Novel: Isyarat Cinta
Bab 17
Silakan baca ya.
Silakan baca ya.
Bab 17
Tiba-tiba
telefonnya berbunyi. Kenangan terhadap emaknya terbang serta-merta. Dia menatap
nombor yang tertera di muka depan telefonnya yang tidak canggih itu. Argggh!
Dia mengeluh kasar. Dia malas mahu mengangkat telefon itu. dia muak! Telefon
itu terus berbunyi. Dia membiarkan sahaja. Dia terus berbaring di atas sofa
empuk milik lelaki itu. baru hari ini dia mahu keluar melihat-lihat ruang tamu
lelaki yang sudah menjadi suaminya.
Selama
ini dia sanggup berkurung di biliknya sahaja. Kebetulan dia sendiri meminta
lelaki itu memberikan bilik untuknya. Mereka duduk berasingan. Terlalu baik
lelaki itu, eh, dia sudah terlepas memuji suaminya! Lelaki itu memberikannya
sebuah bilik, master bedroom untuknya. Seharian itu lelaki itu mengosongkan
bilik itu untuk kegunaannya. Dia pula tidak ada perasaan hanya membiarkan
lelaki itu memindahkan semua pakaian dan barangannya ke bilik sebelah. kejamnya
Adawiyah! Peduli apa! Lelaki itu juga sudah berlaku kejam kepadanya malah lebih
kejam daripada apa yang sudah dia lakukan!
Tiba-tiba
telefon rumah berbunyi pula. Telefon itu terletak di hujung kakinya di atas
meja kecil. Dia terbangun dan terduduk kerana terkejut dengan bunyi telefon
itu. lantas dia mengangkatnya.
“Helo,”
suaranya.
“Assalamualaikum,”
lelaki itu memberi salam.
“Walaikumsalam,”
jawabnya selamba.
“Sayang,”
sapanya.
“Hmmm,”
jawabnya. Dia mencebikkan bibirnya. Dia berasa hairan. Tidak pernah lelaki itu
menyapa dengan mesra selama beberapa hari dia duduk di rumah lelaki ini.
Apahal? Bisik Adawiyah hairan, dalam hati dia tetap berasa getar di jiwa.
“Abang
nak bawa sayang keluar makan tengah hari ini. Sayang bersiap ya, nanti setengah
jam abang datang,” pelawa lelaki itu. Sudah tiga hari dia duduk sendirian di
rumah ini. lelaki itu tidak pernah menelefonnya. Entah kenapa datang pula baik
hatinya pada hari ini.
“Err,
tak nak! Saya tak senang ni! banyak kerja nak buat!” jawabnya mengelak. Kain
sedang dicuci di mesin pencuci. Lantai sedang dimop. Pinggan mangkuknya masih
menanti. Takkan dia nak keluar pula, pasti kerjanya tak siap! Lelaki itu ketawa
di hujung talian. Mungkin sudah faham akan sikapnya yang suka menolak itu. Macam-macam
alasan diberikan.
“Sayang,
apa yang sayang makan di rumah itu, abang nak bawa sayang ke tempat yang
istimewa ni, abang dah tempah!” desak lelaki itu. Adawiyah masih kehairanan di
mana lelaki itu mendapat kekuatan untuk menyapanya di rumah ini. Adawiyah tidak
akan menerima pelawaan lelaki itu. Dia mencari akal untuk menolak jemputan itu
dengan menyerakkan suaranya. Dia lebih suka jika lelaki itu mendiamkan dirinya.
“Saya
tak sihat, awak tak faham?” balasnya pula dengan agak kasar. Kedengaran
suaranya seakan-akan orang demam. Dia tersengih.
“Kalau
macam tu, kejap lagi abang datang, kita ke klinik,” talian sudah dimatikan
dengan pantas. Mungkin lelaki itu terlalu bimbang dengan apa yang dikatakannya.
Apa yang dia hendak katakan lagi? Ah, sudah! Inilah natijahnya kalau sudah
menipu. Dia pula berasa geram!
“Irfan!
