Novel Cinta Sang Pilot 7
Bab 7
“Anak
mak sudah sampai?” aku mendengar suara emak di talian. Aku gembira
mendengarnya.
“Alhamdulillah mak, sudah petang
tadi,” suaraku serak akibat banyak menangis. Aku sangat sedih dengan nasib yang
menimpaku.
Baru
sahaja Amri memutuskan pertunangan kami, aku serasa mahu meraung. Apa tidaknya,
dia memberitahu ibu bapaku yang aku sedang mengandungkan anaknya. Kemudian dia
memberitahu yang aku sendiri memutuskan pertunangan kami.
Ya
Allah bagaimana aku harus menghadapi keadaan itu. Ibu bapaku pula tidak
mengendahkan pengakuanku. Amri cuba mencerobohi diriku di rumah sewaku. Nasib
baik kawan baikku cepat datang, jika tidak, aku sudah hilang maruah oleh
tunangan sendiri.
Akhirnya
aku terpaksa memutuskan pertunangan kami. Seminggu selepas itu Amri pula
mengadu kepada emakku mengenai tingkahnya. Dua hari kemudian, ibu bapa Amri
mengembalikan hantaran yang telah dihantar dulu. Seminggu kemudian, keluarga
mak long iaitu ibu bapa Nukman Faris pula datang kononnya hendak menutup aib
keluarga kami. Alangkah sendunya!
“Syukur juga nak, masalah kita sudah
selesai. Jadi, Nukman melayan Tasya dengan baik?” soalan apakah yang sedang
emak tanyakan? Bagaimana aku harus menjawabnya?
“Baik saja mak. Mak pun nampak kan?
Dia memang lelaki yang baik kan mak?” soalku semula.
“Bersyukurlah kalau sudah menikah
dengan abang sepupu kau tu, mak memang syukur sangat,” terkejut aku mendengar
ungkapan emak. Rupanya selama ini dia tidak begitu menyukai aku bertunang
dengan Amri. Tetapi emak tidak pernah melahirkan rasa tidak sukanya itu. Dia
menerima dengan gembira. Ah, lagi-lagi Amri!
“Kalau ada Amri datang merayu
semula, jangan nak layan-layan ya Tasya. Emaknya datang membatalkan pertunangan.
Jangan sesekali nak layan dia semula! Mereka dah malukan kita. Kad kahwin da
diedarkan tapi mereka putuskan pertunangan,” aku ketawa kecil. Lelaki pertama
yang kucintai akhirnya memalukan diriku sendiri. Bagaimana aku harus
mempercayai lelaki itu semula?
“Ya mak, saya tahu jaga diri,”
kataku. Takkan aku hendak melayan lelaki lain sedangkan aku sudah menikah
dengan sepupuku. Walaupun pernikahan kami hanya di atas kertas tetapi aku tetap
sudah bernikah dengan sah. Bukannya aku bernikah di Thailand atau di kawasan
lain tanpa pengetahuan keluarga. Kami menikah dengan restu keluarga kedua belah
pihak. Itu aku bersyukur sangat.
“Baguslah kalau Natasya sedar diri.
Mak tak suka dengan keluarga Amri tu! Mengada sangat!” kata emak meluahkan
perasaannya. Memang lah keluarga Amri agak sombong sedikit sebab mereka
keluarga berada di kampung itu. Tetapi aku bertunang dengannya bukan kerana aku
gilakan harta. Aku bersetuju bertunang dengannya kerana dulu kami saling jatuh
cinta. Dia adalah senior kami di sekolah menengah dahulu. Di situlah perkenalan
kami.
“Jangan bermusuhan dengan keluarganya
mak. Mereka tak salah. Sabar sajalah. Cerita saya dengan Amri sudah jadi
sejarah,” aku tidak mahu berdendam dengan sesiapa.
“Mak kasihankan anak mak. Nasib baik
ada anak sedara mak yang sudi jadi suami kamu Tasya,” bergenang air mataku
tanpa kusedari.
Kecewa
amat sebenarnya. Kecewa dengan perbuatan bekas tunangku yang tidak
berperikemanusiaan. Malah sanggup memfitnahku telah ditebuk tupai. Alangkah
ngerinya. Bagaimana aku hendak membersihkan namaku? Pernikahan kami ini tidak
dapat membersihkan namaku. Ia hanya menutup aib keluargaku.
“Ya mak. Sayakan sudah ada suami,
buat apa nak layan dia mak,” jawabku jujur. Aku tahu kehidupanku selepas ini
masih sama seperti biasa.
“Syukurlah. Emak pun gembira kalau
anak mak gembira.” Kata emak. Aku mengangguk lesu. ‘Aku tak gembira sebenarnya
mak,’
“Ya mak, apa yang penting emak dan
mak long pun gembira.” Kataku. Emak ketawa di hujung talian. Mereka memang suka
sangat jika mereka berbesan. Perancangan Allah kita sukar menjangka.
