Novel Isyarat Cinta Bab 23
Bab 23
Dalam
perjalanan menuju ke lapangan terbang, mereka hanya mendiamkan diri. Adawiyah
masih melayani perasaan sebaknya meninggalkan emaknya. Irfan pula berasa
simpati kepada isterinya yang tidak pernah berpisah jauh dengan emaknya.
“Sayang,
abang rindukan sayang,” kata Irfan yang sudah berada di lapangan terbang Kota
Kinabalu. Orang ramai di sekeliling mereka namun Irfan tidak mahu peduli.
“Buat apa rindu, saya kan selalu di
sisi awak,” kata Adawiyah mahu meradang dengan tingkah laku Irfan yang macam
lagak orang putih itu.
“Memang sayang pandai, kita pergi
honeymoon kan sayang,” merah muka Adawiyah. Peristiwa di rumah sebentar tadi
tergambar di ruang matanya. Adawiyah menundukkan wajahnya. Dia sudah tidak
dapat menukar hala tujunya. Dia pasti tidak ada sesiapa yang mahukan dirinya
ini.
“Kita lawat ibu bapa awak dan awak
nak kerja dengan daddy awak, jangan nak pergi honeymoon pula!” kata Adawiyah
separuh marah. Irfan gelak. Gelakkan Adawiyah.
“Ibu bapa sayang juga! Ibu bapa kita,”
kata Irfan. Adawiyah angguk. Setuju dengan kata-kata Irfan.
“Ya lah!” kata Adawiyah. Irfan
mengucup tangannya lagi. Irfan sudah tidak mempedulikan dia yang sering
membesarkan anak matanya. Sakit hati Adawiyah dengan tindakan Irfan. Irfan
lelaki yang tidak tahu malu. Mungkin sebab dia keturunan Cina menyebabkan dia
tidak ada rasa malu apabila berdepan dengan orang ramai.
“Kenapa awak tak pandai malu?” soal
Adawiyah menguji keinginan Irfan. Irfan ketawa.
“Sayang percayalah, abang sayangkan
sayang lebih dari nyawa abang. Jangan nak cakap yang bukan-bukan boleh tak?”
soal Irfan. Adawiyah tidak biasa diperlakukan seperti itu. Dia tidak selesa
dengan tindakan Irfan itu.
“Ya lah! Pandailah awak!” kata
Adawiyah sakit hati.
“Eh, Irfan awak nak ke mana dengan
penjaga kedai awak ni?” tiba-tiba satu suara menegur mereka. Adawiyah seperti
pernah mendengar suara itu. Dia ingat-ingat lupa. Ramai sungguh peminat Irfan,
kalau dipanggil satu persatu, pasti sanggup beratur menadah cinta untuk Irfan!
“Eh awak! Aira awak nak ke mana ni?”
soal Irfan apabila melihat Aira sudah berdiri di depan mereka dengan sebuah beg
besar. Irfan mengejapkan pegangan tangannya dengan Adawiyah. Adawiyah mula
menghidu akan kedatangan kekasih Irfan sekali lagi. Merata-rata kekasih Irfan.
“Saya tanya awak, kenapa tak jawab?”
soal Aira tegas. Adawiyah hanya mendiamkan dirinya.
“Saya nak ke Taiwan dengan isteri
saya ni, sayang, ini kawan saya Aira.” Adawiyah menghulurkan tangannya hendak
bersalaman dengan Aira namun Aira tidak menyambut tangannya.
“Isteri? Isteri awak begini? Sejak
bila awak jadi baik dan kahwin dengan isteri macam ni?” soal Aira kehairanan.
Soalan
yang sama seperti kekasih-kekasih Irfan yang lain. Sebak Adawiyah seketika. Selama
ini memang heboh Irfan sudah kahwin tetapi Aira tidak tahu yang Irfan kahwin
dengan pembantu di kedainya. Bulat mata Adawiyah. Sakit hati pun ada. Namun
pelukan Irfan di bahunya menenangkannya seketika.
“Ya dia isteri saya, kami nak pergi
honeymoon. Dah beberapa minggu kahwin tapi tak sempat saya nak bawa dia
honeymoon, kan sayang,” kata Irfan mengucup tangannya lagi. Adawiyah hanya
mengangguk dan tersenyum seolah-olah bahagia. Muka Aira kelat melihat dia yang
tersenyum bahagia.
“Ingatkan awak akan kahwin dengan
saya,” kata Aira yang bertubuh tinggi lampai itu. Adawiyah tidak menyangka
semua kekasih-kekasih Irfan mengharap akan dikahwini. Itulah sebabnya Adawiyah meminta Irfan
menikahi salah satu gadis yang benar-benar cinta sejatinya. Mahukah Irfan?
