Novel: Sentuhan Kasih
Ini bab yang ke-8
8
Sudah seminggu perkahwinanku. Aku bersyukur kerana Aliff Safwan
menunaikan janjinya kepadaku. Biarpun aku terasa berdosa kerana tidak
menunaikan tanggungjawabku namun kami tetap berpegang kepada janji kami. Jadi,
dari janji itu tidak timbul masalah lain yang kelak akan berbangkit. Itulah
harapanku. Hari itu, Aliff Safwan mundar mandir di dalam bilik kami. Dia sudah
mengemaskan tempat tidurnya. Aku pura-pura tidak menyedari akan perbuatannya.
Aku sibuk menyolek diriku di depan cermin.
“Aliya, cuti Aliya ada lagi kan?” soal Aliff Safwan. Aku
takut dia akan membicarakan soal bulan madu. Aku tidak mahu berbulan madu di
mana-mana. Aku lebih suka memerap di rumah menghilangkan kepenatan selepas
menguruskan perkahwinan kami.
“Cuti Aliya hanya
lima hari lagi. Dua hari habis lah. Apa hal?” soalku selamba. Lama dia menatap
aku namun aku terus menundukkan pandanganku ke lantai apabila aku bertemu
pandang dengannya. Aku bimbang aku akan terkena lagi. Namun, selepas aku kembali ke Kota Kinabalu,
hidupku akan normal seperti biasa. Kami akan membawa haluan hidup
masing-masing. Itulah yang kuharapkan akan berlaku dalam hidupku ini. Aku tidak
mahu terkurung begini. Malah, hubungan kami tidaklah semesra suami isteri yang
lain. Hubungan kami aneh namun aku berharap ibu bapa dan ahli keluarga Aliff
yang lain tidak akan menghidu keanehan hubungan kami.
“Abang cadang nak bawa Aliya pergi melawat ke rumah
keluarga abang dan ke rumah abang err rumah kita,” Katanya ragu-ragu. Aku
menjadi bingung apabila dia menyebut rumahnya sendiri. ‘Rumah kita? Bila beli
rumah sendiri?’ soalku dalam hati. Mungkin ada sesuatu yang aku tidak tahu
mengenai diri lelaki yang sudah menjadi suamiku ini. Suami? Errk! Rasanya macam
ganjil lagi!
“Aliff, bukankah hari tu Aliya dah melawat ke kampung
awak dengan keluarga Aliya, kenapa nak pergi lagi? Saya tak selesalah kalau
balik-balik pergi sana! Saya seganlah, lagipun, saya nak habiskan cuti di sini.
Penat lah!” kataku yang pura-pura tidak faham akan hasratnya. Aku teringat kepada ibu dan adik iparnya. Emaknya
menjeling aku pada hari kami bertandang ke rumahnya.
Mungkin emaknya juga tidak suka menjadikan aku menantu. Ini
kerana kami adalah pilihan neneknya dan nenekku. Aliff adalah anak lelaki
sulung, pastilah emaknya tidak mahu anaknya jatuh ke pangkuan perempuan
sembarangan. Kebetulan Aliff ada adik lagi tetapi adiknya masih bersekolah
lagi. Ah, kenapa aku? Kenapa aku tidak tahu sejak awal lagi? Ah, kalau aku
mempunyai anak lelaki tentu aku juga akan memilih gadis yang sempurna untuk
anak lelakiku. Errk, anak? Bila masa aku akan punya anak, kalau terikat dengan
perjanjian kami?
“Buat apa nak segan balik rumah mertua! Mertua kan ibu
bapa Aliya juga. Tapi, abang cadang nak pergi bawa Aliya tidur rumah abang
sekali. Kita duduk sana sehari dua hari.
Tak salahkan? Ibu bapa mertua Aliya pun nak juga tengok menantunya! Buat apa
Aliya nak malu!” katanya lagi. Aku mengerutkan dahi. Aku memang malu. Malu
semalu-malunya. Aku ni adalah mangsa keadaan!
“Tak boleh lah macam tu. Aliya nak duduk sini lagi
sampai cuti Aliya habis. Lagipun ada kerja kursus yang Aliya nak siapkan.
Malulah kalau Aliya buat di rumah awak. Macam tak manis pula. Nanti apa pula
kata ibu bapa awak,” Kataku menolak. Aliff Safwan memandangku. Aku memohon
pengertiannya.
