Novel: Isyarrat Cinta 15
Lama juga saya tak kemaskinikan blog ini. Rindu pasti terasa. Tetapi kerinduan itu terubat hari ini. Moga pembaca novel ini pun akan berasa terhibur dengan penambahan ini. Terima kasih juga atas sokongan anda semua!
Bab 15
Suasana
kehijauan di persekitaran bandaraya itu menyamankan hati Adawiyah. Kedudukan
biliknya amat strategik di sini. Di sebelah kirinya pula terbentang kebiruan
laut memukau pandangannya walaupun agak jauh pemandangan indah itu. ia sudah
cukup menghilangkan sedikit perasaan cuaknya berasa di dalam kondominium mewah
di tingkat 18 ini. Adawiyah sedar betapa berdosanya dirinya berlaku pelik dalam
perhubungan mereka suami isteri. Namun dia tidak pernah menyesal. Ini kerana suaminya
yang sendiri membuat fitnah sehingga emaknya sendiri terpedaya dengan fitnahnya
itu. Lalu, dia sendiri yang menetapkan syarat kepada suaminya itu. Suaminya itu
pula hanya menurut sahaja. Muhammad Irfan menerima pula syaratnya tanpa banyak
bantahan. Malah tersenyum lagi. Kalau emaknya tahu, memang bala... pasti banyak
omelannya!
Dia
tidak pasti apa tetapi dia tahu apabila suaminya bosan menantinya, pastinya
hubungan mereka akan berakhir kemudian. Tetapi, bagaimana perasaan emaknya Puan
Musliah kalau mereka bercerai? Ahli keluarganya yang lain? Pasti ada perasaan
lain, kecewa atau kesal? Dia sendiri pun tidak sedap hati kalau menyebut
perkataan ‘cerai’ dari hatinya sendiri. Entah kenapa hatinya sendiri sayang
akan perhubungan mereka yang suci murni ini. Ah, lelaki itu juga yang salah!
Terang-terang menyakitkan hatinya! Bisiknya memarahi lelaki itu.
Apakah
dia pun sudah menaruh harapan kepada suaminya sendiri? Huh, secepatnya
ditolaknya kata-kata itu. Tetapi setakat beberapa hari pernikahannya ini lelaki
itu belum pun memperkenalkan ibu bapanya kepada dia. Sibuk benarkah ibu bapa
mertuanya itu sehingga tidak ada waktu bertemu dengan anak dan menantu barunya?
Dirinyalah! Apakah benar mereka merestui hubungannya atau sebaliknya? Lelaki
itu tidak pun pernah menceritakan mengenai ibu bapanya atau sekurang-kurangnya
memberi khabar.
Dulu
sewaktu bertemu dengan Marina Chang, salah seorang pekerja setia lelaki itu dan
kawan baiknya sewaktu bekerja dulu, dia tidak pun pernah bertanya mengenai ibu
bapa mertuanya. Sakit apa ibu mertuanya? Bisnes apa di sana? Apakah makanan
kesukaan ibu bapa mertuanya? Semuanya tidak diketahui dan tidak pernah sesekali
pun ditanyakan. Dia sendiri berasa serba-salah dan kesal atas semua segala yang
telah berlaku kepada dirinya. Perlukah
dia bertanyakan semuanya kepada lelaki yang sudah sah menjadi suaminya itu? Huh,
tidak rela dia! Apalagi hendak bertanya baik-baik kepada lelaki itu, memang dia
pantang!
Lelaki
itu pula keluar awal pagi dan balik tengah malam. Itulah rutinnya. Namun,
memang dia akui betapa lelaki itu begitu komited terhadap syarikat yang
dibangunkan ayahnya itu. dia sendiri kagumi lelaki itu memang kuat kerja!
Tetapi seronokkah mendapat lelaki kuat kerja sehingga lupakan dirinya? Eh, dia
minta peduli pula? Malunya!
Bilakah
mereka berbicara dan semuanya boleh dikira, dia bagaikan patung cendana di
kondominium mewah ini. Temannya hanya buku-buku pelajaran dan laptopnya sahaja.
