Novel Isyarat Cinta Bab 24
Bab 24
“Sayang,
bangun sayang,” Adawiyah yang sudah terlentok di bahunya itu dibangunkannya
perlahan. Adawiyah baru sahaja bermimpikan emaknya. Baru sahaja dia membantu
emaknya menjahit baju kurung.
“Kita dah sampai di Taipei ni.
Welcome to Taiwan sayang,” kata Irfan berbisik di telinganya. Adawiyah
terpisat-pisat melihat pemandangan yang baru baginya. Kata orang Taiwan maju.
Entah apa yang maju, dia belum tahu.
“Dah sampai?” kapal terbang memang
sudah mendarat di bumi. Ia bergerak perlahan. Mereka memang sudah sampai di
negara Taiwan.
“Ya sayang kita dah sampai,” kata
Irfan mengucup pipi Adawiyah lagi. Adawiyah sempat menjeling Irfan.
“Kita nak ke mana lepas ni?” soal
Adawiyah. Sebenarnya dia rasa berdebar-debar hendak bertemu dengan ibu bapa
mertuanya. Entah bagaimana dia hendak berdepan dengan ibu bapa mertuanya itu.
“Kita nak ke rumah mummy dan daddy
abang dulu. Abang dah tempah sebuah suite untuk kita berdua di sebuah hotel
untuk malam ni,” kata Irfan. Mungkin Irfan memahami akan rasa segannya. Ini
kali pertama dia akan bertemu dengan ibu bapa mertuanya selepas mereka menikah.
Dia hanya mengangguk. Namun debar di dada tidak ada sesiapa yang tahu.
“Hotel apa?”
“The Ambassador Hotel Taipei,”
Adawiyah kerutkan dahinya.
“Kat mana tu?” Irfan ketawa.
Adawiyah perlu tahu walaupun dia tidak tahu sangat kawasan Taiwan. Hotel yang
disebut oleh suaminya itu agak pelik. Mungkin dia yang tidak pernah melihat
negara orang.
“63 Chung Shan Road, Daerah
Zhongshan,” kata Irfan melihat semula lokasi dari telefon pintarnya. Adawiyah
terangguk-angguk.
“Mahal tak?” Irfan kenyit mata
kepada isterinya.
“Awak bazir duit tinggal kat tempat
macam tu. Kenapa tak tumpang rumah mak bapa abang?” kata Adawiyah. Irfan
geleng.
“Tak apa, percutian kita percutian
sambil kerja. Mungkin kita akan pindah-pindah lokasi. Sebab Taiwan bukan besar
sangat. Dalam setengah hari kita boleh habiskan jejaki Taiwan,” terang Irfan.
Adawiyah mengangguk-angguk.
Sebuah kereta limosin membawa mereka
menuju ke suatu tempat yang tidak diketahuinya. Dia hanya menurut langkah
suaminya. Walaupun agak berat namun diturutkan sahaja.
“Ibu bapa awak tinggal kat kawasan
mana?” Irfan mengerutkan dahinya. Dia kurang pasti. Ingat-ingat lupa.
“Mungkin kawasan dekat-dekat dengan
tempat tempat kita tu, nanti kita tanya ya,” kata Irfan yang tidak begitu tahu
di mana kediaman ibu bapanya. Setahunya mereka di Taipei juga.
“Pandailah abang,”
“Sayang, abang harap sayang terima
apapun kata-kata ibu bapa abang. Jangan risau, ibu bapa abang orang yang
baik-baik,” kata Irfan ketika mereka dalam perjalanan menuju ke sebuah
perumahan mewah. Adawiyah hanya mengangguk. Dia berharap apa yang dikatakan
oleh suaminya itu benar belaka.
“Irfan eh abang,” Irfan mendekatkan
wajahnya ke wajah Adawiyah. Irfan sudah tersengih mendengar Adawiyah
tersasul-sasul memanggilnya.
“Ya sayang, ya panggil abang lebih
elok. Biasakan diri panggil abang ya, nanti apa kata mummy dan daddy abang,”
kata Irfan pula. Adawiyah tersengih pula. sudah berkali suaminya itu
mengingatkannya.
