Friday, December 27, 2013

Novel: Kuimpikan Bahagia 8

8



Betapa memberontaknya hati Nuha Qarina dengan tindakan lelaki itu. Dia benar-benar kesal dengan apa yang baru berlaku. Berdiri di hadapan Yayasan Sabah ini  dia tidak tahu di manakah dia akan mendapatkan teksi untuk membawanya balik ke kawasan putra jaya bagi mengambil keretanya. Alangkah jauhnya kawasan Wisma Dang Bandang itu, Tuhan sahaja Yang Tahu.
Dia berasa kesal sekali. Kesal kerana terburu-buru untuk meminta diturunkan di kawasan ini. Kawasan yang biasanya akan sesak apabila waktu balik kerja sudah tiba. Ah, lelaki itu benar-benar menyusahkannya. Kesal juga kerana sudi mengikut lelaki ini padahal dia mempunyai keretanya sendiri.
Kunci sudah di tangannya ketika dia bersetuju untuk menaiki kereta lelaki itu. Mungkinkah dia juga rindukan lelaki itu? Ah, kenapa dia tidak mampu melupakan lelaki itu? Aduh, kenapalah Nuha Qarina ini menjadi begini? Bisiknya amat kesal dengan apa yang berlaku.
Padahal isteri muda suaminya itu tidak tahupun yang mereka sedang berdua di dalam kereta itu. Tetapi bukankah dengan bantuan telefon bimbit yang dibekalkan dengan MMS, mereka dapat saling berpandangan? Ah, kenapa fikirannya merakamkan kisah suaminya itu? kenapa dia berfikiran yang bukan-bukan? Bisiknya.
“Hai apalah malang nasibnya Nuha Qarina ni. Kalau terjumpa dengan suaminya itu ada sahaja orang yang ingin mengganggu ketenteraman aku ni. Jangan-jangan aku ni memang tak layak untuk lelaki kaya tu! Aku ni hanya layak dengan orang kebanyakan sahaja! Hai, kalaulah aku masih tak berpunya alangkah baiknya! Dapatlah petang-petang begini aku santai di pantai atau di rumah emak dengan aman! Tak ada sesiapa yang mengganggu!” bisiknya sendiri.
Tiba-tiba telefonnya berbunyi. Dia memerhatikan nombor yang tertera di skrin telefonnya. Dia kenal sangat nombor itu. nombor yang menyebabkan dia tidak dapat tidur lena berbulan-bulan lamanya. Namun, apakan dayanya, barangkali inilah takdir yang terpaksa diterimanya.
Nombor suaminya. Dia membiarkan sahaja telefon itu berbunyi. Dia tidak mahu melayani lelaki itu. Dalam sebulan tidak berjumpa itulah yang dilakukannya. Membiarkan deringan berhenti sendiri dan membiarkan lelaki itu memujuknya melalui sms-sms pujukan yang dihantarnya. Tindakan lelaki itu menyebabkan dia berdiri tegak di jalanraya yang sedang sesak ini. Berderet kereta menyukarkan dia menyeberangi jalan.
Nuha Qarina tidak mengendahkan kereta awam yang lalu-lalang. Dia melangkahkah kakinya berjalan ke destinasi yang sedang ditujuinya. Tiba di kawasan Pasaraya Tong Hing dia ternampak kelibat sebuah teksi. Dia cepat-cepat mengangkat tangannya. Nasib baik teksi itu berhenti. Dia sempat menendang batu-batu kerikil yang menghalang jalannya dia menaiki teksi berlambangkan Tahun Melawat Malaysia.
“Nak ke mana cik?” soal pemandu teksi itu.
“Hantarkan saya ke Bangunan Putra Jaya tu pak cik!” kata Nuha Qarina dengan segera. Dia masih teringat urusannya yang belum selesai di sana. Sepatutnya dia turun ke bawah untuk membuat salinan borang dan kad pengenalannya. Namun, kedatangan lelaki itu telah membantutkan hasratnya. Dia benar-benar teruji dengan urusannya pada hari ini.
“Alamak, sekarang ni jalan dah sesak cik. Cik ada urusan di pejabat tu kah?” soal pemandu teksi itu lagi. Terburu-buru pula lelaki pemandu teksi itu. Sakit pula hatinya. ‘Orang nak bagi duit, banyak songeh pula!’ desis hatinya geram.
“Ya pak cik. Kalau boleh pak cik bawa laju sikit. Sebab saya memang ada hal penting yang kena diuruskan hari ini. Kalau esok dah tak sempat pak cik!” kata Nuha Qarina dengan panjang lebar. Pemandu itu mengangguk dan melajukan keretanya. Nuha Qarina berdoa agar urusannya itu akan selesai.
“Tak apalah kalau macam tu. Awak kena bayar lebihlah! Sebab sekarang ni dah peak time! Tak tahu sempat tak awak pegi buat urusan di situ! Orang kerajaan kalau waktu begini berebut-rebut juga nak balik! Awak try je lah ya!” kata pemandu teksi itu.

“Ok pak cik!” dia sedia membayar lebih asalkan lelaki pemandu teksi itu sanggup menghantar dia ke situ. Ini semua suaminya punya fasal! Sakit hatinya lagi.