Cerpen: Api Rindu Masih Menyala
Api Rindu Masih Menyala
Sudah
dua bulan pernikahannya dengan lelaki kacukan Cina itu. Sudah dua bulan juga
dia bagaikan terkurung di istana kaca lelaki itu. Dia sudah diberhentikan kerja
dan hanya membuat kerja rumah. Selebihnya menelaah pelajarannya. Ke mana-mana
sahaja dia pergi dia hanya ditemani oleh lelaki itu. Sehingga dia naik jelak
dan sungguh benci. Dia resah tidak menentu. Walaupun perasaan bencinya masih
menebal namun dia takut perasaan itu akan terhakis dari sehari ke sehari.
Bencinya semakin nipis dan nipis. Bagaimana dia mengelakkan hal itu?
“Boleh tak kalau kita mula sebagai
kawan?” pinta lelaki itu suatu hari. Lelaki itu ditatapnya sesaat. Ketampanan
lelaki itu terserlah walaupun pandangan mereka bertaut hanya sesaat. Namun,
sesaat kemudian, dia sudah menjeling lelaki itu tanpa ampun. Entah kenapa
perkahwinan tanpa perancangan menyebabkan hatinya bagaikan dirunut-runut untuk
membenci lelaki yang bergelar suami itu.
Dia
tahu lelaki itu sedang merayunya. Dia tahu lelaki mempunyai banyak helah dengan
permintaannya itu. Dia mencemikkan bibirnya. Dia tidak akan menuruti kata-kata
lelaki yang sudah menjadi suaminya itu. Permintaan lelaki itu tentunya
menipiskan lagi jurang antara mereka. Jadi, dia memilih penolakan. Biar lelaki
itu kecewa dengan penolakannya.
“Tak boleh!” tegas jawapannya.
“Kenapa tak boleh?” bisik lelaki itu
di telinganya. Dia sesak nafas dengan tindakan lelaki itu. Lelaki itu terlalu
licik. Dia benci dengan kelicikan lelaki itu. Mahu sahaja dia menendang kaki
lelaki itu apabila dia tiba-tiba sahaja sudah dibelakangnya. Sakit hatinya.
“Lepaslah! Jangan nak pegang-pegang
saya! Awas! Awak dah janji takkan paksa saya!” ugutnya lagi. Lelaki itu ketawa.
Tangannya dilepaskan akhirnya. Itu sahaja helahnya pula untuk melepaskan diri
dari lelaki itu. Sebenarnya dia turut gugup jika lelaki itu melakukan sesuatu
yang bakal menyakitkan hatinya.
“Takkan suami pegang tangan pun tak
boleh?” kata lelaki itu tersenyum. Dia menjeling sekali lagi.
“Nanti kalau awak selalu pegang
tangan, awak akan beritahu orang yang awak sudah rogol saya! Begitu yang awak
buat kat mak saya kan? Seluruh kampung percaya dengan pembohongan awak! Apa
yang saya dapat? Malu tahu malu?” soalnya dengan penuh kemarahannya. Wajah
lelaki itu kelat. Dia tidak peduli. Itu sejarah pahitnya!
“Sudahlah, itukan kisah lama! Kalau
saya tak buat macam tu, tentu puteri saya ni akan terlepas ke tangan orang
lain! Daripada orang lain, baiklah abang yang tangkap dulu!” kata lelaki itu
semakin menaikkan darjah kebenciannya. Semakin dia meluat!
“Sedap saja ya, awak cakap! Itu
fitnah namanya! Hakikatnya kita tak pernah bersama!” katanya kuat. Lelaki itu
ketawa. Bertambah sakit hatinya.
“Jadi, sayang mahu kalau kita
bersama?” soal lelaki itu seolah-olah cuba mengambil kesempatan. Dia jadi
gugup. Tidak pernah dia membayangkan hidupnya bersama dengan lelaki itu. Tidak
akan pernah!
“Jangan awak nak gila!” lelaki itu
ketawa lagi. Dia bertambah geram.
“Marilah kita balik, tak guna cakap
dengan orang tak faham ni,” katanya.
“Abang faham. Sayang nak kan abang
kan?” hampir saja dia memuntahkan apa yang ada di dalam perutnya. Namun
ditahannya.
“Awak ni memang tak reti bahasa
tahu!” katanya. Dia bergerak laju di
depan meninggalkan lelaki itu yang masih dengan sisa ketawanya. Peristiwa
sebulan lalu tergantung di ingatannya.
***
Setelah
lelaki itu keluar bekerja, dia segera keluar dari rumah yang sekian lama
mengurungnya. Dia tidak meninggalkan apa-apa kepada lelaki itu. Geramnya kepada
lelaki itu masih belum berakhir. Senyuman gatal lelaki itu masih menghantuinya.