“Cari lelaki lain! Banyak kekasih
awak kan?” kata Irfan tegas. Adawiyah hanya tersengih.
“Tak de, saya hanya ada awak yang
nak saya nikahi! Bayi dalam kandungan saya ni siapa nak jadi ayahnya?” kata
Aira. Merah muka Adawiyah menahan segan. Dia tidak menyangka suaminya bakal
mempunyai anak dengan gadis lain.
“Maaflah, saya tak terniat nak nikah
dengan awak pun Aira. Awak carilah ayah kepada ayah kepada anak awak. Anak saya
ada dalam sini,” Kata Irfan lagi mengambil peluang mengusap perut Adawiyah.
Mahu tidak berpeluh wajah Adawiyah melihat tingkah Irfan. Syikin sudah
melenggok di bahu Irfan.
“Tak! Tak! Awak tak boleh buang
saya. Saya ingat, anak ini adalah anak awak,” kata Aira dengan pasti. Tajam
matanya memandang Irfan. Adawiyah menunduk. Apakah ini fitnah atau ada
kebenarannya?
“Mungkin awak mimpi! Saya tak pernah
tidur dengan awak,” kata Irfan menafikan.
“Mungkin awak lupa, saya ada simpan
gambarnya. Saya akan edarkan gambar ini di internet nanti,” ugut Aira. Adawiyah
membulat kan mata.
“Eh perempuan, awak tak percaya?”
soalnya kepada Adawiyah. Adawiyah bengang. Irfan sudah membulatkan mata.
“Cepat kita check in, jangan
pedulikan perempuan gila ni!” kata Irffan yang sudah menarik tangan Adawiyah.
“Mungkin dia benar! Kenapa dia
mengaku begitu?” kata Adawiyah tidak puas hati dengan pengakuan Irfan. Irfan
menggeleng.
“Tak! Dia hanya buat fitnah! Jangan
nak buat onar pula sayang, abang tak tergamak buat macam tu. Kalau abang nak,
sayanglah yang akan mengandungkan anak abang,” Adawiyah membuntang mata ke arah
Irfan. Tidak menyangka jawapan itu keluar dari mulut suaminya.
“Aku takkan lepaskan kau Irfan!”
kata Aira. Irfan sudah meninggalkannya. Mereka berlalu ke kaunter untuk check
in.
“Kenapa awak nafikan pula?” kata Adawiyah
tidak puas hati. Dia menurunkan cermin mata hitamnya.
“Macam mana nak terima saya tak
pernah tidur dengan dia!” nafi Irfan. Entah kenapa lagi dia harus berdepan
dengan Aira. Adawiyah tidak percaya.
“Awak kena siasat dulu benda ni,”
kata Adawiyah. Irfan senyum kelat.
“Sayang, jangan percaya manusia
macam tu. Dia sengaja nak runtuhkan rumah tangga kita. Lepas ni kita minum
dulu. Jangan nak percaya semua tu! Manusia kalau nak kahwin dengan orang
ada-ada, pelbagailah caranya! Ayuh, lupakan dulu, kita nak pergi honeymoon ni!
Jangan fikir benda gila tu!” kata Irfan menenangkan isterinya.
Adawiyah
masih tidak puas hati. Malah dia bimbang Aira akan berbuat sesuatu untuk
memalukan keluarga dan menjatuhkan syarikat suaminya itu. Paling malang jika
suaminya akan dipanggil balik gara-gara membuntingkan anak orang!
“Saya tak nak ikut awaklah kali ini!
Saya takut pula dengan ugutan Aira tadi,” kata Adawiyah. Irfan membulatkan
mata.
“Kenapa pula? Eh sayang, perempuan
tak guna tu hanya nak mengugut sayang! Kenapa sayang nak pedulikan cakap dia
yang tak senonoh tu!” jawab Irfan. Air mata Adawiyah mengalir perlahan. Dia
sedih jika Irfan sudah melakukan hal yang telah diperakui oleh Aira tadi. Tidak
mahu dia mengikut lelaki itu ke luar negara.
“Sebab awak ada skandal!” jawab
Adawiyah sebak. Irfan membuntangkan mata. Terkejut dengan perlakuan isterinya.
“Ah skandal kecil aje tuh! Jangan
macam ni sayang. Percayalah abang sayangkan hubungan kita. Saya sayangkan
Adawiyah saya, buat apa saya nak buat perkara yang bukan-bukan! Abang dah ada
Adawiyah cukuplah! Tak larat nak layan orang lain,” kata Irfan
bersungguh-sungguh.
Adawiyah
memberanikan diri memandang wajah kacak suaminya. Dia mencari kebenaran. Dia
tidak mahu suaminya itu membohonginya.
“Betulkah ni? Entah-entah di
belakang saya, siapa tahu?” kata Adawiyah tidak percaya. Irfan ketawa. Tangan
Adawiyah digenggam erat.
