Wednesday, July 23, 2014

Novel Salwa Maisara bab 10

Bab 10

Selesai mengurus pendaftaran kemasukan ke bilik di resort itu, Salwa Maisara  terus sahaja menghempaskan tubuhnya di atas katil dengan tubuh meniarap. Hari sudah jauh malam. Tidak ada gunanya dia hendak pergi ke pantai. Air pun sudah naik pasang. Perasaannya terasa kosong dan terasa diri tidak dihargai. Apakah ada sebegini nasib gadis sepertinya yang dinikahkan lantas ditinggalkan?
Ah, memang dia tidak mampu hendak menerima keadaan itu. sakit hatinya namun apakah hatinya yang sakit ini dapat dikurangkan dengan hanya tidur dan berdiam diri? Ah, sukar dia. Sukar dia hendak menentukan rasa sakit ini. Akhirnya dia tertidur pada malam itu dengan perasaan yang haru biru.
            Pada waktu tengah malamnya dia tersedar. Dia bertemu dengan suaminya sendiri. Mereka bertemu di sebuah taman yang indah. Akhirnya dia terbangun dengan seluruh tubuhnya menggeletar. Mungkin tidak percaya akan kejadian itu.
            Dia tidak dapat lagi tidur selepas itu. Akhirnya dia mengerjakan solat Isyak yang belum sempat dia laksanakan tadi. selepas itu dia melaksanakan solat taubat, solat istikhorah dan sulat hajat. Kemudian dia bertafakur di atas sejadahnya.
            Dia memohon kepada Allah, jika benar jodohnya dengan suaminya Syed Budriz, dia memohon agar dia diberikan kemudahan dan keberkatan dalam hidupnya yang singkat ini. Tetapi seandainya suaminya sekarang ini bukan jodohnya, dia memohon juga agar dipermudahkan urusan mereka dan dipisahkan mereka secara baik.
Dia tidak mahu diberikan derita begini. Takkan dah kahwin tetapi hidupnya masih sendiri? Bukankah pernikahan itu menjadikan dia melaksanakan satu lagi tanggungjawab? Sekarang ni tanggungjawab apa yang dia nak buat? Dia tidak tahu bagaimana nanti mahu bercerita dengan ibu bapa mereka mengenai hal ini. Dia memohon keampunan kepada Allah.
Sesudah solat Isyak dan Solat hajat dan solat taubat, dia meneliti telefon bimbitnya. Dia tepuk kepala. Dia sudah terlupa menghubungi ibu bapanya sewaktu dia sampai tadi. dia juga terlupa mengaktifkan semula telefonnya. 30 miss called dari emaknya.
‘Alamak! Kasihan pula mak!’ bisiknya. Telefon masih ditelitinya. Dia melirik jam di telefonnya. Sudah jam 4.00 pagi. Dia tidak mahu mengganggu emaknya. Pasti emaknya penat. Dia pun mengecas telefonnya dan hendak tidur semula. Dia berasa masih penat setelah majlis pernikahan dan persandingannya petang tadi. namun apa yang menambah geramnya ialah sakit hati dengan kenyataan suaminya yang baru dinikahnya.
‘Patutkah dia cakap dia belum sedia nak memikul tanggungjawab? Patutkah dia nak hidup asing-asing walaupun mereka sudah sah nikah? Eh lelaki tu mukanya aje kacak tapi harap mukanya aje! Perangai hampeh!’ bisiknya sendirian. Dia masih geram dengan lelaki itu. wajah seperti iras Remy Ishak itu memang mengagumkannya. Wajahnya agak cerah dan kemerahan. Sekali pandang pun memang dia sudah jatuh suka. Ah, hanya suka bukan cinta! Tolaknya sendiri. Sebenarnya dia geram. Geram kepada lelaki itu.
Patutnya dia tolak sahaja lelaki itu. patutnya dia tolak sahaja permintaan ibu bapanya hendak menikahkan dia. patutnya dia tunggu sahaja lelaki yang sekerja dengannya meluahkan perasaannya dan mengajaknya menikah. Ah, dia kenapa mahu menerima desakan ibu bapanya? Dia masih muda. Kalau dah berumur pun apa salahnya. Dalam zaman moden ini, banyak gadis yang tida kahwin-kahwin, tak apa-apapun! Hanya ibu bapanya yang agak konvensional dalam hal-hal nikah kahwin ini. kawan-kawan sekerjanya ramai lagi yang tua daripadanya dan belum kahwin. Apa masalahnya? Dia tidak nampak masalah. dia nampak kegembiraan. Dan, dia yang tidak diakui isteri oleh suaminya hendak buat apa? Buat derk ajelah! Dia takkan ubah statusnya di pejabatnya. Dia takkan buat deklerasi yang dia sudah bernikah dan menjadi isteri. Dia peduli apa! Bisiknya masih geram.
Ah, sepatutnya dia sendiri sudah maafkan kerenah suaminya yang mahu hidup asing-asing dengannya. Mungkin sudah ditakdirkan hidupnya begini. Mungkin sudah ditakdirkan dia harus begini entah sampai bila. Tidak diakui suami dan hidup tetap begini! Namun, dia bertuah kerana dia masih begini. Tidak ada perubahan pun! Jadi, dia perlu buangkan rasa geram itu menjadi sebuah rasa syukur kepada Allah yang telah memberikan dia kehidupan begini. Dia tidak harus berasa geram dan mennagis dan terus menangis lagi. Cukuplah tiga jam yang lalu dia menangi tersedu-sedu kerana nasibnya yang tidak sama dengan isteri-isteri yang lain yang bahagia. Cukuplah!
Mulai esok dia harus meneruskan kehdupannya. Takkan dia mahu memilih untuk derita? Tidak! Dia memilih untuk meneruskan kehidupannya sebelum ini, bahagia dengan kawan-kawan sekerjanya dan kawan serumahnya. Rosnah! Ya Rosnah yang kini membawa pelajarnya ke Kundasang. Entah-entah dia sedang meratah strawberi di sana. Entah-entah dia ada bawa sebakul strawberi untknya. Siapa tahu!
Dia memilih untuk tersenyum dan kembali menyambung kehidupannya mulai minggu depan. Sehingga hujung minggu ini dia akan berada di sini, di resort ini. bukan selalu dia dapat duduk di sini. Selalunya hidupnya sibuk dengan tugasannya seharian. Dia rsa sibuknya mengalahkan perdana menteri pula. kalah ahli perniagaan paling terkaya di Malaysia ini.
Ah, kesibukan? Ya, dia pekerja yang setia dan workoholic. Yes, dia harus menyambung tugasnya. Mungkin semua perkara yang berlaku dalam hidupnya ini ada hikmahnya! Dia harus menelitinya dari sudut yang positif. Ya dia mahu kembali merancakkan hidupnya dalam kesibukan seperti mana Rosnah. Ya Nur Rosnah, kawan baiknya yang ceria dan gila kerja. Mereka ada persamaan tetapi tetap ada perbezaannya.
“Selepas ni tak dapatlah aku banyak masa dengan kau! Kau akan berkahwin. Pasti kau akan untukkan banyak masa untuk suami terchenta kau!” kata Rosnah. Dia tersengih. Dulu dia jawab lain.
Sekarang dia akan jawab begini, ‘Suami aku sibuk dengan kerja dia. aku pun kena sibukkan diri selagi kami belum ada anak!’ itulah yang akan dijawabnya nanti apabilal Rosnah bertanya mengapa dia tidak tinggal sebumbung dengan suaminya.
“Ya, aku kena selalu ada di sisi suami aku. Aku kan isteri mithali!” itulah jawapannya yang masih segar dalam ingatannya. Dia cemuh dirinya. Belum tahupun suaminya mahu terima dia atau tidak pada masa itu. masa itu dia pun belum nikah dengan suaminya itu.
“Baguslah tu! Aku doakan kau bahagia dan cepat dapat timang anak!” kata Rosnah lagi. Dia terus cubit paha Rosnah. Baru padan muka!
“Aku muda lagilah!” katanya.
“Mana ada! Kau dah tualah!” kata Rosnah mengusiknya. Mereka berkekekan ketawa. Gembira sungguh pada masa itu. Sekarang, gembira dan ketawa itu sudah hilang. Yang ada hanya sebuah kesedihan dan bersedia menghadapi hari sibuk seperti biasa!