“Tak apalah kalau macam tu. Aliya tinggal dulu di
sinilah. Abang sebenarnya ada kerja lagi di kebun abang. Ada panggilan dari
pekerja abang semalam, tu yang abang terpaksa balik ke sana! Lagipun tak guna
saya bawa sayang ke sana, tak ada juga gunanya. Nak berpandangan pun susah!”
Kata Aliff Safwan berterus-terang. Dia
menatapku sayu. Aku terdiam apabila diberikan pilihan seperti itu. Sebenarnya
aku lebih suka tinggal di rumah ibu bapaku ini. Aku lebih selesa.
“Ya lah. Aliya tinggal sini. Nanti kalau Aliff dah tak
sibuk barulah Aliff datang sini, boleh tak kalau macam tu? Lagipun, bukankah
awak dah setuju macam sejak sebelum kita kahwin dulu!” kataku meminta Aliff
Safwan mempertimbangkan permintaanku yang satu itu. Aku tersenyum kepadanya. Aliff
Safwan mengangguk. Hatiku berbunga gembira andainya Aliff Safwan setuju dengan
cadanganku itu. Aku ingin bermanja dengan emak seperti hari-hariku yang lalu.
“Kalau begitu kata awak, saya tak ada bantahan lah. Ada
klien nak jumpa abang. Abang takut kalau
abang lambat balik pula!” Katanya pula dengan suara yang sayu. Aku tidak mahu
berasa bersalah atas kata-katanya itu.
“Buatlah kerja awak tu baik-baik. Minggu depan saya
balik ke KK, awak tak perlu jemput. Nanti abang saya akan jemput saya.” Kataku
pula. Terbuntang matanya mendengar permintaanku kali ini.
“Kalau bab-bab menghantar tu, abang tak boleh
lepaskannya kepada abang Aliya sayang. Yang tu dah menjadi tanggungjawab abang.
Nanti apa kata ibu bapa Aliya. Jangan susah hati, abang akan datang bila tiba
waktunya.” Kata Aliff Safwan berjanji. Aku malas mendengar janjinya.
“Terima kasihlah kalau awak masih ingatkan tanggungjawab
awak. Tapi…janganlah bersayang-sayang dengan saya! Geli tau!” Kataku selamba.
Sebenarnya aku geram.
“Abang sentiasa ingatkan tanggungjawab terhadap isteri
kesayangan abang ni! Jaga diri baik-baik ya. Kalau sempat nanti malam abang
balik. Kalau tak sempat, abang bermalam di rumah keluarga atau di rumah kita,”
katanya sambil mencuit hidungku. Aku tidak sempat mengelak.
Aku kehairanan apabila dia menyebutkan ‘rumah kita’. Dia
tidak pernah menyebutkan tentang rumah selama ini. Dia hanya menyebut hendak
membeli rumah di tempat aku bekerja nanti. Dia tidak mahu aku menumpang di
rumah abangku Mazlan selepas beberapa bulan kami bernikah. Ke mana pula dia hendak membawa aku? Takkan aku
nak pindah kerja pula? Alamak! Tak naklah!
Kami keluar dari bilik dan menuju ke ruang dapur. Emak
sudah menyediakan sarapan untuk kami semua. Abang Mazlan pula sudah balik ke
rumahnya bersama dengan keluarganya.
“Saya balik ke kampung saya hari ni mak, ayah. Saya
balik sendiri. Ada kerja sikit. Aliya biar tinggal di sini dulu lah. Ada kerja
katanya,” Kata Aliff Safwan membuka bicara. Hampir terbeliak mataku. Wajah emak
dan ayah juga berubah seperti ada yang tidak kena. Aku berasa serba salah pula
dibuatnya. Aku hanya memberikan alasan yang aku mempunyai kerja kursus. Walhal
kerja kursusku sudah kusiapkan sebelum hari perkahwinanku tempohari. Aduh,
macam mana ni?
“Ha! Balik sendiri? Kenapa pula macam tu? Nanti apa pula
kata ibu bapa Aliff! His, Aliya, kenapa awak buat macam ni dengan suami awak?
Awak ni tak senonoh langsung!” suara emak tegas. Perasaanku menjadi tidak
menentu. Ayah juga membuntangkan mata. Aku memijak kaki Aliff Safwan. Aku
mengharapkan dia akan memberikan kerjasama yang baik kepadaku.
“Abang ada kerja di kebunnya ayah. Takkan Aliya nak ikut
di kebun pula. Biarlah Aliya di sini. Lagipun Aliya ada kerja nak buat ayah.
Tempat kerja abang tu bukannya jauh dari sini mak, ayah!” kataku menambah.