Dia ingin melupakan senyuman lelaki itu. Mahu sahaja dibunuhnya lelaki itu.
Jika dia balik malam nanti, rumah itu kosong, baru lah padan mukanya! Dia
senyum puas hati sambil mengheret sebuah beg sederhana besar di tangannya. Beg
itu berisi pakaian dan modul pelajarannya.
“Sayang, abang nak pergi bekerja ni.
Petang ni sayang nak pergi beli barang dapur tak?” soal lelaki itu seolah-olah
dialah lelaki sempurna dan mithali di hati seorang isteri. Dia mahu sahaja
muntah pagi-pagi ini.
“Tak, saya tak mahu keluar, biarkan
saya berkurung di kondo mewah awak ni!” jawabnya. Lelaki itu ketawa kecil.
Lelaki itu menghulurkan tangannya. Dia menyambutnya dan mencium tangan kasar
itu. Sejahat manapun hatinya terhadap lelaki itu, dia tetap menyalami tangan
lelaki itu. Lelaki itu mengucup dahinya. Terkaku dia seketika, tidak pernah
lelaki itu mengucup dahinya kecuali selepas nikah dua bulan yang lalu. Hampir
dia menangis.
“Huh, jangan lemah, Wiyah! Kau harus
kuat! Kalau tidak, dia akan sentiasa di sisi kau!” sindir suara itu. Sakit
hatinya. Cepat-cepat dia menarik begnya dan mengunci pintu rumah itu. Kenangan
bersama lelaki itu sudah terkunci di hati.
***
Ke
mana menghilang isterinya? Seharian dia di pejabatnya tanpa menghubungi
isterinya itu. Menyesal pula dia. Ketika malam itu, dia pulang rumah kosong.
Isterinya tidak ada di dapur macam biasa. Diketuknya bilik isterinya, senyap
semacam. Tidak aura wanita comel yang selalu memarahinya. Tidak ada bunyi atau
kelibat manusia di ruang mana-mana rumahnya itu. Ke mana wanita kesayangannya
itu?
“Sayang Wiyah...sayang di mana
sayang?” dia memanggil dengan panggilan yang disukainya walaupun isterinya
tidak menyukai panggilan itu. Pun isterinya tetap tidak muncul.
Dia
cepat-cepat mengambil kunci pendua. Hanya telefon isterinya berbaring di atas
katil. Tidak ada tuannya. Terbang semangatnya mengingati bilik isterinya yang
sudah kosong. Walaupun isterinya tidak suka dengan pernikahan mereka namun
isterinya tetap patuh dengan perintahnya.
Ke
mana dia mencari isterinya pada malam begini? Adakah isterinya melarikan diri
kerana kata-katanya semalam? Adakah isterinya diculik penjahat? Adakah
isterinya takut kalau-kalau dia mengotakan kata-katanya? Ah, silapnya dia. Dia
sudah menakut-nakutkan isterinya itu. Dia sedar wanita kesayangannya tidak
bersedia lagi menjalankan kewajipannya sebagai isteri, kenapa dia tidak mampu
bersabar lagi?
Aduh,
jika itu kesilapannya, kenapa isterinya itu hanya mendiamkan diri dan tidak
menunjukkan tanda-tanda hendak melarikan diri atau diculik? Namun, tidak ada
tanda-tanda di rumahnya dimasuki penjahat. Dia yakin isterinya pergi begitu
sahaja dari hidupnya.
Dia
hanya bercakap sambil menguji isterinya, dia tidak berniat mengugut isterinya.
Aduh!
Dia terduduk seketika di atas katil
isterinya itu. Punah harapannya hendak membawa isterinya keluar makan di sebuah
restoran yang sudah ditempahnya. Mereka jarang sekali keluar makan, isterinya
lebih rela memasak di rumah. Mungkin, kerana belum bersedia segala-galanya
isterinya jarang menerima pelawaannya keluar makan di luar. Mereka hanya keluar
membeli barang dapur sahaja. Isterinya juga jarang membeli-belah pakaiannya
sendiri. Aduh, kenapa begitu banyak silapnya? Kenapa dia terlalu mementingkan
dirinya sehingga mengabaikan wanita kesayangannya? Dia hanya mahu kemahuannya
dituruti sedangkan wanita kesayangannya tidak pernah rela dengan apa yang
berlaku antara mereka! Aduh!
***
Seawal
pukul empat petang dia sudah tiba di lapangan terbang Kuala Lumpur. Dia sudah
berjaya menjauhi lelaki itu. Horeey, dia berjaya! Tetapi mengapa hatinya tidak
gembira? Soalnya sendiri. Perlahan-lahan dia menarik begnya dan mencari teksi.