“Syukurlah kalau sayang dah cemburu,
itu tanda yang positif untuk abang, abang gembira sangat hari ini dan sejak
malam tadi,” kata Irfan. Muka Adawiyah sudah membahang panas. Menyesal pula dia
berkata begitu. Irfan sudah menghulurkan tisu untuknya. Dia menyambut dan
mengelap air mata yang menitis.
“Sudahlah, berikan tiket tu,” kata
Adawiyah pula. Dia pula yang terkena oleh suaminya.
“Tak apa, biar abang yang buat,”
kata Irfan. Adawiyah hanya memegang sebuah beg sandang berwarna hitam.
Selepas check-in, mereka duduk di
satu kerusi. Masing-masing mendiamkan diri. Adawiyah hanya meminta milo panas. Irfan
memesan kopi panas dan nasi goreng ayam ala Cina. Mereka ralit melayan perasaan
sendiri walaupun tangannya masih dalam genggaman tangan Irfan.
“Sayang kena percayakan abang,” kata
Irfan seperti berbisik. Tangannya dikucup perlahan. Hendak ditarik dia bimbang
yang dia akan memalukan suaminya itu di khalayak orang ramai. Adawiyah terpaksa mengangguk. Sebenarnya dia
tidak begitu mahu mempercayai Irfan.
“Tengoklah dulu apa yang bakal
terjadi. Saya tak tahu lagi apa yang bakal berlaku selepas ini. Kita tak tahu
apa tindakan Aira nanti Irfan,” kata Adawiyah memikirkan sesuatu yang jauh.
Tidakkah Irfan memikirkan hal yang demikian yang sama dengannya? Irfan merenung
jauh ke dalam matanya. Dia tidak tahan. Dia menundukkan pandangannya.
“Dia takkan berani bertindak jauh,”
kata Irfan begitu yakin.
“Saya tak berani nak mengikut kata
awak. Mungkin dia disuruh oleh seseorang,” kata Adawiyah. Irfan ketawa.
“Sudahlah sayang, jauhi
fikiran-fikiran negatif mengenai abang. Abang tak buat benda tu! Kalau abang
nak, abang paksa saja orang tu kahwin dengan abang, walaupun dia tak mahu! Kan sayang? Macam sayanglah! Buat
apa abang nak sibuk-sibuk tambah dosa buat maksiat?” Adawiyah memikir. Wajahnya
membahang. Irfan mengenakannya lagi. Akhirnya dia mengangguk. Mungkin ia boleh
dikira satu markah. Markah bonus untuk suaminya!
“Saya ni bukan apa, saya bimbang.
Kekasih-kekasih awak tu terlalu berani!” kata Adawiyah. Irfan ketawa.
“Bukan kekasih! Bekas teman wanita
sahaja! Tak sampai jadi kekasih! Kekasih abang hanya sayang ku Adawiyah! Tak
ada orang lain!” kata Irfan mengakui perkara yang sering diungkapkannya. Adawiyah
gelak.
“Awak ni mengadalah!” muka Adawiyah
sudah berbahang seperti ada api singgah ke mukanya. Terasa segan pula dia
hendak berdepan dengan suaminya ini. Kebetulan mereka duduk berdepan.
“Sayang, itu lah kebenarannya.
Jangan tutup kebenaran dengan perkara lain,” kata Irfan cuba mengingatkan
isterinya. Adawiyah angguk.
“Sayang, abang nak minta ni,”
semakin Adawiyah segan.
“Awak nak minta apa?” soal Adawiyah
menundukkan matanya.
“Pandang abang,” pinta Irfan.
Perlahan-lahan Adawiyah mengangkat mukanya. Wajahnya malu-malu.
“Apa?”
“Abang mohon sayang panggil abang ni
‘abang’ kalau dah bercakap dengan mummy abang nanti. Jangan tunjuk sesuatu yang
kurang baik depan mummy dan daddy abang. Mummy terlalu cerewet macam abang,”
kata Irfan. Adawiyah angguk dan cuba mengerti permintaan lelaki itu.
“Sekarang panggil abang,” arah Irfan
lagi.
“Ya abang sayang intan payung! Saya
akan panggil abang,” kata Adawiyah seperti mengejek-ejek suaminya walaupun
lidahnya masih agak janggal hendak menyebut ‘abang’ kepada suaminya itu.
Irfan
mengucup tangannya lagi. Walaupun orang yang lalu lintas tidak mempedulikan
mereka tetapi Adawiyah tetap segan. Suaminya sudah melampau. Macam dia seorang
sahaja di dunia ini ada isteri!
“Macam tulah isteri abang yang baik!”
kata Irfan mengucup lembut tangan isterinya. Adawiyah senyum manis.