Thursday, May 15, 2014

Novel Cinta Sang Pilot 28

Bab 28


“Mari duduk sini Nukman,” kata mama yang sudah bersedia di ruang tamu yang sebelah lagi. Nukman Faris yang sedang duduk itu terkejut dengan panggilan mamanya. Fikirannya masih terarah kepada Natasya Umaira yang kelat dan tidak tentu arah itu. Ada sesuatu yang hendak dibincangkannya dengan isterinya yang mengaku mengandung selama ini. Dia tidak tahu apa yang hendak dilakukannya. Dia tidak tahu apa tindakan yang seterusnya. Tetapi apa yang dia tahu, hatinya sedang panas seperti bara api yang disiram dengan minyak gas.
Hendak ditanyakan dengan mama atau emak mertuanya dia tidak sanggup. Dia tahu semua kejadian yang berlaku itu berpunca daripada Natasya Umaira. Dia tahu selama ini gadis itu yang telah membohongi emaknya dan mereka sekeluarga. Dia harus berbuat sesuatu yang akan menghentikan pembohongan dan menghentikan sakit hatinya. Jika tidak, dia tidak akan tenang!
Benarlah kata Natasya Umaira, fitnah kepada dirinya sudah selesai dan mereka boleh meneruskan hidup dengan haluan masing-masing. Ah, dia akan bercerai dan menjadi duda? Ah, rasa tidak elok pula hendak didengar. Bekas isterinya pula menjadi janda, janda berhias sebab dia belum pernah menyentuh gadis manis itu. Ah, kusut-kusut hatinya.
            “Nukman!” suara mamanya bergema sekali lagi. Dia terus tegak berdiri. Dia memandang wajah mamanya yang masih nampak muda itu walaupun usianya sudah hampir lima puluh tahun.
            “Ya mama, kenapa mama?” soalnya kepada mamanya. Ingatannya kepada isterinya  terbang sekelip mata. Wajah mamanya tersembul di depan matanya.
            “Awak dah ke mana? Macam tak de dah di sini? Jangan kata Nukman dah pergi ke luar negara ya!” kata mamanya. Dia garu kepala yang tidak gatal dan tersengih untuk menutup duka di hatinya. Wajah ayu dan ketakutan isterinya itu sudah hilang dibawa oleh suara mamanya. Dia memikir-mikir lagi tindakan yang patut dilakukannya. Ah, dia sendiri serba salah.
            “Ada apa mama?” soalnya lagi. Mamanya belum memberikan jawapan kepada soalannya.
            “Taklah. Tadi kami beli barang dapur di rumah kami mama.” Kata Nukman Faris.
            “Dah hantar dan kemas barang-barang tu semua?” soal mamanya. Datin Zahara kehairanan dengan sikap anaknya yang seperti orang kebingungan itu.
            “Sudah mama. Kami dah kemaskan tadi. Maklumlah, esok Tasya dah mula kuliah. Saya pula akan jadi driver dia pagi dan petang,” kata Nukman faris kepada mamanya. Datin Zahara bahagia melihat keakraban anak dan menantunya itu. Selama ini jika disebut nama Natasya Umaira pasti Nukman Faris tidak sudi mendengarnya. Katanya dia tidak suka gadis yang gemuk dan tembam. Dia suka gadis yang kurus dan tinggi macam model. Namun sekarang dari sehari ke sehari pilihan Nukman Faris sudah berubah. Datin Zahara sendiri bersyukur. Dia berdoa agar anaknya ini tidak buat hal dengan sepupunya.  
            “Bila nak balik ke rumah Nukman?” eh mamanya ni macam menghalau pula. kata Nukman Faris dalam hati.
            “Tunggu Tasya lah mama. Dia sedang berkemas tu. Mak ngah dan pak ngah dah balik kampung mama?” soal Nukman pula. datin Zahara mengangguk. Besannya sudah balik ke kampung petang tadi. dia yang menyuruh besannya balik ke kampung. Ini kerana dia hendak menghantar zakat pendapatan mereka kepada orang kampung dan menjemput orang kampung untuk menghadiri majlis persandingan anaknya ini.
            “Sudah, tengah hari tadi. Tasya tak beritahu?” dia geleng. Dia keluar awal pagi tadi. Mana ada masa Natasya Umaira hendak memberitahu itu dan ini kalau dia sudah sibuk bagaimana menjawab soalan-soalannya. Mengapa dan kenapa tidak hadir ke klinik. Sekarang pula sudah terbongkar rahsia yang sebenarnya. Dia akan mengasak isterinya itu habis-habisan hari ini. Dia mahu hatinya puas.  Ini kerana dia sudah banyak berkorban perasaan dan waktu untuk menikahinya. Jadi dia akan melakukan sesuatu. Dia tahu kini Natasya Umaira berperang dengan dirinya.