Dia tidak boleh berlengah-lengah mengingati lelaki yang sudah banyak menyakiti
hatinya itu.
Dia menyeluk poket beg tangannya.
Dia mencari telefonnya. Huh, kosong. Ternyata dia lupa mengangkat iphone yang
baru dihadiahkan oleh lelaki itu. Mahu atau tidak dia terpaksa berdikari. Dia
tidak dapat menghubungi kawan-kawannya. Mahu sahaja dia menangis saat itu juga.
Dia sudah dagang di negeri orang. Itulah padahnya jika pergi tidak memberitahu
suaminya sendiri!
Hari
pertama dia sibuk dengan perjalanannya menuju ke Kuala Lumpur dan mencari
tempat tinggal. Dia juga ingin menyesuaikan keadaan. Pada waktu petang pula dia
bergegas mencari tempat dia akan menduduki peperiksaan di universiti itu. Dia
keseorangan lagi. Dia tidak berjumpa dengan kawan-kawannya. Dia tahu
kawan-kawannya sudah awal berada di Kuala Lumpur.
Pagi-pagi
lagi dia sudah mencari teksi untuk ke dewan peperiksaan. Hari ketiga dan
keempat dia masih bertungkus lumus dengan peperiksaannya. Hari kelima dia rasa
semacam. Entah apakah rasa itu, sukar dia mentafsirkannya. Dia rasa gelisah dan
tak tentu rasa. Dalam dia berjalan-jalan pun dia rasa tak sedap hati. Entah
apakah masalahnya. Apakah semuanya disebabkan suaminya? Dia tidak ada jawapan.
***
Pagi-pagi
lagi Irfan Lai sudah muncul di depan pintu rumah ibu mertuanya. Dia menyalami
tangan ibu mertuanya yang memandangnya dengan penuh kehairanan itu.
“Ada apa Ifran?” soal ibu mertuanya.
Apakah yang ingin dijawabnya. Rumah ibu mertuanya juga sepi sesepi hatinya.
“Adawiyah ada tak datang sini mak?”
soalnya teragak-agak. Apakah ibu mertuanya akan memarahinya jika didapati
anaknya itu sudah hilang? Fikirnya.
“Wiyah tak pernah datang ke sini
sejak kahwin!” jawab ibu mertuanya jujur.
“Err, saya mencarinya sejak semalam,
mak. Dia entah ke mana. Mungkin dia ke sini?” jawab Irfan Lai lagi. Ibu
mertuanya menggeleng.
“Dia tidak ada di sini.” Ibu
mertuanya semakin hairan.
“Ke mana dia mak? Siapa
kawan-kawannya?” soal Irfan Lai.
“Kamu bergaduh?” Irfan Lai
menggeleng. Memang sesekali wujud pertengkaran tetapi dia hanya membalas dengan
ketawanya.
“Mungkin ada sedikit salah faham
mak, tapi saya tak jangka ia akan membesar begini,” jawab Irfan Lai kesal.
“Dia diculik? Awak ada musuh? Dia
lari? Ke mana? Cepat bertindak!” cemas sungguh wanita separuh umur itu. Dia
hanya menggeleng. Tidak tahu yang mana satu yang betul.
“Cari dulu. Kalau dalam masa 24 jam
dia tak ada, minta bantuan polis ya nak,” jawab ibu mertuanya dengan wajah
cemas. Ibu bapanya sendiri belum diberitahu mengenai kehilangan isterinya itu.
Semalaman dia tidak dapat tidur memikirkan misteri kehilangan isterinya itu.
“Baiklah mak, maafkan saya kerana
tak jaga anak mak dengan baik,” kata Irfan Lai mengakui kekurangannya.
“Jangan salahkan diri nak, mungkin
ada hikmahnya,” Irfan Lai menyalami tangan ibu mertuanya.
“Mudah-mudahan dia cepat balik mak,
mak doakan ya!” kata Irfan Lai menaruh harapan. Wanita itu mengangguk.
“Pasti dia balik tu,” kata ibu
mertuanya lagi.
“Err Irfan, sekarang bulan berapa?”
soal ibu mertuanya teringatkan sesuatu.
“Bulan Mei mak,” jawabnya tulus.
“Bukankah dia peperiksaan! Setiap
Mei dan Oktober dia akan mengambil peperiksaan di Kuala Lumpur di mana
universiti itu menawarkan kursus!” begitulah jawapan ikhlas ibu mertuanya.
Jawapan itu juga memberi petunjuk akan kehilangan isterinya.
“Kenapa saya tak tahu mak?” dia garu
kepala yang tidak gatal. Dia alpa kepada isterinya sendiri. Dia menyalahkan
diri.