“Mak dan ayah abang tak marahkah
kalau anaknya kahwin dengan orang lain, selain pilihan mereka? Eh takut pula
saya bang,” soal Adawiyah. Irfan geleng dan kucup pipi Adawiyah.
“Tak lah, buat apa nak marah.
Semuanya kan kerana pilihan abang,” kata Irfan. Adawiyah diam. Tidak lama
kemudian, mereka sudah tiba di sebuah perumahan kondominium yang agak mewah.
“Ibu bapa abang tinggal di sini?”
Irfan angguk. Dia sibuk menurunkan beg-beg. Adawiyah turut membantu.
Ada
beberapa orang pembantu yang sudah sedia menunggu kedatangan mereka. Tidak ada
sesiapapun yang Adawiyah kenali. Mungkin mereka orang tempatan di sini atau
pekerja asing yang dibawa ke sini. Mereka terus dibawa menaiki lift di kawasan
tengah-tengah perumahan itu. Bertambah berdebar-debar jantung Adawiyah.
“Tenang sayang, jangan risau abang
kan ada,” bisik Irfan. Adawiyah angguk. Tidak lama kemudian, lift berhenti di
tingkat 15. Mereka bergerak keluar menuju ke sebuah bilik. Adawiyah terasa berdebar
sangat.
“Silakan sayang, inilah rumah mummy
dan daddy,” kata Irfan. Pintu rumah sudah sedia dibuka oleh pembantu di rumah
mewah itu. Tentunya rumah itu lebih mewah daripada rumah mereka di Malaysia.
Irfan membawa Adawiyah duduk di sebuah sofa di bahagian kanan rumah itu.
Seorang perempuan separuh usia
datang mendekati mereka dengan diiringi oleh dua orang perempuan yang agak muda
tetapi lebih tua daripadanya. Mungkin mereka pembantu di rumah ini. Wanita itu
mungkin emak Irfan, telah Adawiyah. Irfan sudah berdiri mendekati wanita itu. Irfan
menyalami dan memeluk wanita iras Cina itu. Irfan memimpin emaknya. Adawiyah
turut mendekati Irfan.
“Sayang, ini mummy abang,” kata
Irfan yang sudah mendudukkan emaknya di bahagian tengah sofa itu. Datin Anne
tersenyum manis. Adawiyah terus menyalami tangan emak mertuanya. Emak mertuanya
cepat-cepat menarik tangannya. Tersentak Adawiyah!
Dipandangnya
semula emak mertuanya. Wanita itu menjeling dirinya pula! Aduhai! Dia seperti
tidak percaya akan tindakan drastik emak mertuanya itu.
“Apa khabar mummy,”
“Baik,” jawab Datin Anne ringkas.
Datin Anne yang hanya berselendang di bahu itu memerhatikan Adawiyah.
“Ini isteri kau Irfan?” soal Datin
Anne. Irfan mengangguk. Adawiyah rasa tersinggung. Dia seperti diperlekeh
melalui pandangan mata kasar emak mertuanya itu. Dia tahu dan selalu sedar yang
dia tidak layak untuk jadi isteri Irfan. Namun lelaki itu selalu memaksanya.
“Ya mummy, inilah Adawiyah yang
telah Irfan nikahi dua minggu yang lalu. Cantikkan isteri saya mummy? Maafkan
Irfan mummy.” Kata Irfan bercakap dengan penuh sopan dengan emaknya.
“Not bad,” kata Datin Anne mengambil
hati anaknya. Irfan tersenyum bangga menatap wajah isterinya yang masih berdiri
di sisinya itu.
“Daddy mana mummy?”
“Daddy kamu pergi ofis dia kejap,
ada urusan katanya,” kata Datin Anne menjeling Adawiyah. Adawiyah terasa hati.
Irfan pula dilihatnya agak kaku di sisi emaknya.
“Silakan duduk Adawiyah, kenapa kamu
berdiri?” kata Datin Anne melihat Adawiyah yang berdiri sejak tadi. Adawiyah
terus duduk di sisi emak mertuanya itu. Dia terasa kekok sebenarnya. Tidak lama
kemudian, seorang pembantu datang membawa dulang minuman.