“Ah, tidurlah!” katanya yang sudah menguap beberapa kali. Dia membaca al fatihah dan mula melelapkan matanya. oh lupa! Dia terbuntang mata pula. dia mengambil telefonnya dan memberitahu emaknya yang dia sudah sampai di Kota Kinabalu dengan suaminya. Dia rebahkan diri ke katil queen saiz itu. 

Friday, July 18, 2014

Novel Salwa Maisara Bab 9

Bab 9

“Apa sudah jadi ni Sulaiman?” Sulaiman garu kepala apabila ditanya mengenai bilik pejabatnya yang sudah digeledah. Sulaiman sudah menyusun separuh daripada fail-fail yang bertimbun di atas mejanya itu. Separuh lagi masih di sekeliling mejanya. Apa yang menjadi tanda tanyanya ialah tidak ada kesan-kesan bilik itu dirosakkan. Apakah ini perbuatan orang dalam? Soalnya dalam hati. Perasaannya tidak tenang sejak diberitahu mengenai kejadian pecah masuk ini. ahu sahaja semalam dia terbang ke sini.
Namun, acara penting dalam hidupnya yang telah diatur oleh ibu bapanya terpaksa juga diturutinya. Jika ikutkan hatinya yang geram, dia tidak akan mengikuti kemahuan ibu bapanya yang menjodohkannya seperti perkahwinan orang tua dulu-dulu. Zaman moden ini apakah kahwin atas telunjuk ibu bapa masih ada? Soalnya  mengenang perkahwinannya yang baru berlangsung.
            “Tak tahu bos, saya hanya diberitahu oleh pengawal keselamatan, ada alarm di bilik bos ini berbunyi.” Kata Sulaiman menerangkannya. Berkerut dahinya. Terbang separuh semangatnya. Dia tenung anak mata nakal pembantunya itu. Namun dia tidak mendapat jawapannya di situ. Dia tidak dapat mempercayai sesiapa dalam hal ini.
            “Aku tahu ni kerja orang dalam,” katanya membuat andaian.  
            “Kita kena siasat bos,” dia angguk. Mukanya masih masam.
            “Aku tahu ini kerja orang dalam! Siapa yang ada pegang kunci bilik aku? Siapa?” soalnya macam orang histeria. Sulaiman menggeleng. Dia juga tidak ada memegang kunci bilik majikannya ini.
            “Sejak akhir-akhir ini kita memang banyak pesaing bos,” Syed Budriz renung mata Sulaiman. Bagai direnggut jiwanya.
            “Siapa beritahu kau hal ni?” soalnya dengan nada sinis. Tidak ada sesiapa yang dipercayainya sekarang. Sulaiman berjalan-jalan di sekitar pejabat ketuanya itu. Bagi Sulaiman, bos barunya ini agak garang berbanding dengan ayahnya Datuk Badaruddin yang agak baik hati.
            “Err,pemerhatian saya saja bos, saya pun tak sure lagi” kata Sulaiman. Dia menyengih memandang Sulaiman.  
            “Ini yang aku tak suka! Kau selalu nak berahsia dengan aku! Kau bukan nak beritahu apa yang sedang berlaku!” katanya. Sulaiman menggeleng. Selama ini memang Sulaiman orang kepercayaannya di pejabatnya ini. Sulaiman adalah sepupunya yang agak jauh dan dihantar ke sini semata-mata untuk membantunya mengendalikan syarikatnya di sini oleh papanya.  
            “Maafkan saya bos,” kata Sulaiman. Dia menyengih lagi. Asyik-asyik nak minta maaf.
            “Mungkin saya agak sibuk ke Kuala Lumpur sejak akhir-akhir ini. Ini papa punya fasal, nak sangat buat rancangan dia!” bentak Syed Budriz menyalahkan papanya pula. Papanya pula seperti kehabisan perempuan yang hendak dijodohkan dengannya. Perempuan yang kampungan juga yang diberikan kepadanya. Kalau Juliana lainlah! Sulaiman hanya tersengih. Dia sudah tahu apa yang berlaku kepada sepupunya itu. Dia hanya mendiamkan diri.
            “Nanti kita buat jamuan sikit bos,” kata Sulaiman memberikan cadangan. Berkerut dahinya.
            “Jamuan apa pula?” soalnya rasa pelik. Sulaiman sengih lagi.
            “Jamuan untuk sambut isteri bos dan kenalkan dengan staf-staf kita di sini,” kata Sulaiman. Berderau darahnya mendengar cadangan itu.
            “No! No! Aku takkan buat macam tu! Perempuan kampung tak guna yang papa nak aku buat bini! Memang aku tak naklah Man!” katanya terlajak kata. Sulaiman berasa pelik.
