Saturday, February 22, 2014

Novel Cinta Sang Pilot Bab 10

Bab 10

“Kenapa pula mama nak mengada-ada suruh aku bawa Tasya ke sini? Eh budak kampung tu apa kelas jadi isteri aku! Memang tak ada kelaslah!” kata Nukman Faris sudah mengomel dalam hatinya.
Dia menghempaskan semua pakaiannya ke atas katil. Sakit betul hatinya dengan permintaan mama dan papanya. Gadis kampung itu pula sering sahaja bermain-main di matanya. Apakah dia rindu? Kenapa bukan rindukan kekasihnya?
         “Assalamualaikum bang, eh bila abang sampai?” adiknya Nuraina sudah tercegat di pintu biliknya. Dia tarik muka masam. Dia rasa semua orang menganiayanya.
         “Walaikumsalam, baru aje abang balik. Malas abang dengan mama dan papa tu, suka-suka nak nikahkan orang. Sekarang suka-suka hati nak suruh orang ambil perempuan tu entah di mana entah! Kekasih abang nak simpan mana? Eh tak sukalah!” soal Nukman Faris. Nuraina sudah ketawa.
         “Abang, terimalah hakikat yang abang dah kahwin. Jaga rumahtangga abang tu. Jangan nak macam-macam,kalau pak mertua abang tahu, naya abang,” kecut perut Nukman Faris melihat misai sejemput milik ayah Natasya.
         “Kahwin konon! Kami kahwin bohong ajelah! Bukannya kahwin macam orang lain,” jawab Nukman Faris. Adiknya Nuraina ketawa.
         “Tak boleh nak bohong abang, jaga baik-baik kak Tasya tu, beruntung dah abang dapat dia. Sepatutnya abang bawa dia pergi umrah sebagai tanda kesyukuran dapat gadis baik macam dia,” kata Nuraina menasihati abangnya.
Nukman Faris geleng kepala. Semua orang di sekelilingnya cakap dia bertuah dapat menikahi Natasya Umaira. Tidak tahu pula sama ada ia benar atau tidak. Apa yang penting dia mahu berkahwin dengan Rozaila kekasihnya tetapi tahun lalu dia mahu melamar gadis itu, gadis itu menolak. Katanya mereka masih muda. Dia masih mahu memajukan kariernya. Kononnya lah!
         “Kenapa kau ketawa? Kau tak tahu bagaimana orang kena paksa kahwin tahu!” kata Nukman Faris yang geram dengan sikap adiknya. Nuraina masih ketawa melihat gelagat abangnya itu.
         “Saya faham tapi saya tahu kakak Tasya tu baik orangnya. Sepatutnya abang kena layan isteri abang baik-baik, ada pahala tau! Kalau layan kekasih dapat dosa!” kata Nuraina. Nuraina seperti tahu apa yang bermain di hatinya.
         “Kau apa tahu? Kalau kau yang kena paksa baru tahu!” jerkah Nukman Faris geram dengan adiknya. Nuraina ketawa melihat gelagatnya.
         “Saya tahu bang. Kakak Tasya tu orang yang baik, jangan abang dikaburi oleh kemewahan kita sehingga abang tak tahu nak nilai kaca atau permata,” kata Nuraina lagi. Budak lulusan Fizik itu pun tahu mengenai perkahwinan? Soal Nukman Faris dalam hati.
         “Kau diam sudahlah!” kata Nukman Faris marah-marah.
         “Dulu kan abang sayang kak Tasya, kenapa sekarag dah berubah hati?” Nukman Faris jeling adiknya.
         “Bila masa kau tahu aku sayang dia? Dia si budak gemuk tu kau tuduh aku sayang dia? Dalam mimpilah jawabnya!” Nuraina ketawa lagi. Nukman Faris bertambah geram dengan sikap adiknya.
         “Tahulah! Kalau kita benci sangat orang tu, lama-lama nanti orang itu lah yang akan kita peluk setiap hari!” Nukman Faris tepuk dahi. Apakah kata-kata adiknya itu ada kebenaran?
         “Boleh tak jangan masuk campur urusan abang?” Nuraina ketawa.
         “Maaf tuan pilot! Saya hanya bergurau! Takkan ketawa pun tak boleh? Eh, tuan pilot ini terlalu sensitif macam mak nenek!” kata Nuraina yang sudah berlari menuju ke tangga. Bertambah mencuka wajah Nukman Faris. Ketawa Nuraina masih bersisa.  
         “Pandailah kau! Nah ambik kau!” kata Nukman Faris membalingkan bantal kecil kepada adiknya.
Nuraina sudah berlari menuju ke biliknya. Nukman Faris mahu sahaja terus tidur tetapi akalnya masih berputar mendengar permintaan emaknya agar menjemput isterinya di atas kertas itu datang ke rumahnya ini. Aduhai, gagal lagi urusannya sendiri. Ini semua gara-gara Natasya Umaira. Detiknya sendiri.

Namun dalam diam-diam, wajah manis Natasya Umaira tetap menari-nari di matanya. Apatah lagi mengenangkan wajah sedih Natasya Umaira saat kali terakhir mereka berpisah. Apakah ada kasih sayang di anak mata yang sedang bersedih dan selalu menangis itu? Apakah gadis itu mahu bercakap sesuatu yang tidak memuaskan hatinya? Mahukah gadis itu berkongsi sesuatu dengannya? Ah, kenapa ingatannya menjadi-jadi kepada gadis itu? Asal tutup mata saja nampak gadis itu. di mana-mana pun dia nampak isterinya. Di dapur, di ruang tamu, di depan mamanya pun dia nampak gadis itu. Apahal sebenarnya? Jatuh cintakah dia? Jatuh cinta kepada isteri sendiri? Rozaila nak simpan kat mana? Aduhai! Tak mungkin! Tak mungkin dia akan jatuh cinta dengan semudah itu!