Novel Kanak-Kanak Berdasarkan cerita rakyat

Puteri Balqis

 

Bab 1

 

Pertelingkahan

 

Resah sungguh Badrul Muluk pada suatu malam. Sekalipun abangnya sudah berkahwin dengan Puteri Siti Selasih namun dia resah gelisah. Berdiri salah. Berjalan salah. Duduk salah. Tidur pun dia tidak selesa. Sepatutnya dia berasa gembira kerana abangnya Saiful Muluk sudah bernikah dengan gadis idamannya. Malah, bakal ditabalkan menjadi sultan menggantikan Sultan Jalaluddin. Resahnya tidak dapat dipujuk dengan kata-kata. Apakah yang sepatutnya dia lakukan?

            “Kenapa aku resah? Dadaku berdebar-debar! Adakah sesuatu bakal terjadi?” katanya memegang dada sendiri. Dia tidak tahu kenapa perasaannya sungguh berlainan pada malam ini. Perutnya yang berkeroncong pun dia biarkan. Matanya yang mengantuk dia abaikan. Dia tidak boleh melakukan apa pun pada malam ini!

            Badrul Muluk mundar-mandir di biliknya. Suasana di Istana Merak Impian semakin digigit sepi. Pada pendapatnya semua penghuni Istana Merak Impian sudah pun tidur dengan lena. Sedangkan dia masih berperang dengan dirinya sendiri. Tiada siapa pun kawannya berbincang. Sejak ibu bapa mereka meninggal dunia, hanya abangnya Saiful Muluk sahaja temannya. Baru beberapa jam abangnya berkahwin mengapa dia terasa kesunyian?

            Dia rasa macam hendak mandi pula. Sekarang sudah tengah malam. Badannya terasa panas. Kalau diukur dengan pengukur suhu badan, mungkin suhu badannya amat tinggi. Mungkin demam! Tetapi dia tidak demam. Dia sihat walafiat.

            Badrul Muluk mengambil keputusan hendak mengambil angin di kawasan luar istana. Dia melihat-lihat pengawal-pengawal yang sedang berkawal di sekitar istana.

            “Kenapa tuan hamba kelihatan tidak selesa? Apakah yang berlaku sebenarnya tuan hamba? Boleh kiranya hamba tahu?” tegur seorang pengawal. Dia mahu angguk tetapi dia tersenyum sahaja. Dia tidak mahu sesiapapun tahu akan keresahan hatinya.

            “Saya jalan-jalan sahaja malam ini. Tak ada apa-apa yang aneh berlaku malam ini?” soalnya pula. Pengawal itu pun menggeleng laju memandangnya. Mungkin mukanya membayangkan keresahannya. Dia turut memandang pengawal itu.

            “Tak ada apa-apa yang berlaku. Malam ini macam biasa sahaja tuan hamba.” Kata pengawal. Dia turut mengangguk. Mungkin keresahannya pada malam ini hanya perasaannya sahaja. Mendengar jawapan itu separuh kebimbangannya sudah hilang, terbang bagaikan kabus pagi.  

            “Baiklah patik masuk ke dalam kamar beradu patik ya.” Katanya meminta diri.

            “Silakan tuan hamba.” Kata pengawal tunduk hormat kepadanya.

            Setelah tidak ada apa-apa yang berlaku di sekitar istana Merak Impian, Badrul Muluk pun masuk semula ke dalam biliknya. Dia menukar pakaiannya lalu merebahkan badan di atas katil peraduannya. Dia mahu tidur seperti mana penghuni istana yang lain.

            Rupa-rupanya pada malam yang sunyi sepi itu, terdapat seekor burung geroda iaitu Sang Mayang Galura yang mengintai ke Istana Merak Impian. Burung geroda itu sudah lama mengintai di kawasan istana itu. Ada sesuatu yang ia sukai di dalam istana itu.

            Entah kenapa malam ini ia terlihat tuan puteri itu  kelihatan cantik sekali. Dia bagaikan bulan dipagar bulan. Tuan puteri berpakaian sangat menarik warnanya. Jadi, Sang Mayang Galura pun mencari-cari masa yang sangat sesuai untuk melarikan tuan puteri itu dari Istana Merak Impian itu. Memang sudah beberapa malam ia mengintai tuan puteri itu. Namun baru malam ini ia yakin tuan puteri akan dapat dilarikan.

            Pada masa semua penghuni istana sudah tidak sedarkan diri Sang Mayang Galura amat berpuas hati. Ia berpuas hati kerana apa yang diintainya sudah tidur terlentang menghadap langit. Di sisinya suaminya, Saiful Muluk sedang tidur dengan lena. Sang Mayang Galura tidak menunggu lama untuk mendapatkan puteri yang sangat jelita itu. Ia terus meloloskan diri masuk ke dalam bilik peraduan tuan puteri Siti Selasi dan suaminya.