Selainnya dia memang ditemani hanya sunyi. Kadang-kadang jika menerima
panggilan telefon dari kawan-kawannya, lelaki itu akan keluar lagi. Hanya
isyarat mata sahaja yang memberitahu lelaki itu keluar. Dia tidak kisah.
Mungkin lelaki itu juga menganggap dia tidak wujud di rumah itu. Sakitnya hati
jadi patung cendana!
Apa
yang harus aku lakukan sekarang? Soalnya dalam hati. Beberapa hari sebelum hari
pernikahannya, dia telah didesak agar berhenti kerja. Emaknya turut mendesak. Jadi
dia ikut cakap lelaki itu, berhenti kerja. Dia hanya disuruh belajar dan
belajar. Sekarang dia sudah kesunyian amat di rumah besar ini. Dia mula
teringat kawan-kawan sekerjanya, Asyraf, Ramlan, Syakilah dan Aini.
“Asyraf?”
berkerut dahinya pada hari kedua, Asyraf datang ke tempat kerjanya dengan
mengepit fail. Lelaki itu turut terkejut memandangnya. Dia cuba tersenyum
mengawal debaran di dada. Kisah lalu menyapa di wajah. Namun dia cuba
menghindarkan semua kenangan yang telah berlaku antara mereka.
“Adawiyah?”
soal Asyraf tidak percaya, berkerut juga dahinya.
“Apa
awak buat kat sini?” serentak mereka bersuara. Dia terhenti dan memberikan
laluan kepada lelaki itu untuk bercakap.
“Saya?”
kata Asyraf dengan gaya yang macho. Tubuhnya agak tinggi dan bertambah tegap.
Bukan seperti ketika mereka sekolah dulu, lelaki itu agak kurus.
“Saya
kerja kat sini, tolong-tolong kat sini. Kalau cutilah! Awak pula buat apa kat
sini?” kata Asyraf. Bulat mulutnya. Lalu dia terangguk-angguk.
“Saya
baru masuk kerja semalam kat sini, awak tak perasan?” Asyraf geleng kepala.
“Tak
tahu pula. Hmm, bagus juga kalau awak kerja kat sini. Ada kawan saya lagi dua
minggu! Lagipun lama kita tak jumpa, sejak...” Adawiyah termangu. Cinta tidak
kesampaian itu menyakitkan. Namun kisah yang berlaku kepada dirinya kini lebih
teruk lagi.
“Dahlah
tu Asyraf, lupakan saja! Memang saya tak layak untuk awak,” kata Adawiyah
merendah diri. Menyesal pun ada kerana dia diterima bekerja di kedai
penghantaran barang ke seluruh Malaysia ini.
“Jangan
cakap macam tu, nanti tengah hari kita lunch
sama ya. Jangan cerita apa-apa kat sini, nanti orang lain dengar,” Asyraf sudah
berubah kulit hampir 100%. Dia bukan seperti dulu. Itulah persepsinya yang
pertama. Namun seminggu kemudian, dia dipaksa berhenti kerja. Belum sempat dia
bercerita panjang dengan Asyraf, dia sudah berhenti kerja! Argggh!
Perlukah
dia meminta kebenaran suaminya agar dia bekerja semula dan menghilangkan
kesunyian hidupnya? Dia memikir dalam hati. Atau, dia pergi sahaja tanpa
kebenaran suaminya? Sebelum suaminya balik ke rumah, dia sudah ada di rumah?
Baikkah perlakuannya itu? Kalau tiba-tiba lelaki itu balik ke rumah pada waktu
lain, bagaimana? Apa yang akan dijawabnya? Ke mana dia pergi? Ah, susah juga
hidup berumah tangga pada waktu diri memang masih belum bersedia ini.
Bagaimana
kalau dia balik ke rumah emaknya? Meluahkan perasaan dan memujuk emaknya serta
memberitahu emaknya perkara yang sebenar yang sebenarnya fitnah lelaki itu
tidak benar? Bolehkah dia buat begitu? Ah, kusut lagi akalnya!