Aku tak mahu keluar rumah! Aku tak mahu orang nampak aku keluar dengan kau! Apatah
lagi apabila kita dilihat oleh gadis-gadis yang bertubuh langsing dan pakaian
tak cukup kain tu!” dia menjerit dengan sekuat hatinya di rumah yang hanya dihuni
oleh dirinya itu. Sakit hatinya dengan tingkah laku lelaki itu. Lebih banyak
menyakiti daripada menghiburkan!
“Ah,
apa aku peduli dengan kau! Pedulikanlah kau keluar dengan siapapun, asalkan jangan
kacau aku, sudahlah!” jeritnya lagi. Tetapi dia tersedar, kenapa dia harus
menaikkan suaranya kepada lelaki itu.
Sepatutnya,
memang dia layak menerima pelawaan lelaki itu. Hanya kepada suamilah dia
bergantung harapan. Tetapi bagaimana pula dia membuat harapan kalau mereka
bernikah bukan atas kerelaannya sendiri? Malah, mereka bernikah bukan atas
pilihan suka sama suka. Itulah yang lebih menyebabkan dia kesal dan benci
mengingati suaminya.
Hatinya berbolak balik pula akan
tujuan asal lelaki itu menikahinya dengan terburu-buru. Namun, kehairanan itu
dibunuhnya sendiri. Dia tidak mahu memikirkan sikap Irfan
lagi. Semakin dia berfikir tentang suaminya itu, semakin pula dia sakit hati. Dia
masih belajar dan banyak perkara yang masih menjadi keutamaannya. Mempunyai
suami, melayani kehendak suami dan melahirkan anak untuk suaminya bukan
agendanya pada masa ini. His, dia belum mahu melahirkan anak untuk lelaki itu.
Masih banyak yang dikejarnya dalam hidup remaja akhirnya ini. Mata Adawiyah
masih terkunang-kunang menghadap siling
ruang tamu itu.
Setengah jam kemudian ketika dia
sudah siap mencuci pinggan mangkuk dan mop lantai di dapur dan ruang tamu,
kedengaran ketukan di pintu. Dia malas berdiri. Tidak lama kemudian, dia sudah
terlihat pintu dibuka. Belum sempat dia bangun. lelaki itu kelam-kabut
mendekatinya dan duduk di sisi sofa itu. apa yang harus dilakukannya? Takkan
lari ketika lelaki itu sudah memegang kepalanya. Lama tangan sasa itu di
dahinya, seperti sengaja berbuat demikian. Takkan dia hendak menolak pula.
Terpaksalah dia diam dan menutup matanya. Dadanya mulalah berirama tidak
sekata. Itulah kelemahannya. Mana ada tubuhnya panas, dia normal. Tak demam,
tak sakit tapi sihat.
“Eh, panasnya kepala sayang. Maafkan
abang, tak pedulikan sayang beberapa hari sayang di sini. Mungkin sayang sunyi
seorang diri, abang sibuk sayang.” Lelaki itu sudah merapatkan bibirnya ke dahi
Adawiyah.
Lelaki
itu mengucup dahinya perlahan dan agak lama. Dari dahi bibirnya sudah ke
pipinya. Itulah kebiasannya, mengucup dahi dan pipinya. Terasa nafas panas
lelaki itu di dahi dan matanya. Adawiyah mula sukar bernafas dan hendak bangun.
namun tangan lelaki itu kuat mencengkam pinggang kecilnya. Geramnya Adawiyah.
Ini sudah kes ambil kesempatan! Bisik Adawiyah.
“Saya tak demam lah awak! Tolonglah
saya nak bangun nak ke tandas!” Adawiyah sudah mencari alasan untuk melarikan
diri dari lelaki itu. berhabis dia menolak tangan lelaki itu tetapi lelaki itu
tetap menguatkan pegangannya.
“Sayang
demam ni, mari kita ke klinik,” kata lelaki itu sudah memegang tangannya dan
mendudukkannya perlahan-lahan di sofa itu. Lelaki itu sudah duduk di sisinya.