“Silakan minum datin, tuan muda dan
puan muda,” kata pembantu tersebut. Terkejut Adawiyah kerana pembantu itu
begitu fasih berbahasa Melayu. Di Kota Taipei ini dia berasa hilang kekok
seketika.
“Terima kasih,” ucapnya perlahan.
“Irfan, mummy nak cakap kejap dengan
kau saja,” kata Datin Anne berbisik kepada anak lelakinya itu. Dia menekan
dadanya berasa terkejut dengan pilihan anaknya. Apakah anaknya buta?
“Sayang, mummy nak bercakap seketika
dengan abang di biliknya. Sayang tunggu di sini ya,” Adawiyah mengangguk. Irfan
meneguk sedikit air yang dihidangkan. Datin Anne terus berdiri dan bergerak
meninggalkan mereka.
“Jangan sedih ya sayang, nanti Marni
akan datang menemani sayang,” kata Irfan.
Adawiyah
mengangguk dan tersenyum kelat. Dia tidak tahu apa yang akan dikatakan oleh emak
Irfan. Mungkin perkataan yang akan keluar dari mulut wanita moden itu sama
dengan bekas kekasih-kekasih suaminya yang tidak menyangka dia yang terpilih
menjadi isteri irfan. Dia tidak perlu rasa bersalah. Dia bukan sengaja meminta
Irfan memilihnya jadi isterinya.
Dia
sama sekali ingin menolak. Jika diberi peluang lagi, dia mahu Irfan memilih
gadis-gadis lain. Bukan dirinya. Namun Irfan tetap mahu dia di sampingnya. Apa
yang mampu dia lakukan? Selagi Irfan menerimanya dan memerlukannya, selagi
itulah dia berkhidmat. Jika Irfan sudah membuangnya, dia akan reda. Mungkin
sudah tidak ada jodoh mereka.
***
Irfan
terus masuk ke bilik kerja ayahnya. Di mana-mana pun ayahnya mesti menyediakan
sebuah bilik khas untuknya sendiri. Emaknya berjalan perlahan-lahan. Muka Datin
Anne masam sejak kedatangan mereka tadi. Apakah emaknya juga sama tidak mahu
merestui hubungan mereka?
“Ada
apa mummy panggil saya sampai ke sini? Kenapa kita tak bincang saja di ruang
tamu dan didengari oleh isteri saya sekali?” soal Irfan. Datin Anne sudah duduk
di kerusi empuk ayahnya. Mukanya masih masam.
“Silakan
duduk nak Irfan, jangan nak terburu-buru nak salahkan mummy pula. Kenapa Irfan
seperti hilang hormat kat mummy sejak ada isteri ni?” Irfan menuruti perintah
emaknya. Irfan tersengih.
“Bukan
begitu mummy, mummy tetap wanita pertama yang saya sayang dalam hidup saya, tak
ada wanita lain,” kata Irfan membuat pengakuan.
“Itu
perempuan yang Irfan jadikan isteri? Mummy memang kurang berkenan,” kata Datin
Anne meninggikan suaranya. Irfan diam dan tarik nafas perlahan-lahan. Sia-sia
dia memujuk emaknya itu.
“Dia
isteri saya yang baik mummy, mummy harus bersyukur dengan pilihan saya. Ini
kerana saya tak pilih perempuan yang tak cukup kain untuk jadi isteri saya, dia
akan lahirkan zuriat yang baik-baik untuk keturunan kita mummy,” kata Irfan
yakin. Datin Anne menjeling Irfan.
“Kau
bodoh! Baik-baik mummy nak nikahkan kau dengan Afifah, anak ahli perniagaan
terkenal, kau tolak mentah-mentah! Tak tahu apa yang sudah jadi dengan kau ni
Irfan! Budak kampung dari mana kau pungut jadi isteri kau, mummy memang tak
suka!” Datin Anne menguatkan suaranya.
