Novel: Sentuhan Kasih
11
Kami tiba awal di rumah keluarga mertua pada pagi itu. Aliff Safwan
mendesak aku menjenguk ibu bapanya di rumah keluarganya. Aku mulanya enggan.
Semua adik-beradik Aliff Safwan masih berada di rumah itu. Setahu aku
adik-beradiknya hanya tiga orang. Aku pula yang berasa segan dengan apa yang
kulihat di rumah itu. Rumah keluarga Aliff Safwan lebih besar daripada rumah
yang dimiliki oleh Aliff Safwan namun bentuknya sahaja yang agak kekampungan.
Rumah Aliff Safwan lebih moden dan kontemporari. Aku menyukai rekaannya.
“Eh, menantu mama
dah sampai! Mari masuk Aliya. Mama tak tahu pun Aliya dah balik samalam. Kalau
tak tentu papa dan mama datang menjenguk di rumah kamu semalam!” kata Puan
Mariam sambil menyambut salamku. Kami berpelukan seketika. Namun aku berasa
tidak tenteram dengan perbuatan Puan Mariam sejak kami bersanding minggu lalu.
Mungkinkah dia juga tidak mahu aku dinikahkah dengan anak lelakinya.
“Apa khabar mama?”
sapaku perlahan. Aliff Safwan juga turut menyalami tangan Puan Mariam dan Encik
Taufik. Gadis manis yang tidak pernah kutemui di rumah itu mengundang pelbagai
pertanyaan di hatiku. Gadis itu mengenakan skirt paras lutut dan blaus tanpa
lengan. Gadis itu nampak moden. Rambutnya kekuningan mungkin diwarnakan. Dia
memandang aku secara curi-curi ketika dia meletakkan makanan di atas meja. Aku
pun turut memandangnya secara curi-curi juga. Namun, mulutku kelu, siapalah aku
hendak bertanya.
“Khabar baik Aliya.
Maria, mari sini sayang. Salam dengan abang Aliff dan menantu mama yang cantik
ni. Aliya, ni Maria anak saudara mama.
Dia nak jumpa dengan Aliff teman lamanya dan Aliya.” Kata Puan Mariam. Maria menjeling
aku dengan pandangannya yang tajam. Aku dan Aliff Safwan turut menyalaminya.
Dia tersenyum sinis kepadaku. Wajah Aliff Safwan pula berubah kelat.
“Mama, apa yang
mama nak buat ni? Aliff hairan mama buat Aliya macam ni!” soalan Aliff Safwan
menyebabkan aku terkejut. Namun aku memang tidak mahu mengerti apa-apa ketika
itu. Aku hanya berteka-teki sendiri. Setahu aku, Aliff memang tidak mempunyai
adik perempuan yang dewasa begini.
“Aliff, kenapa
marah-marah ni? Tak baik macam ni. Aliff kan pengantin baru. Segan dengan
isteri kamu tu! Mari ikut ayah keluar! Kita borak-borak di luar.” kata Encik
Taufik kepada anak sulungnya itu. Aliff Safwan sudah mengikuti haluan ayahnya.
Aliff Safwan sempat memandang ke arahku. Aku hanya tersenyum pahit.
Entah apa yang bergolak antara mereka aku tidak mahu
tahu. Tetapi, dalam hatiku turut merasakan ada sesuatu yang sedang berlaku.
Namun, aku tidak mahu terlalu banyak menduga. Biarlah aku mendiamkan diri
sahaja.
“Maria, inilah
menantu mama. Cantikkan,” Kata Puan Mariam. Aku memaniskan wajahku. Maria masih
tersenyum sinis kepadaku.
“Tentulah cantik
auntie tapi agak kekampungan sikit! Tak macam Maria ni. Tak layak langsung
berganding dengan Aliff! Gadis kampung!” kata Maria tanpa berselindung.
“Saya memang gadis
kampung! Saya pun rasa tak layak tapi apa boleh buat, abang Aliff dah pun sah
untuk saya sebagai suami!” jawabku tidak mahu kalah.
Aku terasa dengan kata-katanya. Siapakah gadis ini
sebenarnya? Soalku dalam diam. Kenapa Aliff Safwan memarahi emaknya sebentar
tadi, apakah berkaitan dengan Maria? Soalku dalam hati.
“Eh, jangan terasalah dengan kata-kata Maria tu! Maria
tu memang begitu. Dulu Maria ni memang tunang Aliff!” Puan Mariam
berterus-terang. Alangkah sakitnya hatiku namun kutahan sakitnya.