Marak mata ayah dan emak. Aku tahu ayah dan emak tentu tidak akan setuju dengan
cadanganku.
“Ya ayah. Aliya tinggal di sini sementara cutinya pun
masih ada. Tak apalah ayah, mak. Saya balik sekejap saja, petang ni baliklah
saya semula ke sini! Biarlah Aliya berehat di sini dulu!” Kata Aliff Safwan
menyokong. Kami berpandangan seketika. Dia menganggukkan kepalanya sambil
tersenyum. Aku mendiamkan diriku. Namun, dalam diam, dadaku bagai dipalu beribu
kali.
“Mana boleh macam tu Aliya. Kamu kan baru saja menikah!
Sepatutnya isteri yang baik sentiasa di sisi suaminya. Lepas minum ni,
cepat-cepat Aliya pegi siapkan pakaian dan ikut bersama-sama dengan Aliff,
bukan nak duduk di sini! Awak bukan tak
ada suami. Awak dah ada suami! Takkan masih nak duduk bawah ketiak emak bapa!
Lain lah dulu!” panjang lebar hujah ayah. Aku terkedu. Aku memang berniat
hendak bermanja-manja dengan emak.
“Tapi ayah…” aku memohon sesuatu kepada ayah. Aku tidak
mahu dia membuat keputusan bagi pihak Aliff Safwan.
“Tak ada tapi tapi lagi Aliya. Awak kena ikut suami kau
walau di mana sahaja dia pergi! Jangan nak berdegil lagi. Awak pergi kemas
pakaian awak, ikut suami kau ke rumahnya.” kata ayah tegas. Suaranya lantang.
Kulihat wajah Aliff Safwan ceria. Senyumannya mekar di bibir. Aku bertambah
geram.
“Tapi mak…” aku cuba memohon pertimbangan emak agar
mengasihaniku. Namun aku tewas. Emak semakin membuntangkan matanya ke arahku.
Aliff Safwan hanya tersengih-sengih sendiri. Dia tidak ada komen.
“Aliya tak tengok kampung Aliff? Tak suka? Kenapa macam
tu?” soal nenek mencelah. Aku turut terkejut dengan kehadiran nenek. Selalunya
dia hanya selesa di biliknya pada waktu
pagi begini.
“Tak apalah kalau Aliya nak tinggal sini ayah, nek.
Petang nanti saya balik juga! Lagipun saya ada kerja sikit nak buat di kebun!”
kata Aliff Safwan pula masih cuba menyebelahiku. Aku juga memohon
pertimbangannya. Namun ibu bapaku sangat keras berkaitan hal kebajikan suami
anaknya ini.
“Dengarlah kata ayah kau tu Aliya. Mak tak boleh biarkan
kau di sini, kau dah ada suami nak! Kalau tadi, Aliya masih tak suami, tak
apalah. Nanti apa pula kata mertua awak. Tentu tak manis dipandang orang. Pasti
kawan-kawan Aliff akan bertanya yang mana satu isterinya Aliff!” kata emak
menyokong ayah. Aku terdiam. Tidak ada sesiapa lagi yang menyokong aku. Mee
goreng yang sedang kunikmati terasa seperti hablur-hablur yang keras dan tidak
mampu kutelan.
“Tak apalah mak, kalau Aliya tak nak ikut. Petang nanti
saya boleh balik ke sini. Saya ada hal di kebun. Ada pengusaha dari Korea
datang nak jumpa. Kalau sempat saya akan balik ke sini nanti.” Kata Aliff
Safwan. Mungkin dia faham hatiku yang sudah memberontak.
“Tak bolehlah macam tu Aliff! Nanti dia akan biasakan
diri dia macam tu!” kata ayah lagi.
“Jangan buat macam tu dengan suami Aliya, nenek tak
suka! Pergi awak kemaskan pakaian awak tu. Jangan pandai-pandai nak lari dari
tanggungjawab!” kata nenek tegas. Malah lebih tegas dari ayah.
“Ya lah mak, nek, ayah. Saya akan berkemas dulu.” Kataku
lantas masuk ke dalam bilikku. Wajah emak dan ayah tidak kupandang lagi. Aliff
Safwan juga hanya mendiamkan dirinya.
“Ha, macam tu lah Aliya. Tak boleh dinasihat! Dah besar
panjang pun masih macam budak kecil!” kata ayah yang geram dengan sikapku. Aku
hanya menjeling ayah dengan ekor mataku. Aku geram dengan penolakan ayah!
“Maaflah Aliff. Aliya memang macam tu. Harap-harap Aliff
faham dengan gayanya. Pandai-pandailah Aliff nak mendidik dia macam mana.