Kalau di depan papanya bukan main lagi dia diam dan mengangguk-angguk. Tetapi kalau di belakang papanya, bukan main lagi dia memburukkan papa dan isteri yang baru dinikahinya. Hairan dia. apakah ada perjanjian di sebalik pernikahan? Maksudnya, perjanjian antara Syed Budriz dan papanya Syed Badaruddin? Sulaiman tidak tahu dan tidak mahu tahu.
“Sabar bos,kena selalu bersyukur dengan apa yang kita ada!” kata Sulaiman. Marak mata Syed Budriz.
“Eh, aku mahu kau cari cara penyelesaian bukan cari cara aku nak kenalkan kamu dengan budak kampung tu!” katanya geram dengan kata-kata Sulaiman. Sulaiman ketawa kecil.
            “Kita upah penyiasat bos,” kata Sulaiman.
            “Kau senanglah cakap! Tapi benda yang orang curi tu projek baru, projek besar di Indah Mesra, kau tahu?” katanya mencerlungkan matanya ke arah Sulaiman yang agak kurus itu. Sulaiman angguk. Memang dia tahu. Proposal itu memang penting.
            “Kita siasat sendiri bos,” kata Sulaiman pula. Dia menggeleng. Dia hanya mahu tahu keadaan pejabatnya. Malam ini dia akan memikir lagi. Apakah yang sepatutnya dilakukannya? Dia juga harus memaklumkan dengan papanya di Kuala Lumpur.
            “Esok kita bincang!” katanya. Sulaiman pula kerut kening nipisnya. Apa yang terjadi? Soalnya hairan.
            “Esok Ahad bos,” kata Sulaiman. Dia tajamkan mata ke arah Sulaiman. Hairan dia. Apakah pekerjanya ini malas atau sengaja nak curi tulang? Bukankah dia boleh berikan overtime? Berapa sahaja dia mahu dia akan bayar.
 Ah, mungkin dia mahu bersama dengan anak dan isterinya. Dia? ah, susah! Dia belum mahu tumpukan komitmen terhadapa isteri yang dia nikahi. Dia masih mahu enjoy! Jadi, persoalannya dengan Salwa Maisara harus diketepikan dahulu. Dia tidak mahu terikat. Dia masih muda. Setahunya  gadis itu juga masih muda. Setahunya, ibu bapa mereka tidak akan tahu apa yang mereka buat di sini. Ibu bapa mereka jauh di Kuala Lumpur. Itu yang agak melegakannya. Itu yang dia suka. Jangan sahaja ibu bapa mereka tiba-tiba datang ke Kota Kinabalu dan membuat spotcheck ke atas mereka!
Memang kantoi! Ah, mudah-mudahan tidak, doanya.
“Datang esok ya, aku tambahkan lagi elaun kau,” katanya. Sulaiman sudah buka senyuman manis.
“Isteri saya bos,” katanya. Matanya membulat, macam harimau mahu menelan mangsa pun ada. Sulaiman seperti tikus di depannya.
“Kenapa isteri kau?” soalnya tidak puas hati. Inilah yang dia tidak suka kalau sudah beristeri. Isteri seperti tali yang akan mengikatnya ke mana-mana dia hendak pergi. Jadi, dia belum bersedia hendak menikah. Dia sudah memaklumkan kepada isterinya yang dia mahu hidup asing-asing. Jika tidak setuju, dia mahu juga isterinya setuju. Setuju dalam paksa!
“Isteri saya sarat mengandung bos, tak sabar nak tengok anak kami keluar. Bos tak teringin ada anak?” soalnya perlahan. Tersentak dia. Kelat wajahnya.Isterinya entah di manakah rumah sewanya? Dia menggeleng. Dia belum mahu ada anak tetapi dia sudah ada isteri walaupun mereka bersetuju untuk tinggal asing-asing. Akhirnya dia menggeleng.
“Belum, aku belum mahu ada anak!” katanya dengan jawapan yang sungguh angkuh. Bulat mata Sulaiman.
“Betul? Kahwin tetapi tak nak anak? Peliknya!” kata Sulaiman mengkritik ketuanya secara terang-terangan. Dia selamba. Memang dia tidak mahu anak kalau dengan isteri kampungannya itu. Dia belum mahu!
“Aku tahu lah apa aku nak buat! Kau jangan sibuk boleh?” pintanya. Sulaiman mengangguk. Faham dengan kerenah sepupunya yang agak pelik dan ego itu.
Dia juga belum mengumumkan kepada semua pekerjanya yang dia sudah menukar status dirinya. Ah, leceh! Nanti semua orang terkejut yang isterinya bukan Natalia, kekasihnya.
“Ah, aku tahu sangat perempuan, kalau banyak duit kau banyaklah sayang dia!” katanya membuat anggapan kepada perempuan. Sulaiman tersengih dan menggeleng.
