Tuesday, May 20, 2014

Novel Cinta Sang Pilot Bab 29


Bab 29

“Lelaki gila!” kataku sebaik sahaja aku turun dari kereta dan terkenangkan tindakannya yang gila dan tidak berperikemanusiaan itu. Mahu sahaja aku menghamburkan tangisku di situ di hadapannya, namun aku tidak mahu menjatuhkan maruahku sendiri di depannya, aku menahan semua keinginanku. Sudahlah maruahku diinjak-injak sesuka hati oleh lelaki itu. Sekarang, apa yang sudah jadi, habis madu sepah dibuang!
Lelaki itu sudah berubah sejak dia memperlakukan aku, ah, tidak mampu sudah aku hendak mengatakannya. Lelaki itu memang sudah hilang pertimbangan dengan melakukan sesuatu yang tidak wajar terhadapku! Kalau boleh selepas ini aku tidak mahu pandang wajah lelaki gila ini!
Sejak semalam Nukman Faris menghantar aku semula ke rumah sewaku. Shamira pun berasa hairan dengan kedatanganku dengan wajah yang kusut. Namun Shamira tidak pula mahu masuk campur urusanku. Dia tahu aku dan Nukman Faris dipaksa bernikah kerana kes yang berlaku antara aku dan Amri. Aku tidak kisah kalau aku tidak dibawa ke rumahnya. Aku lagi suka. Cuma aku takut jika esok malam ibu bapa kami akan datang ke rumahnya dan aku tidak ada di situ. Apa yang dia akan jawab kepada ibu bapaku? Ah, aku akan beritahu emakku sendiri agar mereka tidak datang ke rumah jahanam itu!
            “Apa hal tiba-tiba ubah fikiran? Kata nak tinggal dua minggu di rumah suami?” soal Shamira kehairanan. Wajahku kelat tetapi aku lindungi dengan senyuman. Aku pandang muka Shamira yang agak tenang itu dan kami berpelukan seketika. air mataku menitis beberapa titik cepat-cepat aku seka. Aku diam. Shamira mencari mataku. Aku tahu mataku merah. Mencari alasan yang tidak menyakiti hati sesiapa.
            “Nukman ada urusan. Kebetulan telefon aku habis caj, itulah yang menyebabkan aku balik ke sini. Nak cajkan telefon aku semula,” kataku perlahan sambil mencucukkan telefon Nokiaku pinkku dengan chargernya.
            “Elok lah kau balik, esok kita kena pergi awal ke Perak,” kata Shamira memberitahu perubahan tempat kuliah kami. Aku terkejut. Baru sahaja tadi Nukman Faris mereka-reka cerita kepada mamanya. Aku tidak mahu ambil tahu tadi sebab aku tengah bengang dan sakit hati.
            “Ya? Bila masa Doktor Mahani beritahu kau?” soalku. Doktor Mahani adalah pensyarah Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang sangat prihatin dan sangat kami hormati. Shamira sudah geleng kepala memandang aku.
            “Aku telefon kau balik-balik, naik kebas tangan aku tekan tau! Kau tutup pula telefon kau! Kau berbulan madu dengan suami kau kan tetapi janganlah sampai tutup telefon!” kata Shamira memperli aku. Aku ketawa. Ketawa yang dibuat-buat. Memang telefon aku habis bateri dan aku tidak dapat menghubungi sesiapa. Aku geleng kepala. Aku tidak berniat hendak menutup telefonku. Aku sendiri berasa susah hendak menghubungi kawan-kawan dan ibu bapaku. Aku tidak berani meminjam telefon suamiku.
            “Jadi, kita tidur dan makan di situ? Kita diberikan penginapan atau tinggal di hotel bajet?” soalku. Shamira buntangkan matanya. Kami sudah duduk di sofa di ruang tamu di depan televisyen. Rancangan kegemaran aku sedang ditayangkan, Running Man. Memang kebetulan yang baik. Jika di rumah Nukman Faris belum tentu aku dapat menonton rancangan kegemaran aku ini. Apatah lagi selepas perbuatannya yang  tidak dapat aku maafkan sampai bila-bila. Aku tidak mungkin tenang dengan apa yang sudah dilakukannya terhadap diriku ini.
