Saturday, May 24, 2014

Novel Cinta Sang Pilot Bab 31

Bab 31

“Papa tak sihat Nukman,” itulah kata pembukaan yang dikatakan mamanya ketika punggungnya baru sahaja menghenyak di kerusi restoran mewah itu. Terbuntang matanya. Wajah kusut papa dipandangnya. Wajah berseri mama pun dipandangnya bersilih ganti. Timbul rasa kasihan kepada papanya itu. selama ini papanya memang mengharapkan akan kerjasamanya namun dia mengabaikannya. Mamanya pula memujuk papanya agar mengizinkan dia menjadi pilot dan bukannya menjadi pengganti di syarikat gah papanya. Sekarang apa sudah jadi?
Apakah yang sedang berlaku kepada mama dan papa ini? Baru dua hari dua malam mereka tidak bertemu. Kali terakhir mereka bertemu dengan ibu bapa Natasya Umaira dan isterinya pada malam itu. Dia masih ingat. Hari ini mama dan papanya sudah memberitahu masalah papa yang tidak sihat. Apa masalahnya sebenarnya ni? Dia sudah masak benar dengan mamanya sebenarnya. Namun dia mahu mendengar apakah yang sebenarnya berlaku kepada suami isteri berdua ini. Dia mahu mendengar dengan telinganya sendiri.
“Jadi, apa yang saya boleh buat mama? Saya bukan doktor. Kita pun ada doktor sendiri, kenapa tak minta periksa aje,” soal Nukman Faris bagaikan manusia yang melepaskan tanggungjawabnya di tangga. Mama marakkan matanya.
            “Banyak yang Nukman boleh bantu,” kata mama. Bertambah buntang matanya. Perbicaraan mereka semakin rancak walaupun dia baru sahaja memesan jus oren. Dia tidak ada selera makan pada malam itu. Selagi isterinya belum ditemuinya, selagi itu dia belum selesa.
            “Bawa papa ke hospital dan jaga papa?” soalnya macam orang bodoh. Bulat mata Datin Zahara bagaikan hendak memarahinya.
            “Musuh perniagaan kita di mana-mana, jangan nak main-main Nukman!” kata Datin Zahara. Nukman Faris menyengih. Apa masalahnya ini? Kerjayanya bagaikan melambai-lambai tangan kepadanya. Sedikit ngeri perasaan lelakinya.
            “Apa kaitan papa yang tidak sihat dengan musuh di dalam perniagaan papa? Err, saya tak berapa nak faham mama?” soal Nukman Faris. Ada sesuatu yang ditakutinya. Kalau diteliti papa memang semakin uzur sejak akhir-akhir ini. Sudah beberapa kali papa buka mulut secara bergurau dengannya namun dia hanya lewa dan menganggap papanya bergurau.
            “Awak ni Nukman, susah-susah papa dan mama hantar sekolah tinggi-tinggi tapi perkara remeh begitu pun tak nak mampu nak fikir.” Berkerut dahinya. Papa bersuara setelah agak lama memerhatikannya. Dia sengih lagi dan menggaru kepalanya yang tidak gatal.
            “Maksud?” soalnya. Mamanya geleng. Papa masih memandangnya dengan penuh rahsia dan kematangan.
            “Papa mahu awak gantikan tempat papa, papa dah tak begitu sihat,” kata mama berterus-terang. Bagaikan gunung pecah di kepalanya. Begitu sarat masalah yang mengulitnya sekarang. Dia rasa dia memang mahu dipengsankan dahulu. Amat berat hendak dipikulnya. Masalah isterinya, masalah dengan kekasihnya dan kini masalah dengan papa dan syarikatnya. Bagaimanakah dia hendak menghadapi masalah-masalah ini dengan bijaksana? Perlukah dia berbincang dengan mama dan papanya ini dan mendapatkan cara penyelesaian yang terbaik? Ah, sukar. Agak sukar.
Dia memang sayangkan papa dan mamanya dan dalam masa yang sama dia masih sayangkan kerjayanya. Kenapa pula dia menjadi mangsa dalam hal ini?
            “Err, saya tak sedia lagi mama, papa,” jawabnya perlahan.
            “Itu jawapan awak yang paling selesa Nukman?” soal mama. Sudah mencuka wajah montel mamanya itu. Dia diam.
            “Err, bukan begitu mama, saya tak sedia lagi,” kata Nukman Faris. Dia memang belum bersedia. Kerjayanya belum mantap dan rumahtangganya masih belum stabil. Apakah yang hendak dijawabnya?
            “Papa tak kira. Selepas pergi honeymoon nanti, papa mahu Nukman gantikan tempat papa, uruskan syarikat papa! Itu syarikat Nukman sebenarnya! Kenapa Nukman nak sia-siakan usaha papa selama ini?” sekali lagi dia kepalanya bagaikan dihantukkan ke batu. Dia garu lagi kepalanya yang tidak gatal.
            “Sebenarnya saya belum nak bersara dari kerjaya saya papa,” itu jawapan yang paling selesa.
            “Awak cuti tanpa gaji!” tegas suara papa. Buntang matanya memandang papanya. Mamanya hanya mendiamkan diri kali ini. Namun masih mengikuti perbincangan mereka.
            “Awak tak kasihan papa?” soal mama pula. Dia angguk. Dia memang kasihankan papa dan mama. Selama ini apa sahaja keputusan mama dan papa dia turuti tanpa banyak bantahan. Kali ini dia mahu membantah. Dia suka dengan kerjayanya sekarang. Dia belum bersedia terjun ke dunia korporat.