“Tak semua perempuan begitu bos! Kena cari yang beriman dan baik keturunannya!” katanya. Dia tenung lagi wajah kering itu. Pandai pula  sayangkan isteri?
Dia? tinggal asing-asing dan isterinya disuruh balik sendiri! Lelaki apa dia ni? Ah, dia tidak mahu sakit kepala memikirkan isteri yang baru dinikahinya itu. Dia tahu gadis itu juga tidak mahu komitmen yang banyak buat masa ini. Biarlah dia dulu. Katanya memujuk hati, menyejukkan jiwanya yang resah.
“Kenapa pula kau tak setuju? Kau tak setuju kalau aku cakap perempuan sekarang mata duitan?” Sulaiman geleng. Isterinya Mardina dikecualikan. Selama ini dia senang dan susah, isterinya tetap sabar dengan apa juga rintangan dan dugaan rumah tangga mereka. Jadi dia tidak mahu buat dosa kering malam-malam begini. Lebih baik dia puji isterinya ada lagi pahalanya.
“Kena pandailah pilih bos,” katanya. Sulaiman macam memperlinya pula. ah, dia sedar Natalia memang mata duitan. Pantang dibawa bershopping memang habis beribu-ribu duitnya. Isterinya? Ah, terbayang lagi wajah ayu dan kusut itu. Tak sesen pun dia berikan wang belanja tadi. Suami apakah dia ini?
“Nanti-nantilah aku belajar pilih isteri tu! Sekarang ni aku nak kita siasat apa yang pencuri tu mahu!” katanya. Sulaiman mengangguk.
“Saya akan cuba datang esok bos, ketua-ketua jabatan yang lain bos panggil?” marak matanya. dia geleng. Benda yang agak kecil ini sebenarnya besar di mata umum. Dia tidak mahu memaklumkan hal ini kepada semua pegawai atasannya. Cukuplah Sulaiman, Ketua Jabatannya di bahagian Kewangan dan Tender. Yang lain-lain, biarlah tidak tahu.
            “Kita berdua saja!” katanya. Sulaiman angguk.
            “Kau datang tak ni?” soalnya.
            “Saya cubalah bos.” Katanya. Macam sugul wajah itu. Mungkin dia sudah berjanji dengan isterinya itu akan membawanya ke mana-mana. Dia tidak tahu!
            “Bagus! Beritahu isteri awak, saya utamakan kerjasama awak,” katanya. Sulaiman angguk.
            “Ya bos.” Kata Sulaiman lemah. Sebenarnya dia ada janji dengan isterinya. Dia ingat ketuanya ini akan balik pada minggu hadapan, rupanya tidak. Akhirnya janjinya ditangguhkan lagi.
            “Kau boleh balik.” Katanya seperti menghalau. Sulaiman angkat kaki. Dia mahu segera sampai ke rumahnya.
            “Terima kasih bos. Bos bagaimana? Kereta ada di sini?” Kata Sulaiman. Dia picit dahi. Dia terlupa pula. dia datang tadi dengan menaiki teksi limosin dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
            “Tak apa, pandailah saya nak balik!” katanya perlahan. Dia masih duduk di sofa empuknya. Dia memikir-mikir. Natalia Juliana tiba-tiba tidak dapat menemuinya. Ke mana gadis itu? Dia hubungi berkali-kali tetapi gadis itu tidak dapat dihubungi. Inilah padahnya kalau balik tergesa-gesa. Baik-baik dia pandang wajah ayu isterinya yang macam Erra Fazira, sekarang dia terpaksa pandang wajah kurus Sulaiman pula.
            “Man! Man!” panggilnya. Sulaiman sudah di hujung pintu.
            “Ya bos?” Sulaiman mendekati Syed Budriz itu.
            “Aku tumpang kau ke hotel. Aku malas balik ke rumah malam ini!” katanya tiba-tiba memikirkan kepalanya yang sarat dengan masalah.
            “Boleh bah kalau kau bos!” katanya berseloroh. Dia ketawa.
            “Err, aku nak turun tengok keindahan pantai esok. Aku nak ke Tanjung Aru Resort,” katanya. Sulaiman mengangguk.
            “Marilah bos, saya hantarkan.” dia terus mengambil beg hitamnya.
            “Saya belum makan,” katanya meramas perutnya.
            “Dah lewat ni bos,” kata Sulaiman yang memikirkan tanggungjawabnya.
            “Kita singgah makan dulu, di Atlantis Seafood,” arahnya. Sulaiman terpaksa angguk.
            “Aku belanja, kau jangan susah hati,” Sulaiman pandang jam tangannya. Sudah hampir jam 10.00 malam. Harap-harap restoran itu masih buka.

