Novel: Salwa Maisara
Bab 1
“Wa, hari Ahad
ini kita turun ke bandar kau nak tak? Aku rasa nak beli barang,” kata Rosnah,
kawan serumahnya itu. Namun lidahnya terasa kelu. Dia tidak tahu bagaimana
hendak memberitahu kawan serumahnya itu. Mereka sama tempat kerja dan duduk
serumah. Tiket yang ditempahkan oleh emaknya sudah dicetak sebentar tadi.
“Tak dapatlah Ros, saya nak balik
kampung. Tu yang saya ambil cuti dua hari. Mak ada hal nak cakap,” kata Salwa
Maisara. Dia duduk di kerusi kayu memegang kepalanya. Rosnah sudah ketawa
melihat gelagatnya seperti hilang anak itu.
“Macam tiba-tiba pula. Baru dua
minggu lepas kau balik,” kata Rosnah.
“Entahlah, mak yang minta saya
balik. Saya tak nak balik. Banyak kerja nak buat, kau faham juga kan,” kata
Salwa Maisara.
“Tak apalah, nanti aku bawa kawan
kita yang lain saja yang jalan. Kau balik kampung lah dulu,” kata Rosnah. Dia
angguk. Rancangan di televisyen sudah tidak menjadi kesukaannya jika dia
mengingati perbualannya dengan emak sebulan yang lalu.
***
“Ha? Kahwin?
Buat apa kahwin? Belum sampai setahun
saya kerja mak! Lagipun saya muda lagi lah mak!” kata Salwa Maisara terkejut.
Dia menelan air liur yang terasa kembang di kerongkongnya. Kejutan yang
diberikan pada malam yang mulia itu bukan sekadar kejutan. Kejutan luar biasa
yang bisa mematikan kepaman oksigen ke jantungnya.
“Ya lah kahwin lah nak oiii! Mak tak
sabar nak timang cucu!” kata Puan Zuriah memberitahunya dengan selamba. Sekali
lagi Salwa Maisara menelan liur. Permintaan emaknya sungguh luar biasa.
Abangnya seorang belum habis belajar. Jadi, dia pula menjadi mangsa dalam hal
ini. Apa alasan yang terbaik dilakukannya?
“Eh, buat apa nak kahwin awal-awal
mak? Saya belum nak ada anak lagi ni!” kata Salwa Maisara pula. Dia tidak tahu
sama ada alasannya diterima kali ini. Dia benar-benar tidak dapat menerima
tawaran emaknya kali ini. Jika emaknya minta dia sambung belajar, barangkali
dia gembira sampai terlompat-lompat.
‘Buat apa nak kahwin kalau belum ada jodoh pilihan hati? Orang ni
bukannya tua sangat lagi ni!’ Salwa Maisara merungut dalam hati apabila
mengetahui ibu bapanya sudah mempunyai pilihan sendiri untuknya. Malah, dia
akan dikahwinkan pada pertengahan tahun nanti. Rupanya tinggal sebulan sahaja
lagi! Huh, berpeluhnya rasa!
“Eh Wawa ni mimpi! Muda kata Wawa? Dah berumur anak mak ni! Tinggal jauh
pula dari mak! Susah hati mak! Mak dan ayah fikir lebih baik Wawa kahwin lah!”
kata Puan Zuriah membebel di hujung talian. Sakit hati Salwa Maisara. Namun dia
tidak mahu emaknya sakit hati. Jika perlu dia terpaksa mengikut permintaan
emaknya.
“Tak apalah kalau macam tu mak. Mak dan ayahlah buat keputusan,” kata
Salwa Maisara.
Dengan berat hati Salwa Maisara
terpaksa menerima. Salwa Maisara tidak ada pilihan lain selain daripada
menerima cadangan ibu bapanya untuk menikahkannya pada hujung bulan ini. Semua persiapan disediakan oleh emaknya
Puan Zuriah dan bakal ibu mertuanya.
Semua ini gara-gara dirinya yang tidak berjaya membawa seorang calon
suami yang sesuai kepada ibu bapanya. Dia tidak pernah jatuh cinta apatah lagi
mempunyai seorang kawan lelaki tetapi lelaki. Dia pasrah dengan apa yang telah
ibu bapanya tetapkan. Mungkinkah ada hikmah di sebalik semua perkara yang
berlaku kepada dirinya? Tetapi, kalau
ikutkan hatinya, dia masih belum bersedia hendak bernikah dengan sesiapa. Dia
lebih memilih hidup sendirian di kota ini.