Mahunya dia tidak malu hendak berdepan dengan lelaki itu. mahu sahaja dia
berlari menuju ke biliknya di penjuru
tingkat atas itu. namun lelaki itu masih mengusap-usap tangannya lembut. Seram
sejuk tubuhnya. Lelaki itu mengucup tangannya pula. Mahu sahaja Adawiyah
pengsan dengan perlakuan romantik lelaki itu!
“Awak, saya tak demam! Lepaskan
tangan saya! Saya nak ke tandas!” tegas Adawiyah. Dia tidak mahu lelaki itu
memperlakukan sesuatu yang tidak disukainya. Namun, ke mana lagi dia kalau
bukan di sisi lelaki itu? fikirnya. Namun dia teramat benci kepada lelaki itu.
“Baik, lepas ke tandas, abang akan
bawa sayang ke klinik,” apa pilihan yang Adawiyah miliki? Lelaki itu sudah
mengiringinya ke tandas di bahagian dapur itu. Kemudian, lelaki itu berdiri di
muka pintu tandas dengan senyuman manis. Apa yang harus dilakukannya pula?
Apakah dia tenang berada di dalam tandas berjam-jam lamanya? Dia geleng kepala
dan melepaskan apa yang sepatutnya dilepaskan.
Apabila dia keluar, lelaki itu masih
di situ dengan senyuman manisnya. Senyuman secebis itu menyerlahkan lagi
ketampanan lelaki itu walaupun dia berdiri di depan tandas. Aduh, boleh gila
bayang Adawiyah kalau begini! Akalnya mencongak seketika.
“Apahal senyum-senyum? Gila?”
soalnya pura-pura melenyapkan debaran di dada.
“Gila bayang kat isterilah katakan!”
jawabnya selamba. Adawiyah sudah memegang kepalanya. Pura-pura berasa sakit di
kepalanya walhal dia dia hendak menutupi rasa goncangan kuat di jantungnya
terhadap kata-kata lelaki itu. lelaki itu menambahkan manis dalam senyumannya
semula. Dia tahu isterinya itu segan dengan apa yang didengarnya. Dia tahu
isterinya itu tidak pernah mengalami saat-saat intim begini dengan sesiapa pun.
Itu yang disedari oleh lelaki itu.
“Sakit lah kepala saya ni, saya nak
rehatlah awak! Saya masuk bilik dulu ya,” pinta Adawiyah cuba melarikan diri
daripada lelaki itu. Irfan cepat-cepat memegang lengannya.
“Kita kan nak pergi klinik, jangan
banyak alasan pula sayang, abang tahu sayang takutkan abang,kan,” bisiknya di
telinga Adawiyah. Meremang bulu roma Adawiyah. Suara lelaki itu menakutkannya
pula. Tangannya sudah digenggam lelaki itu. Lelaki itu memaksanya berpusing
menghadapnya. Sekali lagi Adawiyah terpusing tubuhnya dan mereka berdiri berdepan
dengan lelaki itu. dia menundukkan pandangannya. Dia memang selalu kalah
berdepan dengan lelaki itu.
“Jangan degil dengan abang boleh
tak?” soalnya sambil berbisik lagi. Wajahnya tegang tetapi tetap menyerlahkan
ketampanan seorang suami di sebalik ketegasan itu. seram sejuk tubuh Adawiyah.
“Saya tak degil! Saya dah minum ubat
tadi,” jawabnya perlahan. Air matanya sudah penuh di kolam matanya.
“Betul? Kalau macam itu, kita makan,
sayang lapar ni, kalau demam tak boleh perut kosong, nanti gastrik pula
jadinya,” kata Irfan tegas. Adawiyah
sudah tidak ada pilihan. Dia terpaksa mengangguk. Sebenarnya dia sudah memasak
untuk dirinya sendiri. Perutnya sudah kenyang. Dia hanya tidak mahu ke
mana-mana dengan lelaki itu. Dengan riangnya lelaki itu memimpin tangannya
keluar dari rumah dan memasukkannya ke dalam kereta.
“Awak nak bawa saya ke mana ni?”
soalnya perlahan dan pura-pura membuka matanya.
