certot

 

Certot 1

 

Burung Di Jendela

 

Dia terpacul di muka pintu dengan wajah putih melepak seperti burung yang  bertenggek di jendela. Rasa terkejut masih menyihir perasaan apabila ketika matahari masih segan bergantung di langit, dia datang. Memang aku dan emak sangat tertunggu-tunggu kedatangannya.

Menurutnya tempohari, dia hendak pindah rumah kerana tuan rumah tempatnya menyewa meminta dia keluar dari rumah itu. Jadi, mengapa secepat ini dia datang? Soalku dikurung dingin pagi. Diberitakan dia sudah mempunyai tiga orang anak lelaki. Namun tidak ada sesiapa di sisinya.

“Mana yang lain?” soalku masih dikunjungi rasa terkejut. Dia menggeleng. Suaranya sudah menjadi butir berlian, tidak ada satu perkataan pun yang lahir dari mulutnya.

“Masuklah Amar, tak sangka kau datang. Tapi kali ini mak tak mahu kau hilang lagi!” kata emak seperti mengikat kerbau di kebunnya kuat-kuat. Pastilah kami sangat tercari-cari ke mana dia pergi selama lima tahun tanpa khabar.

“Ada ni mak!” jawabnya ringkas.

“Kenapa di pintu sahaja?” sapa emak lagi.

“Sebab…” dia tunduk macam burung tiung hilang suara. Aku dan emak bertemu pandang.

“Kenapa Amar diam, tak macam dulu!” kata emak. Dia peluk emak dan menangis tersedu-sedu di bahu emak macam anak kecil yang tidak diberikan gula-gula.

“Ana oh Ana!” jeritan emak kedengaran dari bilik. Aku berlari macam kucing dikejar kerana mencuri ikan di atas meja.

“Kenapa mak?” soalku cemas.

“Amar balik?” aku macam patung dan memandang jendela, aku hanya melihat burung hinggap di jendela ruang tamu.

Catatan popular daripada blog ini

Cerpen: Api Rindu Masih Menyala

TEASER 1: CINTA SANG PILOT

Novel Cinta Sang Pilot Bab 30