“Mak bukan apa Wa, mak bimbang
tengok kamu seorang diri di negeri orang. Mak mahu cepat-cepat tengok kamu
kahwin dan bagi cucu kat mak. Lagipun tak lah kamu sunyi di sana,” luah hati
emak, Puan Zuriah kepadanya suatu hari. Alasan itu terlalu klise dan memang
sudah dijangkanya. Namun dia baru beberapa tahun di negeri di bawah bayu itu.
Belum lama seperti yang dibayangkan oleh emaknya itu.
“Tak adalah negeri orang tu mak. Dah
lama saya kat sana, tak ada apa-apa pun! Orang sana baik-baik belaka mak! Tak
ganggu orang pun!” jawab Salwa Maisara. Terbuntang mata emaknya mendengar
jawapannya. Lantas, Salwa Maisara memeluk emaknya. Dia terlalu rindu akan
emaknya itu dan dia takut emaknya itu akan tersinggung dengan kata-katanya itu.
“Pihak keluarga lelaki memang sudah
datang melamar dan menetapkan tarikh. Cuti sekolah ni mak nak kamu balik Salwa.
Mak tak benarkan lelaki tu jumpa kamu di sana. Biarlah semuanya bermula selepas
nikah nanti,” panjang lebar kata-kata emaknya, Puan Zuriah. Sedangkan dia hanya
rela menadahkan telinganya sahaja. Dia tidak terbayangkan seorang lelaki yang
tidak menerima pernikahan mereka kelak. Bagaimana jika ia berlaku? Soalnya
kepada diri sendiri.
“Lelaki tu memang duduk di Sabah ke
mak?” soalnya tetap ingin tahu terhadap lelaki yang kononnya hendak datang
melamarnya. Namun dia tidak ada kuasa membantah.
“Aa’ah lah, kalau tak manalah ayah
kau nak percaya. Mak ayah dia orang sini, dia uruskan perniagaan ayahnya di
sana.” Salwa Maisara sudah mengangguk. Dia sebenarnya agak pening juga
memikirkan permintaan yang terbesar dari ibu bapanya ini. Namun, dia tidak
diberikan pilihan untuk membantah. Dia tidak mahu emaknya akan terkejut jika
dia membantah nanti. Tak pasal-pasal emaknya akan masuk ke dalam hospital pula.
“Dia nak kan Wawa ke mak?
Jangan-jangan dia dipaksa macam Wawa juga,” soalnya kepada Puan Zuriah. Puan
Zuriah tersenyum.
“Mestilah emak dan ayah dan keluarganya yang uruskan hal ini,” terkejut hatinya.
Ini bermakna lelaki itu juga dipaksa menerima dirinya. Ini yang parah, kata
hatinya. Jangan-jangan lelaki itu sudah ada yang punya. Dia pula yang kacau
daun.
“Saya tak kenal dia lah mak! Saya
berat hati pula nak terima usul mak ayah ni,” Salwa Maisara memberikan
alasannya.
“Nanti sebelum nikah, kamu jumpalah
cuba berkenalan dulu! Baik budaknya! Mak memang dah jumpa dia! Mak berkenan
sangatlah dengan dia tu!” puji Puan Zuriah. Salwa Maisara tidak ada alasan
hendak membalas kata-kata emaknya. Sebenarnya sudah beberapa hari dia bingung
memikirkan tempoh waktu yang ibu bapanya berikan. Waktu itu sudah tamat. Dan,
pelik dia tidak mampu mendapat pilihan hatinya.
“Ya ke ni mak? Entah-entah depan mak
saja dia baik, depan saya belum tentu lagi,” kata Salwa Maisara memberi alasan.
Hatinya cuak.
“His, kenapa cakap macam tu? Kita
doalah agar Wawa dapat suami yang baik yang soleh,” balas Puan Zuriah. Nada
suara emaknya sudah berubah tinggi.
“Sebenarnya lelaki itu siapa mak?”
soal Salwa Maisara yang tidak senang hati dengan cadangan ibu bapanya. Namun
dia memang tidak ada alasan hendak membantah.
“Dia anak kenalan ayah kau! Ayah dia
tu memang usahawan sejak dulu lagi. Anak dia pewaris perniagaan mak ayah dia,” kata Puan
Zuriah. Salwa Maisara lebih suka menadah telinga. Sebenarnya dia memang hendak
mengenali dulu calon suami yang dipilihkan emaknya untuk dia.