Dia
takut, jangan-jangan emaknya akan menghalaunya balik lagi ke rumah yang sunyi
sepi ini! ke mana lagi dia pergi kalau bukan ke rumah lelaki ini. dia memang
ada kawan baik tetapi takkan dia melarikan diri ke rumah kawan baiknya Rafiqah
pula. Nanti apa kata ibu bapa Rafiqah pula. Ada suami tetapi lari ke rumah kawan baik! Eh, dia takkan berbuat
dua kali ganda perkara yang memalukan diri, suami dan emaknya. Cukuplah sekali
ini dia malu. Arggggh! Memang dia tidak tahu apa yang harus dilakukan sekarang.
Otaknya buntu! Fikirannya kacau! Hatinya sakit! Dan dunianya kosong!
Ah,
memang dia sudah dapat menduga hati emaknya. Emaknya suka kalau dia membuat
perkara-perkara yang boleh mendatangkan pahala dan bukannya membuat sesuatu
yang jahat. Hasilnya, dia sendiri yang akan malu. Emaknya tidak mahu kerana dia
tidak ada ayah sejak kecil maka dia menjadi anak yang jahat. Tidak, bagi
emaknya, walaupun tanpa ayah, emaknya boleh mendidiknya menjadi anak yang baik.
Itulah yang emaknya tidak mahu terjadi kepada dirinya.
“Tolonglah
saya mak, saya tak buat benda terkutuk itu! Lelaki itu fitnah saya mak!”
katanya suatu hari yang sudah berlalu. Dia mengongoi menangis di depan emaknya.
Emaknya tidak menerima dan menolak pelukannya.
“Sudahlah
Wiyah, mak takkan percaya lagi! Sudahlah, kalau itu yang sudah berlaku, Wiyah
harus pasrah! Mungkin sudah janjiNya Adawiyah jadi begitu! Mungkin itu hanya
alasan yang kamu akan disatukan, siapa tahu rahsia Allah,” kata emaknya. Puan
Musliah memang berpendirian tegas kepada dirinya. Kata-kata emaknya umpama
lahar panas yang ditumpahkan ke tubuhnya. Sakitnya mengalahkan lahar panas
gunung berapi itu!
“Mak,
percayalah, Wiyah tak pernah buat perkara terburuk dalam hidup Wiyah mak!
Lelaki itu hanya buat fitnah nak malukan Wiyah!” buntang mata emak
memandangnya.
“Buat
apa dia buat begitu, kalau dia tak suka Wiyah? Ah, sudahlah Wiyah! Malas mak
nak panjangkan perkara ini! Kita buatlah persiapan untuk pernikahan Wiyah ini.
wiyah saja satu-satunya anak emak, kita buatlah baik-baik majlis nikah ini
walaupun ringkas. Nenek, datuk, adik-beradik emak dan ahli keluarga terdekat
yang lain mak sudah beritahu. Kelak mak akan beritahu lagi tarikh nikah yang
sebenar!” sekali lagi dia kecewa. Bukan kecewa kerana perbuatan Muhammad Irfan tetapi
kerana perbuatan emak yang seperti tidak sabar-sabar hendak melihat dia menikah.
Memang sungguh menyedihkan perbuatan emaknya itu.
“Mak,
mak tak fahamlah anak mak ni! mak, sebenarnya Wiyah belum nak kahwin! Mak, saya
anak mak ini belum nak kahwin. Belum nak berumahtangga! Wiyah takut sesuatu
terjadi kepada Wiyah sama dengan apa yang berlaku kepada emak,” kata Adawiyah.
Buntang lagi mata emak.
“Kau
jangan ungkit-ungkit kisah mak dan ayah kau! Kisah tu biarkan berlalu! Tak ada
kena mengena dengan Wiyah! Jangan sebut kisah mak dulu!” marah sungguh Puan
Musliah. Berdesing suara emaknya itu di telinganya. Menyesal pun ada kerana
mengungkit kisah ayah dan emaknya. Kalau dia tahu begitu jeritan suara emaknya,
sampai mati dia sanggup mendiamkan dirinya.
“Ma...
aa..afkan Wi...yah mak, Wiyah tak maksud mengungkit tapi Wiyah takut! Takut nak
kahwin,” Adawiyah memeluk emaknya. Puan Musliah turut sebak apa yang berlaku
kepada mereka berdua.
“Kau
lain! Jangan samakan dengan hidup mak!” kata Puan Musliah. Adawiyah mengangguk.
