Bab Dua

 BERPISAH

“Ya Badrul Muluk, lagi cepat tuan hamba pergi lagi bagus beta rasa! Beta akan adukan hal ini kepada ayahanda esok jika tuan hamba terus di sini! Jadi ada baiknya tuan hamba pergi dari sini! Ia akan memulihkan keadaan!” titah Puteri Siti Selasih dengan tegas. Badrul Muluk dapat rasakan perasaan benci menyelinap di hati kakak iparnya itu.

Badrul Muluk mengangguk. Dia faham jika abang dan kakak iparnya sendiri hendak mengadukan hal ini kepada sultan dan permaisuri dan barisan para menteri pada keesokan harinya. Kesal dan kecewanya terhadap abangnya sendiri semakin berganda-ganda. Dia tidak menyangka abangnya sendiri akan berubah secepat itu. 

“Baiklah bang, saya akan pergi dari sini. Tetapi....” dia terjeda seketika. Dipandangnya wajah murung abangnya sepuas hatinya. Mungkin selepas ini mereka tidak lagi dapat berpandangan seperti ini.

“Apa lagi Badrul?” soal Saiful Muluk kepadanya. Badrul Muluk memandang abangnya. Dia kasihkan abangnya dan dia kasihan kepada kakak iparnya. Namun apakan daya, pada saat yang tidak disengajakan ini terjadi pula sesuatu yang tidak pernah disangkanya. Mungkin Tuhan mahu mengujinya.

“Sebelum saya pergi, saya mahu beritahu abang mengenai petunjuk garis yang ada di dinding bilik abang ini. Saya gariskan dua garisan iaitu garisan putih dan di bawahnya garisan hitam. Sekiranya garisan putih ini sudah berada di bawah dan hitam di bahagian atas, itu bermaksud saya dalam kesusahan. Pada masa itu abang carilah saya!” kata Badrul Muluk memberitahu pesanannya yang terakhir sebelum dia pergi.

“Tengoklah kalau abang mahu tolong adik! Kalau tidak, jangan haraplah!” kata abangnya dengan lagak sombong.

Selepas dia bercakap memberikan pesanan itu, Saiful Muluk termenung di tempat duduknya. Dia ingat abangnya itu sudah menyesal akan perbuatannya. Namun ketika dia hendak menyalami tangan abangnya, abangnya cepat-cepat memalingkan mukanya ke arah lain.

“Sudah! Pergi nyah saja kau dari sini!” kata abangnya dengan suara yang sombong.

“Baiklah bang! Tidak ada gunanya saya tunggu lama-lama di sini. Cuma saya minta jaga diri abang dan isteri abang!” Katanya kepada abangnya Saiful Muluk. Saiful Muluk menyengih dan tersenyum kelat.

“Sudah! Jangan kau nak cuba menasihat kan aku pula. Aku tahu apa yang aku lakukan! Bukan macam kau, sampai nak ganggu isteri orang!” kata Saiful Muluk dengan angkuh. Badrul Muluk hanya mampu menggeleng-geleng sahaja mendengar kata-kata abangnya.

“Saya faham bang, tapi abang kena tahu saya tak berniat hendak ganggu kakak ipar sendiri!” katanya ringkas. Sebenarnya dia mahu membersihkan nama baiknya namun abangnya dan kakak iparnya Puteri Siti Selasih sudah tidak mahu percayakannya lagi. Tidak ada gunanya dia lama ini di sini

Sebelum matahari bersinar megah di angkasa, dia sudah mengambil keputusan hendak pergi sahaja dari Istana Merak Impian. Dia tidak mahu bertengkar bagi menambahkan sengketa atau beradu tenaga dengan abangnya sendiri. Biarlah perkara yang sudah berlaku antara mereka berdua. Akhirnya, dia pergi dari Istana Merak Impian yang banyak meninggalkan kenangan manis kepadanya itu.

‘Selamat tinggal Merak Impian... selamat tinggal kenangan.’ Hatinya berbisik sayu. Air mata yang mengalir ditahannya lagi. Kata ayahnya, anak lelaki mesti berani. Jadi, menempuh perjalanan yang belum diketahui hala tujunya, perlu disertai keberanian dan semangat seorang pahlawan sepertinya.

 

 

 

 

 

 

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Api Rindu Masih Menyala

TEASER 1: CINTA SANG PILOT

Novel Cinta Sang Pilot Bab 30