Buntang
mata Irfan. Dia tahu Afifah anak kawan ayahnya namun dia memang tidak akan
dapat menerima Afifah dalam hidupnya. Mati hidup semula pun belum tahu dia akan
menerima gadis itu.
“Jangan
begitu mummy. Mummy kan sakit, tak baik mummy nak marah-marah begini,” kata
Irfan memujuk emaknya. Datin Anne pegang dadanya. Dia memang dilarang keras memarahi
sesiapapun. Jika suaminya tahu, memang dia akan dimarahi lagi.
“Mummy
nak anak mummy bahagia dengan pilihan mummy,” kata Datin Anne lagi.
“Maafkan
saya mummy, Adawiyah memang pilihan yang terbaik buat saya mummy, saya bahagia
dengan dia,” akui Irfan. Pening Irfan dengan pandangan emaknya. Dia tidak
menyangka pula jika emaknya tidak menerima pilihannya. Tetapi yang kahwin dan
akan bersama dengan isterinya adalah dia, bukan emaknya. Dia menarik nafas
perit perlahan-lahan.
“Mummy
takkan terima perempuan macam tu,” kata Datin Anne lagi. Irfan berasa serba
salah dengan penolakan emaknya itu.
“Jangan
macam tu mummy, mummy kena terima isteri saya mummy. Kalau mummy sayang anak
mummy, mummy mesti sayang isteri saya. Dia perempuan baik-baik, percayalah
mummy!” pujuk Irfan. Irfan tahu Datin Anne banyak pengaruh di kalangan
kawan-kawan Melayu dan bangsanya sendiri. Datin Anne banyak menyumbang untuk
badan-badan kebajikan.
“Jangan
nak mengajar mummy, mummy tahu mana perempuan yang baik untuk dibuat isteri!
Bukan perempuan kampungan macam tu! Jangan-jangan dia nak habiskan wang kau
saja Irfan! Mummy memang tak sukakan dia!” kata Datin Anne yakin. Irfan kesal
dengan sikap emaknya. Emaknya sudah melampau.
“Tak
apalah mummy, dia isteri saya, kalau mummy tak terima pilihan anak mummy
sendiri, apa boleh buat,” kata Irfan. Dia tidak menyangka emaknya tidak
menerima pilihannya. Dia belum tahu pula bagaimana penerimaan ayahnya pula
selepas ini.
“Saya
keluar dulu mummy,”
“Mummy
tak habis cakap lagi,” kata Datin Anne.
“Apa
dia mummy?”
“Mummy
nak kau kahwin dengan Afifah, dia gadis pilihan mummy. Mummy dah janji dengan
keluarganya dulu. Mummy tak mahu dituduh mungkir janji pula,” kata Datin Anne. Irfan
menggeleng.
“Tak
boleh mummy, siapa yang mahu anaknya menjadi isteri kedua. Takkan Afifah nak
jadi isteri kedua. Saya pun tak mahu beristeri banyak mummy,” kata Irfan.
“Ceraikan
isteri kampungan kau tu, Afifah akan jadi isteri pertama!” arah Datin Anne.
Terbuntang mata Irfan. Arahan itu terlalu melampau baginya.
“Jangan
begitu mummy. Kami baru sahaja menikah, takkan saya nak ceraikan isteri saya
pula, kami baru nak bahagia, saya tak nak mummy. Jangan pandai-pandai nak beri
arahan mengarut mummy!” kata Irfan. Irfan tidak akan menurut kata-kata emaknya
itu. Irfan berasa sangat kecewa dengan penolakan emaknya.
“Mummy
tak kisah. Isteri bukan boleh bawa ke mana,” Irfan tahu itu pendapat emaknya
yang agak tidak matang.
“Isteri
bawa suaminya ke syurga mummy,” Datin Anne ketawa.
“Uncle
Daniel hantar kau ke sini ya?” Irfan tersenyum.
“Ya
katanya banyak kerja daddy yang tak siap, daddy pula kata dia nak balik ke
Malaysia minggu depan,” kata Irfan.
“Mungkin
tak dapat. Mummy masih dapat rawatan di sini, klinik pakar,” kata Datin Anne.
