kali terakhir mereka melawat negara orang dengan Irfan. Mana tahu selepas ini Irfan memenuhi permintaannya, dia akan memerap diri sahaja di negaranya sendiri selepas ini. Dia juga tidak tahu lagi bagaimana kehidupannya selepas diceraikan oleh Irfan yang sangat mengasihinya selama ini.
Sebak pula seketika. Mahu menangis pun ada. Baru sahaja dia menikmati rasa kasih sayang berumah tangga, dia sudah diminta bercerai dengan Irfan. Macam tidak adil pula dunia ini baginya. Entah kenapa, mungkinkah ada sudah rasa cinta dan kasih untuk suaminya itu, dia tidak pasti!
Dia tiba-tiba teringatkan emaknya di Apartmen Tenang. Dia tidak tahu apa yang sedang dilakukan oleh emaknya ketika ini. Apakah emaknya sedang merindui dia juga seperti dirinya. Sudah empat hari dia berada di bumi Taipei ini, dia rasa seperti sudah empat tahun dia bermusafir ke negara orang. Dia terus mencapai telefonnya.
Dua hari yang lalu dia sudah menghubungi emaknya. Emaknya masih sibuk dengan jahitannya. Emaknya memang wanita yang tabah selama dia mengenali emaknya itu. Emaknya tidak pernah mengeluh mengenai kerjanya. Dengan jahitan itulah emaknya membesarkannya. Sejak kecilnya dia tidak pernah menerima bantuan sesiapa, hanya emaknyalah. Adawiyah cuba meminjam semangat kuat emaknya itu. Jangan hanya kerana sedikit kesakitan begini dia terus putus asa.
“Mak, assalamualaikum,”
“Walaikumsalam, kenapa lagi suara Wiyah macam sayu tu, kau sedih lagi?” soal emak tatkala mendengar suaranya. Adawiyah angguk. Nasib baik emaknya tidak melihat wajahnya yang sayu dan sangat sedih.
“Tak ada apalah mak, mungkin suara saya serak sikit sebab semalam kena hujan. Kami makan di luar dengan abang,” kata Adawiyah. Emaknya ketawa di hujung talian.
“Tak pergi klinik. Jangan dibiarkan demam tu berlarutan nanti tambah teruk pula,” kata Puan Musliah.
“Ya mak. Saya tunggu abang balik lah baru saya pergi klinik,” kata Adawiyah.
“Kenapa telefon mak? Bagaimana keadaan mak mertua kau, dia sihat kah?” soal Puan Musliah.
Adawiyah picit kepala. Dia tidak tahu bagaimana hendak menerangkan mengenai emak mertuanya yang agak garang itu. Rambutnya yang kerinting halus berwarna kuning dan pendek itu sungguh mengerikan hendak diingati. Dari pandangan emak mertuanya sahaja, dia tahu emak mertuanya tidak dapat menerima kehadirannya.
Namun dia tidak mahu banyak cakap. Dia harus bersabar sahaja. Dia tidak mahu mudah melatah. Tetapi apabila dia meminta agar dirinya memohon cerai dari suaminya, dia serba-salah pula. Dia tahu Irfan itu anak wanita itu tetapi wanita itu tidak sepantasnya memperlakukan menantunya sewenang-wenangnya. Sakit pula hati Adawiyah.
“Wiyah, kenapa diam? Masih di talian?”
“Masih mak, nampak cicak lupa pula kat mak,” kata Adawiyah yang terlupa emaknya sedang menunggu jawapannya.
“Sayang bil Wiyah, kau tak cakap apa-apapun. Kasihan Irfan kena bayar bil telefon kau tu, bukannya murah ni,” Puan Musliah sudah mula berceramah. Dia tersengih sendirian.
“Ya mak, saya tak sengaja mak,” kata Adawiyah.
“Tadi kan Wiyah nenek kau datang sini, dia bawakan kau kuih bahulu tapi sayang cucu kesayangan dia dah pergi terbang ke Taiwan. Kasihan pula,” Adawiyah menelan air liur memikirkan kuih bahulu buatan neneknya.
“Terima kasihlah kat nenek ya mak. Kasihan pula nenek. Sekarang nenek di mana?” soal adawiyah.
“Sayang, sekarang ni nenek dah balik ke rumah anaknya di Kalansaran, dia tak tidur di sini.” Kata Puan Musliah.
“Simpan sajalah kuih tu mak, nanti saya balik saya terus ambil. Tak lama lagi saya dah balik ni mak. Oh ya mak, kalau mak mertua saya sakit apa yang kita kena buat mak?” soal Adawiyah yang risaukan keadaan emak mertuanya.
Emak mertuanya itu macam singa pula, garang dan tidak mahu menunjukkan kemesraan dengan dirinya.
“Ala, kau urut-urut lah kaki dia. Mungkin kalau kau sentuh-sentuh kaki dia, dia akan rasa lega,” pesan Puan Musliah.
“Terima kasih lah mak. Nanti lusa saya call mak lagi ya mak,” kata Adawiyah perlahan.
“Ya lah, jaga diri baik-baik di situ nak. Jangan cakap yang bukan-bukan di situ. Kita tak biasa tempat tu,” Kata Puan Musliah.
“Ya mak, Wiyah dengar cakap mak,” kata Adawiyah. Adawiyah tekan butang merah.
Adawiyah memikir semula. Dia tidak sepatutnya menjauhi emak mertuanya. Emak mertuanya mungkin masih terkejut dan baru sahaja sembuh dari sakitnya. Sepatutnya dia mendekati emak mertuanya dan membantu Marni memasak untuk emak mertuanya. Daripada dia sendirian di dalam bilik hotel ini lebih baik dia mendekati emak mertuanya. Ada juga pahalanya. Jika mereka sudah bercerai kelak, itu sudah kes lain.
Ah, aku harus ke rumah emak mertua esok, desis Adawiyah. Dia membaringkan dirinya di atas tilam empuk itu. Dia memikir-mikirkan sesuatu.