            Badrul Muluk yang menunggu sesuatu berlaku itu sentiasa memastikan keadaan selamat. Ketika dia mendengar sesuatu dari kamar peraduannya, dia cepat-cepat keluar. Dia ingin memastikan tidak ada sesuatu yang diingin berlaku pada malam itu.

            Sebaik sahaja Sang Mayang Galura hendak menyambar tuan puteri itu, dia sudah dapat menangkap Sang Mayang Galura itu. Dia tidak menyangka ada binatang jahat mengintip kegiatan di istana pada malam itu.

Badrul Muluk sudah bersedia dengan pedang saktinya. Badrul Muluk pula sudah tahu kenapa dia resah gelisah pada malam ini. Rupa-rupanya inilah jawapannya.

            “Hai pedang sakti, kalau engkau benar-benar berkat anak cucu keramat dan kalau engkau benar-benar sakti, halaulah Sang Mayang Galura dari  sini! Jangan biarkan ia mengganggu tuan puteri!” selepas membacakan mantera itu, pedang di tangan Badrul Muluk terus sahaja membelah badan Sang Mayang Galura kepada dua.

            Sang Mayang Galura menjerit kuat kerana sungguh terkejut dengan tindakan pantas Badrul Muluk. Badrul Muluk berpuas hati kerana Sang Mayang Galura sudah tidak bernyawa dengan pedang saktinya.

            Puteri Siti Selasih pula terkejut dari tidurnya kerana terdengar suara-suara bising-bising itu. Darah Sang Mayang Galura terpancut ke pakaian tuan puteri yang sedang tidur itu. Puteri Siti Selasih sendiri terkejut dengan kejadian itu.

            Badrul Muluk pula baru sahaja membuang bangkai Sang Mayang Galura itu melalui tingkap kamar peraduan abang dan kakak iparnya.

            “Kanda bangun kanda! Kanda! Lihat apa yang berlaku! Adinda Badrul Muluk datang hendak mengganggu dinda!”  kata Puteri Siti Selasih yang sudah berasa takut dengan apa yang baru berlaku. Badrul Muluk pula terkejut mendengar kata-kata Puteri Siti Selasih. Dia tidak menyangka kakak iparnya akan  murka kepadanya.

            “Jangan salah sangka kanda, jangan marah saya!” kata Badrul Muluk cuba memberitahu abangnya Saiful Muluk mengenai perkara yang baru berlaku. Mata abangnya sudah macam mata burung helang. Abangnya sudah bersedia hendak memarahinya pada malam itu.

            “Jangan percayakan dia kanda!” kata Puteri Siti Selasi dengan marah. Macam berkunang-kunang mata Badrul Muluk mendengar kata-kata kakak iparnya. Dia sungguh terkejut.

            “Apa yang kau buat di bilik abang ini Badrul? Benar kau mahu mengganggu isteri abang?” soal Saiful Muluk dengan mata yang merah. Tambahan pula dia baru sahaja bangun tidur. Matanya terpisat-pisat.

            “Saya tidak menggangu kanda! Tidak! Dengar dulu cakap saya bang!” kata Badrul Muluk cuba mempertahankan dirinya.

            “Apa yang dia mahu buat pada masa kita sedang beradu kanda? Pasti dia mahu mengganggu dinda!” kata Puteri Siti Selasih lagi tidak mahu percayakan Badrul Muluk. Badrul Muluk berasa sangat sedih dengan tuduhan Puteri Siti Selasih itu. Ia seperti pedang menyucuk ke dadanya. Lebih dia tidak mengusir burung geroda tadi.

            “Badrul, kau ingat perbuatan kau begini elok? Mengganggu kak ipar sendiri? Kalau benar kau nak mengganggu isteri abang, abang takkan maafkan kau sampai bila-bila Badrul!” kata Saiful Muluk dengan tegas. Badrul Muluk berasa serba salah pula melihat abangnya yang sudah mula mengamuk.  Dia menggeleng.

            Dia melihat Saiful Muluk bangun dan mendekati dirinya yang berdiri berdekatan dengan pintu. Badrul Muluk tahu abangnya sudah mula hilang kepercayaan kepadanya. Namun dia tetap cuba menerangkan apa yang berlaku kepada abang Saiful Muluk.