“Baiklah mak, saya nak tanya abang
Nukman dulu sama ada dia dah sampai ke rumahnya atau belum,” aku hendak meminta
diri dulu. Sebenarnya aku tidak tahu pun nombor telefon Nukman Faris. Dia
sendiripun tidak mendapatkan nombor telefonku, takkan aku pula yang hendak
terhegeh-hegeh mendapatkannya! Huh, malunya!
“Layan suami Tasya baik-baik. Banyak
pahalanya tu nak,” pesan emak lagi. Aduhai, bagaimana aku hendak melayani
suamiku, jika hanya tiga hari bersama sebilik dan menjalani hidup lain-lain?
“Ya mak, terima kasih atas pesanan
mak,” jawabku.
***
Aku
menelaah buku-buku pelajaranku. Aku akan menduduki peperiksaan akhir semester
tidak lama lagi. Televisyen sengaja aku hidupkan. Aku tidak mahu terlalu rasa
sunyi. Kawan serumahku alias kawan baikku Shamira belum balik lagi dari
kampungnya. Mungkin dia akan balik pada hari esok waktu pagi. Dia terus ke
sekolah dihantar oleh tunangnya. Nampaknya aku terpaksa tidur sendirian pada
malam ini.
Tetapi pada malam ini aku tidak
dapat menumpukan sepenuh perhatianku kepada pelajaranku. Mataku pun tidak mahu
lelap. Aku masih teringat kejadian Amri memasuki rumahku ketika aku sendirian
di rumah sewaku ini.
“Amri! Apa kau buat di bilik aku
ni?” soalku apabila Amri sudah di sisiku. Aku menolak dia dengan kuat. Namun
dia sudah bersedia dengan seranganku. Dia hanya ketawa terbahak-bahak. Tengah
malam dia ketawa terbahak-bahak, memang lelaki yang sudah dua tahun menjadi
tunanganku ini sudah gila!
“Aku nakkan kau! Kitakan tak lama
lagi nak kahwin, jadi tak apalah kan,” aku terketar-ketar. Mata Amri sudah
merah macam mata buaya dan bersedia menyerang mangsa. Alangkah takutnya aku!
“Jangan apa-apakan aku Amri, jangan
apa-apakan aku! Tak sangka kau jadi tamak begini!” kataku merayu. Air mataku
bercucuran ke pipi. Amri semakin kuat menindih tubuhku. Dia mengelus-ngelus
tanganku.
“Jangan Amri! Jangan buat aku
begini!” kataku memohon lagi. Aku tidak mahu kejadian yang tidak diingin
berlaku sebelum kami menikah sebulan lagi.
“Kau terlalu jual mahal Tasya. Aku
kat depan ni pun kau tak nampak! Jadi sebelum kita sah menjadi suami isteri
bulan depan, kita buat dulu apa yang patut!” kata Amri mengesat bibirnya yang
ternganga. Aku terus menangis. Dia sekali lagi menindih tubuhku dan mengucup
tanganku.
“Jangan buat begini! Aku tak suka
Amri! Tunggulah kita nikah bulan depan!” pujuk sambil terketar-ketar. Namun dia
tidak pedulikan rayuanku. Dia sudah menarik baju tidurku yang agak nipis dan
jarang itu. Menyesal pula aku memakai baju tidur yang agak seksi dan
menampakkan tubuhku. Amri seperti sudah dirasuk syaitan.
“Aku tak sabar nak rasa daging
manis! Sudah lama aku mengintai kau! Tapi kau jual mahal!” kata Amri
berterus-terang kepadaku.
Tidak
pernah kusangka dia akan bercakap begitu dan mengotakan kata-katanya. Selama
ini dia nampak baik dan alim. Bulat mataku. Aku mencari-cari kain untuk
menutupi tubuhku. Namun semuanya sudah tidak ada di atas katilku. Air mata dan
ketakutanku sudah tidak dapat kubendung.
Aku
hanya menyebut nama Tuhan pada saat terdesak begitu. Amri terus agresif
mengasak tubuhku dan aku seperti bertarung dengan maut saat ini. Aku sedaya
upaya mempertahankan kehormatanku.
“Tasya! Tasya! Buka pintu ni! Apa
yang kau buat bising-bising dalam bilik ni Tasya?” terbuntang mataku mendengar
suara Shamira. Penyelamat sudah datang. Aku bersyukur kepada tuhan. Aku tidak
menyangka pada waktu tengah malam begini bantuan Allah datang kepadaku.
Aku cepat-cepat membuka pintu dan
memeluk Shamira. Pada masa itu separuh bajuku sedikit terkoyak akibat tarikan
Amri. Aku tidak menyangka tunang yang kusangka begitu baik dan bakal menjadi
pelindungku hendak berbuat sesuatu yang tidak baik kepadaku.
“Tolong aku Mira! Tolong aku!”
pintaku. Shamira terpinga-pinga memandang aku. Amri pula sudah tercegat di
depan pintu.
“Keluar! Keluar! Kau lelaki tak
guna! Lelaki tak guna!” kata Shamira. Aku terus masuk ke dalam bilik Shamira
dan mengambil kain yang ada. Separuh bajuku sudah terkoyak.