“Maafkan
Wiyah mak, kalau inilah jalan hidup yang telah Allah tentukan, Wiyah reda mak,”
kata Adawiyah membuat keputusan di hadapan emaknya.
“Jangan
mengalah kepada takdir Wiyah. Emak percaya lelaki sebaik Irfan akan menjaga
anak mak dengan baik, percayalah! Biasanya apa yang diharapkan oleh emak tak
salah nak,” kata Puan Musliah yang sudah melembutkan nada suaranya. Adawiyah
terpaksa mengalah kepada emaknya. Dia tidak mahu emaknya akan lebih marah
kepada dirinya dan menyebabkan emaknya sakit pula.
“Emak
tak menyesal dengan keputusan mak ini? mak percaya kepada lelaki Cina tu? Wiyah
pun masih muda mak, baru nak masuk 21 tahun. Bagaimana orang masih muda nak
layari hidup rumahtangga lagi, tak ada ilmu, tak ada pengalaman,” kata
Adawiyah. Emak menggeleng. Wajah yang sedikit berkedut itu kusut dengan
kata-katanya.
“Mak
tak menyesal. Itu lebih baik daripada maruah keluarga kecil kita tergugat, mak
rasa inilah jalan penyelesaian yang terbaik Wiyah. Lagipun jarang sekali
seorang lelaki akan mengakui kesalahan dan sanggup menikahi gadis yang telah
dirosakkannya! Ilmu dan pengalaman akan datang sendiri, tak guna mak hantar kau
ke sekolah kalau kau tak tahu cari ilmu berumahtangga!” Adawiyah meraupkan
kedua telapak jemarinya ke mukanya. Dia benar-benar belum mahu mendirikan
rumahtangga apatah lagi dalam suasana yang tergesa-gesa begini.
Benar-benar
emaknya menyangka yang dia benar-benar telah melakukan satu kesalahan besar
dalam hal pernikahan ini. sedih sekali dirinya namun apa yang mampu dilakukan
apabila kepercayaan emak sudah sirna untuknya. Apa yang sudah ada di tangan
emaknya ialah keputusan hendak menikahkannya dengan lelaki yang tidak
diharapkannya dan sebuah kepercayaan yang lelaki itu akan menjaganya dengan
baik. Benarkah? Kalau dia kelak disia-siakan, apa pula kata emaknya itu? Kusut
dia!
“Jangan
cakap Wiyah nak lari dari pernikahan ini! Dua kali maruah emak tercalar! Jadi,
terima saja ya dan kita buat persediaan.” Adawiyah menarik nafas keras. Benar
dia tidak ada kekuatan hendak membuat persediaan. Benar dia tidak rela!
“Malas!”
“Esok
awak pegi kedai pakaian pengantin Kak Yani kau, mak dah beritahu dia, nak
tempah baju di situ. Irfan pun dah setuju! Dia akan tanggung semuanya nanti,”
kata Puan musliah. Adawiyah tersengih. Rupanya emaknya sudah memberitahu kakak
sepupunya mengenai pernikahannya.
“His
mak ini! macam saya ni terdesak pula nak kahwin!” kata Adawiyah sedih.
“Memang
tak terdesak! Tapi apa nak buat, orang dah bawa kahwin, takkan nak tolak,
lagipun tak siapa mahu kat Adawiyah! Kak Yani kata pakaiannya putih ada memang
elok saja dengan saiz Wiyah,” kata Puan Musliah.
“Bila
masa mak sukat saiz saya?” soal Adawiyah sudah sebak dengan kata-kata emaknya.
Emaknya memang tak mahu percaya kata-katanya. Puan Musliah ketawa.
“Mak
dah hantarkan. Baju tu memang cantik dan dah siap dijahitkan labuci, tak perlu
cari jauh-jauh!” kata Puan Musliah.
“Mana-mana
maklah, saya malas nak fikir benda ini mak, takdir ini terlalu cepat berlaku, entah
kenapa saya harus terjebak begini!” kata Adawiyah.
“Terima
sajalah Wiyah, kahwin awal bagus juga. Dulu nenek pun kahwin umur baru 16tahun.