            “Kita diberikan pengangkutan dan penginapan selama tiga hari dua malam. Tak payah nak gunakan duit kau nak tinggal di hotel bajet, membazir! Kemudian dihantar semula ke KL, jika nak. Tapi aku rasa elok kita bawa kereta sendiri. Senang kita hendak bergerak,” kata Shamira. Shamira memang suka memandu. Aku pula suka menumpangnya. Aku sekadar mengangguk dan cuba bertenang. Aku gembira jika dia mahu menggunakan keretaku ke Perak nanti.
            “Ok juga tu!” kataku yang agak gembira dengan berita yang baru aku terima itu. tetapi bagaimana aku hendak memberitahu Nukman Faris mengenai perubahan tempat kuliahku ini? Ah, aku bingung. Sejak dari rumah mamanya tadi, dia tidak banyak bercakap. Apa yang harus aku cakap lagi diriku ini sudah hilang maruah di depannya. Kalau aku dibunuhnya terus lagi bagus!
Alih-alih dia sudah hantar aku ke rumah sewaku ini setelah aku memaksanya. Nasib baik kawan baikku ini ada di rumah, kalau tidak hendak ke mana aku? Kebetulan kunciku tertinggal pula di rumahnya.
            “Kau kena minta kebenaran suami kau dulu, nanti dia cari kau esok di sini, apa yang akan kau jawab?” pesankah atau nasihat tu? Soalku dalam hati. Aku angguk. Shamira tidak harus dilibatkan dalam masalah kami. Biarlah dia tidak tahu. Aku lebih suka kalau aku tidak muncul di depannya lagi selepas ini. Benci aku benci kepada wajah kacak yang sudah bertukar menjadi wajah singa itu.
            “Ya esok aku akan maklumkan kepada dia.” Kataku perlahan. Aku mengeluarkan jeruk yang aku beli di Tesco hari itu. wajah menggila Nukman Faris terbayang pula di mataku. Aku mahu padam kesakitan itu dan aku tidak mahu mengingatinya semula.
            “Tak baik tau makan jeruk-jeruk ni, kau mengandung ya? Dah tiga bulan lebih kau kahwin, mungkin dah ada tanda-tanda positif!” kata Shamira sudah mula menjadi penasihat. Aku benci menyebut perkataan mengandung. Mahu sahaja aku menghamburkan semua kesakitan hatiku kepada kawan baikku itu. disebabkan aku dituduh mengandunglah aku terpaksa menikah dengan sepupuku sendiri. Namun aku menggeleng. Aku belum sedia melakukannya.
            “Tak nak makan sudah, err, aku makan bukan sebab aku mengandung! Memang aku suka makan makanan ni!” tangan Shamira tetap mengambil jeruk-jeruk itu. Aku jeling wajah yang sudah tersengih-sengih memakan makanan masam itu.
            “Tak baik untuk orang mengandung,” aku kaku. Itulah hal yang menyebabkan Nukman Faris menghantar aku ke sini. Dia marah jika selama ini aku mendakwa diriku mengandung, rupanya aku tidak mengandung pun! Jika tidak, aku tidak akan tahu di mana tempat kuliahku yang sebenar. Bukan setakat marah tetapi aku sudah dirogolnya. Eh, kejap. Adakah istilah untuk rogol isteri? Aduhai!
            “Ya aku tahu! Aku bukannya mengandung pun!” kataku perlahan. Wajah kesedihan terpacak di mukaku.
            “Syukurlah kalau tak mengandung! Kau dah periksa kandungan kau?” soal Shamira bagaikan agak terkejut. Aku angguk.
            “Sudah! Negatif!” jawabku. Wajahku masam semasam makanan jeruk yang sedang kuhadap itu.
            “Kau dah siapkan tugasan pengiraan tu, susah tau!” kata Shamira. Aku angguk. Aku suka kalau bab-bab pengiraan. Ia berkaitan dengan statistik. Shamira pula banyak bergantung kepada aku kalau bab-bab pengiraan.
            “Aku nak tengok,” katanya. Aku diam. Pandanganku ke arah televisyen. Pelakon kesayanganku sedang ditayangkan wajahnya. Aku sangat minat dengan Kang Gary. Shamira tidak boleh ganggu aku kalau mata aku sudah tertumpu kepada artis Korea itu.
            “Boleh tak ni?” soal Shamira tidak berputus asa. Aku angguk. Kebetulan aku sudah siapkan kerja itu minggu lalu sebelum aku pergi ke rumah Nukman Faris. Namun aku benci mengingati nama itu. aku mahu lenyapkan diriku selama ini. Kalau lah boleh!
