Novel: Sentuhan Kasih
12
Kami bergegas ke pintu kereta dan Aliff lantas menghidupkan enjin
keretanya. Sepanjang jalan kami menyepikan diri.
“Aliya, abang tak
kan selesa kalau Aliya membisu macam ni! Mesti ada apa-apa yang mama katakan
kepada Aliya kan!” kata Aliff Safwan memegang tanganku sambil meneruskan
pemanduannya. Aku masih tidak berkutik. Mukaku masam.
“Aliya dengar tak?”
suaranya dikuatkannya. Wajahnya ditolehkan ke arahku.
“Ya Aliya dengar!
Saya belum pekak lagi ni tahu tak?” kataku menjawab perlahan.
“Apa masalah Aliya
sekarang ni? Tiba-tiba sahaja sudah naik angin!” soal Aliff Safwan lagi. Aku
menggeleng. Mataku kufokuskan ke arahnya. Aku tidak mahu dia hanya menyalahkan
aku. Aku tahu dia sudah tahu punca kenapa aku mendiamkan diri. Uh, aku benci!
“Tak ada masalah.
Tanya mama awak dan sepupu awak yang kuat berlagak tu! Dia lah puncanya masalah
awak! Dan, awak suka cari masalah dengan saya! Kes kita belum selesai, awak
pula cuba buat hal dengan mama awak tu!” kataku pula. Beberapa minit aku sudah
mendiamkan diri. Akhirnya dengan tarikan nafas perlahan, aku memuntahkan semua
apa yang kusimpan beberapa minit di rumahnya tadi.
“Apa maksud Aliya?
Maria tu?” Soal Aliff Safwan. Aku tidak menjawab. Malah, aku hanya mengangkat
bahu.
“Dia tak ada kena
mengena dengan kita sayang. Dia tak ada kena mengena. Dia hanya tetamu keluarga
kami. Tetamu yang harus dilayani oleh mama! Dia baru sampai dari Kuala Lumpur.
Dia bekerja di sebuah bank di Kuala Lumpur. Tentu cutinya hanya beberapa hari
sahaja!” kata Aliff Safwan. Aku masih tidak mampu melupakan kata-kata emak
mertuaku dan senyuman sinis Maria.
“Kalau dia dilayani
macam raja, tapi macam mana mama awak layan menantu?” soalku perlahan.
“Tak apalah Aliya.
Nanti abang akan tanya mama akan hal ni. Jangan rosakkan hari-hari kita. Kita
seharusnya merasai bahagia, bukan macam
ni!” kata Aliff Safwan pula. Aku sudah hilang nafsu kalau dia menyebut tentang
‘bahagia’. Aku memang tidak ada jawapannya. Ini kerana aku hanya menghitung
waktu!
“Aliff, saya bukan
menantu pilihan mama awak! kenapa awak masih nak menikahi saya dan kita sendiri
pun tak pernah kenal antara satu sama lain! Saya pun hairan dengan awak ni,
mati-matian nak kahwin dengan saya? Lihat sekarang? Awak bahagia? Awak tak
bahagia kan?” kataku perlahan tetapi suaraku membentak sebenarnya.
“Pernah…kita pernah
kenal tetapi Aliya tak menghiraukan kehadiran abang. Aliya memang macam ni kat
abang! Aliya selalu murung kalau berdepan dengan abang!” katanya lirih. Aku
kehairanan.
“Di mana kita
pernah berjumpa? Dalam mimpi awak?” soalku memperlinya.
“Aliya, jangan
pertikaikan kenapa abang setuju menikahi Aliya. Jangan sebut mama. Bukan mama
yang kahwin tapi abang dan Aliya! Tolonglah, jangan tanya abang soalan-soalan
yang abang tak boleh nak jawab!” katanya lemah. Dia meneruskan pemanduannya.
Aku lebih terseksa dengan sikap emaknya dan kehadiran Maria dalam kehidupannya.
Namun, sejauh mana pun pertanyaanku, dia pasti tidak akan memberikan
jawapannya.
“Tak mahu! Petang
ni saya nak balik semula ke kampung! Esok saya nak ke Kota Kinabalu! Saya tak
mahu berlama-lama di sini! Sakit kepala saya dibuatnya!” kataku yang sudah
tidak tahan dengan sindiran Puan Mariam dan Maria. Terbuntang mata Aliff Safwan
melihat aku. Aku sudah tidak ada pilihan lain!