“Irfan tak tanya! Anak mak tu
pendiam sikit. Kalau orang tak tanya dia takkan beritahu!” jawab ibu mertuanya.
Dia
berasa bersalah kerana tidak mengambil berat mengenai isterinya. Begitu dia
tergila-gilakan isterinya tetapi apabila wanita itu sudah menjadi isterinya,
dia tidak pernah bertanya akan keperluan isterinya itu. Hanya sekali mereka
membeli buku di kedai buku, itupun hanya membeli kamus. Selainnya, dia tidak
tahu di manakah isterinya itu memperolehi bahan rujukan untuk pelajarannya di
universiti. Kejamnya dia!
“Tak apalah mak, saya pergi dulu!”
katanya. Harapannya sudah berkembang. Dia pasti isterinya ada di universiti di
mana dia selalu menghantar dan menjemputnya.
Dia
terus membawa haluan keretanya ke universiti di mana dia selalu menghantar
isterinya. Di situkah peperiksaannya berlangsung? Apa yang hendak
ditanyakannya? Apa opsyen isterinya? Di mana bilik peperiksaan isterinya? Ah,
silapnya dia tidak pernah ambil tahu tentang segala-galanya tentang isterinya.
Dia hanya tahu menghantar dan menjemput isterinya setiap hujung minggu. Kenapa
dia hilang prihatin?
***
Dia
terus memasuki rumah suaminya. Dia sudah penat. Dia ingin tidur. Enam hari dia
bertungkus lumus menyelesaikan peperiksaannya. Syukurlah hari ini semuanya
sudah selesai.
“Wiyah sayang, sayang dari mana ni?”
terkejut sungguh Adawiyah. Hampir terjatuh begnya. Dia menyangka lelaki itu
belum balik dari kerjanya. Lelaki itu terus sahaja memeluk tubuhnya seperti
tidak ada apa-apa yang berlaku. Lebih parah lagi, lelaki itu mengucup seluruh
wajahnya seperti seratus tahun tidak bertemu.
“Hey awak! Rimaslah! Apa ni?” dia
meronta-ronta dalam pelukan suaminya.
“Sayang pergi mana, enam hari abang
cari. Telefon pun tak bawa. Sayang ke mana?” soal suaminya sambil berbisik. Dia
hampir terleka di dalam pelukan suaminya itu. Namun dia cepat sedar akan
tindakan di luar garis sebenar lelaki itu.
“Lepaslah!” dia menolak tubuh
suaminya itu sedaya upayanya.
“Abang rindulah! Kalau abang
lepaskan sayang, abang takut, sayang akan lari lagi lepas ni,” jawab lelaki itu
seperti separuh mamai.
“Tak! Tak! Rimas! Rimas! Saya tak
kan lari lagi! Saya janji!” ucapnya. Barulah lelaki itu melepaskan pelukannya.
“Sayang ke mana sebelum ni?” soal
lelaki itu.
“Saya periksa di KL,” jawabnya.
Wanita kesayangannya sudah menangis teresak-esak. Mungkin juga ketakutan dengan
tindakannya.
“Shhhh, jangan nangis sayang. Abang
tidak bermaksud nak minta hak abang. Abang hanya takut kehilangan sayang.
Jangan pergi lagi dari abang ya,” kata lelaki itu. Dia mengangguk dan datang
mendekati suaminya. Dia juga mempunyai perasaan yang sama dengan lelaki itu.
Apabila berdekatan dengan lelaki itu dia terasa dilindungi sekali. Sekali lagi
mereka berpelukan.
“Maafkan saya, saya tak sengaja.
Saya takut...” katanya meluahkan apa yang ditakutinya.
“Jangan takut, abang takkan minta
hak abang jika sayang tak sedia, abang akan tunggu!” kata lelaki itu. Dia
menggeletar mendengar pengakuan itu. Betapa penyabarnya lelaki itu menanti
hatinya dibukakan untuknya.
“Kalau saya tak pernah sedia?”
soalnya malu-malu. Lelaki itu tersenyum.
“Abang akan tunggu cinta sayang
hadir untuk abang,” jawab suaminya. Dia bertambah segan dan terasa menyesal
dengan perbuatannya selama ini. dia sudah berbulan-bulan menentang hukum Tuhan.
Aduhai pedihnya.
“Maaf awak, saya ambil beg saya
dulu, saya penat nak tidur,” jawabnya cuba melepaskan pelukan suaminya.
“Sayang rehatlah, malam nanti kita
makan di luar,” kata suaminya. Dia menggeleng.
“Sayang kan penat, biarlah abang
bawa sayang ke sebuah tempat yang istimewa,” balas suaminya. Akhirnya dia
mengangguk. Tangan mereka bertautan. Seperti sukar melepaskan sementara api rindu
mereka masih menyala.