“Kita ke restoran di mana kita
pernah bertemu kali pertama dulu,” kata Irfan. Terbuntang matanya. Dia
terbayang sebuah restoran yang berdekatan dengan pejabat di mana dia pernah
bekerja. Sebenarnya dia tidak mahu ke mana-mana dengan lelaki yang telah
menghancurkan hidupnya. Tetapi dia tidak tahu ke mana lagi dia harus pergi, dia
hanya ada lelaki itu. jika lelaki ini juga bertindak seperti ayahnya, dia tidak
tahu apa yang berlaku kepada hidupnya selepas ini.
“Awak suka memaksa,” katanya
perlahan.
“Abang tahu sayang tak sakit, sayang
sihat walafiat!” kata lelaki itu. Meremang bulu roma Adawiyah kerana diketahui
dia telah menipu. Dia menundukkan pandangannya. Irfan tersengih kecil memandang
sambil memegang tangannya.
“Jangan cuba nak tipu lain kali,
abang akan denda. Dendanya banyak dan tak ada pilihan tau!” lelaki itu sudah
mengugutnya. Dia paling benci dengan sikap lelaki itu.
“Jangan nak mengada nak ugut-ugut
orang! Saya tak kan ikut lagi! Sejak awak sudah memaksa saya nikah dengan awak,
saya takkan terbodoh lagi dengan sikap gila awak! Cukuplah kalau mak terbodoh,”
keras suara Adawiyah. Tegang wajahnya. Dia harus tegas kali ini. Dia tidak suka
diperbodohkan oleh lelaki itu. lelaki itu ketawa. kuat ketawanya hingga
menenggelamkan lagu romantik di dalam kereta itu.
“Jangan sayang nak berkeras-keras
dengan abang. Abang ni kan suami sayang.
Sayang, abang akan kotakan apa yang abang cakap! Jangan berani-berani nak cakap
abang bodohkan sayang! Cukup sekali sayang cakap benda tu! sekarang kita hidup
macam orang lain, berkawan, bercinta, berpasangan sebagai kekasih, suami isteri
dan mendapat hak masing-masing!” merah padam muka Adawiyah yang putih mulus itu
mendengar kata-kata Irfan. Kata-kata itu bagaikan hukuman. Panas mukanya
bagaikan dipanggang di atas api panasnya. Dia takut kalau lelaki itu hendak
mendapatkan haknya. Dia takkan mampu memberikannya.
“Jangan nak mengarut Irfan, siapa
nak kawan dengan awak?” lelaki itu ketawa lagi. Makin naik darah Adawiyah.
Sudahlah permintaan bekas kekasihnya Asyraf tidak dapat ditunaikan, lelaki di
depannya ini buat hal. Memang parah dirinya!
“Kita mulakan hidup kita sebagai
kawan, kalau pun bukan sebagai suami isteri walaupun kita suami isteri,” kata
lelaki itu. menggigil tubuh Adawiyah mendengarnya. Permintaan itu memang
menyakitkan dia. Irfan memandang wajahnya. Wajahnya sudah memanas sejak tadi.
“Tak nak!” jawabnya masih berdegil.
“Jangan nak bantah cakap suami,
berdosa tau!” ugut lelaki itu lagi.
“Hey, pandai lah awak mengugut ya!”
kata Adawiyah mencebikkan bibirnya. Lelaki itu memandang tajam ke arah bibirnya
walaupun sesekali melihat ke arah jalan.
“Hati-hati dengan bibir tu ya, kalau
lagi sekali sayang buat, tahulah nanti apa nasibnya!” kata Irfan. Adawiyah semakin benci dengan lelaki
yang suka mengugut itu. sekali lagi Adawiyah mencebikkan bibirnya. Lelaki itu
memberhentikan keretanya di tepi jalan secara tiba-tiba. Lelaki itu terus
memeluk tubuh kecilnya dan mencari bibirnya. Lelaki itu mengucup bibirnya
sepuas hatinya. Dia sudah tidak terkata. Sesalnya setinggi Gunung Everest!
“Awak gila! Awak gila!” jeritnya
membentak perbuatan Irfan.
“Puas hati?” soal lelaki itu
mengelap bibirnya yang basah. Adawiyah sudah teresak.