“Kita buat aduan ke balai polis ya
Tasya?” aku menggeleng. Jika diketahui oleh semua orang yang Amri mencerobohi
rumahku, aku dan keluargaku yang akan malu. Ah, aku tidak mahu. Biarlah aku
mendiamkan hal ini.
Aku membenarkan Amri keluar dari
rumahku secara baik. Aku tidak mahu membuat laporan polis tetapi aku memohon
agar pertunangan kami diputuskan. Cincin tunang aku kembalikan.
Telefon bimbitku yang berbunyi
menerbangkan semua ingatanku tiga bulan yang lalu. Buku pelajaranku pun sudah
terbiar di atas meja. Aku cepat-cepat menekan butang hijau.
“Assalamualaikum Tasya,” Shamira
terus memberikan salam. Aku menjawab.
“Kau tak balik Mira?” soalku segera.
Shamira ketawa.
“Kau di mana ni?” soalku. Aku tidak
dengar orang mengetuk pintu.
“Kau takutkan? Cepat buka pintu,”
kata Shamira. Aku terus berdiri dan menekan punat merah.
“Syukurlah kau balik, aku bimbang
pula kejadian menimpa aku hari tu,” kataku yang sudah kegembiraan kerana teman
sekerjaku sudah pulang. Kami berpelukan dan aku membawanya duduk di sofa comel
kami di rumah kecil kami itu. Pasu bunga palsu aku ketepikan ke tepi meja.
“Aku mesti pulang. Aku bimbang kan
kau sorang-sorang di rumah ni. Ayah aku pun bimbang juga. Jadi urusan kau sudah
selesai?” soalnya melihat tubuhku dari atas ke bawah. Aku hairan.
“Kenapa kau tengok aku macam tu?”
aku bertambah hairan.
“Tak ada yang berubah,” jawabku
cepat-cepat. Shamira ketawa. Aku turut ketawa kecil. Malam semakin tua. Kata
orang tua-tua, tak baik ketawa kuat-kuat kalau tengah malam.
“Kau dah nikah?” aku angguk.
“Kau kan tahu. Mak ayah kau pun
hadir. Kau saja yang tak sudi,” kataku merajuk.
“Alaa, janganlah merajuk, aku ada
kelaskan dua hari tu, sampai malam pula. Nanti kau salin nota-nota yang aku dah
salin tu,” kata Shamira. Aku memeluk Shamira semula.
“Aku tak merajuk. Jangan bimbang. Terima
kasih kerana prihatinkan aku,” kataku. Kalau tidak aku akan tidur sorang-sorang
malam ini.
“Sepupu kau layan kau dengan baik?”
soalnya. Aku angguk.
“Dia kan orang baik-baik, mestilah
dia akan layan aku dengan baik,” kataku menutupi kekurangan suamiku di atas
kertas itu. Shamira senyum.
“Mesti dia sayangkan kau kan?” aku
angkat bahu. Tidak tahu bagaimana hendak membuka cerita mengenai suamiku itu.
Mestilah kami sama-sama masih terkejut.
“Dia tak cakap, mungkin dia sayang
aku sebab aku sepupu dia. Mak dan mak long adalah dua bersaudara yang sangat
baik. Hubungan mereka erat. Jadi kami pun tak nak gaduh-gaduh,” Kataku. Shamira
mungkin memahami.
Tetapi
aku sedar, lama-lama dia akan faham. Nukman Faris tidak akan pernah mencari aku
apatah lagi datang ke rumah tempatku bertugas ini selepas ini. Aku tahu Nukman
Faris sudah melepaskan tanggungjawabnya terhadapku. Kami sudah berjanji dan aku
bersetuju. Haha, memang sakit tetapi aku tidak boleh buat apa-apa. Bersyukurlah
sebab sudah terlepas dari siksa fitnah orang kampungku.
“Sepupu
kau orang baik-baik. Satu hari dia akan datang kepada kau dan menyedari
cintanya ada untukmu,” syahdu kurasa. Tidak kusangka Shamira akn berkata begitu
kepadaku. Apakah dia melihat sedalam itu cinta Nukman Faris kepadaku? Ah, aku
tidak tahu sama ada kata-kata itu kata-kata keramat atau kata-kata yang menyakitkan
hatiku?
“Entahlah
Mira, aku tak pandai nak cakap. Kau tahulah kan, kami kahwin macam sangat
ekspress. Dia cuti aje terus mak dia bawa menikah di kampung aku. Tapi kami dah
jumpa seminggu sebelum tu,” kataku. Shamira angguk. Mungkin dia kasihan kepadaku.
“Jangan
sakitkan kepala kau Tasya. Masalah kau sudah selesai. Kau harus fokus impian
kau selepas ini. Kita sama-sama nak cari ilmu. Kita buat apa yang patut lepas
ni. Aku pun tidak mahu kau sedih-sedih lepas ni. Sudahlah kau fikir-fikirkan si
Amri tu. Dia sudah dengan dunia barunya,” kata Shamira. Aku peluk Shamira.
“Ya
terima kasih. Aku yakin aku boleh buat yang terbaik selepas ini,” kataku yakin
dengan kata-katanya.