            “Saya tak kisah bos,” kata Sulaiman. Akhirnya kereta Proton Preve Sulaiman meluncur laju Restoran Atlantis Seafood. 

Wednesday, July 9, 2014

Novel Salwa Maisara Bab 8

Bab 8

Bab 8

Salwa Maisara sudah pun turun dari teksi yang menghantar dia ke Resort Shangri-La Tanjung Aru Kota Kinabalu. Mereka berpisah dengan suaminya di Lapangan Antara bangsa Kota Kinabalu. Mereka sempat bertukar nombor telefon. Sebenarnya dia tidak mahu pun memberikan nombor telefonnya kepada suaminya itu. Geram dadanya masih belum dapat diredakan sejak dari Kuala Lumpur tadi.
            “Sebut nombor telefon awak Salwa,” kata lelaki itu dengan menyebut namanya sambil bersedia dengan telefonnya yang agak besar itu. Dia menjelingnya. Malas dia mahu menyebut nombor telefonnya.
            “Buat apa?” soalnya berdolak-dalik.
            “Laa, nanti ada apa-apa abang call la.” Jawabnya. Ya Allah sakitnya hatinya mendengar kata-kata itu. Dia jeling lagi lelaki yang agak mirip dengan Remy Ishak itu. Jangan tidak berdegup jantungnya. Kalau berbunyi macam dentingan jam antik di rumah neneknya bunyi jantungnya. Ah, apakah makna debaran ini?
            “Kenapa pula renung abang macam tu?” dia mengelip-ngelipkan matanya. Seolah-olah termasuk habuk ke dalam matanya ini.
            “Tak de. Takde! Mata masuk habuk!” katanya mengusir serba-salah kerana ditanya spontan oleh suaminya.
            “Nombor awak, bagi nombor awak kat saya!” pintanya lagi seperti terdesak. Dia terpaksa menyebut nombor telefonnya. Susah dia kalau berlama-lama di sisi lelaki ini.
            “Awak balik rumah dulu ya.” Kata lelaki itu mengarahnya. Dia angguk namun mukanya agak masam, semasam buah lemon hijau.
Wajah lelaki itu pula semakin bertambah-tambah serinya sejak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu ini. Sakit hati pun ada, nak menangis pun ada. Sukar dia hendak menerangkan perasaan seorang isteri yang tidak dihargai ini. Malah baginya, lebih baik dia diceraikan sahaja selepas lafaz nikah tadi. Sayu hatinya.
            “Ya.” Katanya mengangkat begnya. Longlai langkahnya. Dia tidak menyangka setelah status hidupnya berubah, begini pula nasibnya. Memang nasib tidak baiklah! Bisiknya agak sedih.
            “Nak balik mana lepas ni?” soal lelaki itu. Bertambah sakit hatinya mendengar soalan itu. Dia tidak mahu kawan serumahnya hairan dengan kehadirannya yang tiba-tiba setelah mengesahkan yang dia akan balik hujung minggu depan. Sebak dia seketika. Namun dia tidak perlu hamburkan semua sebaknya kepada lelaki yang tidak ada perasaan itu.
            “Saya nak balik rumahlah! Balik mana lagi?” katanya terpaksa membohongi lelaki itu. bulat mata lelaki itu memandangnya. Takkan dia tidak percaya?
            “Abang?” soalnya. Dia jenis yang agak penyibuk juga.
            “Abang akan ke pejabat dulu, tengok apa yang berlaku sebenarnya,” kata suaminya itu. Dia angguk. Sebenarnya dia bimbang keselamatan lelaki itu. takkan malam-malam ini hendak pergi ke pejabat? Sepatutnya tunggulah esok.
            “Salwa tak perlu bimbang, ada orang abang akan tunggu di pejabat nanti,” bagaikan gugur jantungnya. Lelaki ini bagaikan ada sixth sense pula. terkejut dia.akhirnya dia angguk dan tidak mahu memanjangkan lagi soalannya dan apa-apa anggapannya. Dia sudah mengangkat tangan kepada pemandu teksi tadi dan akan mengakhiri pertemuan mereka pada hari ini.
“Nanti kalau abang ada masa abang call awak,” katanya. Dia angguk. Tidak ada gunanya pertemuan jika begini.
“Ikut awak aje!” jawabnya.