‘Saya tak pandai lah nak cakap macam
mana mak, saya belum ada hati nak kahwin sebenarnya,’ kata Salwa Maisara dalam
hati. Wajah manis emaknya dipandang. Sebenarnya dia benar-benar belum mahu
menamatkan zaman daranya. Dia mahu memperkasakan kerjayanya. Dia mahu
menyambung pelajarannya. Dia sudah merancang hidupnya dalam diam.
“Wawa ni macam tak ada hati nak kahwin.
Wawa ingat, Wa bukan muda? Umur Wawa dah tua! Mak dulu, umur macam Wawa tu ada
dua anak!” balas Puan Zuriah lagi. Salwa Maisara bertambah sedih. Usianya
menjadi sandaran emaknya hendak menjodohkannya dengan lelaki yang bukan
pilihannya. Malah tidak dikenalinya!
“Dulu lain mak, sekarang lain,” kata
Salwa perlahan. Dia menundukkan pandangannya.
“Sama saja dulu dan sekarang, tak
ada bezanya,” bantah Puan Zuriah yang sudah menaikkan darjah suaranya. mungkin
emaknya sudah marah dengan ketidak setujuannya.
“Kalau baik bagi mak, baiklah bagi
saya,” kata Salwa Maisara yang begitu berasa sedih dengan nasibnya. Apatah lagi,
Hakimi yang sama-sama bertugas dengannya tidak menunjukkan apa-apa perasaan
selain perasaan sesama rakan sekerja. Mungkin Hakimi sama seperti dirinya.
Saling berasa malu hendak meluahkan perasaan. Walaupun dia ada menyimpan
sedikit harapan, namun lelaki itu tidak pernah menunjukkan harapan berlebihan kepadanya.
Dia beranggapan Hakimi hanya mahu menjadi kawannya sahaja. Itulah yang
mengecewakan dirinya.
Namun dia cepat-cepat tersedar yang
jodohnya bukan bersama dengan Hakimi. Itulah yang telah ditentukan. Dia tidak
seharusnya menyesali qada’ dan qadar Allah.
Tetapi esok petang, Salwa Maisara
bertekad hendak bertemu dengan Hakimi dan menerangkan masalah ini. Mungkin dia
yang harus berani meluahkan perasaannya. Dia seharusnya berbuat sesuatu. Jika
Hakimi memberikan sesuatu yang positif dalam perhubungan mereka, dia akan
menolak cadangan ibu bapanya menikahkannya akhir semester nanti.
‘Ah, Wawa memang belum nak kahwin!
Aku belum sedia! Mak tolonglah Wawa!’ Bisik hati Salwa Maisara.
“Wawa, kalau kau nak tidur pun
janganlah tidur di sofa tu. Baik kau tidur di bilik!” kata Rosnah
mengejutkannya. Dengan terhuyung-hayang dia melangkah menuju ke biliknya.
Bab 2
“Hakim, boleh tak kita jumpa petang
ni?” soal Salwa Maisara memohon sesuatu dari lelaki itu.
“Tentulah boleh, saya jemput Salwa
petang ni?” Salwa Salwa Maisara menggeleng. Hakimi mengenyitkan matanya ke arah
Salwa Maisara.
“Tak payah nak jemput-jemput nanti
kita jumpa. Saya bawa Irsha ya, kawan serumah saya tu!” kata Salwa Maisara.
“Boleh tak ada salahnya,” kata
Hakimi.
“Kenapa nak jumpa, tak boleh cakap
di sini? Cerita fasal apa?” Soal Hakimi ragu-ragu malah tertanya-tanya. Dia
pasti berita pertunangannya belum diketahui oleh Hakimi.
“Bukan macam tu. Bukankah kita
selalu minum di Starbuck tu, tak ada salahnya kan?” kata Salwa Maisara bagaikan
berdolak-dalik lagi.
“Ya tak ya juga kan! Tapi...” Hakimi
diburu kehairanan. Salwa Maisara bimbang kalau-kalau Hakimi terus memujuknya.
“Tapi apa?”
“Salwa ada masalah? Tunang Salwa tak
marah?” terkejut Salwa Maisara dengan soalan Hakimi. Pasti Hakimi dapat
membacanya.