Maklumlah dah jadi isteri Aliff!” Kata ayah lagi. Aliff Safwan hanya
menganggukkan kepalanya.
Tiba di bilikku, aku tidak menyiapkan pakaianku. Aku
menyembamkan tubuhku di atas katil empuk itu. Aku tertiarap di atas katil kami
itu. Tidak lama kemudian, Aliff Safwan masuk ke bilik. Aku cepat-cepat bangun
dan duduk di birai katil. Aliff Safwan masih dengan senyumannya kepadaku. Dia
menghampiriku. Seperti biasa, tanganku akan menjadi mangsa pegangannya. Aku
cuba menarik tanganku namun aku tidak berjaya melepaskannya.
“Apa lagi yang awak mahu ni Aliff? Sudahlah awak menang
di depan emak bapa dan nenek saya, sekarang ni pun awak nak ganggu saya lagi!
Awak memang sengaja cari pasal!” kataku meluahkan perasaan marahku. Aliff
Safwan ketawa dengan apa yang didengarnya.
“Macam tu lah kalau nak jadi isteri yang baik. Aliya
kena ikut cakap suami. Tapi abang tak nak memaksa. Kena ikut budi bicara juga.
Maklumlah abang ni pekebun miskin. Mana nak setaraf dengan Aliya! Abang faham
perasaan Aliya. Abang tak mahu memaksa!” katanya.
‘Huh! Pekebun miskin konon! Perniagaan sampai luar
negara tu apa? Malah, lelaki itu terlibat dengan perniagaan yang berasaskan
halal di seluruh dunia! Ah, lelaki itu penipu!’ bisikku lagi. Namun, aku malas
hendak mencari pasal dengan lelaki ini. Lebih baik aku mendiamkan diri.
Memandang wajahnya sudah cukup menyakitkan hatiku.
“Siapa suruh ada hati nak kahwin dengan anak dara orang!
Kalau dah sedar diri tu baguslah!” kataku selamba. Aliff Safwan masih
tersenyum. Aku hanya memasukkan beberapa helai pakaianku ke dalam beg
pakaianku. Malah, sepanjang pernikahan kami belum pernah dia naik darah dengan
sikap dan kata-kataku.
“Masukkan pakaian Aliya dalam beg abang ni. Tak payah
bawa banyak. Abang dah tempahkan Aliya pakaian untuk bermalam di rumah kita!”
katanya mempelawa aku memasukkan pakaianku ke dalam beg Polonya. Aku
menggeleng. Malah, aku hampir tidak faham dengan apa yang diucapkannya.
“Tak apalah. Jangan nak membazir wang awak pula! Saya ni
masih banyak pakaian lagi! Pakaian untuk bertandang ke rumah mertuapun belum
habis tahu! Beg saya pun ada juga untuk menampung pakaian saya semuanya!”
Kataku perlahan. Perlahan dia menghampiriku. Dia meraih tanganku. Aku
cepat-cepat melarikan tanganku ke belakang. Aku tidak mahu tertipu dengan
sikapnya. Namun dia lebih pantas bertindak memeluk dan menarik tanganku.
Kemudian, dia mencium belakang tanganku dengan penuh kasih dan penuh perasaan.
Aku benci dengan sikap lelaki itu!
“Aliya, abang rindukan Aliya. Abang memang bersyukur
dapat menikahi Aliya. Tapi Aliya ni terlalu banyak perjanjian!” Katanya yang
sudah memeluk aku selepas dia mendapatkan tanganku. Aku terkedu seketika namun
aku tidak berupaya membalas pelukan lelaki itu. Itulah kebiasaan yang sering
kulakukan. Aku yang sedang duduk di birai katil agak terkejut dengan
tindakannya. Selama seminggu duduk sebilik, dia tidak pernah menyentuhku lagi.
Tanganku diramasnya kejap. Leherku tetap menjadi mangsa kucupan hangatnya. Aku
duduk membeku. Tidak membalas apa-apa malah aku cuba menolak tubuh kekar lelaki
itu.
“Bukankah kita sudah ada perjanjian tu, takkan awak tak
ingat Aliff! Lagipun saya ni tebusan untuk hutang atuk saya!” kataku lantas
memaksa Aliff Safwan memberhentikan tindakannya dan memandang ke wajahku. Dia
tersenyum lantas menyambung aktivitinya.