“Eloklah
mummy berehat dan saya akan tolong daddy di sini,” kata Irfan.
“Ya
itu mummy tak kisah. Yang mummy tak berkenan isteri kau yang tak elok tu,” kata
Datin Anne.
“Dia
cantik dan baik mummy,” Datin Anne jeling anaknya. Dia memang tidak suka akan
perempuan kampungan itu. Dia tidak akan mudah terpujuk.
“Cantik
tak bawa ke mana-mana anakku! Perempuan tu tak bawa untung kepada kau!” ulas
Datin Anne. Irfan memujuk emaknya.
“Dia
akan bahagiakan anak mummy dan bawa banyak untung kepada perniagaan saya mummy!”
kata Irfan dengan penuh keyakinan.
“Mummy
tak percaya,”
“Irdina
ke mana mummy, saya tak nampak dia,” kata Irfan menukar kata bicara.
“Dia
ada hal di luar katanya,”
“Dia
tak tahu saya datang ke mummy?”
“Tahu,
jangan-jangan dia sudah di luar dengan isteri kamu yang kekampungan tu!” kata Datin
Anne.
“Dia
isteri yang solehah mummy dan bakal melahirkan anak-anak soleh solehah,” Datin
Anne cebik bibirnya.
“Kalau
kau tak bahagia, ceraikan saja dia. Kalau kau bahagia, ok mummy restu tapi
kalau dia buat hal, kau ceraikan saja dia. Perempuan ramai yang berebutkan
kau,” kata Datin Anne yang mula mengalah dengan kemahuan anaknya. Irfan
tersenyum. Dia tahu emaknya terpaksa mengalah dengan pilihannya.
“Mari
kita keluar mummy, kasihan isteri saya seorang diri di luar,” kata Irfan yang
sudah mendekati emaknya.
“Mummy
nak rehat. Panggilkan Marni ke sini. Sebentar lagi doktor nak datang rawat
mummy,” kata Datin Anne. Irfan cepat-cepat keluar mendapatkan isterinya. Dia
sudah sangat rindukan isterinya itu.
Irfan
mendekati isterinya yang sedang khusyuk menonton televisyen bersama Marni itu.
“Kak
Marni, mummy panggil di bilik kerja daddy,” kata Irfan. Marni cepat-cepat
menuruti arahannya. Nampaknya Irfan telah mengenali semua orang yang ada di
dalam rumah mereka itu.
“Sayang
ok tak ni?” soal Irfan. Adawiyah angguk. Irfan tahu isterinya itu agak letih
dengan perjalanan mereka yang agak jauh.
“Saya
seronok di sini bang, jangan risau,” Irfan berasa lega. Namun perasaan tidak
puas hati dan permintaan emaknya menjadikan dia bimbang. Bimbang emaknya
berbuat sesuatu jika dia sudah sihat nanti. Ah, dia tidak mahu berfikiran
bukan-bukan. Dia berdoa agar emaknya akan menerima menantunya.
“Kita
tunggu daddy kejap, dia dalam perjalanan balik ke sini. Lepas ni kita balik ke
suite kita,” kata Irfan. Adawiyah hanya angguk. Irfan sudah duduk di sisinya. Adawiyah
yang mengantuk terasa segar seketika. Irfan sudah pegang tangannya.
“Tak
elok kalau mummy nampak keadaan kita begini,” kata Adawiyah.
“Mummy
dah naik ke biliknya. Dia tunggu doktor nak rawat dia sebentar lagi,” kata
Irfan yang mengetahui aktiviti emaknya.
“Daddy
abang nak datang sebentar lagi,” Adawiyah mengingatkan suaminya itu. Dia tidak
mahu dilihat tidak bersopan di rumah ibu bapa mertuanya. Dia berasa sangat
segan.
“Daddy
kita,” Kata Irfan.
***
Irfan
mendekati isterinya. Dia rasa serba salah pula. Mungkin isterinya sudah dapat
memahami situasi sebenar. Namun dia tidak sepatutnya menunjukkan apa yang
dikatakan oleh emaknya sebentar tadi. Irfan memikir-mikir sendiri.
