Novel Salwa Maisara Bab 7
Bab 7
“Kenapa
asyik menangis ni Zue?” Puan Zuriah menangis teresak-esak selepas pemergian
anaknya. Dia tidak menyangka anaknya dan menantunya akan pergi selepas sahaja
mereka bersanding. Sedih betul dia. Sedih mengenangkan anak gadisnya yang
seperti dicuri orang. Baharu sahaja selesai menikah dan bersanding sudah dibawa
balik ke Kota Kinabalu.
“Sedih lah bang. Anak orang lain
lepas nikah, adalah ditengok-tengok dipandang-pandang. Anak kita apa? Bilik dah
kosong, pelamin tinggal nak bongkar esok! Sedihnya saya bang!” ratapnya
perlahan. Suaminya mana tahu kesedihannya. Mungkin suaminya juga sedih tetapi
tidak akan sama dengan kesedihan yang dihadapinya. Dia tahu perasaan lelaki
tidak sama dengan naluri seorang ibu sepertinya.
“Sudah-sudahlah tu, jangan terlalu sedih.
Anak kita dah ditakdirkan begitu. kalau tahu hari tu, tak payah kita setuju
kahwinkan dia dengan anak kawan abang tu,” kata Encik Abdul Malik dengan wajah
tegang melihat dia yang masih bersedih. Bukan begitu maksudnya.
“Abang memang gitu! Asyik-asyik
menyesali apa yang sudah kita buat. Saya sedih aje bang. Sedih melihat anak
kita yang seperti dicolek tu!” katanya membetulkan persepsi suaminya. Suaminya
ketawa. Mungkin kata-katanya agak lucu.
“Biarkanlah dia dicolek suaminya
sendiri.” Kata Encik Abdul Malik. Geram Puan Zuriah dengan sikap suaminya yang
sambil lewa itu. terkenang-kenang dia akan anaknya Salwa Maisara yang sudah
meninggalkannya secara tergesa-gesa bersama suaminya petang tadi. sayu merantai
hatinya saat ini.
“Tetamu kita masih ramai lagi di
luar tu sayang mak Salwa. Sepatutnya kita ke luar lah, jangan nak macam ni! Tak
lama lagi kita nak solat Maghrib lah pula. kenapa sayang nak menangis-nangis
lagi ni! Sudah-sudahlah tu sayang!” kata Encik Abdul Malik lagi. Dia faham dan
akur dengan arahan suaminya. Dia sendiripun menasihati anaknya agar menghormati
suaminya. Dia sendiri pun memberitahu anaknya betapa isteri yang baik itu
sentiasa di sisi suaminya. Itulah sebabnya anaknya Salwa Maisara itu memahami
akan apa yang telah dia katakan. Ah anak gadisnya memang ikut cakap. Syukurlah
dia kepada Allah kerana mendapat anak yang sungguh-sungguh mendengar cakap ibu
bapanya. Dia tidak menyesal.
“Ya bang, saya faham. Tapi saya nak
hubungi anak kita tu, dia sekarang dah sampai di mana,” katanya mengambil
telefon bimbitnya di dalam beg tangannya.
Suaminya
hanya menggeleng melihat gayanya. Dia bukan hendak mengingkari kata-kata
suaminya itu tetapi dia sangat prihatin kepada anaknya yang seorang itu. dia
berharap menantunya itu akan dapat menjadi suami yang terbaik kepada anak
gadisnya tetapi pada masa ini dia belum dapat menyerahkan harapan itu seratus
peratus kepada Syed Budriz.
Dia
menggeleng-geleng pula. bertambah sedih hatinya mendengar balasan di telefon
bimbitnya. Anaknya tidak dapat dihubungi. Sejam yang lalu anaknya ada
memberitahunya yang dia akan berangkat ke Kota Kinabalu dalam sejam lagi.
Sekarang dia tidak dapat dihubungi pula.
“Kenapa?
Tak dapat?” soal suaminya yang masih memerhatikannya di bilik itu. Dia angguk.
Memang anaknya tidak dapat dihubungi. Menantunya pula langsung dia tidak tahu
apakah nombor telefonnya. Ah, benar-benar dia beranggapan yang anaknya itu
seperti diculik oleh pengganas! Eh, minta dijauhkan malaikat 44.
“Tak
dapat bang!” kedengaran ketawa kecil suaminya.
“Mereka
masih dalam perjalananlah tu! Eh, sayang awak rehat-rehat lah dulu! Entah-entah
mereka sedang berehatkah, dan sengaja matikan telefonnya,” nasihat suaminya.
Bertambah sedih hatinya.
“Ya
lah bang! Mungkin Wawa penat lah tu! Suaminya tu pun nampak penat juga saya
tengok!” katanya sendiri. Suaminya mengangguk. Sebenarnya dia masih bersedih
lagi. Namun, terkenangkan saudara-mara yang datang dari jauh dan dekat dan
membantunya di rumahnya ini, dia segera keluar dari biliknya. Walaupun
kepenatannya tidak dapat dikira dengan tangan, namun dia harus melihat-lihat
juga saudara-maranya itu.