“Kenapa macam ni Aliya?
Apa salah abang?” soal Aliff Safwan. Mukaku masam.
“Awak tu memang dah
salah. Sudah ada ‘girlfriend’ dan tunang di universiti, sekarang awak
gatal-gatal nak kahwin dengan orang lain. Bagus kalau saling mencintai! Ini
tak! Kita tak saling mengenali! Awak boleh tukar keputusan awak semula sekarang
Aliff! Saya tak kisah!” kataku mencabar Aliff Safwan sebagai suamiku. Kalau lah
dia hendak menceraikan aku, apakah perasaanku pada waktu ini? Sanggupkah aku
menjadi janda pada waktu pernikahan kami baru pun berusia lima hari!
“Jangan salah
sangka Aliya. Kami rapat sebab kami sepupu! Tak ada sebab lain. Kami bukan
saling mencintai sebagai kekasih. Kami hanya sepupu!” katanya memohon
pemahamanku. Aku menjuihkan bibirku.
“Tak percayalah!
Maria tu tadi bukan main lagi menyesal kerana tak dapat merasa awak!” kataku
memerli Aliff Safwan. Berubah wajah lelaki itu dengan kata-kataku. Aku tidak
peduli. Lelaki di sisiku itu harus diberi pengajaran.
“Kalau awak tak
mahu percaya dengan penjelasan abang, terpulanglah Aliya! Abang tak mahu
memaksa! Yang abang nak beritahu, Maria tu hanya sepupu abang, bukan kekasih
abang! Memang dulu kami ditunangkan, tapi dia melarikan diri ke KL pada hari
pernikahan kami. Dia tak mahu kahwin dengan abang! Kalau Aliya tak percaya,
sudah! Saya tak boleh nak paksa-paksa Aliya percaya!” katanya lantas meneruskan
pemanduannya dengan kadar yang agak laju. Aku pula yang menjadi ketakutan
dengan perubahan sikapnya. Mungkin disebabkan sikapku yang suka mendesaknya.
Aduh!
“Awak dah gilakah
Aliff? Tak sedar! Kalau awak nak bunuh diri, awak bunuh diri awak saja! Jangan
libatkan saya!” kataku separuh menjerit. Dia hanya ketawa.
“Oh, awak masih nak
hidup ya? Nak abang pula mati? Macam tu? Bagusnya idea awak tu sayang! Abang
suka sangat!” jawabnya sambil menambahkan kelajuan keretanya. Aku semakin
ketakutan dengan sikap Aliff Safwan yang tidak kusangka begini. Aku selalu
melihat dia tenang-tenang sahaja menghadapiku namun kali ini dia sudah berubah.
“His, kalau awak
sayangkan nyawa awak pun, takkan nak bunuh saya pula!” kataku perlahan.
Ketakutanku memang berada di peringkat yang maksima!
“Kenapa, Aliya
takut mati?” soalnya pula. Aku tidak mahu mengangguk atau menggeleng. Dia
sedang cuba mencabarku. Namun, wajahku memang sudah pucat lesi!
“Oh pandai pula
Aliya takut ya?” perlinya pula. aku hanya mendiamkan diriku. Kupegang sekuat
hati tali keledarku.
“Tak apalah kalau
kita mati sama-sama! Tak ada sesalan selepas ini!” aku mula hendak menangis.
Aku tidak mahu mati dalam keadaan yang tidak sempurna. Aku masih banyak
dosa-dosa yang belum terampun!
‘Ya Allah, ampunkan
dosa-dosa dan selamatkanlah kami!’ doaku dalam hati.
Tidak lama
kemudian, Aliff Safwan sudah memberhentikan kereta di tepi jalan. Dia menekan brek
dengan kuat sekali.
“Aliya masih
takut?” soalnya. Air mataku sudah berlinangan di pipiku. Aku sudah menutup
mataku. Aku tidak mahu tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Soalannya
kubiarkan tanpa jawapan.
“Jangan takut
sayang. Abang akan pastikan kita tidak akan mati dalam keadaan macam ni. Abang
sayang Aliya walaupun abang tahu Aliya tidak mungkin menyayangi abang seteguh
kasih sayang abang ni!” katanya seperti berbisik di telingaku. Air mataku
mengalir deras sederas air terjun.