“Tak apalah Hakim, nanti kita jumpa
tahu. Saya tunggu di situ dengan Irsha. Jangan kau tak datang pula.” Pesan
Salwa Maisara. Salwa Maisara berasa sangat kecewa apabila Hakimi sudah menghidu
berita pertunangannya minggu lalu. Bagaimana dia hendak meluahkan perasaannya?
Takkan dia dicop sebagai gadis gatal nanti? Ah, dia terpaksa mendiamkan diri.
“Ya ya, mana saya nak lupa pula,
tapi tunang Salwa tak apa-apa?” Salwa Maisara menggeleng setelah didesak
begitu. Mukanya sudah masam. Hamm, kalau Hakimi sudah tahu dirinya sudah
bertunang buat apa dia berterus-terang? Tentu segalanya tidak ada gunanya.
“Dia tak marah punyalah Hakim! Lagipun
dia kat KL sekarang ni! Tak apalah Hakim, kita jumpa nanti. Saya ada kuliah ni.
Sampai petang tau,” kata Salwa Maisara yang sudah mengangkat beg kerjanya.
Hakimi hanya memerhatikan Salwa Maisara berlalu. Salwa Maisara pula berasa
betapa sayunya hatinya. Berdebar pun ada. Ini kerana dia sedikit hilang
keyakinan apabila hendak memberitahu perasaannya kepada Hakimi. Dia tidak tahu
apakah pandangan masyarakat kepadanya. Tetapi, perlukah dia memikirkan
masyarakat sedangkan nasibnya sudah separuh hidup? Aduh, kacau, hatinya memang
kacau dan galau!
***
“Jadi, macam
mana ni Irsha, kau jadi tak ikut aku ni?” soal Salwa Maisara yang masih berulit
di atas katil bujangnya. Dia lebih bahagia hidup sebagai orang bujang daripada
memikirkan perkahwinan. Dia benar-benar belum bersedia ke arah itu.
“His, mestilah jadi. Nak makan dan
jumpa kawan kau kan? Mestilah aku nak! Aku pun nak juga berkenalan dengan
pensyarah muda yang tampan tu! Takkan kau saja yang berpeluang!” kata Irsha.
Terbuntang mata Salwa Maisara mendengar kata-kata Irsha yang sungguh berani.
‘Takkan Irsha ada hati dengan Hakimi? Hai, melepaslah aku kalau begitu!
Kalau Syed Budriz ceraikan aku, aku juga yang putih mata, makan hati!’
“Tak ada masalahnya aku nak kenalkan kau dengan si handsome dan orang
harapan fakulti aku tu! Dia memang bergaya tau!” kata Salwa Maisara.
“Ya, tak ada masalahnya kan. Kebetulan pula kau dah bertunang, jadi aku
tak ada masalahlah kan?” Dalam kepedihan Salwa Maisara mengangguk. Salwa
Maisara tiba-tiba berasa sedih apabila keberaniannya hilang begitu sahaja.
“Ya lah tu. Memang tak ada masalah lah! Kau tengoklah dan berkenalan lah
nanti ya! Aku pun suka juga kalau lelaki tu jatuh ke tangan kau!” balas Salwa
Maisara. Dalam hatinya Tuhan sahaja yang tahu. Entah bagaimana pula dia hendak
meluahkan perasaannya kalau Irsha tidak ada. Kalau Irsha tidak dibawa
menemaninya, dia tidak boleh pula berdua-duaan dengan Hakimi. Ditelan mati emak
diluah mati emak!
***
“Hakim, kenalkan
ini Irsha. Kawan serumah aku,” kata Salwa Maisara memperkenalkan Irsha kepada
Hakimi. Irsha yang manis menawan itu tersenyum sahaja.
Setelah selesai menempah minuman,
Salwa Maisara berhajat hendak meluahkan perasaannya. Namun dia tidak mendapat
perhatian dari Hakimi. Irsha sentiasa membawa cerita-cerita yang menarik untuk
mereka bertiga. Hakimi pula sentiasa terhibur dengan cerita-cerita yang
dibawakan oleh Irsha.
“Hakim, sebenarnya saya ada benda
nak beritahu ni,” kata Salwa Maisara.