            “Tidak bang! Bukan begitu! Saya tak berniat hendak mengganggu kakak ipar saya bang! Saya hendak menyelamatkan maruah kakak ipar...” kata Badrul Muluk berhenti dari cakapnya. Namun nampaknya muka Saiful Muluk makin merah. Barangkali  tidak mahu percaya apa yang dia katakan itu. Mungkinkah dia juga silap? Ini kerana dia memasuki kamar peraduan abangnya tanpa izin abang atau kakak iparnya. Ah, dia tepuk kepala.

            “Maruah apa yang hendak diselamatkan ketika kami sedang tidur Badrul? Kau sudah mengganggu ketenteraman!” Badrul Muluk menundukkan kepalanya.

            “Ada gangguan tadi!” katanya. Kisah burung geroda memasuki dan hendak menculik kakak iparnya tidak terkeluar dari mulutnya.

            “Jadi, kenapa kau masuk kamar peraduan abang ini? Dan, yang lebih malangnya, sekarang ni dah tengah malam Badrul! Tentu ada maksud yang tidak baik!” kata Saiful Muluk yang sudah percaya akan kata-kata Puteri Siti Selasih. Dia hanya tunduk. Barangkali dia memberi bantuan pada waktu yang salah.

            “Saya akan beritahu apa yang sebenarnya berlaku bang!” kata Badrul Muluk. Dia tidak mahu abangnya itu terus salah sangka terhadapnya.

            “Abang hairan kalau kau masuk ke bilik peraduan kami pada malam-malam buta ni! Abang akan hukum kau malam ini juga!” kata Saiful Muluk yang sudah menuju ke almari dan mengambil rotan. Dia sudah maklum akan rotan yang abangnya miliki.

            “Jangan buat begini pada saya bang! Saya tak bersalah!” Badrul Muluk memohon belas kasihan abangnya. Namun abangnya sudah hilang kepercayaan kepadanya. Abangnya sudah termakan kata-kata Puteri Siti Selasih. Kononnya dia mahu mengganggu kakak iparnya.

            “Apa lagi yang patut aku buat? Kalau aku tak bunuh kau, aku sepatutnya beri kau pengajaran pada malam ini!” kata Saiful Muluk mengibas-ngibaskan rotan di tangannya. Badrul Muluk sungguh kesal dengan kelancangan abangnya tanpa usul periksa. Sepatutnya dia mendengar dulu apa yang mahu diceritakanya. Ini tidak, terus sahaja dia menghukum. Mulutnya bagaikan terkunci. Kenapa dia bagaikan si bisu yang hilang makna pertuturan?

            “Kita boleh berunding bang, kita adik-beradik! Abang tak ingat pesanan ayah kita sebelum meninggalkan kita?” soal Badrul Muluk mengingatkan abangnya mengenai pesanan ayah mereka. Saiful Muluk menggeleng.

            “Jangan libatkan ayah kita dalam hal ini! Ini kesalahan kau Badrul! Kau yang cuba ganggu kakak ipar kau sendiri! Abang memang sudah hilang sabar dengan tingkah laku kau!” kata Saiful Muluk dengan suara lantang. Ke mana dia hendak letak mukanya kalau abangnya sendiri sudah tidak percayakannya?

Badrul Muluk habis daya hendak memujuk abangnya. Badrul Muluk terpaksa akur dengan ketidak puasan hati abangnya itu. Puteri Siti Selasih pula seperti tidak sabar hendak melihat abangnya bertindak.

            “Bukan maksud saya macam itu bang!” katanya  kepada abangnya. Memang dia tidak bermaksud hendak mempergunakan abangnya dalam hal ini.

            “Sudahlah kau! Inilah balasan kalau orang yang tidak mahu mengakui kesalahannya! Nah, terimalah balasannya!” kata Saiful Muluk yang terus sahaja membelitkan rotan itu ke tubuhnya. Rotan yang singgah di tubuhnya itu bagaikan percikan api mengenai tubuhnya.

            “Aduh!” jeritnya dengan kuat.

Saiful Muluk terus sahaja memukul tubuhnya. Dia menjerit dengan kuat kerana tidak tahan dengan kesakitan pukulan abangnya itu. Abangnya itu seperti hilang pertimbangan. Dia tidak melawan abangnya itu. Biarlah abangnya meluahkan perasaannya. Dia biarkan sahaja abangnya memukul tubuhnya dengan sekuat hatinya. Dia tidak mahu melawan abangnya. Biarlah kalau abangnya mahu memukulnya sekuat tenaganya.

Setelah itu, tubuhnya terperosok ke hujung dinding di dalam bilik abangnya itu. Dia rasa dia tidak mampu mengangkat badannya. Habis sakit tubuhnya dirotan oleh abangnya. Dia juga sudah tidak mampu berkata-kata.

