Kuimpikan Bahagia Bab 15
Sambungan Kuimpikan bahagia Bab 15
15
Aliff
Hakimi cepat-cepat mengambil kunci keretanya. Agak ramai tetamu yang datang.
“Nak ke mana tu Aliff?” soal Datin
Hamidah memerhatikan anaknya itu. Aliff Hakimi kelihatan terkejut.
“Saya? Nak jemput isteri saya mama,
mama kan nak jumpa dia!” Datin Hamidah kerling jam di dinding dapurnya. Baru
pukul 740 malam. Datin Hamidah tersenyum, tersengih-sengih.
“Hmm, pergilah walaupun masih awal lagi
kan?” Aliff Hakimi tersenyum. Dia salam tangan mamanya.
“Mama, saya takut jalan sesak nanti,”
kata Aliff Hakimi turut tersengih-sengih.
“Ya lah, pergilah jemput dia. Tetamu mama
pun sudah ramai ni. Lagipun…” Datin Hamidah berhenti bercakap. Dia tahu ada
sesuatu yang berlaku antara anak dan menantunya itu. Aliff Hakimi memandang
mamanya dengan penuh kehairanan.
“Lagipun apa mama?” Datin Hamidah serba
salah. Selama ini anak mahupun menantunya tidak pernah bercerita mengenai
masalah rumah tangga mereka kepadanya. Dia sedar, anaknya juga sangat sibuk
dengan perniagaan keluarga dan menantunya pula bekerja. Hanya melalui besannya
sahaja dia mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dalam rumah tangga anaknya
yang baru setahun jagung itu. Ah, dia sendiri serba salah hendak bercakap
mengenai anak menantunya. Dia bimbang tersilap cakap dan anaknya akan
menuduhnya campur tangan dalam urusan rumah
tangga mereka. Aduhai, Datin Hamidah serba salah sekali. Dia sudah
tersilap cakap tadi.
“Tak ada apa-apa Aliff, mama harap
Aliff bawa kereta dengan hati-hati dan layan isteri dengan baik,” Aliff Hakimi
mengangguk. Mungkinkah anaknya itu sedar ada sesuatu yang ada di benaknya
sebagai seorang ibu yang sayang akan keharmonian rumah tangga anak lelakinya itu?
“Saya tahu mama ada sesuatu nak cakap,”
Datin Hamidah menggeleng. Biarlah anaknya menguruskan menantunya buat masa ini.
Dia tidak sesekali akan masuk campur. Dia tahu anak lelakinya bijak dan dia
sendiri mendoakan kesejahteraan rumah tangga anaknya itu. Ibu mana yang tidak
mahu melihat anak dan menantunya bahagia kan?
“Mama harap kamu berdua akan bahagia
nak,” tambahnya perlahan. Tiba-tiba dia terasa sebak. Dia tahu anaknya itu
tidak begitu mengenali menantunya. Tetapi dia tahu anak menantunya itu akan
bahagia nanti. Itu sahaja doanya setiap hari.
“Mama doakan ya,” kata Aliff Hakimi. Aliff
Hakimi tahu ada sesuatu yang hendak dikatakan oleh mamanya itu. Namun, mamanya
tidak melahirkannya dalam bentuk zahir. Aliff Safwan tahu mamanya dapat
mengesan ada sesuatu yang tidak betul dalam rumah tangganya tetapi dia sendiri
tidak mampu mengongsikan dengan mamanya mengenai hal itu. Dia sendiri berasa
segan hendak bercerita dengan mamanya walhal mereka seperti dua orang sahabat
selama ini. Namun, mengenai rumah tangga yang baru dibinanya dia belum mahu
berkongsi dengan mamanya atau sesiapa sahaja. Biarlah dia menyelesaikannya
sendiri dahulu.
“Apa yang kamu bualkan tu? Tetamu kita
dah datang tu, takkan kamu tak nak berenggang di sini,” papanya datang menegur
kedua beranak yang sedang sibuk berbual itu.
“Err, ya lah, papa, mama saya kena
gerak dulu sekarang.” Kata Aliff Safwan
menyalami tangan papanya.
“Jalan elok-elok.” Pesan papanya pula. Aliff
Safwan hanya mengangguk dan tersenyum manis kepada papa dan mamanya yang
memandangnya dengan penuh makna.
“InsyaAllah papa,” Aliff Safwan terus
bergerak menuju ke pintu. Kunci sudah di tangannya.
Ketika terbayangkan wajah isterinya, dia tiba-tiba terasa
sebak pula. Mungkin berasa amat bersalah dengan apa yang sudah dilakukannya
selama ini. Selama ini dia sepatutnya sering membawa isterinya datang bertemu
dengan ibu bapanya tetapi selama lebih enam bulan pernikahan mereka, dia begitu
sibuk dengan tugasnya sehingga mengabaikan isterinya sendiri. Sekarang dia bagai terhantuk di tangga, dan cuba
memperbaiki hubungannya dengan isterinya yang terabai selama ini. Malah yang
lebih menyakitkan isterinya itu sudah pun menuntut cerai di mahkamah. Dalam waktu
yang sama pula, bekas kekasihnya sudah ditangkap basah dengan seorang ahli
perniagaan veteran tiga bulan yang lalu. Selama ini dia ingatkan bekas
kekasihnya benar-benar hendak kembali kepadanya dan bersedia bernikah dengannya. Rupanya dia hampir
terperangkap oleh gadis itu. Ya, dia benar-benar terasa dahinya berdarah
seperti terhantuk di tangga. Huh! Dia sendiri yang sudah membuat kesilapan.
“Ah, aku sepatutnya memulakan langkah baru dengan
isteriku sendiri,” azamnya dalam hati. Dia terus menghidupkan enjin keretanya
dengan segera. Dia tidak mahu isterinya tertunggu-tunggu pula sekarang ini.