“Kan saya sudah kata, emak awak tu
tak suka pilihan awak,” kata Adawiyah yang mengubah bentuk panggilan kepada
suaminya. Irfan ketawa.
“Jangan buruk sangka sayang, mummy
abang tu tak sihat,” jawab Irfan. Adawiyah masih tersenyum sangsi dengan
jawapan suaminya.
“Awak bohongkan?” Irfan geleng. Dia
tidak mahu kemarahan emaknya akan mengubah bentuk bulan madu mereka di sini.
“Mummy tak sihat sayang, dia rehat
di biliknya,” kata Irfan. Adawiyah menggeleng.
“Irfan, terus terang dengan saya,”
hilang rasa hormat Adawiyah kepada suaminya.
“Jangan begini sayang. Jangan
keruhkan keadaan. Emak saya sukakan isteri abang, jangan risau,” kata Irfan. Adawiyah
mendalami pandangan mata Irfan.
“Awak bohong!” kata Adawiyah yang
dapat membaca anak mata Irfan.
“Mari kita balik dan ambil teksi,
kita jalan-jalan di pasar malam,” kata Irfan. Irfan tahu bumi Taipei kaya
dengan pasar malam.
“Irfan! Awak baru sampai!” tidak
disangkanya ayahnya sudah tiba di depan mata mereka. Mereka berpelukan.
“Apa khabar sayang anak daddy?
Maafkan daddy, daddy ada kerja di pejabat tadi, ini menantu daddy? Wah sungguh
cantik menantu daddy, pandai Irfan pilih isteri!” kata Datuk Idris Lai memuji
menantunya dan anaknya sekali.
Adawiyah
hanya tersenyum manis. Kembang kencup hatinya. Tetapi, dia tahu emak mertuanya
menolak kehadirannya! Lelaki itu memuji dengan penuh tulus sekali. Berlainan
sekali dengan penerimaan Datin Anne kepadanya. Datuk Idris Lai masih segak
bergaya. Wajahnya memang tampan. Hidung mancungnya sama dengan dengan hidung
Irfan. Cuma, bentuk wajah Irfan banyak mewarisi wajah emaknya.
“Biasa-biasa saja daddy,” jawab
Adawiyah yang juga mengucup tangan bapa mertuanya. Adawiyah perhatikan ayah
mertuanya nampak mesra kepadanya. Tidak seperti emak mertuanya yang hanya tahu
menjelingnya ketika dia baru sampai tadi.
“Mari kita duduk-duduk dulu, kenapa
tak sabar nak mulakan bulan madu? Sudah makan, minum? Marni mana?” soal Datuk
Idris. Adawiyah tertunduk malu. Irfan pula tersengih tanpa perasaan.
“Kami sudah minum daddy. Tak apa,
cuma isteri saya penat sikit daddy,” Adawiyah bulatkan matanya.
“Tak apalah kalau macam tu, kamu
pergilah berehat. Malam nanti kalau sempat kita makan sama-sama. Kalau tidak,
esok kita sarapan sama-sama di sini.” kata Datuk Idris.
“In sha Allah daddy kalau kami dapat
bangun awal dan kalau sempat,” kata Irfan tersenyum nakal kepada ayahnya. Ayah
mertuanya sudah ketawa. Adawiyah melihat ayah mertuanya itu masih kelihatan
segak dan kacak seperti anaknya Irfan. Adawiyah mendiamkan diri. Tidak berani
hendak menyampuk di mana-mana.
“Ya memang daddy faham keadaan kamu
sekarang ni,” kata Datuk Idris Lai. Irfan sudah memegang tangan isterinya.
Terbuntang mata Adawiyah.
“Mari kita jumpa mummy dulu, kita
khabarkan yang kita akan balik ke hotel penginapan kita,” kata Irfan. Datuk
Idris Lai hanya mengangguk dan tersenyum melihat menantunya yang kelihatan
bingung itu. Perlahan-lahan Adawiyah menuruti suaminya naik ke tingkat atas
kondominium mewah itu.