“Aliya, abang rindukan Aliya. Abang tetap ingat
janji-janji kita tapi abang tak mampu nak tahan. Isteri abang ni terlalu cantik
dan menawan hati abang tahu tak! Kalau macam ni hari-hari abang tak dapat nak
tahan sayang! Berilah abang peluang di hati mu sayang!” katanya berbisik di
telingaku. Aku menjadi sakit hati dengan pujuk rayunya.
“Gila! Awak jangan nak jadi gila! Kau ingat saya ni apa?
Anak ayam? Kalau nak sangat, pergi cari girlfriend awak tu semula! Kau kahwin
pun tak apa! Kita pun akan cerai juga kan!” kataku menolaknya dengan kuat. Dia
sempat memegang pinggangku. Pinggangku masih dirangkulnya kemas. Wajahnya
berubah kelat. Namun, aku tidak ada waktu hendak memikirkan perasaannya yang
terluka. Aku lebih terluka dengan sikapnya yang sudah merobohkan janji-janji
kami.
“Aliya, maafkan abang!” katanya sambil melepaskan
rangkulannya.
“Tak ada maaf bagimu! Awak dah lupakan janji awak sejak
hari pertama lagi! Awak memang penipu Aliff. Saya tak pernah percayakan awak
lagi!” kataku berang. Dia tertawa pula. perlahan dia melepaskan pegangan
tangannya di tanganku.
“Aliya dah siap semuanya?” soalnya selamba seperti tidak
ada apa-apa yang berlaku sebelumnya. Aku memandangnya dengan hati yang geram.
Aku tidak bersuara. Aku mengangkat begku dan keluar dari bilik. Dia merampas
beg di tanganku. Tangan kami bersentuhan seketika. Aku menjeling tajam ke
arahnya. Dia masih ketawa dengan sikapku.
“Mari abang tolong bawakan beg Aliya tu.” Katanya yang
sudah mencapai begku dan begnya. Beg Bonia ku dibelek-beleknya. Aku kehairanan
melihat tingkahnya yang membingungkan aku. Aku melepaskan tanpa kerelaan. Emak
dan ayah sudah berdiri di depan keretanya. Aku tidak tahu apakah jenis
keretanya. Bentuknya seperti Harrier tetapi bukan kereta Harrier. Aku pun belum
sempat meneliti nama keretanya. Emak begitu bangga melihat jenis kereta
menantunya yang kononnya mahal. Ah, entah-entah masih hutang atau pinjam dari
ahli keluarganya, siapa tahu. Bisikku perlahan.
“Jangan selalu menyusahkan diri awak tu Aliff. Saya
memang tak akan menerima awak di hati saya ni! Saya takkan menerima awak.
Jangan nak mimpi!” kataku lagi. Aliff Safwan hanya tersenyum pahit dengan
kenyataan yang seharusnya diterima dengan lebih awal lagi. Kami kelihatan mesra
apabila keluar dari bilik kami Emak dan ayah hanya memerhatikan tingkah laku
kami.
“Pandu kereta baik-baik Aliff.” Kata ayah. Aliff Safwan
mengangguk. Tangan ayah dan tangan emak disalaminya.
“Kami tak lama mak, ayah. Mungkin sehari dua hari balik
ke sini. Tak lama lagi cuti Aliya dah nak habis!” katanya. Aku mendiamkan
diriku. Emak yang berdiri di sisi ayah aku hampiri.
“Mana-mana Alifflah! Dia kan isteri Aliff! Ayah tak
kisah. Cuma, ayah minta agar Aliff jaga Aliya baik-baik!” kata ayah. Wajah
Aliff Safwan ceria memandang ayah. Aku geram melihatnya.
“Aliya, tunjukkan sopan santun di depan keluarga mertua
nak. Jangan tunjuk sikap tak baik. Ayah dan mak juga yang malu nanti.” Kata
emak seperti berbisik. Aku mengangguk sambil menyalami tangan emak dan ayah.
“Ingat pesan mak tu Aliya. Jangan tunjukkan sikap keras
kepala awak tu! Ayah tahu sangat perangai Aliya tu!” Kata ayah pula. Aku hanya
mengangguk dengan sengihan yang panjang di wajahku. Mungkin Aliff Safwan tidak
perasan akan perubahan wajahku namun ia tetap mendatangkan kesan yang panjang
di hatiku ini. Perkahwinan yang terpaksa bagiku ini menyebabkan jiwaku amat
terseksa. Kalaulah Khairul Nizam masih ada di sisiku, aku tidak akan terseksa
begini.
“Oh, Tuhan, bantulah aku menghadapi dugaan ini!” bisikku
perlahan.
Selamat Membaca!