            “Boleh, tunggu kejap. Aku masih penat ni! Kalau tak pun esoklah kat hostel di Perak tu aku tunjukkan pada kau!” Kataku. Aku mengingati di mana aku menyimpan kerja yang sudah aku siapkan itu.
            “Tak nak!” kata Shamira.
            “Eh, mengada!” aku sudah masak dengan sikap keras kepala Shamira. Mahu tidak mahu aku terpaksa menunjukkan jawapanku pada malam ini juga.
            “Engkau ni memang kalau tengok Kang Gary!” kata Shamira pula, aku tahu dia tidak sabar hendak menyiapkan kerjanya. Aku pula belum sempat menukar pakaian selepas dihantar Nukman Faris tadi. Ah, pakaian ini banyak sialnya. Aku harus menukar pakaian ini dan tidak akan mengenakannya lagi selepas ini.
            “Kejap, aku tukar baju!” kataku yang tiba-tiba masuk ke bilik dan menukar pakaianku ini. Aku melihat ke leherku. Alamak! Kurang asam punya Nukman! Dia meninggalkan tanda di leherku. Sakitnya hatiku. Aku terpaksa keluar semula dengan tudung di kepala.
            “Aku suka Kang Gary! Dia handsome! Nanti aku berikan kau tengok jawapan aku!” mataku tidak lepas dari memandang televisyen sebelum aku menukar pakaianku yang sudah puas digomoli oleh lelaki gila itu tadi. Aku tahu sekarang dia sudah puas hati telah mendapatkan tubuhku tadi. Aku mahu menangis namun aku tidak jadi. Shamira pasti akan hairan jika aku menangis tiba-tiba. Aku harus menghadapinya dengan penuh ketabahan walaupun hatiku luka tak berdarah!
Shamira terus mendiamkan diri melihat aku mendiamkan diri. Dia mesti faham akan artis Korea kesayanganku. Jangan dia tidak tahu.
            “Oklah kalau macam tu! Aku ke dapur kejap. Aku nak buatkan kau air, nak air sejuk atau panas?”  soal Shamira. Dia tahu kegemaranku jika dia hendak meminta sesuatu daripadaku.
            “Aku nak air suam dan minuman panas. Aku tengah tak de mood ni!” bulat mata Shamira mendengar percakapanku. Selepas peristiwa berdarah itu aku belum minum apa-apa. Lelaki gila itu hendak bawa aku singgah minum pun aku tolak. Aku suruh dia minum sendirian di mana-mana restoran mewah yang dia suka dan aku tunggu di dalam kereta. Akhirnya dia tidak jadi minum di mana-mana. Padan mukanya!
Aku benci pandang mukanya!
            “Ada masalah dengan Nukman ke? Kenapa tiba-tiba datang?” aku tersentak. Aku tidak mahu Shamira menghidu ada perbalahan antara aku dan suamiku itu. Aku geleng. Kepedihan biarlah aku simpan sendirian. Kata emak, masalah suami isteri tidak boleh dijaja-jaja dengan orang lain. Maka, selagi aku isterinya dan dia suamiku, aku harus menyimpan apa-apapun masalah rumahtanggaku dengan suamiku itu.
            “Mana ada, aku ok aje. Dia memang ada hal, itulah dia hantar aku ke sini!” kataku agak kalut. Aku bimbang Shamira akan menghidu sesuatu dari ketidaktenanganku.
            “Oklah, tunggu kejap,” kata Shamira. Dua minit kemudian, Shamira sudah membawa minuman yang aku inginkan. Air suam memang minuman kegemaran aku.
            “Err, Mira esok kita gerak awal tau! Lepas subuh memang kita dah siap sudah! Nanti lambat pula kita tiba di Perak,” kataku mahu keluar awal-awal dari rumah sewaku ini. Biar padan muka Nukman Faris. Aku akan tidur di situ dua hari lamanya.
            “Eh, buat apa awal?” soal Shamira. Aku pula kerutkan dahi.
            “Kenapa pula?” soalku.
            “Kita start kelas jam 10.30 pagi. Tak perlu gerak awal macam tu! Doktor Mahani faham akan situasi kita,” aku diam. Apa yang harus aku katakan lagi?
