Novel: Sentuhan Kasih
Agak lama juga saya tidak membuat penambahan kepada novel Sentuhan Kasih ini. Semoga terhibur...
10
“Assalamualaikum sayang! Sayang penat ya? Maaflah abang ada kerja
sikit tadi. Kasihan sayang terpaksa tinggal sorang-sorang!” tiba-tiba aku
terdengar suara berbisik di telingaku. Aduh, rupa-rupanya lelaki itu sudah
balik dan duduk di sisiku. Aku menyesal kerana sudah terlena seketika di atas
katil yang bertilam empuk ini. Entah bilakah waktunya aku tertidur aku pun
kurang pasti. Selepas aku bersolek tadi aku sudah pun menyiapkan diriku untuk
keluar bilik.
Tetapi, ya aku tidak sedar bilakah waktunya aku
terbaring di atas katil empuk lagi besar ini. Melihat wajah Aliff Safwan yang
begitu dekat dengan mukaku, menyebabkan mukaku menjadi panas dan tidak selesa.
Aku cuba bangun. Tetapi, Aliff Safwan sudah begitu cepat mencengkam tanganku.
Aku tidak suka diperlakukan begitu. Dia lantas mengucup pipiku. Lama dan
mengasyikkan.
“Sudahlah, saya nak
bangun! Badan awak busuk! Lagipun saya nak bangun, nak solat!” kataku menolak dadanya. Dia sudah membongkok
sambil mencapai tanganku. Aku sekali lagi terperangkap ketika dia sudah
mengetatkan pegangannya di tanganku. Dia lantas mencium belakang tanganku. Aku
tidak sempat berbuat apa-apa. Itulah sikapnya yang paling aku tidak suka. Aku
geram dengan tingkahnya. Aku cepat-cepat
duduk di birai katil itu. Aku bimbang perbuatannya itu akan bertambah-tambah
lagi kalau aku masih berbaring.
“Takkan cepat nak
bangun. Tak selesa?” soalnya lagi. Buntang mataku melihatnya. Nafasku
tersekat-sekat sebenarnya. Bibirnya sudah menjalar ke mana-mana. Aku harus
berwaspada. Lelaki ini amat berbahaya. Bisik hatiku.
“Aliff! Bangunlah!”
kataku menolak tubuhnya, baru Aliff Safwan tersedar. Aku lantas berdiri dan
berlari menghadap ke luar tingkap melihat pemandangan yang cantik. Aku tidak
tahu hendak melarikan diri ke mana lagi. Aku tidak biasa dengan suasana di
dalam rumah ini. Nasib baik dia masih berperikemanusiaan dan tidak mengganggu
blausku sebentar tadi.
“Abang rindukan
sayang. Dah lama sangat abang biarkan sayang buat sesuka hati sewaktu di
kampung sayang hari tu. Sayang ni macam berlian di dalam cermin tau, hanya
menjadi tontonan, tak tahan abang!” katanya masih berbisik di telingaku.
Dia sudah berdiri di belakang dan memegang tanganku.
Tangan kasar itu menggosok-gosok telapak tanganku. Dia menggigit lembut anak
telingaku. Aku terasa sesuatu. Aku sudah berjanji untuk tidak akan membalas
perbuatannya. Barangkali Aliff Safwan cuba menggodaku dengan kekayaan yang
dimilikinya. Tetapi aku masih ingat janjiku kepadanya. Ah, sebenarnya bukankah
janji kami itu sudah bertaburan! Aku kebingungan.
“Sudah! Saya tak
suka diperlakukan begini! Apa tujuan awak bawa saya ke mari? Awak nak tunjukkan
kekayaan awak kan?” kataku kasar memandang tajam ke arahnya. Tiba-tiba sahaja
aku didatangi idea hendak mengenakannya. Dia melepaskan aku. Barangkali dia
terkejut dengan suaraku. Dia menggeleng perlahan.
“Buat apa abang
buat macam tu? Abang bekerja demi untuk Aliya. Bukan nak tunjuk kaya! Abang tak
bermaksud apa-apa. Err, apa maksud sayang cakap macam ni? Sayang tak suka
dengan apa yang sayang ada? Semuanya ni untuk sayang tau!” katanya masih
berlembut. Terbuntang matanya memandang aku. Mungkin terkejut dengan suaraku.
“Awak sebenarnya
mahu apa? Selama ni awak menyembunyikan pekerjaan awak dan kedudukan awak,
sekarang awak tunjukkan saya akan kekayaan awak! Awak ingat awak boleh beli
saya dengan kekayaan awak? Selama ini awak nak beli keluarga saya dengan
kekayaan awak, itulah sebabnya mereka bersetuju menikahkan saya dengan awakkan!
Apa maksud awak sebenarnya Aliff?” soalku marah. Aku marah yang lelaki itu
menikah denganku kerana hutang nenek. Oh, aku sudah menyakiti hati seorang
lelaki bernama suami. Aku lupakah atau aku cemburu?
Ada kepedihan mencalar hati. Tambahan lagi dengan janji yang
terungkai sejak hari pertama perkahwinan kami. Aliff Safwan ketawa. Lama dan
kuat. Tidak ada sesiapa yang mendengarnya di sini. Kami tinggal jauh dari rumah
orang lain. Aku semakin geram dengan sikapnya.