“Berikan abang masa,” katanya lagi. Salwa Maisara tidak ada pilihan, dia mengangguk. Hendak bertekak dengan lelaki ini pun tidak ada gunanya. Akhirnya dia mahu sahaja masuk ke perut teksi, sakit kepalanya sudah memberat hingga ke matanya.
“Kalau perlu,” jawabnya sebelum masuk ke dalam teksi. Pemandu teksi tidak pula terus bergerak. Mungkin menunggu lelaki itu bercakap.
“Ya kalau perlu nanti kita jumpa,” kata lelaki itu. dia angguk. Dia mengarahkan pemandu teksi berbangsa Cina itu terus sahaja bergerak ke destinasi yang sudah dia sebutkan. Ketika dia sudah sandarkan tubuhnya di kerusi sederhana empuk teksi itu, air matanya meluncur bagaikan air yang gugur di tikungan rumah neneknya di kampung. Alangkah sakitnya diperlakukan seperti ini. namun dia memang tidak ada pilihan.
“Itu lu punya boy friend ka amoi?” soal lelaki Cina itu. dia buka matanya sambil memicit kepalanya yang semakin sakit itu. ‘Boy friend?’
“Hmmm,” dia malas mahu berterus-terang.
“Tak balik sama amoi?” soal lelaki seusia ayahnya itu.
“Tak!” katanya menolak sangkaan lelaki itu. Masam mukanya mendengar tuduhan itu. Dan, tangan lelaki itu pun tidak disalam dan diciumnya tadi. Dia memang sudah lupa akibat marahkan lelaki itu dalam diam. Ah, dalam diam ada api!
“Dia kerja mana?” soal pemandu itu lagi. Salwa Maisara geleng-geleng. Dia malas mahu melayani lelaki Cina yang agak penyibuk itu. Mungkin itu satu caranya untuk menarik pelanggannya. Tetapi dia malas mahu bercakap. Sudahlah kepenatan dengan persediaan perkahwinannya. Sekarang terburu-buru pula balik semula ke Kota Kinabalu tanpa ada rehat yang cukup.
“Ntah, di satu syarikat swasta!” jawabnya dengan wajah yang masam.
“Oh... oh begitu!” kata lelaki itu lagi. Lega dia kalau tidak menanyakan soalan yang agak menyakitkan hatinya. Mendengar lagu-lagu Cina yang berkumandang, dia terus memejamkan matanya. Biarlah lelaki Cina itu dengan dunianya, dia sudah malas mahu menjawab pertanyaannya. Dia mahu tidur seketika.
“Amoi, sudah sampai,” kata pemandu teksi itu. Sebaik membayar tambang teksi dia terus ke bahagian pendaftaran masuk ke Resort Shangri-La Tanjung Aru itu.
 ***
“Eh, kat manalah anak aku ni? Tak datang-datang agak ke KK?” soalnya dengan perasaan yang sangat susah hati. Dia melihat jam di dinding rumahnya. Sudah jam 12.30 pagi rupannya. Namun anaknya Salwa Maisara mahu pun menantunya tidak ada memberikan khabar kepada mereka. Entah mereka sudah kepenatan atau apa, atau sudah tidur?
            “Zue, marilah kita tidur. Apa pula Zue asyik-asyik nak menelefon Salwa tu. Tahulah, mereka kan sudah suami isteri, apa lagi yang kita nak susahkan hati?” kata suaminya Encik Abdul Malik. Kadang-kadang lelaki itu tertidur di lihatnya tetapi masih juga mahu bercakap.
            “Anak kita bang, tak pun hubungi kita! Entah apa sudah jadi kat dia!” kata Puan Zuriah kepada suaminya yang sudah mahu tidur. Suaminya menyengih.
            “Awak ni macam tak faham-faham. Mereka kan baru kahwin.” Kata suaminya.dia diam. Tetapi dia pelik. Anak gadisnya itu sampai di mana-mana pasti akan menelefonnya. Kenapa baru sahaja bersading petang tadi dia sudah tukar tingkah? Eh, tak percaya dia. selepas itu tangannya sibuk pula menulis mesej untuk anaknya. Dia mahu tahu di manakah anaknya dan menantunya itu sekarang. Dia hairan kalau-kalau anaknya itu menyimpang ke tempat lain. Eh, kenapa pula sangka macam tu? Bukankah anaknya sdah kahwin? Pastilah anaknya itu dengan suaminya kan? Dia geleng kepala. Hairan dengan prasangkanya sendiri.
            Akhirnya dia tutup telefon dan mahu mengambil wudhuk. Dia mahu solat hajat dan mendoakan keselamatan anak-anaknya.


Happy Reading...