“Nantilah Salwa. Ni nak dengar
cerita yang baru Irsha bawa ni, ok Irsha, cuba sambung cerita yang tadi tu,” kata
Hakimi. Salwa Maisara menelan liurnya. Terlalu sedih dengan perancangannya yang
tidak mungkin terjadi. Mungkin Hakimi sudah mengetahui berita pertunangannya
menyebabkan lelaki berjauh hati. Tetapi, perlukah dia berterus-terang sekarang?
Rasanya dia perlu mendiamkan diri sahaja. Mungkin itu lebih baik!
“Kejap-kejap, saya nak makan ni
kejap. Tak tertelan pula nasi goreng saya ni nanti,” kata Irsha pula.
Hmm lain cerita, Irsha ni sebenarnya
kerja mana?” soal Hakimi yang ingin mengenali lebih lanjut mengenai diri Irsha
pula.
“Hmm, tanya Salwa saja lah. Saya
malulah nak cakap. Saya ni sapa lah!” kata Irsha merendah diri. Hakimi ketawa.
“His, Irsha cakaplah sendiri, buat apa nak tunggu saya pula,” kata Salwa
Maisara pula. Salwa Maisara terasa hati pula dengan sikap Hakimi yang lebih
memberikan perhatian kepada Irsha.
“Cakaplah Irsha,” desak Hakimi. Begitu
mesra mereka bercakap walaupun baru pertama kali mereka bertemu. Salwa Maisara
bertambah kekok hendak berterus terang. Ah, biarkanlah. Mungkin memang bukan
jodohnya. Dalam diam, hatinya tersayat sendiri.
“Saya guru saja. Cikgu kat sekolah
rendah! Lain lah macam korang ni pensyarah! Saya ni cikgu!” jawab Irsha.
“Kita pun guru macam Irsha juga!
Jangan rasa rendah diri begitu Irsha,” jawab Hakimi yang seperti sudah lama
mengenali gadis itu.
Salwa Maisara tenggelam dalam perasaannya sendiri dan Irsha bersama
Hakimi dengan gelak ketawa mereka. Salwa Maisara pula dapat memerhatikan sorot pandangan
Hakimi yang berbeza terhadap Irsha. Tidak pernah Hakimi memandangnya begitu.
Tahulah Salwa Maisara yang lelaki itu bukan untuknya. Sudah beberapa kali dia
bersolat istikhorah dan jawapan kepada solatnya itu bukan lelaki yang di
depannya kini. Lelaki itu sungguh berbeza! Ah, Salwa Maisara akhirnya terpaksa reda dengan apa yang
berlaku! Hendak menangis pun tidak ada gunanya. Percubaannya hendak meluahkan
perasaannya akhirnya dipendamkan begitu sahaja. Dia reda!
Bab 3
“Aku terima
nikahnya Salwa Maisara Binti Abdul Malik dengan maskahwinnya dua ratus
tunai...”
Itu sahaja yang dapat didengar dengan jelas di telinga Salwa Maisara. Air
matanya tumpah laju mengiringi perkataan ‘sah’ daripada para saksi yang berada
di dalam rumah mereka itu. walaupun dia tidak mengenali siapakah suaminya yang
sebenar, namun dia tetap bertekad akan menjadi seorang isteri yang baik dan
membahagiakan suami.
Selepas sahaja pernikahannya, Salwa Maisara tidak keruan. Lelaki yang
dinikahi pun tidak cukup dikenalinya, dia bagaikan kahwin paksa walaupun
kedua-dua mereka telah pun bersetuju dengan pernikahan itu.
“Salwa, kenapa air mata tu jatuh lagi? Dah sah kamu jadi isteri orang,
sepatutnya kamu dah senyum gembira,” mendengar bebelan mak andam itu, Salwa
Maisara terpinga. Mak andam sibuk menyapukan bedak di mukanya. Salwa Maisara
hanya menutup matanya.
“Kenapa tak suka?” soal mak andam lagi. Emaknya pula tidak tahu di mana.
Salwa Maisara angguk.
“Suka mak cik,” jawab Salwa Maisara sebak. Dalam hatinya hanya Tuhan
sahaja yang tahu.
“Jadi kenapa nangis?” soal mak andam tidak puas hati dengan apa yang
dilihatnya.
“Sejak tadi wajah pengantin murung. Jadi pengantin kena berseri, tak
boleh bersedih!” bebel mak andam lagi. Mak andam tersebut ialah kawan baik
emaknya. Salwa Maisara sudah lama mengenali mak andam.
“Kalau mak kamu tahu, tak tahu apa katanya,” katanya lagi.
