Friday, May 8, 2015

Novel Saat Cinta Membara Bab 12

Bab 12


Masih panas hatinya mendengar pengakuan lelaki muka beku ini tadi. Masuk ke kereta pun  masih dia tidak mampu tersenyum. Ketat wajahnya. Dia pun perasan kalau pemandu teksi itu asyik-asyik memandang ke arah belakang melalui cermin depannya. Dia pula masih dengan muka masam macam jeruk mangga. Pasti lelaki ini sudah berkomplot dengan ibu dan mamanya untuk menemui dia. Ibu pula ada menghantar sms kepadanya. Malas dia hendak melayan. Ibunya suka sangat dia menjadi isteri kepada lelaki muka beku ini. Sejak dari bangku sekolah lagi ibunya menyukai anak saudaranya ini. Sedangkan dia membenci lelaki ini sejuta kali. Ibu pula menyukai lelaki ini sejuta kali suka. Entah apa yang lelaki ini pakai sehingga ibu dan ayahnya menyukai lelaki muka beku ini.
            “Lepaskan tangan saya.” Pintanya sambil berbisik kepada lelaki ini. Takut pemandu teksi yang matanya jalang itu terperasan dengan sikap mereka.
            “Sayang...” kata lelaki itu. Makin dia meluat. Mereka bertentangan mata tetapi dia rasa macam mahu telan sahaja lelaki ini. Tubuhnya sudah didekatkannya kepadanya. Dia pula mengecilkan tubuhnya, semakin pula lelaki ini menghimpitnya. Memang nak kena suaminya ini. Bisiknya geram.
            “Jangan nak bersayang-sayang tahu! Tak faham ke saya tak suka kan awak? Tak faham? ” katanya. Lelaki itu tersengih-sengih. Macam kerang busuk pula dia rasa. Agak berdebar jantungnya. Namun dia belum lagi hendak menerima lelaki ini dalam hidupnya.
            “Abang memang sayang isteri abang ni tahu! I love you!” bisiknya.
Semakin memijar mukanya. Tidak pernah lelaki ini seberani ini kepadanya. Percaya tak, lelaki ini tidak pernah bertegur sapa semesra ini dengannya selama mereka sudah menikah. Dia juga sering mengugut lelaki. Kenapa baru timbul keberaniannya sekarang? Bukannya malu tetapi kerana geram yang semakin meningkat. Kalau di rumahnya mahu dia tinggalkan lelaki ini sendirian di ruang tamu.
            “Hendak ke mana destinasinya encik?” tiba-tiba pemandu teksi mencelah. Dia terus memandang ke depan. Wajahnya masih kelat dan lelaki di sisinya ini masih tersenyum kepadanya.
            “Hotel Grand Millennium pak cik.” Kata lelaki ini selamba.
Dia diam. Hotel yang disebut suaminya sangat pelik pada pendengarannya. Di mana pula tempat yang dimaksudkan suaminya? Dia sendiri memikir-mikir. Tadi, dia tidak jelas mendengar di manakah hotel yang disebut oleh suaminya ini.
            “Oh area Bukit Bintang, pak cik kena ikut Jalan Bukit Bintang ni encik.” Kata pemandu teksi itu. Lelaki itu memusingkan stereng keretanya.
            “Kat mana tu?” dia macam orang bingung pula. Dia bertanya kepada lelaki ini. Lelaki ini tersengih. Macam sengaja hendak mempermainkannya. Setahunya kawasan Bukit Bintang memang kawasan orang kaya-kaya sahaja. Dia pun sendiri tidak pernah menjejak itu.
            “Tak perlu risau lah sayang. Abang nak yang terbaik untuk sayang. Maafkanlah abang... selama ini abang tak pernah jenguk sayang di sini.” Kata lelaki itu seperti rasa bersalah. Ada dia kisah? Dia tidak pernah kisah pun sebenarnya. Malah dia sendiri mahu lelaki muka beku ini tidak datang menjenguknya di sini.
            “Mana-mana awaklah! Kalau saya lagi selesa kalau balik rumah sewa aje. Lagipun saya nak kemaskan barang saya. Saya nak balik ke kampung minggu depan.” Katanya. Selepas membersihkan rumah sewanya dia mahu balik ke kampung. Dia mahu berehat panjang kalau boleh. Selama ini dia sibuk memerah otaknya.
            “Memang sesuailah tu sayang. Abang memang tak sabar tunggu sayang balik. Kalau boleh biarlah kita balik sama-sama.” Kata lelaki itu bertambah menyakitkan hatinya.
            “Saya takkan balik ke rumah awak.” Katanya sengaja menekan suaranya. Rumah lelaki ini di kampung. Dia memang tidak sedia hendak duduk di kampung dengan keluarga mentuanya. Lelaki itu ketawa.
            “Takkan abang nak tinggal di rumah ibu bapa sayang pula. Nanti apa kata ibu bapa sayang.” Bisik lelaki itu. Dia menjeling lelaki ini. Mahu sahaja dia cubit lelaki ini kalau dia buat yang bukan-bukan nanti.
            “Awak nak ke tinggal dengan saya yang dah kotor ni?” soalnya sengaja memancing perasaan suaminya ini. Dia mahu kalau lelaki itu membencinya tetapi tengok dari gayanya, lelaki ini tidak kisahpun dengan dengan kesnya dengan Airil Amar.
            “Apa yang kotor nya? Memang sayang dah buat kotor dengan lelaki tadi tu ye? Tak sangka pula sayang ni... tapi abang tahu sayang memang gadis yang pandai jaga diri! Abang percaya!” katanya pula. Dia diam. Entah kenapa perasaannya tiba-tiba berdebar.  Mahu menangis pun ada. Sudah terlanjur pula dia mengaku. Nah harus terimalah!