Wednesday, July 2, 2014

Novel Salwa Maisara Bab 7

Bab 7

“Kenapa asyik menangis ni Zue?” Puan Zuriah menangis teresak-esak selepas pemergian anaknya. Dia tidak menyangka anaknya dan menantunya akan pergi selepas sahaja mereka bersanding. Sedih betul dia. Sedih mengenangkan anak gadisnya yang seperti dicuri orang. Baharu sahaja selesai menikah dan bersanding sudah dibawa balik ke Kota Kinabalu.
            “Sedih lah bang. Anak orang lain lepas nikah, adalah ditengok-tengok dipandang-pandang. Anak kita apa? Bilik dah kosong, pelamin tinggal nak bongkar esok! Sedihnya saya bang!” ratapnya perlahan. Suaminya mana tahu kesedihannya. Mungkin suaminya juga sedih tetapi tidak akan sama dengan kesedihan yang dihadapinya. Dia tahu perasaan lelaki tidak sama dengan naluri seorang ibu sepertinya.
            “Sudah-sudahlah tu, jangan terlalu sedih. Anak kita dah ditakdirkan begitu. kalau tahu hari tu, tak payah kita setuju kahwinkan dia dengan anak kawan abang tu,” kata Encik Abdul Malik dengan wajah tegang melihat dia yang masih bersedih. Bukan begitu maksudnya.
            “Abang memang gitu! Asyik-asyik menyesali apa yang sudah kita buat. Saya sedih aje bang. Sedih melihat anak kita yang seperti dicolek tu!” katanya membetulkan persepsi suaminya. Suaminya ketawa. Mungkin kata-katanya agak lucu.
            “Biarkanlah dia dicolek suaminya sendiri.” Kata Encik Abdul Malik. Geram Puan Zuriah dengan sikap suaminya yang sambil lewa itu. terkenang-kenang dia akan anaknya Salwa Maisara yang sudah meninggalkannya secara tergesa-gesa bersama suaminya petang tadi. sayu merantai hatinya saat ini.
            “Tetamu kita masih ramai lagi di luar tu sayang mak Salwa. Sepatutnya kita ke luar lah, jangan nak macam ni! Tak lama lagi kita nak solat Maghrib lah pula. kenapa sayang nak menangis-nangis lagi ni! Sudah-sudahlah tu sayang!” kata Encik Abdul Malik lagi. Dia faham dan akur dengan arahan suaminya. Dia sendiripun menasihati anaknya agar menghormati suaminya. Dia sendiri pun memberitahu anaknya betapa isteri yang baik itu sentiasa di sisi suaminya. Itulah sebabnya anaknya Salwa Maisara itu memahami akan apa yang telah dia katakan. Ah anak gadisnya memang ikut cakap. Syukurlah dia kepada Allah kerana mendapat anak yang sungguh-sungguh mendengar cakap ibu bapanya. Dia tidak menyesal.
            “Ya bang, saya faham. Tapi saya nak hubungi anak kita tu, dia sekarang dah sampai di mana,” katanya mengambil telefon bimbitnya di dalam beg tangannya.
Suaminya hanya menggeleng melihat gayanya. Dia bukan hendak mengingkari kata-kata suaminya itu tetapi dia sangat prihatin kepada anaknya yang seorang itu. dia berharap menantunya itu akan dapat menjadi suami yang terbaik kepada anak gadisnya tetapi pada masa ini dia belum dapat menyerahkan harapan itu seratus peratus kepada Syed Budriz.
Dia menggeleng-geleng pula. bertambah sedih hatinya mendengar balasan di telefon bimbitnya. Anaknya tidak dapat dihubungi. Sejam yang lalu anaknya ada memberitahunya yang dia akan berangkat ke Kota Kinabalu dalam sejam lagi. Sekarang dia tidak dapat dihubungi pula.
“Kenapa? Tak dapat?” soal suaminya yang masih memerhatikannya di bilik itu. Dia angguk. Memang anaknya tidak dapat dihubungi. Menantunya pula langsung dia tidak tahu apakah nombor telefonnya. Ah, benar-benar dia beranggapan yang anaknya itu seperti diculik oleh pengganas! Eh, minta dijauhkan malaikat 44.
“Tak dapat bang!” kedengaran ketawa kecil suaminya.
“Mereka masih dalam perjalananlah tu! Eh, sayang awak rehat-rehat lah dulu! Entah-entah mereka sedang berehatkah, dan sengaja matikan telefonnya,” nasihat suaminya. Bertambah sedih hatinya.
“Ya lah bang! Mungkin Wawa penat lah tu! Suaminya tu pun nampak penat juga saya tengok!” katanya sendiri. Suaminya mengangguk. Sebenarnya dia masih bersedih lagi. Namun, terkenangkan saudara-mara yang datang dari jauh dan dekat dan membantunya di rumahnya ini, dia segera keluar dari biliknya. Walaupun kepenatannya tidak dapat dikira dengan tangan, namun dia harus melihat-lihat juga saudara-maranya itu.