“Sayang, kenapa nak
salahkan abang? Selama ini pernah tak sayang pedulikan abang dan tak pernah
tanya apa pekerjaan abang? Pernah tak sayang tanya siapa abang? Sayang pun tak
pernah nak dengar kalau abang bercerita. Kalau lawat sayang di tempat kerja pun
sayang marahkan abang, apatah lagi nak berbincang baik-baik! Sekarang nak
salahkan abang pula kerana abang ingin beli sayang dengan kekayaan! Memang
abang begini sejak kebun abang dah meningkat maju! Lagipun pagi tadi, abang
tidak berniat nak bawa sayang ke sini! Tapi mak, nenek dan ayah sayang yang minta
abang bawa sayang ke sini!” kata Aliff Safwan menjelaskan segala-galanya.
Mulutku ternganga. Benar juga katanya. Aku pula yang
kesal. Mungkinkah selama ini aku menerimanya kerana terpaksa dan kasihan?
Tetapi aku tidak pernah mengasihani lelaki ini. Mungkin aku hanya mengasihani
ayah, emak dan nenek yang terkinja-kinja memujuk aku menerima lelaki di depanku
ini. Selebihnya memang nasibku yang agak malang mengahwini lelaki ini. Malah
aku tidak tahu kalau kedua-dua nenek kami menunangkan kami kerana hutang
mereka. Benar aku tidak tahu! Aduh, di manakah hendak kuserahkan nasibku yang
malang ini? Ya Allah bantulah aku! Rintihku dalam hati.
“Sekarang sayang
cakap, apa lagi yang sayang nak tahu?” soalnya perlahan. Dia sudah terduduk di
birai katil. Getir sungguh nasib yang terpaksa kuhadapi. Aku terdiam. Benarkah
aku tidak pernah prihatin dan memberi perhatian kepadanya selama ini? Aku hanya
mendengar desas-desus dari emak. Kenapa aku perlu memarahi diri Aliff Safwan
pula. Bisikku.
“Saya tak nak tahu
apa-apa. Kalau awak nak cakap, katakan sahaja. Saya mahu mendengarnya. Cuma,
saya tak mahu tahu apa-apa!” Kataku perlahan. Aliff Safwan tersenyum
memandangku.
“Baguslah kalau
macam tu! Saya ni sebenarnya pengusaha tanaman kelapa sawit di sini dan menanam
buah naga yang buahnya berwarna merah untuk dipasarkan ke luar negara. Kebun tu
sebenarnya pemberian ayah kerana saya berminat mengusahakannya. Tidak sangka
pula kemajuannya meningkat dengan cepat. Saya adalah …” katanya lalu berhenti.
Dia mengeluarkan sesuatu dari kocek seluarnya.
“Ini kad perniagaan
saya.” Dia menghulurkan kad itu kepadaku. Kali ini dia sudah menukar panggilan
dirinya kepada ‘saya’. Mungkin dia terasa dengan kata-kata sebentar tadi. Aku
terasa bersalah namun aku tidak terlalu menuduh dia yang bukan-bukan.
“Itulah sebabnya
saya berulang alik ke Kota Kinabalu dan bertemu dengan peguam saya di sana dan
itulah sebabnya saya berpeluang melawat awak. Saya nak mendaftarkan insurans
perniagaan yang saya usahakan di samping saya melihat-lihat buah hati saya yang
lawa dan jual mahal ni!” katanya lalu mencuit hidungku. Sekali lagi aku tidak
sempat mengelak. Tangannya terlalu cepat bertindak. Aku ketap bibir.
“Kenapa sesiapa pun
tak pernah cakap apa-apa kepada saya?” soalku
malu-malu. Sebenarnya semuanya adalah silapku kerana tidak pernah
mempedulikan kehadirannya. Aku hanya memikirkan bekas teman lelakiku yang sudah
pun mengahwini wanita lain. His, geram.
“Kerana awak jual
mahal dan tak mahu bercakap apa-apa. Mungkin awak marah akan tindakan saya hari
tu kan?” soalnya pula. Aku menahan malu.
Aliff Safwan sudah berawak-awak denganku sama seperti bahasa panggilan
yang kugunakan kepadanya. Barangkali dia sudah hilang sabar melayani kerenahku.
Ah, pedulikanlah! Kami bukannya saling mencintai!
“Maafkan saya.”
Kataku perlahan.
“Lupakanlah. Mari
kita turun ke bawah. Kata Mak Odah kata sejak tadi Aliya tak turun-turun ke
bawah. Maknanya sejak tiga jam yang lalu, Aliya tak minum apa-apa. Sayang
tunggu abang ya atau sayang masih terkejut? Oh, maafkan abang! Abang tak
berniat nak buat sayang macam ni! Tentu sayang tak selesa!” Kata Aliff Safwan
pula.
Aku hanya mengangguk. Dia memimpin tanganku dan
bersama-sama melangkahkan kaki menuruni tangga. Aku terasa sesuatu ketika dia
menggenggam tanganku dengan erat sekali. Dadaku berdebar kencang. Tubuhku pula
masih kaku. Pandanganku tertumpu ke lantai marmar di rumah comel itu. Aku hanya menuruti tindakannya. Aku tidak mahu dia berasa malu
kalau aku menolak lagi. Tentu Mak Odah dan pekerja di rumah ini sedang memerhatikan kami. Aduh! Seksanya aku di
sini! Ke mana harus aku larikan wajahku ini?