            “Betulkah ni?” bisik lelaki itu di telinga kanannya. Meremang bulu romanya. Mahu sahaja dia marah kepada lelaki ini. Debaran di dada seakan gunung yang mahu runtuh. Matanya mahu berpinar memandang lelaki muka beku yang sudah mengenyitkan matanya ke arahnya. Mahu sahaja dia pengsan sekarang ini.
Apakah ini ilmu yang dia dapat dari pada Glasgow yang menyebabkan lelaki ini semakin menunjukkan kemesraannya sedangkan dia perlu menjauhi lelaki ini. Selama ini lelaki ini hanya menunjukkan sikap pendiamnya dan perasaannya hanya ditunjukkannya dengan pandangan tajamnya.
Ah, kenapa lelaki muka beku ini semakin berubah? Dia berharap sementara menunggu penempatannya dia mahu berehat di rumah ibu bapanya, kenapa pula lelaki ini tiba-tiba muncul dan menunjukkan kemesraannya? Mahu sahaja dia marah kepada lelaki ini tetapi mampukah lelaki ini mengambil hati dengan kemarahannya?
            “Apa ni awak ni?” soalnya sambil melarikan anak telinganya dari lelaki ini. Makin pula lelaki ini memegang kemas pinggangnya. Aduh, ke mana pula dia hendak bersasar? Lelaki ini sudah seperti gila mendekatkan kakinya ke kakinya.
            “Abang ni rindu tau, dah setahun kita tak jumpa. Siapa yang tidak rindu!” bisiknya lagi. Jantungnya kembali tidak normal alunannya. Mahu terlompat keluar pun ada.
            “Tak payah nak rindu-rindu lah! Saya tak suka tahu tak!” jawabnya.
            “Maafkan abang selama ini abang abaikan sayang. Kita sama-sama sibuk belajar kan.” Dia terdengar keluhan lelaki ini. Dia diam sahaja. Malas mahu memberikan respons kepada rayuan lelaki ini. Dia tidak mahu touching-touching dengan lelaki ini.
            “Kamu berdua ini baru bertemu ke? Couple ye?” soal pemandu teksi itu. Bertembung pandangan lelaki muka beku ini dengan pemandu teksi yang memerhatikan gelagat mereka sejak tadi.
            “Err...tak. isteri. My lovely wife,” Sahutnya lelaki muka beku ini. Pemandu teksi itu tersengih. Dia pula tarik nafas payah. Sengal sungguh lelaki ini.
            “Oh isteri maafkan pak cik. Pak cik ingatkan kamu couple tadi!” Balas pemandu teksi itu. Dia hanya membeku di dalam pelukan lelaki muka beku ini. Tidak tahu bagaimana hendak mengelak saat ini.
            “Berbulan madu lah ni ye?” soal pemandu teksi lagi. Kali ini mereka berdua pula berpandangan. Kembali mukanya kelat.
            “Ya pak cik. Baru ada masa nak berbulan madu ni. Selama ini isteri saya ini sibuk.” Jawab lelaki muka beku dengan bersungguh-sungguh. Dia pula sudah tarik muka masam. Siapa yang hendak berbulan madu dengan lelaki muka beku ini?
            “Oh patutlah begitu rapat kamu berdua ni! Tahniahlah, pak cik doakan moga-moga cepat anak berdua ni timang anak. Anak ni memang pasangan yang sesuai.” Kata pemandu teksi itu. Mahu terloncat jantungnya mendengar doa itu. Dan, pasangan sesuai? Dia mahu muntah hijau dan kuning di situ juga!
            “Ya pak cik. Memang itulah yang setiap pasangan yang baru berkahwin impikan! Terima kasih doakan kami pak cik!” kata lelaki muka beku ini. Lelaki ini sudah mendekatkan lagi kedudukan mereka. Dia hendak ke mana lagi?
            “Jangan harap aku nak mengandung anak awak!” bisiknya geram. Lelaki muka beku di sisinya ini semakin mengeratkan pelukan di pinggangnya. Dia pula semakin rimas.
            “Abang akan pastikan siapa yang akan rela mengandungkan anak abang nanti!” bisik lelaki itu dengan yakin. Dia terus cubit pinggang lelaki itu dengan sekuat hatinya.
            “Sakitlah sayang.” Kata lelaki itu mengaduh kesakitan.
            “Padan dengan muka awak!” lelaki itu ketawa. Pemandu teksi itu hanya memerhatikan tingkah laku mereka berdua.
            “Pandai sayang kan!” bisiknya pula sambil mengucup pipi kanannya. Aduh! Berliter-liter darah bagaikan menyerbu mukanya. Dia spontan pula mengelap dengan tangannya.
            “Dapat pahala kena cium suami tu sayang!” bisik lelaki itu lagi. Semakin dia geram apabila lelaki itu semakin memegang erat jemarinya.
            “Crazy man!” cemuhnya. Sebenarnya perasaannya sukar digambarkan. Seingatnya tahun lalu lelaki ini ada juga mengucup pipinya. Itu kali terakhir mereka bertemu.
            “I miss you love...” bisik lelaki itu. Entah kenapa terasa syahdu di hatinya. Kalau lelaki ini memang lelaki yang dicintainya, memang dia akan memeluk erat suaminya ini namun hatinya belum benar-benar wujud cinta buat lelaki ini. Nak buat macam mana ya?

            “Ini lah hotel yang dimaksudkan encik...” mereka sudah tiba di depan Hotel Grand Millennium. Memang mewah dan gahnya hotel tersebut. Dia pula hanya mendiamkan diri merenung diri yang masih dalam pelukan lelaki muka beku ini.