            “Mesti kita awal  sikit Mira. Aku tak suka kelam kabut tiba di sana. Kalau lambat nanti banyak kereta dan kita tak dapat parking pula nanti. Kau nak ke kalau tak de parking?” soalku kepada Shamira. Shamira geleng. Kata-kataku mengena di hatinya.
            “Aku ikut kau ajelah Tasya!” kata Shamira.
            “Jangan lambat pula. Lepas Subuh kita terus gerak!” kataku memberikan arahan. Shamira angguk. Aku meneruskan sahaja tontonanku. Sebenarnya aku masih memendam perasaanku akibat perbuatan suami sendiri. Mataku khusyuk pada televisyen tetapi hatiku masih mengingati perbuatan-perbuatan Nukman Faris yang ak tidak rela dia lakukan kepadaku. Dia memberitahu dia menyayangi aku sejak dulu tetapi dalam masa yang sama dia memperalatkan aku. Ah, aku tidak akan sama sekali mempercayai kata-katanya! Aku tahu dia hanya berbohong. Sampai mati pun tidak akan lupakan kesakitan hatiku ini!

 ***
Nukman Faris tidak bercakap apa-apa denganku sepanjang perjalanan kami tadi. Kalau boleh aku tidak mahu mengikutnya ke mana-mana dengan keretanya ini. Mahu sahaja aku menaiki teksi sahaja. Aku benci dengan perbuatannya. Aku benci dia!
Apa  yang hendak aku katakan? Aku sudah cakap, semua perkara sudah selesai dalam hidupku. Dia boleh sahaja menceraikan aku jika dia mahu. Sekarang sudah tidak ada halangan lagi. Sekarang sudah tidak ada perkara yang dia hendak bimbangkan lagi.
Sudah terbukti melalui pengesahan doktor peribadinya yang aku tidak mengandung. Apa yang lagi yang hendak difikirkannya, sepatutnya dia bersyukur dan cepat-cepat menceraikan aku. Masalah kami akan selesai. Masalahnya dengan Rozaila kekasihnya juga akan selesai. Tidak perlu banyak lagi dia hendak memikirkan itu dan ini.
Namun, apabila terkenangkan ibu bapa kami, aku terkaku. Kaku kerana aku berasa akan melalui jalan yang lebih sukar pula. Entah mengapa sukar tetapi jalanku yang kuhadapi sekarang semakin sukar. Aku tidak percaya kalau masalahku ini akan selesai dengan segera.
           
 ***

Selama tiga hari kami berkuliah di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Memang menyeronokkan. Kami dapat berkenalan dengan rakan-rakan dari semua negeri. Namun, sekali-sekala ingatanku tetap singgah kepada Nukman Faris. Telefon sengaja aku matikan. Aku tidak mahu dia mencari aku selama tiga hari ini. Aku tidak mahu menyusahkan dia.
Aku mahu bersendirian di sini tanpa gangguan sesiapa. Emak pun ada menelefon aku. Aku meminta emak merahsiakan di mana aku berada buat masa ini. Aku tidak mahu Nukman Faris menghantar dan menjemput aku sejauh ini setiap hari. Ah, ia juga kerana kebetulan-kebetulan yang berlaku kepada kami. Aku mengambil keputusan untuk menjauhkan diri daripada lelaki itu.
            “Kau ni ok ke tak ok? Kau demam? Macam panas badan kau ni! Tak rindukan suami ke?” bisik Shamira tiba-tiba. Aku terus angkat bahu. Aku tidak mungkin rindukan lelaki itu. Aku hanya mahu dia membuat keputusan yang tepat dan cepat. Aku tidak mahu dia berdalih-dalih lagi setelah mengetahui aku tidak mengandung akibat perbuatan Amri tempoh hari. Apatah lagi selepas dia merogol aku. Ah, kesalku bertimbun-timbun.
            “Tak, aku sedang fokus apa yang Doktor Azman cakapkan tu! Kalau kita dah tahu apa yang nak dibuat senanglah kita nanti,” kataku memberikan petua kepada Shamira. Shamira mengangguk. Ah, sebenarnya aku sentiasa terkenangkan lelaki itu. Wajah kacak itu bagaikan sentiasa menapak di mataku saat aku berkuliah, ketika hendak tidur dan di mana-mana sahaja. Namun, aku tahu kisah kami sudah berakhir. Walau apapun terjadi aku mahu lelaki itu ceraikan aku!