Dia
terbayang lagi akan anak gadisnya itu. Kononnya suaminya ada hal penting di
sana, hal kerja katanya. Kalau ikutkan hati tuanya yang sangat menyayangi anak
gadisnya itu dia tidak mahu melepaskan anaknya itu mengikuti suaminya ke Kota
Kinabalu. Dia mahu sahaja anaknya itu mengikut kemudian. Bukan hari ini, bukan
saat tadi itu. Sekarang dia hanya memandang bilik pengantin berwarna putih dan
merah yang sudah kosong, pelamin berlatar belakangkan putih dihiasi bunga-bunga
putih dan merah yang sudah tinggal sebagai kenangan. Kenangan anaknya pernah
duduk di kerusi pelamin indah itu bersama menantunya yang duduk bagaikan
tunggul dan kaku bagaikan ais batu.
Ah,
susah dia hendak mengata, lelaki yang bernama Syed Budriz itu anak menantunya
juga, suami kepada anaknya dan kelak ayah kepada cucunya. Namun, nalurinya
selalu tidak berbohong, dia tidak begitu berkenan dengan sikap menantunya yang
agak keras macam kayu di hadapan para tetamu yang meraikan hari bersejarah
mereka tadi. Nasib baik bukan anak lelakinya.kalau anak lelakinya sudah
dipicit-picitnya dagu runcing tajam itu agar tersenyum manis kepada tetamu.
Namun apakan dayanya, Syed Budriz itu hanya menantunya. Menantunya yang
pertama. Jadi dia hanya mampu memandang tanpa mampu bersuara.
“Kan
bagus kalau keluar berbual-bual dengan saudara mara, taklah abang risau!“ kata
Encik Malik. Dia geram dengan suaminya. Namun dalam diam dia berdoa agar
anaknya itu akan selamat. Selamat dunia akhirat.
“Abang
ni pandai je tau!” katanya perlahan ketika dia sudah di ambang pintu bilik
mereka.
“Memang
pandai! Kasihan lah saudara mara kita. Berikanlah makanan atau masakan apa yang
patut. Kasihan mereka penat membantu kita!” kata Encik Malik. Dia angguk. Dia
juga faham akan orang-orang yang telah membantu meringankan tugasnya semasa
majlis pernikahan dan persandingan anaknya ini.
***
“Budriz
dah balik?” soal besannya, Datin Syarifah Fauziah di hujung talian. Kebetulan
dia keluar, telefon rumahnya berbunyi.
“Ya Allah Datin, memang Budriz dah
pergi ke Kota Kinabalu lepas bersanding tadi. lepas mereka solat Asar mereka
pergilah!” jawabnya.
“Laa, awalnya. Ingatkan kami nak
pergi sana semula nak lawat dia. rupanya dia dah balik ke KK tadi.” kata Datin Syarifah
Fauziah.
“Kalau Datin nak datang, silakanlah,
rumah kami ni masih terbuka,” katanya berbasa-basi.
“Salwa ada tak?” bulat matanya. Mungkin
menantunya tidak menghubungi ibu
bapanya. Tetapi mustahil pula mereka tidak tahu.
“Salwa ikut sama Datin. Itu yang
sedih sikit tu!” katanya berterus-terang dengan besannya. Ada ketawa kecil di
hujung talian.
“Sabarlah Zue, nanti-nanti kita
lawatlah mereka di KK tu. KK bukannya jauh. Terbang dua jam sampailah kita.”
Kata Datin Syarifah Fauziah seperti memujuknya pula. Dia turut ketawa kecil.
Memang dia berjanji akan melawat anaknya itu nanti. Namun dia belum tahu
bilakah dia akan pergi ke Kota Kinabalu.
Belum terbayar rindunya kepada anak gadisnya itu.
“Ya Datin, nanti kita pergi ke KK
sama-sama. Saya ni pun risaukan anak saya tu! Maklumlah dia tu muda lagi. Masak
nasi pun tak berapa nak pandai!” Datin Syarifah Fauziah ketawa kecil lagi. Datin
Syarifah Syarifah Fauziah yang dikenalinya seorang wanita yang sangat pandai
menjaga tingkahlaku. Dia sendiri tertarik dengan sikap Datin Syarifah Fauziah melayani keluarganya. Namun dia
tidak tahu bagaimana pula dengan layanan menantunya Syed Budriz kepada anaknya
Salwa Maisara.
“Sabarlah Zue. Ada masa nanti kita
akan sampai di depan pintu rumah mereka,” kata Datin Syarifah Fauziah seperti
memujuknya.
“Ya Datin. Sama-sama kita berdoa
agar panjang umur kita dapat kita berjumpa anak menantu kita tu!” katanya pula.
“Elok kalau kita pergi sana selepas
sebulan lebih mereka kahwin, jadi dapat lah kita tahu, kita dah dapat cucu atau
belum!” pakat Datin Syarifah Fauziah perlahan seperti berbisik-bisik dengannya.
“In sha Allah Datin. Mudah-mudahan
ada berita gembira untuk kita dalam sebulan dua ni! Nanti kita rancang dulu
perjalanan kita Datin,” katanya perlahan.
“Kalau macam tu esok-esok lah kami
ke situ Zue. Zue pun mesti penat,” kata Datin Syarifah Fauziah.
“Bila-bila aje Datin nak datang sini, pintu rumah kami ni
sentiasa terbuka untuk Datin!” katanya perlahan. Setelah bersalaman di talian
dia meletakkan gagang telefon rumahnya. Dia berharap dan berdoa agar anaknya
dan menantunya akan memberikan khabar gembira nanti.