“Hmm, awak jangan tak tahu! Saya datang ni nak balik
dengan Aliff awak tu! Bolehkan?” jawab Maria pula. Aku terkedu. Apa yang hendak
kujawab. Kalau dia hendak semula bekas tunangnya ini, aku tak ada masalah pula.
Bimbang pula ahli keluargaku yang mendapat malu. Takkan Aliya cerai selepas
kahwin lima hari! Kecoh nanti satu kampung! Sempat aku berfikir. Tak apalah,
aku masih boleh sabar. Nanti balik ke rumah, aku akan bincang baik-baik dengan
Aliff Safwan. Dia harus membuat pilihan. Aku atau Maria!
“Aliya, inilah
kawan baik Aliff sejak di bangku sekolah hingga ke universiti. Mama ni dah
kenal hati budi Maria ni. Hati budi Aliya mama tak tahu lagilah!” Kata Puan
Mariam menikam sukma. Aku sempat memberikan senyuman yang manis ke arahnya.
Namun, dia tetap memandangku bagaikan sebelah mata. Kami sempat bersalaman.
“Aliya, awak
pergilah ke ruang tamu dahulu, biarlah mama dan Maria saja yang duduk di dapur
ni. Maria ni memang gadis yang cekap di dapur. Maria ni gadis yang periang dan
pandai memasak! Itu yang mama suka dengan Maria! Kalau menantu mama ni mama tak
tahu lagi! Mungkin Aliya lebih pandai memasak daripada mama kan!” kata Puan
Mariam. Wajahku sudah kelat dan tebal berinci-inci rasanya. Aku terdiam
menjeruk hati. Apa pula tujuan Puan Mariam memerli aku begitu. Bukankah aku
adalah menantunya? Kenapa dia cuba memburukkan aku di depan anak saudaranya
Maria. Soalku sendiri.
“Oh, ya, saya masuk
dulu mama. Kalau mama perlukan bantuan, saya akan membantu.” Kataku lagi. Kali
ini dia sudah tersenyum manis.
“Tak apalah Aliya.
Dengan adanya Maria, mama tak ada masalah lah! Maria ni memang cekap buat
kerja. Ingatkan dulu, Aliff tu nak kahwin dengan Maria. Kot-kot orang lain yang
dinikahinya! Mama pun hairan dengan citarasa Aliff yang agak kekampungan.” kata
Puan Mariam. Aku tidak bersedia hendak tahu apa-apa cerita, aku hanya
mengangguk. Senyumanku mati di hujung kata-kata Puan Mariam.
“Saya pun tak faham
kenapa Aliff mengambil saya sebagai isterinya mama. Saya betul-betul tak faham.
Tambahan pula kalau mama sudah ada calon untuknya. Alangkah baiknya kalau Maria
yang jadi menantu mama,” Kataku perlahan. aku tidak tergugat dengan cabarannya
kerana aku tahu di mana kedudukanku. Aku masih berpeluang untuk keluar dari
kemelut perkahwinan kami kalau Aliff sudah ada calon yang lain.
“Itulah mama tak
faham dengan ayah Aliff tu. Cepat sangat menerima kata-kata mak dia. Mama
memang tak senang hati! Kalau tidak pasti Maria yang menjadi anak menantu mama
kan!” kata Puan Mariam lagi tanpa berselindung. Aku yang menjadi tidak senang
hati dengan sikap terus-terangnya. Maria
hanya tersenyum terhadap Puan Mariam. Aku menjadi geram seketika dengan sikap
mereka.
“Tak apalah mama,
mungkin hari ni hari dia. Mana tahu esok-esok ada pula hari Maria!” kata Maria
dengan senyuman sinis. Aku tidak menyangka keadaan ini yang akan kutemui.
Ketika keluargaku membuat lawatan balas ke rumah keluarga Aliff Safwan tidak
pula aku mengetahui kisah yang sebenarnya. Kenapa Aliff Safwan masih berkeras
menikahi aku? Bukankah mamanya mempunyai calon menantu yang lebih hebat? Malah,
sudah tentu mereka saling mencintai! Tetapi kenapa aku yang langsung tidak
pernah melayani kerenahnya yang dipilih oleh lelaki itu?
Aku nanar dengan keadaan yang baru kuterima ini. Memang
selama ini Puan Mariam hanya menunjukkan mukanya yang manis-manis sahaja
semenjak anaknya bertunang denganku lagi. Namun, aku tidak pernah menziarahi
ibu bapa Aliff Safwan sebelum kami diijabkabulkan. Mungkin di sinilah silapnya
aku.