“Jangan bagi tahu kat mak Sal mak cik,” pinta Salwa Maisara.
“Ha, kalau macam tu senyum sikit! Pihak pengantin lelaki nak masuk dah
tu! Senyum tau!” arah Salwa Maisara pula. Salwa Maisara mengangguk.
“Salwa, pengantin lelaki mahu masuk bilik tu batalkan air sembahyang, sal
jangan masam ya,” pinta Mak andam lagi. Kedengaran suara riuh-rendah apabila
pengantin lelaki sudah menapak masuk ke biliknya. Salwa Maisara pun berasa
dadanya bagaikan dipukul dengan pemalu gong. Salwa Maisara cuba buat-buat
tenang walaupun hatinya tidak lah setenang mana. Ibu lelaki Puan Norainah dan
emaknya sendiri Puan Zuriah sudah mendekatinya. Tetamu yang lain juga sudah
menghurungi biliknya. Jurugambar yang dibayar dan tidak dibayar juga sudah
kelihatan di pintu biliknya. Ada yang sudah menyusup masuk ke dalam.
“Hulurkan tangan nak, pengantin lelaki nak sarungkan cincin,” bisik emak
apabila pengantin lelaki sudah berada di depannya. Salwa Maisara tidak sedar
bilakah emaknya masuk ke dalam biliknya itu. Salwa Maisara tidak berani hendak
angkat wajahnya. Sekilas sahaja tadi dilihatnya wajah lelaki itu masam
semasamnya. Macam dipaksa kahwin dengannya. Entah benar atau tidak dia dipaksa,
tetapi dari wajah itu telah memberikan jawapannya. Ha, Salwa Maisara malas mahu
mengambil tahu hal itu. Bukan urusannya!
“Pengantin perempuan, angkat sikit muka tu! Asyik tunduk sejak tadi,”
suara ibu kepada pengantin lelaki alias ibu mertuanya memberikan komen. Salwa Maisara
terpaksa mengangkat mukanya dan memaniskan wajahnya. Betapa berdebarnya dadanya
saat terpandangkan wajah tampan pengantin lelaki yang menjadi pasangannya.
Sesusuk tubuh tinggi tegap dengan pakaian sedondon putih dengannya.
Tidak dapat dia gambarkan dengan kata-kata saat itu. Memang dia telah
jatuh sayang tetapi layakkah dia berbuat demikian? Huh, Salwa, jangan pula kau
mudah perasan dan jatuh cinta! Kau tak boleh buat begitu! Begitulah bisikan
kata hatinya membuatkan dia terasa hati sedikit.
Selesai sahaja menyarungkan cincin, lelaki itu mencium dahinya. Syahdu
terasa walaupun antara mereka berdua tidak ada perasaan apa-apa. Agak lama juga
bibir lelaki itu berada di dahinya kerana hendak fokus kepada kamera. Agak
lemas juga Salwa Maisara dengan apa yang baru berlaku.
“Salwa, cium tangan suami tu!” suara emak pula kedengaran setelah selesai
lelaki itu mengucupi dahinya. Dia akur dengan arahan emaknya itu. Dia mencapai
tangan pengantin lelaki lalu menciumnya. Sesaat, dua saat, sudah selesai. Ada
kedengaran suara-suara nakal dan berdehem-dehem. Muka Salwa Maisara menjadi
merah mendengar usikan itu.
“Ha, macam tu lah menantu mama, gadis yang manis,” kata suara tadi. Sah,
memang dia adalah ibu mertuanya. Salwa Maisara hanya tersenyum manis dengan
pujian itu. Bertambah-tambah manis senyumannya dengan lesung di pipi kanannya.
“Lepas ni salam dengan saudara mara di luar ya, Budriz, kamu pun sama,”
arah Puan Norainah, ibu kepada pengantin lelaki. Dia mengangguk.
Selesai segala yang wajib, jamuan makan diadakan. Majlis persandingan
akan diadakan pada waktu petang. Ayah sudah menguruskan semuanya untuk
menjimatkan waktu. Esok dia akan dibawa bertandang ke rumah pihak lelaki pula.
Lusa pula mereka akan balik ke Kota Kinabalu. Lelaki yang baru menikahinya mempunyai
urusan yang tidak dapat dielakkan di situ. Salwa Maisara akur juga dengan
arahan itu. Dia sudah menjadi isteri kepada lelaki itu.