Kamu pun dah umur lebih 21 tahun kan? Jadi, tentu dah agak dewasa,” nenek tiba-tiba
menyampuk. Nenek terus sahaja pergi ke rumah mereka apabila mendengar peristiwa
yang menyakitkan itu. dia menyangka neneknya akan meleteri dia, sebaliknya menyokong
pula tindakan emaknya yang hendak menikahkannya.
“Macam
mana Mus, cukup tak belanja nak nikahnya? Kalau tak cukup mak boleh tambah sikit-sikit
mana yang patut! Benda nak hantar dah siap?” soal nenek memecah kesunyiannya. Puan
Musliah tersenyum. Dia meminjamkan telinganya untuk mendengar perbualan nenek dan
emaknya.
“Agak
cukuplah mak, budak lelaki itu ada juga beri wang sikit untuk belanja dan katanya
barang hantaran dia minta satu butik sediakan, nanti orang dia hantar sini,” kata
Puan Musliah. Dalam hati Adawiyah mencebikkan bibirnya. Dia tidak senang hati dengan
tindakan Irfan, seolah-olah cuba membeli hati emaknya. Sakit hati pun ada!
“Mak,
tak payahlah nak hantar-hantar kalau dah nikah tergesa-gesa begini! Memalukan saya
saja!” kata Adawiyah menyampuk. Bulat mata emak dan neneknya.
“Wiyah
jangan sibuk boleh tak? Sekarang ni kita buat nikah aje, nanti dua bulan akan datang,
jika ibu bapanya Irfan sudah sihat, mereka akan buat jamuan lagi di rumah mereka,
begitulah yang mak telefon dengan emak budak lelaki itu,” kata Puan Musliah. Makin
berbulu telinga Adawiyah. Sudahlah dia dipaksa nikah, sekarang nak buat jamuan pula.
Eh, memang menakutkan. Dia benar-benar belum bersedia menerima keluarga mertua pada
waktu terdekat ini! Apa pilihan yang dia ada? Lari? Bersembunyi di mana-mana? Atau,
menurut perintah sahaja? Mungkin pilihan ketiga lebih selamat, pantas dia mengurut
dadanya dan melangkah masuk ke dalam biliknya.
“Wiyah,
pagi ini tukang urut Mak Kiah akan datang.” Kata Puan Musliah. Berkerut dahi Adawiyah.
Sudahlah dia dipaksa berhenti kerja, kini diarah yang bukan-bukan pula.
“Apa
lagi mak? Buat apa nak urut?” soal Adawiyah tidak senang hati. Nenek hanya tersenyum
sedikit melihat dirinya yang dingin.
“Nak
urut badan kamu lah! Biar lawa dan mantap! Lepas tu nak bubuh bedak sejuk dan lulur
di badan Wiyah tu,” kata nenek sambil tersengih. Lebih menakutkan Adawiyah melihat
sengihan nenek dan mereka berkenyit mata sesama sendiri. Berbulu telinga Adawiyah!
“Eh
buat apa nak buat semua itu mak! Saya kan nikah dipaksa, buat apa nak buat persediaan
begitu? Bukannya kahwin suka sama suka! Kalau suka sama suka tu lainlah ceritanya!”
selamba sahaja Adawiyah menjawab.
“His,
jangan cakap macam tu kat emak, tak baik! Jangan cakap kasar-kasar dengan suami
nanti, nanti tak tenteram hidup! Jaga mulut dengan suami, ahli keluarganya dan kat
mak juga, jaga penampilan diri, jangan ingat kamu dah kawin, kamu tak jaga penampilan
diri. Itu penting dalam rumahtangga!” celah nenek. Adawiyah garu kepala.
“Ya
lah nek, mak! Nanti kalau mak urut tu datang, panggil Wiyah ya!” kata Adawiyah yang
sudah menonong bergerak ke biliknya. Irama hatinya tetap masih gelisah tak tentu
rasa! Bagaimana dia hendak mendepani esok, lusa, tulat, minggu depan dan hari-hari
seterusnya? Semakin kuat irama di dadanya! Membayangkan lelaki tinggi lampai dan
rupa paras tampan dengan senyuman memperlinya menyebabkan dia mahu ambil tindakan
di luar kemahuannya! Arrrgh!