Thursday, February 20, 2014

Novel Cinta Sang Pilot

“Nukman, mama tak mahu kau abaikan kebajikan Tasya. Tasya dah jadi isteri kau, kau kena ingat tu,” Nukman Faris yang baru balik dari bertugas terasa bengang seketika.
Dia sudah berjanji hendak berjumpa dengan kekasih hatinya pada malam ini. Dan, persoalan Tasya sudah dia padam dari akalnya. Kenapa pula mamanya ini hendak buka-buka kisah yang sudah dia padam itu?
            “Apa lagi mama nak saya buat ni ma? Kan saya dah tolong hari tu? Ni sampai nak ... eh saya tak faham lah dengan kemahuan mama dan budak montel tu!” soal Nukman Faris. Wajah Puan Zahara sukar diteka. Puan Zahara geleng kepala. Anak lelakinya ini memang agak degil.
            “Budak montel kau kata? Cantiknya menantu mama kau kata montel! Mungkin anak mama buta ni! Isteri kau tu cantik dan ayu menutup aurat Nukman. Syurga sudah di depan mata! Ha, kau  nak ke mana tu?” soal Datin Zahara tegas. Naik sakit telinganya mendengar pujian mamanya terhadap isteri di atas kertasnya.
            “Nak naiklah mama, nak rehat. Penat tau kerja,” jawab Nukman Faris. Sebenarnya dia tetap terbayangkan wajah ayu Natasya Umaira sepanjang masa. Hampir-hampir dia terbabas tetapi dia tidak boleh menerima dua cinta dalam satu masa. Cintanya hanya untuk Rozaila kekasihnya. Tetapi kenapa dia terbayang-bayang Natasya Umaira ketika dia sedang bertugas hari itu? malang pula baginya kerana tidak mengambil gambar isterinya itu.
            “Duduk dulu, kita minum, mama ada buat kuih ni. Mama belum habis cakap lagi. Jangan nak buat muka monyok macam budak-budak tak cukup umur!” kata Puan Zahara tegas. Nukman Faris ketawa.
            “Mana ada mama! Mama nak apa ni sebenarnya? Kalau kisah isteri saya tu, tak ada masalah bagi saya! Dia kerja, saya pun kerja! Nak buat macam mana?” soal Nukman Faris lemah.
“Mama tak nak kau nak jumpa perempuan murahan tak ada maruah tu. Kau sudah ada isteri yang sah. Aku nak kau jenguk isteri kau tu! Dia tu kan mengandung. Kalau kau jaga isteri kau ada banyak pahala lagi tahu, berbanding kau nak berpeleseran dengan perempuan lain!” Nukman Faris sudah garu kepala yang tidak gatal. Permintaan mamanya memang permintaan yang tidak boleh ditentang. Dia mesti buat.
“Yang mengandung dia, bukan saya!” jawab Nukman Faris tegas.
            “Mama tak mahu anak mama degil dan memalukan mama dan keluarga. Kau kan sudah fly dalam dua minggu, bila masa kau jalankan tugas kau sebagai suami?” soal Datin Zahara. Nukman Faris terbayang wajah ayu Natasya.
            “Saya tak peduli mama. Saya tak mahu buat semua tu! Mama hanya minta jadi suami dia sementara saja, bukan untuk selamanya,” Nukman Faris mengungkit semula. Bulat mata Datin Zahara memandang anaknya itu. Datin Zahara geleng kepala.
            “Jangan buat begitu Nukman. Ingat hukum tuhan. Jangan belakangkan tuhan. Kalau kau sudah nikah, anggap saja kau sudah nikah untuk selamanya, bukan nak nikah dua tiga hari! Siapa ajar kau hukum yang tak senonoh tu?” soal Datin Zahara. Marak matanya memandang anaknya itu. Nukman Faris pula semakin bengang. Keinginan mamanya sudah berubah.
            “Ya ma, saya ingat mama,” katanya menggaru kepala.
“Isteri kau tu mengandung. Berikan dia penjagaan rapi. Layan dia macam kau layan kekasih kau. Dia nak makan apa sekarang. Dia mana larat nak jalan. Kasihan dia  Nukman. Apa yang akan terjadi kalau adik kau diperlakukan seperti apa yang kau lakukan ini?” soalan Datin Zahara betul-betul mematikan akal Nukman Faris.