‘Ah, lagi cepat
Aliff Safwan bermasalah, lagi cepat aku akan dilepaskan! Tidak perlu menunggu
surat perjanjian kami! Malah, masing-masing punya alasan untuk memendekkan
jodoh di antara kami! Bagusnya!’ Bisikku sendiri.
“Err Aliya, dah
kahwin ni macam mana? Siapa yang ikut siapa selepas ni? Takkan seorang di hulu
dan seorang di hilir! Kalau macam tu baik tak payah kahwin!” soalan Puan Mariam
terlalu sarat hendak kujawab. Malah, aku tidak ada jawapan yang terbaik untuk
soalan itu. Memang Aliff Safwan sudah meminta aku berhenti kerja namun aku juga
ada komitmen lain di pejabat tempatku bekerja.
“Belum tahu lagi
mama! Aliya tak mahu pindah ke kampung ni. Sesak nafas Aliya!” kataku perlahan
tetapi pasti menusuk tajam ke ulu hati ibu mertuaku itu. Terbuntang mata Puan
Mariam dengan jawapanku. Mungkin dia pun berasa gembira dengan sikapku yang
tidak mengendahkan anaknya.
“Eloklah kalau
seorang di bandar dan seorang di kampung ni! Makan minum anak mama siapa yang
nak jaga? Takkan lengkap dengan orang gaji sahaja! Apa gunanya ada isteri?”
kata Puan Mariam lagi. Aku memang tidak senang hati dengan kata-kata Puan
mariam ini.
“Tak tahu lagilah
mama. Kami belum bincang lagi. Nanti kalau kami dah bincang baru Aliya bagitahu
mama!” Kataku perlahan. Wajahku kelat sejak tadi. Puan Mariam dan Maria asyik
mengenakan aku. Aku tidak tahan dibuatnya.
“Bincanglah
awal-awal ni. Aliff tu mampu! Takkan ada masalah baru nak bincang! Itu tak
bijak namanya!” kata Puan Mariam memberikan pendapatnya. Pendapat Puan Mariam
itu ada benarnya. Tetapi bagaimana aku hendak berbincang dengan Aliff Safwan
kalau di pihakku memang tidak ada sekelumit perasaan untuknya. Oh, tidak
mungkin akan ada perbincangan mengenai hal itu.
“Tak apalah auntie
kalau mereka tak mahu nak bincang. Buat apa auntie nak sibuk-sibuk pula!
Biarlah mereka dengan hal mereka!” kata Maria pula menunjukkan timbang rasanya.
Puan Mariam mengangguk setuju. Aku hanya mendiamkan diri.
“Saya ke depan dulu
mama.” Kataku. Puan Mariam dan Maria menghantar aku dengan jelingan tajam. Aku
tidak menyangka kalau penerimaan mereka tidak kujangka.
“Nak mengadu dengan
Aliff lah tu!” sempat lagi Maria mengejek aku. Aku menundukkan wajahku.
Lantas aku keluar ke ruang tamu yang serba indah dan
besar itu. Aku menemui Aliff Safwan yang sedang berbual-bual dengan ayahnya,
Tuan Taufik.
“Kenapa ni Aliya
macam tak selesa? Apa yang mama cakap kat Aliya?” soal Aliff mendapatkan aku.
Aku mengangkat bahu sambil memandang ke arah peti televisyen.
“A’ah, ada apa
Aliya? Tiba-tiba sahaja dah hilang senyuman. Sejak tadi, bukan main senyuman
manis!” kata Tuan Taufik pula. Aku menggeleng.
“Tak ada apa-apa
papa. Saya biasa-biasa sahaja!” jawabku perlahan. Namun, Aliff Safwan sudah
tidak senang duduk memerhatikan keadaanku. Aliff Safwan meramas-ramas tanganku.
Mungkin dia boleh membaca perasaanku dengan wajahku yang kelat dan masam. Aku
tahu Aliff cuba menghantar rasa tenang ke jiwaku. Namun aku memang tidak boleh
tenang lagi!
“Papa, kebetulan
saya ada kerja di pejabat lagi, kami balik dululah papa.” Kata Aliff Safwan
kepada ayahnya. Aku turut menyalami bapa mertuaku. Aliff Safwan membawa aku ke
dapur.
“Mama, Maria, kami
balik dulu ya,”
“Eh, cepatnya nak balik!
Mama belum masak lagi nak,” kata Puan Mariam cuba memujuk anak lelakinya.
“Tak apalah mak,
saya ada kerja sikit mama, Maria.” Kata Aliff Safwan. Aku turut menyalami
kedua-dua wanita itu walaupun fikiranku kacau dan perasaan marahku menggila
kepada mereka.