Dia terbayang lagi akan anak gadisnya itu. Kononnya suaminya ada hal penting di sana, hal kerja katanya. Kalau ikutkan hati tuanya yang sangat menyayangi anak gadisnya itu dia tidak mahu melepaskan anaknya itu mengikuti suaminya ke Kota Kinabalu. Dia mahu sahaja anaknya itu mengikut kemudian. Bukan hari ini, bukan saat tadi itu. Sekarang dia hanya memandang bilik pengantin berwarna putih dan merah yang sudah kosong, pelamin berlatar belakangkan putih dihiasi bunga-bunga putih dan merah yang sudah tinggal sebagai kenangan. Kenangan anaknya pernah duduk di kerusi pelamin indah itu bersama menantunya yang duduk bagaikan tunggul dan kaku bagaikan ais batu.
Ah, susah dia hendak mengata, lelaki yang bernama Syed Budriz itu anak menantunya juga, suami kepada anaknya dan kelak ayah kepada cucunya. Namun, nalurinya selalu tidak berbohong, dia tidak begitu berkenan dengan sikap menantunya yang agak keras macam kayu di hadapan para tetamu yang meraikan hari bersejarah mereka tadi. Nasib baik bukan anak lelakinya.kalau anak lelakinya sudah dipicit-picitnya dagu runcing tajam itu agar tersenyum manis kepada tetamu. Namun apakan dayanya, Syed Budriz itu hanya menantunya. Menantunya yang pertama. Jadi dia hanya mampu memandang tanpa mampu bersuara.  
“Kan bagus kalau keluar berbual-bual dengan saudara mara, taklah abang risau!“ kata Encik Malik. Dia geram dengan suaminya. Namun dalam diam dia berdoa agar anaknya itu akan selamat. Selamat dunia akhirat.
“Abang ni pandai je tau!” katanya perlahan ketika dia sudah di ambang pintu bilik mereka.
“Memang pandai! Kasihan lah saudara mara kita. Berikanlah makanan atau masakan apa yang patut. Kasihan mereka penat membantu kita!” kata Encik Malik. Dia angguk. Dia juga faham akan orang-orang yang telah membantu meringankan tugasnya semasa majlis pernikahan dan persandingan anaknya ini.
 ***
“Budriz dah balik?” soal besannya, Datin Syarifah Fauziah di hujung talian. Kebetulan dia keluar, telefon rumahnya berbunyi.
            “Ya Allah Datin, memang Budriz dah pergi ke Kota Kinabalu lepas bersanding tadi. lepas mereka solat Asar mereka pergilah!” jawabnya.
            “Laa, awalnya. Ingatkan kami nak pergi sana semula nak lawat dia. rupanya dia dah balik ke KK tadi.” kata Datin Syarifah Fauziah.
            “Kalau Datin nak datang, silakanlah, rumah kami ni masih terbuka,” katanya berbasa-basi.
            “Salwa ada tak?” bulat matanya. Mungkin menantunya tidak   menghubungi ibu bapanya. Tetapi mustahil pula mereka tidak tahu.
            “Salwa ikut sama Datin. Itu yang sedih sikit tu!” katanya berterus-terang dengan besannya. Ada ketawa kecil di hujung talian.
            “Sabarlah Zue, nanti-nanti kita lawatlah mereka di KK tu. KK bukannya jauh. Terbang dua jam sampailah kita.” Kata Datin Syarifah Fauziah seperti memujuknya pula. Dia turut ketawa kecil. Memang dia berjanji akan melawat anaknya itu nanti. Namun dia belum tahu bilakah dia akan pergi ke Kota Kinabalu.  Belum terbayar rindunya kepada anak gadisnya itu.
            “Ya Datin, nanti kita pergi ke KK sama-sama. Saya ni pun risaukan anak saya tu! Maklumlah dia tu muda lagi. Masak nasi pun tak berapa nak pandai!” Datin Syarifah Fauziah ketawa kecil lagi. Datin Syarifah Syarifah Fauziah yang dikenalinya seorang wanita yang sangat pandai menjaga tingkahlaku. Dia sendiri tertarik dengan sikap Datin  Syarifah Fauziah melayani keluarganya. Namun dia tidak tahu bagaimana pula dengan layanan menantunya Syed Budriz kepada anaknya Salwa Maisara.
            “Sabarlah Zue. Ada masa nanti kita akan sampai di depan pintu rumah mereka,” kata Datin Syarifah Fauziah seperti memujuknya.
            “Ya Datin. Sama-sama kita berdoa agar panjang umur kita dapat kita berjumpa anak menantu kita tu!” katanya pula.
            “Elok kalau kita pergi sana selepas sebulan lebih mereka kahwin, jadi dapat lah kita tahu, kita dah dapat cucu atau belum!” pakat Datin Syarifah Fauziah perlahan seperti berbisik-bisik dengannya.
            “In sha Allah Datin. Mudah-mudahan ada berita gembira untuk kita dalam sebulan dua ni! Nanti kita rancang dulu perjalanan kita Datin,” katanya perlahan.
            “Kalau macam tu esok-esok lah kami ke situ Zue. Zue pun mesti penat,” kata Datin Syarifah Fauziah.
            “Bila-bila aje Datin nak datang sini, pintu rumah kami ni sentiasa terbuka untuk Datin!” katanya perlahan. Setelah bersalaman di talian dia meletakkan gagang telefon rumahnya. Dia berharap dan berdoa agar anaknya dan menantunya akan memberikan khabar gembira nanti.