Dia juga tidak mahu adiknya dibiarkan oleh bakal suaminya. Tetapi dia adalah suami yang sah kepada Natasya dan mengabaikannya. Aduhai!
“Mama ni memang banyak betul songeh!” kata Nukman Faris.
“Semalam mak ngah kau telefon, dia tanya kau di mana. Mama beritahu yang anak mama akan datang hari ini dan bawa Natasya jumpa doktor esok pagi atau petang ni,” kata Datin Zahara. Nukman Faris garu kepalanya yang tidak gatal.
“Alahai kalau hari ni tak dapat lah mama. Saya penat lagi ni,” kata Nukman Faris memberi alasan. Dia terfikir di mana dia hendak mencari Tasya, dia tidak tahu di mana gadis itu tinggal.  
Antara Natasya dan emak mertuanya, dia terkenang-kenang pesanan ayah mertuanya. Ayah mertuanya mahu dia menjaga Natasya seperti dia menjaga nyawanya. Bagaimana dia mampu?
“Mama, dia tahulah nak jumpa doktor, kenapa nak susahkan saya?” soal Nukman Faris tidak puas hati.
“Mestilah kena bawa dia. Natasya tu bukannya sihat sangat. Kerap dia mengambil cuti tu Nukman,” terang Datin zahara. Harapannya hendak bertemu dengan kekasihnya tidak kesampaian lagi pada malam ini. Sudah beberapa kali dia tidak dapat berjumpa dengan kekasihnya sejak dia menikah dengan Natasya.
“Budak Natasya memang buat masalah kat aku!” katanya dalam hati.
“Itu tanggungjawab kau sebagai suami Nukman. Berdosa kau abaikan isteri. Nanti di akhirat kau akan ditanya semuanya,” ingatan Datin Zahara sangat menyakitkannya.
“Mama pun sama! Dulu mama hanya minta tolong aje, sekarang nak berlagak sebagai suami betul-betul pula! Eh apa ni mama?” soalnya.
“Tunggulah sampai dia sudah bersalin nanti! Sekarang memang kasihan kalau kita nak abaikan dia. Kau tak sayangkan Natasya tu? Natasya tu cantik, jaga aurat dan sopan-santun!” kata Datin Zahara. Nukman Faris geleng. Dia tidak mahu menyebut sayang.
“Mama sayangkan menantu mama tu. Mama kalau boleh kamu berdua akan hidup sebagai suami isteri sampai akhir hayat,” doa Datin Zahara kepada anak dan menantunya. Dia tidak menyenangi kekasih anaknya.
“Mama ni tak boleh naak dibawa bincang! Saya takkan nak dia jadi isterinya sampai billa-bila. Saya akan buat apa yang sudah saya beritahu kat mama hari tu!” kata Nukman yang masih ingat janjinya dengan ibu bapanya.
“Tak boleh gitu Nukman, mama berdoa kamu akan saling jatuh cinta dan jadi suami isteri hingga ke syurga. Papa dan mama nak kau bawa Tasya balik ke sini hujung minggu ni, kita pun nak raikan dia di rumah ni. Sudahlah kamu tak buat resepsi di sini, nak bawa dia jejak rumah kita pun kau tak nak!” kata Datin Zahara lagi.
Nukman Faris bertambah pening mendengar doa emaknya. Dia tidak tahu bagaimana hendak menghubungi Natasya pula selepas ini. Kepada siapa hendak mengadu? Mama? Malunya! Papa? Lagilah malu! Pasti dia akan menyaksikan senyuman nakal papanya! Ah, kepada siapa lagi? Adiknya? Mungkin adiknya!
“Papa pun doakan kebahagiaan kamu berdua Nukman. Papa mahu kamu bahagia, papa doa hari-hari dalam solat papa,” kata Datuk Norman secara tiba-tiba. Dia sudah duduk di bahagian tengah meja itu. Nukman Faris menyalami tangan papanya.
“Eh, papa tak kerja ke?” setahunya papanya di pejabatnya pada waktu petang begini. Ayahnya belum bersara sepenuhnya dari syarikatnya sendiri.
“Papa cuti hari ini. Papa nak cuti panjang tapi tak ada sesiapa yang nak gantikan tempat papa di pejabat tu. Nukman yang ganti nanti ya,” kata Datuk Norman tiba-tiba. Nukman Faris tepuk dahi pula. Dia masih mencintai kerjayanya.