            “Kasihan memang kasihan tapi kerjaya saya papa, pilihan saya.” Katanya. Papanya murung kemudiannya. Betapa kasihnya dia kepada lelaki di depannya itu.
            “Jangan banyak cakap, syarikat NFN memerlukan Nukman, orang muda yang menerajui syarikat.” Kata papa. Apakah keputusan itu muktamad?
            “Nuraina ada papa. Kahwinkah dia dengan mana-mana ahli perniagaan berkaliber, biar suami dia yang urus syarikat!” buntang mata papa dan mama.
            “Gila! Awak sudah gila Nukman? Syarikat yang papa usahakan sejak kamu kecil sekarang awak nak berikan kepada orang lain dan mengorbankan adik awak sendiri? Begitu?” soal papa. Dia menarik nafas payah. Memang payah hidupnya sekarang. Hidupnya tidak bebas macam orang lain di luar sana. Apakah alasannya lagi?
            “Berikan saya masa papa,” ujarnya memohon sekali lagi. Ketika dia dinikahkan dengan Natasya Umaira dahulu, mamanya tidak memberikan dia masa. Dia hanya perlukan “ya” sahaja. Ah, sakit dia kalau begini!
            “Berapa lama?” soal papa Nukman Faris. Nukman Faris kebingungan sekarang. Berapakah masa yang sesuai dia memikirkan hal ini?
            “Sebulan.” Putusnya. Apakah sebulan itu cukup atau terlalu singkat?
            “Terlalu lama Nukman! Papa dah tak sihat lagi nak terajui syarikat. Kalau syarikat lain pesaing kita tahu akan tahap kesihatan papa, pasti mereka akan ambil peluang untuk jatuhkan syarikat kita Nukman! Tolong papa kali ini,” pinta papa, Datuk Norman. Apa yang hendak dijawabnya?
            “Saya akan fikirkan papa,” katanya. Pesanan minumannya sudah sampai. Dia terus meneguk minumannya dengan rakus.
            “Tak boleh nak fikirkan lama-lama Nukman, minggu depan lepas pulang dari bercuti ke Eropah, awak harus mula bertugas. Papa kini hidup hanya dengan bantuan ubat Nukman, tolong papa!” kata Datuk Norman yang mengadu dia sudah tidak begitu sihat.
            “Kasihan papa dan mama Nukman. Anak mama dan papa tak ramai. Hanya Nukman seorang anak kami. Kalau Nukman pun tak nak bantu kami, siapa lagi yang kami harapkan Nukman? Nukman mahu kalau syarikat kita jatuh lingkup dan jatuh ke tangan pesaing kita?” soal mama pula. Dia geleng. Perancangan harus rapi dan bukannya main tergesa-gesa.
            “Berikan saya masa papa, mama, jangan desak saya,” pintanya. Hatinya kusut. Jiwanya tidak tenteram.
            “Baiklah Nukman, jaga isteri awak tu baik-baik dan fikirkan juga masa depan syarikat kita. Masa depan kita terletak di bahu awak Nukman,” kata Datin Zahara. Dia tahu, semua masalahnya sekarang menuntut dirinya. Siapa lagi yang menyambutnya kalau bukan dirinya?
            “Saya tak janji mama, papa.” Kata Nukman Faris.
            “Jangan bercakap macam budak-budak Nukman! Mama tak suka. Ini soal tanggungjawab besar, mama dan papa minta tolong bukannya main-main. Ini hal yang sangat serius!” kata mamanya dengan penuh kesungguhan. Apakah dia bermain-main? Bukankah dia juga serius menangani hal ini?
            “Ya mama, papa, izinkan saya fikirkan hal ini elok-elok sebelum saya berikan keputusan mama, papa. Jangan bimbang, saya akan fikirkan mama, papa. Doakan saya,” katanya mahu bertindak wajar.
            “Terima kasih Nukman, papa tidak minta banyak. Papa hanya mahu Nukman gantikan tempat papa. Papa nak rehat. Sudah lama papa kerja tak henti-henti!” kata Datuk Norman. Nukman Faris mengangguk. Nanti kalau dia menggeleng dan berkeras, dia bimbang jika lelaki itu akan terus sakit pula. Jadi lebih baik dia berlembut dengan ibu bapanya. Mungkinkah ada hikmahnya!
            “Saya tak berapa tahu selok belok syarikat kita papa,” katanya mengaku akan kelemahannya. Dia berharap agar papanya tidak terus membiarkan seorang diri menguruskan syarikat warisannya ini. Papa tersenyum. Baru dia perasan wajah yang kusut dan agak lesu tadi kini sudah kelihatan berseri. Wajah mamanya semakin berseri.
            “Papa takkan biarkan awak keseorangan. Papa akan sesekali memantau hasil kerja awak Nukman,” kata papanya. Dia tersenyum. Selesai minum dan menjamu selera, mereka berangkat ke rumah. Panggilan telefon dari Rozaila dibiarkan sepi. Dia tidak mahu sesiapa mengganggunya pada masa perbincangan keluarganya sedang berlangsung. Tetapi, kenapa isterinya semakin menyepi? Apakah rajuknya masih ada? Ah, bukan rajuk, tetapi kemarahan dan kebencian sudah tidak terbendung di mata gadis itu. Dia pasti isterinya sentiasa menyumpah seranah perbuatannya tiga hari lalu. 

Ah! Menyesal sungguh pun sudah tidak berguna! Semuanya sudah menjadi bubur!