“Awak memang kurang ajar!” kata
Adawiyah dalam esak.
“Maafkan abang, jangan paksa abang.
Abang kan sudah cakap, abang akan buat apa yang abang cakap!” kata lelaki itu
lagi. Sungguh dia menyesal! Baru dia ingat yang Irfan pantang dicabar. Lelaki
itu akan menunaikan apa yang dikatakannya. Dalam esakan perlahan, lelaki itu
meneruskan pemanduannya.
Dua puluh minit di dalam kereta BMW
lelaki itu, mereka tiba di tempat yang dituju. Penyambut tetamu di restoran itu
menyambut mereka dengan senyuman mesra. Dia pula pura-pura senyum gembira
walhal dia derita. Dia sendiri yang bertambah segan dengan sikap lelaki itu
yang tidak mahu melepaskan tangannya sehinggalah lelaki itu mendudukkan dia di
kerusi empuk di restoran itu.
Lelaki itu mengambil tempahan
makanan. Entah apa jenis makanan yang dimakannya itu. Dia hanya ikut sahaja. Kalau
disuruh menyebut semula apa yang dsebut oleh lelaki itu pasti dia tidak dapat
menyebutnya. Lidahnya keras hendak bercakap bahasa lain. Entahlah pada masa
akan datang! Tidak tahu pula dia.
“Sayang, lepas ni kita keluar beli
barang-barang dapur,” dia terlongo. Sejak bila pula lelaki ini sudah prihatin
dan memikirkan dapur? Soalnya dalam hati.
“Apahal jadi baik hari ini?
selalunya kalau saya lapar, saya mati sorang-sorang kat rumah awak!” Irfan ketawa. Adawiyah seperti buat lawak pula
tetapi mukanya langsung tidak ada riak senyum.
“Sayang, mummy dan daddy abang akan
singgah di rumah kita sebentar sebelum ke Singapura pada minggu depan,” kata
Irfan. Sekali lagi Adawiyah terlongo. Keluarga mertua pula hendak ke rumah
milik Irfan? oh, sungguh menduga akal!
“Baguslah! Saya pun tak sabar nak
berjumpa bakal ibu mertua,” kata
Adawiyah perlahan. Sebenarnya dia geram.
“Bukan bakal ibu mertua tapi ibu mertua
dan ayah mertua,” Irfan membetulkannya.
Lantaklah!
Kebetulan pelayan membawa minuman
untuk mereka.
“Silakan minum, nak tersedak abang
tengok sayang tu,” kata Irfan kepada Adawiyah. Adawiyah berasa geram lantas
menghirup minuman itu, jus oren segar. Hmm, memang minuman yang menyegarkan
perasaannya yang sedang geram.
“Eh, awak ni tak senonohlah Irfan!”
kata Adawiyah perlahan. Pelayan itu pula hanya tersengih melihat telatah
mereka.
“Abang cakap yang betul!” Adawiyah
tidak menjawab. Dia malas mahu bertekak dengan lelaki itu. Seperti tidak pandai
kering ideanya mengenakan dirinya.
“Jangan bimbang kalau mummy dan
daddy abang, mereka tu baik-baik. Esok pastikan sayang bawa semua pakaian abang
ke bilik sayang tau, pasti mummy dan daddy hairan jika mereka nampak kita lain
bilik,” kata Irfan. Adawiyah sudah terkebil-kebil.
“Apa hal jadi macam tu pula? Esok?
Mak awak datang sini minggu depan kan?” soal Adawiyah.
“Hmm biasalah orang tua kan, mereka
dah tukar rancangan. Tak sabar nak jumpa menantu!”
“Tak nak, itu bukan alasan yang
kukuh,” kata Adawiyah membantah.
“Jangan susah sayang, abang takkan
buat apa-apa. Abang faham sayang, tapi ingat, abang akan buat apa yang abang
cakap ya!” kata Irfan memujuk. Sebenarnya dia sukar hendak mempercayai lelaki
itu lagi. Akhirnya dia mendiamkan diri sehingga mereka mengakhiri suapan yang
terakhir.