Hah, tahulah apa yang aku akan buat nanti! Bisiknya dalam hati.
            “Tak de pula Tasya beritahu mama. Mungkin dia lupa apabila kami asyik bercerita soal lain,” kata Nukman Faris.
Datin Zahara kehairanan dengan sikap anaknya yang termenung agak panjang di depannya itu. ia seperti ada sesuatu. Namun dia tahu anaknya itu tidak akan memberitahunya. Biarlah dulu!
            “Mama harap Nukman akan layan menantu mama tu baik-baik. Jangan nak lukakan hati anak mak ngah tu Nukman. Mama minta jangan abaikan menantu mama walaupun kamu nanti berjauhan,” pesan ke apa ni? Soal Nukman Faris dalam hati.
            “Ya mama, saya akan ingat akan pesanan mama tu. Taklah saya nak dera isteri sendiri pula,”kata Nukman Faris tersenyum pahit. Dia tidak tahu apa yang akan terjadi kepada rumah tangganya selepas ini. Sukar dia hendak meneka.  Datin Zahara sudh tersenyum.
            “Harap-harap kamu berdua akan mengekalkan hubungan kamu berdua Nukman. Janganlah ada niat nak bercerai-cerai. Pantang nenek moyang kita!” kata Datin Zahara pula. nukman Faris tersengih. Entahlah, dia belum tahu apa yang akan berlaku kepada rumah tangga mereka dalam sebulan dua ini. Memang banyak cabaran yang datang dari sekeliling mereka. Dia tidak mahu memberikan harapan kepada mamanya. Namun dia tidak dapat memberikan janji kepada mamanya.
Apa yang penting satu masalah lagi baru datang hari ini. Ia bukan hanya masalah kekasihnya tetapi juga masalah Natasya Umaira itu sendiri. Dia sendiri tidak sabar hendak membawa Natasya Umaira balik ke rumahnya sendiri. Dia sudah ada rancangan terhadap isterinya itu. dia sudah membayangkan wajah putih mulus itu akan bertukar menjadi kemerahan seperti udang yang terbakar.
Dia akan melihat wajah Natasya Umaira yang hanya tertunduk ketakutan dan tidak mahu memandangnya. Ah, sukanya dia mengusik sepupunya nanti. Di rumah mamanya ini dia menahan perasaannya. Sesudah mengemas sedikit barang-barangnya tadi, dia terus turun. Isterinya sudah hilang di bilik air. Ah, dia memang tidak sabar lagi hendak masuk ke rumahnya sendiri.
“Eh, Nukman dah makan ke ni? Tasya dah makan?” soal mamanya pula. sekarang sudah dekat pukul 4.00 petang. Sekarang masa untuk menghidangkan makanan petang pula. mamanya ini lambat pula menanyakan soalan tentang makan tengah hari. Mestilah dia sudah makan tadi di kedai makan dengan Shamsuri sahabatnya.
“Sudahlah mama. Macam mana mama tak perasan saya dan isteri saya dah makan ke belum mama? Mama ke mana tadi?” soal Nukman Faris sengaja menguji mamanya. Datin Zahara menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Laa, kan mama tadi keluar. Mama sibuk menghantar mak ngah kamu. Itu yang mama tak de di rumah. Ni pun mama baru aje balik,” jawab mamanya. Dia tersenyum. Natasya Umaira sudah duduk di sisinya dengan memegang sebuah beg pakaian. Ini bermakna gadis itu sudah bersedia untuk dibawa balik ke rumahnya.
“Sayang dah sedia?” soal Nukman Faris. Natasya yang menundukkan pandangannya sudah mengangguk.
“Pakaian abang dah masukkan dalam beg?” soalnya. Natasya Umaira hanya mengangguk. Namun dia sedar, mata cantik yang sedang dipandangnya dengan pandangan tajam itu sedang terketar ketakutan. Dia sudah pastikan gadis itu ketakutan kepadanya.
“Eh kenapa menantu mama hanya mengangguk dan menunduk aje ni? Ada masalahkah dengan Nukman?” soal Datin Zahara kepada menantunya. Wajah menantunya itu sudah memerah. Nukman Faris pula sudah tersenyum.
“Tak de mama, janganlah risau. Kami nak balik dah ni mama, nak berkemas sikit lagi. Tadi kami kemas tak habis,” jawab Natasya Umaira.