“Belum masanya papa. Saya masih sayangkan kerjaya saya ni papa! Papa juga yang hantar saya jadi pilot! Kalau tak saya sudah jadi seorang ahli perniagaan yang berjaya!” Datuk Norman ketawa. Nukman Faris pandang papanya.
“Sayangku Nukman, hendak membina kerjaya sebagai ahli perniagaan yang berjaya bukan ambil masa yang singkat. Kau perlu berusaha dari bawah sebelum berjaya! Jangan ingat kerana kau menyambung legasi ayah, kau akan jadi ahli perniagaan yang berjaya dalam masa dua tiga tahun!” kata Datuk Norman.
“Sokong papa! Saya gurau aje tadi!” katanya melayan papanya.
“Jangan nak main sokong saja. Papa tahu Nukman hanya bergurau dengan papa. Papa tak suka Nukman ambil lewa. Sepatutnya Nukman masuk pejabat papa kalau tak fly ke luar negara, bukan asyik nak tidur! Lainlah kalau layan isteri,” mahu sahaja tersedak Nukman Faris dari meneguk air milonya petang itu.
“Hmm, papa ni nakal tau!” Nukman Faris mahu melupakan isterinya. Namun makin dia mahu mellupakan gadis itu, makin terbayang pula setiap masa akan wajah cantik itu. Apakah yang harus dilakukannya?
“Papa cakap sesuatu yang serius, bukan main-main! Jaga isteri baik-baik! Jadi suami yang soleh dan bukannya main selalu!” kata Datuk Norman lagi. Nukman Faris mengangguk. Dia sedar papanya juga merestui hubungannya dengan Natasya Umaira. Mungkin dengan restu hubungan lebih bahagia.
“Saya naik dulu mama, papa. Nak rehat kejap,” kata Nukman Faris.
“Mak mertua kamu dah tahu kau balik Nukman. Natasya pun mama dah beritahu yang kau akan ambil dia di rumah petang ni, jangan lupa Tasya mama nak jumpa,” kata Datin Zahara. Nukman Faris tidak bersuara. Mahu sahaja dia pengsan di tangga itu.
“Petang ni? Orang penatlah mama! Boleh tak kalau esok-esok atau lusa?” kata Nukman Faris memberi alasan. Namun senyuman manis dan malu-malu Natasya Umaira sentiasa terbayang-bayang di matanya. Wajahnya itu menimbulkan kerinduannya pula. kenapa bukan wajah Rozaila yang muncul? Huh! Dia sendiri pun hairan. Apakah ini penangan orang yang sudah beristeri tetapi menipu semua orang? Bisiknya. Ah, tidak! Ini bukanlah yang sebenarnya! Tolaknya dalam hati.
“Jangan banyak alasan! Mama tak suka! Masih siang lagi ni, sempat lagi kalau kau nak ambil dia di puchong tu, bukannya jauh sangat!” kata Datin Zahara. Nukman Faris tepuk dahi. Patutlah sejak tadi mamanya sibuk menghubungi dia. Macam orang bercinta pula dia dan mamanya.
Perlahan dia menapak naik ke tingkat atas. Geram sungguh dia dengan mamanya. Ada-ada sahaja permintaannya. Papanya pun sama! Suka menyebelahi mamanya.
“Jangan lupa bawa isteri kau ke sini. Mak nak ukur saiz baju pengantinnya hujung minggu ni, kau pun sama, jangan nak menghilang pula!” pesan Datin Zahara. Pedih telinga Nukman Faris mendengar kata-kata mamanya.
“Baju apa? Nak buat apa baju mama?” soal Nukman Faris tidak tahu apa-apa mengenai baju pengantin. Dia ingat adiknya Nuraina yang akan kahwin. Setahunya adiknya itu mempunyai buah hati tetapi dia tidak tahu sejauh mana hubungannya dengan teman lelakinya.
“Baju pengantin,” kata Datin Zahara.
“Siapa nak kahwin lagi mama?” soal Nukman Faris malas. Mesti adiknyay ang hendak kahwin. Duganya. Berkerut dahinya. Ingatkan semuanya sudah selesai. Natasya Umaira pun cakap sudah selesai dan dia sudah membantu gadis itu menjadi raja sehari. Huh! Kenapa lagi mamanya hendak membuat sesuatu di luar pengetahuannya?