“Jangan menangis
sayang. Abang sayang Aliya. Abang tak bermaksud nak menakutkan Aliya. Abang
lebih takut kalau abang akan kehilangan Aliya!” katanya pula dengan suara yang
sungguh sayu dan lembut.
“Apa gunanya saya
hidup di sisi awak Aliff. Saya tak mampu membalas kasih sayang awak! Saya tak
tahu bagaimana nak mencintai awak sebab dalam hati saya sudah ada insan lain!”
kataku berterus terang dengan suara yang sebak sekali.
“Tak apalah Aliya.
Jangan terburu-buru. Abang boleh tunggu Aliya. Abang tak mahu Aliya kelam kabut
menilai abang. Abang hanya menerangkan sayang abang kepada Aliya. Tidak
semestinya Aliya membalas cinta abang. Abang sedar siapa diri abang! Namun,
abang memang ditakdirkan jatuh cinta dengan Aliya!” katanya seperti berbisik.
Tangannya sudah mengusap-usap kepalaku. Aku terasa diriku dilindungi. Namun,
perlindungan sahaja belum cukup untukku menerima Aliff Safwan dalam hidupku.
“Tapi awak selalu
memaksa saya! Menikahi saya dan tidak menepati perjanjian yang telah kita
buat!” kataku masih teresak. Dadaku sesak dengan tindakannya. Dia memegang
tanganku kejap-kejap!
“Tidak, abang tidak
akan memaksa Aliya kalau masih Aliya tidak bersedia. Abang tidak akan memaksa!
Abang sanggup tunggu sehingga Aliya sedia,” kata Aliff Safwan memaku janjinya
di telingaku. Aku mengangguk dan gembira dengan janjinya.
“Tidak memaksa
konon!” kataku menjuihkan bibirku ke arahnya.
“Tapi, kenapa Aliya
mesti cemburukan Maria sebagai kekasih abang, kalau Aliya tak sayangkan abang!”
katanya memulangkan paku buah kerasnya. Aku pula berasa serba salah dibuatnya. Aku
memandang ke luar jendela.
“Err, bukan
cemburulah! Bukan apa, kalau memang ada orang lain mengharapkan awak kenapa
mesti membiarkan dia sendirian. Kenapa awak tak menikahi dia?” soalku
menerangkan keadaan.
“Awak mahu bermadu?
Abang tak kisah kalau itu yang Aliya inginkan.” Jawabnya selamba. Aku pula
semakin geram dengan sikapnya yang suka mengusikku.
“His, awak ni kan
pura-pura tak nak faham! Saya tak suka! Tak sukakan awak! kalau awak sudah ada
calon lain, awak tinggalkan saya dan kahwini Maria, bukannya seksa saya macam
ni!” kataku menerangkan keadaan yang sebenar.
“Oh, awak terseksa
hidup dengan abang! Abang tak bermaksud nak seksa Aliya. Abang bermaksud nak
bahagiakan Aliya. Tup-tup pula Aliya tuduh abang sudah ada kekasih dan meminta
abang menikahi dia! Siapa yang menyiksa siapa ni Aliya?” kata Aliff Safwan yang
pura-pura bingung dengan kehendakku.
“Susahlah nak
bincang dengan awak ni! Bagus saya diam sahaja!” kataku perlahan tetapi suaraku
yang kumarah kutahan dalam diriku.
“Abang pun bingung
dengan sikap Aliya ni! Sekejap, Aliya suruh abang nikahi Aliya, abang dah buat.
Sekarang lain perkara pula yang Aliya nak suruh abang buat! Abang pun pening!”
katanya sambil memulakan pemanduannya. Beberapa orang remaja mendekati
keretanya. Mungkin mereka kehairanan kenapa kereta kami berhenti di bibir
jalan.
“Sudahlah, saya nak
balik kampung! Esok pagi saya nak balik ke Kota Kinabalu. Jangan datang cari
saya kalau bukan hujung minggu ya Aliff!” kataku berpesan kepada Aliff Safwan.
“Baiklah tuan
permaisuri! Abang tak kan ganggu puan permaisuri!” katanya sambil tersenyum
kepadaku. Aduh, senyumannya yang manis pasti memukau sesiapa yang memandangnya.
Jantungku pula berdenyut tak keruan. Apakah maksudhnya? Tahukah lelaki di
sisiku ini?