“Ya mama, mama tahulah Tasya ni tak nak ambil pembantu sementara. Dia nak juga uruskan rumah kami sendirian. Saya pun risau mama, kebetulan dia pun mengandung, saya takut jika dia kerja keras mama,” kata Nukman Faris.
“Eh, dah periksa kandungan? Betulkah Tasya mengandung? Menurut mak ngah hari tu, kena tunggu dalam sebulan baru tahu Tasya mengandung atau tidak,” Nukman Faris sudah membuntangkan matanya. Dia tidak menyangka yang mama dan emaknya tahu mengenai perkara itu. Natasya Umaira membuntangkan matanya. mereka berpandangan seketika.
“Err, kita pergi sekarang Tasya? Tasya dah sedia?” soal Nukman Faris mengubah tajuk perbualan. Natasya Umaira memandang wajahnya. Dia cepat-cepat mengangkat beg Natasya Umaira.
“Ya saya dah sedia,” kata Natasya Umaira seperti malu-malu namun dia tahu lebih banyak ketakutan di mata itu.
“Mama, kami pergi dulu ya, mama.” Kata Natasya Umaira menyalami mama mertuanya.
“Jalan elok-elok ya Tasya, Nukman. Nukman jaga elok-elok menantu mama,” kata Datin Zahara. Nukman Faris tersenyum.
“Ya mama, jangan risau mama. Saya akan jaga elok daripada menjaga nyawa saya mama,” kata Nukman Faris. Natasya Umaira angkat kening. Benarkah suaminya itu?
“Tasya pun jaga suami elok-elok ya. Eh, tunggu Nukman, mama panggilkan papa dulu, kamu pun pergi kelam-kabut!” kata Datin Zahara. Natasya Umaira mengangguk.
“Ada hal sikit mama,” jawab Nukman Faris yang sudah menjeling isterinya yang sudah cantik mengenakan jubah berwarna ungu itu. Siap penuh dengan labuci di depannya.
“Tasya, awak kena sedia dengan denda saya yang sayang,” kata Nukman Faris yang sudah berbisik di telinga Natasya Umaira. Tubuh Natasya Umaira sedikit menggeletar mendengar ugutan itu.Sudah datang semula gila Nukman! Bisiknya.
“Pandailah awak! Jangan nak buat tak tentu kat anak dara orang!” kata Natasya Umaira pula. Nukman Faris tersenyum. Apabila ternampak mama dan papa sudah mendekati mereka, Natasya Umaira menjauhi Nukman Faris. Geram dia kepada Nukman Faris yang sedia hendak mengenakannya apabila tiba di rumah mereka nanti. Sakit hatinya.
“Papa, kami dah nak gerak dah ni,” kata Nukman Faris yang sudah menyalami tangan papa dan mamanya. Natasya Umaira pula menyalami tangan papa mertuanya. Mama dan Natasya Umaira sudah berpelukan.
“Nanti mama datang ke rumah abang Nukman kan mama,” kata Natasya Umaira dalam sebak.
“Itu rumah kamu berdua sayang Natasya.” Kata mama mertuanya. Nukman Faris hanya tersenyum.
“Nanti kalau kamu sudah ada anak, mama dan papa akan hadiahkan rumah yang sesuai untuk berkeluarga pula,” Natasya Umaira termangu. Rasanya perkara itu sudah menghampiri arah mustahil. Mahu sahaja dia menangis.
“Terima kasih mama. Mungkin sekarang kami tak perlu lagi mama,” kata Natasya Umaira. Nukman Faris di sisinya mengerut dahinya. Kenapa pula tidak perlu? Rumahkan penting sebagai harta. Kenapa pula dia cakap sekarang tidak perlu? Soal Nukman Faris dalam diam. Dia sendiri berhajat hendak membeli sebbuah rumah teres untuk dijadikan persediaan pada masa akan datang. Kenapa isterinya memberitahunya ia tidak perlu? Hairan dia dengan pemikiran isterinya. Mungkinkah dia segan? Ah, nantilah dia akan memberi pengajaran kepada isterinya itu.
“Kami gerak dulu mama, papa,” kata Nukman Faris. Kunci kereta sudah di tangannya.
“Nanti mama dan papa datanglah ke rumah kami ya mama,” kata Natasya Umaira seperti ajak-ajak ayam. Mama dan papa mengangguk. Mereka akan ke rumah Nukman Faris pada keesokan malamnya.

“Ya nanti kami akan datang!” kata Datin Zahara. Datuk Norman yang sangat suka merendah diri itu hanya mengangguk. Semakin berdenyut kuat jantung Natasya Umaira.