Thursday, April 10, 2014

Kuimpikan Bahagia Bab 15

Sambungan Kuimpikan bahagia Bab 15
15

Aliff Hakimi cepat-cepat mengambil kunci keretanya. Agak ramai tetamu yang datang.
         “Nak ke mana tu Aliff?” soal Datin Hamidah memerhatikan anaknya itu. Aliff Hakimi kelihatan terkejut.
         “Saya? Nak jemput isteri saya mama, mama kan nak jumpa dia!” Datin Hamidah kerling jam di dinding dapurnya. Baru pukul 740 malam. Datin Hamidah tersenyum, tersengih-sengih.
         “Hmm, pergilah walaupun masih awal lagi kan?” Aliff Hakimi tersenyum. Dia salam tangan mamanya.
         “Mama, saya takut jalan sesak nanti,” kata Aliff Hakimi turut tersengih-sengih.
         “Ya lah, pergilah jemput dia. Tetamu mama pun sudah ramai ni. Lagipun…” Datin Hamidah berhenti bercakap. Dia tahu ada sesuatu yang berlaku antara anak dan menantunya itu. Aliff Hakimi memandang mamanya dengan penuh kehairanan.
         “Lagipun apa mama?” Datin Hamidah serba salah. Selama ini anak mahupun menantunya tidak pernah bercerita mengenai masalah rumah tangga mereka kepadanya. Dia sedar, anaknya juga sangat sibuk dengan perniagaan keluarga dan menantunya pula bekerja. Hanya melalui besannya sahaja dia mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dalam rumah tangga anaknya yang baru setahun jagung itu. Ah, dia sendiri serba salah hendak bercakap mengenai anak menantunya. Dia bimbang tersilap cakap dan anaknya akan menuduhnya campur tangan dalam urusan rumah  tangga mereka. Aduhai, Datin Hamidah serba salah sekali. Dia sudah tersilap cakap tadi.
         “Tak ada apa-apa Aliff, mama harap Aliff bawa kereta dengan hati-hati dan layan isteri dengan baik,” Aliff Hakimi mengangguk. Mungkinkah anaknya itu sedar ada sesuatu yang ada di benaknya sebagai seorang ibu yang sayang akan keharmonian rumah  tangga anak lelakinya itu?
         “Saya tahu mama ada sesuatu nak cakap,” Datin Hamidah menggeleng. Biarlah anaknya menguruskan menantunya buat masa ini. Dia tidak sesekali akan masuk campur. Dia tahu anak lelakinya bijak dan dia sendiri mendoakan kesejahteraan rumah tangga anaknya itu. Ibu mana yang tidak mahu melihat anak dan menantunya bahagia kan?
         “Mama harap kamu berdua akan bahagia nak,” tambahnya perlahan. Tiba-tiba dia terasa sebak. Dia tahu anaknya itu tidak begitu mengenali menantunya. Tetapi dia tahu anak menantunya itu akan bahagia nanti. Itu sahaja doanya setiap hari.
         “Mama doakan ya,” kata Aliff Hakimi. Aliff Hakimi tahu ada sesuatu yang hendak dikatakan oleh mamanya itu. Namun, mamanya tidak melahirkannya dalam bentuk zahir. Aliff Safwan tahu mamanya dapat mengesan ada sesuatu yang tidak betul dalam rumah tangganya tetapi dia sendiri tidak mampu mengongsikan dengan mamanya mengenai hal itu. Dia sendiri berasa segan hendak bercerita dengan mamanya walhal mereka seperti dua orang sahabat selama ini. Namun, mengenai rumah tangga yang baru dibinanya dia belum mahu berkongsi dengan mamanya atau sesiapa sahaja. Biarlah dia menyelesaikannya sendiri dahulu.
         “Apa yang kamu bualkan tu? Tetamu kita dah datang tu, takkan kamu tak nak berenggang di sini,” papanya datang menegur kedua beranak yang sedang sibuk berbual itu.
         “Err, ya lah, papa, mama saya kena gerak dulu sekarang.” Kata Aliff  Safwan menyalami tangan papanya.
         “Jalan elok-elok.” Pesan papanya pula. Aliff Safwan hanya mengangguk dan tersenyum manis kepada papa dan mamanya yang memandangnya dengan penuh makna.
         “InsyaAllah papa,” Aliff Safwan terus bergerak menuju ke pintu. Kunci sudah di tangannya.
Ketika terbayangkan wajah isterinya, dia tiba-tiba terasa sebak pula. Mungkin berasa amat bersalah dengan apa yang sudah dilakukannya selama ini. Selama ini dia sepatutnya sering membawa isterinya datang bertemu dengan ibu bapanya tetapi selama lebih enam bulan pernikahan mereka, dia begitu sibuk dengan tugasnya sehingga mengabaikan isterinya sendiri. Sekarang  dia bagai terhantuk di tangga, dan cuba memperbaiki hubungannya dengan isterinya yang terabai selama ini. Malah yang lebih menyakitkan isterinya itu sudah pun menuntut cerai di mahkamah. Dalam waktu yang sama pula, bekas kekasihnya sudah ditangkap basah dengan seorang ahli perniagaan veteran tiga bulan yang lalu. Selama ini dia ingatkan bekas kekasihnya benar-benar hendak kembali kepadanya dan bersedia  bernikah dengannya. Rupanya dia hampir terperangkap oleh gadis itu. Ya, dia benar-benar terasa dahinya berdarah seperti terhantuk di tangga. Huh! Dia sendiri yang sudah membuat kesilapan.

“Ah, aku sepatutnya memulakan langkah baru dengan isteriku sendiri,” azamnya dalam hati. Dia terus menghidupkan enjin keretanya dengan segera. Dia tidak mahu isterinya tertunggu-tunggu pula sekarang ini.