            “Tapi mata kau tak menunjukkan kau dengar apa yang pensyarah kita tu cakap! Kau macam pandang arah lain! Macam tembus dinding dewan kuliah ni!” kata Shamira. Aku pandang Shamira. Dia bergurau atau dia bersungguh-sungguh atas pemerhatiannya kepadaku? Aku diam terus. Aku bagaikan tertembak di medan perang. Hanya kedengaran suara hembusan nafas.
            “Taklah, aku dengar dan ambil perhatian sangat akan apa yang Prof Madya Doktor Azman cakap tu! Buat apa aku nak main-main? Nanti kalau aku tak lulus, kan susah!” Shamira sengih mendengar jawapanku.
            “Kau mesti lulus punya, jangan risau. Aku kan ada.” Kata Shamira. Aku angguk. Hilang kesedihanku mengenai Nukman Faris yang kemungkinan hendak menceraikan aku. Aku pun berasa amat sayang hendak bercerai tetapi aku kasihan melihat kekasih Nukman Faris yang bersungguh-sungguh hendak menikah dengan lelaki itu malah dia seperti sudah bersedia hendak menjadi isteri yang solehah kepada Nukman. Aku harus memahami keadaan itu.
            “Doktor Azman kata, kita ni ada peluang nanti,” kata Shamira menggamit tanganku yang kaku di atas kertas.
            “Peluang apa?” soalku. Aku tidak mendengar apa yang pensyarah kami itu katakan.
            “Kita ada peluang naik pangkat dan menjawat jawatan tinggi dalam pendidikan,” kata Shamira. Apakah aku harus gembira mendengar perkhabaran itu? Err, dalam situasi begini aku tidak mahu mendengar perkhabaran begitu. Persoalan kahwin atau ceraiku dengan Nukman Faris pun belum selesai. Itulah yang menyebabkan aku bertambah bingung. Apa yang dituturkan oleh pensyarah seperti tidak masuk di mindaku. Aduhai, kalau begini bingungnya aku, aku harus memakan kismis minda untuk melegakan tekanan yang menimpa akalku ketika ini.
            “Oh bagus juga tu! Aku harap kau ada peluang naik pangkat sebab kau masih muda dan masih bujang,” kataku kepada Shamira. Dewan sudah gamat apabila mendengar Doktor Azman membuat lawak di depan dewan kuliah.
            “Kau tu apa kurangnya. Aku ni agak kurang lagi,” berkerut dahiku. Shamira ini pula sering mengganggu apabila aku sedang memikirkan nasibku selepas ini.
            “Apahal pula kau kurang?” soalku hairan.
            “Aku tak de suami,” jawab Shamira. Aku ketuk kepalanya dengan pen biruku. Dia memang tidak sempat mengelak. Sakit sungguh hatiku. Terkenang Nukman Faris yang bakal menceraikan aku. Siapakah yang lebih baik antara aku dan Shamira? Aku rasa, baiklah aku tidak bernikah dengan sesiapa kalau kebahagiaan itu bukan milikku selamanya.
            “Banyak lagi lelaki yang nakkan kau! Kalau kau nak Nukman, aku boleh pinangkan kau untuk Nukman!” kataku berseloroh. Sedihnya aku. Sedih kerana dia mahu mendapatkan haknya dengan cara yang amat menjijikanku. Sampai mati aku tidak akan lupa!
            “Gila! Aku belum teringin lagi suami orang!” kata Shamira mencubit lenganku.
            “Mana tau kau nak bermadu dengan aku!” aku terasa gelisah pula saat Nukman Faris ingin memadukan aku dengan kekasihnya. Siapakah yang mahu dimadukan? Aku rela diceraikan daripada bermadu dengan kekasihnya yang tidak cukup kain itu. Ah, biarlah aku pergi selagi kami belum mempunyai perasaan sesama kami. Tetapi, pengakuannya menyayangi aku, adakah lelaki itu bermimpi atau sekadar menyedapkan hatiku? Argh! Aku tidak akan percaya kata-kata itu!
            “Jangan cakap yang bukan-bukan Tasya. Aku belum kemaruk nak kahwin lagi!” kata Shamira. Aku diam kemudiannya. Terbayang wajah kacak itu sekali lagi. Namun cepat-cepat aku padamkan perasaan kagum itu.

Dia sudah mati dari hidupku!