“Kamulah!” mahu terbeliak mata Nukman Faris. Dia tidak menyangka mamanya akan membuat majlis besar-besaran di pihak mereka. Dia ingat selepas majlis nikah di kampung hari itu, keadaan akan kembali seperti biasa. Rupanya mamanya mempunyai agenda tertentu pula selepas ini.
Kalau macam ini, mahu atau tidak dia terpaksa berdepan lagi dengan Natasya, isterinya. Aagak lama juga dia tidak bertemu dengan gadis itu. Mahu rindu juga dia. Rindu? Huhu! Dia bukan apa, dia takut berlaku sesuatu pula antara mereka. Inilah masalahnya lagi! Aduhai, sakit pula hatinya!
“Ha? Saya? Kenapa saya pula? Dulukan sudah kahwin? Buat apa membazir ma?” soalnya seperti mahu terkeluar mata kuyunya itu. Mamanya angguk.
“Yalah sapa lagi?” aduhai mahu sahaja Nukman Faris pengsan mendengar kata-kata mamanya. Papanya hanya tersengih.
“Bila ni ma?” soal Nukman Faris yang sudah tidak bermaya.
“Lagi dua minggu, mama dan papa sudah edar kad jemputan! Hanya untuk orang kampung dan kenalan kita. Mama tak jemput ramai, hanya dua ribu lebih sahaja!” Nukman Faris memikirkan jadualnya. Sejak akhir-akhir ini dia memang sibuk. Urusan pejabat banyak yang hendak diuruskannya.  Dia tidak menyangka mamanya sudah merancang sesuatu yang dia tidak tahu. Nasib baik dia tidak menceraikan isterinya. Kalau tak, naya dia!
“Saya fly,” jawabnya ringkas untuk mengelakkan sesuatu yang amat tidak disukainya. Pening kepalanya memikirkan kerenah ibu bapanya yang hendak buat itu dan ini. Dia berasa hidupnya dikongkong. Namun dia sedar dia siapa hendak membantah?
“Tak! Tak! Mama dah buat kad. Nukman kena ambil cuti. Urusan di hotel mama dah siapkan. Jangan buat malu pula. kahwin bukannya dua tiga kali. Kahwin hanya sekali,” kata mamanya.
Nukman Faris tarik nafas berat. Dia jarang membantah cakap mamanya. Bagaimana nak jaga hati Rozaila? Dia terkenang kekasihnya. Sudah hampir sebulan mereka tidak bertemu. Ada-ada sahaja agenda mamanya yang menyebabkan dia tidak dapat bertemu dengan kekasihnya. Mamanya memang perancang yang hebat. Dia sakit hati sebenarnya.
“Kenapa mama buat macam ni? Mama kan tahu saya ada kekasih?” Datin Zahara ketawa. Lalu menggeleng.
“Jangan nak buat lawak depan mama! Itu bekas kekasih kau! Kau kena terima hakikat yang kau sudah kahwin! Sekarang kau kena jaga Natasya, bukan orang lain tu! Mama tak suka kau buat tak senonoh! Kalau mak ngah kau tahu, apa yang mama akan jawab? Cuba kau jawab?” kata Datin Zahara. Nukman terdiam. Mamanya memang banyak rancangan untuknya.
“Dia dah tahu? Mana ada cuti dia lagi ma,”  kata Nukman Faris cuba menolak lagi. Mana tahu ada harapan.
“Ada, dia dah tahu dan dah setuju pun! Memang patut pun kita buat majlis besar-besaran di tempat kita ni! Supaya semua orang tahu tuan pilot kita sudah kahwin! Jangan ada sesiapa nak mengorat!” mahu menggelegak darah Nukman Faris dengan persetujuan Natasya dengan apa yang akan berlaku. Datin Zahara sudah ketawa.
“Mana-mana mamalah! Tak kuasa saya nak layan rancangan mama!” Nukman Faris mengeluh berat.
“Jangan nanti kau hubungi pula kekasih kau tu! Itu tempah dosa namanya! Baik-baik kau ada isteri, kau layanlah isteri kau!” kata Datin Zahara lagi. Nukman Faris angguk lagi. Mahu atau tidak dia terpaksa menurut.
“Jangan lupa Nukman,”

“Ye ye!” jerit Nukman Faris. Datin Zahara lega jika anaknya mahu menurut kata-katanya.