Akhirnya para pengawal telah mengangkat tubuhnya ke  bilik peraduannya sendiri. Tetapi ketika para pengawal mahu mengangkat tubuhnya, dia masih mahu meyakinkan abangnya mengenai perbuatan khianat Sang Mayang Galura.

“Bang,lihat ke bawah sana!” tunjuknya ke bahagian bawah bilik abangnya Saiful Muluk. Saiful Muluk tersenyum sinis. Abangnya tidak pun mahu menundukkan pandangannya ke bawah.

“Apa lagi yang kau mahu buktikan?” soal Saiful Muluk dengan suara garang. Dia betul-betul mahu memberitahu abangnya mengenai Sang Mayang Galura yang hendak mengganggu Puteri Siti Selasih sebentar tadi. Entah kenapa pula abangnya tidak mahu mempercayainya.

“Jangan percayakan dia kanda! Dalam keadaan tak berdaya pun masih mahu berbohong!” kata Puteri Siti Selasih menghasut abangnya pula.

“Aku memang tidak mahu mendengar kata-kata kau lagi Badrul! Kau pembohong! Entah siapa yang ajar kau jadi pembohong begini!” kata Saiful Muluk dengan lagak gagah.

Kecewa sungguh hatinya dengan tuduhan abang dan kakak iparnya itu. Sepatutnya mereka mempercayai kata-katanya. Menuduh tanpa usul periksa bukan penyelesaian masalah. Fikirnya sendiri.

“Burung geroda bang! Burung geroda cuba melarikan tuan puteri! Saya dah bunuh burung geroda bang! Saya tidak bohong bang!” katanya bersungguh-sungguh. Walaupun dengan suara yang ditahan-tahan menahan kesakitan. Namun dia mahu abangnya percayakan dirinya.

“Sudahlah! Jangan kau berdalih lagi Badrul! Aku tahu kau cuba mengganggu isteri aku!” kata Saiful Muluk. Sekali lagi dia kesal kepada abangnya. Dia hanya mampu menggeleng kerana tidak mampu berkata-kata lagi saat itu. Kesakitan tubuhnya bagaikan pisau menusuk tubuh.

“Bukan begitu bang! Itu silap! Tak betul tu!” katanya perlahan. Sakit tubuhnya memang sakit tetapi hatinya bertambah sakit dengan sikap abangnya yang tidak mempercayainya.

“Sudahlah Badrul! Usahlah kau menegakkan benang basah lagi! Aku sudah tahu helahmu! Aku takkan percayakan kau lagi! Kau memang tidak bertimbang rasa!” kata Saiful Muluk tanpa mempedulikan dirinya yang kesakitan dan cuba memberitahu perkara yang sebenar.

Hampanya dia mendengar kata-kata abangnya sendiri. Air matanya mengalir perlahan-lahan mendengar kata-kata abangnya yang sungguh mengecewakannya.

“Baiklah bang! Kalau memang benar abang sudah tidak percayakan saya lagi, biarlah saya pergi dari sini! Tidak ada gunanya saya di sini lagi abang! Saya sudah menjadi musuh abang!” katanya kepada abangnya namun abangnya tetap tidak mahu memandangnya.

“Kau memang layak pergi dari sini! Nyah kau dari sini!” kata Saiful Muluk dengan bersungguh-sungguh. Dia sangkakan abangnya masih mahu bertolak ansur dengannya. Rupa-rupanya abangnya memang sudah berputus arang dengannya. Tercengang dia seketika. Tetapi tidak ada gunanya dia memujuk abangnya untuk menukar keputusannya. Sekalipun ada sedikit gentar di hatinya namun terpaksa juga digagahkan dirinya. Dia harus menerima kenyataan yang abangnya sudah membencinya dan mahu dia pergi dari istana ini.

“Saya sudah maafkan abang dan kakak ipar atas apa yang berlaku! Ini kerana air dicencang takkan putus abang!” katanya yang berasa pilu kerana tidak mampu memujuk abangnya mempercayainya.

Lalu bangkai Sang Mayang Galura yang dibuangnya ke bawah tadi, terus dilemparkannya sekuat-kuat hatinya ke dalam laut di depannya. Dia berharap bangkai Sang Mayang Galura itu akan menjadi batu karang.

“Ya, ada baiknya kau pergi dari sini! Aku pun sudah tidak mampu hendak melihat wajah kau di dalam istana ini! Nanti kalau Sultan Jalaluddin tahu akan perbuatan kau ini, pasti buruk padahnya!” tambah Saiful Muluk. Bertambah-tambah kecewa hatinya mendengar pengakuan abangnya itu.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Api Rindu Masih Menyala

TEASER 1: CINTA SANG PILOT

Novel Cinta Sang Pilot Bab 30